Isnin, 30 April 2007

Kebenaran Sebagai Kayu Pengukur



Dalam sebuah riwayat diceritakan, pada suatu hari Luqman al-Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan mengenderai seekor himar, manakala anaknya mengikuti dari belakang. Melihat tingkahlaku Luqman itu, sebahagian orang pun berkata: “Lihat! Itu ayah yang tidak bertimbang rasa, masakan anaknya dibiarkan berjalan kaki.”

Setelah mendengarkan desas-desus dari orangramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula: “Lihat! Ayahnya berjalan kaki sedangkan anaknya mengenderai himar itu, sungguh kurang adab anak itu.”

Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orangramai pula berkata lagi: “Lihat! Dua orang mengenderai seekor himar, tentu perbuatan itu sungguh menyeksakan himar itu.”

Kemudian Luqman dan anaknya turun dari himar itu. Terdengar pula suara orang berkata: “Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai.”

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman al-Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka. Katanya: “Wahai anakku! Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah Ta’ala sahaja. Barangsiapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam apa jua keadaan.”

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah
(Siri - 2)

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah “جلاء القلوب بذكر الله” oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal.(Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Sekian.)


(Maka kaya olehmu) akan segala waktu kamu dengan dukacita rindu kepada Allah dan ketahui akan qadarNya. (Dan syukur olehmu) akan Allah, karena keduanya (kaya dan syukur) itu terlebih lazat daripada segala lazat [kepada] yang lain yang membimbangkan daripada Allah. (Dan usaha olehmu) dengan melebih keduanya dengan mengurangkan syawaghil [kebimbangan-kebimbangan kepada selain Allah] dan membanyakkan zikrullah hingga jadi terbalik dukacita itu kesukaan pula dan hudhur serta Allah, dan kamu berpaling daripada perhiasan dunia dan kemegahannya dan segala nikmat syurga. Dan engkau berhadap tawajjuh kepada Allah Ta’ala dengan setinggi-tinggi himmah dengan dzahir dan bathin dan dengan sekalian anggota kamu. (Dan kasih olehmu) akan Allah supaya jangan ada engkau daripada ahli dunia dan ahli akhirat, hanya jadikan olehmu daripada ahlullah, maka tiada tinggal di dalam hati engkau berpaling sekali-kali kepada ma-siwallah. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم:

إن لله جنة ليس فيها حور ولاقصور ولا لبن ولاعسل ولكن يتجلى فيها ربناضاحكا ألا وهي قلب العارف بالله

[Artinya]: Bahwasanya bagi Allah itu syurga, tiada padanya anak bidadari dan tiada mahligai dan tiada susu dan tiada madu tetapinya tajalli padanya Tuhan kita pada hal suka ia.Ketahui olehmu dan iaitu hati ‘arifbillah.

Maka jika berkehendak bahwa jadi hati engkau syurga Allah (tempat tajalliNya) dan engkau dapat padanya akan lazat berjinak-jinak dan hudhur serta Allah maka hampir olehmu kepada Allah dengan menyucikan hatimu iaitu baitullah daripada cemar-cemar segala shifat yang menjauhkan daripada Allah supaya Allah Ta’ala hampir kepada engkau terlebih banyak daripada hampir engkau kepadaNya dan tajalli [D]ia bagi engkau dan supaya jadi [D]ia sam’un (pendengaran) dan bashar (penglihatan) engkau , maka engkau dengar dan engkau lihat dengan Allah dan engkau berkelakuan dengan akhlaq Allah dan jernih hatimu maka jadi ia ‘arasy Allah (tempat tajalli Tuhan) maka jadi engkau fana’ dan baqa’ dengan Allah.



Sabtu, 28 April 2007

Syarah Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis
(Siri – 4a)

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab hikam, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Adapun syarah Tok Pulau Manis ini juga memerlukan penjelasan yang halus lagi untuk memahaminya. Sekian.)

فما قام به غيرك عنك لا تقم به لنفسك
Artinya: Maka barang yang berdiri dengan dia, lainmu daripada segala pekerjaan dunia dan akhirat, maka jangan engkau dirikan padanya bagi dirimu.

(Yakni) jangan engkau jadikan bagi dirimu sezarrah daripada tadbir maka adalah meninggalkan tadbir itu adalah engkau ubudiyyah. (Kata) Sahal bin Abdullah رضي الله عنه: Tinggalkan olehmu tadbir [dan] ikhtiar maka bahawasanya keduanya itu mengeruhkan keduanya atas manusia kehidupan mereka itu.[maksudnya keduanya itu – tadbir dan ikhtiar – boleh mengeruhkan kehidupan manusia - pent](1) (Dan kata) Sheikh Abu Hasan ash-Shadhili رضي الله عنه jikalau ada tak dapat tiada daripada tadbir maka tadbirkan oleh kamu bahawa tiada tadbir kamu(2). (Dan) katanya pula رضي الله عنه jangan engkau ikhtiar akan sesuatu pada pekerjaanmu dan ikhtiar olehmu bahawa tiada ikhtiarmu.

(Dan) kata Imam ar-Razi رضي الله عنه selama lagi ada hamba itu tasarruf(3) dikata baginya: jangan engkau ikhtiar dan jangan engkau jadikan serta ikhtiarmu hingga arif ia. Maka apabila [men]jadi ia [oleh] Allah [seorang yang] arif, maka dikatakan baginya: jikalau engkau kehendak maka ikhtiar engkau, dan jikalau engkau [tiada] kehendaki maka tiada ikhtiar engkau, kerana bahwasanya engkau itu jikalau engkau ikhtiar maka dengan ikhtiar Kami engkau ikhtiar dan jikalau engkau tinggalkan maka dengan ikhtiar Kami engkau tinggalkan. Maka bahawasanya engkau itu dengan Kami dalam ikhtiar dan dalam meninggalkan. Dan inilah maqam yang terlebih mulia.

(Dan kata) Ibrahim al-Khawwas رضي الله عنه bermula sekalian ilmu itu dalam dua kalimat. (Pertama) jangan engkau memberat barang yang telah dikafakan(4) engkau, iaitu rezekimu dalam dunia dan dalam akhirat. (Kedua) jangan engkau sia-siakan ‘amalmu bagi Allah pada barang yang disuruhkan engkau dan berjabat engkau padaNya pada barang yang telah diakui bagimu. (Maka) jikalau engkau mendirikan pada tiap-tiap daripada keduanya itu maka adalah engkau sejahtera bashirah(5) dan bercahaya sarirah(6).


______________________________________________

Notakaki:-

(1) Kata Tuan Tabal,Shaikh Abdus Shamad bin Muhammad Salleh al-Kalantani di dalam Jala’ul Qulub bi Zikrillah: “….. Hai saudaraku! Sucikan olehmu daripada cemar-cemar i’tibar dan tadbir bagi taqdir Allah dan hiasi olehmu akan baitullah [yang dimaksudkan disini ialah hati, – pent] dengan tinggal tadbir bagi taqdir Allah. Dan dengan serahkan sekalian pekerjaan kepada Allah. Maka jangan engkau pilihkan sesuatu pekerjaan hingga memilih bagi engkau oleh Allah. Maka senang olehmu akan hatimu dengan tinggal olehmu akan tadbir dan ikhtiar itu Allah. Adapun tadbir hatimu tiada memberi faedah suatu hanya menyusahkan hatimu dan melalaikan dia daripada isytighal dengan Allah yang matlub daripada engkau tiap-tiap ketika kerana kebanyakkan pekerjaan yang kamu tadbir di dalam hatimu itu tiada hasil dan kebanyakkan pekerjaan yang kamu tiada tadbir dan tiada suka itu jatuh atas engkau. Maka apabila terlintas atas hatimu hendak mentadbirkan suatu pekerjaan maka buangkan olehmu akan dia dengan fikir seperti yang tersebut itu. Dan hadapkanlah hatimu dengan tawajuh kepada Allah dan lidah kamu dengan zikrullah dan serahkan pekerjaan itu kepada tuhannya iaitu Allah. Berlazat-lazat olehmu di dalam ka’batullah [yang dimaksudkan disini ialah hati – pent] dengan berkhalwat dengan Allah dan muraqabah kan Dia dan dengan zikrullah ….”

Menurut Shaikh Muhammad bin Musthafa bin Abi al-‘Ula dan juga Shaikh Abdul Majid asy-Syarnubi al-Azhari dalam syarah atas hikam, bahwa yang dimaksudkan dengan larangan atau merehatkan diri dari tadbir itu ialah daripada tadbir yang menafikan ubudiyyah seperti berkata seseorang itu ‘andainya aku tidak berbuat begian, maka tidak berlaku begian; dan andaikata aku berbuat begian nescaya berlaku begian’ Maka sesungguhnya Allah Ta’ala mentadbir segala sesuatu dalam ilmuNya sejak azali.

(2) إن كان ولا بد من التدبير فدبر أن لا تدبر
Jikalau kamu tiada dapat tiada daripada melakukan tadbir, maka tadbirkan lah olehmu [tetapi hendaklah engkau sedar] bahwa [pada haqiqatnya] tiada tadbir kamu [hanya tadbir Allah jua]

(3) Kemampuan melakukan sesuatu atau membuat tindakan

(4) Dicukupkan atau dijamin pemberian dengan cukup oleh Allah

(5) Pandangan matahati. Yakni sesuatu yang disebut dengan mata didalam hati yang dapat menangkap segala sesuatu yang bersifat maknawiah (sesuatu yang tidak dapat ditangkap oleh pancaindera yang lima ) sebagaimana bahawasanya al-Bashar, mata jasmaniah yang dapat menangkap segala sesuatu yang bersifat hissiah. Demikian ta’rifan bashirah oleh Shaikh Syarqawi.

Menurut Shaikh Ibn ‘Ajibah, al-Bashirah adalah pandangan hati seumpama al-Bashir merupakan pandangan jasmani. Al-Bashirah melihat menembusi makna-makna yang bershifat lathifah dan nuraniyyah, manakala al-Bashir melihat perkara-perkara bershifat jasmani yang penuh kegelapan dan waham.

Menurut al-Qasyani pula didalam kitabnya al-Isthilahat al-Sufiyyah, al-Bashirah ialah kekuatan hati yang dilimpahi cahaya Ilahi yang dengannya hati dapat melihat hakikat bathin sesuatu perkara sepertimana mata dapat melihat lahiriah sesuatu benda. Para ahli hikmah menamakannya pandangan mata lahiriah sebagai kekuatan akal lahiriah. Adapun hati yang dilimpahi oleh cahaya Ilahi itu pula dapat menyingkap tirai-tirai hijab dengan hidayah Allah dinamakan kekuatan qudsiyyah.

(6) Sirr yakni rahsia. Bahagian hati yang paling dalam. Bathin daripada hati.

Khamis, 26 April 2007

Dampingilah Para Ulama'





Tersebut di dalam kitab Irsyad-ul ‘Ibad oleh asy-Syaikh Utsman bin Shihabuddin al-Funtiani رحمه الله تعالى , pada halaman 4:
Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم:

عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الجكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر

Yakni [artinya] lazim atas kamu dengan bersama duduk [dengan] ulama’ yang berbuat ‘amal dengan ‘ilmunya dan menuntut mendengar perkataan auliya Allah yang mempunyai ilmu haqiqat, maka bahwasanya Allah Ta’ala menghidupkan Ia akan hati yang mati dengan nur hikmah, (berkata qaum [sufi] seorang berhimpun bersama-sama ahlullah mendapat ia kelakuan yang mulia dan lagi sebenar memberi manfaat dengan berhimpun bersama-sama mereka itu terlebih memberi manfaat daripada lafaz lidah) maka bahwasaya Allah menghidupkan Ia akan hati yang buta dengan nur ilmu yang memberi manfaat seperti menghidupkan Ia akan bumi yang mati dengan air hujan.


Asy-Syaikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani رحمه الله تعالى , di dalam kitabnya Nasha-ihul Ibad fi bayani al-Faadzi al-Munabbihaat 'alal Isti'daadi Li Yaumil Ma'adi pada halaman 4, beliau telah memberi penjelasan bahwa yang dimaksudkan dengan:
  • Ulama’ ialah orang-orang ‘alim yang mengamalkan ilmunya
  • Hukama’ ialah orang-orang yang mengetahui/mengenal zat Allah Ta’ala, yang betul dan tepat dalam perkataan dan perbuatan mereka.
  • Hikmah itu adalah ilmu yang memberi manfaat

Seterusnya asy-Syaikh Nawawi al-Bantani رحمه الله تعالى mengklasifikasikan ulama’ itu kepada 3 bahagian:
  • Ulama’ yang ‘alim tentang hukum-hakam, mereka adalah ashhab al-fatwa, yakni mempunyai hak untuk memberi fatwa
  • Ulama yang ‘alim [dan arif] akan dzat Allah [ulama ‘tauhid] sahaja. Mereka ini adalah golongan hukama. Bergaul, berdamping dengan mereka menjadikan akhlaq terdidik, kerana dari hati mereka bersinar cahaya ma’rifatullah dan terbit dari sirr mereka cahaya keagungan Allah.
  • Dan ulama yang memiliki kedua-dua shifat diatas, mereka itu kubara’. Maka bergaul dengan ahlullah mendatangkan ahwal yang mulia. Lirikan mereka lebih mendatangkan manfaat dari daripada ucapan mereka. Dan barangsiapa yang lirikannya memberi manfaat kepadamu, maka bermanfaatlah kata-katanya, dan barangsiapa yang lirikannya tidak memberi manfaat kepadamu, maka kata-katanya tidak akan mendatangkan manfaat.


Selanjutnya asy-Syaikh Nawawi al-Bantani رحمه الله تعالى عنه membawakan sepotong hadits:

سيأتي زمان أمتي يفرون من العلماء والفقهاء فيبتليهم الله بثلاث بليات: أولاها يرفع الله البركة من كسبهم، والثانية يسلط الله تعالى عليهم سلطان ظالما، والثالثة يخرجون من الدنيا بغير ايمان

Artinya: Akan datang satu zaman atas umatku dimana mereka lari (menjauhkan diri) daripada (ajaran dan nasihat) ulama' dan fuqaha', maka (akibatnya) Allah Ta’ala menimpakan tiga (3) bencana atas mereka iaitu yang pertama, Allah mengangkat (menghilangkan) keberkatan dari usaha mereka, kedua, dikuasakan penguasa yang dzalim atas mereka dan ketiga, mereka keluar dari dunia (mati) tanpa membawa iman.

Kitab Irsyad-ul ‘Ibad oleh ash-Shaikh Utsman bin Shihabuddin al-Funtiani رحمه الله تعالى adalah merupakan sebuah kitab terjemahan dari kitab al-Munabbihat 'alal Isti'dat li Yaumil Ma'ad oleh Ahmad ibn Hajar al-Asqolaani رحمه الله تعالى . Kitab al-Munabbihat 'alal Isti'dat li Yaumil Ma'ad juga telah diberi syarah oleh ash-Shaikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani رحمه الله تعالى (yang digelar oleh ash-Shaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani رحمه الله تعالى sebagai Imam Nawawi ats-Tsani, ertinya Imam Nawawi Yang Kedua) didalam kitabnya Nasha-ihul `Ibad.


والله أعلم ونسأله التوفيق والهدايه
-abu zahrah-





Selasa, 24 April 2007

Segala kebinasaan lidah itu iaitu duapuluh (20) perkara.

Kebinasaan Kedua:

الآفة الثانية فضول الكلام
Kebinasaan yang kedua iaitu berlebih-lebih perkataan, iaitu mengarang perkataan yang lebih daripada sekira-kira hajat yang terkaya daripadanya.

Mengambil tahu tentang hal orang lain merupakan perkara yang tercela juga, iaitu mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengan diri kita, ataupun jika perkara itu memang ada berkaitan dengan diri kita, tetapi kita telah berlebih-lebihan dari kadar yang perlu. Perkara yang mengenai diri kita itu dapat dibicarakan dengan kata-kata yang ringkas, dan dapat juga dihuraikan secara meleret atau berulang-ulang. Maka apa yang dapat dihuraikan dengan satu perkataan, jika ditambah menjadi dua perkataan, maka perkataan yang kedua itu adalah fudhul, yakni berlebihan-lebihan dari kadar yang perlu, dan ini ini juga adalah tercela sebagaimana yang telah diterangkan di atas, meskipun ia bukanlah dosa atau bahaya.

Ketahuilah bahwa fudhul atau kata-kata yang berlebihan-lebihan itu tidak ada batasan yang tertentu, tetapi yang penting untuk kita mengetahui ialah apa yang tertera di dalam kitab Allah Ta’ala dalam firmanNya:


لاَّ خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلاَّ مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلاَحٍ بَيْنَ ٱلنَّاسِ وَمَن يَفْعَلْ ذٰلِكَ ٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِ ٱللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْراً عَظِيماً

“Tidak ada gunanya pada kebanyakkan dari bisikan-bisikan mereka, melainkan sesiapa yang menyuruh memberi sedekah atau berbuat baik ataupun mengadakan perdamaian antara bangsa manusia.” (an-Nisa’: 114)

Bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:

طوبى لمن أمسك الفضل من لسانه وأنفق الفضل من ماله – رواه البيهقي والبزار، ضعيف ,العراقي

“Berbahagialah sesiapa yang menahan fudhul (berlebih-lebihan) dari lidahnya dan membelanjakan kelebihan dari hartanya.”

Cuba anda perhatikan bagaimana manusia menterbalikkan perkara ini. Mereka lebih suka menahan kelebihan harta kekayaan mereka [daripada diinfaqkan] dan melepaskan secara berwenang-wenang kata yang berlebihan-lebihan dari lisannya.

Berkata Atha’: Orang-orang yang mulia sebelum kamu sangat membenci berlebihan-lebihan dalam tutur kata. Mereka menganggap semua kata-kata itu adalah fudhul, selain kata-kata dari kitab Allah, sunnah Rasulullah, ataupun suruhan berbuat kebajikan, cegahan dari berbuat kemungkaran, ataupun berkata sesuatu yang perlu dalam kehidupanmu yang tidak boleh tidak mesti kamu lakukan. Apakah kamu mahu mengingkari adanya Malaikat penjaga kiraman katibin (malaikat-malaikat yang mulia sebagai pencatit) yang berada di kanan dan di kiri. Apa yang disebutkan dari kata-kata melainkan ada di sisinya Raqib dan Atid. Tidakkah seseorang kamu merasa malu bila diserahkan buku catatannya kelak, telah terpenuhi di dalamnya bahwa segala perbuatannya di siang hari kebanyakkannya bukan daripada urusan-urusan agamanya ataupun dunianya.

Berkata Ibnul Umar: Perkara yang paling patut disucikan oleh seseorang ialah lidahnya.

Dalam sebuah atsar pula: Tiada seseorang pun yang diberikan sesuatu yang paling jelek daripada sifat berlebihan-lebihan dari lidahnya.


Isnin, 23 April 2007

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah
(Siri - 1)




Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah “جلاء القلوب بذكر الله” oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal.(Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Sekian.)

الحمدلله رب العالمين وصلى الله على سيدنا محمدوعلى آله وصحبه أجمعين

Bermula segal puji bagi Allah Tuhan sekelian ‘alam dan rahmat Allah dan salamNya atas penghulu kita Nabi Muhammad dan atas keluarga dan shahabatnya sekelian.

اما بعد فقد قال العارف بالله الشيخ الخفى لبعض إخوانه في الله، أعلم ارشدك الله ان الطريق إلى الله بعدد أنفاس خلائق الله وطريقنا الذي ندلك عليه هو اقرب طرق الله لانه طريق المحبين لله السالكين بجذبات الله

Adapun kemudian daripada itu maka sesungguhnya telah berkata oleh ulama’ ‘arifbillah Shaikh Khafyu bagi setengah daripada segala saudaranya pada Allah Ta’ala. Ketahuilah olehmu bahwasanya jalan kepada Allah Ta’ala itu dengan sebilang-bilang segala nafas sekelian makhluk Allah. Dan bermula jalan kami tunjuk akan dikau atasnya iaitu terlebih hampir segala [kepada] jalan Allah Ta’ala karena bahwasanya jalan segala orang yang kasih kepada Allah lagi berjalan mereka itu dengan jazbaatillah(1). Maka, inilah jalan yang dipilih bagi ahlullah, tiada ia dengan ‘alam hanya dengan thabiat ialah asal sampai kepada Allah beserta istiqamah atas syariat Allah

وسميتها جلاء القلوب بذكر الله

Dan aku namakan dia “جلاء القلوب يذكر الله” artinya “Menyucikan Hati Dengan Menyebut Allah.

Muqaddimah

Ini suatu muqaddimah. Ketahui olehmu bahwasanya segala bagi [maksudnya: bahagian atau pembahagian - pent] hamba itu tiga ba[ha]gi. (Pertama) ahluddunya dan iaitu segala orang yang jahil yang lalai daripada Allah. (Dan kedua) ahlul akhirah dan iaitu orang yang takut daripada api neraka, yang gemar kepada syurga. (Dan ketiga) yang terlebih tinggi martabatnya, ahlullah dan iaitu orang yang kasih lagi ‘asyiq kepada Allah. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم:

الدنيا حرام على أهل الأخرة و الأخرة حرام على أهل الدنيا وكلاهما حرامان على اهل الله

Bermula dunia itu haram atas ahli akhirat dan akhirat itu haram atas ahli dunia, dan tiap-tiap daripada keduanya itu haram diatas ahlullah.(2)

Maka martabat yang terlebih tinggi itu kasih kepada Allah Ta’ala. Maka jika engkau dapat dalam hatimu dukacita kasih rindu kepada Allah, maka ketahuilah olehmu, bahwasanya engkau dalam zumrah(3) ahlillah. Karena firman Allah Ta’ala:

يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ

Artinya: Kasih Ia (Allah) akan mereka dan kasih mereka itu akan Dia.(4)

Maka pada azalinya ia (Allah) kasihi akan dikau maka ter’akas kasihNya itu dalam cermin hati engkau, kemudian maka kasih engkau kepadaNya. Maka jika engkau setengah daripada ahlul muhabbah, maka yakinlah engkau bahwasanya wali Allah. Tapinya pada satu ketika engkau cenderung kepada dunia, lalailah engkau daripada Allah dan mensia-siakan ‘umur engkau dalam khayal masiwallah. Maka sekali engkau kasihkan Allah dan sekali engkau kasihkan dunia. Engkau hendak himpunkan dua kasih itu pada hal fiman Allah Ta’ala:

لايجتمع حبي وحب الدنيا في قلب واحد

Artinya: Tiada berhimpun kasih akan Aku dan kasih kepada dunia dalam hati seseorang.(5)

Maka kuat[kanlah] olehmu akan kasih akan Allah yang Jamiil atas [daripada] kasih ma-siwallah [apa yang selain dari Allah].


_________________________


Notakaki:-

(1) Jazbah bermaksud tarikan. Yang dimaksudkan disini ialah tarikan al-Haq Ta’ala. Yakni di’tarik’nya seseorang hambaNya yang dikehendakiNya dengan tiba-tiba kesisiNya. Maka orang yang sebegini semata-mata ingat kepada Allah sehingga hilang ingatan kepada yang lainnya. Karam mereka dalam ingatan kepada Allah semata-mata. Mabuk mereka dengan minum arak berjinak-jinak dengan Allah. [ini sebagai kiasan untuk mendekatkan faham]

(2) Hadits ini diriwayat oleh ad-Dailami didalam Musnad al-Firdaus daripada ibn Abbas. Hadits ini hasan menurut Imam Sayuthi di dalam al-Jami’us Saghir.

(3) Golongan atau kelompok. Zumrah ahlillah, maksudnya ‘golongan’ atau ‘kelompok’ orang-orang yang telah sampai kepada martabat kasih kepada Allah

(4) Surah al-Maaidah:54

(5) Berkemungkinan ini adalah sebuah hadits Qudsi. Namun saya belum menemuinya setakat ini. Walaubagaimanapun maksudnya benar kerana terdapat sepotong ayat al-Quran yang membawa maksud yang sama:

مَّا جَعَلَ ٱللَّهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ

Maksudnya: Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya. (al-Ahzab:4)

Yakni sebagaimana Allah Ta’ala tidak menjadikan dua hati bagi seseorang manusia, maka demikianlah pula manusia hendaklah mempunyai satu tujuan dalam hidupnya atau mengabdikan diri kepadaNya dengan mengikuti syariatNya serta menyintaiNya. Tauhid dan syirik, iman dan kufur, taat dan ma’siat, cinta Allah dan cinta dunia tidak dapat berhimpun dalam hati yang satu, disebabkan tiap-tiap satunya berlawanan dengan yang lain.

Syarah Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis
(Siri - 4)




Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab hikam, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Sekian.)


ارح نفسك من التدبير

Artinya: Senangkan(1) olehmu akan dirimu daripada tadbir.(2)

(Yakni) daripada berfikir dalam pekerjaan, qut(3) dan rezeki dan barang yang lainnya daripada barang yang ditakuti dan barang yang diharap dan kembalikan olehmu kepada tuhanmu yang memerintah akan dikau dengan tadbirNya dan duduk engkau serta Allah atas [kelakuan yang tunduk patuh] dibawah qadam(4) (قدم) Tuhan yang [maha] suci, dengan ikhlas. (Dan) tinggalkan(5) olehmu akan tadbir bagi Allah Ta’ala jua yang mendirikan bagimu pada barang yang telah diakui sebelum wujudmu.


_________________________________

Notakaki:-

(1) Istirehatkan/rehatkan.

(2) Didalam kitab Jalaul Qulub bi Zikrillah oleh Shaikh Abdusshamad bin Muhammad Shalih al-Kalantani, Tuan Tabal beliau berkata:
“ …. Hai saudaraku! Sucikan olehmu daripada cemar-cemar i’tibar dan tadbir bagi taqdir Allah dan hiasi olehmu akan baitullah [yang dimaksudkan baitullah di sini ialah HATI] dengan tinggal tadbir bagi taqdir Allah. Dan dengan serahkan sekalian pekerjaan kepada Allah. Maka jangan engkau pilihkan sesuatu pekerjaan hingga memilih bagi engkau oleh Allah. Maka senang olehmu akan hatimu dengan tinggal olehmu akan tadbir dan ikhtiar itu Allah. Adapun tadbir hatimu tiada memberi faedah suatu hanya menyusahkan hatimu dan melalaikan dia daripada isytighal dengan Allah yang matlub daripada engkau tiap-tiap ketika kerana kebanyakkan pekerjaan yang kamu tadbir di dalam hatimu itu tiada hasil dan kebanyakkan pekerjaan yang kamu tiada tadbir dan tiada suka itu jatuh atas engkau. Maka apabila terlintas atas hatimu hendak mentadbirkan suatu pekerjaan maka buangkan olehmu akan dia dengan fikir seperti yang tersebut itu. Dan hadapkanlah hatimu dengan tawajuh kepada Allah dan lidah kamu dengan zikrullah dan serahkan pekerjaan itu kepada tuhannya iaitu Allah……”

(3) Soal makan-minum

(4) Telapak kaki maksudnya dibawah ketentuan qadha’ dan qadar Allah.

(5) Serahkan (maksudnya serahkan urusan tadbir itu kepada Allah)

Jumaat, 20 April 2007

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Keaiban Nafsu Yang Kesepuluh)





Penyakit Kesepuluh: Sibuk melihat kelemahan orang lain sedangkan dia melupai sifat-sifat yang tercela pada diri sendiri.

Rawatannya: Ialah meluaskan perjalanan dengan bermusafir, menumpukan sepenuh hati di dalam ibadah, mengasihi ulama yang soleh dengan patuh pada pimpinan mereka. Sekurang-kurangnya apabila seseorang itu tidak berusaha untuk mengubati kelemahan dan aib dirinya maka hendaklah ia mendiamkan diri apabila melihat aib orang lain serta berusaha menutup keaiban tersebut dengan harapan Allah akan memperbaiki keaiban dirinya. Sabda Nabi صلي الله عليه وسلم:

من ستر على أخيه المسلم ستر الله عورته, ومن تتبع عورة أخيه المسلم, تتبع الله عورته حتى يفضحه في جوف بيته

Yang bermaksud: “Sesiapa yang menutup aib saudaranya yang muslim, Allah akan menutup auratnya. Sesiapa yang mengintai-intai aurat saudaranya maka Allah akan memerhatikan auratnya dan mendedahkan sehingga melibatkan rahsia-rahsia di dalam rumahnya”.(1)


Zaid al-Madaini berkata: “ Aku melihat berbagai golongan di kalangan manusia yang mempunyai keaiban tetapi mereka tidak pula membicarakan aib orang lain sehingga Allah menutup keaiban mereka sedangkan keaiban itu masih kekal bersama mereka. Disudut yang lain pula, aku melihat golongan manusia yang tidak memiliki sifat-sifat cela yang mengaibkan tetapi mereka sibuk membicarakan aib orang lain, akhirnya Allah menimpakan keaiban itu kepada mereka.

___________________________________

Notakaki:

(1) Hadith ini dikeluarkan dalam berbagai lafadz. Di dalam riwayat al-Bukhari (Kitab al-Malazim), Muslim (Kitab al-Bir), Abu Daud (Kitab al-Adab), at-Tirmizi (Kitab al-Hudud), Ibn Majah (al-Muqaddimah), Ibn Hanbal 5/276 yang berbunyi:
من طلب عورة أخيه طلب الله عورته حتى يفضحه في رحله
Didalam riwayat al-tirmizi (kitab al-Bir) berbunyi:

فإن من يتتبع عورة أخيه السلم تتبع الله عورته ومن تتبع الله عورته يفضحه ولو في جوف رحله

al-Tirmizi mengatakan hadith ini Hasan Gharib, lihat Tuhfah al-Ahwazi 6/181.

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Keaiban Nafsu Yang Kesembilan)



Penyakit Kesembilan : Nafsu itu akan mencetuskan lintasan atau bisikan yang jahat supaya dapat mempengaruhi jiwa untuk melakukan dosa.


Rawatannya : Ialah menolak bisikan itu daripada permulaan lagi supaya ia tidak dapat menguasai jiwa dengan cara senriasa berzikir, mengekalkan sifat khauf dalam diri berdasarkan kepada ilmu bahawa Allah mengetahui rahsiamu sepertimana manusia mengetahui segala yang nyata ada pada dirimu.

Oleh itu kamu merasa malu kepada Allah sekiranya keutamaan lebih kamu berikan untuk mendapat perhatian makhluk daripada perhatian dan tilikan Allah. Hal ini dinyatakan oleh hadits:

إن الله لا ينظرإلى صوركم ولا إلى أعمالكم ولكن ينظر إلى قلوبكم

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada bentuk tubuh kamu dan tidak juga amalan kamu tetapi Dia melihat hati-hati kamu.”(1)


Ibrahim al-Khawwas(2) رحمه الله تعالى berkata: “Dosa yang pertama ialah lintasan hati, sekiranya empunya diri tidak menolakkannya, ia akan menjadi was-was, apabila ia tidak disingkirkan dengan mujahadah nescaya syahwat dan hawa nafsu akan mengkucar-kacirkan jiwa lalu syahwat dan hawa nafsu akan menguasai dan menutupi pandangan akal, ilmu dan keterangan.


___________________________________________


Notakaki:

(1) Muttafaqun ‘alaih, Abu Daud (Kitab Thalaq), al-Nasai (Kitab al-Thaharah), Ibn Majah (Kitab al-Zuhd).

(2) Ibrahim al-Khawwas ialah Abu Ishaq Ibrahim bin Ahmad bin Ismail bin Ahmad bin Ismail al-Khawwas, tokoh sufi peringkat ketiga. Beliau ialah tokoh yang terbilang dizamannya dan sezaman dengan al-Junaid dan al-Nuri. Beliau termasuk dalam golongan yang memiliki maqam yang tinggi di dalam kesufian. Meninggal dunia pada tahun 291H. Pernah dikatakan bahawa beliau pada satu hari masuk ke dalam sungai seperti kebiasaannya untuk mandi sebelum solat, tiba-tiba dia meninggal dunia disitu. Al-Sulami menulis tentangnya didalam Tabaqat, al-Sya’rani didalam al-Yawaqit wa al-Jawahir. As-Sulami juga banyak meriwayatkan kata-kata hikmah al-Khawwas, antaranya beliau berkata, “Sesiapa yang tidak sabar, dia tidak akan mencapai cita-citanya”. Katanya lagi, “Penawar hati itu lima (5) perkara iaitu membaca al-Quran dengan tadabbur, kosongkan perut, qiyamullail, memperbanyakkan doa diwaktu sahur dan bergaul dengan para sholihin.” Katanya lagi, “ Apabila seseorang mukmin itu mengiktiraf kebesaran hukum Allah, maka Allah akan memakaikan kepada mukmin itu akan kebesaranNYA lalu seluruh hati orang yang beriman akan memuliakannya. – Lihat Tabaqat – 38.

Rabu, 18 April 2007

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Terjemahan ini dipetik dari web Bicarasufi)

Penyakit Ke - 8


Penyakit Kelapan: Nafsu itu selama-lamanya tidak akan melahirkan kebenaran. Hal ini kerana amal ketaatan itu berlawanan dengan kehendak nafsu, bahkan akan lahirlah pula pertentangan yang lebih banyak apabila seseorang itu patuh mengikut kehendak hawa nafsu dan syahwat.


Rawatannya: Ialah keluar daripada kongkongan nafsu itu secara keseluruhan kemudian kembali kepada Allah secara mutlak. as-Sulami berkata, "Abul Qasim al-Basri berkata di Baghdad; Ibn Bazdan telah ditanya, "Atas dasar apakah seseorang itu keluar menuju kepada Allah?"

Katanya,"Keluar di atas dasar dia tidak akan kembali semula ke tempat asalnya, serta dia akan memelihara dan menumpukan seluruh perhatiannya kepada Allah." Abul Qasim al-Basri berkata, "Hal itu hanya melibatkan pencarian orang yang telah menemui hakikat ketuhanan Allah"


"Bagaimana pula keadaan orang yang masih belum menemui hakikat itu?" Jawabnya, "Kemanisan iman yang lahir dipermulaan langkah menuju Allah itu akan menjadi penawar yang sangat mujarab untuk mengharungi segala kepahitan di dalam pencarian hakikat ketuhanan itu di hari-hari yang mendatang."

Sekelumit Riwayat Hidup Habib Abu Bakar “al-Attas”

Sekelumit Riwayat Hidup Habib Abu Bakar “al-Attas”


al-Habib Abu Bakar “al-Attas” bin Abdullah bin ‘Alwi bin Zain bin Abdullah bin Zain bin ‘Alwi bin Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad bin ‘Alwi bin Abu Bakar al-Habshi - Gambar tengah


Sekelumit Riwayat Hidup Habib Abu Bakar “al-Attas”(1)
(Tulisan ini dipetik dari buku Potpourri al-Huda Trust Fund dengan sedikit olahan semula)


Al-Habib Abu Bakar “al-Attas”(2) bin Abdullah bin ‘Alwi bin Zain bin Abdullah bin Zain bin ‘Alwi bin Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad bin ‘Alwi bin Abu Bakar al-Habshi di lahirkan di Hottah Hadralmaut pada bulan Zulqaedah 1327H (1909M). Beliau adalah merupakan salah seorang daripada guru kepada al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz bin Abdullah bin Abu Bakar bin 'Aydrus bin 'Umar bin 'Aydrus bin 'Umar bin Abu Bakar bin 'Aydrus bin al-Husain bin Syaikh Abu Bakar bin Salim, pengasas Rubath Darul Musthofa di Tarim.


Guru-guru beliau

Semasa kecilnya ditarbiah oleh ayahandanya sendiri. Selepas ayahandanya, Habib Abdullah wafat pada tahun 1342H, tugas tersebut diambilalih oleh kekandanya Habib Hussin. Sebelum meningkat umur remaja, Habib Abu Bakar telah menghafal dan mendalami sebahagian besar isi al-Quran. Beliau menghadiri majlis-majlis ilmu, mendalami kitab-kitab ilmu dan menceduk rahsia-rahsianya yang bagaikan lautan dari ramai ulama. Diantara masyaikh beliau adalah:
• Habib Hussin bin Abdullah al-Habshi
• Habib ‘Alwi bin ‘Abdullah al-Habshi
• Habib ‘Alwi bin Abdullah Benshahab
• Habib Abdullah bin Idrus al-Idrus
• Habib Abdullah bin Umar asy-Syatrie
• Habib Abdul Bari bin Sheikh al-Idrus
• Habib Ahmad bin Abdurrahman as-Saggaf (as-Saqqaf)
• Habib Ahmad bin Mohsin al-Hedhar
• Habib ‘Ali bin Abdurrahman al-Habshi
• Habib Muhammad bin ‘Ali al-Habshi
• Habib Muhammad bin Salim Asree
• Habib Muhammad bin Hadi as-Saggaf
• Habib Umar bin Muhammad Bensmeth
• Habib Hasan bin Muhammad Balfaqih
• Shaikh Mahfuz bin Utsman
• Shaikh Salim Said Bakayir

Apabila kekandanya wafat pada tahun 1369H, ia beruzlah. Beliau menghampirkan diri kepada Ilahi dan tenggelam dengan zikrullah. Ia menghabiskan sepenuh masanya dengan beribadah di dalam keadaan tenag dan juga mengulangkaji kitab-kitab para ulama yang sholeh yang memberi manfaat.

Disebabkan tekanan dari pemerintah Yaman (pada ketika itu Yaman diperintah oleh komunis) beliau telah meninggalkan Hadralmaut dan akhirnya bermastautin di Mekah sehingga akhir hayatnya.


Rutin Harian Beliau

Habib Abu Bakar tidak pernah membuang masa. Masanya dibahagikan untuk amal-amal ketaatan, beribadah, kerja-kerja kebajikan, memberi nasihat dan petunjuk di dalam hal urusan orang Islam. Beliau selalu tenggelam dalam zikrullah. Beliau berjaga malam dan terus beribadah sehingga waktu syuruk. Selepas shalat ia memakan sarapan yang ringan dan tidur sebentar.

Pada jam 10 pagi beliau shalat dhuha dan terus berzikir sehingga waktu zohor. Beliau shalat sunat qabliah zohor sebanyak 4 rakaat dan membaca surah Yasin disetiap rakaat. Selepas shalat zohor dan ba’diahnya, beliau makan tengahari dan berehat.

Jam 4 petang ia terus beribadat. Selepas shalat sunat ‘asar 4 rakaat dan beristighfar 70 kali, beliau menunaikan shalat ‘asar dan diikuti dengan zikir, wirid dan mengadakan majlis roha sehingga maghrib Kemudian diikuti dengan shalat fardhu maghrib, sunat ba’diah dan sunat awwabin sehingga masuk waktu isya’.

Habib Abu Bakar membaca ratib al-Haddad selepas selesai shalat isya’ dan ba’diahnya. Selepas makan malam beliau tidur pada jam 10 malam dan bangun semula pada jam 2 pagi untuk memulakan rutin ibadah hariannya.

Amalan beliau ini mencerminkan sebenar-benar isi kandungan kitab tariqah Ba’alawi – al-ilmu Nabras fi Tanbih ‘ala Manhaj al-Akyas oleh kerana beliau:

“….. mengikuti jejak salaf mereka yang berteraskan ilmu dan amal, pembersihan hati dari pekerti buruk, ketaatan dan amal shalih dengan niat yang bersih, berteman dengan orang baik, tidak bergaul dengan orang-orang yang buruk kelakuan, tidak suka terkenal, menjauhi keramaian dan keriuhan disertai mengaku kekurangan diri, berakhlak mulia, bertekad tinggi, warak, zuhud, lemah-lembut, berhati-hati, meninggalkan orang yang memusuhi mereka dan menumpukan perhatian pada hal-hal akhirat ….”

Penulisan

Al-Habib Abu Bakar menghasilkan enam buah risalah dan salah satu daripadanya bertajuk “al-Tazkir al-Mustaffa”

Wafat

Habib Abu Bakar Attas wafat pada 28 Rejab 1416H dan jenazahnya di shalatkan di Masjidilharam dan diusung hingga ke perkuburan Ma’ala oleh ribuan manusia yang berzikir dan bertahlil yang tidak pernah di lihat ditanah haram.

اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Ya Allah! Sebarkanlah hembusan keredhaanMu keatasnya dan limpahkanlah, ya Allah kepada kami segala rahsia yang Engkau simpan disisinya. Ya Allah kurniakanlah rahmat dan kesejahteraan keatas nendanya, Nabi al-Amin, penghulu kami Muhammad dan keatas keluarga dan shahabat-shahabatnya sekalian.


__________________________________

Notakaki:-


(1) dan (2): Gelaran ‘al-Attas’ telah diberikan [kepadanya] oleh al-Imam al-Habib Abdullah bin ‘Alwi al-Habshi. Rupanya ada rahasia disebalik nama gelaran tersebut. Semasa pemerintahan komunis di Hadralmaut, hampir semua alim-ulama diburu dan diseksa dan ada yang dibunuh oleh kerana mempertahankan yang hak Allah. Contohnya ialah al-Habib Muhammad bin Salim bin Hafiz Benshaikh Abu Bakar [ayahanda kepada Habib Umar], mufti Hadralmaut yang ditangkap oleh pihak tentera selepas memberi khutbah dan shalat di Masjid Jame’ Tarim. [ketika terjadinya peristiwa ini, Habib Umar yang ketika itu berusia 9 tahun ada bersama ayahandanya] Ianya hilang ghaib begitu sahaja. Al-Habib Abu Bakar termasuk golongan di dalam ‘hit list’. Dengan izin Allah, ia mengetahui rancangan kejam kerajaan dan sempat mengumpulkan kelurganya dan berlepas ke Jeddah melalui pesawat di Aden. Kepungan oleh pihak tentera dibuat merata-rata untuk mencari al-Habib Attas tetapi ia terselamat oleh kerana di dalam paspotnya tercatat nama Abu Bakar sahaja.

Jumaat, 13 April 2007

Memberi Wang Kepada Orang-Orang Yang Menyembahyangkan Jenazah


Ikutilah jawaban oleh Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam yang saya petik dari Majalah al-Hadaf TERBITAN JABATAN MUFTI KERAJAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM; Safar –Rabiul akhir 1423H / April - Jun 2002M;Tahun 5 Bilangan 4. Untuk persoalan sampai atau tidak bacaan al-Quran kepada si mati maka bolehlah saudara-saudari rujuk disini.

Soalan: Apakah hukum memberi wang kepada orang-orang yang sembahyang jenazah?

Jawapan: (Dijawab oleh: Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam)


Dalam permasalahan seperti ini siapakah yang memberi wang itu? Jika yang memberi itu bukan ahli waris seperti kaum kerabat yang terdiri daripada zawil arham, anak menantu atau sahabat-sahabat si mati dan harta yang diberikan itu pula bukan daripada harta si mati, maka ianya adalah harus diberi kepada orang-orang yang menyembahyangkan mayat itu dengan maksud pahalanya untuk si mati tersebut.

Jika yang memberi wang itu terdiri daripada ahli waris dan wang yang diberi itu pula ialah wang pusaka atau harta warisan, maka hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada semua ahli waris yang berkenaan itu. Sekiranya hal ini terjadi juga, maka hendaklah dielakkan supaya penggunaan wang tersebut jangan sampai menjejas atau menghalangi penunaian perkara-perkara wajib bagi si mati seperti wasiat, zakat, hutang dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, perlu juga diingat, bahawa memberi wang kepada orang yang menyembahyangkan mayat itu tidaklah termasuk perkara yang dituntut di dalam hal (تجهيز الميت) (penyelanggaraan mayat).

Dalam makna ia bukanlah satu perkara wajib ataupun sunat yang disyariatkan oleh agama. Ia adalah perkara lain yang mendatang, yang baru, yang mungkin juga didorong oleh perasaan semata-mata ingin bersedekah bagi si mati, sebagai tanda kasih dan simpati mereka. Itu saja.

Adapun perkara sunat yang elok dibuat dan bahkan digalakkan, khasnya oleh kaum kerabat dan jiran-jiran si mati, antara lain, ialah menyedia dan menghantarkan makanan kepada ahli keluarga si mati sebagai tanda simpati dan juga untuk meringankan beban mereka yang sedang sibuk menguruskan kematian itu.

Inilah yang sebenar-benarnya wajar dilakukan oleh kita orang-orang Islam, bukannya membebankan keluarga si mati itu tetapi ialah meringan dan menghiburkan mereka. Inilah perkara yang disuruh oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana di dalam satu riwayat, apabila datang kepada Baginda perkhabaran tentang kematian Jaafar bin Abu Thalib radhiyallahu ‘anhu, Baginda bersabda:
اصنعوا لآل جغفر طعاما فإنه قد جآء هم ما يشغلهم - رواه الترمذي

Maksudnya: “Buatkan makanan oleh kamu untuk ahli keluarga Ja‘afar kerana telah datang kepada mereka perkara yang membuat mereka sibuk (disebabkan ditimpa kematian itu).” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Di Negara Brunei Darussalam, perkara meringankan bebanan dan menghiburkan keluarga yang ditimpa kematian itu berjalan dengan baiknya dan diamalkan oleh orang-orang Islam setempat. Walaupun bukan semestinya dengan menghantarkan makanan, tetapi di dalam bentuk yang lain iaitu membawa sampul-sampul surat sambil menziarahi mayat. Sampul-sampul itu berisi wang yang berbeza-beza jumlahnya, dan diberikan kepada keluarga si mati, sebagai sedekah. Dan yang cantiknya lagi, ianya bukanlah terhad dilakukan oleh kaum kerabat dan jiran-jiran sahaja, malahan juga oleh rakan taulan siapa sahaja, dengan tidak mengira jauh ataupun dekat. Inilah budaya sunnah yang sedang berjalan di dalam masyarakat Brunei hari ini.

Berbalik mengenai pemberian kepada orang yang menyembahyangkan mayat, ianya boleh sahaja diterima sebagai sedekah bukannya upah. Begitu juga tiada halangan sekiranya si penerima tersebut menyedekahkan balik kepada keluarga si mati, lebih-lebih lagi jika keluarga tersebut diketahui lebih memerlukannya, ataupun dalam makna lain sangat berhajat, nisbah kepada keadaannya kurang berada umpamanya.

Perlu juga diingat oleh kita, bahawa hadir dan sembahyang ke atas mayat itu adalah sangat besar pahalanya menurut hadits-hadits Nabi صلى الله عليه وسلم Hadir dengan sembahyang sahaja mendapat satu qirâth. Satu qirâth itu sama dengan sebuah gunung Uhud (menurut hadits). Jadi untuk menjamin laba di akhirat, maka berlaku ihsanlah kepada si mati dengan cara menyempurnakan pengurus-annya seperti yang dituntut oleh Islam, termasuklah menyembahyangkannya. Adapun sembahyang tanpa menerima apa-apa itu, lebih pasti insyâ’ Allah, akan menerima ganjaran (pahala) seperti gunung Uhud. Inilah yang terang dan jelas sebagaimana dijanjikan.


Oleh kerana permasalahan ini berhubungkait dengan amal kebajikan yang dibuat oleh keluarga si mati dengan maksud wang pemberian itu pahalanya untuk si mati, maka di sini saya nukilkan fatwa Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, siri 56/83 mengenai kenduri arwah sebagai tambahan kepada penjelasan di atas yang kedua-duanya mempunyai unsur persamaan dari segi mengeluarkan perbelanjaan atau yang berkaitan dengan mengeluarkan wang. (Fatwa yang dinukil ini telah dibuat sedikit pengubahsuaian dalam beberapa perkara yang tidak menjejaskan keasliannya bagi tujuan memudahkan pihak yang bertanya).

Dalam fatwa berkenaan itu beliau membawakan pendapat-pendapat para ulama mengenainya. Antara kandungan fatwa tersebut menyatakan:

“Al-‘Allamah As-Sayyid ‘Alwi bin Ahmad as-Saqqaf yang mati tahun 1335H di Mekkah menyebutkan dalam Tarshih al-Mustafîdin ketika dia membawa ibarat at-Tuhfah dan ulasannya:

“Sunat bagi jiran ahli si mati walaupun mereka bukan dari negeri si mati dan sunat bagi kerabat yang jauh bagi ahli si mati, walaupun mereka datang dari negeri lain, menyediakan makanan yang boleh mengenyangkan ahli si mati untuk sehari semalam, kerana ahli si mati diharu oleh kesedihan di atas kematian dan mereka menyuruh bersungguh-sungguh ahli si mati itu makan.

Sekarang sudah jadi biasa bahawa ahli si mati membuat kenduri dan memberi makan kepada orang-orang yang memberi takziah dan juga memberi makan kepada orang-orang yang tiada memberi takziah. Maka perbuatan ahli si mati memberi makan itu, boleh dimasukkan di bawah khilâf dalam perkara nuqûth (نقوط) yang disebutkan dalam bab al-Iqrâdh (الإقراض) adakah itu hibah atau qardh (hutang). Maka barangsiapa ada menerima nuqûth itu daripada orang atau jiran, maka dia boleh membalas nuqûth orang itu sama ada wajib dibalas kalau ia dikatakan qardh, atau sunat dibalas kalau dikatakan nuqûth itu hibah (pemberian).

Apakala perkara memberi makan daripada pihak ahli si mati kepada orang-orang yang memberi nuqûth itu dan serta orang lain, maka tiadalah dapat dimasukkan perkara memberi makan ini dalam khilâf ulama.

Setengah-setengah ulama memberi fatwa bahawa sah berbuat wasiat pada memberi makan kepada orang-orang yang datang memberi takziah, dan wasiat memberi makan kepada orang-orang yang memberi takziah itu boleh dan lulus dari satu pertiga dari harta pusaka si mati, dan ulama-ulama itu telah membawa berbagai-bagai dalil bagi menguatkan fatwanya dengan memberi kata ulama-ulama besar dalam perkara wasiat seperti perkara memberi makan kepada orang-orang memberi takziah itu.

Maka menurut fatwa setengah-setengah ulama ini, maka tiadalah terhenti memberi makan dan menyediakan makanan kepada ahli si mati dibuat sehari semalam sahaja. Bagaimana tersebut di atas ini pada perkara (1), maka sunat disediakan makanan kerana ahli si mati seterusnya bukan sehari semalam sahaja, sama ada mereka memberi makan akan orang-orang yang datang memberi takziah atau tiada, selagi ahli si mati berhimpun dan sugul dengan kesedihan.

Ini dia khilâf ulama dalam perkara memberi makan akan orang-orang yang datang memberi takziah.

Al-‘Allamah al-Imam asy-Syeikh Husain Ibrahim al-Maghribi, Mufti Mazhab al-Malikiyah di Makkah al-Mukarramah yang mati tahun 1292H tatkala dia ditanya: “Apa pendapat Tuan dalam perkara makanan yang dibuat pada hari ke tujuh si mati, dan dijamukan kepada pembaca-pembaca al-Qur’an dan lain-lain orang, dan orang yang membuat makanan itu tiada tujuan melainkan hanya mohon rahmat bagi si mati, dan membuat silaturahim, dan setengah-setengah orang berkata membuat makanan seperti itu adalah ditegah dan tiadalah harus dan tiada boleh dimakan makanan itu, mohon jawabnya.”

Katanya: “Bila dibuat makanan itu, kerana mohon rahmat bagi si mati, dan kerana silaturahim, dengan tujuan menarik orang dan menggerakkan hati-hati supaya berdoa kepada si mati, dan supaya mohon rahmat bagi si mati, maka itu suatu tujuan dan qashad yang baik dalam Islam, dan bagaimana dalam hadits:
إنما الأعمال بالنيات
Ertinya, “Sanya suatu amal itu hendaklah adanya dengan ada niat,” dan ini suatu kaedah yang dipakai dalam perkara perkataan dan perbuatan.

Dan tiadalah pada membuat makanan itu suatu bid‘ah, melainkan apabila dibuat makanan itu dengan tujuan mengatakan membuat makanan itu sebagai suatu perkara agama dan suatu perkara syara‘, dan mengatakan dia suatu perkara hak si mati yang mesti ditunaikan oleh ahli si mati, sebagimana dibuat oleh kebanyakan orang-orang jahil daripada orang awam Islam dengan tujuan yang rupa begitu, kalau ada begitu, maka hendaklah ditegah membuat makanan itu.”

Berkata al-‘Allamah al-Mawaq: “Yang ketujuh perkara yang dibuat kerana si mati, (jamu makanan) dan datang pembaca-pembaca al-Qur’an dan lain-lain orang pada jemputan makanan itu, maka barangsiapa tiada membuat makanan itu dan dia buat perkara yang lebih baik dari mengadakan makanan itu, maka dia telah buat perkara baik, dan barangsiapa tiada membuat makanan itu dan tiada membuat sesuatu yang lebih baik dari makanan itu, maka dia telah menzalimkan dirinya (yakni tiada berbuat sesuatu kebajikan bagi si mati).

Adapun perkara yang dibuat oleh ahli si mati dengan bersusah payah pada mengadakan berbagai-bagai rupa makanan dengan tujuan ria, mengada-ada, menunjuk-nunjuk, dan bermegah-megah, maka apa perkara yang membawa ria dan menunjuk-nunjuk, dan mencari nama adalah ia perbuatan dan kelakuan orang-orang zaman jahiliah sebelum Islam. Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:
أَنَا وَأُمَّتِي بُرَآءٌ مِنَ التَّكَلُّفِ
Maksudnya: “Aku dan umatku bersih daripada sebarang perbuatan yang memberatkan.”

Ringkasnya: Membuat makanan kerana menghimpunkan orang kerana bertakziah adalah makruh, dan membuat makanan kerana membalas budi baik kerabat dan jiran kepada ahli simati, tiadalah makruh dan juga kerana silaturahim kepada si mati, wallahu ‘alam. [Jika dilihat kepada kebiasaan kenapa majlis kenduri arwah itu diadakan, ialah bertujuan memohon rahmat kepada Allah Ta’ala bagi si mati dengan mengajak dan membawa orangramai khususnya sanak saudara berdoa untuk simati agar mendapat rahmat dari doa tersebut; selain itu mengeratkan lagi hubungan persaudaraan di kalangan sanak-saudara dan jiran. Maka dari sudut ini mengadakan majlis kenduri arwah itu adalah satu perbuatan yang baik dan digalakkan Islam. Jelasnya mengadakan kenduri arwah dan membuat jamuan itu jika tujuannya untuk membalas budi baik kepada orang dan jiran kepada si mati serta menghubungkan silaturahim tidaklah menjadi kesalahan dalam agama. Yang elok dan sunat pula, ialah kaum kerabat dan jiran menghantarkan makanan kepada ahli simati sebagai tanda simpati dan meringankan beban mereka …. Hadaf 2002, Tahun 6 no.1]

Bagaimana cara pahala bacaan sampai kepada si mati?

Orang-orang Islam sekarang membaca tahlîl mendoakan keampunan bagi si mati, dan membaca al-Qur’an dan pahalanya disedekahkan, atau dihadiahkan kepada si mati, dan bersedekah dan berkenduri makanan dan pahala keduanya dihadiahkan kepada si mati, maka tiadalah ada tegahan syara‘ padanya bahkan disuruh dan sunat bersedekah dan berdoa bagi mohon keampunan ke atas si mati dan juga orang Islam bersedekah, bertahlîl dan berkenduri dan membaca al-Qur’an seperti dalam majlis tiga hari, dan tujuh hari, dan empat puluh hari, kerana telah diriwayatkan daripada (at-Tâbi‘ al-Jalîl Mujâhid yang mati di Makkah tahun 102 atau 103 Hijrah) telah berkata: “Orang mukmin yang mati tetaplah langit dan bumi menangis akan kematiannya selama empat puluh pagi.” Ditanya orang: “Mengapa kamu menangis hai langit dan bumi?” Katanya: “Mengapa bumi tiada menangiskan seorang hamba Allah yang telah meng‘imârahkan bumi dengan ruku‘ dan sujud? Mengapa langit tiada menangiskan kematian seorang hamba Allah yang tasbîhnya (سبحان الله) dan takbîrnya (الله أكبر) menderam dan berderu seperti menderam bunyi burung lebah.” Orang bertanya: “Apa tanda langit menangis?” “Tandanya merah warna arah-arah langit itu.” Tamat.

Adapun orang yang bukan mukmin tiada beriman kepada Allah Ta‘ala, maka tiadalah langit dan bumi menangiskan dia, sebagaimana firman Allah Ta‘ala dalam perkara orang-orang Fir‘aun yang telah Allah menenggelamkan mereka.

فما بكت عليهم السمآءوالأرض - سورة الدخان: 29

Tafsirnya: “Tiadalah langit dan bumi menangiskan Fir‘aun dan orang-orangnya.” (Surah ad-Dukhân: 29)

Berkata al-Imam al-Khazin (asy-Syafi‘e yang mati tahun 741H dalam tafsirnya): “Kerana orang mukmin itu apabila dia mati, maka menangislah langit dan bumi empat puluh pagi, dan orang-orang Fir‘aun itu tiada ada apa amal salih mereka naik ke langit, maka tiadalah langit menangiskan kehilangan mereka, dan tiadalah ada apa amal salih mereka di atas muka bumi, maka tiadalah bumi menangiskan mereka.”

Daripada sahabat Anas bin Malik dalam hadits marfû‘:

مَامِنْ مُؤْمِنٍ إِلاَّوَلَهُ بَابَانِ. بَابٌ يَصْعَدُ مِنْهُ عَمَلُهُ وَبَابٌ يَنْزِلُ مِنْهُ رِزْقُهُ فَإِذَا مَاتَ بَكَيَا عَلَيِهِ فَذَلِكَ قَوْلُهُ: فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ السَّمَآءُ وَالأَرْضُ - رواه الترمذي

Maksudnya: “Orang mukmin ada mempunyai dua pintu, satu pintu naik amal ibadatnya dari pintu itu ke langit, dan satu pintu yang lain turun rezeki untuknya dari langit melalui pintu itu, maka apabila orang mukmin itu mati, maka menangislah kedua pintu-pintu itu, maka itulah tafsir pada firman Allah Ta‘ala:

فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ السَّمَآءُ وَالأَرْضُ

Kata qîl: “Yang menangiskan orang mukmin yang mati itu, ialah penduduk langit dan penduduk bumi.” Tamat.

Tersebut dalam kitab al-‘Awârif daripada sahabat Anas رضي الله عنه telah berkata: “Pada tiap-tiap pagi dan tiap-tiap petang, maka rantau-rantau bumi itu memanggil setengahnya akan setengahnya: “Adakah lalu seseorang yang memberi selawat di atas kamu (memberi salam), atau seseorang berkata zikir Allah kepada kamu?” Setengah rantau itu berkata: “Ya”, dan setengah rantau yang lain berkata: “Tiada”. Maka apabila rantau itu berkata: “Ya”, maka rantau itu telah ketahui bahawa dia telah dapat sesuatu kelebihan daripada rantau yang berkata: “Tiada”. Seseorang hamba Allah yang berkata zikir Allah pada mana-mana rantau bumi, atau ia berselawat ke atas rantau itu, (yakni memberi salam), maka rantau itu akan menjadi saksi di sisi Tuhan bagi orang itu pada Hari Kiamat, dan menangislah rantau (yang kena selawat dan diselubungi oleh zikir Allah) itu, ke atas orang yang berzikir dan berselawat pada hari orang itu mati.” Tamat.

Dan lagi tersebut dalam Nazhm al-Imam as-Suyuthi yang mati tahun 911H رحمه الله تعالى:

“Telah disebutkan oleh ‘Ubaid bin ‘Amru dari riwayat Ibnu Juraih (al-‘Âlim al-‘Allâmah al-Faqîh mati tahun 150H): “Bahawa orang mukmin dicuba dengan fitnah sepanjang masa tujuh hari, dan orang munâfiq difitnahkan dengan percubaan sehingga empat puluh hari.”

Katanya sebelum ini:

“Adalah sahabat-sahabat (رضي الله عنهم) telah berkata bahawa sunat diberi makanan akan orang dan berkenduri kerana si mati, sepanjang tujuh hari dari matinya, kerana menolong si mati daripada kesusahan percubaan fitnah di kubur itu.” Tamat

Maka perkataan at-Tâbi‘e al-Jalîl Mujâhid itu hingga akhir ibarat yang di atas ini, saya salinkan daripada perkataan al-Imam al-‘Ârif Billâh Ta‘ala al- ‘Allâmah al-Faqîh asy-Syeikh Ahmad ibn Ahmad ibn Ismail al-Hulwaniyi al-Khalijiyu asy-Syafi‘e al-Azhari yang mati tahun 1308H dalam kitabnya Wasâ’il ar-Rahamat fî ma Yuthlab li man Mât.

Kemudian katanya: “Dari apa yang saya sebutkan di atas ini, maka sayugialah si mati diraikan sehingga empat puluh hari, dengan bacaan al-Qur’an, bersedekah, berkenduri kerana si mati, itulah sedaya yang kita boleh menolong si mati itu, wallahu a‘lam.” Tamat.

Maka inilah satu-satu dalil di atas perbuatan orang Islam sekarang bersedekah, berkenduri, berdoa, membaca al-Qur’an, bertahlil kerana si mati dan pahalanya mereka berharap daripada Allah Ta‘ala menerimanya, dan mereka berniat, berqashad sedekahkan pahalanya itu kepada si mati itu. Dari itu hendaklah bacaan al-Qur’an, tahlil dan sedekah dan kenduri itu diniatkan pahalanya disedekahkan kepada si mati supaya sampai pahala itu kepada si mati.”

Khusus dalam hal ini, sama ada amalan mengadakan kenduri arwah atau mengeluarkan wang kepada orang-orang yang menyembahyangkan mayat, hendaklah mengambil kira semuanya itu tidak memberatkan atau membebankan kepada keluarga atau ahli waris si mati. Firman Allah:

لاَيُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًاإِلاَّوُسْعَهَا – سورة البقرة: 286

Tafsirnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”(Surah al-Baqarah: 286)

أَنَا وَأُمَّتِي بُرَآءٌ مِنَ التَّكَلُّفِ

Hal ini juga sesuai dengan ajaran dan pimpinan Rasulullah صلى الله عليه وسلم sebagaimana disebutkan oleh hadits di atas iaitu: Maksudnya: “Aku dan umatku bersih daripada sebarang perbuatan yang memberatkan.”


Tuan Guru Hj Wan Muhammad Saghir – Hilangnya Sebutir Permata

Khamis, 24 Rabi`ul Awwal 1428 bersamaan 12 April 2007, kita dikejutkan dengan berita sedih, pergi buat selamanya tokoh ilmuwan, iahli tarikh ulama Nusantara dan karya-karya mereka iaitu Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir bin Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Abdurrahman bin Wan Abu Bakar bin Haji Taksim. Beliau adalah merupakan cucu kepada seorang ulama besar Melayu dan tersohor di Makkah iaitu al-‘Alim al-‘Allamah Shaikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain bin Wan Musthafa al-Fathoni. Ibundanya Hajjah Wan Zainab adalah merupakan anakanda kepada al-‘Alim al-‘Allamah Shaikh Wan Ahmad al-Fathoni.


Atas pemintaan beliau sendiri, jenazahnya telah dikebumikan di Pondok Pak Chu Him Gajah Mati, Kedah iaitu bersebelahan dengan kubur datuk saudara sepupunya iaitu Tuan Guru Wan Ibrahim @ Pak Chu Him. Ada sepotong hadits berbunyi:

ادفنوا موتاكم وسط قوم صالحين فإن الميت يتأذي بالجار السوء

“Kebumikanlah simati dari kalangan kamu ditengah-tengah kaum yang sholeh, kerana sesungguhnya mayat itu merasai sakit disebabkan jirannya (jiran kuburan) yang jahat.” – Hadits riwayat Abu Nuaim daripada Malik bin Anas daripada Nafi’ bin Malik daripada ayahnya daripada Abu Hurairah رضي الله عنه .

Tuan Guru Shaikh Wan Ibrahim adalah merupakan saudara sepupu dengan datuk beliau Shaikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain. Shaikh Wan Ibrahim bin Wan Abdul Qadir bin Wan Musthafa al-Fathoni atau lebih mesra dengan panggilan Pak Chu Him adalah merupakan adik kepada seorang ulama yang terkenal dibumi Makkah iaiiu Shaikh Wan Ismail atau dikenali dengan Pak Da El.


Jasa besar Tuan Guru Hj Wan Muhammad Saghir kepada umat Islam di alam Melayu ini adalah meneruskan perjuangan datuknya Shaikh Wan Ahmad untuk memperkenal dan menerbitkan kitab-kitab karangan ulama alam Melayu. Usaha memperkenal dan memertabatkan ulama alam Melayu serta kitab-kitab karangan mereka sangat memberi manfaat kepada umat islam diMalaysia khususnya dan alam melayu amnya. Dan adanya usaha murni ini, generasi kini kita dapat terus menghargai dan menghayati jasa-jasa yang ditaburkan oleh ulama alam melayu dalam menyebarkan agama Islam. Beliau melakukan semua ini dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan habuan keduniaan. Beliau sangat gigih untuk memperkenalkan jasa para ulama alam Melayu, hinggakan walaupun beliau uzur, terpaksa dipapah, beliau tetap akan datang apabila dijemput untuk membentangkan kertaskerja mengenai ulama Melayu.

Semoga hasrat beliau agar genarasi kini dan akan datang mengenali khazanah ulama silam akan tercapai. InsyaAllah.

Sesungguhnya pemergian beliau sangat terasa, terutama bagi mereka yang menadah kitab kepadanya, yang sering berbual berbincang dengannya, yang sering mengikuti karya-karya serta tulisan beliau ….
Sesungguhnya padaku, hilangnya susah dicari ganti …….. al-Faatihah buat Tuan Guru. Semoga tuan ditempatkan bersama-sama dengan para kekasihNya dari kalangan para anbiya’ dan shiddiqin dan syuhada’ dan sholihin. آمين

اللهم اغفر له و ارحمه و اجعل قبره روضة من رياض الجنة

Selasa, 10 April 2007

ADAB ORANG YANG BELAJAR ILMU -2



(Adapun) adab orang yang belajar ilmu serta gurunya yang mengajar akan dia itu beberapa perkara, tetapi disebutkan oleh Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى di dalam Bidayah al-Hidayah sebelas perkara.

(Pertama) apabila berdapat [bertemu] dengan gurunya, maka hendaklah mendahului memberi salam.

(Kedua) bahwa jangan membanyakkan berkata-kata pada hadapan gurunya itu.

(Ketiga) bahwa jangan ia berkata dengan barang yang tiada izin oleh gurunya.


(Keempat) jangan ia bertanya akan gurunya melainkan kemudian daripada meminta izin daripada [guru]nya.

(Kelima) bahwasanya jangan ia menyangkal akan perkataan gurunya itu dengan katanya, “si polan menyalahi akan [menyatakan lain daripada apa] yang engkau kata itu”, atau barang sebagainya.

(Keenam) bahwa jangan ia memberi isyarat akan gurunya itu dengan menyalahi akan bicara gurunya, lalu menyangka-i bahwa [dia] terlebih benar daripada gurunya; atau terlebih tahu ia daripada gurunya. Maka yang demikian itu kurang adab kepada gurunya lagi kurang berkat.

(Ketujuh) bahwa jangan ia berbisik-bisik dengan orang yang sama duduk pada hadapan gurunya itu.

(Kedelapan) bahwa jangan ia berpaling ke kiri dan ke kanan pada hadapan gurunya itu, hendaklah ia duduk tunduk lagi beradab seolah-olah ia di dalam sembahyang.

(Kesembilan) bahwa jangan ia membanyakkan pertanyaan kepada gurunya itu tatkala segan [kurang suka] gurunya itu daripada berkata-kata, atau tatkala ia lelah [letih atau penat].


(Kesepuluh) apabila berdiri gurunya atawa [atau] baharu datang gurunya itu kepada kita, maka hendaklah ia berdiri pula kerana menta’dzimkan akan gurunya itu, dan jangan diikuti pada ketika bangkitnya itu dengan pertanyaan dan soal, dan jangan bertanya masalah pada ketika ia berjalan hingga sampai kepada tempat duduknya itu, melainkan kerana dharurat [terpaksa] maka iaitu tiada tertegah bertanya di dalamnya.

(Kesebelas) jangan jahat sangka akan gurunya itu pada segala perbuatannya yang dzahir menyalahi i’tiqadnya, atau bersalahan perbuatan gurunya itu pengetahuannya, atau dengan adatnya, kerana gurunya itu terlebih tahu dengan segala hukum syara’ dan segala rahsia syariat, (seperti) hikayat Nabi Musa dan Nabi Khidhir عليهما السلام. Maka bahwasanya perbuatan Nabi Khidir عليه السلام memasukkan [merosakkan] akan perahu orang yang tempat ia menumpang akan dia [ perahu orang yang memberi mereka tumpang naiki dalam kejadian yang pertama], dan membunuh ia akan kanak-kanak yang belum berdosa; maka dzahir perbuatan Nabi Khidir عليه السلام itu menyalahi ia akan syariat. Dan sebab itu maka menegur Nabi Musa عليه السلام akan dia pada permulaan [pertemuan mereka]. Tetapi pada hakikatnya, tiada menyalahi ia akan syariat. Dan dengan sebab itulah bahwa Nabi Musa عليه السلام pada akhir perbuatannya itu membenarkan akan Nabi Khidir عليه السلام itu serta taslim ia akan dia.

_______

[Catatan: Kisah pershahabatan atau bergurunya Nabi Musa عليه السلام kepada Nabi Khidhir عليه السلام ini adalah merupakan kisah dua orang Nabi عليهما السلام yang ma’sum, yang mendapat wahyu dari Allah. Kisah ini dibawakan adalah sebagai ibarat untuk menjelaskan adab seseorang murid dengan guru, dimana untuk menyatakan hakikat bahwa guru yang dipimpin oleh Allah (mursyid) biasanya lebih faham akan rahsia syariat. Dan jangan terburu-buru untuk menyalahinya. Dan juga untuk memberi pengajaran, walau hebat mana dan tinggi mana sekalipun ilmu seseorang, maka dia janganlah kagum dan lalai dengan ilmunya yang ada, dan hendaklah menyedari bahwa diatas setiap orang yang berilmu itu ada lagi yang lebih berilmu. Apatah lagi kita yang tiada ilmu ini, janganlah semberono menyanggah pendapat-pendapat ulama. Beradablah dengan ’ulama! Beradablah dengan para ’ulama! Beradablah dengan ’ulama! Adapun tentang kisah antara Nabi Musa dan Nabi Khidhir عليهما السلام ini memerlukan satu penulisan yang lain mengenainya - insyaAllah andaikata ada kesempatan dan keizinanNya. والله أعلم]

[Dipetik dari kitab Sairus Salikin, Juzuk 1, halaman 15–16; karangan Shaikh Abdusshamad al-Falimbani; Cetakan Sulaiman Mar’ie; 1953M – 1372H]

وماتوفيقي إلابالله عليه توكلت وإليه انيب
- abu zahrah –

ADAB ORANG YANG BELAJAR ILMU -1




(Bermula) fasal yang kedua pada menyatakan adab orang yang belajar ilmu, dan adab orang yang mengajar akan ilmu


(Adapun) adab orang yang belajar ilmu itu maka iaitu terbahagi dua bahagi, (pertama) adab yang tertentu pada dirinya, (kedua) adab [ber]serta gurunya yang mengajar akan dia.


(Adapun) adab yang tertentu bagi dirinya itu tujuh perkara.


(Bermula adab yang pertama) itu menyucikan hati daripada sifat yang kejahatan dan segala perangai yang kecelaan di dalam hati seperti riya’ dan ‘ujub dan kibir dan hasad dan lainnya daripada segala sifat kecelaan. Dan membaiki hati dengan bersifat akan sifat yang kepujian seperti ikhlas dan benar dan zuhud dan warak dan tawadhu’ dan lainnya daripada segala sifat yang kepujian yang lagi akan datang bicaranya sekeliannya itu ان شاء الله تعالى di dalam kitab ini, kerana ilmu itu iaitu setengah daripada ‘ibadat yang bathin. Dan tiada sah ‘ibadat melainkan dengan suci daripada najis seperti sembahyang maka tiada sah ia melainkan dengan suci daripada najis yang dzahir pada tempatnya, dan badannya, dan kainnya. Dan demikian lagi ilmu itu iaitu ‘ibadat yang bathin, maka iaitu tiada sah ia melainkan dengan suci daripada najis yang di dalam bathin, yakni di dalam hati, dan segala sifat kejahatan yang di dalam hati itu najis, seperti firman Allah Ta’ala:

إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ

Artinya: “Hanya sungguhnya orang yang syirik itu najis.” [Surah at-Taubah:28] di dalam hatinya dan jikalau ada badannya dan kainnya itu suci sekalipun.



Dan kata Imam Al-Ghazali رحمه الله تعالى: “Menyatakan Allah Ta’ala di dalam ayat [diatas], bahwasanya najis itu tiada tertentu kain dan pada dzahir badan; maka selama tiada suci hati itu daripada sifat kejahatan itu maka iaitu [tiada] menerima ia akan ilmu yang memberi manafaat pada agama dan tiada terang hatinya itu nur ilmu itu.”

Dan dari kerana inilah kata Ibnu Mas’ud رضى الله عنه :


لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ ، إِنَّمَا الْعِلْمُ نُوْرٌ يُقْذَفُ فِي الْقَلْبِ

Artinya: “Tiada didapat ilmu itu dengan membanyakkan riwayat dan membanyakkan mengaji kitab, hanya sanya dapat ilmu itu dengan nur yang ditaruhkan Allah Ta’ala di dalam hati.”



(Dan adab yang kedua) mengkosongkan hati daripada masyghul kepada dunia, dan menjauh daripada masyghul dengan anak isterinya, dan daripada jual beli dan daripada segala yang membimbangkan akan hati supaya selesai hatinya bagi menuntut ilmu; kerana firman Allah Ta’ala [Surah Al-Ahzab, ayat 4 ]:


مَّا جَعَلَ اللهُ لِرَجُلٍ مِّنْ قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ

Artinya: “Tiada menjadikan Allah Ta’ala bagi laki-laki itu daripada dua hati di dalam rongganya.” [Surah al-Ahzab:4] Yakni, tiada masuk ilmu itu di dalam hati seorang Islam [yang] bimbang ia akan suatu yang lain daripadanya



(Dan adab yang ketiga) hendaklah orang yang belajar ilmu itu merendahkan dirinya dan menghinakan dirinya, dan jangan membesarkan diri atas suatu ilmu yang didatangkan oleh gurunya itu, yakni jangan mengata ia di dalam hatinya “ilmu ini kecil atau kitab ini kecil kerana aku telah banyak pengajianku, mengapa guruku itu menyuruh akan daku mengaji kitab kecil ini?”


(Dan) hanyasanya sayogianya murid itu menerima barang yang diajarkan oleh gurunya itu, dan yang disuruh oleh gurunya itu; dan jangan menyangkal akan gurunya, dan jangan memerintah gurunya itu suatu ilmu yang hendak dibacanya, atau kitab yang hendak dibacanya, dan hanya sungguhnya serahkan kehendaknya itu kepada gurunya; dan yang disuruhkan akan mengaji itu maka menerimalah ia akan dia.


(Dan sayogianya) bagi murid itu bahwa mengekali atas berkhidmat akan gurunya supaya dapat berkat daripada gurunya itu, kerana adalah Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Abbas رضى الله عنهما berkhidmat akan gurunya Sayyidina Zaid bin Tsabit رضى الله عنه. Pada tiap-tiap berjalan gurunya itu, maka Sayyidina ‘Abdullah bin Abbas رضى الله عنهما menghampirkan akan kenderaan gurunya itu supaya berkendaraan gurunya itu serta memimpin ia akan kenderaan gurunya itu. Maka berkata Sayyidina Zaid bin Tsabit رضى الله عنه: “Lepaskan olehmu hai anak mamak [anak bapa saudara] Rasulullah صلى الله عليه وسلم Maka jawab Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Abbas رضى الله عنهما: “Demikianlah disuruh akan kami perbuat dengan orang yang besar kami dan guru atau ‘ulama kami.” Maka lalu mencium Sayyidina Zaid رضى الله عنه itu akan tangan Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Abbas رضى الله عنهما serta ia berkata: “Demikianlah disuruh akan kami bahwa kami perbuat dengan ahli bait Nabi صلى الله عليه وسلم, dan kerabat penghulu kami صلى الله عليه وسلم.”
(Dan) lagi sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :


لَيْسَ مِنْ أَخْلاَقِ الْمُؤْمِنِ التَّمَلُّقُ إِلاَّ فِيْ طَلَبِ الْعِلْمِ

Artinya: “Tiada daripada sifat [tiada patut] orang yang mu’min itu menghinakan dirinya dengan sebab menuntut akan suatu hajat kepada manusia melainkan pada menuntut ilmu.” [Hadits riwayat ibn ‘Adiy, dhoif menurut takhrij al-‘Iraqi]



(Dan adab yang keempat) bahwa memeliharakan daripada mendengarkan ilmu yang kebanyakan ‘ulama` bersalah-salahan di dalamnya(1) kerana yang demikian itu membawa kepada dahsyat(2) dan hairan. Dan yang demikian tiada menghasilkan akan faedah ilmu. Lagipun, yang demikian itu membawa susah hati, tiada dapat satu yang dipegang. Tetapi sayogianya bagi orang yang mubtadi(3) pada jalan akhirat itu menuntut ilmu yang menselesaikan hati(4) kepada ‘ibadat, dan jangan menqasadkan menuntut ilmu itu kerana berkehendak mengetahui perkataan yang bersalah-salahan ‘ulama jua.


(Dan adab yang kelima) bahwa jangan meninggalkan daripada menuntut segala fan(5) yang dipuji oleh syara’ itu. Jika berkehendak ia mahir kepada ilmu [yang lain], tetapi [hendaklah yang perkara itu dilakukan] kemudian daripada selesai ia daripada menuntut ilmu fardhu ‘ain yang memberi manfaat, dan kemudian daripada meng’amalkan dia seperti yang telah engkau ketahui ilmu yang memberi manfaat itu dahulu.(6) dan lagi jika ada lapang waktunya yang lebih daripada mengerjakan auradnya, kerana yang demikian itu daripada fardhu kifayah. Dan maklum fardhu ‘ain itu dahulu daripada [fardhu] kifayah.(7)


(Dan adab keenam) itu, hendaklah ia sungguh-sungguh ia menuntut ilmu yang memberi manfaat di dalam akhirat seperti yang telah terdahulu kenyataan itu. Bermula ilmu yang memberi manafaat itu iaitu ilmu yang tersebut di dalam kitab ini, dan yang tersebut di dalam Ihya’ Ulumiddin dan ilmu yang tersebut di dalam kitab al-Arba’in al-Ushul [al-Arbain fi Ushuliddin] dan yang tersebut di dalam kitab Lubab iaitu Mukhtasor Ihya’ Ulumiddin yang hamba terjemahkan akan dia di dalam kitab ini. Dan lagi, ilmu yang memberi manfaat itu iaitu ilmu yang tersebut di dalam Bidayah al-Hidayah, dan ilmu yang tersebut di dalam Minhaj al-‘Abidin dan lainnya daripada segala kitab ilmu tashawwuf. Dan barangsiapa masyghul(8) di dalam menuntut fan ilmu tashawwuf ini nescaya memada[i]lah baginya daripada ilmu yang lain dan tiada berkehendak kepada ilmu yang lain daripadanya kerana telah berhimpun di dalamnya ilmu ushuluddin iaitu i’tiqad dan ilmu fiqah iaitu ilmu ‘ibadat dan ilmu mu’amalah dan ilmu suluk dan thoriqat. yang membawak kepada ilmu mukasyafah dan kepada ilmu haqiqat. (Dan) dari kerana inilah kata Imam Al-Ghazali رحمه الله تعالى:


وَالْمُعَامَلَةُ تُؤَدِّىْ إِلى الْمُكَاشَفَةِ ؛ وَالْمُكاَشَفَةُ مَعْرِفَةُ اللهِ تَعَالى ؛ وَذَلِكَ نُوْرٌ يَقْذِفُهُ اللهُ فِي الْقَلْبِ بِالْعِبَادَةِ وَالْمُجَاهَدَةِ ؛ وَذَلِكَ الَّذِىْ يُوَصِّلُ إِلِى رُتْبَةِ إِيْمَانِ أَبِيْْ بَكْرٍ الصِّدِّيْقِ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ ؛ الَّذِىْ لَوْوُزِنَ بِإِيْمَانِ أَهْلِ اْلأَرْضِ لَرَجَحَ ؛ وَذَلِكَ لِسِرٍّقَرَّفِيْ صَدْرِهِ ؛ لاَلِتَرْتِيْبِ الْبَرَا هِيْنِ وَالْحُجَجِ

Artinya: “Bermula ilmu mu’amalah, yakni ilmu dan ‘amal itu, membawa kepada ilmu al-mukasyafah dan mukasyafah itu iaitu dibuka Allah Ta’ala hati seseorang dengan ma’rifat Allah Ta’ala, yakni mengenal Allah Ta’ala. Dan demikian itu nur yang ditaruhkan Allah Ta’ala di dalam hati dengan sebab berbuat ‘ibadat dan mujahadah, yakni dengan memerangi hawa nafsunya dan melawan syaithan. Dan demikian itu yang menyampaikan kepada martabat iman Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq رضى الله عنه, yang iaitu jikalau ditimbang imannya dengan iman segala isi bumi nescaya berat imannya itu. Dan demikian itu kerana rahsia yang tetap di dalam hatinya itu, tiada dengan sebab mendirikan burhan dan dalil.”

(Dan) dari kerana inilah kata Sayyidi ash-Shaikh Abu al-Hasan ash-Shadhili رحمه الله تعالى :


إِنَّا لَنَنْظُرُ إِلى اللهِ تَعَالى بِبَصَرِ اْلإِيْمَانِ وَ اْلإِيْقَانِ فَأَغْنَانَا عَنِ الدَّلِيْلِ وَالْبُرْهَانِ

Artinya: “Bahwa sungguhnya kami melihat kepada Allah Ta’ala dengan penglihatan iman dan yaqin maka terkaya kami daripada dalil dan burhan ”

(Dan) kata Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى:


وَاعْلَمْ أَنَّ أَشْرَفَ الْعُلُوْمِ وَغَايَتَهَا مَعْرِفَةُ اللهِ تَعَالى، وَهُوَ بَحْرٌ لاَيُدْرَكُ مُنْتَهى غَوْرِهِ. وَأَقْصى دَرَجَاتِ الْبَشَرِ فِيْهِ اْلأَنْبِيَاءُ ثُمَّ اْلأَوْلِيَاءُ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْ نَهُمْ .

Artinya: “Dan ketahui olehmu bahwasanya yang terlebih mulia daripada segala ilmu dan kehinggaan(9) darjat segala ilmu itu iaitu ma’rifat Allah Taala, yakni mengenal akan Allah Ta’ala dengan pengelihatan nur iman yang di dalam hati. Dan iaitu seperti laut yang tiada dapat dihinggakan kehinggaan(10) dalamnya itu. Dan bermula sehingga-hingga(11) darjat manusia dalamnya itu martabat segala anbiya’, kemudian aulia’, kemudian yang mengiringi mereka itu.”


(Dan adab yang ketujuh) maka sayogianya bahwa adalah qasad orang yang belajar ilmu itu semata-mata kerana Allah Ta’ala, yakni kerana menjunjung titah Allah Ta’ala dan kerana negeri akhirat dan kerana membaikkan dzahirnya itu dengan ‘ibadat kepada Allah Ta’ala dan membaikkan bathinnya, yakni hatinya itu, dengan bersifat segala sifat yang kepujian, dan menyucikan dengan segala sifat kecelaan, serta hadhir kepada Allah Ta’ala. Dan yang demikian itu menyampaikan kepada ma’rifat Allah Ta’ala, dan kepada martabat yang tinggi serta malaikat al-Muqarrabin. Dan jangan qasadnya menuntut ilmu itu kerana [hendak] [men]jadi penghulu orang dan supaya jadi orang besar, dan dapat kemuliaan, dan dapat [h]arta, dan dapat kemegahan. Dan kerana inilah kata Imam al-Ghazaliرحمه الله تعالى di dalam Bidayatul Hidayah:


إِنْ كُنْتَ تَقْصِدُ بِطَلَبِ الْعِلْمِ اَلْمُنَافَسَةَ أَيْ الْمُغَالَبَةَ وَالْمُبَاهَاتِ أَيْ الْمُفَاخَرَةَ ، وَالتَّقَدُّمَ عَلى اْلأَقْرَانِ وَاسْتِمَالَةَ وُجُوْهِ النَّاسِ إِلَيْكَ وَجَمْعَ حُطَامِ الدُّنْيَا ، فَأَنْتَ سَاعٍ فِيْ هَدْمِ دِيْنِكَ وَإِهْلاَكَ نَفْسِكَ وَبَيْعِ آخِرَتِكَ بِدُنْيَاكَ ، فَصَفْقَتُكَ خَاسِرَةٌ ، وَتِجَارَتُكَ بَائِرَةٌ ، وَمُعَلِّمُكَ مُعِيْنٌ لَكَ عَلى عِصْيَانِكَ ، وَشَرِيْكٌ لَكَ فِيْ خُسْرَانِكَ ، وَهُوَ كَبَائِعِ سَيْفٍ مِنْ قَاطِعِ طَرِيْقٍ . وَمَنْ أَعَانَ عَلى مَعْصِيَةٍ وَلَوْ بِشِطْرِ كَلِمَةٍ كَانَ شَرِيْكاًلَهُ فِيْهَا

Artinya: “Jika ada qasadmu dengan menuntut ilmu itu iaitu munafasah, yakni hendak menang daripada berbantah-bantahan dan bermegah-megahan dan terdahulu daripada orang yang sama-sama, dan berkehendak cenderung muka manusia kepadamu, yakni berkehendak dikasihi oleh orang dan berkehendak menghimpunkan kekayaan dunia, maka adalah qasadmu akan yang demikian itu mengusahai dalam merobohkan agamamu dan membinasakan akan dirimu dan adalah engkau jual akhiratmu itu dengan duniamu. Maka perjualanmu itu sangat rugi dan perniagaanmu tiada laba [untung] dan orang yang mengajar akan dikau itu menolong atas engkau berbuat ma’siatmu dan jadilah ia sekutu bagimu di dalam kerugianmu dan iaitu seperti orang yang menjual pedang kepada orang yang merampas di jalan dan yang demikian itu jadi ma’siat. Dan barangsiapa menolong ia atas seorang yang berbuat ma’siat jika dengan setengah kalimah sekalipun nescaya adalah bersekutu baginya di dalam berbuat maksiat.”

Dan lagi kata Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى:


وَإِنْ كَانَتْ نِيَّتُكَ وَقَصْدُكَ بَيْنَكَ وَبَيْنَ اللهِ تَعَالى مِنْ تَعَلُّمِ الْعِلْمِ الْهِدَايَةَ ، دُوْنَ مُجَرَّدِ الرَّوَايَةِ فَأَبْشِرْ فَإِنَّ مَلاَئِكَةَ السَّمَاءِ تَبْسُطُ لَكَ أَجْنِحَتَهَا إِذَامَشَيْتَ وَحِيْتَانُ الْبَحْرِ تَسْتَغْفِرُلَكَ إِذَا سَعَيْتَ

Artinya: “[Dan] jika ada niatmu dan qasadmu antaramu dan antara Allah Ta’ala daripada menuntut ilmu dan belajar akan dia akan berkehendak hidayah, yakni berkehendak petunjuk daripada Allah Ta’ala pada berbuat ‘ibadat pada dzahir dan ‘ibadat bathin, bukan semata-mata riwayat, yakni bukan tuntutmu [niatmu] itu mengqasad hendak berceritera [bercerita] jua maka ketika itu sukai olehmu, bahwasanya segala malaikat yang di dalam langit itu menghamparkan ia bagimu akan sayapnya apabila engkau berjalan dan adalah segala ikan di laut mengucap istighfar bagimu, yakni meminta ampun akan Allah Ta’ala bagimu, apabila engkau usahai akan belajar ilmu yang memberi manafaat itu.”


(والله النافع)

Bersambung dalam siri seterusnya, insyaallah …… (Dan adapun) adab orang yang belajar ilmu serta gurunya yang mengajar akan dia itu beberapa perkara …..



[Dipetik dari kitab Sairus Salikin, Juzuk 1, halaman 12–15; karangan Shaikh Abdusshamad al-Falimbani; Cetakan Sulaiman Mar’ie; 1953M – 1372H]


وماتوفيقي إلابالله عليه توكلت وإليه انيب
- abu zahrah -

____________________________________

Notakaki:

(1) Ikhtilaf di kalangan para ‘ulama`; al-Masailul khilafiyyah.

(2) Bingung

(3) Permulaan atau baru belajar; maksudnya salik yang mubtadi

(4) Yakni mempelajari ilmu-ilmu asas atau fardhu ain agar dengannya dapat berpegang dengan satu pendapat yang mu’tamad supaya ia dapat beribadah dengan sempurna dan hati yang tenang tiada was-was.

(5) Jenis atau bidang ilmu

(6) Yakni mengamalkan dahulu ilmu-ilmu fardhu ‘ain yang telah dipelajari itu.

(7) Maksudnya setelah mempelajari ilmu fardhu ain, maka langkah seterusnya adalah mengamalkannya ilmu tersebut. Dan bagi seorang salik dituntut juga memperbanyakkan dzikrullah yakni melakukan aurad (wirid-wirid) harian sebagaimana yang diajarkan oleh gurunya. Maka andaikata seseorang salik itu ingin mendalami sesuatu ilmu dengan lebih mendalam, untuk mendalami pelbagai perbahasan masalah dan ikhlilaf para ’ulama, maka hendaklah dipenuhi tuntutan diatas dahulu. Kerana menuntut sesuatu bidang ilmu agama secara lebih mendalam yang melebihi tahap fardhu ‘ain hanya jatuh hukumnya fardhu kifayah sahaja. Tetapi andaikata didalam masyarakat tempat tinggalnya dalam lingkungan 2 marhalah, tiada yang dapat memenuhi tuntutan fardhu kifayah itu, dan dia mempunyai kekuatan atau kebolehan untuk belajar maka fardhu ain keatasnya untuk belajar ilmu tersebut, terutamanya dalam persoalan ilmu usuluddin secara tafshil bagi menolak akan aqidah yang bid’ah dan yang sesat dan ilmu feqah dan seterusnya وألله اعلم

(8) Menyibukkan diri


(9) Kemuncak


(10) Dijangkau


(11) Setinggi-tinggi

Related Posts with Thumbnails