Showing posts with label Promosi dan Pemasaran Bisnes. Show all posts
Showing posts with label Promosi dan Pemasaran Bisnes. Show all posts

Monday, October 14, 2013

Resipi pengikat kasih sayang

Teks: Aishah Hussein

Alhamdulillah, cuaca baik setiap hari, panas mahu pun hujan adalah baik juga.  Setiap yang berlaku ada kebaikan di sebaliknya.

Bersyukur kepada yang diberi peluang oleh Allah untuk berpuasa sunat hari ini.  Bagi yang tidak berpeluang, masih ada peluang untuk mendapat pahala yang sama.

Sediakan keperluan bersahur, keperluan untuk berbuka kepada mereka yang berpuasa juga akan diberi pahala.  Mudah-mudahan akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa.

Inshaallah, esok kita akan menyambut Hari Raya Aidil Adha, iaitu Hari Raya Korban.  Ramai yang sudah pulang ke kampung dan ada juga yang hanya beraya di rumah sendiri.  Bagi kami hanya beraya di sini sahaja.  Pada mulanya berpakat-pakat adik-beradik hendak beraya di kampung (ayah bonda mertua semua sudah tiada, jadi bila hendak beraya di kampung kami akan merancang dahulu).  Tetapi sudah ditentukan Allah, kerana ada komplikasi dengan haiwan yang hendak dikorbankan di kampung, kami menukar rancangan untuk melakukan di KL sahaja.

Lega juga saya dengan perancangan Allah ini.  DIA memudahkan bagi Along juga.  ALong akan berangkat pulang ke bumi Anbiya' raya ke 2.  Moga dengan ini, akan memberi peluang Along untuk berkemas barang dengan tenang, tidak perlu bergegas-gegas.

Hari ini, tiada persiapan masak rendang.  Malam nanti baru bersiap-siap untuk masak Stew Daging, mengikut selera angah dan mungkin masak nasi minyak untuk dimakan bersama stew. Apa-apa hidangan juga adalah rezeki, yang penting adalah air tangan kita sendiri yang sediakan untuk keluarga.   Apa juga yang ibu masak, memang sedap di lidah anak-anak.  Walau ke mana mereka pergi, hidangan yang dimasak oleh ibu juga yang dirindui.

Saya sudah ada anak yang sudah tinggal berjauhan.  Apabila along hendak pulang ke Malaysia, senarai makanan yang hendak dia makan sudah dimasukkan ke dalam blog dia.  Kebanyakannya semua yang saya pernah masak untuk keluarga.  Itu lah tanda yang masakan seorang ibu memang telah memikat perut dan hati anak-anak.  Apa yang orang lain masak tidak sama dengan apa yang ibu sendiri masak.  Walaupun hanya tumis sambal ikan bilis.

Benar lah seperti yang dikatakan  Pn Roza, ia Bukan Sekadar Resipi, tetapi ia adalah pengikat kasih sayang.



Alhamdulillah, pendaftaran kami dibuka setiap hari untuk dua kelas berikut:
1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog dan fanpage untuk mula bisnes

Kelas bersiaran secara online sahaja setakat ini.
PROMOSI Oktober sudah berlangsung bermula 13 Oktober 2013.
Dengan setiap pendaftaran di kelas, akan dapat percuma ebook 101 Idea Home-based Bisnes.
Selepas promosi, ebook ini perlu dibayar.

PM Aishah Hussein untuk pendaftaran

Monday, June 10, 2013

Percutian sudah berakhir, set minda untuk kembali fokus

Teks: Aishah Hussein

Syukur hari ini kita dapat berjumpa lagi.  Setelah sibuk di hujung minggu kini kembali kepada rutin asal.  Cuti 2 minggu membuatkan badan ini sedikit liat untuk bergerak cergas menyiapkan kelengkapan anak-anak ke sekolah.  Ini sudah kira terbalik, emak budak pula yang liat, sedangkan anak-anak sudah siapkan segala beg-beg dari malam tadi.

Sebelum tidur malam tadi ibu sudah menyuruh adik setkan minda.  Selepas dia membaca semua surah yang telah dia hafaz, saya suruh dia beritahu pada diri sendiri, "esok saya mudah bangun solat Subuh.  Esok saya seronok untuk pergi ke sekolah".

Pagi ini memang adik mudah bangun Subuh.  Sampai depan tempat transit pun boleh terus keluar kereta ambil beg dan masuk dalam mandi.  Senyum manis aje muka adik hari ini.  Kalau tak selalunya muka mengantuk dan silap-silap haribulan ada sahaja kesilapan yang dicarinya setiap pagi.  Alhamdulillah pagi ini mood dia ceria.

Untuk ibu, pagi ini sudah set minda untuk siapkan mana-mana tugasan yang masih sangkut.  Dan projek doorgift masih berterusan.  Projek brownies sentiasa datang walaupun bukan setiap hari, saya bersyukur kerana Allah memakbulkan doa saya.  Apa yang saya doa, "Ya Allah, mohon kurniaMU agar diberikan rezeki dari segenap arah untuk segala hal dunia dan akhirat mengikut kemampuanku ya Allah, hanya engkau yang lebih mengetahui yang terbaik buat diriku". 

Saya tahu jika Allah memberi saya tempahan yang banyak, saya sendiri juga tidak mampu lakukannya kerana keadaan kesihatan saya.  Tetapi sesungguhnya DIA yang lebih mengetahui, jika dia memberi juga tempahan yang banyak, dia juga yang akan memberikan bantuan kepada saya.

In shaa allah, minggu ini juga Allah kirimkan bantuan tenaga kepada saya,  dari Mesir datangnya tapi bukan asalnya ya.  Saya harap dengan bantuan dia, saya dapat fokus kepada fasa akhir ebook saya sambil menyiapkan tempahan dan juga membuat penghantaran beberapa tempahan produk-produk yang lain.  Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar.  Sahabat-sahabat yang menyokong dan turut mendoakan kejayaan saya, saya ucapkan terima kasih.  Moga kalian juga akan berjaya dunia akhirat.

Ebook 101 Idea Bisnes Makanan
Mula terbit secara rasmi 30 Jun 2013!

Pre Order sekarang hanya dengan RM30.
 

Tuesday, June 4, 2013

Pahit getir memulakan bisnes makanan

Teks: Aishah Hussein

Sumber Ebook 101 Idea Bisnes Makanan
 http://101ideabisnesmakanan.blogspot.com/

Kek Chocolate Moist Kaw

Tidak dinafikan walaupun tempahan yang diterima tidak pernah putus, tetapi saya juga mengalami beberapa masalah dalam membahagikan masa antara kerja pejabat dan perniagaan ini. Bebanan dan stres di tempat kerja kadang kala menjejaskan tumpuan saya untuk bergerak lebih pantas dalam perniagaan ini. Tambahan pula masa saya agak terhad. Saya hanya dapat menumpukan kepada perniagaan di sebelah petang sahaja.

Saya mengedarkan flyers di kedai-kedai berhampiran pejabat, di pejabat-pejabat dan sesiapa sahaja yang saya jumpa bagi memperkenalkan produk ini. Walaupun agak letih, tapi saya tetap bersabar. Terdapat juga ejekan dari rakan-rakan, mengatakan berniaga seperti ini tidak “glamour”. Tidak sesuai dengan status saya yang bekerja pejabat. Bagi mereka mungkin mengandaikan gaji yang saya terima adalah tinggi, tetapi hakikatnya saya perlu membuat semua ini bagi menjana pendapatan tambahan  kerana gaji yang saya terima dari pekerjaan tetap saya tidaklah setinggi seperti yang disangka.

Ketika itu saya tidak mempunyai kereta. Jika terdapat tempahan dari yang memerlukan saya membuat penghantaran kek,  saya terpaksa membawa kek tersebut hanya menggunakan motosikal. Kadangkala kek terjatuh dan rosak, dan saya terpaksa gantikan dengan kek yang baru. Jika tempahan lebih dari dua biji, saya perlu berulang alik menghantar kek memandangkan pengangkutan yang ada pada ketika itu hanyalah motosikal. Kesusahan yang saya alami itulah yang menjadi pendorong dan pembakar semangat saya untuk berjaya. 

Saya mula mengorak langkah ke depan dengan menyewa tapak jualan di bazar Ramadhan. Dengan pengalaman yang masih sedikit ketika itu, saya keraskan hati untuk bersaing dengan peniaga-peniaga lain yang lebih otai dan sudah ada pelanggan tetap. Produk saya hanya Kek Coklat Moist Kaw. Tanpa disangka-sangka, setiap hari kek saya laku habis dijual. Alhamdulillah Allah sangat membantu dalam usaha saya mencari rezeki yang halal.

Kisah pahit getir usahawan bisnes makanan.  Anda akan dapati banyak lagi kisas-kisah inspirasi dari beberapa usahawan dari ebook 101 Idea Bisnes Makanan.


Bakal terbit tidak lama lagi.

 Untuk dapatkan buku dan ebook
=> https://www.facebook.com/BukuOnline4U

Mencari produk sunnah 
 =>https://www.facebook.com/ProdukSunnahOnlineShoppe

Thursday, April 18, 2013

Temuramah Selebriti

Teks: Aishah Hussein
Foto: Koleksi PTS dan koleksi sendiri

Jumaat lepas, saya telah berpeluang untuk menemuramah secara offline seorang selebriti yang sedang naik namanya.  Ketika saya baru sahaja melabuhkan mula duduk di sebelah beliau, yang terkeluar dari mulutnya adalah "saya bukan seorang chef".   Sedangkan sudah banyak terpampang di kulit buku-bukunya perkataan Chef Hanieliza.  Ya, itulah gerangan selebriti yang saya temui minggu lepas.


Saya sebenarnya sudah lama mengenali beliau dari jauh.  Walaupun saya tidak pernah bersua muka dan bertegur sapa, tetapi saya adalah, bak kata orang sekarang, "follower" beliau sejak dia aktif di forum cari.com.  Banyak lah resipi dan tips yang beliau kongsi di forum tersebut yang menjadi panduan buat ahli forum bahagian Makanan dan Resipi.  Ini adalah di sekitar tahun 2003.

Saya memang sangat teruja untuk bertemu dengan beliau.  Ketika saya menghubungi beliau untuk temuramah online, beliau memang terus bersetuju untuk bekerjasama.  Ketika itu juga beliau menyatakan akan berada di Kuala Lumpur, jadi dia mencadangkan saya untuk terus berjumpa beliau di rumah anaknya.

Pucuk dicita ulam mendatang.  Siapa sangka saya dapat berjumpa dengan Kak Liza (gelaran kepada beliau di forum cari) secara bersemuka.

Sedikit sejarah tentang beliau.

Beliau bermula hanya sebagai seorang suri rumah sepenuh masa.  Tidak pernah terfikir oleh beliau akan menerbitkan buku-buku resipi seperti sekarang.  Siapa sangka, niat ikhlas beliau hanya untuk berkongsi resipi dengan sahabat-sahabat di forum telah bertukar menjadi pendapatan buat beliau sekarang.

Beliau memang tidak pernah bekerja.  Tugas beliau hanya memasak dan menjaga anak-anak sepenuh masa.  Bila ada masa lapang, beliau akan melayari forum seperti forum cari dan melayu.com.  Di situlah beliau berkongsi resipi yang beliau masak untuk keluarga.  Setiap resipi baru yang dicuba akan dikongsikan di forum.  Selepas itu dia membina fotopages dan semua koleksi resipi ini dimuatkan di sini.  Sehingga sekarang laman fotopages tersebut masih wujud dan aktif.

Ketika saya berjumpa dengan beliau, saya cukup dapat rasakan jiwa keibuan yang hadir dalam dirinya.  Setiap apa yang dia tuturkan semuanya berbalik kepada keluarganya.  Semua pengorbanan beliau untuk memasak dan menghidang makanan untuk keluarga telah diganti oleh Allah dengan rezeki yang lebih berlipat kali ganda.  Antara koleksi buku resipi Kak Liza adalah:













Memang saya cukup kagum dengan semangat beliau.  Walaupun sudah bercucu beliau masih lagi aktif mengadakan kelas-kelas memasak di kolej-kolej.  Kadang-kadang datang ke Kuala Lumpur untuk mengadakan demo bersama penerbit buku atau pun rancangan masakan di TV.

Dan kini beliau sibuk mempromosikan koleksi buku beliau yang paling laris di pasaran, 1 hari 1 Resipi, 365 Resipi Istimewa Chef Hanieliza.  Buku ini memang antara buku yang terlaris di mana jualannya sudah mencecah hingga lebih 100,000 naskah.  Buku ini hanya boleh didapati di kedai buku Popular.


Kini beliau tampil dengan koleksi buku baru beliau iaitu siri Resipi Warisan.  Buku ini menampilkan resipi turun-temurun dan sesuai untuk kaum hawa yang mahukan kelainan untuk hidangan keluarga.

Harapan dan matlamat beliau sekarang adalah  menghasilkan buku resipi yang ringkas dan mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat, terutama mereka yang baru mula belajar masak. 

Semalam, beliau telah menghantar pesanan whatsapp kepada saya, bahawa beliau akan muncul di TV Hijrah dalam Segmen Soal Wanita jam 12-1 petang, 20 April 2013.  Nantikan kemunculannya di TV Hijrah.


~ Catatan Harian 18.04.13

Monday, April 15, 2013

Kemahiran Pemasaran

Teks : Aishah Hussein
Foto: Carian Google

Untuk memulakan bisnes, anda perlukan produk yang terbaik  yang memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan. Walaubagaimanapun,  sebaik manapun produk kita , tanpa kemahiran pemasaran, produk kita tidak akan ke mana.

Di dalam entri lepas saya ada menceritakan beberapa teknik pemasaran online dan offline.  Untuk memantapkan teknik-teknik pemasaran, kita boleh hadiri beberapa seminar dan bengkel pemasaran yang kini sudah banyak ditawarkan.  Ada juga yang ditawarkan secara online iaitu melalui ebook. 

Antara seminar yang terkenal yang sering disebut-sebut di kalangan usahawan adalah seperti seminar bersama Dr. Azizan Osman.  Di dalam seminar beliau banyak berkongsi tips dan idea teknik pemasaran yang beliau sarankan.  Tips beliau yang saya rasa memang benar dan patut diamalkan ialah:

Kongsikan apa yang anda tahu kepada orang lain. Apa yang anda ketahui tentang perniagaan anda kadang-kadang merupakan maklumat yang sangat bernilai kepada orang lain. Tetapi bukanlah maklumat rahsia perniagaan anda, tetapi maklumat umum atau informasi yang mungkin berguna kepada orang lain. Berikannya secara percuma. Tuliskan artikel di blog ,laman web atau laman sosial anda seperti FACEBOOK, kongsikan kepada orang lain tentang apa yang anda tahu tentang bidang yang anda lakukan.
Contohnya, jika anda di dalam bidang takaful atau insuran. Kongsikan kepada orang lain tentang asas perancangan kewangan yang betul, kesilapan ramai pelanggan anda sebelum ini dan bagaimana untuk merancang plan pencen mereka atau mungkin pelan kewangan pendidikan anak-anak mereka.
Jangan risau jika ada orang lain yang akan meniru anda, anda ada ilmu dan pengalaman yang tersendiri, orang lain belum tentu mempunyai ilmu atau pengalaman yang sama. 
– Dr Azizan Osman

Di dalam Islam juga memang disarankan untuk berkongsi ilmu kerana ilmu itu datangnya dari Allah. 

“Berinfaqlah wahai anak Adam, niscaya engkau akan diberi balasan/gantinya.” (HR.Bukhari dan Muslim).

Tetapi tak kanlah semua nak percuma.  Mereka pun nak mencari makan melalui ilmu yang dikurniakan kepada mereka. 

Jadi siapa-siapa yang nak kukuhkan perniagaan tidak kira bisnes online atau offline, pergilah mencari ilmu.

Untuk teknik pemasaran online, banyak bengkel yang mengajar cara untuk gunakan facebook bagi melariskan jualan.  Pilih dan daftarlah mengikut kemampuan masa dan wang.

             Ebook Super Wahm Super Mom.  Dapatkan di Buku Online


Sunday, April 7, 2013

Keterujaan dengan Ebook yang bakal terbit - 07.04.13

Teks: Nor Aisah Hussein

Semalam semasa Pn Masayu (mentor) memaparkan cover ebook pertama saya 101 Idea Bisnes Makanan di facebook, saya rasa macam tidak percaya.  Macam bermimpi pulak.   Dalam masa tidak sampai sebulan mengikuti Kelas Asas Blog secara online, sudah banyak tips penulisan yang saya pelajari dari beliau.  Dan sekarang cover ebook saya juga sudah siap.  Hanya menunggu saya menyiapkan beberapa tugasan lagi untuk dimasukkan ke dalam ebook tersebut. 



Semasa mula-mula saya mendaftar untuk kelas asas blog ini, saya tak perasan pun yang di akhir pembelajaran pelajar tersebut akan menghasilkan ebook penulisan bersama Pn Masayu.  Bila diberitahu oleh mentor selepas itu, saya macam terfikir.  Bolehkah saya hasilkan ebook.  Menulis pun lintang pukang, inikan pula nak menghasilkan ebook.  Tetapi setelah 1 minggu saya mendapat tunjuk ajar dari mentor, barulah saya nampak ke mana hala tuju Kelas Asas Blog yang saya ikuti ini.  Bimbingan tentang blog dan tips penulisan yang diajar membantu kami dari Alumni Penulis dari Rumah ini ke arah sasaran masing-masing.

Untuk mencapai sasaran, Puan Masayu seringkali mengingatkan kami supaya sentiasa menulis.  Setiap hari harus ada entri di blog walaupun sedikit.  Ini adalah antara tips untuk memantapkan penulisan.  Bila setiap hari menulis, lama-lama kita akan jadi biasa, idea pun meluncur di hujung jari (Ayat power dari mentor).
 
Belumpun sampai 1 bulan, saya sudah hampir mencapai sasaran saya iaitu penghasilan ebook saya sendiri.  Di dalam ebook tersebut saya kan berkongsi pengalaman-pengalaman dari usahawan-usahawan bisnes makanan.  Tidak mengira apa juga jenis penglibatan dan sumbangan mereka tetapi semuanya berkaitan dengan bidang makanan.

Antara usahawan-usahawan terkenal yang akan dipaparkan di dalam ebook 101 Idea Bisnes Makanan, ialah seorang usahawan yang saya telah lama saya kenali melalui alam maya.  Beliau merupakan seorang Chef, seorang Pengajar dan kini beliau adalah seorang Penulis.  Kalau dulu beliau lebih banyak menurunkan ilmu dan resipi di blog-blog tetapi kini resipi beliau boleh diperolehi di buku-buku.

Seorang lagi usahawan yang mungkin menarik minat suri rumah juga adalah seorang Selebriti Chef, Pengacara TV, Penulis Buku Resipi dan juga kini Duta Produk Makanan.  Mereka semua akan berkongsi pengalaman dan tips-tips untuk berjaya dalam bidang bisnes makanan.  Nantikan kemunculan mereka! 

Semoga paparan di dalam ebook ini akan dapat membantu lebih ramai usahawan dan bakal usahawan diluar sana untuk mendapatkan panduan dalam bidang ini. 
 
Terima kasih kepada Allah kerana memudahkan segala urusan saya.  Moga penerbitan ebook saya ini juga dipermudahkan dan berjalan lancar.

Bagi sesiapa yang bercita-cita ingin menghasilkan blog yang santai tetapi berinformasi,  boleh mula mendaftar di http://www.kedaibukuonline.biz/index.php/tempahan




Sunday, March 31, 2013

Selagi ada peluang -31.03.13

Teks : Aishah Hussein
Fto: Carian Google 

Semalam, setelah pusing-pusing kota, petangnya saya habiskan masa saya bersama keluarga abang.  Namanya pun hari keluarga.  Sambil berborak-borak kosong dengan kakak ipar, banyak ilmu dan tips tentang bisnes yang saya saya dapat walaupun beliau hanya melakukan bisnes kecil-kecilan sahaja.  Pada pandangan kita sikit sahaja pulangannya tetapi rupanya sangat membantu meringankan beban kewangan keluarga.    Walaupun tiada kaitannya dengan bidang masakan tetapi berkaitrapat dengan bisnes secara amnya.

Ini pandangan dari seorang suri rumah yang banyak membantu menjana pendapatan untuk keluarganya.  Walaupun beliau suri rumah sepenuh masa, tetapi beliau bijak menggunakan peluang yang ada di sekeliling untuk menjalankan bisnes.  Sebenarnya banyak benda yang boleh dijadikan bisnes.  Cuma kena pro-aktif sama ada dalam mencari produk mahupun  mencari peluang.

Kongsi beliau, kita boleh mulakan bisnes secara kecil-kecilan.  Dengan modal yang sedikit kita boleh beli barang-barang secara pukal dan menjualnya dengan mengambil untung yang berpatutan.  Pesannya tak perlu ambil untung banyak, sekadar pulang modal dan tambah sikit  untuk mendapatkan untung.

Kelonggaran bagi pelanggan untuk membayar secara ansuran juga dilihat sebagai  satu jalan untuk mendapat duit belanja di hujung bulan.  Kalau bagi orang yang nak cepat dapat duit, memang nak masa tu juga duit, tetapi berbeza dengan beliau.  Bila kita bagi pelanggan bayar secara ansuran, tentunya mereka akan bayar pada hujung bulan.  Jadi di hujung bulan, kita juga seperti mendapat gaji tetap di hujung bulan.  Tetapi syaratnya  mesti pelanggan yang boleh dipercayai, kalau tak memang tak pulang modal lah nampaknya. 



Walaupun tidak pernah menjejakkan kaki ke universiti mahupun ke kursus-kursus usahawan, beliau mampu mencari pelanggan dengan mudah.  Sekali-sekala pergi minum-minum  di kedai-kedai atau warung. Niatnya bukan kerana nak membazir duit untuk saja-saja pegi minum, tetapi menggunakan peluang mencari sasaran pelanggan.  Sambil-sambil minum bertegur sapa dengan orang sebelah meja.  Dengan hanya membuka topik yang berkaitan dengan orang tersebut, dia sudah dapat menarik mereka dari kenalan menjadi pelanggan.   Soalan-soalan yang mudah-mudah sahaja yang digunakan.  Tinggal di mana.  Kerja mana.  Buat apa. Sambil-sambil tu hulurkan katalog atau pamphlet “Travel percutian sambil shopping di Bandung”.  Nanti pelanggan akan menyusul telefon, kalau bukan dia sendiri tetapi mungkin kawan-kawan dia.  Ini adalah salah satu teknik pemasaran offline yang saya bincang kan di dalam entri lepas. 



Saya sungguh kagum dengan semangat kental dia berniaga.  Walaupun bisnes yang dia buat itu hanya kecil-kecilan tetapi kerana semangatnya untuk menjana pendapatan tambahan untuk keluarga menjadikan dia seorang yang rajin menggunakan peluang yang ada di depan mata.

Thursday, March 28, 2013

Pemasaran Offline

Teks : Aishah Hussein

Di dalam entri sebelum ini, saya ada bincangkan apa yang dimaksudkan dengan pemasaran online dan kelebihannya.  Tidak dinafikan pemasaran offline juga memang diperlukan  untuk kejayaan sesebuah bisnes.   Pemasaran cara ini memerlukan belanja yang lebih dari pemasaran secara online.
                                          
Apakah Pemasaran Offline?

Apakah keburukan dan kebaikannya?

1.  Sebaran maklumat produk secara offline.boleh dilakukan dengan memberi pamphlet secara percuma.  Pamplet tersebut jangan lah terlalu fokus kepada bisnes.  Jadikan ia sebagai bahan menambah ilmu, contohnya meletakkan resepi atau tips yang berkaitan dengan produk tersebut.

2. Menggunakan kereta sebagai medium peromosi.  Letakkan stiker iklan pada belakang kereta. 

3.  Cuba jadikan pelanggan pertama kalian sebagai saluran untuk mendapat pelanggan kedua.  Testimoni yang baik dari pelanggan pertama akan menarik pelanggan-pelanggan yang seterusnya.

4.  Perlukan kedai dan ini melibatkan kos sewa premis dan juga gaji pekerja.  Di sinilah pemasaran offline sangat penting kerana kedai yang setempat hanya diketahui oleh penduduk setempat.  Perlukan sebaran maklumat yang betul betul hebat.  Perlu keluar berjumpa pelanggan sasaran untuk promosi.  Masa juga banyak terbuang dan ini tidak termasuk rejection dari pelanggan.

5. Kedai kebanyakan beroperasi dengan masa yang dihadkan.  Ia perlu ditutup.  Berbanding pemasaran online, kedai dibuka kepada pelanggan 24 jam. Perlu ada masa untuk ditutup.

6. Perlukan pekerja untuk menjaga kedai.  Keburukannya, kita mudah ditipu oleh pekerja yang tidak amanah.  Perlu sentiasa mengawasi kedai.  Kos untuk pengawasan CCTV juga perlu diadakan.

7. Berurusan jualan dgn pelanggan secara bersemuka adalah lebih ada sentuhan di hati.  Di sini boleh menambah kepercayaan pelanggan kepada kita.  Pelanggan juga boleh melihat sendiri produk  dan memegang atau merasa dan terus menilai mutu prodk.  Terutamanya produk seperti makanan.

8.  Tawarkan diskaun kepada grup yang tertentu, contohnya diskaun kepada pelajar.

Akan bersambung…mata dah tak boleh buka lagi…

Saturday, March 23, 2013

Pemasaran Online vs Pemasaran Offline

Teks : Aishah Hussein

Pemasaran adalah elemen  penting dalam menentukan kadar jualan sesuatu produk.
Mempromosi dan menjual produk adalah sebahagian dari pemasasaran.  Pemasaran produk boleh dilakukan secara offline (konvensional) atau pun online.  Di dalam entri yang lepas saya telah bincangkan teknik promosi iaitu salah satu kaedah pemasaran, yakni kaedah penyebaran maklumat tentang produk.  Kaedah-kaedah yang saya senaraikan di sana ada yang gunakan secara online dan juga offline (konvensional).

Apakah pemasaran online  dan offline?

Apa perbezaan antara kedua-duanya dan kelebihan masing-masing?

Apa kelebihan dan kekurangan pemasaran online berbanding offline.

Pemasaran Online

1. Sebaran maklumat produk melaui internet.  Kaedah yang digunakan seperti facebook, blog  dan twitter.  

2. Tidak perlu  memiliki sebuah kedai yang sebenar.  Modal dapat dijimatkan kerana tidak perlu menyewa premis kedai.  Kedai alam maya hanya boleh dimiliki secara percuma dengan menggunakan blogger atau Wordpress.  Bila bisnes sudah maju, mungkin bolehlah mula fikirkan utk domain berbayar.  Tetapi bila menggunakan kedai alam maya begini, pemilik perlu mengemaskini blog secara konsisten dan mempunyai daya inovasi yang tinggi.  Ini adalah perlu kerana pelanggan akan cepat rasa jemu bila lihat kedai yang tiada perkembangan.


3. Lakukan bisnes/jualan secara online.  Cara ini banyak memberi kelebihan, bukan sahaja kepada pemilik tetapi juga kepada pembeli.  Kedai alam maya sebenarnya seolah-olah tidak pernah ditutup.  Kedai boleh diakses 24 jam oleh pelanggan di seluruh dunia.  Tidak mengira masa dan tempat.  Ia mampu  membentuk jaringan jualan secara global sehingga seolah-olah tanpa batasan.  Jadi proses belian dan jualan sentiasa berjalan.  Pemilik mungkin tidak online sepanjang waktu, tetapi sebaik sahaja membuka laptop sudah ada tempahan yang menunggu.  Ditambah dengan kemudahan teknologi yang canggih yang ada sekarang.  Ke mana-mana kita pergi sudah boleh ber-online.  Janji ada wifi atau broadband dan juga peralatan seperti Ipad, Tab ataupun Smartfon.  Tidak perlu lagi menggalas bag laptop yang berat-berat.

 
 4. Pengurusan syarikat dilakukan oleh kita sendiri.  Tidak perlukan pekerja.  Ini dapat menjimatkan kos perniagaan dan juga mengelakkan penipuan pekerja yang tidak jujur.

5. Pengurusan perniagaan dengan pelanggan ataupun pembekal boleh dilakukan bila-bila masa dan di mana-mana.  Hanya melalui emel ataupun melalu chatting.  Tidak perlu berjumpa dengan pelanggan.    Hanya urusan penghantaran ke pejabat pos atau kurier sahaja yang perlu dilakukan.  Bagaimanapun, pemilik boleh tentukan di mana segala urusan penghantaran hanya akan dilakukan contohnya 2 kali dalam seminggu.  Ini banyak menjimatkan masa.  Inilah yang banyak digemari oleh suri rumah yang berniaga home-based kerana sebab utama mereka pilih bisnes itu adalah kerana mereka mahu melakukan bisnes sambil menjaga anak-anak di rumah.  Tidak perlu keluar rumah tapi dapat menjanan pendapatan.

6. Fasiliti urusan perbankan masa kini juga semua boleh dilakukan secara online.  Jadi urusan pembayaran lewat oleh pelanggan juga tidak lagi timbul.  Tiada bukti pembayaran tiada barang.  Pilihan bayaran juga sudah banyak sekarang contohnya seperti paypal, kad kredit atau pun debit kad.  Terpulang kepada pemilik untuk memilih dan memberikan pilihan pembayaran  kepada pelanggan.




Saya akan sambung dengan Kelebihan Pemasaran Offline di dalam entri  akan datang….

Friday, March 22, 2013

Teknik Promosi

Teks : Aishah Hussein
Foto: Carian Google

Setelah pembaca sekalian membuka bisnes masakan dan telah menghasilkan produk, bagaimana pula kalian nak bagi tahu orang lain tentang kewujudan produk kalian.  Sekarang kita perlu memikirkan cara untuk mempromosikan produk pula.  Kalau tidak ada promosi, orang tidak tahu.  Kalau tidak tahu, tidak ada jualan.  Macam mana nak jana pendapatan kalau tiada jualan.  

 
Oleh kerana kita baru sahaja memulakan bisnes kecil-kecilan, pelaburan untuk teknik promosi yang kita gunakan biarlah yang tidak memerlukan kita mengeluarkan bajet yang besar.  Pilih yang percuma sebaiknya.

1.  Bina Blog
 Bina blog yang boleh digunakan tanpa bayaran.  Dua platform yang selalu digunakan adalah Blogger dan Wordpress.  Cari informasi di internet bagaimana nak membina blog yang boleh menonjolkan bisness kalian.  Atau boleh mendaftar dengan mana-mana kelas membina blog.  Contohnya seperti yang saya ikuti sekarang Kelas Asas Blog.

2. Laman Sosial  
Guna media social yang juga tidak dikenakan bayaran untuk mempromosikan produk kalian.  Laman social seperti Facebook dan Twitter adalah antara yang paling top digunakan dan mempunyai daya kuasa untuk menyebarkan promosi produk dengan cepat.  Dan yang penting ianya percuma. Di dalam laman Facebook kalian boleh bina Fanpage dan jadikan ia sebagai kedai alam maya. Promosikan produk kalian di situ.

3.  Laburkan sedikit wang untuk iklan di akhbar-akhbar.  Tidak perlu ambil ruang iklan yang besar.  Ambil hanya ruang yang kecil sahaja agar bayarannya tidak membebankan kita. Ada juga slot iklan di internet yang anda boleh cuba, contohnya lelong.com atau di forum yang membenarkan ahlinya mempromosi produk secara percuma.

4. Buat promosi di kawasan sendiri
Selalunya kita terlepas pandang tentang apa yang hampir dengan kita.  Tanpa kita sedar sebenarnya pelanggan potensi kita hanya ada di sebelah rumah sahaja.  Jadi buat prmosi dengan meletakkan flyer dan brochure di dalam peti surat jiran-jiran di kawasan perumahan anda.

5.  Buat kad bisnes
Tempah kad bisnes dan kepilkan kad setiap kali pelanggan membeli produk anda.

6.  Buat sampel 
Sewa gerai kecil di pasaraya-pasaraya dan bawa sampel-sampel produk untuk diagihkan kepada pelanggan yang lalu-lalang di sekitar pasaraya tersebut.  Pelanggan dapat menilai terus mutu produk kita dan akan terus membeli di situ atau pun membuat tempahan di masa akan datang.  Jangan lupa selitkan sekali flyer atau brochure dan juga kad bisnes supaya pelanggan ada rujukan untuk membuat tempahan di masa akan datang.

7.  Menaja atau menderma
Hantar produk-produk ke majlis-majlis di sekolah anak-anak anda atau pun majlis-majlis di surau dan di pejabat.  Jangan lupa labelkan dengan stiker di bekas-bekas produk supaya mereka yang berminat akan terus dapat menghubungi kita untuk tempahan.
 
8.  Cetak Kemeja-T atau bag kertas
Print nama blog/nama syarikat pada kemeja-T.  Untuk waktu awal bisnes, Kemeja-T hanya dipakai oleh keluarga terdekat sahaja untuk tujuan promosi.  Dan bila sudah maju, boleh laburkan untuk membuat bag kertas yang dicetak dengan nama syarikat.  Bag kertas boleh diberikan kepada pelanggan yang membeli produk sewaktu ada promosi ataupun mereka yang membeli produk yang banyak.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...