KITA, ORANG MELAYU HARI INI!
Dengan chogan kata di atas kita memperingatkan kepada semua kaum Melayu supaya jangan tertipu terperlemah dan terperangkap oleh pehak yang hendak menggunakan diri kita faedah mereka.
Dari mula dunia terkembang, orang Melayu telah berserah tonggang nasib-nya hitam puteh kepada tangan Y.M.M. dan Y. berhormat dan akhir-nya nasib orang Melayu jatoh sejatoh-jatohnya dan menerima menjadi Nasib Kaum Terjajah yang lemah sekali di dalam dunia ini, di-bawah Pemerintah Kerajaan Inggeris. Kejatohan Melayu ini dan kelemahan Melayu ini salah-nya terpulang kepada Penganjor Melayu yang sudah-sudah ia-itu yang tergamak menjual-kan Tanah Ayer Melayu dan menukar-kan nyawa Melayu kepada wang dan kesenangan mereka yang mana akhir-nya seperti yang kita nampak Orang Melayu jatoh melepek.
Perang Dunia Kedua menyedar-kan kaum Melayu kembali dan kerana itu terbitlah perasaan “Kita Orang Melayu Hari Ini” yaani berhak bersuara, kerana menjaga dan membetol-kan masib kita di atas tanah ayer kita.
Oleh itu U.M.N.O. (Pekembar) M.N.P. (Pekemam) bukanlah arti-nya dipunyai oleh ketua-ketua itu sendiri ialah dipunyai oleh orang ramai Melayu hari ini. Jadi dengan itu sewajib-nya apa-apa keputusan yang hendak dibawa oleh U.M.N.O. atau M.N.P. untok pengetahuan pemerintah atau diketengahkan kepada ramai mahulah dipersetuju-kan oleh orang Melayu ‘am. Jangan-lah terjadi seperti sekarang yang sudah terjadi ia itu: Malayan Union terjadi dengan pekerjaan Sultan-Sultan sendiri dan kemudian Malayan Union ditukar-kan kepada Federation dengan ranchangan Sultan2 dan Penganjor2 itu sendiri, di sini ada-kah bermaana orang Melayu hari ini puas hati dengan langkah asalkan Kaum Bangsawan-nya sahaja puas hati? Kita nampaknya tidak begitu! Orang Melayu tidak puas hati dengan apa yang telah dijalankan oleh Penganjor2-nya, kerana orang Melayu ramai yang dahulu-nya bersama menolak Malayan Union itu bukan meminta ditukar dengan Federation yang akan menjadikan orang Melayu di-pechah2kan oleh ber-Johor, ber-Perak, ber-Pahang dan lain2 ia-lah orang Melayu berkehendakkan Malaya bagi orang Melayu yang tujuan-nya membetolkan dan membaik-kan nasib orang Melayu dalam semua perengkat dan dalam serba serbi.
Sebab itu kita sudah nampak bayang2-nya orang Melayu tidak puas hati kepada penganjor2-nya yang chuba membelakang-kan muslihat orang Melayu ramai.
Dalam sementara itu kita harap orang Melayu hari ini berdiri-lah sebagai orang Melayu yang tidak redza nasib-nya di-perjudi-kan oleh Penganjor2 nya kerana keuntongan pada lain pehak, tetapi orang Melayu sendiri akan tergadai dan terima hidup melarat.
Sumber: Majalah ‘Kenchana’, Bilangan 1, Jan 1947
Rabu, September 05, 2007
Artikel dari majalah Kenchana, Jan 1947
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan