Showing posts with label Perak. Show all posts
Showing posts with label Perak. Show all posts

Friday, October 23, 2009

Bekas 2 ahli DUN PKR Perak bebas?

Isu rasuah bekas 2 ahli DUN PKR di Perak mencuit hati. Saksi utama telah memberi kenyataan yang bercanggah ke atas pertuduhan dengan mengaku berbohong kepada SPRM. Maka, mahkamah berkemungkinan akan membuang kes tersebut berdasarkan keterangan terbaru.

Najib sangat licik, dan kelicikan tersebut terserlah di dalam kes ini. Diharap, agar kelicikan yang tiada bandingannya ini dapat disalurkan pula kepada penjanaan ekonomi rakyat agar bukan sahaja dapat memanafaatkan dirinya sahaja, malah, kepada rakyatnya jua.

Jadi seperti Tun, walau pun kekayaannya melimpah ruah, mereka yang di sekeliling beliau dan rakyat Malaysia secara amnya, menikmati kek ekonomi yang melimpah-ruah. Ramai anak-anak Melayu yang berjaya di hantar oleh pentadbiran Tun melanjutkan pelajaran ke luar negara!

Monday, May 11, 2009

Nizar sah MB Perak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengesahkan bahawa Nizar adalah MB Perak yang sah serta telah menolak permohonan Zambry untuk menolak perintah tersebut sementara menunggu rayuan. Zambry yang telah menduduki pejabat MB Perak secara haram terpaksa akur dengan keputusan mahkamah tinggi Kuala Lumpur dan melepaskan jawatan haram tersebut.

Nizar di jangka mengadap Sultan Azlan untuk membubarkan DUN Perak agar satu pilihanraya baru dapat diadakan supaya kuasa menentukan mandat memerintah diserahkan semula kepada rakyat untuk diadili.

Kerajaan haram BN kini bergolak kencang dengan para ADUNnya resah gelisah menantikan keputusan yang bakal di buat oleh rakyat Perak. Tidak mustahil dengan segala kemelut politik yang telah di cipta oleh kerajaan haram BN, BN tumbang secara total di Perak.

Petanda ini dapat di lihat daripada sokongan rakyat kepada Nizar semasa PRK Bukit Gantang yang lalu. Kemelut ini di jangka berakhir apabila Nizar mengusulkan pembubaran DUN kepada Sultan Azlan tidak lama lagi.

Friday, May 8, 2009

Haram lagi

Perak menyaksikan pergolakan yang sangat dahsyat di mana, pada hari ini, selain mempunyai 2 MB yang sedang diputuskan keabsahan mereka oleh mahkamah tinggi Ipoh Isnin nanti, DUN Perak juga menyaksikan 2 speaker dewan di lantik dalam satu-satu masa. Sivakumar telah di tarik keluar dewan dan digantikan oleh Ganesan.

Demokrasi telah dirobek-robekkan oleh kerajaan haram dengan sesuka hati. Siaran television yang pernah menayangkan adengan kucar-kacir dewan mulia di luar negara sudah menjangkiti Perak. Hanya rakyat Malaysia begitu toleran sampai tidak berlaku adengan membaling kerusi dan tumbuk-menumbuk lagi.

Rakyat Perak hanya dapat melihat dengan perasaan yang mendongkol. Tidak mustahil, tindakan ini akan meninggalkan parut yang sangat dalam di hati mereka. Kemungkinan PRU ke 13 akan menyaksikan Perak tumbang secara total sekiranya kerajaan haram kini terus-menerus memperkotak-katikkan keputusan rakyat.

Walaubagaimana pun, semasa sidang DUN Perak dirasmikan oleh Nazrin, baginda didapati berhubungan dengan Nizar, dan bukannya Zambry. Nizar juga mengiringi baginda keluar dewan selepas ucapan perasmian baginda. Sekiranya ini dapat dijadikan kayu ukur, wakil istana Perak yang menjadi kuasa pengimbang kepada kekalutan ini masih lagi mengiktiraf Nizar.

Jika di baca apa yang tersirat, seolah-olah kerajaan haram kini tidak begitu disenangi pihak istana, kerana telah menconteng arang ke muka Sultan Azlan. Kerajaan haram sekarang telah memalukan Perak di mata dunia, dan sudah tentu rakan taulan Sultan Azlan dari kalangan guaman akan menggeleng kepala menyaksikan sandiwara politik di negeri baginda.

Seorang ketua negeri yang pernah menjadi ketua hakim Malaysia akan di lihat tidak dapat menguasai negeri baginda sendiri. Sultan Azlan sudah hilang maruah dan integriti perundangan di kalangan para peguam sedunia akibat daripada kegelojohan kerajaan haram merampas kuasa di Perak. Nama baginda telah tercemar di peringkat antarabangsa!

Thursday, April 23, 2009

Lelong Camry kemudian beli Mercedes?

Salmah Mat Husain
Wed | Apr 22, 09 | 6:49:48 pm MYT

KOTA BHARU, 22 April (Hrkh) - Membazir atau belanja berhemah apabila mahu melelong kereta yang baru dibeli.

Tentunya sesuatu yang agak janggal kerana kebiasaan kereta kerajaan yang dilelong sudah berusia dan tidak ekonomik lagi untuk digunakan.

Sebaliknya 16 kereta Toyota Camry 2.4 yang digunakan anggota Exco Pakatan Rakyat di Perak tidak sampai setahun sudah mahu dilelong kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN).

Tetapi itulah yang berlaku di Perak apabila kerajaan BN yang mendapat kuasa melalui rampasan secara paksa mempamerkan keanguhan biar pun baru dua bulan mentadbir.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, apabila dilelong sudah tentu kenderaan yang baru pula akan dibeli kerajaan BN di Perak dengan harga lebih tinggi.

"Apabila kereta Camry dilelong harganya tentu menjadi lebih murah berbanding harga asal.

"Lainlah kalau kerajaan negeri membeli proton Exora yang baru dilancarkan, barulah munasabah.

"Nanti pendapatan hasil lelongan tersebut digunakan untuk membeli kereta yang lebih mahal, ia tentunya akan merugikan lagi," katanya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Kerajaan kudeta di Perak dilaporkan akan melelong 16 Toyota Camry 2.4 yang sebelum ini digunakan anggota Exco Pakatan Rakyat. Tender lelongan tersebut juga sudah dibuka.

Camry tersebut dibeli kerajaan Pakatan bagi menggantikan Proton Perdana V6 yang telah lama digunakan kerajaan BN sebelum Pakatan menerajui Perak Mac tahun lalu.

Pembelian dibuat memandangkan kos penyelenggaraan sebuah Proton V6 sehingga mencecah RM80,000.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, sebelum ini Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak menjelaskan BN akan mengkaji kemungkinan tidak menyertai pilihan raya kecil Dun Penanti kerana tidak mahu membazir.

"Kenyataan itu jelas satu 'double standard' kerana dalam masa yang sama kerajaan BN di Perak pula mahu melelong kereta yang baru dibeli.

"Sekarang mereka berfikir seakan-akan menggunakan law of jungle pula," ujarnya.

Beliau juga percaya kemuncak krisis politik di Perak akan berlaku 7 Mei ini apabila diadakan persidangan Dun Perak, yang tentunya akan berlaku sesuatu.

Adun Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustapha berkata, tindakan kerajaan kudeta BN di Perak melelong kereta baru dibeli sebagai tindakan mundur ke belakang.

Menurutnya begitu rendah harga diri kerajaan BN di Perak kerana bukan sahaja dendam kepada Exco Pakatan Rakyat tetapi marah juga kepada kereta Camry.

"Lebih parah lagi kalau mereka mahu menukar kepada kereta Mercedes selepas Camry dilelong. Di Perak sekarang yang tidak betul dijadikan betul dan yang betul dikatakan tak betul," katanya.

Menurutnya juga rakyat tidak timbul soal kereta, sebaliknya menuntut Dun dibubarkan. - mj _

Tuesday, April 21, 2009

Zambry perolehi perintah yang tidak laku

Mohamed Hanipa Maidin
Mon | Apr 20, 09 | 10:36:22 pm MYT

Pembaca ruangan ini masih bertanya kepada saya adakah dua perintah perisytiharan yang dikeluarkan Mahkamah Persekutuan pada 15 April lalu bahawa penggantungan Zambry dan enam exconya oleh Speaker Perak dibatalkan membolehkan mereka menghadiri sidang DUN Perak nanti.

Jawapan saya adalah tidak! Berikut adalah alasan-alasan saya.

a. Apa yang diperolehi oleh Zambry dan enam exconya hanyalah perintah deklarasi (perisytiharan) semata-mata. Tidak lebih dari itu. Di dalam undang-undang perintah deklarasi yang diperolehi oleh Zambry dan enam exconya tidak membawa apa-apa makna kerana perintah deklarasi tidak mempunyai kuasa pemaksaan (coercive force).

Pakar undang-undang Pentadbiran, Prof M.P Jain secara jelas menyatakan:

"A declaration merely declares what the legal rights of the concerned parties are. A declaratory order has no coercive force as such nor does it quash any decision which may have been taken by an administrative authority."

(Perintah deklarasi hanya sekadar satu perisytiharan hak pihak-pihak yang terbabit dari segi perundangan. Perintah deklarasi tidak mempunyai kuasa pemaksaan (memaksa seseorang mengikut perintah tersebut). Perintah tersebut juga tidak memadam, membatalkan atau mengenepikan sebarang keputusan yang dibuat oleh mana-mana pihak berkuasa pentadbiran.)

b. Memandangkan Zambry dan enam exconya hanya memperolehi perintah deklarasi, perintah tersebut tidak meletakkan sebarang tanggung jawab (impose an obligation) ke atas Sivakumar untuk mematuhinya kerana dari segi rekod di dalam DUN di Perak, perintah penggantungan tersebut masih wujud selagi tidak dipadam oleh Mahkamah (not quashed by the court).

Untuk memudahkan kefahaman umum, saya berikan contoh berikut:

Kita ambil satu kes misalnya seorang menyaman Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana mengekalkan nama di dalam kad pengenalannya sebagai Ali bin Abu sedangkan beliau mendakwa telah menukar agama dan memohon namanya ditukar kepada John Abraham.

Katakan beliau meminta satu perintah deklarasi bahawa tindakan atau keputusan JPN yang tidak menukar namanya kepada John Abraham adalah tidak sah.

Katakan Mahkamah bersetuju dengan beliau dan mengisytiharkan bahawa keputusan atau tindakan JPN adalah tidak sah dan Mahkamah juga mengisytiharkan nama beliau adalah John Abraham. Maka persoalan yang timbul adalah, adakah JPN wajib menukar namanya kepada John Abraham selepas beliau mendapat perintah perisytiharan tersebut?

Dari segi undang-undang, JPN tidak wajib menukar namanya kepada John Abraham kerana Mahkamah hanya mengisytiharkan tindakan JPN adalah tidak sah tanpa memerintahkan nama Ali bin Abu dipadam dan ditukar kepada John Abraham.

JPN hanya wajib menukar nama Ali bin Abu kepada John Abraham jika pemohon mendapat perintah 'certiorari' iaitu perintah mengenepikan/memadam (quash) keputusan JPN tersebut dan selanjutnya perintah mandamus iaitu perintah mengarahkan JPN menukar nama beliau dari Ali bin Abu kepada John Abraham.

Selagi tidak ada perintah 'certiorari' dan perintah mandamus tersebut maka nama beliau akan kekal di dalam kad pengenalan sebagai Ali bin Abu meskipun Mahkamah mengisytiharkan namanya John Abraham.

c. Dalam konteks kes Zambry lwn Sivakumar apa yang sepatutnya peguam Umno buat adalah selain mendapatkan perintah perisytiharan (deklarasi) bahawa penggantungannya tidak sah, Zambry juga sepatutnya memohon Mahkamah mendapatkan perintah-perintah berikut iaitu perintah 'certiorari' iaitu perintah mengenepikan atau memadam keputusan Sivakumar yang menggantung beliau dan enam exconya, dan juga perintah mandamus iaitu perintah meminta Sivakumar menbenarkan beliau dan enam exconya hadir ke dalam sidang DUN Perak.

d. Tanpa perintah 'certiorari' dan mandamus tersebut maka perintah perisytiharan yang Zambry dan enam exconya perolehi dari Mahkamah adalah satu perintah yang tidak membawa apa-apa kesan ke atas Sivakumar. Berhadapan dengan perintah seperti itu Sivakumar dengan tenang akan menjawab begini: "So what!"

Mungkin pembaca ingin bertanya mengapa Zambry dan enam exconya tidak memohon perintah 'certiorari' dan mandamus sebaliknya hanya memohon perintah perisytiharan sahaja.

Ada dua sebab mengapa mereka tidak berbuat demikian.

Sebab Pertama adalah peguam Zambry sendiri secara jelas mengakui semasa penghujahan di Mahkamah Persekutuan bahawa Zambry tidak boleh memohon perintah 'certiorari' dan mandamus kerana kedua-dua perintah tersebut tidak boleh dipohon di dalam kes ini disebabkan doktrin pengasingan kuasa (separation of powers).

Dengan lain perkataan peguam Zambry mengakui bahawa berdasarkan doktrin pengasingan kuasa, Mahkamah tidak boleh memerintah Sivakumar sebagai Speaker untuk sama ada memadamkan keputusannya atau membenarkan Zambry masuk dan hadir di dalam persidangan DUN Perak.

Hatta jika kita lihat kepada 10 perintah yang Zambry pohon kesemuanya adalah perintah berbentuk perisytiharan sahaja. Malahan Mahkamah juga tidak membenarkan perintah perisytiharan supaya beliau dan enam exconya untuk masuk, menghadiri dan mengambil bahagian di dalam sidang DUN Perak.

Sebab kedua adalah Zambry dan enam exconya telah tersalah memilih prosedur Mahkamah. Jika beliau ingin memohon perintah 'certiorari' dan mandamus, beliau perlu membuat permohonan semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dan bukannya melalui Saman Pemula seperti yang mereka buat.

Memandangkan mereka telah tersalah prosedur maka mereka dengan berat hati terpaksa berpuas hati dengan perintah perisytiharan yang tidak membawa apa-apa makna.

Atas dasar itu juga peguam Sivakumar juga telah berhujah bahawa perintah perisytiharan yang Zambry pohon sebenarnya tidak membawa apa-apa faedah dan meminta Mahkamah tidak melayan perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry tersebut.

Hujah peguam Sivakumar adalah berasaskan apa yang dinyatakan di dalam kes Fan Yew Teng vs Government of Malaysia di mana Mahkamah telah menerima pakai apa yang dinyatakan oleh Erskine May di dalam buku Parlimentary Procedure (17th Edition) di mana penulis telah menyatakan:

"The decisions of the court are not accepted as binding the house in matters of privilege, nor the decision of the House by the courts."

(Keputusan Mahkamah tidak diterima sebagai mengikat Parlimen atau DUN di dalam perkara menyentuh keistimewaan, begitu juga keputusan Parlimen atau DUN tidak mengikat Mahkamah.)

Mengapa? Mungkin pembaca bertanya mengapa Mahkamah membenarkan juga perintah yang tidak berfaedah tersebut? Jawapan mudah saya adalah ia hanyalah perintah untuk mengambil hati Umno. Perumpamaan yang mudah, ia adalah ibarat hadiah saguhati kerana menyertai pertandingan.

Jenis Umno ini, kita beri mereka wang satu sen pun mereka melonjak gembira sedangkan satu sen boleh beli apa?

Seperkara lagi yang saya perlu kongsi di sini adalah mengenai sidang DUN di bawah pokok yang diadakan pada 3 Mac 2009. Isu keabsahan (validity) persidangan di bawah pokok tersebut juga merupakan salah satu isu yang dirujuk oleh Zambry ke Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 63 Perlembagaan Negeri Perak.

Isu yang dirujuk adalah sama ada sidang bawah pokok pada 3 Mac 2009 adalah sah apabila ianya dibuat tanpa perkenan Sultan Perak.

Selepas mendengar hujah peguam Zambry dan peguam Sivakumar, Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat apa-apa keputusan terhadap isu keabsahan sidang DUN di bawah pokok pada 3 Mac 2009 tersebut. Secara tersirat kita boleh menyimpulkan bahawa Mahkamah bersetuju bahawa sidang DUN di bawah pokok adalah sah.

Memandangkan tiada perintah Mahkamah yang membatalkan keputusan sidang bawah pokok, Umno terpaksa menerima hakikat berikut:

a. Persidangan DUN di bawah pokok telah mengesahkan (endorsed) keputusan Sivakumar yang menggantung Zambry dan enam exconya selama 18 bulan dan 12 bulan.

b. Dengan pengesahan tersebut maka keputusan penggantungan tersebut adalah sah dan masih mengikat Zambry dan enam exconya yang lain.

c. Di dalam samannya Zambry mengatakan keputusan Sivakumar adalah tidak sah kerana keputusannya tidak disahkan oleh DUN Perak. Memandangkan sidang DUN Perak pada 3 Mac 2009 telah mengesahkan keputusan Sivakumar yang dibuat pada 18 Februari 2009 dan memandangkan Mahkamah Persekutuan tidak membuat apa�apa keputusan yang mengisytiharkan sidang bawah pokok adalah tidak sah, maka keputusan DUN Perak di bawah pokok adalah sah dan mengikat Zambry serta enam exconya.

d. Apa yang Mahkamah putuskan hanya melibatkan keputusan Sivakumar pada 18 Februari dan bukannya keputusan DUN Perak pada 3 Mac 2009.

Kesimpulannya Umno hanya dapat perintah Mahkamah yang tidak membawa apa-apa faedah.

Nota: Hanipa Maidin ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat dan ahli panel penasihat undang-undang, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin.- tajdid_

Monday, April 20, 2009

SUK Perak lawan towkey

SUK Perak telah mengeluarkan arahan persidangan DUN Perak dengan membelakangi Sivakumar, yang tidak tahu menahu langsung berkenaan arahan tersebut. Kuasa eksekutif telah sekali lagi mencerobohi kuasa DUN di mana pada kali pertama, SUK telah mengumci bangunan SUK sehingga memaksa ADUN Perak mengadakan sidang dewan di bawah sebatang pokok.

Betapa memualkan apabila jentera kerajaan negeri digunakan oleh kuasa eksekutif demi tujuan politik dengan memijak lumat kuasa speaker dewan. Pandikar Amin tentu tidak akan membiarkan keadaan seperti ini berlaku di dewan rakyat yang mulia itu.

Atas dasar apakah Sivakumar perlu mendapat arahan daripada SUK. Bukankah sepatutnya Sivakumar yang mengeluarkan arahan. Nampaknya SUK dah lawan towkeynya dengan mengikut telujuk kuasa eksekutif. Pemisahan kuasa yang jelas ini telah dicerobohi kesuciannya oleh penggila dan perampok kuasa.

Perlukah Sivakumar menerima SUK seperti ini dan mendiamkan diri terhadap kelakuan yang begitu jijik di mata masyarakat antarabangsa. Tidak menghairankan sekiranya Sivakumar melantik SUK baru untuk menerajui ADUN Perak mengikut lunas-lunas yang telah tersedia.

Sunday, April 19, 2009

Sidang Dun Perak: Speaker dihina?

Johari Jaafar
Sun | Apr 19, 09 | 11:09:44 am MYT

IPOH, 19 April (Hrkh) - Speaker Dun Perak, V. Sivakumar melahirkan rasa kesalnya di atas tindakan Setiausaha Dun, Haji Abdullah Antong yang memanggil persidangan Dun tanpa pengetahuan beliau.

"Adakah ini usaha untuk memperkecil dan memperbodohkan Speaker?" soal V. Sivakumar mengenai prosuder penghantaran surat panggilan Sidang DUN pada 7 Mei akan datang.

Beliau memaklumkan kepada media bahawa beliau tidak tahu langsung mengenai tarikh persidangan yang sepatutnya dibincang terlebih dulu dengannya kerana sifat Speaker sebagai "ketua" Dun.

"Saya baru tahu tarikh sidang setelah menerima surat yang dihantar oleh Haji Abdullah Antong pada jam 10.30 pagi kelmarin.

Beliau tidak berminat untuk mengulas mengenai 7 Mei yang telah mendapat perkenan Sultan. Yang penting katanya "wrong approach" dan tidak ikut protokol "memaklum perkenan itu kepada Adun".

Sivakumar juga mempersoalkan tarikh sidang yang ditetapkan yang disifatkan sebagai berkata "kenapa kelam kabut?"

Sebagai perbandingan dia bertanyakan sekiranya Speaker Dewan Rakyat, Pendekar Amin menghadapi apa yang dialami beliau adakah dia boleh berdiam diri?

Demikianlah beberapa perkara besar yang menjadi kontroversi mengiringi tarikh sidang yang kononnya ditetapkaan oleh pihak "perampas kuasa" tanpa pengetahuan Speaker di Negeri Perak pada 7 Mei akan datang.

Semasa ditanya kepada Adun Titi Serong yang juga merupakan Pengerusi Kelab Penyuokong Kerajaan (BBC) Pakatan Rakyat Perak, Drs. Khalil Idham Lim mengenai adakah Adun PR akan hadir pada sidang 7 Mei katanya, "perkara itu tidak berbangkit kerana sekarang kita mempersoalkan bagaimana surat panggilan sidang itu disampaikan kepada kami, sah atau tidak". - mns_

Saturday, April 18, 2009

Setiausaha DUN Perak di gantung

Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri, di gantung oleh Sivakumar kerana telah mengeluarkan arahan persidangan DUN Perak semalam tanpa pengetahuan dan persetujuan Sivakumar.

Sehubungan dengan itu, Mohd Misbahul Munir Marduki telah di lantik sebagai setiausaha DUN Perak yang baru. Ada pihak mempertikaikan tidakan Sivakumar menggantung Abdullah dan menyamakan tindakan tersebut dengan membuang Abdullah, dengan menyatakan bahawa jawatan Abdullah adalah di bawah bidang kuasa JPA.

Mungkin pihak tersebut perlu meneliti tindakan yang di ambil oleh Sivakumar. Sivakumar hanya menggantung, bukan membuang Abdullah daripada jawatan tersebut. Tidak timbul siapa yang berkuasa terhadap tindakan ini, kerana, Sivakumar sememangnya berhak untuk menentukan siapakah yang perlu menerajui DUN Perak sebagai setiausahanya.

Bolehkah seorang setiausaha mengeluarkan arahan tanpa pengetahuan dan persetujuan bossnya. Adakah arahan tersebut sah dari segi undang-undang, dan adakah ADUN perlu mematuhi arahan persidangan tersebut lalu menghadiri sahaja persidangan tanpa mengetahui persidangan yang bakal diadakan adalah secara sah atau haram.

Sekiranya persidangan yang dihadiri adalah persidangan haram, bagaimana dengan implikasi kepada sebarang keputusan yang di capai semasa persidangan tersebut berlangsung. Segalanya terletak kepada Sivakumar yang kini sedang berusaha untuk mengadap Sultan Azlan demi memberi penjelasan berkenaan peristiwa terkini.

Kes MB Perak vs Sivakumar undang bahaya

Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Apr 17, 09 | 3:37:12 pm MYT

KUALA LUMPUR, 17 April (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan penggantungan terhadap Menteri Besar Barisan Nasional Perak, Dato' Zambry Abd Kadir dan enam ahli exconya daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak didakwa memberi implikasi 'bahaya' selepas ini.

Demikian kata peguam muda, Abdullah Abdul Karim kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas isu tersebut.

Bagi Abdullah, ia memberi implikasi kepada persoalan 'separation of power' (pengasingan kuasa) iaitu kuasa Speaker itu sendiri sudah boleh dibawa ke mnahkamah untuk dicabar.

Kes ini katanya menjadi 'precedent' (kes duluan) dan tidak mustahil akan berulang selepas ini.

"Nampaknya dewan itu sendiri kini tidak bebas, dan kuasa speaker boleh dicabar.Ia akan menyebabkan tidak ada lagi keistimewaan kepada Speaker.Ini akan mengundang bahaya," katanya.

Teori pengasingan kuasa yang biasa diamalkan di negara Komanwel hari ini sudah tidak dipakai lagi dengan keputusan ini, katanya.

Maknanya selepas ini di Dewan Rakyat sekalipun,sebarang tindakan yang dibujat Speaker Dewan akan terdedah untuk dibawa ke mahkamah,katanya.

Sebelum ini, Zambry dan enam exconya itu, sebelum ini memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Speaker DUN Perak, V Sivakumar yang menggantung mereka selepas BN menubuhkan kerajaan negeri di Perak Februari lalu tanpa pembubaran Dun. - mks.

(Ikuti berita sepenuhnya dalam edisi cetak Harakah akan datang)_

Saturday, March 7, 2009

Sultan Azlan tidak perkenan pembubaran DUN

Sumber-sumber terdekat menyatakan bahawa Sultan Azlan tidak memperkenankan pembubaran DUN yang telah dicapai oleh kerajaan PR. Pada 3 hb. Mac, 2009, DUN Perak telah menyokong usul Nizar sebagai menteri besar Perak serta membubarkan DUN di bawah sepohon pokok di luar perkarangan tempat letak kereta bangunan setiausaha Perak.

Sultan Azlan yang sepatutnya di lihat sebagai pemerintahan raja yang sepatutnya bersikap berkecuali, sekali lagi telah menidakkan rakyat negeri Perak memilih calon kerajaan negeri yang disukai mereka. Genggaman tampuk pemerintahan kini terumbang-ambing dengan penolakan Sultan Azlan tersebut.

Kini, segalanya akan terserah kepada mahkamah persekutuan untuk menentukan siapa yang layak menjadi menteri besar Perak, dan secara tidak langsung, menamatkan krisis pergolakan politik di Perak.

Friday, March 6, 2009

Kes Nizar vs Zambry ke Mahkamah Persekutuan

Malaysiakini melaporkan bahawa kes Nizar vs. Zambry telah di bawa ke mahkamah persekutuan untuk dibicarakan. Keputusan tersebut bagaimana pun gagal mengambil kira perkembangan terbaru di mana DUN Perak telah dibubarkan dan Nizar di jangka mengadap Sultan Azalan tidak lama lagi.

Pilihanraya DUN Perak di jangka akan diadakan di dalam bulam April atau pun Mei. Media masih menunggu kata putus daripada SPR berkenaan perkembangan mutakhir. Adalah dijangkakan, keputusan akan memihak kepada PR dengan majoriti yang besar sekiranya pilihanraya diadakan dalam masa terdekat.

Kes Nizar vs. Zambry secara tidak langsung sudah tidak mempunyai locus standi dan sekaligus terbatal kerana DUN sudah dibubarkan.

Wednesday, March 4, 2009

Mahkamah benar perintah larang sidang dewan

Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini melarang Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar daripada mengadakan sebarang sidang DUN yang tidak sah. Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim membuat keputusan tersebut dalam kamarnya ekoran permohonan yang dibuat oleh Menteri Besar, Zambry dan enam exconya.

Permohonan tersebut difailkan pagi ini dan didengar dalam kamar pada jam 2.30 petang. Ridwan membuat keputusannya mengikut Seksyen 44 Akta Akta Relif Spesifik. Zambry dan anggota exco tersebut diwakili oleh peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Hafarizam Harun, Abu Bakar As Sidek, Cheng Mai, Badrulhishah Abdul Wahab, Faizul Hilmy Ahmad Zamri dan Zaireen Zainal.

Sivakumar pula diwakili oleh timbalan penasihat undang-undang negeri, Zulqarnian Hassan ekoran keputusan mahkamah pagi ini bahawa Speaker tidak boleh diwakili oleh peguam persendirian. Perintah mahkamah itu tidak mempunyai had masa dan hukumannya akan diputuskan kemudian jika dan bila Speaker mengadakan sidang berikutnya yang dianggap tidak sah.

Walau bagaimana pun, keputusan yang di capai pada jam 2.30 petang itu agak terlambat kerana DUN Perak telah bersidang di bawah sepohon pokok dengan meluluskan 3 usul antaranya usul undi percaya kepada pemerintahan Nizar sebagai menteri besar dan usul pembubaran DUN yang akan dipersembahkan Nizar ke bawah duli Sultan Azlan.

Perak akan meyaksikan pergelutan kes saman-menyaman yang bakal mengeruhkan lagi suasana bercelaru politik di sana. Sekiranya usul yang diluluskan tersebut diperkenankan Sultan Azlan, maka, kita akan menyaksikan satu lagi pilihanraya DUN untuk negeri Perak. Di harap agar Sultan Azlan mempelajari sesuatu daripada tragedi yang lepas dan bertindak adil dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Tuesday, March 3, 2009

Sidang Tergempar DUN Perak di bawah sebatang pokok


IPOH, 3 Mac (Hrkh) - Sidang tergempar DUN yang telah diadakan di bawah sepohon pokok berdekatan tempat letak kereta di depan Bangunan Perak Darul Ridzuan telah ditangguhkan setelah tiga usul yang dibawa telah diterima secara sebulat suara ahli Dewan.

Usul pertama yang dibentangkan sebentar tadi menyatakan undi percaya kepada menteri besar Pakatan Rakyat, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah diluluskan dengan sebulat suara.

Usul kedua untuk membubarkan DUN dan menyokong keputusan Speaker menggantung Dato' Zambry Kadir dan enam Exco kerana menghina Dewan telah diterima sebulat suara juga oleh ahli Dewan.

Speaker DUN V Sivakumar telah menangguhkan sidang tersebut dan akan mengadakan siadang medianya sebentar lagi berhubung usul yang dilakukan di Sidang Tergemnpar DUN.

Difahamkan Sivakumar akan memaklumkan perkembangan dan keputusan sidang itu kepada Sultan Perak Raja Azlan Shah dalam jangkamasa terdekat.

Sidang yang diadakan di bawah sepohon pokok, dihadiri semua 27 wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Menteri Besar Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin hadir dengan dipengerusikan oleh Speaker yang berpakaian rasmi. Tiada kerusi untuk semua 28 ahli DUN tersebut.

Nizar dalam pada itu memaklumkan bahawa sidang itu terpaksa diadakan di bawah pokok akibat larangan yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan menyatakan sidang itu sah mengikut prosedur yang telah dijalankan seperti biasa sebelum ini.

Sementera itu, pasukan peguam Sivakumar ditolak Mahkamah Tinggi di sini untuk mewakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar bagi mengendalikan kes beliau.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Riduan Ibrahim selepas menemui kedua-dua pasukan pembela dan plaintif kira-kira 30 minit di kamarnya.

Alasan yang diberikan Riduan adalah pasukan peguam yang dilantik Sivakumar tidak layak untuk mewakili Speaker tersebut. Perkara itu diumumkan oleh ketua pasukan peguam tersebut, Tommy Thomas. - azm _

Monday, March 2, 2009

Pintu Utama Bangunan Setiausaha Perak Di Tutup

Buletin Utama pada jam 8.00 malam 2 hb. Mac, 2009, telah menyiarkan berita pintu utama bangunan setiausaha Perak akan di tutup pada 3 hb. Mac, 2009. Keputusan tersebut tidak diketahui diarahkan oleh siapa, namun, ini bermakna, sidang tergempar DUN Perak tidak dapat diadakan.

Sayugia diingatkan, BN juga telah memfailkan saman di mahkamah tinggi Ipoh untuk membatalkan tindakan Sivakumar menggantung kehadiran Zambry dan exco-exconya serta membatalkan tindakan Nizar yang memfailkan saman ketidak-sahan Zambry di mahkamah tinggi Kuala Lumpur.

Pada masa kini, kelihatan kehadiran Polis Simpanan Persekutuan di perkarangan bangunan setiausaha Negeri Perak. Pihak polis telah mengeluarkan kenyataan berkenaan kesalahan menyertai sebarang rapat umum dan tindakan tangkap boleh dikenakan.

Episod serang balas ini adalah tindakan terakhir yang diambil oleh BN untuk membatalkan persidangan DUN esok. BN berselindung di sebalik kekuatan polis buat kesekian kalinya. Langkah ini akan dapat menyelamatkan BN daripada menghadapi satu malapetaka yang amat dahsyat, iaitu pilihanraya negeri Perak.

Walaupun langkah tersebut nampak seperti pengecut, namun, ianya berjaya menghalang PR daripada membubarkan DUN. Keadaan politik Perak nampaknya lebih teruk bergolak. Namun, kerajaan Perak seolah-olah telah bergerak secara sendirinya, tanpa mengetahui siapa menteri besar yang sebenar dan siapa yang berkuasa.

Pertelingkahan yang memerlukan campurtangan terakhir dari Sultan Azlan ini di harap akan menuju kepada pembubaran DUN supaya Perak dapat meneruskan agenda pembangunannya dan mengenepikan sebarang politikus yang hanya mengambil kesempatan untuk mempopularkan dirinya.

Sunday, March 1, 2009

PAC Perak panggil Zambry, Nizar dan Exco



Siapa Menteri Besar Perak sekarang? Nizar atau Zamry? Nizar telah memfailkan di mahkamah tinggi Kuala Lumpur untuk tidak mengesahkan perlantikan Zambry oleh Sultan Perak dan memohon mahkamah tinggi membubarkan DUN Perak diikuti oleh pilihanraya DUN negeri Perak.

Tindakan mengembalikan kuasa penentuan kerajaan mutlak negeri Perak kepada rakyat di lihat sebagai usaha murni untuk menjernihkan keadaan politik yang bergolak pada ketika ini.

Manakala di pihak kerajaan baru BN yang masih tiada ketentuan berkenaan pengesahan perlantikan Zamry sebagai menteri besar Perak, melalui era yang sukar bilamana mereka telah kalah di semua pilihanraya kecil selepas daripada tsunami rakyat pada PRU 12 yang lepas. Mereka tidak sanggup berhadapan lagi dengan sebarang pilihanraya, apalagi DUN sebuah negeri.

Manakala Sultan Azlan yang sepatutnya di lihat sebagai tidak berpihak kepada mana-mana pihak telah melukakan hati rakyat sehingga tidak pernah dalam sejarah pemerintahan beraja negeri Perak, rakyat telah mencerca baginda sultan sehingga memaksa penutupan laman rasmi web Sultan Perak.

Kini, hanya speaker dewan, V. Sivakumar sahaja, yang berkuasa ke atas DUN Perak dan telah pun memanggil sidang tergempar DUN yang bakal diadakan pada 3 hb. Mac, 2009. Menurut agensi berita, Sivakumar memberitahu media di Ipoh bahawa sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan persidangan biasa DUN dan bukannya untuk sidang tergempar.

Usul undi percaya kepada pemerintahan Nizar serta pembubaran DUN untuk membolehkan pilihanraya sekali lagi diadakan di Perak akan memihak kepada PR memandangkan kini mereka mempunyai 28 undi berbanding BN yang telah tinggal 21 undi akibat daripada sekatan 18 bulan yang dikenakan kepada Zambry dan 12 bulan kepada 6 exco lantikan Zamry.

Adalah dipercayai rakyat bakal menyaksikan satu lagi pertarungan sengit dalam pilihakraya DUN yang bakal datang, dijangkakan dalam bulan April 2009 nanti. Rakyat kini berkuasa kembali untuk menentukan siapa yang berhak memerintah Perak. Maka, jalankanlah kewajiban yang dipertanggung-jawabkan kepada anda.

Berkaitan hal siapakah menteri besar kini, lihat kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang dengan terang menyatakan bahawa tiada kuasa pun yang diberikan oleh perlembagaan kepada Sultan Azlan untuk memecat mana-mana menteri besar yang telah dilantik. Kuasa tersebut berada di tangan DUN apabila usul undi tidak percaya diadakan lalu Nizar tewas dalam undian. Klausa XVI (4) menyatakan bahawa baginda sultan berkuasa untuk tidak melantik menteri besar bukan pilihannya, tetapi Nizar adalah pilihan baginda sultan yang di lantik pada 8 Mac lalu, yang membawa maksud klausa ini tidak boleh digunakan di sini.

Klausa XVI (6) pula menyatakan sekiranya berlaku suatu keadaan di mana menteri besar telah tidak dapat menguasai dewan secara majoriti, kecuali atas permintaan baginda sultan untuk membubarkan DUN, menteri besar berkenaan dikehendaki meletakkan jawatan.

Peruntukan Perkara XVIII (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, antara lain, menyebut: "Maka Duli Yang Maha Mulia bolehlah memutuskan mengikut timbangannya sendiri pada menjalankan kuasa-kuasa yang tersebut di bawah (sebagai tambahan kepada kuasa-kuasa yang pada menyempurnakannya ia boleh memutuskan mengikut timbangan sendiri di bawah Perlembagaan Persekutuan) iaitu:

(a) Lantikan seorang Menteri Besar,

(b) Keengganan memberi persetujuan kepada satu permohonan bagi pembubaran Dewan Negeri,

maka, bagaimana baginda sultan boleh menggunakan klausa tersebut untuk melantik menteri besar baru apabila Nizar masih menteri besar Perak? Bolehkah dalam suatu masa baginda sultan melantik 2 menteri besar untuk memerintah Perak? Mungkin jika mengikut pangkat dan kekananan, Zambry perlu mengikut kata Nizar kerana Nizar telah menjadi menteri besar selama 11 bulan, manakala Zambry belum pun sebulan. Tak kan bini baru boleh arah bini tua ikut cakap dia. Terbalik juga tetapi pernah berlaku.

Senario terkini melihatkan bahawa DUN dikuasai sepenuhnya oleh PR dengan menduduki 28 kerusi. Nizar tidak perlu meletakkan jawatan. Beliau masih lagi memegang kerajaan dengan 28 DUN berbanding Zambry, 21. Jika tidak diambil kira pergantungan Zambry dan exco-exconya, Nizar dan Zamri adalah seri, 28 DUN masing-masing. 3 DUN lompat perlu menzahirkan dalam bentuk undi untuk menentukan mereka memihak kepada siapa.

Namun, isu speaker dewan yang telah mengistiharkan 2 DUN tersebut kosong tetapi dibantah SPR bakal tercabar dengan saman yang dikeluarkan oleh speaker kepada mahkamah tinggi. Maka, tinggal lagi 1 DUN, yang mana, bakal melihat satu lagi surat perletakan jawatan diterima oleh speaker dewan tidak lama lagi. 3 DUN berkenaan akan menghadapi satu lagi pilihanraya kecil untuk menentukan siapa yang bakal memerintah. Perlu diingatkan bahawa PR memenangi ketiga-tiga kerusi tersebut di dalam PRU 12 yang lalu.

Jika di tinjau mood pengundi terkini, PR boleh menang secara mudah. Akhirnya, mengembalikan kerusi berkenaan kepada PR untuk meneruskan kesinambungan pemerintahan dengan kuasa majoriti 31 DUN kembali.

http://www.malaysiakini.com/news/99303