Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


Memaparkan catatan dengan label Tasauf. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tasauf. Papar semua catatan

28 Disember 2012

KISAH BENAR: TAWAKKAL KEPADA ALLAH S.W.T



Kisah ini diceritakan sendiri oleh Atha' bin Al-Azraq. Pada suatu hari isteri Atha' menyuruhnya pergi ke pasar untuk membeli gandum kerana gandum di rumahnya telah habis. Setelah isterinya memberi wang sebanyak 2 dirham, Atha' mengambil karung guni dan berjalan menuju ke pasar.

Di dalam perjalanan dia mendapati seorang hamba sahaya sedang menangis. Orang ramai yang lalu lalang di situ tidak mempedulikan hamba tersebut. Oleh kerana kasihan melihat keadaan hamba tersebut, Atha' menghampiri hamba yang sedang menangis itu lalu bertanya: "Kenapa kamu menangis di tepi jalan ini?" Hamba itu menjawab: "Saya diberi wang sebanyak 2 dirham oleh tuan saya supaya membeli barang keperluan di pasar. Apabila tiba di sini, saya dapati wang itu sudah tiada." Hamba tadi menangis lebih kuat lagi seraya menyambung: "Mungkin wang itu tercicir semasa dalam perjalanan kemari."

Atha' bertanya lagi: "Kenapa kamu tidak pulang saja dan memberitahu tuanmu tentang kehilangan wang tersebut?." Sambil menangis hamba tadi menjawab: "Jika saya pulang dan memberitahu tentang kehilangan wang tersebut, tentulah saya dimarahi dan dipukul dengan teruk". Atha' merasa simpati di atas penjelasan hamba itu lalu berkata: "Ambil wang ini dan belilah barang-barang yang dipesan oleh tuanmu." Hamba tadi mengambil wang itu dan mengucapkan terima kasih kepada Atha' lalu beredar dari situ menuju ke pasar untuk membeli barang-barang yang dipesan oleh tuannya.

Setelah hamba tadi beredar dari situ Atha' berfikir sendirian: "Bagaimana aku hendak membeli gandum yang dipesan oleh isteriku sedangkan wang 2 dirham telah aku berikan kepada hamba tadi?" "Dari mana aku hendak mencari wang sebanyak itu?" katanya lagi. Untuk menenangkan fikirannya, Atha' menuju ke sebuah masjid yang berhampiran untuk menunaikan solat sunat. Atha' berada di dalam masjid agak lama, sehingga beliau sempat bersolat Asar di situ. Beliau berdoa supaya Allah SWT membantunya.

Setelah selesai solat Asar, Atha' menuju ke rumah kawannya kerana ia takut dileteri oleh isterinya kerana pulang tanpa membawa gandum yang dipesannya. Pada mulanya Atha' ingin menceritakan dan meminta bantuan daripada kawannya tetapi apabila tiba di rumah kawannya, ia tidak tergamak untuk memberitahu hajatnya. Apabila kawannya melihat Atha' membawa karung kosong, lalu kawannya bertanya: "Apa tu? Karung kosong?" jawab Atha': "Ya" "Kalau begitu isilah habuk kayu ini dan bawalah pulang untuk dijadikan bahan bakar," kata kawannya. Tanpa berkata apa-apa, Atha' terus mengisi karung guni dengan habuk kayu yang diberikan oleh kawannya dan terus pulang ke rumahnya.

Apabila tiba dirumahnya, Atha' meletakkan guni yang berisi habuk kayu tadi di rumahnya dan beredar dari situ dengan senyap-senyap kerana takut isterinya berleter disebabkan karung tersebut telah diisi dengan habuk kayu. Atha' kemudian menuju ke masjid. Agak lama juga beliau berada di sana sehingga hampir larut malam barulah dia pulang. Setibanya di rumah, dia tercium bau harum roti yang sedang dibakar. Atha' kemudiannya masuk ke dapur dan melihat isterinya sedang membakar roti lalu berkata: "Harumnya bau roti ini!" Jawab isterinya: "Memanglah kerana gandum ini dari kualiti yang baik". Atha' bertanya lagi: "Dari mana kamu dapat tepungnya?" "Dari mana lagi, dari karung yang awak bawa baliklah!", jawab isterinya. Atha' kehairanan lalu berkata di dalam hatinya: "Dari mana datangnya gandum itu sedangkan karung tadi berisi dengan habuk kayu. Ajaib sungguh!"

Atha' bertanya kepada isterinya: "Mana karungnya? Biar aku lihat.." Isterinya menghulurkan karung tadi dan dilihatnya. "Memang benar, karung tadi yang berisi habuk kayu telah bertukar menjadi gandum yang berkualiti baik," kata Atha' di dalam hatinya. Atha' hanya mampu memandang sahaja sedangkan dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya gandum tersebut.

Begitulah jika kita sentiasa merendah diri, beriman dan bertawakkal kepada Allah SWT...

Firman Allah SWT: “Dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pemelihara.” (QS Al-Ahzab: 33)

Allah SWT juga berfirman: “Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan yang teguh dan kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (QS Luqman: 22)

Wallahua’lam..

24 April 2012

GANJARAN TAQWA


Beriman kepada Allah SWT menuntut kita untuk melaksanakan ketaatan seorang hamba atau makhluk kepada Pencipta Yang Maha Agung. Semua makhluk ciptaan Allah SWT tidak terlepas daripada tuntutan ini. Firman Allah SWT: "Dan (Ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (QS Al-Dzaariyaat: 56)

Manusia diciptakan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan mematuhi dan melaksanakan segala titah perintah Allah SWT serta menjauhi segala laranganNya. Manusia yang menjadi sebaik-baik ciptaan telah dikurniakan dengan akal fikiran agar dapat dipergunakan untuk memikirkan tentang perintah dan kebesaran Allah SWT. Dengan kelebihan tersebut jua, Allah SWT telah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi sebagaimana firmanNya: "Dan (Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." (QS Al-Baqarah: 30) 

Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Said Alkhudri RA berkata: "Seorang datang kepada Nabi Muhammad SAW dan berkata: "Ya Rasulullah, nasihatilah aku." Nabi Muhammad SAW bersabda: "Jagalah taqwa kepada Allah SWT sebab taqwa itu menghimpunkan segala kebaikan. Dan kerjakan jihad sebab dia sebagai pertapaan bagi umat Islam. Dan lazimilah dzikrullah dan membaca Al-Quran, sebab ia cahaya penerangan untukmu di bumi dan sebutan namamu dilangit. Dan jagalah lidahmu kecuali dalam kebaikan sebab dengan itu dapat mengalahkan syaitan laknatullah."

Abul Laits berkata: "Taqwa kepada Allah SWT ialah mengerjakan perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya, maka siapa berbuat demikian bererti telah menghimpunkan semua kebaikan. Dan jagalah lidahmu dalam kebaikan bererti katakanlah yang baik sehingga untung dan diamlah dari kejahatan sehingga selamat. Dan manusia tidak dapat mengalahkan syaitan laknatullah kecuali dengan diam, kerana itu seharusnya seorang muslim menjaga lidahnya sehingga terlindung dari syaitan laknatullah. Dan Allah SWT akan menutup auratnya." 

Oleh yang demikian, manusia seharusnya dapat menjadi contoh ikutan bagi sekalian makhluk yang ada. Manusia yang taat kepada Allah SWT. adalah manusia yang bertaqwa. Ketaqwaan ini pula akan membawa kepada kemuliaan di sisi Allah SWT. di dunia mahupun di akhirat. Orang yang bertaqwa telah dijanjikan oleh Allah SWT. dengan beroleh kejayaan dan ganjaran kebaikan di dunia dan akhirat. Sebaliknya orang yang tidak taat dan ingkar dengan perintahNya akan beroleh balasan neraka dan azab siksa yang amat pedih. 

Dalam memenuhi tuntutan ini, kita seharusnya jelas dan faham akan maksud ketaatan dan ketaqwaan tersebut. Taqwa menurut tafsir Al-Quran pimpinan Ar-Rahman bererti memelihara atau melindungkan diri dari sesuatu yang ditakuti. Prof. Hamka pula dalam tafsir Al-Azhar berpendapat bahawa perkataan taqwa berasal dari perkataan 'waqayah' yang bermaksud ‘memelihara’. Jelasnya di sini, taqwa atau bertaqwa kepada Allah SWT bermaksud menjaga dan memelihara diri dari segala sesuatu yang membawa kepada kemurkaan Allah SWT dengan melaksanakan segala perintahNya, di samping sentiasa berusaha menjauhkan diri dari laranganNya.

Sesungguhnya Allah SWT amat kasihkan hambaNya yang bertaqwa dan sentiasa beramal soleh. Mereka ini akan beroleh rahmat dan kurniaan yang besar daripada Allah SWT, sama ada di dunia mahupun di akhirat. Kurniaan tersebut ada disebut di dalam Al-Quran, antaranya: 

Pemeliharaan daripada Musuh
Orang-orang yang bersabar dan bertaqwa sentiasa dipelihara dari tipudaya musuh. FirmanNya: "Kalau kamu beroleh kebaikan, menyakitkan hati mereka, dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan." (QS Ali 'Imran: 120)

Allah SWT juga berfirman: "Bahkan jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing." (QS Ali 'Imran: 125) 

Mendapat Petunjuk, Perlindungan dan Pertolongan Allah SWT
Orang-orang yang bertaqwa mendapat petunjuk, perlindungan serta pertolongan Allah SWT. FirmanNya: "Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya, ianya menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa." (QS Al-Baqarah: 2)

Allah SWT juga berfirman: "Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan Kami akan biarkan orang-orang yang zalim tinggal berlutut di dalam neraka itu." (QS Maryam: 72)

Di dalam Al-Quran juga dinyatakan: “Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman serta mereka yang tetap bertaqwa." (QS Al-Fussilat: 18) 

Rezeki yang berkat
Orang-orang yang bertaqwa juga dijanjikan rezeki daripada Allah SWT. Firman Allah SWT: "Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa." (QS Taha: 132) 

dipermudahkan segala urusan
Orang-orang yang bertaqwa juga mendapat kemudahan dalam segala urusan mereka. FirmanNya: "Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya." (QS At-Thalaq: 4) 

Balasan Kebaikan serta Keampunan Allah SWT
Orang-orang yang bertaqwa juga beroleh kebaikan serta maghfirah (pengampunan) dari Allah SWT. FirmanNya: "Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar." (QS Ali Imran: 179)

Juga disebut di dalam Al-Quran: "Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan." (QS Yusuf: 90)

Allah SWT juga berfirman: "Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah, merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertaqwa, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar." (QS Al-Hujuraat: 3) 

Dikasihi SERTA HAMPIR DENGAN Allah SWT
Orang-orang yang bertaqwa dikasihi Allah SWT. FirmanNya: "Bahkan, sesiapa yang menyempurnakan janjinya dan bertaqwa maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa." (QS Ali Imran: 76)

Allah SWT juga berfirman: "Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa." (QS At-Taubah: 7)

Juga dinyatakan di alam Al-Quran: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan bagi mereka taman-taman syurga yang penuh nikmat, di sisi Tuhan mereka.” (QS Al-Qalam: 34)

PENGHORMATAN DAN Kemuliaan
Orang-orang yang bertaqwa kelak akan diberikan penghormatan serta kemuliaan. FirmanNya: "Wahai hamba-hambaKu! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan, dan kamu pula tidak akan berdukacita." (QS Az-Zukhruf: 68) 

pembebasan dari Api Neraka
Orang-orang yang bertaqwa akan diselamatkan dari api neraka. FirmanNya: "Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan Kami akan biarkan orang-orang yang zalim tinggal berlutut di dalam neraka itu." (QS Maryam: 72) 

Pembalasan Syurga
Orang-orang yang bertaqwa kelak akan dimasukkan ke dalam syurga. FirmanNya: "Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." (QS Ali Imran: 133)

Allah SWT juga berfirman: "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya." (QS Al-Hijr: 45)

Juga disebut di dalam Al-Quran: "Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pesaka kepada orang-orang yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami." (QS Maryam: 63) 

Beroleh Rahmat
Orang-orang yang bertaqwa beroleh rahmat dari Allah SWT. FirmanNya: "Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya. Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya, dan bertaqwalah, mudah-mudahan kamu beroleh rahmat." (QS Al-An'am: 155)

Allah SWT juga berfirman: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudaramu itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (QS Al-Hujuraat: 10)

Demikianlah besarnya kurniaan dan kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang bertaqwa dan sentiasa melakukan amal soleh. Sehubungan itu, bertaqwalah kita dengan sebenar-benar taqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya untuk meraih keredhaanNya. Insya Allah...

Wallahua’lam.


19 Februari 2012

TAUBAT...

Diriwayatkan dari Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Orang yang bertaubat dari dosa adalah seperti orang yang tidak berdosa, dan jika Allah mencintai seorang hamba, nescaya dosa tidak melekat pada dirinya."

Ketika beliau ditanya: “Wahai Rasulullah, apa tandanya taubat?”, Rasulullah SAW menjawab: “Menyesali kesalahan.”

Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiada sesuatu yang lebih dicintai oleh Allah selain pemuda yang bertaubat.”

Makna taubat dalam bahasa Arab adalah ‘kembali’ – ia merupakan tingkat pertama di antara maqam yang ditempuh oleh sufi, dan tahap pertama di antara tahap-tahap yang dicapai oleh salik (si penempuh jalan Allah).

Sebuah hadis mengatakan: “Pengingat Tuhan di dalam hati setiap insan adalah Muslim.” Abu Hafs Al-Haddad mengatakan: “Saya meninggalkan suatu perbuatan tercela, lalu kembali kepadanya. Kemudian perbuatan itu meninggalkan saya, dan sesudah itu saya tidak kembali kepadanya.”

Syeikh Abu Ali Al-Daqqaq mengatakan: “Salah seorang murid bertaubat, kemudian menerima ujian. Dia bertanya-tanya di dalam hati: “Jika saya bertaubat, bagaimanakah keadaan saya nanti?” Syeikh Abu Ali Al-Daqqaq pula mengatakan: Taubat dibahagikan menjadi 3 tahap: tahap pertama adalah tawbah (taubat), tahap kedua adalah inabah (berpaling kepada Tuhan), dan tahap akhir adalah awbah (kembali).

Syeikh Al-Junaid Al-Baghdadi mengatakan: “Taubat mempunyai 3 makna. Pertama menyesali kesalahan; kedua tetap hati untuk tidak mengulang kembali kepada apa yang telah dilarang oleh Allah SWT, dan ketiga adalah menyelesaikan keluhan orang terhadap dirinya.”

Sahl Ibn Abdullah menyatakan: “Taubat adalah menghentikan sikap suka menunda-nunda.” Al-Harith pula menegaskan: “Saya tidak pernah mengatakan: “Wahai Tuhanku, aku memohon ampunan-Mu.’ Saya mengatakan: ‘Kurniakan kepadaku, wahai Tuhan, kerinduan untuk bertaubat.’

Al-Junaid mengunjungi As-Sari Saqathy pada suatu hari, dan mendapatinya sedang kebingungan. Beliau bertanya: “Apa yang terjadi atas dirimu?” As-Sari menjawab: “Aku bertemu dengan seorang pemuda, dan dia bertanya tentang taubat kepadaku. Ku beritahu dia – ‘Taubat adalah engkau tidak melupakan dosa-dosamu.’ Lantas beliau menegurku dengan mengatakan: ‘Taubat adalah bahawa engkau benar-benar melupakan dosa-dosamu.’ Al-Junaid mengatakan bahawa yang dikatakan oleh pemuda itulah yang benar. As-Sari bertanya kepadanya mengapa beliau berpendapat seperti itu. Al-Junaid menjawab: ‘Kerana apabila aku kafir dan kemudian Dia membimbingku menjadi Muslim, maka ingatan akan kekafiran dalam taubat merupakan kekafiran.’ As-Sari lalu terdiam. Al-Junaid merujuk taubatnya orang-orang yang telah mencapai kebenaran, yang tidak ingat akan dosa-dosa mereka lagi kerana keagungan Allah SWT telah menguasai hati mereka, dan zikir yang terus mereka lakukan.

Menurut Ruwaym: Ia adalah taubat dari taubat.

Dzun Nun Al-Mishri memberi penjelasan: “Taubat dari kalangan orang awam adalah taubat dari dosa, dan taubat kaum terpilih adalah taubat dari kealpaan.”

Abul Hussain An-Nuri mengatakan: “Taubat adalah bahawa engkau berpaling dari segala sesuatu selain Allah SWT.”

Yahya bin Muaz berdoa: “Wahai Tuhanku, aku tidak mengatakan bahawa aku telah bertaubat. Aku tidak kembali kepada-Mu disebabkan sesuatu yang menurutku adalah kecenderunganku, aku tidak bersumpah bahawa aku tidak akan berbuat dosa lagi, kerana aku mengetahui kelemahanku sendiri. Aku tidak mengatakan bahawa aku kembali kepada-Mu kerana boleh jadi aku mati sebelum kembali dengan sungguh-sungguh.”

Dzun Nun mengatakan: “Permohonan keampunan diajukan dengan tidak disertai kehati-hatian adalah taubatnya para pendusta.”

Ketika Ibn Yazdanyar ditanya tentang prinsip-prinsip yang menjadi asas perjalanan seorang hamba menuju Tuhan, beliau menjawab: “Prinsip-prinsip yang engkau maksudkan ialah bahawa dia tidak kembali kepada sesuatu yang telah dia tinggalkan, tidak meminta segala sesuatu selain Yang Esa yang kepada Nya dia menuju, dan menjaga lubuk hatinya dari menginginkan sesuatu yang darinya dia telah menjauhkan diri.”

Taubat ialah saat di mana engkau mengingat dosa dan tidak menemukan kemanisan di dalamnya.”, kata Al-Bunsyanji.

Perasaan taubat adalah bahawa bumi ini terlalu sempit meskipun ia luas sehingga kita tidak menjumpai tempat untuk beristirahat. Lalu kita merasakan jiwa kita terbatas, kerana Allah SWT telah berfirman: Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa merekapun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (QS At-Taubah:118)

Ibn Atha’ mengatakan “Terdapat dua jenis taubat: inabah (kembali) dan istijabah (menjawab atau memenuhi). Dalam inabah, seorang hamba bertaubat kerana takut akan hukuman; dalam istijabah, dia bertaubat kerana malu akan kemurahan-Nya."

Abu Hafs mengatakan: “Seorang hamba tidak bersangkut paut dengan taubat. Taubat datang kepadanya, bukan dari dirinya.” Abu Hafs ditanya: “Mengapa orang-orang bertaubat membenci dunia?” Beliau menjawab: “Kerana ia merupakan tempat dosa-dosa dikejar.” Dan dikatakan kepadanya: “Ia juga tempat tinggal yang dijunjung tinggi oleh Tuhan dengan taubat. Beliau mengatakan: “Pendosa mendapatkan keyakinan dari dosanya, tetapi mendapatkan bahaya dari penerimaan atas taubatnya.”

Diriwayatkan bahawa Allah SWT berfirman kepada Adam: “Wahai Adam, Aku telah mewariskan anak cucumu beban dan penderitaan. Aku juga telah mewariskan kepada mereka taubat. Aku menjawab seorang di antara mereka, yang berdoa dengan sungguh-sungguh kepada Ku sebagaimana kamu telah berdoa kepada-Ku, sama sebagaimana Aku menjawabmu. Wahai Adam, Aku akan membangkitkan orang-orang yang bertaubat dari kubur-kubur mereka dalam keadaan gembira; doa mereka akan Ku-jawab.”

Diriwayatkan seseorang telah bertanya kepada Rabiatul Adawiyah: "Saya telah sering berbuat dosa dan menjadi semakin tidak taat. Tetapi, apabila saya bertaubat, apakah Dia akan mengampuninya?" Rabiatul Adawiyah menjawab: "Tidak!, tetapi apabila Dia mengampunimu, maka engkau akan bertaubat."

Nabi Muhammad SAW bertaubat secara berterusan. Baginda mengatakan: “Hatiku suram, oleh kerana itu aku memohon ampunan Allah 70 kali dalam sehari.”

Yahya bin Muaz RA menyatakan: Satu pelanggaran saja sesudah taubat lebih patut ditakuti berbanding 70 pelanggaran sebelum taubat.

"Katakanlah kepada orang-orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, apa yang mereka perbuat." (QS An-Nur: 30)

"Katakanlah kepada wanita yang beriman :"Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita), atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." (QS An-Nur: 31)

"Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: “Haid itu adalah suatu kotoran”, oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (QS Al-Baqarah:222)

"Hanya orang-orang yang mendengar sajalah yang mematuhi, dan orang-orang yang mati (hatinya), akan dibangkitkan oleh Allah, kemudian kepada-Nya-lah mereka dikembalikan." (QS Al-An'am:36)

Wallahua’lam




23 Januari 2012

4 SIFAT RASULULLAH SAW: SIDDIQ, AMANAH, TABLIGH & FATHONAH



Nabi Muhammad SAW merupakan seorang yang amat bersopan dalam bertutur kata, jujur, tidak pernah berdusta serta luhur budi pekertinya. Hal inilah yang membuat kita mengagumi Baginda. Sehingga ke hari ini, Baginda SAW dikagumi ramai orang di seluruh pelosok dunia kerana keperibadian Baginda yang amat luar biasa. Michael H.Hart di dalam bukunya ‘The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History’ meletakkan Rasulullah SAW sebagai manusia paling berpengaruh di dunia di kalangan 100 orang manusia paling berpengaruh di dalam sejarah dunia.


Beliau mempunyai perilaku dan akhlak yang sangat mulia terhadap sesama manusia, khususnya terhadap umatnya tanpa membezakan atau memandang seseorang dari status sosial, warna kulit, suku bangsa atau golongan. Beliau selalu berbuat baik kepada siapa saja bahkan kepada orang jahat atau orang yang tidak baik kepadanya. Oleh kerana itu tidak menghairankan kerana di dalam Al-Quran, beliau disebut sebagai manusia yang memiliki akhlak yang paling agung.

Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (QS Al-Ahzab: 21)

Nabi Muhammad SAW memiliki akhlak dan sifat-sifat yang sangat mulia. Oleh kerana itu hendaklah kita mempelajari sifat-sifat Baginda iaitu Siddiq, Amanah Tabligh dan Fathonah.


SIDDIQ

Siddiq ertinya benar. Benar adalah suatu sifat yang mulia yang menghiasi akhlak seseorang yang beriman kepada Allah dan kepada perkara-perkara yang ghaib. Ia merupakan sifat pertama yang wajib dimiliki para Nabi dan Rasul yang dikirim Tuhan ke alam dunia ini bagi membawa wahyu dan agamanya.

Pada diri Rasulullah SAW, bukan hanya perkataannya yang benar, malah perbuatannya juga benar, yakni sejalan dengan ucapannya. Jadi mustahil bagi Rasulullah SAW itu bersifat pembohong, penipu dan sebagainya.

Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (QS An-Najm: 4~5)


AMANAH

Amanah ertinya benar-benar boleh dipercayai. Jika satu urusan diserahkan kepadanya, nescaya orang percaya bahawa urusan itu akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Oleh kerana itulah penduduk Makkah member gelaran kepada Nabi Muhammad SAW dengan gelaran ‘Al-Amin’ yang bermaksud ‘terpercaya’, jauh sebelum beliau diangkat jadi seorang Rasul. Apa pun yang beliau ucapkan, dipercayai dan diyakini penduduk Makkah kerana beliau terkenal sebagai seorang yang tidak pernah berdusta.

Aku menyampaikan amanat-amanat Tuhanku kepadamu dan aku hanyalah pemberi nasihat yang terpercaya bagimu.” (QS Al-A'raaf: 68)

Mustahil Rasulullah SAW itu berlaku khianat terhadap orang yang memberinya amanah. Baginda tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai Rasul atau sebagai pemimpin bangsa Arab untuk kepentingan peribadinya atau kepentingan keluarganya, namun yang dilakukan Baginda adalah semata-mata untuk kepentingan Islam melalui ajaran Allah SWT.

Ketika Nabi Muhammad SAW ditawarkan kerajaan, harta, wanita oleh kaum Quraisy agar beliau meninggalkan tugas ilahinya menyiarkan agama Islam, Baginda menjawab:

Demi Allah… wahai pakcik, seandainya mereka dapat meletakkan matahari di tangan kanan ku dan bulan di tangan kiri ku agar aku meninggalkan tugas suci ku, maka aku tidak akan meninggalkannya sampai Allah memenangkan (Islam) atau aku hancur kerananya”……

Meskipun kaum kafir Quraisy mengancam membunuh Baginda, namun Baginda tidak gentar dan tetap menjalankan amanah yang dia terima. Setiap orang Muslim sepatutnya memiliki sifat amanah seperti Baginda SAW.


TABLIGH

Tabligh ertinya menyampaikan. Segala firman Allah SWT yang ditujukan oleh manusia, disampaikan oleh Baginda. Tidak ada yang disembunyikan walaupun ianya menyinggung Baginda sendiri.

Supaya Dia mengetahui, bahawa sesungguhnya rasul-rasul itu telah menyampaikan risalah-risalah Tuhannya, sedang ilmu-Nya meliputi apa yang ada pada mereka, dan Dia menghitung segala sesuatu satu persatu.” (QS Al-Jin: 28)

Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya.” (QS 'Abasa: 1~2)

Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa firman Allah (QS 'Abasa: 1) turun berkenaan dengan Ibnu Ummi Maktum yang buta yang datang kepada Rasulullah SAW sambil berkata: “Berilah petunjuk kepadaku, ya Rasulullah.” Pada waktu itu Rasulullah SAW sedang menghadapi para pembesar kaum musyrikin Quraisy, sehingga Rasulullah berpaling daripadanya dan tetap melayani pembesar-pembesar Quraisy. Ummi Maktum berkata: “Apakah yang saya katakan ini mengganggu tuan?” Rasulullah menjawab: “Tidak.” Maka ayat ini turun sebagai teguran di atas perbuatan Rasulullah SAW. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan al-Hakim yang bersumber dari ‘Aisyah. Diriwayatkan pula oleh Ibnu Ya’la yang bersumber dari Anas.)

Sebetulnya apa yang dilakukan Rasulullah SAW itu menurut standard umum adalah hal yang wajar. Ketika sedang berbicara di depan umum atau dengan seseorang, tentu kita tidak suka diganggu oleh orang lain. Namun untuk standard Nabi, itu tidak cukup. Oleh kerana itulah Allah SWT telah menegur Baginda SAW.

Sebagai seorang yang tabligh, meski ayat itu menyindirnya, Nabi Muhammad SAW tetap menyampaikannya kepada kita. Itulah sifat seorang Nabi. Jadi, mustahil Nabi itu ‘kitman’ atau menyembunyikan wahyu.


FATHONAH

Fathonah ertinya bijaksana. Mustahil bagi seseorang Rasul itu bersifat bodoh atau jahlun. Dalam menyampaikan ayat Al-Quran dan kemudian menjelaskannya dalam puluhan ribu hadis memerlukan kebijaksanaan yang luar biasa.

Baginda SAW harus mampu menjelaskan firman-firman Allah SWT kepada kaumnya sehingga mereka mahu memeluk Islam. Nabi juga harus mampu berdebat dengan orang-orang kafir dengan cara yang sebaik-baiknya.

Apatah lagi Baginda mampu mengatur umatnya sehingga berjaya mentransformasikan bangsa Arab jahiliah yang asalnya bodoh, kasar/bengis, berpecah-belah serta sentiasa berperang antara suku, menjadi satu bangsa yang berbudaya dan berpengetahuan. Itu semua memerlukan kebijaksanaan yang luar biasa.

Semoga kita dapat menerapkan 4 sifat Baginda SAW di atas di dalam kehidupan kita dan mendapat keredhaan Allah SWT.

Wallahua’lam.