Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


Memaparkan catatan dengan label Ilmu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ilmu. Papar semua catatan

24 Jun 2014

TELAGA HAUDH RASULULLAH S.A.W.


Al-Haudh dari sudut bahasa bermaksud kolam atau tempat air, tetapi yang dimaksudkan haudh di sini adalah telaga Rasulullah SAW kerana Allah SWT menyediakan sebuah telaga yang diperuntukkan khas kepada Nabi Muhammad SAW yang terletak di padang Mahsyar pada hari akhirat kelak. 
 
Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berkhutbah di Ghadir Khom: "Sesungguhnya aku meninggalkan di tengah-tengah kamu dua perkara yang berat (As-Thaqalain), Kitab Allah dan Itrahku (keturunanku, yakni Ahlul Bait Baginda), dan bahawa keduanya tidak akan berpisah sehingga kelak datang kepadaku di Telaga Haudh."

Setiap nabi memiliki telaga yang diperuntukkan kepada umat masing-masing. Namun telaga Rasulullah SAW merupakan telaga yang berlainan dengan telaga-telaga para nabi-nabi yang lain. Telaga Baginda SAW adalah telaga paling besar, paling indah, paling lazat airnya, dan paling ramai dikunjungi oleh umatnya.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya setiap Nabi mempunyai al-haudh (telaga) dan mereka saling berbangga diri, siapa di antara mereka yang paling banyak peminumnya (pengikutnya). Dan sungguh aku berharap, akulah yang paling banyak pengikutnya.” (HR Tirmidzi)

Rasulullah SAW juga bersabda: “Dialirkan pada telagaku itu dua saluran air yang (bersumber) dari (sungai al-Kautsar) di Syurga…” (HR Muslim)

Anas bin Malik RA menceritakan: “Pada suatu hari, ketika Rasulullah SAW berada di tengah-tengah kami, tiba-tiba baginda mengantuk sekejap. Kemudian Baginda mengangkat kepala sambil tersenyum. Maka kami pun bertanya: “Apa yang membuatkan Tuan tersenyum, ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Baru saja diturunkan kepadaku sebuah surah.” Lalu Beliau membaca: (maksudnya):

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu al-Kautsar. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus (dari rahmat Allah).” (QS Al-Kautsar: 1-3)

Kemudian Rasulullah SAW berkata: “Apakah kalian tahu apakah Al-Kautsar itu?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Al-Kautsar adalah sungai yang dijanjikan oleh Tuhanku ‘Azza wa Jalla untukku. Di sana, terdapat kebaikan yang banyak. Ia adalah (sumber air) telaga yang akan didatangi umatku pada hari Kiamat. Jumlah gayungnya sebanyak bintang-bintang.” (HR Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Telagaku (panjang dan lebarnya) satu bulan perjalanan. Airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih harum daripada kasturi, cawannya sebanyak bintang di langit. Sesiapa yang minum darinya, dia tidak akan haus untuk selamanya.” (HR Bukhari & Muslim)

Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya telagaku itu lebih panjang dari jarak antara Aylah (sebuah kota di teluk ‘Aqobah, Jordan) dan ‘Adan (kota Yaman). Seseungguhnya air telagaku itu lebih putih dari salji, lebih manis dari madu dicampur susu, serta bejana-bejananya lebih banyak dari bintang-bintang. Aku sungguh akan menjaganya dari orang lain, sebagaimana seseorang menjaga telaganya dari unta orang lain.” Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, apakah pada hari itu tuan mengenali kami?” Baginda SAW menjawab: “Ya. Kalian punya tanda yang tidak dimiliki oleh umat lain. Kalian datang kepadaku dengan dahi dan kaki bercahaya putih kerana wuduk.” (HR Muslim)

Namun, ada sebahagian dari kalangan umat Nabi Muhammad SAW yang akan diusir ketika ingin mendatangi telaga itu. Di antara mereka adalah orang-orang yang menyimpang atau mengubah ajaran sebenar (sunnah) Rasulullah SAW atau kembali kafir setelah beriman selepas kewafatan Baginda.

Sabda Rasulullah SAW: “Aku adalah pendahulu kalian menuju telaga. Siapa saja yang melewatinya, pasti akan meminumnya. Dan sesiapa meminumnya, niscaya tidak akan haus selamanya. Nanti akan datang beberapa orang yang aku mengenali mereka dan mereka mengenaliku, namun mereka terhalangi dari menemui diriku.” (HR Bukhari & Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Aku berkata: “Mereka termasuk umatku!” Namun muncul jawapan: “Engkau tidak mengetahui perkara yang mereka ada-adakan selepas sepeninggalanmu.” Aku pun berkata: “Pergi dari sini! Pergi dari sini! Bagi orang yang mengubah (ajaran agama) setelahku.” (HR Bukhari)

Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya selepasku nanti akan ada para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa pergi kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka, maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan dapat mendatangi telagaku. Sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan dapat mendatangi telagaku.” (HR Ahmad, Nasai dan Tirmidzi)

“Ya Allah.. Izinkan dan permudahkanlah bagi kami agar dapat meminum air dari telaga Rasulullah SAW di akhirat kelak. Amin, ya Rabbal ’alamin...”

Wallahu a’lam..

01 Mac 2013

ADAB MAKAN & MINUM RASULULLAH S.A.W



Islam adalah cara hidup  yang merangkumi semua aspek kehidupan yang mencerminkan akhlak yang terpuji. Salah satu aspek yang ditekankan termasuklah adab makan dan minum. Firman Allah SWT: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (QS Al-Baqarah: 168)

Terdapat beberapa adab yang perlu dipatuhi untuk memastikan kesihatan tubuh badan sentiasa terjaga. Islam tidak menggalakkan penganutnya makan sesuka hati, makan terlalu kenyang dan sebagainya. Tabiat pemakanan yang terbaik untuk diteladani ialah mengikut amalan Rasulullah SAW.

Amalan pemakanan Baginda SAW amat bertepatan dengan firman Allah SWT: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat beribadat dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” (QS al-A’raf: 31) 

Abdullah bin Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang kafir makan dengan tujuh perut, manakala orang mukmin itu makan dengan satu perut sahaja.” (HR Al-Bukhari & Muslim)

Al-Bazzar pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling banyak kenyang semasa di dunia adalah orang yang paling banyak mengalami kelaparan pada hari kiamat.” (HR At-Tirmidzi)

Ada beberapa panduan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya, antaranya adalah agar memulai dengan ‘Bismillah’ ketika hendak makan dan diakhiri dengan ‘Alhamdulillah’. Hikmah membaca Basmalah dan Alhamdulillah bagi seorang Islam adalah peringatan bahawa makanan yang hendak dimakan adalah nikmat, rezeki dan anugerah daripada Allah SWT yang semestinya disyukuri.

Rasulullah SAW hanya makan ketika lapar dan Baginda berhenti sebelum perut berasa kenyang. Cara Rasulullah SAW duduk ketika makan adalah seperti duduk tahiyat awal tetapi lutut kanan dinaikkan. Posisi ini bukan saja dapat memberi keselesaan pada perut, malah dapat menjaga keseimbangan ruang dalam perut agar terbahagi kepada tiga bahagian. 1/3 ruang untuk makanan, 1/3 bahagian untuk udara dan 1/3 lagi untuk air. Mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak sekaligus adalah amalan yang buruk kerana ia membebankan organ dan sistem pencernaan sehingga menjadi lemah dan tidak mampu mencerna dengan baik.

Sabda Baginda SAW: “Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya.” (HR At-Tirmidzi)

Di samping itu, Baginda SAW juga tidak pernah makan dalam keadaan bersandar, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Juhaifah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku tidak akan makan dalam keadaan bersandar.” 

Rasulullah SAW makan dengan menggunakan tangan kanan. Rasulullah SAW bersabda: Jika salah seorang antara kalian hendak makan, maka hendaknya makan dengan menggunakan tangan kanan dan apabila hendak minum maka hendaknya minum juga dengan tangan kanan. Sesungguhnya syaitan itu makan dengan tangan kiri dan juga minum dengan menggunakan tangan kirinya.” (HR Muslim). 

Baginda SAW memakan makanan dengan tiga jari dan selepas selesai makan, Baginda SAW menjilat ketiga jari tersebut sebelum membersihkannya. Hikmahnya, kandungan enzim yang ada pada tangan atau jari kita tadi akan lebih cepat bercampur dengan makanan dan seterusnya memudahkan proses pencernaan. Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang daripada kamu sudah selesai makan, jangan dibersihkan jarinya sebelum dia menjilatnya.” (HR Muslim) 

Perbuatan membasuh tangan dan berkumur sebelum dan selepas makan adalah amalan sunnah yang juga bertujuan untuk membersihkan gigi daripada sisa makanan dan bakteria. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Berkumurlah kalian selepas minum susu kerana di dalamnya mengandungi lemak.” (HR Ibnu Majah) 

Di samping itu, Rasulullah SAW gemar berkongsi makan dalam dulang bersama-sama dengan sahabat Baginda. Secara tidak langsung ianya mewujudkan kemesraan dan meningkatkan kasih sayang terhadap sesama Muslim. Selain itu, amalan berkongsi makanan dalam satu dulang juga dapat mengelakkan pembaziran. Sabda Rasulullah SAW: Berkumpullah kalian dalam menyantap makanan, kerana dalam makan bersama itu akan memberikan barakah kepada kalian.” (HR Abu Dawud) 

Imam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah menyatakan antara etika makan ialah membicarakan hal yang baik dan menceritakan kisah orang yang soleh ketika makan. Menurut al-Hafidz dan Sheikhul Islam Ibn al-Qayyim rahimahullah, Rasulullah SAW bercakap dan berbual ketika makan. 

Ada kalanya Nabi SAW bertanya apakah makanan pada hari ini dan memuji makanan itu.” (HR Muslim). “Dan ada kalanya Nabi SAW mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya. Ada ketika Nabi SAW sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah lauk pauk dan minuman.” (HR Al-Bukhari). 

Ketika makan jangan terlalu banyak bercakap atau bercakap dengan makanan penuh dalam mulut. Juga jangan bercakap mengenai hal yang boleh menimbulkan rasa jijik atau loya. Hendaklah mengambil makanan yang paling dekat. Dalam satu hadis, yang diriwayatkan daripada Umar bin Abi Salamah RA, beliau berkata: “Semasa aku kanak-kanak, aku makan di dalam bilik bersama Rasulullah SAW. Tanganku melintasi (menjangkaui) segala piring-piring, lalu disebut oleh Rasulullah SAW: Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah dan makanlah dengan tangan kananmu dan makan makanan yang paling hampir denganmu.” 

Umat Islam juga dilarang menggunakan bekas makanan yang diperbuat dari emas dan perak. Bukan sekadar kurang adab, malahan merupakan satu dosa apabila seseorang itu minum dan makan dengan menggunakan bekas daripada emas dan perak. Tindakan menggunakan emas dan perak ketika makan dan minum, melambangkan kesombongan, sedangkan sifat sombong adalah hak mutlak Allah SWT sahaja.

Dalam satu hadis, daripada Huzaifah bin Al-Yaman RA, beliau berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Jangan kamu minum dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan dari keduanya kerana sesungguhnya ia untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia dan untuk kamu di akhirat.” (HR Al-Bukhari & Muslim)

Berkata Imam an-Nawawi: “Telah disepakati oleh sekelian ulama’ bahawa diharamkan menggunakan bekas dari emas dan perak sama ada untuk makan, minum, bersuci atau bentuk-bentuk penggunaan yang lain, sama ada bekas itu besar atau kecil, sama ada yang menggunakannya itu lelaki atau perempuan.” (Syarah Sahih Muslim, Imam an-Nawawi)

Kadang-kadang, ketika makan, ada makanan yang tidak sesuai dengan selera kita, tidak sedap dan sebagainya. Situasi begini tidak hanya berlaku pada diri kita sahaja, malahan berlaku juga pada Rasulullah SAW. Apakah tindakan Baginda apabila menghadapi situasi sedemikian?

Dalam hadis, daripada Abu Hurairah RA berkata: “Nabi SAW tidak pernah mencela makanan sedikitpun. Sekiranya Nabi menyukainya, pasti Baginda akan memakannya. Dan jika Baginda tidak menyukainya, Baginda akan meninggalkannya (yakni tidak memakannya).”

Rasulullah SAW juga ada memberi panduan mengenai cara minum antaranya jangan minum berdiri, jangan meniup air yang panas, jangan minum daripada bekas air yang besar, jangan bernafas ketika sedang minum dan minum seteguk diselang seli dengan nafas.

Peringatan Allah SWT melalui firmanNya: “Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang neraka menjadi tempat tinggal mereka.” (QS Muhammad: 12)

Mudah-mudahan bermanfaat sebagai peringatan bagi kita untuk mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Mereka itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu akan petunjuk mereka. Katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk sekelian alam.” (QS Al-An’am: 90)

Wallahua’lam.


07 Disember 2012

KASIH SAYANG



Rasulullah SAW pernah bersabda: "Tidak akan masuk Syurga selain pengasih." Lantas mereka berkata: "Ya Rasulullah, tiap-tiap kami adalah pengasih." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah pengasih orang yang menyayangi dirinya saja. Tetapi pengasih itu orang yang menyayangi orang lain seperti menyayangi diri sendiri."

Erti menyayangi diri itu menyayangi dari seksa Allah SWT dengan meninggalkan maksiat serta bertaubat di samping taat dan ikhlas. Erti menyayangi orang lain adalah tidak menyakiti seorang muslim, sama ada terhadap anggota zahirnya mahupun hatinya.

Rasulullah SAW bersabda: "Muslim adalah orang yang menjaga tangan dan lisannya terhadap orang lain. Di samping itu juga menyayangi binatang dan tidak menyeksanya."

Baginda SAW juga bersabda: "Suatu hari seorang berjalan. Di pertengahan jalan dia kehausan. Apabila menemui sumur, beliau terus turun dan minum. Ketika naik, dia melihat anjing menjulurkan lidah kerana kehausan. Lelaki itu berkata: "Anjing ini kehausan seperti aku tadi. Lalu dia berikan anjing itu minum. Legalah anjing itu dan bersyukur kepada Allah. Sehingga Allah mengampunkan lelaki itu."

Seseorang bertanya: "Ya Rasulullah, adalah pahala bagi kami bila berbuat baik pada binatang?" Rasulullah SAW menjawab: "Pada setiap yang berhati baik ada pahalanya."

Dari Anas bin Malik RA, dia berkata: "Pada suatu malam Umar RA berjalan. Tiba-tiba beliau berjumpa dengan orang-orang yang bimbang akan kecurian. Lalu Umar berjumpa Abdul Rahman bin Auf RA yang lalu menegurnya: "Apa yang engkau bawa saat ini wahai Amirul Mukminin?" Umar menjawab: "Aku bertemu dengan orang-orang yang bercerita padaku bahawa mereka sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga kerana selalu terjadi kecurian. Marilah bersamaku menjaga mereka."

Anas berkata: "Keduanya lalu pergi menjaga orang yang bimbang pada pencuri itu hingga terbit fajar dan memanggil: "Wahai penduduk Rufqah! Solat! Hingga keduanya melihat mereka bangun dan berangkat. Demikianlah, kita mengikuti jejak para sahabat di mana Allah SWT memuji mereka dengan firman-Nya: "Belas kasihan antara mereka. Sedang mereka jelas mengasihi sesama muslim, semua makhluk dan ahlus  zimmah.”

Diriwayatkan dari Sayyidina Umar RA bahawa dia melihat lelaki tua sedang mengemis. Umar menegurnya: "Alangkah lalainya aku. Telah kuambil tenagamu di waktu mudamu, namun kini kusia-siakan engkau." Lalu Umar perintahkan agar orang tua itu diberi wang dari Baitul Mal.

Dari Hasan RA, Rasulullah SAW bersabda: "Umatku masuk Syurga bukanlah kerana banyak solat dan puasa, tetapi disebabkan selamatnya hati dan kemurahan jiwa dan kasih sayang kepada sesama muslim."

Rasululullah SAW bersabda: “Para pengasih akan dikasihi oleh Yang Maha Pengasih. Kasihanilah yang di bumi, maka yang di langit akan mengasihimu."

Baginda SAW juga bersabda: "Sesiapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi dan siapa yang tidak pemaaf, takkan dimaafkan pula." 

Telah berkata Malik bin Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Padamu ada empat hak sesama muslim; kau ziarahi yang sakit dan kau sukai taubat." 

Diriwayatkan bahawa Nabi Musa AS berkata: "Ya Tuhanku, sebab apa Engkau jadikan aku sufi?" Allah SWT berfirman: "Sebab kasihmu pada makhlukKu." Dari Abi Darda' RA: Sesungguhnya dia membeli burung dari seorang budak lalu dia melepaskannya sambil berkata: "Pergi dan hiduplah engkau!"

Rasulullah SAW bersabda: "Ibarat sesama mukmin dalam kasih sayang, cinta, hubungan mereka itu bagai satu jasad. Bila sebahagian sakit, seluruh badan turut berduka dengan panas dan berjaga." 

Diriwayatkan bahawa seorang abid Bani Israel melalui bukit pasir yang dihuni oleh bani Israel yang ketika itu sedang ditimpa kebuluran. Maka si abid itu berharap: “Jika pasir ini menjadi gandum, tentu mengenyangkan mereka." Kemudian Allah memberi wahyu kepada Nabi Bani Israel: "Katakan pada fulan bahawa Allah memberimu pahala atas sedekahmu kepada manusia kerana berharap pasir menjadi gandum." Oleh sebab itu Rasulullah SAW bersabda: "Niat seorang mukmin lebih baik dari amalnya." 

Diceritakan: Nabi Isa AS pada suatu hari keluar berjumpa Iblis membawa madu dan abu. Baginda bertanya: "Apa yang engkau perbuat dengan madu dan itu wahai musuh Allah?" Iblis menjawab: "Madu ini kuletakkan ke bibir orang-orang yang mengadu domba sehingga mereka menelannya. Sedangkan abu ini kuletakkan di muka anak-anak yatim sehingga orang membencinya."

Rasulullah SAW bersabda: "Jika anak yatim dipukul, maka goncanglah Arasy Allah kerana tangisannya. Kemudian Allah SWT berkata: "Hai Malaikat-Ku, siapa yang membuat anak yatim itu menangis dan di mana ayahnya telah terkubur?" 

Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang memberi makan dan minum anak yatim, pastilah Syurga baginya. " 

Dalam kitab 'Raudhatul Ulama' diceritakan bahawa apabila Nabi Ibrahim AS jika hendak makan, di akan berjalan satu atau dua batu mencari orang supaya dapat diajak makan bersama.

Pernah suatu hari Sayyidina Ali KW menangis, lalu beliau ditegur: "Mengapa kau menangis?" Ali menjawab: "Tidak ada tetamu yang datang tujuh hari ini. Aku merasa cemas kalau Allah telah menghinakanku."

Telah bersabda Rasulullah SAW: "Siapa memberi makan orang yang sedang lapar semata-mata untuk mengkehendaki keredhaanNya, wajiblah baginya Syurga. Dan siapa tidak mahu memberi makan orang yang sedang lapar, maka Allah tidak memberi fadlal padanya di hari Kiamat dan akan menyeksanya di Neraka." 

Baginda SAW bersabda: "Pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan Syurga, dekat dengan manusia dan jauh dari Neraka. Dan orang bakhil jauh dari Allah, jauh dari Syurga, jauh dari manusia dan dekat pada Neraka. " 

Baginda SAW bersabda lagi: "Pada hari Kiamat empat golongan masuk Syurga tanpa hisab; Orang alim yang mengamalkan ilmunya; Orang yang menunaikan haji tidak berbuat dosa dan tidak menjadi fasik sampai meninggal; Pejuang yang mati di medan perang kerana menegakkan kalimah Allah; dan pemurah yang bekerja melalui jalan yang halal dan menggunakannya di jalan Allah tanpa riya’. "

Dari Ibnu Abbas RA, dia berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: "Allah jadikan segolongan hambaNya memberikan nikmat yang diberikan oleh Allah untuk kemanfaatan hamba-hambaNya yang lain. Siapa bakhil akan kemanfaatan itu terhadap orang lain, maka Allah akan memberikannya kepada orang lain. " 

Baginda juga bersabda: "Orang yang pemurah ibarat pohon di Syurga. Cabangnya menurun ke tanah. Siapa mengambil cabang itu, Allah akan memindahkannya ke Syurga." 

Dari Jabir RA dia berkata: Ditanyakan: "Ya Rasulullah, apakah amal yang paling utama?" Baginda SAW menjawab: "Sabar dan pemurah." 

Miqdam bin Syuraih merawikan dari bapanya dari abangnya, dia berkata: "Kutanyakan kepada Rasulullah SAW: "Apakah amal yang boleh memasukkanku ke Syurga?" Rasulullah SAW menjawab: "Yang mewajibkan itu memberi makan, memberi salam dan berkata dengan baik." 

Wallahua’lam.

(Rujukan: Mukasyafatul Qulub oleh Imam Al-Ghazali)


11 Mei 2012

ANAK TIDAK SAH TARAF

ANAK TIDAK SAH TARAF
Isu anak tidak sah taraf di Malaysia sudah menjadi masalah sosial yang lumrah dan tidak asing lagi kepada masyarakat hari ini. Kisah-kisah tentang pembuangan bayi sering mendapat liputan utama di dada akhbar, manakala kes-kes wanita hamil tanpa nikah yang berada di pusat pemulihan semakin bertambah dari semasa ke semasa. Statistik kelahiran anak luar nikah daripada Jabatan Pendaftaran Negara bagi tahun 2000 sehingga Julai 2008 mencatatkan bilangan yang sangat besar, iaitu 155,744 orang. Pelbagai usaha dilaksanakan bagi membendung masalah ini, antaranya ialah menempatkan pesalah sosial di pusat pemulihan akhlak, mewujudkan pusat penjagaan bayi bagi bayi yang tidak dikehendaki dan memberi latihan kemahiran diri bagi membantu golongan yang bermasalah ini meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

ANAK TIDAK SAH TARAF DALAM ISLAM
Anak tidak sah taraf dalam istilah bahasa Arab disebut 'walad al-zina' yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Para Fuqaha’ bersepakat bahawa anak zina merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah (persetubuhan oleh lelaki dan perempuan yang menyangka mereka adalah suami isteri yang sah). Oleh itu kesahtarafan seseorang anak adalah merujuk kepada perkahwinan yang sah daripada kedua ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda: “(Kesahtarafan) seorang kanak-kanak berpunca daripada tempat tidur (kedua ibu bapanya yang sah) dan seorang penzina adalah layak ditahan.” (HR Al-Bukhari)

Peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 2 mentafsirkan anak tidak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah sepertimana berikut: tak sah taraf, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah.”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (MKI) kali ke-64 pada 27 Julai 2004 menyatakan bahawa anak tidak sah taraf ialah:
i. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan;
ii. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh);
iii. Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut takwim Qamariah daripada waktu tamkin (setubuh) selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut Hukum Syarak.

IMPLIKASI ANAK TIDAK SAH TARAF DALAM ISLAM
Terdapat beberapa implikasi berhubung kedudukan anak taksah taraf dalam Islam. Implikasi-implikasi tersebut ialah:

i. Penamaan dan Nasab.
Jika seseorang anak lahir tanpa ada ikatan perkahwinan yang sah di antara ibunya dengan lelaki yang mensetubuhinya dan bukan persetubuhan syubhah, maka anak tersebut tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa zina. Sebaliknya hendaklah dibinkan atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama ”Asma’ ul-Husna” yang berpangkalkan Abdul. Kedudukan ini berbeza dengan anak yang bukan beragama Islam. Kesahtarafan anak akan dikira dari tarikh ibu dan bapa anak tersebut memeluk Islam.

ii. Pergaulan dan Hubungan.
Dalam Islam, anak tidak sah taraf bebas menjalin apa-apa hubungan atau aktiviti sepertimana yang dilakukan oleh kanak-kanak Islam yang sah tarafnya. Hukum pergaulan anak tidak sah taraf dengan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan ibunya adalah sama dengan lelaki asing yang tiada kaitan dengannya (bukan mahram) kecuali lelaki tersebut menjadi suami ibunya maka hubungannya adalah sebagai ayah tiri. Perhubungan antara anak tidak sah taraf dengan anak-anak di sebelah ibunya yang sah taraf dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang sah. Namun, perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah bapanya yang tidak sah kerana keluarga bapa bukan termasuk ahli keluarganya.

iii. Nafkah.
Tanggungjawab nafkah dan saraan hidup anak tidak sah taraf terletak kepada ibunya. Ini adalah kerana anak tidak sah taraf dinasabkan kepada ibunya dan tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Peruntukan mengenai tanggungjawab nafkah ini juga terdapat dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 80 (1) iaitu: Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tidak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

iv. Penjagaan.
Hubungan nasab (keturunan) anak tidak sah taraf dengan ibu serta ahli keluarganya tidak terputus. Oleh itu tanggungjawab menjaga anak tidak sah taraf menjadi tanggungjawab ibu dan ahli keluarga di sebelah ibunya. Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 85 memperuntukkan bahawa: Penjagaan kanak-kanak tak sahtaraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu. Peruntukan ini selaras dengan kehendak Hukum Syarak yang menetapkan hubungan nasabnya (keturunan) hanya dengan ibunya sahaja. Kedudukan ini sudah tentu memberikan hak penjagaan kepada ibunya atau ahli keluarga ibunya.

v. Harta Pusaka.
Anak tidak sah taraf tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan ibunya. Begitu juga ibu tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan anak tersebut. Oleh itu, kedua-duanya boleh mewarisi pusaka antara satu sama lain. Seseorang anak tidak sah taraf tidak boleh mempusakai harta bapanya yang tidak sah. Begitu juga bapa tidak boleh mewarisi harta anak tersebut kerana kedua-duanya telah terputus hubungan kekeluargaan.

vi. Perwalian.
Hak perwalian diri anak tidak sah taraf terletak kepada ibunya. Walaubagaimanapun, wali perkahwinan bagi seseorang anak tidak sah taraf perempuan dipegang oleh Wali Hakim (iaitu Yang DiPertuan Agong/Sultan/Raja atau individu yang diberi tauliah). Ini adalah kerana seseorang perempuan tidak sah menjadi wali di dalam apa jua perkahwinan. Sabda Rasulullah SAW: “Sultan adalah wali kepada sesiapa yang tidak mempunyai wali.” (HR Abu Daud dan Tirmidzi)

Begitu juga lelaki yang menyetubuhi ibunya tanpa akad nikah yang sah, sama ada dia berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu juga tidak sah menjadi walinya.

vii. Perkahwinan
Keraguan berhubung kesahihan perkahwinan seorang anak tidak sah taraf perlu dikikis kerana agama tidak pernah membezakannya dengan kanak-kanak lain. Mereka juga seperti insan-insan yang lain. Kesalahan yang berlaku sehingga mereka dilahirkan bukanlah dosanya tetapi hasil perbuatan ibu dan lelaki yang menyetubuhi ibunya. Oleh itu perkahwinan anak tidak sah taraf perempuan adalah sah, walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa lelaki yang baik nasabnya tidak digalakkan mengahwininya.

viii. Kematian.
Kematian seorang anak tidak sah taraf yang belum baligh adalah menurut hukum agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka dia dihukum sebagai seorang Islam. Oleh itu mayatnya hendaklah diurus secara pengurusan jenazah Islam. Jika ibunya bukan seorang yang beragama Islam, maka di dihukum sebagai bukan seorang beragama Islam sekalipun lelaki yang menyetubuhi ibunya adalah seorang Islam.

ix. Pertukaran Status Anak Tidak Sah Taraf
Seseorang anak tidak sah taraf boleh bertukar sifatnya apabila dia dibuang oleh ibunya dan dijumpai oleh orang lain. Pada ketika itu statusnya akan bertukar menjadi anak laqit (iaitu anak pungut). Dia akan menjadi anak angkat kepada sesiapa yang memungut dan diberi tanggungjawab memeliharanya berdasarkan peruntukan yang diberikan kepada seorang anak angkat.

x. Amal Kebajikan.
Amal kebajikan anak tidak sah taraf sama ada untuk diri sendiri atau untuk masyarakat adalah sama seperti anak-anak yang lain. Anak tidak sah taraf adalah seorang yang suci dan bersih dari sebarang dosa ibu dan bapanya. Firman Allah SWT: “... dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)...(QS al-An’am: 164)

Firman Allah SWT lagi: "Katakanlah: Kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan, dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakan. (QS Saba’: 25)

Amal kebajikan mereka tetap akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT sama seperti amal kebajikan orang Islam yang lain. Firman Allah SWT: “Maka sesiapa berbuat kebajikan sebesar zarrah, nescaya akan dilihatnya. Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zarrah, nescaya akan dilihatnya.” (QS al-Zalzalah: 7~8)

Wallahua’lam.

(Sumber: JAKIM)