Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

15 Januari 2010

PEMANGKU RAJA IMAM SOLAT HAJAT (B.HARIAN, 15/1/10)


Majlis doakan kesejahteraan kesihatan Sultan Kelantan

KOTA BHARU: Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra, malam tadi mengimamkan solat hajat dan menyertai majlis bacaan Yassin yang disertai lebih 1,000 rakyat Kelantan yang diadakan secara terbuka dalam Stadium Sultan Mohd Ke-IV, di sini.

Majlis anjuran Jawatankuasa Bertindak Rakyat Kelantan, bertujuan mendoakan kesejahteraan kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, yang ketika ini sedang gering dalam rawatan di Singapura serta pentadbiran kerajaan dan rakyat Kelantan yang kini dipayungi Pemangku Raja.

Terdahulu, ketibaan Tengku Muhammad Faris Petra kira-kira jam 7 malam, disambut Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Exco kerajaan negeri.

Solat hajat itu diadakan susulan majlis meraikan kepulangan Pemangku Raja dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa petang semalam, yang dianjurkan jawatankuasa berkenaan bagi melafazkan kesetiaan dan sokongan kepada baginda.

Pada majlis ringkas itu, Tengku Muhammad Faris Petra sempat melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat Kelantan yang berhimpun menanti kepulangannya.

"Terima kasih, terima kasih semua kerana hadir," titahnya secara spontan sambil bersalaman dengan pelbagai lapisan rakyat, dan dianggarkan lebih 5,000 menyambut kepulangan baginda dari Kuala Lumpur.

Beliau bertitah demikian sejurus selesai mengaminkan doa selamat yang dibacakan Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

Tengku Muhammad Faris turut berkenan menerima memorandum daripada Jawatankuasa Bertindak Rakyat Kelantan yang disertakan cenderahati berupa sebilah keris yang disampaikan Pengerusinya, Wan Mokhtar Wan Abdul Rahman.

Antara lain, memorandum itu menzahirkan sokongan tidak berbelah bagi kepada Pemangku Raja dalam pelbagai isu yang berbangkit di Kelantan sejak akhir-akhir ini.

Jawatankuasa itu turut memohon perhatian baginda terhadap enam perkara yang disenaraikan, termasuk membawa balik Sultan Kelantan bagi mendapatkan rawatan di mana-mana hospital di Malaysia; membenarkan doktor, pembesar negeri serta rakyat menziarahi Tuanku Ismail dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menyeleweng wang rakyat serta menyalahgunakan kuasa di Kelantan.


15 September 2009

ACEH BENARKAN HUKUMAN REJAM TERHADAP PENZINA (BERITA HARIAN, 15/9/09)


BANDA ACEH: Ahli Parlimen di Aceh sebulat suara mengundi membenarkan penzina dihukum rejam hingga mati, beberapa bulan selepas pengundi menyingkir parti konsevatif daripada berkuasa.
.
Berbaki beberapa minggu saja sebelum kerajaan baru yang diketuai parti sederhana mengambil alih pemerintahan, puak konservatif yang masih menguasai Parlimen meluluskan undang-undang itu. Apabila pengerusi dewan dengan 69 ahli itu bertanya sama ada rang undang-undang itu boleh diluluskan, mereka menjawab serentak: "Ya, boleh.".

Beberapa wakil Parti Demokrat yang bakal mengetuai kerajaan baru, menyatakan rasa kurang senang tetapi tiada sesiapa pun yang mengundi menentang rang undang-undang itu.
.
Kumpulan hak asasi manusia berkata undang-undang itu melanggar perjanjian antarabangsa yang ditandatangani Indonesia. Beberapa pihak pula bercadang menentang undang-undang itu di mahkamah di Jakarta. - AP
.