Pagi ini Ahad 20 Syawal 1429H bersamaan 20 Okt 2008, jam 6.54 a.m tadi saya menerima SMS dari adik di Sg. Buloh, Asmawi Muhamad begini bunyinya:

"....Assalamualaikum.Untuk makluman Ustaz Husein b. Unang telah kembali ke rahmatullah. Solat jenazah 11.30 pagi di surau seksyen 6 Shah Alam (20.10.2008). Alfatihah."

Saya terus menyebut 'Innalillahi wa inna ilaihi raji'uun' dan membaca surah Al-Fatihah dengan niat pahala bacaan buat al-marhum Ustaz Husein yang kami mulia dan hormati itu, juga dengan doa semoga ruh beliau ditempatkan bersama para solihiin. Segera pula saya forwardkan berita SMS itu kepada beberapa orang sahabat seangkatan / sekolej dahulu memeritahu berita kewafatan itu, antaranya ialah sdr Hj Ariffin Mohd Amin KS Japim JPN Selangor, sdr Sujaidi Dasuki Penulis/wartawan , sdr Ismail Yusoff SPR Pahang, sdr Hj Nik Mohd Azmi N Abd Rahman KL, sdr Hj Razali Mamat Ibu Pejabat MARA KL, sdr Hj Johan Abd Rahman seorang Guru Besar, sdr Hj Che Ku Razak Ku Mohamed mantan Pengetua SMKA Sheikh Abd Malik, sdr Hj Tuan Mamat Tuan Ngah dan Ustaz Ibrahim Tahir Kuala Terengganu.

Juga saya SMSkan berita ini kepada Pn Hjh Halimaton Mohd Abu dan sdr Us Hj Shamsuddin Mohd Noor ( Tok Wan) guru di Kedah sdr Us Hj Abd Aziz Abd Rahman Politeknik Kok Lanas Kelantan, sdr Us Hj Ibrahim Daud mantan Pengetua SMK Kubang Kerian 2 dan beberapa orang lagi rakan yang saya miliki no Hp mereka. Harapan saya semoga rakan-rakan tadi pula akan menyebarkan berita syahdu ini kepada rakan-rakan yang lain.

Mengenali almarhum bermula di Kota Bharu lebih kurang Januari 1970. Beliau mengendali temuduga untuk memasuki Kolej Islam Kelang bersama Cikgu Mokhtar.
Kami diterima masuk kolej yang terkenal itu mengisi tingkatan 4. Almarhum adalah tenaga pengajar bagi mata pelajaran Bahasa Arab yang hebat dengan suaranya yang jelas dan pengajaran yang mudah difahami. Selaku warden asrama KIK beliau sering mengimami solat jemaah di musalla. Bila membaca ayat-ayat di dalam solat, saya masih ingat akan suaranya yang jelas dengan lagunya yang merdu. Sewaktu melawat atau memeriksa bilik-bilik asrama atau dorm-dorm, selalunya almarhum amat bertegas tentang kekemasan, kebersihan dan menekankan disiplin asrama.

Beliau suka menegur kesilapan kami selaku pelajar/penghuni asrama serta membimbing kami dengan begitu bersungguh-sungguh kadang-kadang kami berasa kecut perut dan kadang-kadang melucukan. Kami masih ingat itu semua apatah lagi bagi kami yang pernah menghuni Asrama Koboi tepi pagar kolej yang misteri tu. Bila siap asrama baru, kami dipindahkan dan masih berimamkan almarhum dalam solat jemaah di musalla. Almarhum tidak mengajar kami di tingkatan 6, namun beliau sering memberi tazkirah atau kuliah subuh di musalla.

Selama empat tahun kami belajar di KIK sekolah asrama penuh itu hingga berjaya dalam peperiksaan STP dan masuk universiti. Sebahagian dari kami ada yang berjaya baik dalam peperiksaan SPM telah lebih dahulu meninggalkan kolej menyambung pelajaran di institusi lain, namun hubungan kami tidaklah putus. Dengan STP banyak di kalangan kami yang memasuki Fakulti Pengajian Islam UKM.

Dalam tahun 1976 sewaktu di Tahun 2 UKM, kami bersama almarhum semula, tetapi beliau waktu itu selaku seorang mahasiswa pula; beliau menyambung pengajian di Jabatan Bahasa Arab dan Tamaddun Islam melalui Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya yang melayakkan beliau terus menduduki Tahun 2 di FPIUKM. Kami sama-sama berkuliahan di Bangi. Setelah berpisah di UKM 1979, kabarnya beliau meneruskan pengajian pada peringkat Sarjana dalam bidang Bahasa Arab. Saya kemudiannya berkhidmat di Kuantan dan kemudiannya kembali bertugas di Kelantan 1986 hingga sekarang.

Sejak meninggalkan KIK, saya acapkali ke kolej tersebut kerana adik-adik saya juga berada menuntut di sana. Norani Muhamad kini guru di sebuah sekolah menengah di Putrajaya, Asmawi Muhamad bertugas di sebuah syarikat di KL, Mohamad Dani pensyarah di UITM Shah Alam, Ahmad Kailani Muhamad juga bertugas dengan syarikat di KL, Siti Junaidah Muhamad pensyarah UIAM; mereka adalah lepasan KIK sudah tentu pernah belajar dengan almarhum Ustaz Husein b Unang.

Sudah tentulah sejak meninggalkan KIK dahulu hingga kini sudah ramai kalangan guru KIK (kini KISAS) yang telah meninggal dunia. Beberapa orang yang sempat tiba berita kematian mereka ke pengetahuan saya ialah Pengetua yang kami kasihi Us Hj Nik Mahyuddin Musa, Us Shafei Mohd Zain, Us Megat Abdullah b Megat Yaman (pernah bertugas dengan Yayasan Islam Kelantan, pengetua Maahad Muhammadi Lilbanat) , Cikgu Osman dan Cikgu Mohd Isa warden asrama (dua-dua guru sujek Kimia, orang Melaka). Mungkin ada ramai lagi yang telah mendahului kita mengadap Yang Maha Pencipta. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas arwah mereka.

Hari demi hari berlalu kita semakin beransur tua, makin ramai kalangan guru malah rakan-rakan kita juga yang telah mendahului dan meninggalkan kita ke alam barzakh. Yang tinggal bersama kita ialah nostalgia, kenangan bersama mereka dan ilmu mereka kepada kita. Mungkinkah ada kalangan kita yang telah berdosa terhadap mereka; ada salah laku atau silap pertuturan selama mengenali dan bergaul dengan yang telah pergi itu? Atau pernah menyinggung perasaan guru-guru kita itu? Maka ada sangat baiknya kita baca Al-fatihah menghadiah pahala kepada mereka yang banyak berjasa itu, mohon keampunan Allah kepada mereka, doakan Allah merahmati mereka serta menempatkan mereka bersama golongan orang-orang yang muttaqiin.

Allahummaghfirlahum warhamhum. Amin.

tanah anugerah hujan tropika
bersempadan segenting di utara
wilayah bertuah hijau menawan

pantai cahaya bulan sejahtera
daratannya dipupuk angin aman,
anak negeri diajar ingatkan Tuhan

darul-naim menyata nikmat sentiasa
si kijang berjinak bebas di taman iman

nyanyi wau bulan teraju tiga
teraju iman
teraju islam
teraju ihsan

kita mahu jadi umat terbaik
keluar menemui manusia lain
menyuruh mereka kepada makruf
mencegah mereka berbuat munkar
memohon Allah membuka hati setiap tamu
ampunilah, sungguh mereka masih tidak tahu.

tapang panji,
1 jamadiakhir 1429.
antologi Negeri Di Bawah Bulan.


Syukur kita tiba di 'eidulfitri manis. taqabbalallahu minna waminkum.
syukur kami dapat rayakannya dengan agak meriah. aku diberi kesempatan bersama keluarga untuk bertakbir dan berolat sunat 'eid di musalla berdekatan. ramadhan yang berlalu sempat kuisi dengan ibadat puasa penuh. solat sunat tarawih juga dapat kukerjakan walau bersendirian di rumah. aku masih lemah, belum betah untuk hadir berjemaah solat di musalla.

masih kurasai kesan uzuran yang kutanggung sejak 2 ramadhan 1428H (bersamaan 15 sept 2007M/ tahun lalu) hingga aku dihunikan wad rumah sakit HRPZ2 kota bharu tu. untuk mendapat rawatan. sejak itu aku terlantar dirawat para doktor dan jururawat yang begitu dedikasi hinggalah 7 mac 2008M / tahun ini. keluar wan sehari sebelum PRU12 yang bersejarah itu. jadinya hampir 6 bulan aku dikurantin. di bahagian bawah leherku ditebuk sedikit untuk tracheostomy dan terpaksa menggunakan ventilator @ mesin bantu pernafasan.
aku tetap reda dan bersyukur atas kurnia dugaan serta nikmat-Nya.

mulanya pihak doktor/ pegawai perubatan di sana memutuskan aku menghidap mysthenia gravis melalui simptom-simptom yang mereka temui di diriku. (?) lalu aku diberi ubatan dan rawatan yang sesuai dengan penyakit tersebut. suntikan diberi, darah diambil beberapa kali sehari. namun diriku tidak banyak perubahan positif.

di wad teratai tu hampir setiap hari ada jiran sewad yang pergi dahulu mengadap-Nya. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'uun. kadang-kadang terlintas di fikiranku sempatkah atau tidak aku melihat semula rumahku! masih adakah peluang aku bertemu saudara-maraku! namun syukur alhamdulillah aku masih diberi hari-hari esok!

sebelum discaj pihak perawat telah mengambil sedikit tisu pada otot lengan kananku sebesar straw dan panjangnya hampir seinci. dalam kadar waktu segera mereka terbangkan / hantarkan benda tu ke HKL. sebelum 4 jam mesti tiba di sana!
dan sebulan kemudian kabarnya benda tu dterbangkan pula ke jepun untuk mengenalpasti penyakit dan sudah tentu menyediakan ubat penawarnya. hampir dua bulan kemudian (julai) pihakku diberitahu oleh dr pakar bahawa penyakit yang kutanggungi itu ialah pompe's disease, satu penyakit lemah saraf (hingga pergerakan peparu) yang kata mereka ada kaitan dengan keturunanku, penyakit genetik. 'tahlah.

aku juga diberitahu, setakat ini belum ada ubat yang sesuai untuk kuambil! namun sebagai suplimentri kutelan pil habbatussauda', neorobion, multivitamin dan bethoven (?)..dan sudah tentu rintihan doa yang berpanjangan agar aku diafiatkan oleh Yang Maha Pemberi Penawar dan Pemberi Sembuh itu.
alhamdulillah aku rasai ada perubahan baik walaupun sedikit-sedikit.

Kini dalam mengisi waktu senggang yang banyak / dalam cuti istirehat yang panjang akibat penanggungan penyakit kronik ini; aku dihangatkan semula untuk mencatat puisi. di wad teratai / rumah sakit dulupun aku ada mencatatkan beberapa buah puisi, sekadar melayan ilham yang tiba. antaranya yang tersiar Sakarat 4 di Mingguan Siasah ( terima kasih sdr MSO)dan Daun Jarak Yang Lagi Gugur pada Dewan Sastera mei 2008 (terima kasih sdr editor DS).

syukur kepada Allah dan terima kasih tidak terhingga buat teman-teman penyair khususnya sdr rosli k matari, leo aws dan beberapa teman lain yang menyuntik kembali kesegaran luar biasa untuk kugarap kembali kalimat-kalimat puisi. semangat untuk berkarya semakin baru dan hangat hinggalah sempat kukumpul puisi-puisi baru dan lama; dan berhasil menelurkan buku antologi NEGERI DI BAWAH BULAN yang siap minggu lepas. itulah buku puisiku yang ketiga selepas RUANG DALAM (1986) dan RACUN ABADI (2001). syukur.

bagi melancarkan pengedaran buku NDB itu aku memang mengharapkan sokongan teman-teman penyair dan peminat puisi melayu malaysia khususnya dan nusantara amnya. insya Allah.