15
HARI itu, rumah banglo itu bergegar dengan pekikan
Dato’ Farah. Dia sangat marah dengan apa yang berlaku. Dihempas-hempasnya
majalah yang ada di tangannya. Mujurlah dia tergerak hati ingin singgah di
kedai yang menjual majalah. Jika tidak, mungkin entah sampai bila baru perkara
itu akan terbongkar.
Tajuk artikel yang memaparkan wajah-wajah yang
amat dikenalinya itu membuatkan darahnya mendidih naik. PELAKON BARU DIBERI
KEJUTAN OLEH KEKASIH! Menyakitkan hati. Manakala Dato’ Mustaffa Harun, duduk
diam sejak daripada tadi. Hatinya juga turut terbakar sama.
Paling memedihkan ulu hatinya, bagaimana kalau Tok
Taha tahu hal ini? Tentu dia sendiri hilang punca untuk memberi jawapan. Anak
sulungnya itu sudah melampau!
“Kenapa marah-marah ni, umi? Umi stress dengan
siapa?” tegur Afif Haikal.
Kerjanya terbantut sebaik mendengar uminya
terjerit-jerit sejak daripada tadi. Awalnya dia tidak ambil kisah sangat, namun
apabila mendengar nada suara uminya semakin kuat membuatkan dia tidak tenteram
pula.
“Kamu baca majalah tu, apa yang dia tulis. Abang
kamu ni dah melampau. Umi tak sangka dia tipu umi, dia kata hubungan mereka
hanya kawan biasa. Tu apa? Kawan ke macam tu?” marah Dato’ Farah. Kala inilah
baru nampak kuasa seorang ibu.
Afif Haikal membelek majalah itu. Satu persatu
baris ayat dibaca. Sesekali wajah-wajah yang terpampang di ruangan itu
dipandang tanpa berkelip. Kalau ada yang bertanya apakah perasaannya saat dia
menatap majalah itu? Hanya satu jawapan yang dia berikan, dia ingin menumbuk
muka abangnya! Itulah yang dia rasa. Mengapa begitu tegar abangnya
membelakangkan kehendak ibubapa? Biar cinta yang dicipta oleh mereka itu nampak
tulus ikhlas tetapi apa salahnya pada cinta yang diatur oleh kedua ibubapanya
dengan ikatan perkahwinan yang sah? Yang mana satu lebih mulia?
Dia mengenggam penumbuknya. Kasihan Mira Maira.
Gadis itu sangat baik. Tidakkah abangnya melihat akan kebenaranya? Kekurangan
yang ada di mata abangnya itu dapat ditutupi dengan sifat-sifat yang ada pada
gadis itu? Tidakkah dia boleh melihat dengan mata hatinya?
Dia meraup wajah. Dia dapat rasakan apa yang
dirasai oleh kedua ibubapanya. Mereka cukup marah, tertekan dan hampa. Apatah
lagi pada wajah babahnya. Nampak begitu ketara perubahannya. Wajah yang
sentiasa tenang kini begitu keruh.
“Assalamualaikum…” Mira Maira memberi salam.
“Waalaikumussalam,” serentak mereka bertiga
menjawab.
Dato’ Farah bergegas mendapatkan Mira Maira.
Dipeluk erat menantunya itu. Mira Maira kehairanan, mengapa perilaku ibu
mertuanya berlainan sahaja? Wajah tua itu juga turut sunggul. Mana perginya
wajah ceria yang sentiasa menghiasi raut itu?
“Umi sihat ke?” sapa Mira Maira ramah. Dato’ Farah
menggeleng. Kening Mira Maira berkerut.
“Umi demam ke?” sekali lagi Dato’ Farah
menggeleng.
“Hati umi yang tak sihat. Sakitnya dalam sangat,”
jelas Dato’ Farah.
Mira Maira dapat merasakan ada sesuatu yang tidak
kena telah berlaku dalam rumah itu.
“Masuklah, Mira.”
Mira Maira menapak, menghampiri bapa mertuanya
yang nampak lain daripada biasa. Wajah tenang itu agak kelihatan keruh.
“Babah… sihat ke?” senyuman dihadiahkan buat bapa
mertuanya itu. Wajah itu nampak sunggul juga.
“Babah sihat… Mira mari duduk sini…”
Dato’ Mustaffa Harun menepuk-nepuk sofa yang ada
di sebelahnya. Mira Maira akur, dilabuhkan punggungnya di situ. Dia rasa lain
sangat. Mengapa semua orang seolah-olah mahu melindungi dirinya? Entahlah dia
rasa kelainan itu yang sangat luar biasa.
Afif Haikal hanya mengangguk bila Mira Maira
memandang wajahnya. Tiada senyuman di bibir itu.
Dato’ Farah mundar-mandir. Melihat kelakuan anak
sulungnya yang masih berada di luar rumah. Sedang asyik bergayut dengan telefon
bimbitnya. Semakin naik darah bila melihat muka selamba anaknya itu.
Dato’ Farah menuju ke dapur. Membuat minuman untuk
menantunya. Kalau ikutkan hati, hendak sahaja dia menjerit nama anaknya itu.
Namun, kerana rasa hormatnya pada menantu kesayangannya itu, dia membatalkan
niatnya.
“Assalamualaikum…” kedengaran suara Alif Hazriq
memberi salam.
Dato’ Farah memanjangkan langkahnya ke ruang tamu.
Lebih baik dia selesaikan segera. Dia tidak mahu menantunya itu teraniaya.
“Duduk, Alif. Hendak ke mana tu?” soal Dato’
Mustaffa. Sebaik sahaja bersalaman dengan babahnya, Alif Hazriq mahu ke tingkat
atas.
Alif Hazriq akur. Dia mengambil tempat duduk
bersebelahan dengan adiknya.
“Tahniah, bro! Bacalah majalah ni…” Afif Haikal
menghulurkan majalah itu kepada abangnya. Berkerut dahi Alif Hazriq.
“Babah nak alasannya,” bicara Dato’ Mustaffa
Harun, wajah itu nampak begitu serius. Sepertinya tuan peguam itu sedang dalam
sidang perbicaraan.
Alif Hazriq menyelak majalah hiburan itu. Satu
persatu dia membaca artikel sehinggalah terasa nafasnya terhenti seketika.
Gambarnya yang sedang dipaut oleh Dyna terpampang di dada majalah. Siapa punya
kerja? Sedangkan malam itu tiada sebarang undangan untuk wartawan.
“Babah ini semua…” dia mati kata. Dia tidak tahu
hendak memberi alasan apa. Dia tahu kini di mata keluarganya dia bersalah.
Memang dia bersalahpun. Dia mengingkari janjinya pada umi. Dipandangnya wajah
umi, wajah itu langsung tidak memandang ke arahnya.
“Apa semua tu?” soal Dato’ Mustaffa Harun lagi.
Mira Maira kebingungan, tidak tahu apa yang sedang
dibincangkan. Kesempatan diambil sebaik sahaja Alif Hazriq meletak majalah itu
di atas meja. Pantas sahaja dia menyambar majalah tersebut. Matanya tidak
percaya namun hatinya mengatakan ya… kerana dia juga menyaksikan semuanya di
hadapan matanya sendiri.
Mira Maira mengerling ke wajah Alif Hazriq,
berderau darahnya kerana lelaki itu turut memandangnya. Cepat dia larikan anak
matanya agar dapat ditenteramkan hatinya yang sedang berdebar-debar itu.
“Alif janji dengan umi, kononnya dah tak ada
apa-apa hubungan lagi. Tup… tup… buat majlis hari lahir siap kejut-kejutan
lagi… umi memang tak sangka,” serang Dato’ Farah.
Dia duduk di sebelah Mira Maira, bahu menantunya
itu didakap erat.
“Umi... semua ini salah faham aje. Majlis tu bukan
saya yang buat, mereka sengaja guna nama saya,” semahu mungkin Alif Hazriq
menafikannya. Dikerlingnya lagi wajah Mira Maira. Gadis itu hanya menunduk.
Diam membisu.
“Umi tak percaya!” bentak Dato’ Farah.
“Umi… umi kena percaya pada saya…”
“Senang betul kamu suruh kami percaya, Alif.
Sedangkan apa yang terpampang dalam majalah tu dah cukup buktinya. Berpegangan
tanpa segan silu, sedangkan kamu tahu siapa diri kamu itu,” berlaga-laga gigi
Dato’ Mustaffa Harun menahan marah yang sejak daripada tadi berkocak dalam
dirinya. Kalau ikutkan hatinya yang marah itu, mahu sahaja dia hempuk kepala
anaknya itu dengan majalah itu.
“Apapun alasan kamu, babah tetap tak percaya. Tak
sepatutnya kamu berada di situ. Langsung tak menghormati isteri kamu ni.” Dato
Mustaffa Harun memandang tajam Alif Hazriq.
“Dah tau diri tu dah beristeri, masih lagi nak
berkepit dengan orang lain. Entah apa yang ada dalam kepala kamu tu, Alif?
Umurpun bukan muda lagi, dah boleh berfikir. Kamu lukakan hati isteri kamu
samalah seperti lukakan hati umi. Apa yang hebat sangat dia tu sampai kamu
terkejar-kejar macam tu?” luah Dato’ Farah, dijelingnya anak lelakinya itu
beberapa kali. Menyampah bila tengok lakonan anaknya itu.
Afif Haikal pula hanya mendiamkan diri sejak
daripada tadi, tidak mampu hendak berkata apa lagi. Babah dan uminya telah
menyerang, dia hanya jadi pemerhati sahaja.
“Umi… dengarlah dulu…” Alif Hazriq cuba memujuk.
“Sudahlah, Alif. Umi sangat kecewa dengan kamu.
Umi berharap sangat kamu dapat menjaga hati Mira tapi rupanya apa yang umi
harapkan tak menjadi,” mengalir juga air mata Dato’ Farah. Mengambarkan hatinya
yang sangat kecewa dengan anaknya itu.
“Umi.. jangan salahkan abang. Sebenarnya Mira ada
kat sana. Umi jangan marah-marah macam ni, ya? Tolonglah umi, Mira sayang umi.
Umi jangan banyak fikir, umi kena jaga kesihatan umi.” Mira Maira membuka
mulut.
Tidak sanggup duduk dalam suasana tegang begitu.
Keluarga itu tidak begitu, mereka sering bergurau senda. Lagipun dia tidak suka
kerana ingin menjaga hatinya, keluarga itu mula berantakan.
Empat pasang mata memandang ke arahnya.
Seolah-olah dia tersalah cakap pula. Dia cuba bersikap jujur walaupun
hakikatnya ceritanya berlainan. Dia tidak punya pilihan lain. Dia turut rasa
bersalah kerana tanpa relanya dia datang ke majlis itu berduaan dengan Shahir.
Sedangkan dia sendiri tahu akan hukum hakam seorang isteri.
“Biar betul, Mira? Kenapa umi tak nampak muka kamu
dalam majalah ni?” soal Dato’ Farah, dia mengambil majalah yang ada di atas
meja, dibelek satu persatu wajah-wajah yang ada situ.
Mira Maira mengerling ke wajah suaminya, cuba
meminta tolong. Dia telah menyelamatkan lelaki itu, berharap benar agar masalah
itu selesai segera. Faham dengan isyarat Mira Maira, Alif Hazriq bersuara.
“Ya, umi. Saya memang bawa Mira sama. Tapi umikan
tahu menantu umi yang seorang ni, mana nak bergambar sangat.” lakonan hebat!
Lega rasa Alif Hazriq kerana Mira Maira dapat mengendurkan urat-urat saraf
kedua ibu bapanya.
“Entah kenapa hati umi ni macam tak percaya aje...
kalau betul Mira ada sama, kenapa biarkan perempuan tu pegang-pegang Alif?”
“Babah pun…”
“Sayapun…” sahut Afif Haikal yang sejak daripada
tadi mendiamkan diri.
Alif Hazriq dan Mira Maira berpandangan…
“TERIMA kasih sebab
tolong aku tadi. Kalau tak, masak aku nak kena jawab,” kata Alif Hazriq sebaik sahaja mereka berada
dalam bilik mereka di rumah banglo itu.
Mira Maira yang ketika itu baru sahaja selesai
menunaikan solat, melipat telekungnya lantas menyidainya di sudut bilik. Dia
duduk di sofa yang terletak bersebelahan dengan penyidai itu, manakala Alif
Hazriq sedang enak berbaring.
“Mungkin ini kali pertama dan terakhir. Selepas
ini kalau apa-apa terjadi antara awak dengan kekasih awak tu, saya takkan
tolong. Saya rasa berdosa dengan umi dan babah sebab berbohong,” perlahan Mira
Maira menjawab.
“Itu aku tau nak buat macam mana, kau jangan
risau. Apa yang penting, kita tetap suami isteri macam orang lain. Tentang hati
dan perasaan aku, itu urusan aku sendiri.”
Egonya lelaki ini… Mira Maira menahan sahaja
perasaannya.
“Kenapa awak tak kahwin aje dengan dia?”
“Habis kau tu aku nak letak kat mana? Kau pun tahu
macam mana penerimaan umi, kan?”
Mira Maira tersenyum tawar. Luluh hatinya
mendengar pengakuan itu. Bermakna lelaki itu mahu berkahwin dengan kekasihnya,
cuma dapat halangan daripada keluarganya. Aku pulak, macam mana? Relakah aku
bermadu?
“Rasanya pandangan umi tu memang betul. Tak baik
buat maksiat aje, janganlah melanggar hukum Allah sedangkan kita
bersungguh-sungguh mahu mendapat perlindungan dan rahmat daripadaNYA. Layakkah
kita dapat begitu, sedangkan kita tak pelihara apa yang DIA mahu?” entah
mengapa dia punya kekuatan untuk meluahkan rasa hatinya kala itu.
Alif Hazriq hanya ketawa. Jauh di sudut hatinya,
dia cukup terpukul dengan kata-kata itu. Dia sendiri tidak mengerti apa yang
dia cari selama ini. Apa yang ada di hatinya saat itu? Dia masih mencari
jawapannya…dalam diam, matanya mencuri pandang pada wajah Mira Maira. Gadis itu
diam membisu. Matanya pula, tertutup rapat. Seakan mahu menghapuskan semua
masalah yang sedang dihadapinya.
“Maafkan aku, Mira...” bisiknya perlahan.
TELEFON bimbit Alif
Hazriq berbunyi nyaring. Mira Maira terjaga dari lelapnya. Namun dia masih lagi
berpura-pura tidur di sofa itu.
“Hello, sayang…” girang sahaja suara Dyna.
“Hmmm…” hanya itu yang Alif Hazriq katakan sebaik
sahaja mendengar suara Dyna. Mira Maira pelik, takkanlah perkataan ‘Hmm’ saja. Siapa
yang call? Soalnya sendiri.
“Kenapa dengan you ni, sayang? You macam tak
gembira aje I call,” rengek manja
suara Dyna ketika itu.
“Apa yang you dah buat?” soal Alif Hazriq agak
tegas.
Mira Maira cuba mengangak siapa yang membuat
panggilan. Mestilah Dyna, dan isunya pasti pasal gambar dalam majalah itu.
“Apa yang I dah buat?” soal Dyna kembali.
“Tolonglah, Dyna… you dah janji tak ada wartawan
di mana-mana majlispun.”
“Bila masa I jemput wartawan? Bukan ke majlis tu
you yang rancangkan? I tak tau apa-apa…”
“Sorry, Dyna. Majlis tu bukan I yang buat dan I
sendiri terkejut bila I sampai mereka mahukan I buat kejutan pada you. Ni mana
satu yang betul? I kenal you Dyna… you yang buat sendirikan majlis tu?” bidas
Alif Hazriq.
Mira Maira masih lagi memasang telinga. Bibirnya
sedikit mengukir senyuman. Tidak sangka, gadis itu sanggup buat kejutan untuk
diri sendiri. Kelakar betul.
“Alif… kenapa you mesti nak marah-marah? Bukan
guna duit you, kan?” balas Dyna pula.
“Memang tak guna duit I pun. Tapi disebabkan ini
semua, umi I mengamuk sakan. You tahukan dia tak suka I rapat dengan you. You
sedar tak, apa yang you buat ni timbulkan banyak masalah?” marah Alif Hazriq
lagi.
“Alah you tu asyik ikut telunjuk umi you aje. Hei!
Ini kehidupan kita, umi you tak boleh masuk campur. Pleaselah, Alif. Jadilah lelaki dewasa dan buat keputusan sendiri…”
“Nope.
You jangan nak mengata-ngata pasal umi I. I tahu apa yang I buat. Dan pada I
umi I adalah segala-galanya.”
“You sanggup duduk bawah ketiak dia aje ke
sepanjang masa?”
“Kalau ya, kenapa? You ada masalah ke?”
“Sayang… janganlah macam ni. I perlukan you. I
cuma nak sedarkan you, I nak you jadi lelaki yang tidak bergantung pada
sesiapa.” Pujuk Dyna.
“Okeylah waktu asar dah nak penghujung, I nak
solat dulu. Assalamualaikum.” Talian dimatikan.
Ketika itu, matanya memandang ke arah sofa dan
kala itu juga Mira Maira sudah menegakkan tubuhnya. Mereka bertatapan sesama
sendiri, lama! Dada Mira Maira bergetar. Jantung Alif Hazriq pula berdebar…