Pengikut

Selasa, 5 Februari 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




3
PANTAS dia berjalan meninggalkan Syazana. Geram kerana masih lagi memujuk untuk memaafkan Shahir.
“Kau ni terlebih makan lada ke? Asyik nak marah aje sejak daripada tadi. Rilekslah, dia cuma nak berbaik-baik dengan kau aje, tak lebih daripada itu.”
Syazana menarik tangan Mira Maira ketika gadis itu menaiki anak tangga. Mira Maira berhenti melangkah, wajah sahabatnya itu direnung dengan tajam.
“Aku rasa tak perlu aku berbaik-baik dengan dia. Dengan apa yang dia buat pada aku, dengan mulut bapak dia yang suka menyindir-nyindir aku, kau ingat semudah itu aku nak terima maaf dia?” jerkah Mira Maira. Syazana menggeleng.
“Mira… setahu aku antara kau dengan aku, yang lebih berpengetahuan agama adalah diri kau. Aku akui, aku jahil. Banyak benda yang aku tak tahu, tapi kalau bab tegur menegur dan bermusuh-musuhan ni, aku tetap tahu hukum hakamnya.” Omel Syazana membuatkan Mira Maira tersentap. Dia melarikan anak matanya daripada terus menentang mata Syazana.
“Aku tak sanggup jadi mangsa lagi, Ana. Cukup-cukuplah telinga aku ni asyik menerima kata-kata kesat. Aku tak mampu nak berdiam diri kalau orang asyik mengata keburukan arwah ayah aku. Aku tahu dulu arwah macam mana tapi seburuk-buruk arwah, dia tetap darah daging aku. Kalau kau berada di tempat aku, kau pun mungkin akan lakukan perkara yang sama,” hampir sahaja menitis air matanya. Bila kenangkan apa yang dilaluinya selama ini, andai ada pilihan lain dia tidak mahu melaluinya lagi.
“Aku faham, Mira. Tapi cubalah kau memaafkan semua orang, berlapang dada. Kita dah nak hadapi peperiksaan. Aku takut ia menjadi halangan kepada kau sekiranya kau tak memaafkan orang keliling kau.” Pujuk Syazana.
“Entahlah, Ana. Aku…”
“Saya janji, saya akan lindungi awak. Saya akui, ayah saya mulut lancang. Bercakap tak pernah fikir perasaan orang. Mungkin kerana itu juga, saya terikut-ikut cara dia. Maafkan saya, Mira. Saya janji dengan nama Allah, saya takkan benarkan orang menyakiti hati awak lagi. Asalkan saya dapat kemaafan daripada awak, saya akan lakukan apa sahaja bagi melindugi awak. Percayalah kepada saya,” suara lelaki yang semakin mendekati mereka membuatkan Mira Maira dan Syazana tersentak. Kedua-duanya serentak mengalihkan pandangan matanya kepada sesusuk tubuh yang berdiri berhampiran dengan mereka.
Kelu lidah Mira Maira. Hilang sudah perasaan bencinya kepada lelaki itu. Sebenarnya sudah lama dia memaafkan Shahir. Sejak dia isytiharkan perang dingin lagi, dia cuba buat biasa. Walaupun adakalanya luka di hatinya sering berdarah dek perbuatan pelajar lelaki itu.
“Mira… maafkan saya. Saya tahu saya bersalah. Ampunilah saya.” Perlahan Shahir ucapkan kata maafnya itu.
Mira Maira hanya mendiamkan dirinya, kemdian dia terus meninggalkan mereka berdua. Shahir hanya mengeluh, Syazana pula angkat bahu.
“Kau sabar ajelah ya. Aku tahu, dia dah maafkan kau. Kalau tak, mesti dia jeling kau sampai macam nak terjuling biji mata dia, kan? Kau anggap aje dia dah maafkan kau, ya. Aku jalan dulu.”
Shahir mengangguk.
“Aku berharap sangat, Ana.”
“Jangan bimbanglah… aku kenal kawan baik aku tu…” balas Syazana.
“Oh ya, lagi satu… aku nak ingatkan kau, kalau kau nak berbaik-baik dengan dia, kau janganlah feeling lebih-lebih sangat. Dia tu paling tak suka orang terlebih feeling pada dia. Kau buangkanlah dulu perasaan tu, itupun kalau kau nak berbaik dengan dialah…” semat juga Syazana berpesan kepada Shahir.
Lelaki itu hanya mampu mengangguk lesu. Pasrah dengan kehendak gadis itu.

SEMINGGU berlalu, pulang daripada sekolah, mereka terus ke bandar. Kali ini Shahir telah berjanji hendak belanja kedua-dua gadis itu sebaik sahaja mereka habiskan masa di perpustakaan sekolah. Almaklum, dia sudah mula berbaik-baik dengan Mira Maira. Hatinya rasa lega sebaik sahaja Mira Maira menyatakan persetujuannya.
Sebelum sampai ke KFC, Syazana sempat singgah di gerai yang menjual majalah-majalah dan suratkhabar. Dia mencapai majalah remaja dan mingguan wanita. Kebetulan pula ibunya mengirim belikan majalah tersebut.
“Banyaknya kau beli majalah,” tegur Mira Maira.
“Alah yang ni untuk mak aku, dia kirim tadi. Takkan aku nak baca majalah wanita ni, almaklum aku belum masuk kategori wanita lagi. Masih gadis…” seloroh Syazana.
Mira Maira tergelak.
“Apa yang menarik dalam tu, pinjam sekejap,” Mira Maira mengambil majalah mingguan wanita daripada tangan Syazana.
Panjang sahaja langkah mereka menuju ke restoran KFC yang terletak di seberang jalan.
Setelah memesan makanan kepada Shahir, mereka mencari tempat duduk. Sambil menanti ketibaan makanan mereka, sempat mereka membaca majalah yang dibeli oleh Syazana tadi.
“Eh kejap, Mira,” Syazana menahan satu muka surat yang memampang iklan kosmetik. Dia membelek iklan tersebut.
“Kau cari apa?” tegur Mira Maira.
“Cantikkan model ni. Kau tengok lelaki kacak kat belakang perempuan ni, mereka macam sepadan aje,” Syazana menunjukkan dua orang model produk kosmetik tersebut. Mira Maira memanjangkan lehernya, melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Syazana.
Berderau darahnya sebaik sahaja dia melihat wajah lelaki itu. Makin bertambah berderau-deraunya, tangan si lelaki hinggap manis di bahu gadis dalam majalah itu. Wajahnya berubah menjadi pucat. Secara spontan juga dia tercampak majalah itu ke arah Syazana. Syazana terkejut.
“Eh kau ni, tengok pun tak kena bayar, nak buang-buang pulak. Apa kes?” soal Syazana.
Mira Maira tahu kesilapan dirinya, hanya tersengih sahaja. Sungguh! Dia terkejut sebenarnya, wajah yang sama, wajah yang serupa yang berada dalam kad kahwin miliknya. Dialah lelaki itu…
Dia mencapai semula majalah itu, dibeleknya nama si lelaki. Memang benar, namanya sama. Alif Hazriq, CEO syarikat kosmetik tersebut. Mahu kering darahnya kala itu. Ditoreh darah mungkin tidak ada, tetapi parutnya mesti berbekas.
Ya Allah… kenapa saat ini wajah lelaki itu sahaja yang menerpa dalam kepalanya? Mengapa saat dia mahu menghadapi peperiksaan besar begini fikirannya asyik teringatkan lelaki itu? Ah… boleh jadi stress dibuatnya. Anak matanya jatuh pula ke wajah model yang cantik dan anggun, sedikit berdetik di hatinya dia rasa kerdil berbanding dengan gadis itu. Memang jauh panggang daripada api. Patutpun suaminya tidak hiraukannya. Perempuan dalam majalah itu jauh lebih menawan berbading dirinya.
Mira Maira mengeluh. Hesy… mengapa pula dia mesti memikirkan pasangan itu?
“Aku kalau dah kerja, nak cubalah produk ni. Ramai yang kata okey. Jerawat batu macam aku ni boleh hilang katanya. Hesy... tak sabar aku nak habiskan periksa, lepas tu boleh kerja. Boleh kumpul duit beli semua kosmetik-kosmetik ni,” Syazana mula menceritakan angan-angannya. Berkerut dahi Mira Maira.
“Kau ni… cepat sangat terpengaruhlah. Kau percaya ke? Memanglah nampak model dalam iklan ni cantik berseri aje, tapi belum tentu dia guna produk ni. Manalah tau dia pergi cucuk-cucuk muka dia. Inilah perempuan… cepat sangat menilai sesuatu,” Shahir bersuara pula. Dia menggeleng beberapa kali.
“Haahlah. Kau jangan mudah sangat tertipu. Mungkin betul produk ni bagus pada orang lain, tapi belum tentu sesuai untuk kau. Aku ada terbaca, kulit muka bermasalah macam kau ni perlu jumpa doktor aje. Nanti dia akan sarankan kau guna atau makan apa. Itu lebih baiklah daripada kau cuba itu dan ini,” celah Mira Maira pula. Dia bersetuju dengan pandangan Shahir itu.
“Kau orang berdua ini cepat sangat berfikiran negatif tau. Kita belum cuba, mana nak tahu serasi ke tak. Bagilah orang cuba dulu, lepas tu barulah ambil keputusan setelah kita menilai kelebihan dan kekurangannya.” Jawab Syazana pula.
“Memang betul kata kau tu. Tapi kalau aku jadi kau, aku cari vitamin C aje, balun pil tu sampai rasa puas hati, lepas tu baru fikir nak guna mana-mana produk. Benda ni semua daripada dalaman.” Nasihat Mira Maira.
“Yalah… tapikan, Mira. Muka kau tak ada masalahkan walaupun kau berkulit…”
“Jangan nak kutuk warna kulit aku ya…” pantas Mira Maira memintas. Malu dia bila dikata di hadapan lelaki itu.
“Aku belum habis cakap lagi, cuba dengar dulu. Kau berkulit manis macam ni. Cepat sangat melatah. Walaupun kau tak cerah, kau tetap cantik, kan Shahir?” Syazana menyingul lelaki yang duduk di sebelahnya itu. Tersedak-sedak Shahir kerana ketika itu dia sedang menyedup minuman.
“Betul… betul… betul…” Shahir mengajuk cakap Upin dan Ipin.
“Banyaklah kau punya betul, dah cepat habiskan ayam-ayam ni. Nanti bising pulak mak aku,” Syazana mencubit satu persatu daging ayam yang ada di hadapannya.
“Cuma…”
“Aik? Tak habis lagi ke?” tegur Mira Maira. Syazana tersengih lebar.
“Memang tak habis lagi, cuma kulit muka kau tu nampak kusam. Macam orang sakit ya juga, senang cakap tak berserilah.” Bulat mata Mira Maira mendengarnya.
“Gurau kasar nampak?” soal Mira Maira. Shahir hanya mampu tersengih.
“Orang cakap betul-betul dia kata bergurau pulak.”
“Dah makan cepat!” marah Mira Maira.
Ketika orang lain sedang enak menikmati makanan mereka, fikiran Mira Maira kini tertumpu kepada lelaki yang penuh bergaya dalam majalah itu. Gilakah dia?

“INGAT pesan babah semalam, jangan sesekali cabar babah.” Dato’ Mustaffa Harun mengingatkan anak sulungnya itu.
“Ba… pagi-pagi lagi dah…”
“Babah dah bagitau, babah tak mahu dengar sebarang bantahanpun.”
Amaran daripada Dato’ Mustaffa Harun membuatkan Alif Hazriq hampir sahaja tercekik,  hai kenapalah saat dia hendak mencekik, ketika itu juga dia tercekik dengan persoalan babahnya itu. Baru sahaja dinihari tadi dia mahu mengusir ‘isterinya’ itu daripada hidupnya. Sudahnya, dia pula yang terperangkap.
Dato’ Farah tersenyum. Dia berjaya menghasut suaminya. Baru padan dengan muka anak sulungnya itu. Bila dia berleter, tidak dihiraukan. Konon sudah besar panjang, tidak mahu hidup dikongkong.
“Sikit sangat makan, Alif?” tegur Dato’ Farah. Dia tahu puncanya, tapi sengaja dia mahu menegur. Mahu melihat perangai kebudak-budakan anaknya itu.
Dengan matanya, Alif Hazriq memberi isyarat ke arah babahnya. Lagipun seleranya sudah mati.
“Habiskan makan tu, Alif. Orang miskin tu, tak ada sebutir nasipun yang tinggal dalam pinggan mereka. Kerana apa mereka lakukan begitu? Hanya satu sebab, dia amat menghargai rezeki yang dia dapat. Sikit ke, banyak ke, mereka tetap bersyukur. Macam itu juga orang berkahwin, hitam ke, putih ke. Seksi ke tidak ke, dah Allah kurniakan jodoh tu pada seseorang, patutnya dihargai, ini tidak…” leter Dato’ Mustaffa Harun lagi.
Selama ini dia jarang berleter, dia lebih suka mendiamkan diri sahaja. Namun dalam soal menantunya itu, dia akan pertahankan. Biar penat macam mana sekalipun dia membebel, dia akan pertahankan hak menantunya yang satu itu. Sepertimana janjinya kepada arwah rakan baiknya suatu ketika dahulu, dia akan jadikan anak gadis rakannya itu menjadi permaisuri kepada anaknya.
Terkulat-kulat Alif Hazriq menghabiskan sarapan paginya. Apa ke malang nasibnya pagi-pagi, asyik kena leter saja. Babahnya pula tidak habis-habis lagi berleter, hesy kalau dia ada magik mahu sahaja dia menukar jantina babahnya itu. Jadikan babahnya seorang wanita? Huh! Lagi haru, uminya pun kuat berleter juga.
“Babah nak Alif bawa Mira ke sini sebaik saja dia habis periksa. Jangan dibiarkan dia kat sana. Jangan seksa perasaan dia. Ada suami, macam tak ada. Telefon tak mahu, jengah dia apatah lagi. Jangan buat malu babah, Alif. Babah tak ajar anak-anak babah jadi orang sombong.”
Lombong di dasar telinga Alif Hazriq sudah mula mendidih. Haba-haba mula mengeluarkan wap. Sebentar lagi segala biji besi dalam dasar telinganya itu bakal cair. Ya Allah babah… cukup-cukuplah tu, babah tak penat ke? Soal hatinya. Mahu sahaja dia rebahkan kepalanya di atas meja makan itu. Mahu tunjuk protesnya.
“Babah…”
“Babah kata jangan bantah! Babah tak peduli, yang babah tau, Mira mesti ada kat Kuala Lumpur ini sebaik saja dia habis periksa, titik!” putih kata Dato’ Mustaffa Harun.
Putih juga mata Alif Hazriq kerana dia tiada lagi pilihan lain. Tiada talian hayat. Tidak ada yang mahu membelanya.
“Betul cakap babah tu, Alif. Umi teringin juga bermanja-manja dengan menantu umi. Sudahlah dalam rumah ini umi seorang saja perempuan. Kadang hendak juga bersembang-sembang dengan menantu, cerita hal-hal perempuan.” Sampuk uminya pula.
Alif Hazriq rasakan rahangnya mahu terjatuh ke muka meja. Mahu tanggal seluruh skru-skru otaknya. Ya Allah, umi pula datang seperti wonder women. Pembela nasib wanita-wanita. Dia mengaru kepalanya, cuba mencari akal. Sebolehnya dia mahu berpisah dengan isterinya itu. Perempuan itu bukan citarasanya. Sedikitpun tidak ada.
“Babahpun sama. Nak juga rasa kasih sayang anak perempuan. Macam mana rasanya ya? Mesti babah rasa disayangi sangat-sangat.” Dato’ Mustaffa Harun menjeling isterinya. Perang minda mula tercetus. Siaplah kau Alif Hazriq. Dua belasah satu.
“Babah… umi… saya rasa tak bersedia lagi hidup sebagai seorang suami. Babah dan umi kena faham, saya banyak kerja. Produk-produk kita semakin mendapat sambutan. Saya rasa tak ada masa nak layan pasal budak tu…” Alif Hazriq mula bersuara. Dia mula mendapat idea. Memang benar kerja-kerjanya semakin bertambah apabila produk-produk keluaran syarikatnya mendapat sambutan luar biasa.
Dato’ Farah dan Dato’ Mustaffa Harun berpandangan, Dato’ Farah memuncungkan bibirnya. Dato’ Mustaffa Harun pula mengenyitkan matanya kepada isterinya itu.
“Hai… kamu ke yang buat produk-produk tu sendiri? Bukan ke syarikat umi kamu tu dah ramai pekerja, kamu cuma arahkan saja mereka. Babah pelik juga, dulu umi kamu pegang jawatan yang sama tak pula umi sesibuk kamu. Ada masa di rumah. Siap masak lagi untuk keluarga kita. Selama ini kita mana ada pembantu rumah, inilah dia permaisuri yang banyak menguruskan hal kita sekeluarga.”  Sekali lagi Dato’ Mustaffa Harun mengenyitkan mata kepada isterinya. Dato’ Farah tersenyum manja.
“Umi tak kira, berapa banyak alasanpun yang Alif bagi, umi nak menantu umi ada kat Kuala Lumpur ni dalam masa terdekat.” Tegas Dato’ Farah bersuara. Alif Hazriq tercekik.
“Umi… kalau umi nak jumpa menantu umi tu, pergi saja ke rumah dia. KL dengan Klang tak jauh manapun umi…” Alif Hazriq mula rimas.
Tanpa diduga, sudu yang ada di hadapan Dato’ Farah melayang ke arah Alif Hazriq, dia tidak sempat mengelak, toing! Terus sahaja tepat pada dahinya. Dato’ Farah tersenyum bangga, rupanya dia masih punya skill dalam membaling dart.
Dato’ Mustaffa Harun pula hanya terkebil-kebil, tidak menyangka isterinya akan bertindak sedemikian rupa. Waduh! Ganas juga isterinya itu. Tidak padan sudah kertu… dia tergelak dalam hati bila melihat pula anak sulungnya itu mengosok dahi yang sudah bertukar warna. Padan dengan muka budak banyak mulut itu.
“Umi… pasal budak keding tu sanggup umi baling saya dengan sudu? Tengok dahi saya dah benjol, jatuhlah saham macam ni. Umi ni teruklah…” dahinya digosok laju.
“Apa? Keding kamu panggil dia?”
Alif Hazriq tersengih, siap sedia hendak lari daripada situ. Dia tahu, dia akan jadi mangsa balingan kedua uminya.
“Dia isteri kamu, Alif!!!” jerit Dato’ Farah.

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!



2
MIRA Maira mula memusatkan pandangan dan fikirannya kepada buku-buku yang ada di hadapannya. Hanya tinggal dua minggu, peperiksaan STPM akan bermula. Dia akan berusaha sebaik mungkin. InsyaAllah, itulah tekadnya.
Namun keadaan itu hanya sementara sahaja, fikirannya mula melayang, teringatkan pada seseorang. Siapa lagi kalau bukan suaminya yang tercinta. Cinta? Tolonglah sikit, lelaki sombong macam itu yang aku buat laki? Ya Allah… kenapalah Kau aturkan takdirku seperti ini? Eh, tak baiknya dia... nak salahkan Allah pulak? Hatinya mula berkata-kata.
Dia sendiri tidak mengenali siapa suaminya. Tahu-tahu dia sudah sah menjadi isteri lelaki itu. Dan itulah kali pertama dia melihat wajah suami tercintanya. Huh! Dasar anak orang kaya, muka buat tak nampak aje kita. Mira Maira jadi geram pula.
Sesudah sahaja mereka sah bergelar suami isteri, lelaki itu terus pulang ke Kuala Lumpur sampailah sekarang ini, lelaki itu tidak pernah menjengok isterinya ini.
Hai… apakah kesudahan episod hidupnya nanti?
Mira Maira memejamkan matanya, cuba mengingati wajah suaminya itu. Sedaya upaya dia membayangkan wajah sebenar yang hadir secara mengejut dalam diari hidupnya. Ya… lelaki itu. Bibirnya mula tersenyum, dapat juga otaknya memfokus seraut wajah yang tidak pernah sekalipun dia impikan. Wajahnya yang putih bersih, bertahi lalat di ekor matanya, bulu keningnya menambahkan cantik matanya. Hidungnya yang mancung serta mulutnya yang sentiasa merah. Amat berbeza dengan dirinya.
Kulitnya hitam manis seperti penyanyi Dayang Nurfaezah. Bulu kening pula tebal namun masih lagi berbentuk runcing. Hidungnya tidak mancung mana tapi bolehlah kalau orang sekali pandang nampak juga mancung itu pun mesti pandang daripada tepi. Kalau hadapan… faham-faham sudahlah. Dia mula tersenyum. Tapi ramai orang kata bibirnya seperti bibir pelakon Era Fazira berbentuk dan nipis. Itu orang kata, bukan dia yang perasan. Matanya juga, nampak besar dan berbulu mata lebat.
Mira Maira mula tersenyum lebar. Sepanjang pernikahan mereka, lelaki itu tidak mampu mengukir segaris senyuman. Sah-sah memang kena kahwin paksa. Wajah yang kacak itu asyik masam mencuka dan sesekali menjeling tajam ke arahnya. Sudahlah ketika itu dirinya tidak bersolek. Cukuplah memakai tudung dan berbaju kurung biasa. Kalau lihat daripada luaran, sepertinya mereka berdua telah ditangkap basah.
Tiada sebarang majlis diadakan, atas permintaan lelaki itu. Pada Mira Maira pula, dia tidak kisah langsung. Dia pun tidak bersedia lagi mahu berkahwin, namun kerana atuknya, dia akur juga.
Ah… lelaki… lelaki. Sangka kau aku hairan sangat? Eh siapa nama suami aku tu ya? Mira Maira mengerutkan keningnya cuba mengingati nama suaminya sendiri. Sudahnya dia menyelongkar laci dan mengambil kad kahwin mereka. Alif Hazriq Bin Mustaffa Harun.
Dia menyebut nama itu berulang kali. Harapannya agar dia tidak lupa nama itu. Nama orang yang telah menikahinya dan sah menjadi suaminya. Entah mengapa bibirnya tidak henti-henti menyebut.
“Cubalah menyayangi dia, Mira. Atuk harap cucu atuk akan mendapat kebahagiaan daripada pernikahan ini,” itulah pesan atuknya.
Bahagia? Mampukah dia membina rumah tangga yang bahagia? Sedangkan lelaki itu langsung tidak pernah mengambil tahu keadaan dirinya. Sudah dua minggu mereka bernikah, satu khabar berita tidak pernah dititipkan buatnya. Apatah lagi mahu bertanya khabar. Bodohkan dia? Bulat-bulat menerima segala keputusan yang dibuat oleh atuknya itu? Nampak sangat lelaki itu tidak mahukan dirinya. Ah… kenapa aku jadi seperti ini?
Mira Maira menyimpan semula kad itu. Tangannya mengambil buku yang perlu diulangkajinya. Dia cuba membuang segala perkara yang melibatkan perasaan. Untuk apa dia mengingati orang yang tidak pernah mengingati dirinya. Dia kembali, cuba menumpukan sepenuh perhatiannya kepada pelajaran. Tugasnya sebagai pelajar belum selesai. Dia perlu melunaskannya terlebih dahulu.
Baca buku jangan sampai jauh malam
Itu pesanan ringkas daripada orang yang tidak dikenalinya. Entah siapa yang tersalah sms. Tahu pula dia aku tengah membaca? Soal Mira Maira sebaik sahaja dia membaca sms yang dikirimkan oleh seseorang. Siapa seseorang itu? Dia sendiri tidak tahu.
Gatal juga tangannya dan terus membalas.
Awak siapa?
Dia menanti seketika.
Satu2nya lelaki yang sah menjadi suami awak.
Mira Maira tersenyum. Oh! Rupanya suami dia sendiri.
Thanks… ingat juga awak pada saya…
Skema sahaja bunyi ayat itu, namun dia rasa seronok pula.
Dah semua dalam keadaan terpaksa, ini pun kena paksa juga.
Senyuman yang tadinya mekar, terus mengendur bibirnya. Sebak pula di hati menjadi penganti rasa seronoknya itu. Dia meletakkan kembali telefon bimbitnya. Tanpa sedar air matanya mengalir di pipi.
Ya… kalau tidak kerana dipaksa orang sudah tentu dia tidak akan kisah dan malas hendak ambil tahu. Dia membiarkan sahaja sms itu tanpa balasan. Sudahnya dia menghempaskan tubuhnya di atas katil, tiada ulangkaji lagi. Fikirannya menjadi kusut pula.

ALIF HAZRIQ memandang telefon bimbitnya. Hmm… tidak berbalas smsnya tadi. Entah mengapa dia rasa bersalah pula. Tidak sepatutnya dia menulis begitu. Walaupun memang dia kena paksa dengan uminya. Matanya dilontar ke arah Dyna yang sedang menari dengan teman-temannya. Sesekali Dyna melambaikan tangan ke arahnya.
Mira Maira… bibir itu menyebut nama itu. Segaris nama yang tidak mampu mengetarkan jiwa lelakinya. Berlainan dengan Dyna, jelingan matanya sahaja hati lelakinya sudah bergetar, belum lagi lentok manjanya. Sebab itulah, apabila uminya menyaran atau lebih tepat memaksa dirinya mengahwini gadis itu, dia cuba menolak. Berhari-hari dia tidak pulang ke rumah, namun akhirnya dia tewas juga. Dia tidak sanggup membuang uminya. Baru dua tiga hari, jiwa cengengnya kembali. Dia mahu dengar bebelan umi, dia rindu dengan cubitan umi. Sudahnya dia pulang juga ke rumah.
Setelah itu, dengan begitu pantas sekali dia sudah bergelar suami orang. Permainan apa yang sedang dia lakukan? Berani dia mengambil risiko ini. Bagaimana kalau Dyna tahu dia sudah menjadi suami orang? Serabut kepalanya apabila memikirkan masalahnya itu. Bertambah serabut apabila mendengar muzik yang membingitkan telinga. Alif Hazriq keluar daripada kelab malam itu, dia mahu mengambil angin buat seketika.
Dyna yang menyedari kehilangan Alif Hazriq, mula mencari lelaki itu. Dicelah-celah orang ramai di dalam kelab malam itu, dia meloloskan diri. Dia tidak mahu kehilangan lelaki itu. Lelaki yang menjadi lubuk duit buat dirinya.
“Di sini rupanya you.” Tegur Dyna sebaik sahaja nampak kelibat Alif Hazriq yang sedang merenung lampu neon  di luar permis itu.
“You dah puas menari? Nak balik?” soal Alif Hazriq. Dia tiada mood hendak bersosial pada malam itu. Dia rasa penat dengan masalah yang sedang dihadapinya.
Dyna beraksi manja. Terlentok sana, terlentok sini.
“You kenapa, nampak boring sangat? You ada masalah ke?”bukan dia tidak perasan perubahan lelaki itu.
Sorrylah, sayang. I penat sangat. Jom kita balik?”
“Balik? No! I belum puas lagi menari.” Rengek Dyna. Alif Hazriq tersenyum.
“Kalau begitu, you masuk dalam dulu. Nanti I menyusul. I nak ambil angin,” pujuk Alif Hazriq, Dyna kegembiraan, terus sahaja dia berlari-lari anak masuk ke dalam kelab malam itu semula. Hidup masih muda, perlu enjoy!
Dyna, lenggok tubuhnya sahaja bisa membuatkan jiwanya jadi tidak tenteram. Renungan mata si gadis membuatkan dia tidak tidur malam. Dia tidak menyesal mengangkat Dyna sebagai kekasihnya, gadis itu amat manja.
Dyna merupakan model produk bagi syarikat Alif Hazriq. Sejak di hari pertama mereka bekerjasama, dia sudah mula tertarik dengan gadis itu. Apatah lagi pertemuan demi pertemuan membenihkan rasa cinta di hatinya.
Alif Hazriq mula mengeluh. Perhubungan mereka mendapat tentangan daripada uminya. Babahnya pula buat tidak tahu, namun dia yakin babahnya juga bersependapat dengan umi sebab itu mereka sanggup berpakat menikahkannya.
Siapa sangka lelaki yang hidup bebas dan lebih mengutamakan kerjaya tiba-tiba telah menjadi suami kepada perempuan yang tidak dicintainya? Huh! Ia satu bebanan yang luar biasa. Dia mengeluh lagi. Arghh! Umi tidak pernah mahu faham jiwa mudanya. Namun, mampukah dia menentang uminya sendiri?

PULANG jam dua pagi sudah menjadi kebiasaan buat Alif Hazriq. Hidup perlu ada kebebasan, barulah rasa kepuasannya. Dia suka hidup begitu, tiada kongkongan daripada sesiapa, walaupun uminya selalu juga berleter. Dia tidak pernah peduli.
Sebaik sahaja pintu rumah agam itu dikunci, dia dikejutkan oleh satu lembaga yang tegak berdiri. Berderau darahnya sebaik sahaja melihat lembaga itu. Pantas dia menekan suis lampu. Wajah itu merenung tepat padanya.
“Babah tak tidur lagi?”
Lelaki itu hanya mendiamkan diri. Alif Hazriq gelisah, apakah benar lelaki yang sedang berdiri tegak di hadapannya itu adalah babahnya? Atau itu hanya jelmaan sahaja?
Tanpa berfikir panjang, Alif Hazriq menonggeng lantas melihat lelaki yang berdiri itu melalui celah kelengkangnya. Ternyata kaki lelaki itu memijak jubin yang berkilau itu.
Dato’ Mustaffa Harun menyembunyikan senyumannya. Mahu sahaja dia melepaskan tawanya dengan aksi pelik anaknya itu. Namun selagi terdaya dia cuba tidak tersenyum.
“Takut ke? Sampai tertonggeng baik punya, dah macam penerjun tinggi babah tengok,” tegur Dato’ Mustaffa Harun.
Alif Hazriq tersengih-sengih. Malu dengan perbuatan bodohnya sebentar tadi. Apa tidaknya, selama ini dia punya cakap besar, dia tidak takut dengan perkara-perkara karut seperti hantu dan yang sewaktu dengannya. Hari ini tiba-tiba sahaja dia jadi seram sejuk.
“Taklah, babah. Tadi tu, senaman pagi. Kalau nak kuatkan otot kaki, memang kena senam macam tu,” helah Alif Hazriq. Dato’ Mustaffa Harun menggeleng.
“Sedar pulak kamu ya, sekarang ini dah pagi? Ingatkan tak sedar tadi. Kamu ingat rumah ni hotel ke? Kamu boleh keluar sesuka hati. Balikpun suka hati juga. Kamu tau tak, telinga babah ni dah naik menanah dengar umi kamu bising. Sedarlah sikit Alif... Kamu tu dah jadi suami orang, masih lagi mahu berfoya-foya dengan perempuan lain?” itu yang sebenarnya. Dato’ Mustaffa Harun sudah naik jelak bila saban hari isterinya bising.
“Babah… rilekslah, umur saya masih muda lagi. Masa nilah nak enjoy puas-puas. Lagipun, bukan kemahuan saya nak menikah dengan budak tu,” selamba sahaja Alif Hazriq menjawab. 
Dia menghenyakkan punggungnya di sofa. Panas betul telinganya apabila babahnya mula persoalkan segala aktiviti hariannya itu. Dia tahu, umilah yang punya angkara. Umi memang begitu, kalau dia tidak mampu hendak nasihat lagi, pasti dia akan cucuk babahnya pula. Hah! Malam ini tadah sahajalah telinga. Giliran babahnya pula yang membebel.
“Memang betul, kami yang paksa kamu mengahwini budak Mira tu. Tapi sebagai seorang suami, kamu juga kena bertanggungjawab. Kami lakukan untuk kebaikan kamu juga, Alif…” perlahan Dato’ Mustaffa Harun memujuk.
Anak lelakinya itu keras kepala juga. Tidak ubah seperti perangainya ketika muda. Dia juga begitu, menentang apa sahaja rancangan orang tuanya. Namun dalam pada itu, dia juga menurut. Perkahwinannya dengan isterinya itu juga orang tua yang rancang. Bezanya, dia dahulu bukanlah kaki perempuan dan tidak pula dia pergi ke kelab malam. Dia hanya menghabiskan masa dengan kesibukan kerja.
“Dan… kamu juga jangan lupa janji kamu suatu ketika dahulu...” ungkit Dato’ Mustaffa Harun lagi. Cuba mengingatkan anak sulungnya itu. 
“Okeylah, babah. Saya dah letih sangat. Saya naik tidur dulu,” Alif Hazriq bangkit, dia mengurut-urut tengkoknya yang sudah mula memberat. Dia mahu mengatur langkah tetapi terhenti apabila mendengar suara babahnya lagi.
“Ingat, Alif. Kalau kamu sia-siakan Mira… babah tak jamin kamu akan miliki semua ini lagi. Kamu fikirkanlah baik-baik,” seraya itu juga, Dato’ Mustaffa Harun bingkas. Dia mendekati anaknya itu lalu ditepuknya bahu anak terunanya itu. Bibirnya terukir senyuman sinis. Bererti hanya tunggu dan lihat sahaja.
Alif Hazriq terkaku. Bermakna mereka mengugut dengan cara halus. Berat benar dadanya apabila mendengar kata-kata babahnya itu. Bermakna…? Wajahnya diraup dan kemudian dia memegang tengkuknya.

MIRA Maira bersolat hajat. Semakin kerap dia bangun pagi, selain daripada menelaah buku, dia juga membuat qiamulail. Biarlah dia sandarkan harapannya kepada Allah setelah dia berusaha bersungguh-sungguh. Hanya itu yang mampu dilakukannya sebagai hamba yang kerdil di muka bumi milikNYA ini.
Di waktu dinihari itu, dirasakan ketenangan yang hakiki. Dia tidak akan peroleh ketenangan begitu kala mentari menyinarkan cahayanya. Kerana dirasakan waktu dinihari itu, hanya dia semakin dekat dengan pemilik dirinya itu. Di ketika itu jugalah dirasakan Allah akan makbulkan doa-doanya.
Usai sahaja dia bersolat, dia menghadap pula buku-bukunya. Ketika itu juga dia rasakan dia perlu melakukan sesuatu. Tanpa berfikir panjang, telefon bimbitnya dicapai. Dia menaip sesuatu dan kemudian dia menekan butang hantar. Setelah itu dia rasakan kelegaan yang amat sangat.
Di Kuala Lumpur, sms itu telah diterima. Dengan berat hati, Alif Hazriq membaca sms tersebut.
Maaf menganggu, saya ingin minta maaf daripada hujung rambut hingga ke kaki. Izinkan saya mengambil peperiksaan ini dan hulurkanlah doa buat saya agar mudah saya menjawab soalan-soalan nanti. Saya tak tahu kenapa perlu saya hantar mesej ini kepada awak, tetapi hati ini hendak sangat lakukannya. Maaf sekali lagi…
Berulang kali Alif Hazriq membaca sms itu. Dia menggelengkan kepalanya. Kenapa gadis itu tidak tidur lagi? Untuk apa dia belajar bersungguh-sungguh, bukankah dia telah menjadi menantu kepada seorang usahawan yang berjaya? Bukankah itu impian gadis itu sehingga memerangkap dirinya sekali? Dia tahu, semua itu rancangan keluarga gadis itu. Yang terlalu tamak haloba. Mahukan kemewahan sekelip mata. Begitu mudah babahnya menerima saranan atuk gadis itu. Huh! Dasar tidak sedar diri. Kutuknya dalam hati.
Dia mula berfikir, dia akan lakukan sesuatu agar ikatan mereka yang belum lagi secara rasminya menjadi suami isteri yang sebenar akan putus begitu sahaja. Ya! dia akan lakukannya. Dia akan rujuk mana-mana info tentang status dirinya sekarang ini. Dia juga akan diamkan diri sehingga masa yang sesuai. Biarlah perkahwinannya itu terbatal dengan sendirinya. Dia bukan bodoh sangat dalam hal agama ini.
“Aku akan pastikan wahai gadis hitam manis, kau tak jadi ahli keluarga Dato’ Mustaffa Harun. Semuanya akan berakhir tak lama lagi… tunggulah!” dia tersenyum panjang…