16
“UMI janganlah macam
ni…” pujuk Mira Maira.
Sejak semalam lagi, Dato’ Farah hanya mendiamkan
diri sahaja. Enggan mahu bergurau ataupun bercakap dengan Alif Hazriq. Mira
Maira tidak suka dengan kebisuan itu.
“Umi malu dengan Mira. Alif tak patut buat Mira
macam tu. Sanggup berpegangan tangan dengan perempuan lain.” luah Dato’ Farah.
Mira Maira mengusap lembut belakang mertuanya itu.
“Umi… bukan abang yang pegang tangan dia, tapi dia
yang paut tangan abang. Nampak sangat dia yang mahukan abang, bukan abang yang
beriya-iya nakkan dia.” Bela Mira Maira. Biarpun perasaannya pedih namun dia
terpaksa juga menelan semua itu.
“Sama aje, Mira. Apa bezanya? Hukumnya tetap
berdosa!” tingkah Dato’ Farah.
“Umi berilah abang peluang sekali lagi. Saya
percaya, abang dah menyesal… tolonglah umi… jangan diam dengan abang. Abang tak
boleh buat apa-apa kalau umi asyik diamkan diri. Kesianlah pada dia, umi,” rayu
Mira Maira.
Dato’ Farah memandang wajah Mira Maira, Mira Maira
mengangguk. Lantas tubuh menantunya itu dipeluk erat.
“Kenapalah Alif tak nampak kebaikan Mira? Apa yang
dia kejarkan?” soal Dato’ Farah.
Terharu perasaan Mira Maira kerana sangat dihargai
oleh mertuanya itu.
“Harap-harap lepas ni abang berubah…”
Berat mulut ingin mengatakan perkara itu tetapi
apa salahnya dia berharap? Tidak banyak, sedikit harapannya mahukan suaminya
itu berubah dan mahu menerima dirinya. Berharap keajaiban Allah…
Dato’ Mustaffa Harun masuk ke dalam bilik itu.
Senyuman dilempar buat kedua-dua wanita kesayangannya itu.
“Mira kat sini rupanya…” dia melabuhkan
punggungnya di sofa berhadapan dengan katilnya.
“Ya, babah… saja pujuk umi ni yang merajuk… makin
comel umi kalau merajuk macam ni,” giat Mira Maira. Dato’ Farah memukul paha
menantunya itu.
“Pandailah menantu umi ni…”
“Okeylah, Mira keluar dulu ya, umi. Lagipun pak we
umi dah datang tu…” usik Mira Maira. Dato’ Farah dan Dato’ Mustaffa Harun
tertawa serentak.
“Terima kasih, Mira…”
“Sama-sama kasih, umi…”
Mira Maira meninggalkan bilik itu. Dato’ Farah
menarik nafas perlahan.
“Kita mesti lakukan sesuatu, bang,” Dato’ Farah
menghadap suaminya. Dato’ Mustaffa Harun mengangguk laju. Seakan dia sudah
punya rencana pula.
“Abang ada idea?” sekali lagi Dato’ Mustaffa Harun
mengangguk.
“Kita perlu menghentikan semua ini secepat
mungkin.”
“Macam mana caranya?”
“Abang ada idea, tapi abang tak taulah kalau Farah
setuju ke tak.”
“Saya tak kisah, bang. Asalkan ia membawa kebaikkan.”
Dato’ Mustaffa Harun tersenyum.
“KAUPUN nak mogok
dengan aku juga ke?” soal Alif Hazriq, dia duduk di sebelah adiknya yang sedang
termenung di halaman rumah. Taman mini yang direka khas oleh Dato’ Farah mampu
menenangkan perasaan.
Afif Haikal menoleh ke sisinya. Tersunging
senyuman di bibirnya.
“Nak mogok buat apa, bro? Perkara dah jadi.
Pandai-pandailah kau nak ambil hati umi. Aku tengok umi betul-betul kecewa
dengan kau, bro. Aku sendiri tak sangka kau boleh lakukan benda ni. Kesian
Mira.” Afif Haikal menyandarkan tubuhnya. Kerusi yang boleh menempatkan hanya
dua orang itu digoyang sedikit. Kerusi itu dibuat seperti buaian boleh digoyang
ke hadapan dan ke belakang.
Kedengaran keluhan Alif Harziq. Matanya terus
tertancap pada bunga ros yang mekar berkembang.
“Aku sendiri tak menyangka semua ni boleh terjadi.
Kalau aku tau ada wartawan kat situ, aku takkan hadirkan diri, bro…”
“Aikk? Peliknya, bukan kau ke yang buat majlis tu?”
Alif Harziq mengeluh lagi kemudian dia menggeleng.
“Inilah salah fahamnya. Orang yang tak tau mesti
cakap aku yang anjurkan majlis tu. Padahal, aku dijemput. Tak sangka pulak
diorang nak buat surprise party.
Akhirnya aku juga yang terperangkap.”
Sekali lagi Afif Haikal memandang abangnya itu.
Ingin mencari kejujuran.
“Kenapa? Mesti kaupun tak percaya pada aku, kan?”
“Macam mana aku nak percaya, kalau dah ada gambar
yang boleh jadikan bukti. Kau nasib baik, bro… kau dapat isteri yang dapat
tutup kesalahan kau, kau ingat senang ke nak dapat yang macam tu? Makin
diburukkan suami dia adalah.”
“Aku tau…”
“Kalau kau dah tau, cubalah kau buka pintu hati
kau tu untuk terima dia seadanya. Biar muka tak cantik, bro. Asalkan yang kat
sini tak sakit…” Afif Haikal menunjuk ke arah hatinya.
“Entahlah, soal perasaan ni payah aku nak cakap.
Terlalu sukar nak ditafsirkan. Aku sendiri tak tau, apa yang aku rasa.” Luah
Alif Hazriq.
“Hmm… aku harap kau berjaya. Pilihlah yang mana
terbaik buat kau.” Afif Haikal menepuk-nepuk bahu abangnya itu.
“Abang… Afif… mari masuk. Makanan dah siap,”
panggil Mira Maira daripada pintu utama.
Alif Hazriq menoleh ke arah isterinya. Dia
mengangguk sambil mengangkat tangan.
“Amat sempurna sebagai seorang perempuan, kan? Aku
cemburu dengan kau, bro.” kata Afif Haikal seraya itu dia bangun. Alif Hazriq
menelan air liurnya. Panas pula telinganya.
“UMI… saya minta maaf
ya. Umi janganlah marah-marah. Kalau umi marah, rasa macam nak duduk aje dalam
peti ais tu. Biar jadi beku. Umi marah macam manapun telinga dan muka tak jadi
merah.” Alif Hazriq melutut di hadapan Dato’ Farah. Baginya, dia lebih utamakan
uminya itu daripada perkara lain.
“Lain kali jangan buat lagi, Alif. Kalau buat lagi
siap kamu,” akhirnya Dato’ Farah tersenyum juga. Alif Hazriq mendakap tubuh
uminya itu.
“Terima kasih, umi. Macam nilah umiku sayang…
comel aje bila tersenyum,” sakatnya.
Dato’ Farah menampar bahu anak sulungnya itu.
“Dahlah, jom kita makan. Hari ni menantu umi yang
masak. Kesian menantu umi tak ada orang nak tolong. Korang lepas ni basuh
pinggan ya.” Dato’ Farah dan Dato’ Mustaffa Harun beriringan ke meja makan.
Diikuti oleh Alif Hazriq dan juga Afif Haikal.
“Beres… setakat basuh pinggan, pejam mata aje,
umi… betul tak, Afif?”
Mira Maira rasa lega sebab suasana kembali seperti
biasa. Siapa yang mahukan suasana tegang? Apatah lagi hubungan mereka anak
beranak begitu rapat sekali. Tidak lekang daripada bibir mereka gelak tawa yang
membahagiakan. Mira Maira tidak mahu ada masalah yang boleh mengugat hubungan
itu.
Mira Maira menghulurkan nasi kepada suaminya.
Kesempatan itu juga Alif Hazriq mengenyitkan matanya kepada isterinya itu.
Bulat mata Mira Maira kerana tidak percaya dengan apa yang dilihatnya tadi.
Biar betul?
“Dah mari duduk, Mira. jangan layan budak sengal
tu, sengaja dia nak ambil hati Mira. kenyit-kenyit konon. Lain kali kalau dia
buat hal lagi, bagi aje dia rasa cium punggung kuali tu sekali. Baru dia rasa.”
Kata Dato’ Farah.
Mira Maira tergelak.
“Umi jangan nak ajar isteri saya melawan cakap
suami ya… tak baik umi menghasut orang,” balas Alif Hazriq.
“Lagi tak baik kalau menduakan isteri,” sindir
Dato’ Farah.
“Umi… kan dah minta maaf tadi, umi jangan buat
saya serba salah boleh tak?” kata Alif Hazriq, bibirnya dimuncungkan.
“Eleh… tupun nak buat muncung sedepa. Makin ada
isteri makin mengada-ada pulak dia.” Usik Dato’ Farah lagi.
“Babah… tengok umi,”
Mira Maira tertawa melihat telatah suaminya yang
seperti budak kecil sahaja. Umur sudah tua Bangka. Kutuknya dalam hati.