“Annur, salam,” pinta iman sambil menghulur tangannya. Muka annur masam mencuka. Tangan iman disambut dan annur tertawa semula. Saya memerhatikan gelagat anak-anak murid yang berusia 5tahun.
“Lain kali jangan gaduh-gaduh lagi tau, Allah tak suka.” Saya menasihatkan.
“Nanti Allah marah kan, ustazah?” sampuk fadhil. Saya Cuma mengangguk, tersenyum.
Mengajar kanak-kanak berusia 5-6 tahun, memang memerlukan kesabaran. Lagipun saya bukanlah seorang guru yang garang (tak reti nak jadi garang, huhu). Cuma kadang-kadang terpaksa jugak paksa diri untuk meninggikan suara bila ada yang tidak mendengar kata.
“Jangan lari, nanti jatuh! Tak penat ke asyik berlari je?”
“Tak!” spontan mueez menjawab sambil ketawa.
Bila giliran membaca (iqra’)dah selesai, masing-masing bermain dan buat kerja sendiri. Masa ni lah ada yang bergaduh, berebut barang mainan, atau apa sahaja. Tapi tak sampai 5minit terus berbaik semula. Saya tergelak sendiri. Bagus kan jadi kanak-kanak ni, tak payah fikir masalah besar, masalah orang dewasa. Kalau bergaduh pun, sekejap je, terus salam dan boleh bermain bersama kembali. Tak ada simpan dalam hati pun.
“Ustazah, nabihah tak nak kawan dengan kite.” Iman datang merapati saya, mengadu.
“Kenapa tak nak kawan? Kan ustazah dah cakap, tak baik gaduh-gaduh ni. Pergi salam cepat.”
Iman akur, langkah diatur menuju nabihah. Tangan dihulur, salam bersambut. Senyum. Sekejap je terus berbaik semula.
Orang dewasa kalau bergaduh macam mana ye? Kalau kita terasa hati dengan sahabat-sahabat macam mana ye? Semudah itukah untuk bersalam, minta maaf, dan melupakan? Saya belajar sesuatu dari si kecil ini. Kanak-kanak tidak pandai menyimpan dendam sesama sendiri, jika diasuh dan dididik dengan betul. Kanak-kanak tidak pandai menyimpan amarah, suka berterus-terang, tidak segan untuk meminta dan memberi maaf.
Ada orang, sangat susah untuk memaafkan, apatah lagi untuk meminta maaf dan mengaku kesalahan. Ego mungkin? Entahlah. Tapi saya seronok melihat ragam si kecil bermain sesama mereka. Teringat zaman kanak-kanak dulu. Selalu jugak bergaduh dengan sepupu yang sebaya, dengan adik-beradik, tapi bergaduh tak lama. Kenangan. Nak minta maaf pun senang, tak ada terasa hati, tak simpan dalam hati.
Setiap hari kita akan melalui pengalaman yang berbeza, itulah kehidupan. Sebenarnya banyak ibrah yang dapat dikutip di sekeliling jika kita benar-benar mahu memerhati dan berfikir. Belajar, tidak semestinya dari orang yang lebih dewasa. Adakalanya kita dapat mengutip mutiara yang lebih berharga dari si kecil yang masih belum faham erti kehidupan. Maafkanlah orang lain agar kita juga dimaafkan.