Kawan-kawan dan sahabat handai....

Memaparkan catatan dengan label PRK Hulu Selangor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK Hulu Selangor. Papar semua catatan

Rabu, April 21, 2010

Pondok Polis Disemua Kampung Orang Asal Gertak Penyokong Pakatan Rakyat

KUALA KUBU BAHARU 21 Apr - Umno-Barisan Nasional dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa menggunakan seluruh aparat kerajaan termasuk polis untuk menakut-nakutkan pengundi di Hulu selangor terutama golongan Orang Asal.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datin Paduka Dr Tan Yew Kew mempersoalkan motif pihak polis meletakkan pondok polis di kawasan perkampungan Orang Asal.

Menurutnya, perkara itu berlaku di kesemua 16 buah kampung Orang Asal di Hulu Selangor dan terdapat juga gambar membuktikan perkara itu berlaku di Serendah dan Kuala Kubu Baru.

"Kami telah menerima beberapa aduan daripada komuniti Orang Asal bahawa pondok polis telah diletakkan di kampung mereka. Ini menyebabkan pengundi Orang Asal merasa takut dan mereka juga tidak faham mengapa banyak wujudnya pondok polis di kampung mereka yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Adakah ini satu taktik untuk menakutkan pengundi untuk keluar mengundi atau berani menyokong Pakatan Rakyat. Ini menjadi persoalan yang ditimbulkan di kalangan Orang Asal.

"Kita minta penjelasan dari pihak polis apakah alasan meletakkan pondok polis di kampung-kampung Orang Asli sedangkan bila jenayah berlaku, alasan polis kakitangan tidak mencukupi, tetapi di kampung-kampung Orang Asal aman tidak ada pergaduhan, apakah alasan meletakkan pondok polis selain menakutkan pengundi yang menyokong kita," Dr Tan pada sidang media harian di Pusat Media Pakatan Rakyat di sini tengahari tadi.

Sumber: Suarakeadilan

Polis Bina 16 Pondok Polis Di Kampung Orang Asal Tanpa Sebab

HULU SELANGOR 21 APR: Menjelang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini, banyak perkara yang tidak masuk akal dilakukan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).

Terbaru, pondok polis dibina di 16 kampung orang Asal di seluruh Hulu Selangor.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Datin Paduka Tan Yee Kew  hari ini mempertikai mengapa kawasan seharmoni perkampungan orang Asal perlu didirikan  pondok polis.

Yee Kew berkata, tindakan membina pondok polis berkenaan cuma menimbulkan rasa takut di kalangan penduduk.

Sehubungan itu, beliau menambah pihaknya akan berjumpa pihak berkuasa untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu itu.   

Sumber: TVSelangor

Papan Tanda PKR Diroboh, Poster Kempen Dirosakkan

Menjelang hari pengundian pilihanraya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, taktik-taktik kotor mencantas calon lawan dengan fitnah dan dakyah semakin diperhebat.

Dalam keghairahan Umno menyerang keperibadian calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, poster beliau dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dirosakkan dan dalam sesetengah situasi, dirobohkan sama sekali.

Semuanya dilakukan semata-mata untuk memenangkan calon pilihan UMNO P Kamalanathan dari MIC.

Pada masa sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak sambil lewa menguatkuasakan arahan supaya Umno menurunkan poster- poster yang membawa mesej fitnah dan dakyah terhadap Zaid.

Sehubungan itu, Srikandi bersama Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melancarkan Ops Billboard untuk memastikan semua papan tanda yang menghina keperibadian pimpinan Pakatan Rakyat, diturunkan.

SPR sebelum ini berjanji untuk mengarahkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) menurunkan poster berunsur provokasi namun ternyata, janji tinggal janji.

Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Mohd Shaik Ismail berkata Srikandi serius mahu memastikan pilihan raya kecil ini berjalan dalam suasana aman tanpa sebarang provokasi yang boleh merosakkan keharmonian berkempen.

Minggu lalu, AMK membuat laporan polis berhubung tindakan tidak bertamadun Barisan Nasional yang menaikkan kain rentang dan papan tanda dengan mengaibkan calon dan pimpinan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, kain rentang dan poster milik BN yang diturunkan dihantar kepada SPR walaupun suruhanjaya berkenaan enggan menerima bahan kempen ini.

Ditanya kewajaran tindakan itu, Aishah berkata ia mesej kepada SPR betapa mereka memandang serius isu ini.

Sumber: TVSelangor

Selasa, April 20, 2010

Angkara panglima besar

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mendakwa kes-kes lompat parti membabitkan pemimpin dan ahli PKR didalangi individu yang dilabelkan ‘panglima-panglima besar’ UMNO.

Katanya, tindakan golongan tersebut adalah strategi dan taktik kotor parti itu untuk mempengaruhi pemimpin Pakatan Rakyat (PR) setelah gagal menjawab isu-isu semasa dan mengatasi masalah rakyat.

“Sukar untuk saya tidak mempercayainya seperti apa yang berlaku di negeri Kedah dan Perak kerana perkara ini melibatkan puluhan juta ringgit,” katanya di lobi Parlimen, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, perkara itu jelas setelah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa bukti perkara itu dalam perbahasan Dewan Rakyat sesi lalu.

Ketika ditanya, siapa individu yang dimaksudkan sebagai panglima besar itu, Azmin enggan mendedahkannya dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian.

“Perkara ini berlaku apabila Exco Kerajaan Kedah yang dibawa untuk bertemu dengan pemimpin UMNO yang cuba disogok dengan jumlah wang yang besar.

“Malahan, kejadian tersebut telah dirakamkan dan diserahkan kepada pihak berwajib namun, sehingga kini masih tiada tindakan terhadap pemimpin UMNO yang terlibat,”katanya.

Mengenai tindakan Bendahari PKR Hulu Selangor, Datuk Dr Halili Rahmat yang mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO semalam, Azmin mempersoalkan tindakan tersebut yang dilakukan menjelang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

“Kami harus menerima keputusannya dan terpulang kepada beliau untuk memilih parti yang akan disertai.

“Kami telah memberi peluang kepadanya untuk bertanding atas tiket Keadilan pada tahun 1999 namun, gagal dalam pilihanraya itu,” katanya.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mengakui, tindakan keluar parti oleh beberapa pemimpin PR kebelakangan ini didalangi oleh pihak tertentu.

“Tindakan keluar parti ini berlaku hampir dengan perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. Pasti ada dalang di sebalik ini semua,” katanya.

Sumber: Sinarharian

Isnin, April 19, 2010

Peruntukan Baiki Bumbung Melebihi Kos, Syak Umno-BN Salur Ke Kempen

HULU SELANGOR 19 APR: Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad bimbang peruntukan bagi membantu rakyat yang kesusahan, diseleweng Umno Barisan Nasional dan disalur sebagai dana kempen pilihan raya.

Ia berikutan jumlah peruntukan yang digunakan bagi membaiki bumbung penduduk Bukit Beruntung melalui program Juara rakyat, lebih besar dari kos sebenar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan kos membaiki bumbung bagi 52 blok rumah ialah RM17 juta.

Bagaimanapun, pengiraan Iskandar mendapati kos anggaran untuk proses pembaikan ini hanya kira-kira RM10.2 juta.

“Saya mempertikai ke manakah perginya RM7 juta lagi yang diperuntukkan kerajaan Persekutuan. Katalah mereka mengecat setiap blok, kos untuk mengecat setiap blok hanyalah lebih kurang RM40,000.

"Ini bermakna kos keseluruhan adalah RM13 juta sahaja, bermakna ada RM4 juta yang tidak tahu ke mana perginya,” katanya pada program merasmikan perpustakaan desa di Ulu Bernam di sini, hari ini.

Kata Iskandar, kerajaan negeri memiliki pengalaman membaik pulih 2 bumbung rumah yang anggaran kosnya adalah RM200,000 satu bumbung.

Beliau berkata, kos bagi setiap bumbung apabila melibatkan 52 blok pasti akan lebih murah berbanding membaiki satu blok.

Iskandar bimbang lebihan kos membaiki 52 blok itu diseleweng dan digunakan bagi menampung perbelanjaan kempen Umno BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor

“Kita mengalu-alukan mereka hendak baik pulih bumbung-bumbung. Tetapi pastikan segala peruntukan itu disalur kepada rakyat, bukan digunakan untuk mengkayakan kroni-kroni atau tujuan politik,” katanya.

Sumber: TVSelangor

Cermin Kereta Pecah DiBaling Botol, Ketua AMK Sabak Bernam Lapor Polis

HULU SELANGOR 19 APR: Angkatan Muda Keadilan hari ini membuat laporan polis berikutan perbuatan liar penyokong Umno Barisan Nasional yang membaling botol dan batu serta objek lain hingga menyebabkan cermin kerata pecah dan badan kenderaan itu kemek.

Kejadian pada 17 April lalu itu berlaku terhadap kereta yang dinaiki oleh Ketua AMK Sabak Bernam, Muhammad Abdul Razak bersama tiga rakannya ketika dalam perjalanan ke satu majlis penerangan.

Tindakan itu jelas berlawanan dengan semangat demokrasi sebaliknya menunjukkan sikap berat sebelah pihak berkuasa tertentu apabila melibatkan pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat.

"Masa pemilihan calon jam 11 pagi, kami melalui jalan masuk Kuala Kubu Bahru, jalan tutup. Polis mengarahkan kami melalui jalan penyokong BN. Setibanya di hadapan penyokong BN, kami terperangkap dan terus diserang.

"Ketika itu, polis ada di kiri kanan kami tapi mereka seolah-olah membiarkan penyokong BN menyerang kami, semata-mata kami ada lambang. Kami berasa tidak selamat walaupun ada pihak berkuasa," kata Muhammad.

Menceritakan kejadian itu di markas PKR Kuala Kubu Bharu, Muhammad kesal kerana kejadian itu berlaku ketika ada lebih 4,000 anggota polis di Hulu Selangor, kononnya bagi menjamin keselamatan rakyat.

Beliau sebaliknya terkilan kerana polis tidak bertindak terhadap samseng-samseng upahan ini dan mendesak pimpinan Umno BN supaya bertanggungjawab berikutan kejadian berkenaan.

"Kami mahu pihak BN bertanggungjawab. Kejadian itu seolah-olah ada satu kumpulan yang sengaja mencari mangsa. Kali ini, kami yang kena," katanya lagi.

Sumber: TVSelangor

Kaki botol: Sudah sampai tahap fitnah

KUALA LUMPUR, 19 April: Umno melalui rakan-rakan blogger mereka nampaknya secara bersungguh-sungguh benar mahu mengaibkan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim dengan tuduhan kaki botolnya.

Namun, apa yang dibuat oleh mereka keterlaluan sehingga sanggup membuat gambar palsu bagi membuktikan tuduhan mereka.

Walaupun Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamudin Husein menafikan Umno terlibat dengan tuduhan itu, tetapi akhbar Umno sendiri antara yang terlibat dengannya secara langsung.
(Gambar kiri yang disiarkan oleh blogger Umno manakala gambar kanan adalah gambar asal yang menjadi sumber gambar ini)

Ia disiarkan di muka depan Mingguan Malaysia Ahad lepas dengan berselindung di sebalik cabaran dari Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Ekoran dakwaan muka depan Mingguan itu para blogger Umno berbondong-bondong kononnya menyahut cabaran Azmin untuk membuktikan Zaid kaki botol.
(Gambar kiri adalah gambar yang disiarkan oleh blogger Umno manakala kanan adalah gambar asal Zaid )

Dalam laman ini adalah dua gambar yang disiarkan oleh para blogger Umno ini kononnya ia adalah bukti Zaid sedang minum arak padahal ia hanya gambar yang dibuat semula secara palsu.
Di siarkan juga gambar asal yang di'super impose'kan oleh para blogger ini atas dasar untuk memberikan bukti kepada Azmin, ini dia buktinya.

Sumber: harakahdaily

Ahad, April 18, 2010

Umno Upah Gengster Ugut Pengundi Di Hulu Selangor

Oleh Rusnizam Mahat

KUALA KUBU BAHARU 18 Apr - Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor akan menyaksikan Umno-Barisan Nasional menggunakan apa sahaja cara bagi memenangi pilihan raya 25 April depan termasuk mengupah gengster bagi mengugut dan menakutkan penyokong Pakatan Rakyat.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Badrul Hisham Shaharin, pilihan raya kali ini paling penting buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan menggunakan seluruh jentera dan aparat kerajaan bagi memastikan kemenangan BN.

Ini termasuk menghantar gengster dari pertubuhan-pertubuhan yang tidak berdaftar.

"Seperti biasa ada pertubuhan silat yang dibayar, dan pertubuhan yang tak didaftar dibayar untuk menimbulkan kekecohan. Ini pilihan raya yang paling mahal sekali.

Menggunakan gengster ini memang kerja Umno dan Barisan Nasional. Saya menjangkakan akan lebih teruk dan parah lagi," kata Badrul atau CheGuBard.

Beliau mengulas kejadian keganasan yang dilakukan oleh penyokong Barisan Nasional yang menyebabkan berlaku ketegangan di sebuah padang berdekatan pekan Kerling, Kuala Kubu Baru semalam.

Kejadian pada hari pertama kempen pilihan raya selepas penamaan calon itu berlaku apabila pemuda BN didakwa bertindak membaling botol berisi air ke arah hadirin yang hadir untuk mendengar ceramah yang dianjurkan Pakatan Rakyat.

Saksi melihat sebanyak tiga hingga empat botol dibaling oleh pemuda BN itu ke arah hadirin yang berulang-alik di situ.

Tindakan provokatif itu dipercayai dilakukan oleh sekumpulan 30 hingga 40 orang pemuda BN yang berada di pondok panas mereka yang terletak bersebelahan dengan padang berkenaan.

Kejadian berlaku sejurus ketibaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan ceramahnya kira-kira jam 11.15 malam.

Justeru itu, Badrul meminta seluruh pengundi dan jentera Pakatan Rakyat di Hulu Selangor bertenang dan tidak melayani sebarang bentuk provokasi yang dilakukan kumpulan gengster berbayar tersebut.

"Paling penting ialah kita perlu dekati terus pengundi dan biarkan mereka terus dengan gengster berbayar mereka," ujarnya ketika ditemui Suara Keadilan.

Beliau juga meminta beribu anggota polis yang bertugas di Hulu Selangor supaya menunjukkan kesungguhan untuk menjamin keamanan dan keselamatan pengundi di kawasan itu.

"Kita tak nak peristiwa di Bagan Pinang berulang, pertumpahan darah dan sebagainya. Bagan Pinang merekodkan di hadapan mata saya pemandu Ketua Polis Negeri ditumbuk Pemuda Umno dan oleh kerana ia berkait dengan Pemuda Umno, maka kes itu ditutup. Ada pertubuhan silat dibayar dan seperti biasa, gangster ini akan digunakan sepenuhnya," jelas beliau lagi.

Sumber: Suarakeadilan

Pengundi mengadu ditukar tempat mengundi

HULU SELANGOR 18 APR: Seorang pengundi Parlimen Hulu Selangor hari ini membuat pendedahan kepada TV Selangor mengenai namanya yang secara tiba-tiba dipindahkan ke Parlimen Selayang tanpa pengetahuannya.

"Nama saya Mohd Ali bin Ismail, No kad pengenalan 600902-05-5557, mendaftar di Sungai Choh. Saya di luar pengetahuan saya dipindahkan tempat mengundi. Saya semak tadi, nama saya sudah dipindah ke Selayang.

"Alamat saya di Batang Kali, semua di Batang Kali. Selama ini saya mengundi di Sekolah Kampung Tanjung Sungai Choh," katanya yang turut bercadang membuat aduan polis berikutan perkara itu.

Beliau mengadu kepada krew TV Selangor yang sedang membuat liputan di program Karnival Spies di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu, petang ini.

Sebelum ini, Mohd Ali tiga kali mengundi di DUN Batang Kali dan terkejut dipindah ke Parlimen Selayang ketika apabila menyemak daftar pemilih SPR hari ini sedangkan beliau langsung tidak ada harta, rumah ataupun keluarga di Selayang.

"Bukan sekali tapi tiga kali saya mengundi di Kampung Tanjung, tiba-tba saya dipindahkan di Selayang. Saya mahu tahu kenapa saya dipindahkan ke Selayang," katanya.

"Saya minta ditukarkan saya kembali ke alamat saya di Batang kali. Rumah saya, isteri saya..semua di Batang Kali. Untuk apa saya mengundi di Selayang.

"Bukti alamat saya di kad pengenalan ialah Batang kali," katanya sambil menunjukkan kad pengenalannya.

Sumber: TVSelangor

Jumaat, April 16, 2010

4 Cawangan MIC Bubar, 1,200 Ahli Sertai KEADILAN, 13 Lagi Menyusul

Oleh Fazli Othman

BUKIT SENTOSA 16 Apr - Empat cawangan MIC Hulu Selangor dibubarkan membabitkan lebih 1,200 ahli sejurus selepas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Ketua Penerangan MIC, P Kamalanathan sebagai calon Barisan Nasional petang semalam.

Dalam satu majlis penerangan kerajaan negeri Selangor di Dewan Komuniti Bukit Sentosa, Ketua Cabang Parit Sulong Hasmi Hashim berkata empat cawangan terbabit ialah cawangan Batang Kali, Taman Wawasan, Ladang Ulu Tamu dan Ulian Baru.

"Kemungkinan 13 cawangan MIC lagi akan dibubarkan kerana tidak setuju dengan campur tangan Umno dalam pemilihan calon MIC bagi Hulu Selangor.

"Isyarat ini jelas menunjukkan rakyat di Hulu Selangor tidak lagi yakin terutamanya masyarakat India yang berada di peringkat akar umbi.

"Calon yang dikatakan kononnya calon jalan tengah bukan calon pilihan MIC tetapi Umno maka jelaslah di sini MIC tidak mempunyai suara tetapi Umno yang telah menetapkan calon untuk MIC," kata Hasmi.

Sebelum ini, satu laporan berita mengatakan bahawa semua cawangan MIC di Hulu Selangor akan ditutup jika jika tuntutan mereka agar Datuk G Palanivel dicalonkan ditolak.


Sumber: Suarakeadilan

Khamis, April 15, 2010

Calun BN Hulu Selangor bukan anak tempatan

Hari ni kami meninjau kawasan Hulu Selangor untuk mendapatkan laporan dan komen penduduk tempatan tentang calun BN yang baru. Sempat juga singgah sebentar di kedai kopi dan memasang telinga. Sungguh hebat kerana penduduk setempat sudah pandai berpolitik dan melahirkan pendapat masing masing, walaupun hanya di kedai kopi.

Yang menarik, komen dari pelanggan kedai kopi bahawa calun BN yang terpilih adalah bukan anak tempatan, tidak seperti yang di war-warkan oleh TPM pada awalnya.

Muhyiddin nampaknya perlu menjawab. Dimana Palaniviel, dimana Mugilan?
Baca laporan dari Harakahdaily

Rabu, April 14, 2010

SPR Tukar Pilihan Raya Di Malaysia Macam Sarkis

Oleh Fazli Othman

KUALA LUMPUR 14 Apr - Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Fuziah Salleh kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak mengiktiraf Badan Pemantau Pilihan Raya Bebas Malaysia (Mafrel) selepas tercabar dengan teguran badan pemantau bebas itu.

"Apa yang SPR takutkan, sudahlah kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak mengizinkan 'international observer' dan Malaysia cuma hanya ada satu badan bebas pemantau pilihan raya, itu pun SPR nak batalkan juga.

"Adalah mustahil bagi SPR bagi mereka menutup ketidakadilan dalam sistem demokrasi di Malaysia kepada dunia," ujar Fuziah apabila ditanya berhubung tindakan SPR tersebut.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berasa kesal berhubung tindakan SPR yang membatasi ruang demokrasi semata-mata tunduk dengan tekanan Umno-BN itu.

SPR memutuskan untuk tidak lagi melantik Mafrel kononnya atas alasan ia telah melanggar syarat pelantikan kerana gagal mengemukakan laporan kerja pemantauan yang dilakukan semasa kesemua sembilan pilihan raya kecil sejak Ogos 2008.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar menggesa SPR supaya mengkaji semula peranan Mafrel sebagai pemantau bebas pilihan raya yang mendakwa ia tidak bebas apabila menegur Perdana Menteri dan Timbalannya turun ke Hulu Selangor dan menjanjikan projek dan wang jutaan ringgit kepada penduduk di situ.

Sumber : Suarakeadilan

Sokong Palanivel, MIC tolak calon 'pintu belakang

Ketua 18 bahagian MIC di Selangor hari ini tampil mendesak pucuk pimpinan BN supaya mengesahkan pemilihan Datuk G Palanivel sebagai calon pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor, sepertimana yang diperakukan oleh presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat MIC di ibunegara, wakil kumpulan tersebut, A Saktivel yang juga ketua MIC Puchong, berkata kesefakatan BN menyatakan bahawa pengerusi BN mesti menerima siapa sahaja calon yang dipilih oleh pemimpin parti komponennya.

MIC mempunyai 22 bahagian di Selangor. Palanivel, yang juga ketua MIC bahagian Hulu Selangor, tidak hadir.
Saktivel yang juga anggota jawatankuasa kerja pusat MIC berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana calon yang tidak dipilih oleh presiden parti, diletak bertanding.
Timbalan pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan calon BN esok.

Selain Palanivel, satu lagi nama yang disebut-sebut disokong oleh Umno untuk dicalonkan bertanding di Hulu Selangor ialah timbalan ketua Pemuda MIC, V Mugilan.

Difahamkan sewaktu mesyuarat jawatankuasa pengurusan BN Isnin lalu, para pemimpin MIC telah menyuara bantahan mereka dan bertegas supaya Palanivel yang juga timbalan presiden MIC, dicalonkan bertanding di Hulu Selangor.

Difahamkan juga, timbul kebimbangan sekirannya berlaku sebaliknya, ia akan menjadi ikutan di mana Umno sebagai parti tunggak BN, akan terus campurtangan dalam halehwal parti komponen yang lain.Tolak calon pintu belakang

Saktivel berkata, sidang akhbar hari ini diadakan ekoran khabar angin yang semakin kuat bahawa Palanivel mungkin tidak dicalonkan.

Sehubungan itu, katanya, mereka tidak mahu seseorang itu dicalonkan bertanding di situ mengikut 'pintu belakang'.

Ini, katanya, adalah mengenai soal maruah parti.

Saktivel kemudiannya mengemukakan salinan surat beranak Mugilan dan mendakwa timbalan ketua pemuda MIC itu bukan 'anak tempatan' kerana dokumen itu menyatakan dia dilahirkan di Pantai Remis, Perak.

Sebaliknya, kata Saktivel, Palanivel sudah menetapkan di Hulu Selangor sejak 18 lalu.

Sumber : malaysiakini

MIC beri kata dua kepada BN

Sebahagian daripada ketua-ketua cawangan MIC Hulu Selangor hari ini memberi kata dua kepada kepemimpinan Barisan Nasional agar mecalonkan timbalan presiden parti itu, Datuk G Palanivel di parlimen Hulu Selangor atau menghadapi pembubaran cawangannya.

Tindakan itu dilihat menghangatkan lagi suasana apabila BN dijangka mengumumkan calonnya pada jam 4 petang esok bagi pertandingan pada 25 April ini.

Hampir separuh daripada ketua cawangan yang mewakili kira-kira 30 daripada 72 ketua cawangan hadir di ibupejabat MIC bahagian Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru untuk meluahkan sokongan kepada Palanivel.

Menurut mereka jika cadangan supaya Palanivel dicalonkan ditolak oleh BN, tindakan itu sesuatu yang memalukan kepada MIC dan pemimpin parti itu.

“Kami tidak akan keluar mengundi jika calonnya bukan Palanivel,” kata K Allo Pillai, seorang penyokong akar umbi yang membayangkan BN mungkin dipulaukan.

Ketua penerangan MIC Hulu Selangor, Raily Muniandy juga mengugut bahawa semua cawangan MIC di kawasan pilihan raya itu akan ditutup, kika tuntutan mereka agara Palnivel dicalonkan ditolak.

"Kami menyokong penuh Palanivel kerana dia pemimpin berwibawa, bersih dan telah menjadi penduduk di kawasan ini untuk hampir 15 tahun, “ kata Raily.

Beliau menjelaskan Palanivel, yang berasal dari Pulau Pinang, tidak semestinya dilahirkan di kawasan pilihan raya itu untuk diiktiraf sebagai anak tempatan.

"Dia (Palanivel) kenal siapa Ah Kaw, Ahmad dan Ramasamy di sini kerana telah berada 18 tahun di sini,” katanya.

Ditanya sama ada mereka akan menyokong calon MIC yang lain, Raily berkata: “Jawatankuasa pusat MIC telah memutuskan Palanivel sebagai calon Hulu Selangor dan perkara itu adalah muktamad.”

Sumber : Malaysiakini

Hulu Selangor malam tadi


Wajah yakin pemimpin PR. Keputusan sudah dibuat, kini menanti, siapa kah calun dari BN.
Adakah mereka masih ragu ragu?

Orang kito