Friday, July 2, 2010

Israk dan Mikraj Hendaklah Dilihat Dengan Keimanan


Oleh Syeikh Najmuddin al-Ghaithiy

Sehubungan dengan peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w yang sepenuhnya bersifat ghaib,mukjizat dan diluar jangkauan akal itu, perlu kita ketahui bahawa pada zaman sekarang ini ada sebahagian penulis sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w yang menggambarkan kehidupan baginda sebagai manusia biasa yang serba rasional.

Banyak diantara mereka yang menonjol-nonjolkan kehidupan Baginda sebagai seorang genius, panglima perang, pahlawan dan sebagainya. Mereka tidak menekankan gambaran baginda sebagai seorang Nabi dan Rasul Allah Azzawajalla yang kehidupannya penuh berbagai unsur ghaib da mukjizat. Mereka seolah-olah hendak mengingkari unsur rahsia ghaib dan mukjizat yang ada pada kehidupan Rasulullah s.a.w.

Dengan menojol-nonjolkan gambaran yang kami sebutkan tadi, mereka hendak memberikan pengertian bahawa mukjizat atau hal-hal lainnya yang tidak rasional hanyalah mitos atau dongeng belaka. Sungguh penggambaran seperti demikian itu berpunca berpunca daripada pemikiran orientalis dan materialis. Mereka lupa atau sengaja melupakan bahawa wahyu dan kenabian merupakan masalah-masalah ghaib yang tidak tunduk terhadap ukuran pancaindera dan keterbatasan akal fikiran. Dengan demikian, mengingkari mukjizat kenabian sama ertinya dengan mengingkari kebenaran wahyu dan kenabian, yang juga bererti mengingkari agama yang diwahyukan Allah s.w.t  kepada Nabi dan RasulNya. Bagaimana mungkin orang yang mengingkari mukjizat kenabian dapat meyakini kebenaran adanya wahyu dan kenabian? Mereka berfikir bahawa mukjizat adalah sesuatu yang tidak rasional dan tidak masuk akal, tetapi mengapa mereka tidak mengatakan wahyu  dan kenabian pun tidak rasional dan tidak masuk akal?

Bertolak dari pemikiran yang materialis itu, orang mempermasalahkan apakah israk dan mikraj yang dilaksanakan Rasulullah s.a.w itu dengan rohnya sahaja ataukah sekaligus dengan jasadnya? Mereka mempermasalahkan peristiwa ghaib dan mukjizat tersebut namun pada akhirnya mereka tetap berbeza pendapat. Sebahagian pendapat mengatakan bahawa Israk dan Mikraj itu dilakukan Rasulullah s.a.w dengan roh Baginda sahaja, dan sebahagian yang lain berpendapat bahawa Israk dan Mikraj itu Baginda lakukan dengan roh dan jasad Baginda.


Peristiwa ghaib dan mukjizat itu, memang tidak mungkin terjangkau oleh akal fikiran. Oleh kerana itu, tidak menghairankan Baginda, banyak riwayat yang memberitakan terjadinya kemurtadan dikalangan sebahagian orang Islam ketika mereka diberitahu oleh Rasulullah s.a.w mengenai peristiwa Israk dan Mikraj tersebut. Kerana pemikiran yang materialis tidak mungkin dapat mempercayai wujudnya kenabian dan berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.

Tidak demikian halnya bagi orang yang benar-benar beriman akan kebenaran Allah dan RasulNya. Mereka mempermasalahkan peristiwa Israk dan Mikraj, kerana mereka yakin sepenuhnya bahawa Allah s.w.t Maha Kuasa, dapat melakukan apa sahaja yang dikehendakiNYa. Tidak ada sesuatu yang mustahil bagiNYa. Mereka mempercayai dan meyakini sepenuhnya terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj sebagaimana yang difirmankan Allah Azzawajalla dan dituturkan kepada RasulNya, Saiyidina Muhammad Rasulullah s.a.w. Mereka tidak mempermasalahkan aakah Israk dan Mikraj yang dilakukan Nabi Muhammad s.a.w hanya dengan roh Baginda sahaja ataukah dengan roh dan jasad Baginda sekaligus. Mereka sungguh sedar bahawa peristiwa ghaib itu adalah semata-mata urusan Allah s.w.t dan hanya Dia sajalah yang mengetahui urusanNya. Allah s.w.t telah menegaskan dengan firmanNya:-

Maha Suci Allah, yang Telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang Telah kami berkahi sekelilingnya[847] agar kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Isra’ : 1)

Yang dimaksudkan dengan Abdihi (hambaNya adalah jelas dan nyata, iaitu Saiyidina Muhammad Rasulullah s.a.w, sebagaimana yang Baginda tuturkan sendiri kepada para sahabatnya. Dan kata-kata Abdihi itu meliputi roh dan jasad.