Showing posts with label jalan-jalan. Show all posts
Showing posts with label jalan-jalan. Show all posts

Tuesday, February 19, 2013

Rencana cut, copy & paste sajalah!


“Nak ikut pergi China tak? Guilin?” Seorang kawan tuit saya beberapa bulan lepas. China, tahu. Guilin, entah di ceruk mana.  Saya tak arif geografi China tetapi saya setuju sahaja dulu. Setuju, maksudnya, kena berdikit menabung.

Sampai dekat-dekat nak pergi, barulah saya cari sedikit maklumat asas tentang Guilin. Sebenarnya Guilin bukan tempat yang asing sangat bagi orang Malaysia. Ramai orang kita biasa melancong ke sana. Penerbangan ke Guilin selama empat jam.  Dari Guilin, menaiki coaster ke Yangshuo selama 1 ½ jam. Hari pertama di Yangshuo, sudah berjumpa beberapa orang Malaysia. Kemudian kembali ke Guilin untuk dua malam, jumpa lagi orang Malaysia. Itu tandanya Guilin tak asing lagi pada kita. 

Yang penting banyak tempat menarik. Yangshuo terkenal dengan pemandangan indah, gunung-ganang batu kapur, kampung dan sungai. Guilin kota besar (lebih besar daripada KL), tetapi ada beberapa lokasi yang indah juga. Jadi sediakan kamera!

Tak dapat nak cerita banyak. Senang cerita, saya turunkan rencana Kusyi Hirdan yang tersiar di Harian Metro 30 Jan 2013 lepas. Salah satu agenda kami adalah berakit di Li Jiang (Sungai Li), Yangshuo...
  
Berakit di Li Jiang. Kami tak naik rakit kecil ini kerana perjalanan berakit begini khabarnya  panjang (sehari).
Kami naik rakit besar yang muat ramai dan pendekkan perjalanan beberapa jam.

Mercu tanda Guilin. Indah dilihat waktu malam.
Bayang yang terpantul pada air  menambah cantik.



KOSTUM WARNA-WARNI TEPI SUNGAI LIBercuti di Guilin, China, terasa tidak lengkap sekiranya tidak ke Yangshuo, kira-kira sejam perjalanan menaiki bas untuk sampai ke sana dari Guilin. Berkunjung ke sana dalam musim sejuk juga memberi pengalaman berbeza. Ada orang lebih suka membeli-belah sekiranya bercuti, ada pula yang mahukan aktiviti lawatan bagi mengenali suasana rakyat tempatan. Ada juga yang mahukan aktiviti lasak. Ada yang mahukan kedua-duanya atau ketiga-tiganya sekali. Tidak kurang yang sekadar mahu menenangkan fikiran, berehat di bilik sambil menonton televisyen dan melayari Internet. Masing-masing ada kecenderungan dan pilihan sendiri.
 Aktiviti merentas desa, berbasikal dan menelusuri Sungai Li menggunakan rakit juga memberi kenangan manis pada sekumpulan kecil warga Malaysia yang berkunjung ke Guilin baru-baru ini. Aktiviti ini dinanti-nanti kerana ia pengalaman baru bagi mereka.
 Kumpulan ini ada yang kawan lama, ada juga yang baru berkenalan ketika kunjungan ke Guilin itu. Walaupun kepenatan dan kesejukan merentas desa dengan berbasikal, gelak tawa bergema selalu kerana masing-masing bercerita pengalaman sendiri yang sudah begitu lama tidak berbasikal. Ada juga takut-takut sekiranya sudah lupa mengayuh basikal. Namun, ada acara kemuncak yang pasti membuatkan semuanya tersenyum manis apabila mengingatinya. Ia sesuatu yang di luar dugaan dan berlaku ketika melakukan aktiviti berakit. Sebelum berpatah balik ketika berakit di Sungai Li, pemandu rakit berhenti di satu perhentian umpama pelantar kecil. Di situ, mereka lihat tergantung pakaian cantik tradisional China yang berwarna-warni.
 Hati masing-masing tertanya-tanya. Mungkinkah ada orang berkahwin atau ada yang membuat penggambaran?
 Segala pertanyaan terjawab apabila kami diberitahu kami boleh memakai pakaian itu untuk tujuan bergambar dengan berlatarbelakangkan pemandangan sungai dan bukit-bukau yang indah di Sungai Li.
 Semua yang mendengarnya teruja. Ini peluang yang tidak harus dilepaskan kerana dapat menggayakan pakaian tradisi yang terang-terang belaka warnanya. Penulis sendiri tidak menyangka ahli rombongan itu terutama wanita memang berani.
 Entah mengapa semuanya seperti sangat tertarik dengan baju bergantungan itu. Mungkin kerana harga yang ditawarkan kira-kira RM10, ia sangat murah pada mereka. Gambar siap dibalut plastik kekal dan dibingkaikan.
 Masing-masing terus berebut-rebut memilih pakaian dan warna yang digemari dengan bantuan pekerja di situ. Memang kecoh dan bising dengan suara orang Malaysia. Terkeluar loghat Perak dan Negeri Sembilan yang membuatkan gelak-tawa sentiasa bergema.
 Ada gaun kembang, lengan panjang dan lengkap hiasan kepala berambu-rambu. Ini mudah saja menarik perhatian kaum wanita yang suka bergaya. Apa lagi, melentuk kepala mereka dengan perhiasan yang cantik itu.
 “Dulu ketika melancong di Beijing pun saya bergambar mengenakan pakaian tradisional di sana. Kali ini mesti tak mahu lepaskan peluang,” kata Nortisah Omar yang menggayakan pakaian berpasangan dengan suaminya.
 Norsiah Acil dari Shah Alam pula mengambil peluang bergaya dengan anak bongsunya, Ain Syabiha. Masing-masing mengembangkan gaun berlatarbelakangkan suasana tenang Sungai Li. Ain, 15, seperti ibunya juga pandai bergaya di hadapan kamera.
 Dua sahabat, Khamisah Mohd Nazri dan Salina Ibrahim memilih warna kontra, kuning dan merah jambu terang, masing-masing kelihatan seperti wanita tradisional Cina. Mereka semua bergambar dan saling mengusik melihat penampilan masing-masing.
 Anak saudara Khamisah, Adam Iskandar Ridzuan, 16, tidak mahu melepaskan peluang memakai pakaian tradisional Cina yang menampakkan dia bertambah segak di tepian Sungai Li. Pengalaman barunya itu pasti diusik oleh ahli keluarganya apabila melihat gambar yang dibawa pulang tetapi ternyata Adam anak remaja yang sukakan cabaran dan sangat menjaga ibu saudaranya sepanjang percutian itu.
 Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30 / HMetro
Hah, inilah busana yang diceritakan dalam rencana Kusyi.
Pelik  gamaknya  orang China perati perangai orang Malaysia. Mengada-ada betul rupa semua orang!  :)