Showing posts with label corat-coret. Show all posts
Showing posts with label corat-coret. Show all posts

Tuesday, January 08, 2013

Mengejar atau dikejar?


Tarikh akhir... dikejar atau mengejar? Ketika bertugas sebagai wartawan majalah dan akhbar suatu ketika dahulu, saya selalu dikejar editor. Kemudian apabila jadi editor majalah, saya pula mengejar wartawan apabila menjelang deadline. Kadangkala belum sempat saya mengejar mereka, mereka kejar saya dahulu apabila ada beberapa tugasan yang menuntut perhatian segera. Kemudian dikejar lagi oleh pereka grafik, pihak pengurusan dan jabatan sokongan lain kerana semua orang hendak siapkan kerja masing-masing tepat pada masa. Selepas bekerja sendiri, masih tak lepas daripada deadline, terutamanya apabila kerja-kerja datang serentak. Deadline tidak diberikan tetapi sendiri mesti buat deadline, kalau tidak, semuanya tidak dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan.  Pendek kata, sama ada kerja sendiri atau kerja makan gaji, tetap ada deadline. Hidup kita manusia memang penuh deadline. Maka, selamat bergembira dan menikmati deadline anda... :)

Saturday, October 08, 2011

Setitik Darah



SAYA bukan orang yang biasa menderma darah. Saya pun tak tahu kenapa. Masa di universiti, kolej kediaman pernah buat kempen derma darah, saya ada niat hendak menderma tetapi sampai masanya saya kurang sihat dan tidak jadi menderma.

Dua tahun lepas, ketika hadir re-caj program ESQ di PICC, saya mendekati kaunter Pusat Darah Negara yang dibuka di sana. Beberapa orang adik ATS yang akrab dengan saya menegur, ada yang beritahu, dia dengar kononnya kalau menderma darah, badan cepat naik (cepat gemuk maksudnya). Saya senyum saja, kurang percaya pun. Tekanan darah saya di tahap normal, jadi saya dibenarkan menderma. Itulah pertama kali. Saya bertanya kepada seorang staf lelaki yang bantu saya, mengenai perihal gemuk. Jawapan selambanya buat saya tergelak, "Kak, kalau betul gemuk, saya ni dah lama gemuk. Saya 3-4 bulan sekali derma darah. Bertahun-tahun dah. Akak tengoklah badan saya, tak gemuk pun, sejak sebelum menderma sampai sekarang, beginilah saya!"

Oh, saya tak terkata!

Selepas pengalaman pertama, rupanya mudah saja menderma darah. Sesiapa pun boleh. Memang sesiapa pun boleh, tetapi bergantung pada tahap kesihatan orang berkenaan. Kali kedua, pejabat (saya masih bekerja ketika itu) buka kaunter derma darah. Sayalah antara orang yang paling bersemangat hendak menderma, tetapi selepas pemeriksaan kesihatan, saya diberitahu tekanan darah saya terlalu tinggi. Saya tidak dibenarkan menderma.

Oh, sekali lagi saya tak terkata!

Ini sekadar corat-coret.

Andai ada kelapangan, bolehlah hadir untuk menderma darah pada 29 Oktober depan, jam 10 pagi, di Pusat Darah Negara, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Dekat-dekat musim raya (raya haji tak lama lagi), bekalan darah memang sangat diperlukan.