Showing posts with label bengkel. Show all posts
Showing posts with label bengkel. Show all posts

Wednesday, February 06, 2013

cerita Januari lalu

Januari berlalu. Pejam celik pejam celik, sudah masuk minggu pertama Februari. Januari saya agak padat ... seminar, dua bengkel penulisan, deadline yang tak habis-habis dan  sempat curi masa lari sekejap ke Yangshuo dan Guilin.


Pengalaman di bengkel penulisan DBP-USM di Kelantan antara yang menarik, sebabnya para peserta adalah kalangan pakar perubatan, doktor, jururawat, juruteknologi makmal dan mereka yang datang dari aliran sains. Latar belakang peserta yang berbeza beri peluang pada saya untuk belajar sesuatu daripada mereka. Akhirnya saya  berjumpa Prof Madya Dr Nik Hazlina Nik Hussain yang ruangan Soal Jawab Doktor kendalian beliau di Mingguan Malaysia sering saya tatap. Beliaulah 'orang penting' di sebalik penganjuran bengkel ini.   

Bengkel Penulisan DBP-USM di kampus USM Kubang Kerian, Kelantan


Bengkel di UiTM Melaka juga tak kurang mengujakan kerana sebahagian besar peserta adalah pelajar komunikasi massa yang memang sudah biasa dengan aspek penulisan. Terima kasih kepada Puan Raihan dan anak-anak buahnya yang mengundang saya. Terima kasih juga kepada Puan Siti Hawa yang hadir mendengar. Bangga dapat bertemu warga UiTM Melaka.

Bengkel Penulisan Kreatif di kampus UiTM, Lendu, Melaka.

Cerita di Yangshuo dan Guilin?  Entri lainlah, kalau sempat!

Wednesday, May 16, 2012

Kembali Berbengkel...


Sesi mencatat & menuangkan idea. Tuan Haji Jalal pening kepala sebab banyak sangat idea? :) Kapten (Bersara) Azila serius saja....

Sebahagian lagi peserta... semua bersemangat belaka! Bangga melihat kesungguhan mereka belajar sesuatu yang baru...
                                     
Puan Mazlina Esa, anak gadisnya Nabeelah Aniyyah dan anak saudara, Maryam Siddiqah datang jauh dari Johor untuk berbengkel

                   
SELEPAS sebulan berehat (sepanjang April), saya kembali ‘bekerja’. Bengkel Penulisan Novel anjuran Akademi Penulis, berlangsung pada 12-13 Mei baru-baru ini. Bengkel kedua bagi tahun ini. Bengkel ketiga (ada yang sudah bertanya), oh, yang itu kena tanya pihak pengurusan Akademi Penulis!

Bengkel dua hari satu malam anjuran Akademi Penulis selalunya jadi cabaran besar buat saya. Pertama; kerana kebanyakan peserta terdiri daripada mereka yang belum pernah menulis karya kreatif, atau yang sudah terlalu lama meninggalkan karya kreatif atau baru hendak berkenalan dengan bidang penulisan kreatif. Oleh itu, sebelum menulis, mereka mesti faham dan kuasai dahulu teori penulisan kreatif, termasuk istilah-istilah yang pasti akan mereka jumpa apabila berbicara mengenai penulisan kreatif.

Kedua, bengkel ini juga mencabar stamina saya secara peribadi. Apatah lagi selepas kesihatan saya terganggu mulai minggu ketiga April lepas, sehingga hari ini saya sebenarnya belum betul-betul pulih. Masih ada saki-baki virus yang menunggu masa menyerang semula andai saya cuai menjaga diri.

Namun seperti biasa, setiap kali mengendalikan bengkel, saya gembira berkongsi teknik penulisan yang saya amalkan berserta pengalaman selama lebih 20 tahun jadi penulis kreatif. Saya seronok mendengar peserta membentangkan idea mereka dan gembira dapat membantu mereka mengorganisasikan semula idea itu supaya mereka tahu di mana hendak memulakannya.

Yang penting, jika hendak jadi penulis, mestilah menulis, selain sabar dan tabah berdepan proses untuk menjadi seorang penulis. Saya doakan semua mereka berjaya menghasilkan karya yang terbaik!

Wednesday, April 25, 2012

Perkongsian Pengalaman Kerjaya...

SAYA di Universiti Kebangsaan Malaysia menjayakan Bengkel Profesionalisme & Etiket Sosial anjuran Pelajar Tahun 3, Program Persuratan Melayu. Berkongsi pengalaman dan kisah mengenai dunia kerjaya, kadangkala buat saya rasa diri ‘ketinggalan’. Ya, entah mengapa, saya pun tak tahu. Mungkin selepas rasmi meninggalkan dunia kerjaya (makan gaji) pada tahun 2010 dan bekerja sendiri dengan menguruskan segala-galanya sendiri, saya terasa seperti ada skil yang sudah mula tumpul.

Ada pengalaman yang saya tak boleh lupa dalam bengkel kali ini sebenarnya. ‘Pengalaman ngeri’ campur ‘paling mendebarkan’. Berbelas tahun ke UKM tanpa sesat, tetapi pagi itu, kerana penangan ubat dos tinggi yang saya ambil malamnya (saya demam kuat selepas kembali dari umrah dan diberikan ubat dos paling tinggi oleh doktor selama enam hari). Saya sudah sampai di Bandar Baru Bangi, hujan renyai, sejuk dingin dan berpusing-pusing mencari jalan ke UKM tapi entah saya ‘lalok’, tak ketemu jalan! Saya tahu penganjur risau, saya lagilah risau, tapi alhamdulillah, akhirnya saya terjumpa jalan keluar.

Dalam bengkel yang disertai 90 orang pelajar tahun tiga daripada Program Persuratan Melayu, Bahasa & Kebudayaan, yang bakal menjalani latihan industri beberapa bulan lagi, saya berkongsi beberapa pengalaman. Fokus utama adalah Etiket Sosial tetapi saya juga dipesan oleh pensyarah mereka supaya masukkan beberapa cerita pengalaman saya sebagai panel penemuduga sepanjang saya bekerjaya dahulu.

Bagi orang yang pertama kali mahu melangkah ke dunia kerjaya, siapa yang dapat nafikan kebimbangan mereka. Hendak hadapi temuduga pun kadangkala macam ada rama-rama dalam perut. Saya pernah hadapi detik-detik begini dahulu. Saya juga pernah menjadi panel penemuduga dan berdepan dengan calon pekerja yang macam-macam ragam, termasuk yang berjanji bulan bintang dengan bakal majikan.

Tempoh temuduga 30 minit itu memang tidak memadai untuk menilai seseorang. Untunglah orang yang pandai bercakap dan pandai melobi diri sendiri, kadangkala penemuduga pun boleh ‘tertawan’ dengan ‘kebijaksanaan’nya. Tetapi selalunya orang yang pandai berhelah ini tidak kekal lama mana pun, sekejap saja tembelangnya pecah. Pun begitu, dalam apa jua situasi, kita kena terima juga konsep rezeki itu di tangan Allah.

Buat pelajar yang saya temui tempoh hari, semoga selamat menjalani latihan industri dan semoga semua mereka beroleh kerjaya yang sesuai dengan citarasa. Semoga perkongsian saya dapat membantu meredakan debaran hati mereka untuk melangkah ke alam kerjaya.

Penganjur bengkel, pelajar Program Persuratan Melayu, persediaan mereka 
untuk bengkel ini seperti orang buat kerja kahwin. Syabas! 

Wednesday, October 26, 2011

selamat menulis cikgu!



Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis pada 19-20 Oktober lalu.

Ini kali pertama saya sampai di Kuala Lipis. Memandu sendirian dari Kuala Lumpur selama 2 jam lebih. Banyak jugalah yang saya lihat sepanjang jalan. Seorang kawan beritahu, "hijau saja sepanjang jalan..." Memang betullah! :-)

Bengkel penulisan cerpen selama 2 hari berjalan lancar. Berkongsi teknik penulisan, berkongsi proses kreatif penulisan cerpen memang suatu yang mengujakan bagi saya. Lain pengarang, lain cara proses kreatifnya. Malah setiap karya yang dihasilkan ada keunikan dan proses penghasilan tersendiri. Saya pegang kepada prinsip mudah: faham & kuasai dahulu elemen & teori asas dalam penulisan cerpen (seperti tema, watak, sudut pandangan dll), kemudian jika hendak langgar hukum ini, langgarlah.

Terima kasih kepada para peserta, bakal-bakal guru dari IPGKTAA sebab mereka ramah, baik hati, sporting dan bersemangat hendak belajar mengarang, walaupun kadangkala saya gelak dan 'jenaka'kan idea mereka. (Tapi serius, saya seronok sangat bertemu, berkongsi dan bertukar pandangan dengan anda semua!) Harap-harap perkongsian saya selama 2 hari itu bermanfaat buat mereka dan ramai pengarang berpotensi dapat dilahirkan dari IPG ini.

Wednesday, August 03, 2011

Catatan Kenangan & Awal Ramadan

DUA bulan saya terlupa pada blog. Mungkin buat-buat lupa. Ada beberapa urusan menuntut perhatian. Jadi terpaksalah beri keutamaan pada yang utama. Sekadar berkongsi gambar-gambar, itu yang termampu setakat ini.


9 Julai 2011. Orang di Kuala Lumpur sibuk berhimpun Bersih. Saya di utara, berkongsi pengalaman penulisan di SMKA Kerian, Perak. Senang sekali di sana, buat saya teringat sekolah sendiri di Ipoh dulu. ‘Sekolah budak pandai’ – kata kawan lama saya, Cikgu Hasnan yang mengajak saya ke sekolahnya. Apa pun terima kasih atas kepercayaan yang diberikan & silaturahim yang terikat akrab.


23 & 24 Julai 2011. Bengkel Penulisan Novel Akademi Penulis. Jumlah peserta paling sedikit; empat orang. Tetapi peserta tetap aktif & macam tak benarkan saya diam. Serius, saya suka layan peserta yang aktif!


30 & 31 Julai 2011. Bengkel Penulisan di Concorde Inn Sepang. Terima kasih Dr. Raudah Siren kerana membawa saya menyertai barisan penceramah & fasilitator. Kiranya, ini bengkel penutup sebelum Ramadan. 70++ orang peserta pelbagai peringkat usia & pengalaman, daripada budak sekolah rendah sehingga warga emas, yang baru hendak belajar menulis, yang bercita-cita hendak jadi penulis rencana, yang mahu jadi penulis kreatif, blogger dan sebagainya. Apa pun, menulis adalah proses, takkan pandai dengan sekali dua masuk bengkel, selebihnya usaha wajib ada.

Selamat menyambut Ramadan untuk diri sendiri & kawan-kawan. Ada ria, ada syahdu. Sehari sebelum Ramadan, saya terbaca blog sahabat mengenai kepulangan ke rahmatullah seseorang yang saya kenal. Datin Amelia Kassim (saya memanggilnya Kak Amy), bekas editor majalah Kuntum kembali ke rahmatullah beberapa hari sebelum Ramadan. Kebetulan saya akrab dengan suaminya, Prof. Datuk Dr. Mansur Abdullah (saya memanggilnya ‘Ayahanda’) sejak Datuk Mansor di UTM Skudai lagi, jadi secara tak langsung kemudiannya saya dapat mengenali rapat Kak Amy dan berkongsi pendapat & pengetahuan mengenai dunia penulisan dan penerbitan.

Pada Ramadan pertama juga, saya mendapat berita mengenai sahabat saya, novelis Liana Afiera Malik yang meninggal dunia sehari sebelum kita berpuasa. Mudah-mudahan mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Saya akan rindukan persahabatan dan kemesraan yang pernah kami pupuk bersama. Al-Fatihah untuk kedua-dua sahabat saya ini.

Friday, April 01, 2011

Bengkel Penulisan Novel

Foto: facebook.com/akademipenulis

Bengkel Penulisan Novel anjuran Akademi Penulis berlangsung pada 26 - 27 Mac lalu. Terima kasih kepada semua peserta yang sangat komited, aktif, ramah dan sporting. Ada yang datang jauh dari Terengganu dan Johor semata-mata untuk ikuti bengkel dua hari ini. Yang penting, selepas bengkel, jangan berhenti menulis!

1. Engku Norulizati Engku Aziz
2. Hayati Asmari
3. Jorini Gosong @ Edora
4. Abdullah Lebai Darus
5. Julis Yanti Mohd
6. Musleha Nasmian
7. Mazni Md Ramly
8. Mohd Saupy Yusoff
9. Mohd Azuadi Saad
10. Aminah Bujang
11. Siti Nora Awaludin

Bengkel novel siri seterusnya bakal diadakan pada penghujung Julai (sebelum Ramadan). Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Akademi Penulis.

Tuesday, March 22, 2011

Sabtu Yang Sarat Ilmu

Sabtu – seharian yang padat ilmu. Jam lapan pagi saya sudah sampai di UKM kerana diundang sebagai penceramah dalam Bengkel Kemahiran Komunikasi bagi pelajar Persuratan Melayu tahun akhir yang bakal menjalani latihan industri Mei depan.
Seronok juga berkongsi pengalaman kerjaya bersama mereka. Pengalaman dalam dunia kerjaya ini jarang-jarang saya ceritakan pada orang dengan panjang lebar.

Namun saya harap sedikit perkongsian, terutamanya peringkat penyesuaian diri apabila saya bertukar bidang masuk ke dunia kerjaya yang asing berbanding pendidikan formal saya, dapat memberikan semangat dan keberanian pada mereka (tidak kisahlah sedikit atau banyak) apabila bergelar warga industri nanti.

Usai sesi saya selama dua jam, dua jam berikutnya diganti oleh Sdr Nizal Mohamad, otai dalam bidang penyiaran. Saya teruja juga mahu mendengar ceramahnya sebab ketika berbual semasa minum pagi bersamanya, dia sempat berkisah satu dua pengalaman. Saya pasti dalam dua jam bersama pelajar, tentu lebih banyak yang akan beliau kongsikan.

Namun minda saya sudah melayang ke program Sehari Bersama Editor, Pengarang dan Penerbit di UPM. Sesi saya di UPM sebelah petang, tetapi saya tahu sesi sebelah pagi tidak kurang menarik. Hati berbelah bahagi, tetapi saya terpaksa bergerak ke UPM juga.

Sesi pagi bersama Sdr Zaid Akhtar, Puan Rozninah Azib dan Puan Nor Azah Aziz; tetapi saya hanya sempat ikuti sesi Kak Azah. Sesi petang, saya bersama Sdr Nisah Haron dan Sdr Zahirudin Zabidi. Sesi santai, jadi banyaklah juga cerita gelak ketawa yang kami kongsikan.

Namun dalam gelak tawa itu, sebenarnya cukup banyak tip-panduan-petua yang dikongsikan enam panel. Bukan senang dapat kumpulkan pengarang-penerbit-editor dalam satu sesi, malah didatangkan khas pula kepada pelajar yang mendalami subjek penulisan. Jadi peluang ini amat berguna andai dimanfaatkan sepenuhnya oleh calon pengarang.

Saya sendiri senang dapat bertemu rakan-rakan pengarang-editor-penerbit sebab dapat bertukar cerita dan dapat tips terkini. Walaupun pengarang biasa ‘bekerja’ seorang diri tetapi ada waktu-waktunya, kita memerlukan rakan pengarang-editor-penerbit yang lain atas banyak sebab, terutamanya bagi menaikkan motivasi ketika berkarya.
Terima kasih dan syabas pada tuan-tuan rumah, Dr. Mawar (UKM) dan Dr. Kamariah (UPM). Semoga perkongsian ini ada manfaatnya.



Tuesday, August 10, 2010

BengkelPenulisanNovelKe2




Foto: facebook.com/akademipenulis

7-8 Ogos 2010: Bengkel Penulisan Novel (Kali ke-2) selamat dijayakan. Kali ini di Bilik Latihan Akademi Penulis di pejabat Akademi Penulis di Wangsa Melawati.

Suatu pencapaian yang membanggakan bagi Akademi Penulis yang kini memiliki bilik latihan sendiri walaupun dalam usia operasinya yang masih baru.

Terima kasih kepada semua peserta yang memberikan komitmen yang amat baik sepanjang program dua hari ini berlangsung. Saya doakan mereka tekal cekal berkarya dan berjaya menghasilkan karya

1. Hajah Sopiah Jamin
2. Siti Nurun Nadiah Abas
3. Haslina Abu Bakar
4. Wan Rohaliza Wan Din
5. Prof. Dr. Siti Rugayah Hj. Tibek
6. Mohd Rodzahn
7. Mohd Fareez Shafiq Farman
8. Mohamad Farid Abdul Malik
9. Ibrahim Mohamad
10. Md. Hilmi Abd Halim

Tuesday, July 13, 2010

BengkelLagi




Foto: BTP Selangor

Sekitar Bengkel Penulisan Kreatif yang disertai oleh 60 orang pelajar, guru dan pegawai Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri di Shah Alam pada 30 Jun - 1 Julai.

Monday, July 12, 2010

BeritaDariAkademiPenulis

Berita daripada Akademi Penulis!

Akademi Penulis dengan berbesar hati mengumumkan penganjuran BENGKEL PENULISAN NOVEL BERSAMA SALINA IBRAHIM KALI KE 2 pada 7 & 8 Ogos 2010. Bengkel yang mendapat sambutan menggalakkan ini dikendalikan oleh Salina Ibrahim, jurulatih kanan Akademi Penulis yang juga seorang novelis bestseller. Lebih menarik, bengkel ini diadakan secara awam dengan harga istimewa yang belum pernah diberikan oleh pihak Akademi Penulis sebelum ini.

Yuran program terdahulu adalah RM1,200, namun disebabkan penjimatan yang dibuat disebabkan ia diadakan di Pusat Latihan Akademi Penulis sendiri, kami menawarkan yuran bengkel hanya RM650 SAHAJA. Bengkel ini terhad kepada 24 peserta pertama mendaftar dan membuat pembayaran yuran bengkel. Butiran lanjut mengenai bengkel ini adalah seperti berikut:

■Tarikh: 7 & 8 ogos 2010
■Masa: 8.30 pagi hingga 10.30 malam
Sabtu (8.30 pagi – 10.30 malam)
Ahad (8.30 pagi – 5.30 petang)
■Pelaburan: RM650* sahaja (harga asal RM1,200)
■Tempat: Pusat Latihan Akademi Penulis
*Termasuk makan, minum, sijil, modul pengajaran dan 5 BONUS ISTIMEWA daripada Fauzul Na’im Sdn. Bhd.

Kepada yang berminat, sila hubungi 0136288614 ataupun 0341492560 ataupun emailkan kepada latihan@akademipenulis.com.

Maklumat lanjut sila lawati www.penulisannovel.com

Sumber: facebook.com/akademipenulis

Thursday, June 03, 2010

SeputarBengkelPenulisanNovel






Foto: facebook.com/akademipenulis

ALHAMDULILLAH, selesai sudah Bengkel Penulisan Novel yang berlangsung pada 28 – 30 Mei lalu di Hotel Vistana. Ini adalah bengkel sulung genre novel anjuran Akademi Penulis dan saya diberikan amanah besar untuk mengendalikannya.

Terima kasih kepada semua peserta yang mengambil bahagian kali ini. Ada yang datang jauh dari Pulau Pinang untuk ikuti bengkel ini. Mereka daripada pelbagai disiplin dan kerjaya - teknologi maklumat, agama, pentadbiran, kesukarelaan, kejuruteraan, pemasaran dan pendidikan.

Hari terakhir bengkel (Ahad) terasa lebih mengujakan saya apabila pagi itu saya dapati cerpen terkini saya ‘Jalan Lurus’ tersiar di akhbar Mingguan Malaysia. Dan terima kasih juga kepada salah seorang peserta, Tuan Kamarzaman kerana menghadiahi saya naskhah akhbar Mingguan Malaysia untuk simpanan. Dari pagi sehingga petang terperuk dalam bilik seminar, memang tak sempat mencuri masa untuk keluar mencari akhbar.

Tahniah dan syabas kepada para peserta. Saya doakan semuanya berjaya menghasilkan karya pertama. Kita akan berjumpa lagi dalam bengkel susulan ‘klinik penulis’.

1. Tuan Nor Azhar Ishak
2. Tuan Kamarzaman Mustapha
3. Tuan Hayat Mohd Nazir
4. Tuan Khairuddin Ahmad
5. Dr. Abdul Kariem Arof
6. Puan Nooraini Khaironi
7. Puan Khairani Maisurah Hassan
8. Puan Norliza Miswan
9. Puan Zalehah Adnan
10. Puan Jamaliah Zolkafli
11. Puan Siti Ariyah Shahlan
12. Puan Fauziah G.Rasul
13. Cik Azah Latifah Ridzwan

Insya-Allah, Akademi Penulis sedang merancang siri bengkel sama pada masa akan datang.

Monday, April 19, 2010

BengkelPenulisanNovel



Untuk pertanyaan dan pendaftaran, hubungi Saudara Abdul Qahhar di talian 0136288614 ataupun Cik Husni di talian 0341492560 ataupun e-melkan kepada latihan@akademipenulis.com.

Lawati juga http://akademipenulis.com.

Sunday, April 18, 2010

KemSasterawanMudaSABAR





10 April; Kem Sasterawan Muda di SMK Abu Bakar Al-Baqir (Sabar), Bagan Serai Perak. Undangan yang sukar ditolak, apatah lagi daripada sahabat lama, Cikgu Dima Mazlina Abu Bakar, penulis cerpen Komsas; Aku, Kris & Kristal, yang juga peminat Dr. Budi (hero Setenang Cahaya Hati)!

Memang lama sungguh kami tak berjumpa - 19 tahun. Kali pertama berkenalan semasa Minggu Penulis Remaja di DBP. Seronok tak terkira dapat jumpa kawan lama, tak teringat lagi bosan memandu sejak jam 7 pagi dari KL.

48 orang pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan enam mengikuti program Kem Sasterawan Muda yang julung-julung kali dianjurkan di Sabar. Sejak pagi mereka berbengkel di bawah kendalian guru-guru. Saya ambil slot tengah hari untuk memberikan perkongsian mengenai dunia penulisan kreatif. Seperti biasa, golongan pelajar memang selalu ada suatu ‘tenaga’ yang bagus. ‘Tenaga’ beginilah yang selalu buat saya rasa bersemangat untuk menulis dan berkongsi pengalaman dengan mereka.

Syabas untuk pelajar dan penganjur. Mudah-mudahan ada penulis yang akan lahir dari Kem Sasterawan Muda ini.