Showing posts with label Johor. Show all posts
Showing posts with label Johor. Show all posts

Saturday, July 11, 2015

18 Fakta Pernigaan Kerepek Raya Aku Yang Orang Tak Tahu



Aku tak ingat bila tahun yang tepat aku mula menjual kerepek raya. Mungkin 7 atau 8 tahun lepas. Alhamdullilah, untuk tahun ini, sudah 90% urusan kerepek raya selesai. Tinggal nak kutip hasil sahaja. Hohohoho.

Ok, berikut merupakan 18 perkara perniagaan kerepek raya aku yang orang tak tahu

1- Idea meniaga kerepek raya ini bukan idea aku. Idea kawan serumah aku. Acik nama manjanya. Beliau seorang yang kacak dan jambu.

2- Kami bermula dengan 10kg kerepek sahaja. Namun, hanya 1kg sahaja yang terjual pada tahun itu.

3- Tidak semua kerepek aku ambil dari Johor. Ada yang original dari Terengganu.

4- Aku tiada kedai, tiada gudang, tiada stor. Semua dibuat di rumah.

5- Pernah beberapa tahun lepas, aku pergi Johor balik hari. Bertolak dari Dungun lepas subuh. Lepas zuhur sampai di Johor dan beli kerepek. Lepas asar bertolak balik. Pukul 12 tengah malam sampai Dungun.

6- Pernah juga aku balik Johor 3 kali sepanjang Ramadhan semata-mata untuk mengambil stok dengan kereta.

7- Proton Iswara Sedan boleh memuatkan lebih kurang 200kg kerepek. Perodua Alza boleh muat sehingga 450kg kerepek. Itu tahap betul-betul padat. Hinggakan co-driver terpaksa bersila dan memeluk kerepek. Ini fakta, melalui pengalaman aku. :-)

8- Harga kerepek telah naik hampir 100% berbanding sejak aku mula-mula berniaga dahulu. Kenaikan yang ketara semasa minyak naik RM0.70 masa zaman Pak Lah. Kenaikan ketara juga tahun ini sebab GST. Terima kasih kerajaan. :-)

9- Aku akan memakai stokin kalau ke kilang kerepek atau tatkala membungkus kerepek. Habuk kerepek dan minyak buat aku tak selesa. Hohooho

10-  Kos plastik untuk repacking adalah 4%-5% peratus dari harga kos kerepek. Bermaksud, untuk RM100 kerepek, aku perlu RM4-RM5 untuk plastik.

11- Macam mana aku boleh tahu perkara nombor 10? Sebab, walaupun bisnes kecil tahap kuman, aku ada sistem akaun. Tak lah begitu canggih sampai pakai sistem UBS atau MyOB, sekadar tulis manual dalam buku. Setiap duit masuk dan keluar ada rekod. Jadi, dari situ boleh tahu bisnes atau rugi.

12- Bercerita pasal sistem, ejen-ejen aku key-in order pakai sistem. Kau boleh tengok tutorial sistem tu di sini. Dengan sistem ini, aku tak payah nak pergi kutip list order kat ejen sorang-sorang. Sambil pegang telefon dan pegang perut pun aku boleh tau jumlah order, secara real-time. Hohohoho

13- Pembeli kerepek aku lebih ramai perempuan dari lelaki.

14- Kos pengangkutan secara anggaranya adalah RM0.70-RM1.20 bagi setiap kilogram.

15- Aku pernah ada website kerepek. Pakai domain sendiri. Tapi tak bertahan lama. Lagipun, ini bisnes offline. Tapi, aku ada FB page. KEREPEK RANGUP. Itu pun tak berapa nak aktif. Hohoohoh

16- Setiap tahun, bila masuk bulan rejab sahaja aku dah buat planning. Bisnes ni singkat. Planning dan timing kena cantik. Lagipun aku buat secara part-time. Malam dan hujung minggu sahaja boleh fokus pada bisnes ni.

17- Walaupun planning 2 bulan, kerja aku untuk bisnes ini hanya antara 14-17 hari sahaja. Tapi, 14-17 hari ni paling getir.

18- Ada fakta di atas yang Pn. Nurul tak tahu. Juga, ada fakta yang Pn. Nurul tahu tapi aku tak tahu. Ini betul-betul punya fakta!

Iklan: Ejen Kerepek Rangup Raya 2016 dibuka. Ada beberapa projek kecil sebelum raya 2016 untuk ejen baru test market. Berminat? Jangan segan nak hubungi aku 0197223166.

Friday, March 06, 2015

Orang Johor Ini Telah 9 Tahun Berkelana Ke Terengganu

Hari ini, pada 9 tahun lepas, aku mula melapor diri di Politeknik Dungun. Sehari sebelum itu, aku memandu seorang diri dari Bandar Tenggara ke Dungun dengan hanya menaiki Kancil 850. Berhenti beberapa kali sebab enjin panas. Itu belum kira sesat beberapa kali sebab tak tau jalan arah. Hohohoho

Terasa jauh waktu itu negeri Terengganu. Ditambah lagi dengan keadaan jalan yang tidak sebaik sekarang. Perjalanan terasa amatlah lama!

Mujur juga ada rakan yang lebih awal beberapa tahun tinggal di Dungun. Dapatlah aku menumpang kasih. Hahahahaha. Kalau tak, satu hal pula nak cari rumah sewa.

Mulanya, aku sangkakan kerja mengajar ini senang. Rupanya tidak seperti dijangka. Memang sangat letih ketika mula mengajar. Seingat aku, selama 6 bulan aku sering tidur awal; sekonyong-konyong lepas isyak kerana keletihan mengajar di siang harinya.

Lama kelamaan, kerja mengajar itu menjadi biasa.  Sekarang ni, kalau kelas 6 jam sehari pun aku masih gagah lagi untuk meniaga atas talian di malam hari.

Mulanya juga, aku agak kekok untuk memahami loghat Terengganu.
"Hodoh sepang"
" Nipis nayang"
"Dok rok chetong"
"Gelenyar"
"Berayuk"
"Jirit"
"Supik rok rak"
"Copong"
Itu antara perkataan loghat Terengganu yang buatkan aku terpinga-pinga.

Tapi, setelah berkahwin dengan Pn. Nurul yang jatinya Terengganu, kini aku boleh berloghat Terengganu dengan mudah. Malah sesetengah orang tidak percaya aku asal jatinya dari Johor.

Namun, sebetulnya semasa bercinta, aku tak pernah dengar Pn. Nurul cakap loghat Terengganu. Lepas akad nikah "tubik" habis keterengganuannya. Hohohohoho.

Hingga kini, aku masih seronok dengan suasana di Terengganu. Tapi, atas beberapa faktor yang rasanya Pn. Nurul pun tak tahu, aku dah mula terlintas untuk kembali ke dagang; seperti sirih.

Tapi, tidaklah dalam masa terdekat ini. Barangkali 9 tahun lagi!!!

Monday, September 29, 2014

Mee Rebus Johor

Post takde perenggan pengenalan. Terus isi. Hohoho.

Banyak beza mee rebus Johor dengan Terengganu. Lapan tahun lepas, masa mula-mula merantau ke Terengganu, aku menyangkakan rasa kedua-dua versi adalah sama. Sangkaan aku meleset.  Aku merasa pelik pada waktu itu. Pelik dengan rasa mee rebus Terengganu.

Mee rebus Terengganu, rencahnya agak ringkas. Hanya tumis bawang dan beberapa bahan asas. Tapi, isinya macam- macam. Ada versi yang memasukkan keropok ikan keping bagi menimbulkan rasa manis ikan dalam mee rebus itu.

Aku tak tahu cara nak buat mee rebus Johor. Aku tahu makan je. Hohoho. Tapi, rencahnya agak mewah. Kuahnya akan sedikit likat. Ada rasa udang kering dan cili kering yang kuat. Isinya ringkas. Biasanya hanya ada daging dan mee. Atau ditambah sedikit tauge. Ada orang panggil mee ini dengan mee Jawa. Tapi, aku tak panggil ia mee Jawa, walaupun aku berketurunan Jawa. Aku tetap panggil ia mee rebus.

Di Dungun ni, setahu aku hanya satu kedai menjual mee rebus atau mee Jawa. Kedai Selera Selatan yang sederet dengan Shell baru Batu Lima.

Mujur juga zaman moden ni banyak dijual pes atau serbuk segera mee rebus. Banyak kedapatan di kedai runcit Johor. Kalau balik Johor, memang akan ada sekurang-kurangnya satu dua pek pes segera masakan Johor seperti mee rebus, mee bandung dan soto.

Lalu, Pn Nurul akan memasak masakan citarasa Johor dengan pes-pes itu. Namun, biasanya Pn Nurul akan ubahsuai menunya, terutama isi supaya ia ada sedikit citarasa Terengganu.

Macam versi mee bandung dalam gambar ini, nampak macam mee bandung, tapi rasa mee rebus. Sebenarnya isinya sama seperti mee rebus Terengganu, tapi rencah kuahnya mee rebus Johor. Sedap juga beb!

Tuesday, February 18, 2014

Beli Barang Terpakai Rengit Secara Online

Rupaya, ada juga pembaca blog ini. Silent reader. Walhal, terkadang aku merasakan aku hanya menulis syok sendiri. Hahahahaha.

Ada seorang silent reader ni. Kawan aku. Kawan satu sekolah masa aku tingkatan satu hingga tiga. Sebetulnya, aku memang betul-betul dah tak ingat siapakah beliau. Sampai saat post ini ditulis aku masih mencari klue, siapakah beliau. Terukkan aku. Hohohoho

Aku skodeng FB kawan aku ni. Owh, rupanya beliau berada di Simpang Renggam. Sebenarnya, selepas aku skodeng FB dia, baru aku tahu maklumat pada perenggan di atas.

Kawan aku ni PM dalam FB aku kerana barangkali beliau teruja membaca post aku pasal Rengit. Rupanya, ada tempat lagi menarik dari Rengit; Benut.



Tapi, kalau kau tidak berada di Johor, pasti sukar untuk pergi ke Rengit atau Benut. Jadi, kawan aku ini ada penyelesaiannya! Kau boleh beli online. Memandangkan lokasi beliau di Simpang Renggam yang tak jauh dari Rengit dan Benut, kau boleh terus memesan dari beliau. Beliau meniaga menggunakan medium Facebook Page.



Itu dia! Tak payah pergi rengit. Kau masuk je ke https://www.facebook.com/gerobokkarat . Senang. Sambil makan nasi pun kau boleh beli barang terpakai Rengit!



Sunday, February 09, 2014

Dah Macam Kena BOM!

Aku jarang balik Johor. Tapi, tidaklah terlalu jarang. Barangkali setahun, paling kurang empat kali aku akan pulang ke Johor. Menziarah orang tua yang utamanya. Membeli kerepek jatuh nombor dua.

Biasanya aku akan beli kerepek di sekitar Air Hitam - Parit Raja - Senggarang. Ada beberapa kedai yang mana aku telah menjadi pelanggan tetap selama beberapa tahun.

Jika dahulu, untuk membeli kerepek, dari Bandar Tenggara, aku akan melalui bandar Kluang, melalui Bandar T6. Tapi, beberapa tahun lepas, telah ada jalan potong ke Renggam, sebelum Felda Bukit Tongkat. Melalui jalan itu, ternyata lebih dekat. Dari Bandar Tenggara, boleh sahaja aku melalui jalan itu ke Renggam. Dari Renggam, terus ke Simpang Renggam dan sampai ke Air Hitam.

Walaupun jalan itu baru, tetapi, jalan tersebut telah mengalami kerosakan. Sama keadaanya seperti jalan Felda Inas ke Kulai. Dipercayai jalan tersebut bertar nipis dan dilalui oleh lori.

Memandu di jalan seperti itu, amat menguji kecekapan memandu. Harus sentiasa berwaspada dengan keadaan jalan dan kenderaan terutama lori yang dipandu laju.

Terkadang, aku rasa kadaan tidak aman kerana rupa paras jalan seperti di bom!





p/s: Semasa melalui jalan tersebut tempoh hari, jalan sedang dibaiki. Tapi, tak pasti berapa lama ia boleh bertahan.

Monday, January 27, 2014

Tempeh Jepun

Tempe boleh dikatakan makanan kudapan kesukaan orang Jawa. Diperbuat dari kacang soya yang diperam ragi, tempe dimasukkan hampir kebanyakan masakan orang jawa. Lontong kena ada tempe. Rojak kena ada tempe. Nasi ambeng pun kena ada sambal tempe goreng. Malah, ada juga kerepek tempe. Dan, di gerai tepi jalan yang menjual pisang goreng, ada juga dijual tempe goreng.

Jangan kau tanya kenapa aku obses terhadap tempe. Ini normal. Sama seperti orang Itali obses kepada pizza. Sama juga seperti orang Jepun yang suka sushi. Sama seperti orang Kelantan yang mesti ada stok budu dalam peti ais.

Pada aku, tempe sangat sedap jika digoreng kunyit. Potongan agak tebal. Dicicah sambal kicap. Meleleh! Sedap juga tempe dibuat sambal goreng bersama-sama gorengan kacang tanah, ikan bilis dan kentang.

Di Terengganu, tidaklah sukar untuk mencari tempe. Tapi, lebih sangat mudah mencari tempe di Johor. Juga, di sebelah sini, tempe dibungkus di dalam plastik. Manakala di sebelah sana, jarang ada tempe dibungkus di dalam plastik. Kalau ada pun, sangat jarang. Bagi pemakan tempe sejak kecil seperti aku, tempe harus dibungkus dengan daun, daun pisang misalnya, supaya rasanya lebih mencengkam. Kerana tiada pilihan di sini, tempe plastik pun aku bedal juga! Hahahahaha

Tapi, kualiti bungkusan plastik lebih terjamin. Dengan melihat luaran, kau boleh tahu tempe itu sudah masak atau belum. Berbanding tempe bungkusan daun, kau perlu membuka bungkusan untuk melihat hasil peraman soya tersebut. Melalui sumber internet Facebook, di Jepun, tempe juga ada dijual dan dipasarkan. Ia dibungkus dengan plastik. Sama seperti di Terengganu! Hohohoho


Tuesday, November 19, 2013

Kuantan 2: Hotel Sri Manja

Sebulan lebih baru sambung cerita. Chait!

Hahahaha.

Sila baca dulu Kuantan 1

Setelah puas berseronok di Pantai Batu Hitam, kami lantas menuju ke Hotel Sri Manja. Bunyi nama nampak macam ayu gitu. Huhuhuhu.

Sebetulnya, sebelum ke Kuantan lagi, aku telah membuat sedikit pencarian melalui internet. Ternyata hotel ini memenuhi selera aku. Terletak di Indera Mahkota, lebih spesifik berhampiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Kuantan. Hotel ini sedikit jauh dari bandar Kuantan, kira-kira 5km. Tapi, persekitarannya tidak sesak dan agak menyenangkan. Sewanya juga berpadanan dengan pendapatan bulanan aku yang tidak seberapa.

Sedikit trivia, holet ini dimiliki oleh Pasaraya Tunas Manja. Sebuah pasaraya yang agak terkenal dan banyak cawangan di Pahang, Terengganu Selatan dan Johor Utara.

Malas cerita panjang, maklumat lanjut boleh lihat di http://srimanjahotel.com.my/




Thursday, August 29, 2013

Jersi Piala Malaysia 2013

Aku, seorang kaki bangku. Jangan kau bayangkan kaki aku macam kaki kerusi yang kau duduk itu. Tapi, kaki bangku merujuk kepada orang yang tak pandai main bola.

Semasa kecil, aku dikenali sebagai seorang yang berkaki pengkor. Yakni, tidak pandai menendang bola. Kalau aku pemain JDT, dengan kepengkoran kaki aku, aku tidak boleh melorong kemas kepada Safee Sali. Barangkali bola yang aku sepak akan sampai ke kaki Fakri Saarani, lalu belian menjaringkan gol untuk Kelantan melalui larian pantas dan sepakan deras dari luar kotak penalti!

Kalau pun aku menjadi kesebelasan utama dalam pasukan, hanya dua posisi ini sahaja yang aku diarahkan untuk bermain.
1- Penjaga gol - Sebab aku besar
2- Last Man (Pertahanan Tengah) - Ialah, sebab aku lambat berlari. Jadi, duduk dengan penjaga gol baik-baik.
Hahahaha

Sebetulnya, tiga perenggan di atas adalah pengenalan. Isu utama pos ini adalah untuk memberitahu bahawa aku menjual jersi original pasukan bolasepak Piala Malaysia 2013. Ya, ditekan di sini, ORIGINAL. Bukan Gred Dubai, bukan juga Gred AAA jauh sekali Gred Golok.

Pelbagai koleksi jersi yang ada 
2- Jersi Chelsea (You drunk Mourinho! Hohohoho)
8- Jersi Negeri Sembilan (4 jenis)
10- Jersi PKNS (4 jenis)
12- Jersi T-Team Home
13- Jersi ATAM (3 jenis)
14- Jersi Felda (2 jenis)
15- Jersi Sime Darby 
16- Jersi PDRM 2012

Ini pula, sebahagian gambar koleksi jersi yang ada.













Apa macam? Ada yang berkenan? 


Thursday, August 22, 2013

Lengkuas ke Kuah?

Tujuh tahun di Terengganu membolehkan aku bercakap dalam loghat Terengganu dengan agak baik. Walaupun tidak sebaik anak jati Terengganu, tapi aku rasa loghat Terengganu aku sudah memadai untuk aku memahami percakapan seharian yang biasa.

Namun begitu, otak aku masih lagi berfikir dan bercakap dalam loghat bahasa Melayu standard Johor-Riau. Jadi, akan ada keadaan dimana aku sedikit lambat untuk respon pertanyaan dalam loghat Terengganu kerana aku perlu menterjemahnya. Huhuhuhuu

Ada satu situasi yang telah membingungkan otak aku dalam tempoh 15 saat. Tempoh hari aku menemani Pn. Nurul ke Mini Market untuk membeli sayur untuk makan sehari dua. Sedang mata aku meliar, terlihat...
 
Aku hairan. Bila masa ada KUAH MUDA dan KUAH MUDA. Setelah berfikir 14 saat, akhirnya pada saat ke 15 aku mendapat jawapan. La... LENGKUAS rupanya.

Bagi pengetahuan kau LENGKUAS disebut sebagai KUAH dalam loghat Terengganu. 

:-)


Monday, October 08, 2012

Pas Masuk Dewan


Satu gambar, seribu makna. Tambah bermakna bila ada tangan-tangan ghaib yang menambah maknanya.

Teringat post yang dulu. Masa muda-muda.
http://roshaizulnizam.blogspot.com/2009/02/johor-vs-kelantan.html

Sunday, October 07, 2012

Restoran Jejambat RnR Ayer Keroh

Kalau dari Kuala Lumpur ke Johor, melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, aku pasti akan singgah di restoran jejambat RnR Ayer Keroh.



Tak tahu kenapa aku suka ke sini. Tapi aku amat tertarik dengan idea mewujudkan restoran di atas jejambat. Sambil makan, kau boleh lihat kereta lalu lalang di bawah kau!


Ada restoran makanan segera di atas jejambat ini.



Juga ada restoran tah apa tah yang chicken chopnya tak sedap. Lagi sedap aku masak sendiri.

Ada juga kedai barangan sukan milik bumiputera yang tersohor itu di sini.


Tidak ketinggalan kedai menjual makanan, minuman, kudapan dan cenderahati di sini. Tapi, harganya mahal pada pandangan orang kampung macam aku. :-)



Tuesday, June 19, 2012

Nasi Beriyani Batu Pahat

Sinonim, nasi beriyani dengan Batu Pahat. Macam pizza dengan Itali. Hahahahaha (Ayat kitar semula)

Tapi, di Batu Pahat, selain nasi beriyani, juga terkenal dengan mee racun. Juga, dalam ingatan aku, aku mengenali Batu Pahat dengan lontong goreng.

Tapi, lama sudah aku tidak ke Batu Pahat. Paling hampir mungkin Parit Raja atau Rengit.

Tapi, tempoh hari, dalam kesesatan yang terpandu, aku terjumpa sebuah restoran Nasi Beriyani Batu Pahat di Taman Equine, Seri Kembangan. Ia terletak bersebelahan Ani Sup Utara.



Bila tengok senarai harga makanan, aku dan Pn. Nurul agak terkejut. Harganya hampir sama dengan set makan tengahari di KFC. Berbanding 10 tahun lalu di Batu Pahat, harga nasi beriyani gam Kurang dari RM5! Hahahahaha. Inflasi

Lalu kami memasan nasi beriyani gam daging dan ayam.



Tapi, aku kecewa. Yang sampai bukan beriyani gam. Tapi beriyani biasa sahaja. Sefaham aku, kalau beriyani gam, daging/ayam akan dimasak bersama nasi. Jadi, sepatutnya aku kena menguis nasi baru jumpa ayam/daging.

Juga dalca dia ada 3 biji kacang dal. Mungkin harga kacang dal sudah naik melambung.

Ayam dia pula semacam tidak cukup zat.

Rasanya, ia tidak berbaloi dengan duit yang aku bayar.

Tapi, sebab perut lapar, aku belasah je la. Hahahahaha

Paling mengejutkan awek yang jaga kaunter tu bersinglet dan berseluar denim ketat. Macam tak payah pakai baju! Hahahahahaha

Friday, June 15, 2012

Melaka 10: Pintu Gerbang Santiago Kota A Famosa

Ini boleh dikatakan mercu tanda Melaka. Tak sah kalau ke Melaka jika tidak ke sini. Ia berada di bawah bukit St Paul.

Pintu gerbang Santiago merupakan salah satu dari empat pintu gerbang kota A Famosa. A fomosa ini dibina pada zaman Portugis, bagi mengekang asakan bertubi-tubi dari Sultan Mahmud, Johor, Aceh dan Belanda. Bagi memperkuatkan kota A Famosa, Portugis lahanat telah menggunakan batu dan bahan mentah dari runtuhan masjid, istana dan makam. Lebih keji, bila mana Portugis ketika itu menggunakan buruh paksa untuk meenyiapkan kota A Famosa.

Apabila Portugis tumbang di tangan Belanda pada 1641, Belanda telah memperkuatkan kota ini dan dicop lambang Syarikat Hidia Timur Belanda (VOC). Logo VOC ini masih boleh dilihat pada pintu gerbang Santiago ini.





Bila British datang, residen British pada masa itu cuba meletupkan kota A Famosa. Tapi atas halangan beberapa pegawai kanan British yang lain, kota itu tidak diletupkan. Tetapi, sudah terlambat. Kota A Famosa sudah musnah dan yang terselamat adalah apa yang kita tengok hari ini. British memang macam tu. Semua dia nak musnahkan.

Paling menarik kini, dalam pintu gerbang Santiago ini ada seorang pelukis. Lukisannya boleh tahan! Tapi, aku tidak berminat untuk memiliki lukisannya itu. Hahahaha.


Monday, June 11, 2012

Melaka 4 - Kubu Kota Melaka

Aku teruja untuk ke Melaka untuk melihat koleksi sejarah di sana. Aku memang meminati sejarah. Biasanya, orang yang meminati sejarah adalah seorang yang membosankan. Dan aku akui, kebanyakan orang menganggap aku agak membosankan. Hahahahaha.

Sepengetahuan aku, sangat banyak muzium di Melaka dan lokasi besejarah. Kerana waktu di Melaka ini yang terhad, aku bercadang untuk sekurang-kurangnya pergi ke satu muzium dan satu lokasi bersejarah.

Malam sebelumnya, aku dan Pn. Nurul tidur awal setelah kekenyangan menikmati ikan bakar di Alai. Esok paginya, kami keluar awal, seawal jam 8 untuk memulakan peluang menambah pengetahuan di Melaka.

Jam 8 pagi, suasana bandar Melaka tidak sibuk. Agak tenang. Cuma terkadang melihat sesetengah pemandu memandu sedikit laju. Barangkali sudah lewat ke pejabat! Hahahaha.

Oleh kerana masih awal, semua muzium masih tutup. Lalu, kami berjalan-jalan sahaja di luar muzium. Akan tetapi, sedang kami berjalan-jalan, terlihat sebuah bangunan ajaib. Bangunan itu merupakan kubu Melaka. Kubu Melaka merupakan salah satu bangunan dalam kota Melaka. Kedudukannya di Muara sungai Melaka membolehkan ia mengawal kapal yang masuk lalu lang ke dalam pelabuhan Melaka. Juga ia menjadi pertahan pertama Melaka dari serangan musuh dari laut.






Terdapat beberapa pelan kota Melaka yang dilukis sejak dari zaman penjajan Portugis, Belanda dan awal Inggeris dengan rekabentuk berbeza mengikut perkembangan semasa. Pelan di bawah ini dianggap tepat kerana ia dilukis oleh dua orang pelukis zaman Belanda dengan bentuk yang hampir serupa. Pelan kota ini dipadankan dengan pelan pada 1744 beserta tanda utama bangunan.


1512: Kota Melaka yang dibina oleh Portugis

1668: Kota Melaka berdiri gagah semasa pemerintahan Belanda.

1807: Kota melaka setelah dimusnahkan Inggeris. (Inggeris berniat untuk menawan kota Melaka bagi memusnahkannya. Ini bagi membolehkan pelabuhan Pulau Pinang dan Singapura berkembang)

2007: Ukuran keseluruhan Kubu Middelburg (Kubu Melaka)

 1508: Pelabuhan Melaka semasa pemerintahan Kesultanan Melayu

Pelabuhan Melaka zaman Portugis

1660: Pelabuhan Melaka

Pertahanan Melaka: Pertahanan Melaka berkait rapat dengan Kota Melaka. Kota Melaka dijadikan kompleks pentadbiran dan juga perdagangan dan pertahanan Melaka. Portugis telah mempertingkatkan keselamatan dan pertahanannya dengan membina lapan buah kubu pertahanan dan semasa Belanda pula, sebuah lagi kubu pertahanan dibinia iaitu Kubu Middleburg.

Pasukan tentera yang besar bilangannya ditempatkan di atas Kubu Middleburg bersama dengan alat senjata dan meriam. Terdapat juga sebuag turet atau menara tinjau. Turet merupakan sebahagian daripada sistem pertahanan Kota melaka yang terdapat di rangkaian tembok Kota Melaka.

Dengan itu, keselamatan Kota Melaka, pelabuhan Melaka, Sungai Melaka dan Bandar Melaka  dapat dipantau dengan mudah oleh pasukan tentera yang ditempatkan di atas Kubu Middleburg. Dengan sistem keselamatn yang amat kukuh yang dinina oleh belanda dari 1641 hingga 1784 setiap serangan dapat dipatahkan. Justeru, sistem pertahanan Belanda di Melaka amat kukuh dan berjaya mengawal sebarang percubaan untuk menawannya.

1563: Serangan tentera Aceh ke atas Kota Melaka (Portugis)

Kota Melaka (Portugis) diserang Aceh

Kota Melaka (Portugis) diserang oleh tentera Belanda. (Pada masa yang sama, tentera Johor menyerang dari darat)

Tentera Belanda mendarat di Melaka (Dipercayai pada tahun 1641, setelah berdekad lamanya cuba untuk menawan)

1744: Kota Melaka semasa pemerintahan Belanda.

 1508: Sebahagian dari Kota Melaka semasa pemerintahan Kesultanan Melayu


Banyak lagi kalau nak cerita mengenai Kota Melaka. Tapi, yang lainnya kau boleh tanya cikgu sejarah kau! Hahahahaha