Showing posts with label Terengganu. Show all posts
Showing posts with label Terengganu. Show all posts

Monday, September 17, 2018

Trivia PRU14 Terengganu.

Ramai di FB ini menulis analisis pasca PRU14 yang berat dengan teori dan kebarangkalian. Ada juga aku berangan untuk tulis analisis macam itu. Tapi, tak tercapai kepala otak aku untuk menulis seberat itu. Jadi, aku tulis yang ringan-ringan sahajalah. 

Aku analisis data yang ada depan mata sahaja. Deskriptif. Yang nyata.

Berikut analisis PRU14 di Terengganu. Kenapa Terengganu? Sebab aku mengundi di DUN Rantau Abang, Parlimen Dungun. 

1. Invoke meramalkan PAS akan kalah teruk di Terengganu beberapa hari sebelum PRU14. Namun, ramalan itu meleset. Ialah, nama pun ramalankan. Nampaknya PH yang kalah teruk.

2. Kesemua 8 kerusi parlimen dan 32 kerusi DUN ditandingi 3 penjuru antara BN, PH dan PAS. Tiada calon bebas mahupun parti lain seperti PRM atau PSM yang bertanding.

3. PAS menang 22 kerusi DUN dan layak membentuk kerajaan dengan majoriti 2/3. 10 kerusi lagi dimenangi BN. PH tidak menang apa-apa.

4. Bagi kerusi Parlimen, PAS menang 6 kerusi. Baki 2 kerusi dimenangi oleh BN di Besut dan Hulu Terengganu. PH kosong kerusi.

5. Calon PH hilang deposit di 29 kerusi DUN. Hanya di Chukai, Bandar dan Ladang calon PH tidak hilang deposit. Tiga kawasan ini adalah kawasan bandar.

6. Calon PH hanya tidak hilang deposit di kerusi parlimen Kemaman dan Kuala Terengganu. Kerusi perlimen yang lain calon PH hilang deposit. Dua parlimen ini juga kawasan bandar.

7. Kesemua calon PH yang bertanding di DUN dan parlimen mendapat tempat ketiga.

8. Majoriti tertinggi bagi kerusi parlimen diperolehi oleh calon PAS Marang, Abdul Hadi Awang dengan 21954 undi.

9. Majoriti terendah pula bagi kerusi parlimen diperolehi oleh calon PAS Kemaman, Che Alias Hamid dengan 2163. Menariknya, beliau menewaskan penyandang Ahmad Shabery Bin Cheek.

10. Majoriti tertinggi DUN adalah di Wakaf Mempelam sebanyak 7378 undi, diperolehi oleh calon PAS Wan Sukairi Bin Wan Abdullah. 

11. Majoriti terendah DUN pula adalah di Ajil sebanyak 4 undi. Ya Tuan/Puan, empat undi sahaja. Undi ditolak di Ajil adalah sebanyak 285. Jauh lagi besar dari undi majoriti. Pemenang DUN Ajil ini ialah Maliaman Bin Kasim, calon PAS.

12. Selain Ajil, pertandingan sengit juga berlaku di Bukit Besi yang dimenangi calon BN dengan majoriti 46 undi. Manakala di Jabi, majoriti adalah sebanyak 55 undi dan dimenangi juga oleh calon PAS.

13. Selain Ajil, Bukit Besi dan Jabi, pertarungan sengit (majoriti kurang 1000) turut berlaku di
- Kuala Besut (BN menang majoriti 146 undi)
- Batu Rakit (BN menang majoriti 299 undi)
- Ladang (PAS menang majoriti 363 undi)
- Pengkalan Berangan (PAS menang majoriti 490 undi)
- Air Putih (PAS menag majoriti 746 undi)

14. PAS boleh menang lebih banyak kerusi sekiranya pertandingan satu lawan satu dengan BN dan undi PH dijumlah sekali dengan PAS.
Bagi kes sebegini, PAS akan menyapu bersih kerusi parlimen. Manakala di kerusi DUN PAS akan kalah hanya di Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Seberang Takir, dan Telemung.

15. Peratus keluar mengundi terendah adalah di DUN Bandar sebanyak 80.7% manakala yang tertinggi adalah di Bukit Payung sebanyak 89.2%.

16. Calon PH gagal mendapat lebih 1000 undi di Hulu Besut, Jabi, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Buluh Gading, Seberang Takir, Bukit Tunggal, Ru Rendang, Telemung, Manir, Kuala Berang, Ajil, Bukit Besi, dan Rantau Abang. 15 kerusi semuanya. Kebanyakkan kerusi adalah di luar bandar dan sub-bandar. 

Sekian, analisis cap ayam aku. Kah kah kah. Mohon kau ulas di bahagian komen. Kata pahlawan papan kekunci. Inilah masanya untuk bertarung! Nyatakan pandangan kau. Sila kutuk post ini dengan kejam jika kau tak suka. Jangan kasihan langsung. Aku dalam usaha mengentalkan jiwa dengan cacian.

Share post ini dengan rakan-rakan kau. Ajak mereka menyerang secara berjemaah. Ayuh! 

Aku nak layan komen korang sambil menikmati kerepek tempe pedas dari fb.com/kerepekrangup


Thursday, September 13, 2018

Bermalam di Air Terjun Sekayu



Terengganu, banyak tempat yang menarik. Ramai orang luar menganggap Terengganu tempat yang jauh dan langka.
.
Antara yang menarik adalah Air Terjun Sekayu. Ia terletak di daerah Kuala Berang. Aku tak pasti jaraknya dari bandar Kuala Berang, tapi aku rasa agak jauh.
.
Air Terjun Sekayu telah beberapa kali aku pergi. Pergi pagi, lalu pulang selepas tengahari.
.
Air Terjun Sekayu sebenarnya agak terkenal di kalangan penduduk tempatan. Hujung minggu, ramai orang tempatan mengambil peluang untuk berlibur dengan kos yang sangat murah.
.
Jadi, pada aku yang introvet, pergi ke tempat ramai orang adalah melemaskan.
.
Mujur, di Air Terjun Sekayu ada disediakan penginapan. Ada tapak perkemahan. Ada chelet. Ada juga rumah banglo kayu dua tingkat.
.
Semua kemudahan ini, termasuk kemudahan lain, kebersihan dan keselamatan diuruskan oleh Jabatan Perhutanan.
.
Jumaat beberapa bulan lepas, aku dan Pn. Nurul cuba bermalam di sana. Aku terdorong oleh tulisan Puan Norazlina Ahmad Bakhtiar.
.
Kami memilih chelet. Chelet ini dilengkap 1 katil double dan 1 katil single. Ada penyaman udara dan kipas.
.
Namun, chelet ini seadanya sahaja. Kalau nak dibandingkan dengan Seri Malaysia, Seri Malaysia 40 kali ganda lebih baik agaknya.
.
Bilik tiada televisyen. Bilik air tiada shower mahupun baldi. Ada getah paip sahaja. Tapi pendek pula. Kalau mandi boleh jirus takat perut. Kalau cangkung boleh jirus takat bahu. Nasib baik aku ada kemahiran tersendiri nak basahkan kepala. Azab.
———
Kami sampai menghampiri tengahari. Orang sangat ramai dan suasana hingar. Lalu kami daftar masuk. Kemudian, aku keluar untuk sembahyang Jumaat. Agak lewat. Selewat itu pun masih lagi orang sejantina dengan aku berpusu masuk. Musafir agaknya. Tak pun transgender.
.
Lepas Jumaat, orang masih ramai. Puan Nurul tenang sahaja keluarkan portable stove dan mula memasak. Sebahagian bahan mentah kami bawa dari Dungun. Sebahagian lagi kami beli di pasar Kuala Berang.
.
Selepas asar, barulah kami turun ke sungai. Dekat sangat dengan chelet. Tak sampai 50 langkah dah sampi. Pengunjung semakin kurang. Agak selesa untuk mandi-manda.
.
Pukul 6 kami naik. Selepas bilas badan dengan azabnya, azab lain datang pula. Lampu satu sahaja yang menyala. Lampu downlight yang kecerahannya sama macam lampu dynamo basikal.
.
Dengan cahaya remang malap, kami bersteamboat malam itu. Suasana yang nyaman dan sunyi memang ngam pekena steamboat.
.
Kami habiskan sisa malam dengan membaca buku. Mujur ada bekalan. Kalau tak, boleh mati kutu.
.
Pagi sebenarnya paling seronok. Seawal 7.15 pagi kami dah turun ke sungai. Memang tiada pengunjung. Yang ada cuma pekerja yang membersih dan mengutip sampah yang ditinggalkan oleh sebahagian pengunjung yang musibat dan tak bertamadun. Elok orang macam ni duduk dalam kurungan zoo.
.
Puas hati dapat mandi dalam suasana pagi yang sejuk dan tenang. Hilang segala beban di kepala.
.
Pukul 9 pagi kami naik setelah pengunjung mulai ramai.
.
Ada beberapa perkara kau perlu pertimbangkan jika hendak bermalam di sini.
.
Pertama, cheletnya seadanya sahaja. Tiada tv. Liputan telefon pun terhad. Jangan berangan nak main Facebook. Boleh main wasap je. Itu pu berasap nak tunggu dia sent.
.
Kedua, kalau bawa makanan dan memasak, simpan dengan elok. Bersihkan sentiasa. Tikus dan serangga cepat je kalau dibiarkan.
.
Ketiga, kedai makan agak jauh. Laluan keluar untuk ke bandar Kuala Berang pada waktu malam agak menyeramkan.
.
Keempat. Selain hari Sabtu dan Ahad, pengunjung tak ramai. Masa aku menginap tempoh hari, hanya ada 3 chelet sahaja bersewa.
.
Bagi tempahan, boleh tengok gambar.





Saturday, December 26, 2015

Nasi Dagang Ketuk Ketuk

Nasi dagang boleh dikatakan signature dish Terengganu. Walaupun Kelantan ada versi nasi dagangnya, namun pada aku nasi dagang Terengganu lebih terkenal.

Aku pertama kali makan nasi dagang tatkala mula-mula mengajar di Terengganu 10 tahun lepas. Sebagai peminat pulut yang tegar, nasi dagang terus masuk dalam senarai makanan yang aku suka, selain nasi kunyit (pulut kuning) dan pulut lepa (pulut panggang).

Dah dekat 10 tahun di Terengganu, aku sudah serba sedikit tahu cara nak buat nasi dagang. Nasi dagang adalah campuran antara beras biasa dengan beras pulut yang dikukus. Kukusan itu kemudiannya digaul dengan santan dan halba. Kemudian dikukus lagi. Kemudian digaul lagi. Proses dilakukan beberapa kali sehingga ia betul-betul masak. Tapi, kalu kukus gaul, kukus gaul banyak kali tak best juga, sebab nasi akan kelihatan hancur.



Dah dekat 10 tahun ini juga, dah bermacam rasa nasi dagang singah kat tekak aku. Ada yang sedap sangat. Sungguh enak dimakan begitu sahaja. Rasa lemak, halba dan nasi yang begitu lembut! Pergh! Kalau tengah makan tiba-tiba Sapok Biki tumbuk aku, aku boleh terus sambung makan balik.

Ada juga yang rasa macam nasi kosong. Rasa macam kau ambil nasi putih, lepas tu gaul dengan minyak sawit. Apa macam? Boleh bayang tak rasanya? Tambah pula dengan kuah gulai yang boleh dibuat cermin muka. Sedap tak?

Ada juga yang nasinya tak berapa masak. Bila makan bunyi "ketuk-ketuk". Macam makan nasi jelantah. Ni mesti kes nak cepat. Malas nak kukus banyak kali.

Tapi, apa jua nama nasi dagang, aku telan je. Duduk diam, kunyah perlahan-lahan dan menikmati ketidaksedapan nasi dagang itu. Itu rezeki untuk aku, belasah je. Tak perlu merungut. Kalau betul betul tak sedap sampai tahap basi, aku tinggal terus. Juga, tak perlu merungut.

Eh? Dah tak sedap? Kenapa tak merungut?

Nabi ada ajar kan. Kalau tak suka makanan tu tinggal je. Tak perlu keji atau merungut. Ye tak? :-)

Kredit gambar: dapurmalaysia.com


Saturday, July 11, 2015

18 Fakta Pernigaan Kerepek Raya Aku Yang Orang Tak Tahu



Aku tak ingat bila tahun yang tepat aku mula menjual kerepek raya. Mungkin 7 atau 8 tahun lepas. Alhamdullilah, untuk tahun ini, sudah 90% urusan kerepek raya selesai. Tinggal nak kutip hasil sahaja. Hohohoho.

Ok, berikut merupakan 18 perkara perniagaan kerepek raya aku yang orang tak tahu

1- Idea meniaga kerepek raya ini bukan idea aku. Idea kawan serumah aku. Acik nama manjanya. Beliau seorang yang kacak dan jambu.

2- Kami bermula dengan 10kg kerepek sahaja. Namun, hanya 1kg sahaja yang terjual pada tahun itu.

3- Tidak semua kerepek aku ambil dari Johor. Ada yang original dari Terengganu.

4- Aku tiada kedai, tiada gudang, tiada stor. Semua dibuat di rumah.

5- Pernah beberapa tahun lepas, aku pergi Johor balik hari. Bertolak dari Dungun lepas subuh. Lepas zuhur sampai di Johor dan beli kerepek. Lepas asar bertolak balik. Pukul 12 tengah malam sampai Dungun.

6- Pernah juga aku balik Johor 3 kali sepanjang Ramadhan semata-mata untuk mengambil stok dengan kereta.

7- Proton Iswara Sedan boleh memuatkan lebih kurang 200kg kerepek. Perodua Alza boleh muat sehingga 450kg kerepek. Itu tahap betul-betul padat. Hinggakan co-driver terpaksa bersila dan memeluk kerepek. Ini fakta, melalui pengalaman aku. :-)

8- Harga kerepek telah naik hampir 100% berbanding sejak aku mula-mula berniaga dahulu. Kenaikan yang ketara semasa minyak naik RM0.70 masa zaman Pak Lah. Kenaikan ketara juga tahun ini sebab GST. Terima kasih kerajaan. :-)

9- Aku akan memakai stokin kalau ke kilang kerepek atau tatkala membungkus kerepek. Habuk kerepek dan minyak buat aku tak selesa. Hohooho

10-  Kos plastik untuk repacking adalah 4%-5% peratus dari harga kos kerepek. Bermaksud, untuk RM100 kerepek, aku perlu RM4-RM5 untuk plastik.

11- Macam mana aku boleh tahu perkara nombor 10? Sebab, walaupun bisnes kecil tahap kuman, aku ada sistem akaun. Tak lah begitu canggih sampai pakai sistem UBS atau MyOB, sekadar tulis manual dalam buku. Setiap duit masuk dan keluar ada rekod. Jadi, dari situ boleh tahu bisnes atau rugi.

12- Bercerita pasal sistem, ejen-ejen aku key-in order pakai sistem. Kau boleh tengok tutorial sistem tu di sini. Dengan sistem ini, aku tak payah nak pergi kutip list order kat ejen sorang-sorang. Sambil pegang telefon dan pegang perut pun aku boleh tau jumlah order, secara real-time. Hohohoho

13- Pembeli kerepek aku lebih ramai perempuan dari lelaki.

14- Kos pengangkutan secara anggaranya adalah RM0.70-RM1.20 bagi setiap kilogram.

15- Aku pernah ada website kerepek. Pakai domain sendiri. Tapi tak bertahan lama. Lagipun, ini bisnes offline. Tapi, aku ada FB page. KEREPEK RANGUP. Itu pun tak berapa nak aktif. Hohoohoh

16- Setiap tahun, bila masuk bulan rejab sahaja aku dah buat planning. Bisnes ni singkat. Planning dan timing kena cantik. Lagipun aku buat secara part-time. Malam dan hujung minggu sahaja boleh fokus pada bisnes ni.

17- Walaupun planning 2 bulan, kerja aku untuk bisnes ini hanya antara 14-17 hari sahaja. Tapi, 14-17 hari ni paling getir.

18- Ada fakta di atas yang Pn. Nurul tak tahu. Juga, ada fakta yang Pn. Nurul tahu tapi aku tak tahu. Ini betul-betul punya fakta!

Iklan: Ejen Kerepek Rangup Raya 2016 dibuka. Ada beberapa projek kecil sebelum raya 2016 untuk ejen baru test market. Berminat? Jangan segan nak hubungi aku 0197223166.

Friday, March 06, 2015

Orang Johor Ini Telah 9 Tahun Berkelana Ke Terengganu

Hari ini, pada 9 tahun lepas, aku mula melapor diri di Politeknik Dungun. Sehari sebelum itu, aku memandu seorang diri dari Bandar Tenggara ke Dungun dengan hanya menaiki Kancil 850. Berhenti beberapa kali sebab enjin panas. Itu belum kira sesat beberapa kali sebab tak tau jalan arah. Hohohoho

Terasa jauh waktu itu negeri Terengganu. Ditambah lagi dengan keadaan jalan yang tidak sebaik sekarang. Perjalanan terasa amatlah lama!

Mujur juga ada rakan yang lebih awal beberapa tahun tinggal di Dungun. Dapatlah aku menumpang kasih. Hahahahaha. Kalau tak, satu hal pula nak cari rumah sewa.

Mulanya, aku sangkakan kerja mengajar ini senang. Rupanya tidak seperti dijangka. Memang sangat letih ketika mula mengajar. Seingat aku, selama 6 bulan aku sering tidur awal; sekonyong-konyong lepas isyak kerana keletihan mengajar di siang harinya.

Lama kelamaan, kerja mengajar itu menjadi biasa.  Sekarang ni, kalau kelas 6 jam sehari pun aku masih gagah lagi untuk meniaga atas talian di malam hari.

Mulanya juga, aku agak kekok untuk memahami loghat Terengganu.
"Hodoh sepang"
" Nipis nayang"
"Dok rok chetong"
"Gelenyar"
"Berayuk"
"Jirit"
"Supik rok rak"
"Copong"
Itu antara perkataan loghat Terengganu yang buatkan aku terpinga-pinga.

Tapi, setelah berkahwin dengan Pn. Nurul yang jatinya Terengganu, kini aku boleh berloghat Terengganu dengan mudah. Malah sesetengah orang tidak percaya aku asal jatinya dari Johor.

Namun, sebetulnya semasa bercinta, aku tak pernah dengar Pn. Nurul cakap loghat Terengganu. Lepas akad nikah "tubik" habis keterengganuannya. Hohohohoho.

Hingga kini, aku masih seronok dengan suasana di Terengganu. Tapi, atas beberapa faktor yang rasanya Pn. Nurul pun tak tahu, aku dah mula terlintas untuk kembali ke dagang; seperti sirih.

Tapi, tidaklah dalam masa terdekat ini. Barangkali 9 tahun lagi!!!

Monday, September 29, 2014

Mee Rebus Johor

Post takde perenggan pengenalan. Terus isi. Hohoho.

Banyak beza mee rebus Johor dengan Terengganu. Lapan tahun lepas, masa mula-mula merantau ke Terengganu, aku menyangkakan rasa kedua-dua versi adalah sama. Sangkaan aku meleset.  Aku merasa pelik pada waktu itu. Pelik dengan rasa mee rebus Terengganu.

Mee rebus Terengganu, rencahnya agak ringkas. Hanya tumis bawang dan beberapa bahan asas. Tapi, isinya macam- macam. Ada versi yang memasukkan keropok ikan keping bagi menimbulkan rasa manis ikan dalam mee rebus itu.

Aku tak tahu cara nak buat mee rebus Johor. Aku tahu makan je. Hohoho. Tapi, rencahnya agak mewah. Kuahnya akan sedikit likat. Ada rasa udang kering dan cili kering yang kuat. Isinya ringkas. Biasanya hanya ada daging dan mee. Atau ditambah sedikit tauge. Ada orang panggil mee ini dengan mee Jawa. Tapi, aku tak panggil ia mee Jawa, walaupun aku berketurunan Jawa. Aku tetap panggil ia mee rebus.

Di Dungun ni, setahu aku hanya satu kedai menjual mee rebus atau mee Jawa. Kedai Selera Selatan yang sederet dengan Shell baru Batu Lima.

Mujur juga zaman moden ni banyak dijual pes atau serbuk segera mee rebus. Banyak kedapatan di kedai runcit Johor. Kalau balik Johor, memang akan ada sekurang-kurangnya satu dua pek pes segera masakan Johor seperti mee rebus, mee bandung dan soto.

Lalu, Pn Nurul akan memasak masakan citarasa Johor dengan pes-pes itu. Namun, biasanya Pn Nurul akan ubahsuai menunya, terutama isi supaya ia ada sedikit citarasa Terengganu.

Macam versi mee bandung dalam gambar ini, nampak macam mee bandung, tapi rasa mee rebus. Sebenarnya isinya sama seperti mee rebus Terengganu, tapi rencah kuahnya mee rebus Johor. Sedap juga beb!

Saturday, February 08, 2014

Satar Kuala Kemaman

Kalau di Kuala Terengganu, barangkali keropok lekor menjadi makanan signature kepada daerah tersebut. Banyak kedapatan kedai menjual keropok lekor yang sedap. Antaranya di Losong, Bukit Tok Beng dan Sungai Rengas.

Manakala kalau di Kemaman, satar boleh dikatakan makanan signature. Dan, kedai menjual satar banyak kedapatan di Kuala Kemaman.

Dulu sekitar 2006, masa mula-mula ke merantau ke Terengganu, seingat aku harga satar 25 sen sebiji. Masa yang berkadar langsung dengan inflasi menyebabkan harga satar 25 sen kekal menjadi sejarah.

Lama juga sebenarnya aku tidak makan satar di Kuala Kemaman. Tempoh hari, dalam perjalanan dari Johor ke Dungun, aku berhenti rehat di Kuala Kemaman. Lalu, singgah di Warung Otak-Otak Che Wan. Mengikut pengetahuan aku, kedai ini antara kedai terawal menjual satar di Kuala Kemaman.


Selain satar, kedai ini turut menjual otak-otak dan keropok lekor. Juga, menjual pelbagai jenis sup dan mee kari.






Aku dan Pn. Nurul memilih untuk memesen pakej satar + otak-otak. Enam batang otak-otak dan enam biji satar. Harga set tersebut RM7. Satar diberitahu harganya 50 sen sebiji. Maka sudah tentu otak-otak berharga RM2 bagi setiap 3 batang.


Pada aku, harganya agak mahal. Tapi, rasa sedikit berbaloi kerana satarnya sangat mewah isi ikannya. Manakala otak-otaknya menggunakan ikan tenggiri.

Kami juga memesan keropok lekor goreng. RM2. Ini hasilnya.


Saiz keropok itu lebih kurang ibu jari aku. Ini bermakna aku boleh makan dua batang sekali suap! Hahaha. Ini memang tidak berbaloi. Harganya mahal. Keropoknya tak berapa sedap. Ini ditambah lagi dengan penggunaan minyak yang entah berapa puluh kali diguna semula.

Petang untuk kami membayar RM12 hanya untuk minum petang. Orang macam aku ni pun dah terasa mahalnya. Kalau orang yang gaji bawah RM2000 macam manalah agaknya ya. :-(

Wednesday, January 29, 2014

Desa Murni Batik Kini Di Dungun

Desa Murni, satu nama yang tak asing lagi dalam industri pembuatan batik di Malaysia, lebih spesifik di Terengganu. Boleh dikatakan semua wanita seawal usia baligh mengenali Desa Murni. Bermula di Kampung Pulau Rusa, Desa Murni kini berkembang dengan sekian banyak cawangan di Kuala Berang, Pengadang Baru, Gong Kapas, Batu Enam dan yang terbaru di Dungun. Itu belum lagi dikira cawangannya di luar Terengganu seperti di Kuala Lumpur dan Ipoh.

Desa Murni terkenal dengan pembuatan batik digital. Apa itu batik digital? Ia semacam printer yang besar. Khas untuk print kain batik. Tapi, dengan corak yang eksklusif dan pereka batik yang ramai, Desa Murni mampu menghasilkan batik pada skala besar.

Aku kerap menemani Puan Nurul ke Desa Murni. Samada di Pengadang Baru atau Batu Enam. Dan, pernah juga aku membeli kemeja batik yang murah di Desa Murni. Kenapa aku beli batik murah? Satu, kerana aku bukan orang kaya. Dua, badan aku gatal-gatal kalau pakai batik mahal yang licin kainnya itu. Namun, yang satu "overshadow" yang dua. Hahahaha

Semalam, aku sempat ke Desa Murni Dungun yang baru di buka 2 minggu lepas. Semalam baru aku ada kesempatan walaupun kerap di ajak oleh Puan Nurul. Pada hari pembukaannya dua minggu lepas, ada dijual beberapa barang dengan harga 5 sen!






Desa Murni ini umumnya terbahagi kepada dua kedai berasingan. Kedai pertama khusus menjual produk batik dari kilang Desa Murni. Manakala kedai kedua lebih rencam. Ada dijual bantal, kain ela, tudung singa, karpet, tikar dan pakaian siap. Turut dijual basikal kahwin dua dan kahwin tiga.






Dan, seperti mana Desa Murni yang lainnya, 95% pelanggan adalah wanita. 5% bakinya adalah terdiri dari budak lelaki bawah umur atau lelaki dewasa yang muka kelihatan bosan. Hohohoho.

Apa-apa pun, aku sempat sambar sehelai lagi baju batik murah di Desa Murni Dungun.



Tuesday, January 28, 2014

Menantu Yang Baik Adalah Orang Jawa

Hemat aku, tajuk ini agak kontroversi. Umum mengetahui, di Malaysia orang Jawa banyaknya bermastautin di Johor. Hampir semua daerah di Johor boleh di temui orang Jawa. Johor dan Jawa semacam sinonim.



Umum juga mengetahui pasukan bolasepak JDT juga berasal dari Johor. Pasukan ini menjadi kontroversi kerana mengambil pemain bintang pasukan lain. Ini menyebabkan pasukan ini dibenci. Ramai mengharapkan pasukan ini kalah. Lalu, mereka boleh mengeluarkan kenyataan sebagai "pahlawan papan kekunci" di Facebook 'Harap star je ramai, main kalah juga! Padan muka! Hahahahaha'

Jadi, bila membaca tajuk di atas, pasti ramai yang mencemuh. 'Ini mesti Jawa totok penyokong JDT'.
Hohohohoho

Tapi, sebetulnya, Jawa di Malaysia tidak hanya di Johor. Di Selangor dan Perak juga kedapatan orang Jawa. Malah, MP Bagan Serai kalau tak silap aku juga merupakan orang Jawa dan fasih berbahasa Jawa halus.

Tapi, yang pastinya, dalam radar pengetahuan aku, ada juga beberapa kerat  orang jawa di Terengganu. Lebih tepat di Dungun!

Kabare sedulur sedulur wong Jowo. Monggo mampir Dungun!

Monday, January 27, 2014

Tempeh Jepun

Tempe boleh dikatakan makanan kudapan kesukaan orang Jawa. Diperbuat dari kacang soya yang diperam ragi, tempe dimasukkan hampir kebanyakan masakan orang jawa. Lontong kena ada tempe. Rojak kena ada tempe. Nasi ambeng pun kena ada sambal tempe goreng. Malah, ada juga kerepek tempe. Dan, di gerai tepi jalan yang menjual pisang goreng, ada juga dijual tempe goreng.

Jangan kau tanya kenapa aku obses terhadap tempe. Ini normal. Sama seperti orang Itali obses kepada pizza. Sama juga seperti orang Jepun yang suka sushi. Sama seperti orang Kelantan yang mesti ada stok budu dalam peti ais.

Pada aku, tempe sangat sedap jika digoreng kunyit. Potongan agak tebal. Dicicah sambal kicap. Meleleh! Sedap juga tempe dibuat sambal goreng bersama-sama gorengan kacang tanah, ikan bilis dan kentang.

Di Terengganu, tidaklah sukar untuk mencari tempe. Tapi, lebih sangat mudah mencari tempe di Johor. Juga, di sebelah sini, tempe dibungkus di dalam plastik. Manakala di sebelah sana, jarang ada tempe dibungkus di dalam plastik. Kalau ada pun, sangat jarang. Bagi pemakan tempe sejak kecil seperti aku, tempe harus dibungkus dengan daun, daun pisang misalnya, supaya rasanya lebih mencengkam. Kerana tiada pilihan di sini, tempe plastik pun aku bedal juga! Hahahahaha

Tapi, kualiti bungkusan plastik lebih terjamin. Dengan melihat luaran, kau boleh tahu tempe itu sudah masak atau belum. Berbanding tempe bungkusan daun, kau perlu membuka bungkusan untuk melihat hasil peraman soya tersebut. Melalui sumber internet Facebook, di Jepun, tempe juga ada dijual dan dipasarkan. Ia dibungkus dengan plastik. Sama seperti di Terengganu! Hohohoho


Thursday, January 23, 2014

Air Terjun Ulu Kekabu

Selain dari memiliki pantai yang cantik dan pulau yang menarik, Terangganu juga mempunyai sekian banyak koleksi air terjun yang terbaik. Antaranya di Cemerong, Lata Tembakah dan Sekayu. Namun, ketiga-tiga lokasi tersebut sering penuh dan kusut terutama pada musim cuti dan hujung minggu.

Bagi mengelakkan kekusutan, abang ipar aku telah menemui satu air terjun yang menarik di Setiu. Sebetulnya, bukan beliau yang menjumpai, tapi, dalam keluarga Terengganu aku, beliaulah yang pertama sekali menjumpainya. Hohohoo

Air terjun ini agak jauh juga dari Bandar Permaisuri. Lebih dari 20km. Dari Bandar Permaisuri, kau harus menuju ke utara melalui jalan "atas". Kemudian, kau harus masuk kiri ke jalan menuju Panchur Merah atau Pelandang Agro Resert Setiu. Terus, sampai kau jumpa papan tanda Kg Ulu Kekabu.


Belok ke kanan. Kau akan melalui jalan kampung bertar kira-kira 2km. Kemudian, kau perlu melalui pula jalan tidak berturap sejauh 2km lagi.



Jalan agak sunyi. Kau harus bertenang tatkala melalui jalan ini. Kalau kereta kau "lowered" 4 inci dari jalan, adalah lebih baik kau jalan kaki sahaja ke sini. Namun, kesukaran mengharungi jalan yang tidak bertar itu terubat beli tiba ke destinasi.







Nampak air macam keruh je. Tapi, jernih sebenarnya. Kau jangan terpengaruh sangat dengan gambar. Ilusi optik semata-mata. 

Namun begitu, persekitaran tidak begitu bersih. Kedapatan sisa sampah di tinggal pengunjung terdahulu. Ini kelihatan seperti lokasi ini mula menjadi tumpuan. 



Barangkali boleh dicadangkan supaya tempat ini dinaik taraf menjadi salah satu lagi produk pelancongan di Terengganu. Tapi, tidak pasti boleh atau tidak kerana air terjun ini terletak di dalam kawasan hutan simpanan kekal Gunung Tebu.


Apa-apa pun, tempat ini memang terbaik!

Tuesday, November 19, 2013

Kuantan 2: Hotel Sri Manja

Sebulan lebih baru sambung cerita. Chait!

Hahahaha.

Sila baca dulu Kuantan 1

Setelah puas berseronok di Pantai Batu Hitam, kami lantas menuju ke Hotel Sri Manja. Bunyi nama nampak macam ayu gitu. Huhuhuhu.

Sebetulnya, sebelum ke Kuantan lagi, aku telah membuat sedikit pencarian melalui internet. Ternyata hotel ini memenuhi selera aku. Terletak di Indera Mahkota, lebih spesifik berhampiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Kuantan. Hotel ini sedikit jauh dari bandar Kuantan, kira-kira 5km. Tapi, persekitarannya tidak sesak dan agak menyenangkan. Sewanya juga berpadanan dengan pendapatan bulanan aku yang tidak seberapa.

Sedikit trivia, holet ini dimiliki oleh Pasaraya Tunas Manja. Sebuah pasaraya yang agak terkenal dan banyak cawangan di Pahang, Terengganu Selatan dan Johor Utara.

Malas cerita panjang, maklumat lanjut boleh lihat di http://srimanjahotel.com.my/




Thursday, August 22, 2013

Lengkuas ke Kuah?

Tujuh tahun di Terengganu membolehkan aku bercakap dalam loghat Terengganu dengan agak baik. Walaupun tidak sebaik anak jati Terengganu, tapi aku rasa loghat Terengganu aku sudah memadai untuk aku memahami percakapan seharian yang biasa.

Namun begitu, otak aku masih lagi berfikir dan bercakap dalam loghat bahasa Melayu standard Johor-Riau. Jadi, akan ada keadaan dimana aku sedikit lambat untuk respon pertanyaan dalam loghat Terengganu kerana aku perlu menterjemahnya. Huhuhuhuu

Ada satu situasi yang telah membingungkan otak aku dalam tempoh 15 saat. Tempoh hari aku menemani Pn. Nurul ke Mini Market untuk membeli sayur untuk makan sehari dua. Sedang mata aku meliar, terlihat...
 
Aku hairan. Bila masa ada KUAH MUDA dan KUAH MUDA. Setelah berfikir 14 saat, akhirnya pada saat ke 15 aku mendapat jawapan. La... LENGKUAS rupanya.

Bagi pengetahuan kau LENGKUAS disebut sebagai KUAH dalam loghat Terengganu. 

:-)


Sunday, May 19, 2013

Kursus Blog Bersama Anak PERKAYA

Ahhh...lama tak menulis. Ada beberapa projek diusahakan. Antaranya projek http://babyneeds.my/. Walaupun buta IT, namun, berjaya juga aku siapkan shopping cart tu! Hahahaha

Juga ada beberapa teknologi sedang aku tekuni. Antaranya hal berkaitan FB Ads. Jika aku rajin dan berkesempatan, akan aku kongsikan di sini. Owh ya, banyak ujikaji FB Ads aku diaplikasikan di  https://www.facebook.com/BabyNeedsShop

Tapi, entah mengapa aku bersemangat untuk menulis kembali setelah memberi kursus membuat blog untuk penghuni asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam (PERKAYA) Marang Terengganu. Sebetulnya, aku bukanlah otai dalam bidang ini. Tahu sikit-sikit je. Standard orang kampung.

Memandangkan aku calon bidan terjun untuk kursus membuat blog itu, tidak banyak persediaan yang dapat dilakukan. Nota pun takde. Semua stok dalam otak aku.

Bagi kursus ini, aku menggunakan platform Blogger/Blogspot. Pada asalnya, selain belajar buat blog menggunakan Blogger/Blogspot, aku nak juga ajar budak-budak tingkatan empat tu Nuffnag, ChurpChurp dan Says.my.

Tapi, jujur, aku sangat terkejut dengan perubahan teknologi. Dalam kepala aku, teknologi blogging masih pada tahap dua tahun lepas. Aku agak terkejut bila explore dan study untuk persedian kursus ini.

Antaranya perubahan tersebut
1- Blogger/Blogspot hanya menerima akaun Gmail sahaja. 
2- Bila daftar Gmail, kena masukkan no telefon. Kemudian, verification code akan dihantar ke telefon dan kena verify supaya Gmail kita boleh guna. Barangkali Gmail cuba memastikan pemunya emel adalah manusia, bukan robot. Juga, setelah aku bertanya En. Google, setiap satu no telefon, boleh verify 15-20 Gmail.
3- Says.my dah takde income ke? Dah macam laman sosial aku tengok. Takde dah rasanya satu klik 20sen. Haiyh!
4- Nuffnag layout baru. Dan tetiba ada RM64 dalam Nuffnag aku. Terus aku klik "Cash Out"! Hahahaha
5- Churp Churp tetap cool. Masih ada lagi satu klik 20sen. Layoutnya pun berubah, tapi aku masih boleh faham lagi.

Akan tetapi, dalam banyak keadaan, apa yang dirancang tidak semestinya terjadi. Begitu juga dengan kursus blog ini. Ada beberapa masalah yang timbul semasa kursus blog ini berjalan.
1- Banyak blog yang budak-budak buat di"unpublished" kerana disyaki blog spam. Aku pula mensyaki perkara tersebut terjadi kerana aktiviti membuat blog yang banyak pada IP yang hampir sama menyebabkan Blogspot curiga.
2- Ada budak-budak yang buat sehigga empat blog, tapi semua di "Unpublished". Kasihan. Ini menyebabkan moral dan semangat mereka untuk belajar jatuh mendadak.

Akan tetapi, 35 pelajar, berjaya juga 14 orang menyiapkan satu blog dengan satu entry.  Hebat!
http://sekarangkinidanselaman.blogspot.com/
http://hatikui.blogspot.com/
http://ieyfarid95.blogspot.com/
http://harishamizan.blogspot.com/
http://gopaaa.blogspot.com/
http://nuyueammyrah.blogspot.com/
http://amirklate.blogspot.com/
http://aniqkaye.blogspot.com/
http://yaallahbantulahaku.blogspot.com/
http://jambubo.blogspot.com/
http://niezalimanperkayahostel.blogspot.com/
http://syazwanq.blogspot.com/
http://telukmenare.blogspot.com/
http://hensem-dilarang-masuk.blogspot.com/ <<< Ini aku punya!

Semoga, blog di atas berjaya dikemaskini secara berkala!


Thursday, November 22, 2012

Ulasan Buku: Ustaz Azhar Idrus - Daie Sejuta Umat

Siapa yang tak kenal dengan Ustaz Azhar. Peceramah agama Terengganu. Ceramahnya mampu menarik ribuan orang. Ternyata beliau ada pesona tersendiri.

Buku ini, aku kira antara sepuluh teratas dalam carta buku popular. Bukan sekadar buku ini sahaja, buku yang berkenaan dengan UAI pasti laris dijual. Hinggakan aku pernah lihat sebuah kedai buku menyusun buku ini setinggi aku!

Penulis buku ini Riduan Mohamad Nor. Aku rasa beliau ada tulis buku-buku lain, tapi aku tak ingan judulnya. Penulis, menulis tentang sisi sebenar UAI. Merangkumi kehidupannya, asalnya dan pengalamannya. Memang menarik! Tapi jujur, gaya penulisan agak kurang menarik. Banyak susunan ayat dan perkataan yang berulang. Paling banyak aku rasa perkataan "SOSOK". :-)

Sebetulnya, separuh buku ini perihal mengenai UAI. Manakala separuh lagi adalah koleksi soal jawab UAI. Banyak soalan pelik dan lucu. Nak tahu? Kena beli sendiri la beb!


Saturday, November 17, 2012

Bersih Mengikut Syariat

Dalam memori aku, sewaktu kecil dahulu, menjelang hari raya, arwah Yayi aku akan membeli beberapa peti air botol berkarbonat. Botolnya barangkali sebesar botol kicap saiz kecil. Atasnya ditutup dengan ceper. Botol-botol itu disusun di dalam peti kayu. Kalau tak silap aku, peti itu boleh memuatkan 24 botol.

Masa berlalu. Lama aku tak melihat botol seperti itu. Sekali-sekala, sewaktu hari raya, aku akan berjumpa dengan botol tersebut di kampung-kampung di Pontian dan Muar.

Tetapi, tempoh hari, sewaktu bercuti di Setiu, aku kembali melihat botol itu. Mungkin rupa parasnya tidak sama 100% dengan yang ada dalam nostalgia aku, tapi itu sudah cukup untuk membuatkan aku tertarik.



Aku difahamkan, di Kelantan dan utara Terengganu, botol seperti ini masih popular.

Tapi, paling menarik, tagline pada botol tersebut. "Bersih Mengikut Syariat". Memang terbaik dari kebun! Hahahaha


Sunday, September 30, 2012

Melaka 22: Aiskrim Dua Ringgit

Di Melaka, aiskrim dua cedok RM2. Fuh! Jual 6 cedok je boleh balik modal satu bekas aiskrim!


Tapi aku tak hairan. Biasalah, negeri pelancongan. Di Terengganu pun macam tu juga....

Monday, June 18, 2012

Melaka 15: Kedai Jepun

Diam tak diam sudah 15 siri Melaka aku tulis dalam blog ini. Ternyata, Melaka sangat banyak benda untuk diceritakan.

Untuk siri Melaka kali ini, kita pergi ke kedai Jepun. Kedai Jepun ini mengingatkan aku tentang sebuah kedai Jepun yang aku kunjungi di Pulau Pinang pada tahun lepas (KLIK SINI)

Kedai ini terletak di kompleks beli belah Mahkota Parade. Seperti kedai Daiso di Pulau Pinang tempoh hari, kebanyakan barangannya berharga RM5. Kedai ini diberi nama Hinode Shop.



Namun, banyak juga barang yang berharga lebih RM5.



Awek yang menjaga kedai itu menawarkan kad keahlian kedai Hinode. Aku menolak. Beliau memaksa dengan mengatakan kedai Hinode ada di seluruh Malaysia. Aku tanya balik "Kat Terengganu ada tak?". Dia kata, tiada. Ternyata kedai ini tidak ada di seluruh Malaysia.

Sasaran Aku dan Pn. Nurul ke Melaka sebenarnya hanya hendak berjalan-jalan dan tidak mahu membeli belah. Tapi, akhirnya, Pn. Nurul membeli juga di kedai ini. Beliau membeli semacam alat membakar untuk aromaterapi. Juga, beliau membeli sandal. Cis!