Showing posts with label Tok. Show all posts
Showing posts with label Tok. Show all posts

Wednesday, 8 December 2021

Kari Udang bersama Daun Bawang

Kari Udang bersama Daun Bawang ni favorite arwah Tok Wan, selain dari Udang Go Nyo :) Bila dah jadi kesukaan Tok Wan, automatically jadi kesukaan Ummi juga. Zaman tu tak pandai nak request, apa yang Tok masak itu yang Ummi makan. 


Sebab ni resepi cara Tok, takde sukatan bahan-bahannya. Main agak-agak, main campak-campak je...

Secara ringkas resepinya; 
1. Tumbuk bawang merah + bawang putih + halia hingga lumat
2. Panaskan minyak dan tumis halba campur (biji sawi + halba + jintan manis + jintan putih) hingga naik bau
3. Masukkan pula bahan tumbuk dan tumis hingga kekuningan
4. Masukkan daun kari
5. Bancuh serbuk kari udang bersama sedikit air (jadikan pes) dan tuang ke dalam kuali. Tumis hingga pecah minyak
6. Masukkan udang bersama sedikit air dan air asam jawa
7. Bila kulit udang bertukar warna, masukkan santan dan kacau sebati. Biarkan mendidih seketika
8. Kemudian masukkan daun bawang yang dipotong kasar. Kacau seketika

9. Masukkan garam secukupnya. Tutup api. Siap! 

Kuah Kari Udang style Tok ni cair-cair sikit. Sedap dimakan dengan nasi panas-panas. 

Rindu Tok. 






Sunday, 21 November 2021

Nangka ~ Tuaian Pertama

Tuaian pertama nangka arwah Tok tanam. Hari ni tergerak hati nak jenguk pokok nangka tu sebelum masuk rumah. Bau wangi! Dah masaklah ni, alhamdulillah. Dapat juga tuai buahnya. 

18/8 perasan pokok nangka arwah Tok tanam ni dah lekat buahnya. Sebelum-sebelum ni dah mula berputik tapi asyik gugur je selepas beberapa ketika. "Baru nak belajar berbuahlah tu .." kata arwah. 

18/9 kami balut buahnya atas nasihat Tok Ayah. Sejak tu memang kerap Ummi periksa buahnya. Besar harapan agar bertahan hingga masak. 

Hari ni 21/11, 4 hari lepas genap setahun Tok meninggal,  kami tuai hasilnya...

Alhamdulillah inilah hasilnya ... Isi banyak, manis sangat. Harum semerbak sampaikan Kakak yang duduk di tingkat atas terus turun ke bawah cari buah nangka. Banyak ulas dia makan sampai Ummi suruh stop. Takut kembung! 

Sebelum potong buah nangka, ambil minyak masak sapu pada mata pisau dulu. Nak elak getah melekat pada pisau. Petua orang tua-tua...

Bahagian yang buruk tu sikit je. Selebihnya memang elok semuanya. Ummi tak pernah baja pun cuma rajin siram dengan air basuhan beras atau ikan. Lepas ni nak trim sebab dah tinggi pokoknya, hampir cecah wayar letrik TNB. Kata Tok Ayah, tinggi sangat nanti susah nak ambil buah. Betul jugak tu. 

Dah berhajat nak berbagi rezeki dengan jiran-jiran. Alhamdulillah Allah makbulkan. 

Hadis Nabi SAW ada menyebut, 
"Bukanlah seorang Muslim yang menanam  tumbuhan dan tanaman itu dimakan oleh manusia, binatang atau burung, tetapi tanaman ini menjadi sedekah baginya hingga hari kiamat." (HR Muslim).

Mudah-mudahan beroleh pahala sedekah buat arwah Tok. 


Wednesday, 10 November 2021

Kakak ~ Khatam Al Quran

1 Rabiul Akhir (6/11) tempohari Ummi buat pulut ayam bakar sempena Kakak khatam Al Quran kali pertama. Dia khatam Quran 2-3 hari lepas birthday-nya yang ke-8.

Tak plan pun, tiba-tiba je dapat idea. Teringat dulu arwah Tok hantar pulut dan pisang ke rumah arwah Wan Lang sebagai tanda syukur Ummi khatam Quran. Pulut tu kami makan beramai-ramai dengan geng mengaji. 


Cepat Cik Leha balas ☺️ Kawan-kawan sekampung dia datang ziarah, rezeki budak-budak ni la bila hantar pulut Cik Leha bagi pizza, alhamdulillah. 

Kebetulan, 1 R.Akhir juga cukup setahun pemergiaan Tok ke negeri abadi, ikut kalendar hijri. Ummi niat sedekah sekali. 

Sekejap je masa berlalu :( Perkara yang Ummi nak buat sangat ialah peluk Tok. Rindu sangat-sangat 😭 Walaupun redha tapi rindu tu tak pernah hilang, tak akan hilang pun :( Sedangkan arwah Tok Wan yang dah 20 tahun tiada masih tersimpan rindu di sudut hati, inikan pula Tok yang baru setahun pergi. 

Saturday, 28 August 2021

Bangkit Rindu...

Kelmarin 26 Ogos ibu mertua jiran kami, Kak Z meninggal sekitar jam 3.30 pagi kerana sakit tua. Masa arwah Tok masih ada pun, mak mertuanya dah tak sihat, tak boleh bangun pun. Adalah bibik yang menjaganya sepanjang Kak Z sekeluarga keluar bekerja. Sekali sekala Kak Z update perkembangan ibu mertuanya di WA group. 

Seawal jam 8.30 pagi jenazah dah dibawa ke rumah keluarga mereka di PJ. Dek kerana sibuk uruskan PdPR di awal pagi, tak berkesempatan menziarahi arwah. Semalam singgah sekejap di rumah Kak Z, nak bertanya khabar dan mengucapkan takziah. Takde jodoh juga, Kak Z keluar .. 

Akhirnya kami hanya dapat berbual di telefon. Katanya "Akak rindulah, bangun pagi ni terus ke bilik arwah... Hari2 rutin akk macam tu, jenguk bilik arwah dulu... Kekok pulak pagi ni (arwah dah takde)..." 

Packed food utk jiran-jiran. Tahlil online kata Kak Z, sesama ahli keluarga mereka. 

Macam tu lah juga Ummi pun. Lepas arwah Tok meninggal, bangun pagi terus jenguk bilik Tok. Kadang tu dok masak di dapur pun toleh-toleh juga ke dalam bilik arwah... Ambil masa jugalah nak hilangkan habit tu, itu pesan Ummi pada Kak Z.  

Malah, sampai sekarang Tok 'hidup' dalam diri kami. Buat itu, buat ini, makan itu, makan ini seringkali sebut pasal Tok. Tambahan pula bila ada sesuatu yang boleh relate macam kematian mertua Kak Z ni. Lagilah kenangan dengan Tok membara, jadi rindu teramat sangat... 

Ummi: Berapa ringgit nasi kerabu ni B? 
Walid: 6 ringgit...lauk ikan goreng...
Ummi: Oo... Dulu dok beli kat Mak lima ringgit setengah...

Itu pagi tadi, masa makan nasi kerabu favorite arwah. Malam tadi pula, perbualan kami berkisar pada topik 'Tok di mana masa Ummi bersalinkan anak-anak :D " 

Kelahiran Abang ~ Memandangkan Ummi masih di labour room dari pagi hingga ke Maghrib,  w/pun pukul 9 pagi dah induce, terpaksalah Walid call Pakcik datang temankan Tok di rumah kami. Masa tu arwah Pakcik duduk di Puchong, bujang lagi. Arwah Tok ni pula ada penyakit darah tinggi. Setiap kali anak menantu nak bersalin ke nak exam besar2 arwah jadi nervous, anxious sampai BP naik. Masakan tidak, malam-malam tak boleh tidur! Masa Ummi nak ke Mekah dulu pun sampai demam2 Tok dok fikirkan keadaan anak-anak kami terutama Kakak yang masih bayi tu.

Kelahiran Angah ~ Tok di kampung, uruskan kenduri kahwin Abg Aqim. Habis kenduri je Tok terus mai rumah kami 😁 

Kelahiran Kakak ~ paling special sebab Tok berkampung sekali dengan kami di Pusrawi. Bersempit- sempit dengan cucu2 tidur di lantai. Walid pula atas sofa bed sebab Tok lagi selesa tidur atas tikar 😂 

Kelahiran Adik ~ Tok dah tak berapa sihat masa ni. Baru didiagnosis dengan kidney problem. Tok duduk dengan Paklong masa ni... 

Apapun itulah aturan hidup... Sampai masa kita akan kembali kepada Pencipta. Yang masih ada ibu ayah, ciptalah sebanyak mungkin kenangan indah. Hanya itulah yang kita ada bila mereka sudah tiada 🤗

Al Fatihah untuk semua muslimin dan muslimat yang telah mendahului kita. 

Tuesday, 2 February 2021

Pengalaman Buat IC & Sijil Kematian semasa PKP

Sekarang ni segala urusan berkaitan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kebanyakan agensi kerajaan lain semuanya melalui temujanji. Permohonan temujanji dibuat secara atas talian (online). Imunisasi Kakak tahun lepas beginilah prosedurnya. 

Berbalik kepada tajuk, temujanji pertama kami untuk buat IC Abang ialah pada 24/11, kira-kira seminggu selepas birthday dia, di JPN Melawati. Setiap pelanggan diberi masa 20 minit untuk berurusan. 
Cadangnya nak selit sekali buat sijil kematian Tok. Sehari sebelum temujanji, kami terima email dari pihak JPN Melawati memaklumkan pejabat mereka ditutup sementara. Pulak!

Terpaksa buat appointment baru (mujur online je). Yang kosong dan paling hampir 29/11 di UTC Sentul kalau tak silap. Di JPN Gombak memanjang penuh. Paling awal tarikh kami dapat ialah 2/1/2021. Dalam masa yang sama booking juga slot di JPN Jitra dan UTC Alor Setar sebab ikut plan kami akan berada di Kedah that time.

Akhirnya rezeki kami di UTC Alor Setar. Untuk buat IC Abang, Walid uruskan. Ikutkan appointment pukul 11 tapi kami sampai awal dan dibenarkan walk in sebab tak ramai orang. Untungnya buat IC di UTC boleh dapat pada hari yang sama. Lepas sejam, kita diminta datang semula untuk collect IC. 

Curi-curi ambil gambar takut Pakcik Rela marah 😅

Manakala untuk sijil kematian hanya waris (menantu tak termasuk) dibenarkan buat permohonan. Jadi, Ummi lah yang berurusan dengan JPN. Tak susah pun... Tunjuk sahaja laporan polis, serahkan IC si mati dan salinan IC waris (kalau tak silap) kepada pegawai bertugas. Cuma dia tanya juga kenapa buat di Kedah? Hihi... Tapi takde masalah pun kita apply sijil mati tu di mana asalkan di JPN :p

Part sedih bila officer tu cakap "saya gunting ye IC ni (IC Tok)" Itu tandanya IC tu dah tak valid... Sebab pemegangnya dah tiada 😭😭😭 Waktu serahkan sijil mati officer tu ucap takziah. Touching Ummi. Semua ni pengalaman baru untuk Ummi. Tapi Ummi yakin Allah bagi semua ni bersebab.

Alhamdulillah selesai urusan yang tertangguh hampir 2 bulan. Inilah antara cabaran di zaman pandemik ni. Lega Ummi bila dah setel urusan JPN ni terutamanya sijil mati Tok tu. Ada beberapa urusan yang nak diselesaikan berkaitan hal ni. Moga semuanya terus dipermudahkan oleh-Nya. 


Thursday, 17 December 2020

Pengalaman Peribadi Memandikan & Mengkafankan Jenazah

Selain dapat menjaga dan menemani arwah Tok dari sihat hingga ke saat akhir, Allah rezekikan juga buat Ummi berkhidmat buat kali terakhir untuk Tok yakni memandikan dan mengkafankan jenazah Tok. Pengalaman pertama yang sangat istimewa dan berharga Ummi abadikan di sini. Moga sedikit sebanyak memberi manfaat kepada semua. 
 
" Berapa orang nak mandikan jenazah?" tanya petugas team pengurusan jenazah Masjid Al Khairiyah (Puan A) sambil memandang Ummi dan Makngah. Bersamanya ada seorang lagi petugas (Puan B) yang sedang sibuk menggunting kain kafan.

Tak sedap hati dengan pertanyaan tersebut, Ummi minta Walid panggilkan anak-anak perempuan Makngah (4 orang) dan Makcik. Alhamdulillah kami semua berpeluang untuk memberi khidmat terakhir untuk Tok. Jika di tempat kami, ahli keluarga hanya bertindak sebagai pembantu kepada team pengurusan jenazah. Tapi, di sini kami diberi tunjuk ajar dan diminta memandikan sendiri jenazah Tok dari awal hingga akhir. Puan A memberi tunjuk ajar, arahan sambil membantu menyempurnakan urusan mandi jenazah manakala Puan B pula terlibat sewaktu urusan mengkafankan jenazah. Oleh itu, pengalaman ini sangat berharga dan penuh makna; menyentuh dan membelai tubuh arwah buat kali terakhir sebelum berpisah buat selamanya, disamping kita sendiri mendapat ilmu baru tentang tatacara pengurusan jenazah secara langsung. 

Tatacara memandikan jenazah 
1. Dengan menutup badan jenazah dengan sehelai kain batik panjang (kain batik panjang yang sama sewaktu jenazah dibawa dari rumah. Kain batik panjang ini berfungsi sebagai kain basahan waktu dimandikan nanti); tanggalkan semua pakaian pada jenazah seperti kain, baju, ikatan pada tangan, kaki dan muka. Pakaian yang ditanggalkan di masuk ke dalam plastik hitam (disediakan oleh pihak masjid)
2. Membaca niat - " Sahaja aku mandikan jenazah ibuku/nenekku fardhu kifayah kerana Allah Taala (lebih kurang). Semua yang terlibat perlu berniat. 
3. Jirus air dari kepala hingga ke kaki bermula sebelah kanan. Kemudian gosok, sabun, bilas seluruh badan jenazah dari hujung rambut hingga hujung kaki. Cara membersihkan bahagian belakang jenazah ialah dengan mengiringkan jenazah. Kami ada 6 orang jadi 3 orang berada di sebelah kanan dan  3 orang di sebelah kiri jenazah Tok. Bila team sebelah kanan membersihkan bahagian belakang jenazah, 3 orang di sebelah kiri memaut badan jenazah supaya mengiring. Begitu juga sewaktu mengelap jenazah usai dimandikan. Membersihkan jenazah termasuk membersihkan celahan jari/kuku, telinga, hidung, bibir, pelipat, qubul dan dubur seumpama mandi wajib.
4. Mengambil wudhuk untuk jenazah.
5. Menjirus air cendana, air kelapa barus dan air mawar (kalau tak silap) ke atas seluruh badan jenazah, dari hujung kepala hingga hujung kaki, dimulakan dengan bahagian tengah sambil menyebut يا الله , bahagian kanan beserta kalimah يا رحمن dan bahagian kiri dengan menyebut kalimah يا رحيم
6. Mengelap badan jenazah dengan tuala bersih. Waktu ni kain batik lepas tadi (kain penutup/kain basahan) digantikan dengan sehelai lagi kain batik panjang yang kering untuk menutup badan jenazah. Seperti juga waktu memandikan dan membersihkan jenazah tadi, dua kumpulan tadi bergilir-gilir mengelap badan jenazah, dalam posisi mengiring juga untuk bahagian belakang jenazah. Jadi, 2 helai tuala diperlukan. Sehelai kain batik biasa juga diletakkan di bawah badan arwah untuk mengelakkan jenazah basah semula bila dialihkan ke kiri atau kanan. "Kena betul-betul kering" kata Puan A. 

Perlu diingat bahawa setiap pergerakan ini hendaklah dilakukan dengan lemah lembut agar tidak menyakiti jenazah. Apatah lagi yang dimandikan itu adalah ibu kita, syurga kita. Sebagai mana arwah disantuni sewaktu hidup, begitulah selayaknya beliau disantuni apabila telah tiada. Itu tanda sayang dan hormat kita pada ibu. 
7. Jenazah diangkat ke atas katil beralaskan kain kafan untuk dikafankan. Kali ini peranan kami lebih kepada pembantu kepada Pn B. Namun, tetap kami berpeluang memberi khidmat terakhir untuk arwah. Bermula sehelai demi sehelai kain putih dibalut, sedarlah kami masa untuk berpisah selamanya makin hampir. Sebak diiringi air mata mula menerpa bila yang ternampak hanya wajah tenang arwah diliputi kain putih seluruh badan. Arwah nampak sangat tenang seolah sedang nyenyak tidur. 
8. Sehelai lagi kain batik panjang diletakkan di atas tubuh jenazah sebagai penutup badan. 
9. Ahli keluarga lelaki beserta hadirin yang menunggu di luar bilik jenazah dijemput menatap/mencium wajah arwah buat kali sebelum kain kafan diikat. 
10. Jenazah diusung ke dalam keranda sebelum disembahyangkan. 

Alhamdulillah segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Mudah, cepat dan lancar semuanya. 

Keperluan Memandikan Jenazah 
Ummi hanya diminta menyediakan 2 helai kain batik panjang/batik lepas dan 2 helai tuala untuk urusan ini. Keperluan dan perkakas lain semuanya disediakan oleh pihak masjid. Walaubagaimanapun Ummi bawa juga 2-3 helai kain batik biasa sekiranya diperlukan. 

Kain batik panjang penutup badan arwah sewaktu di perbaringan. Digunakan juga sebagai kain basahan sewaktu jenazah dimandikan. 

Kain batik panjang penutup badan arwah sewaktu dilapkan. 

Kain batik panjang penutup tubuh jenazah usai dikafankan. 


Dua helai tuala. 


Ummi minta maaf jika ada terlebih/terkurang dari perkongsian ini. Yang baik itu dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan Ummi. Niatnya cuma berkongsi pengalaman. Mungkin sedikit sebanyak pembaca dapat gambaran (dan manfaat) tentang urusan fardhu kifayah ini. Suka atau tidak, mati itu pasti. Setiap dari kita akan melalui saat itu, samada kita yang pergi dulu atau orang-orang yang kita sayang pergi dulu.  Menjadi tanggungjawab kita yang hidup untuk menyempurnakan segala urusan akhir jenazah. 

والله اعلم


Monday, 30 November 2020

Pengalaman Peribadi Menyantuni Jenazah Sejurus Kematian

Ummi kongsikan di sini pengalaman menguruskan jenazah Tok selepas disahkan kematiannya. Mungkin boleh dijadikan panduan bagi yang memerlukan. Setidaknya jadi kenangan untuk kami sekeluarga. 

Umur dunia Tok; 81 tahun, 1 bulan, 8 hari. 

Urusan Ummi jadi mudah dengan kehadiran Ustazah R yang banyak menunjuk ajar kami. Sya juga banyak membantu menyiapkan perbaringan arwah. Terima kasih banyak. 

1. Ustazah minta Ummi ambilkan minyak kelapa/minyak zaitun/minyak bayi untuk diurutkan pada sendi-sendi Tok. Sebelum tu sekilas Ummi nampak Ustazah baca doa dan tutupkan wajah arwah dengan selimut. 

2. Ummi dengan bantuan Abg Anas bersihkan Tok dari sebarang najis. 

3. Sediakan tempat pembaringan jenazah iaitu tilam bersaiz single di ruang tamu. Tilam dialas dengan cadar dan bantal. Seeloknya gunakan cadar tebal kerana ada kemungkinan jenazah akan diusung bersama cadar tersebut ke dalam keranda untuk memudahkan urusan seperti yang dilakukan kepada jenazah Tok. 

4. Kemudian jenazah Tok kami bawa ke ruang tamu. Ustazah minta Ummi ambilkan kain kecil & nipis (seeloknya) untuk ikat kaki (agar rapat) dan tangan (dalam posisi qiyam). Ini perlu dilakukan sebelum jenazah mula mengeras. Satu lagi biasanya bahagian muka jenazah juga diikat tapi untuk jenazah Tok tak perlu sebab mulut Tok terkatup rapat. 

5. Tutup aurat jenazah dengan sepatutnya; rambut dimasukkan ke dalam serkup, seluruh badan ditutup dengan kain dengan rapi dan diselimutkan dengan kain batik lepas (batik panjang). Manakala muka pula ditutup dengan tudung/selendang nipis. 

6. Bila Aida sampai, dia minta Ummi letakkan kain dibahagian belakang (bawah dubur) kerana dikhuatiri jenazah mengeluarkan sebarang cecair/najis dan menimbulkan masalah (kebocoran najis dsbnya) ketika jenazah diusung ke keranda nanti. Ada yang memakaikan jenazah dengan lampin pakai buang atau mengalas jenazah dengan plastik. Alhamdulillah semuanya elok bagi jenazah Tok. 

7. Kemudian Aida minta Ummi letakkan benda berat seperti gunting/kacip di atas perut arwah. Tujuannya untuk mengelakkan jenazah kembung. Dari pembacaan Ummi, boleh juga diletakkan buku atau bantal kecil yang tidak terlalu berat atau terlalu ringan. 

8. Sapu/titiskan minyak attar/wangi disekeliling jenazah untuk mengelakkan serangga seperti semut, lalat dll. 

9. Disamping membaca Yasin dan Al Quran, Ummi juga buka bacaan Al Quran di telefon. Jadi, sepanjang malam jenazah ditemani alunan bacaan Al Quran. 

10. Untuk laporan polis, bawa surat pengesahan kematian dan kad pengenalan arwah. Tugas ini kami serahkan kepada Abg Aqim. Manakala Walid pula berurusan dengan pihak masjid untuk pengurusan jenazah Tok. Terus kami dimaklumkan bahawa van jenazah akan tiba sekitar jam 8.30 pagi besok. Maklumat ini kami sampaikan kepada saudara-mara, rakan-rakan dan jiran-jiran pula. Jadi, semua orang maklum dan bersedia untuk memudahkan urusan akhir Tok. 

Ubat-ubat harian Tok. 

Satu pengalaman yang sangat berharga bagi Ummi. Walaupun sedih tapi rasa syukur kerana dapat melakukan yang terbaik dan terhormat untuk Tok. 

Thursday, 26 November 2020

Kenduri Arwah

Di kampung Ummi, bila berlaku kematian akan diadakan majlis tahlil selama 3 malam berturut-turut. Kemudian pada hari ke-7, ke-40 dan ke-100 selepas kematian juga akan diadakan kenduri yang disebut kenduri arwah. Besar kecil majlisnya bergantung kepada kemampuan masing-masing. Kadang-kadang kendurinya di sebelah siang, kadangkala di sebelah malam. Dengan suluhan lampu picit, kami berbondong-bondong ke rumah kenduri bersama jiran-jiran. Seronok meredah kegelapan malam beramai-ramai. 

Lebih seronok bila tuan rumah sediakan 'goodies'. Biasanya semasa kenduri 40 hari. Tuan rumah akan menyediakan buah tangan seperti pulut bersama ayam bakar, pisang atau kuih apom. Pulut bersama regunya diletakkan di dalam pinggan kaca dan kemudian diikat dengan sapu tangan. Selalunya pinggan Tok simpan, manakala sapu tangan pula Tokwan ambil. Ummi dengan Pakcik makan pulut :D Satu keluarga hanya dapat satu set sahaja. Zaman dulu tak mewah macam sekarang... Kadang tu bila ke kenduri naik segan Ummi bila anak-anak semua dapat goodies bag sorang satu. Takut tak cukup untuk tetamu lain. 

Kemudian pinggan kaca berganti dengan bekas plastik (badannya berwarna, penutup putih). Zaman tu bukan senang nak dapat beli bekas plastik pun jadi bila dapat tu seronok sungguh. Esoknya terus guna untuk bawa bekal ke sekolah :) 

Tradisi ini Ummi teruskan tapi dalam norma baharu. Tempah makanan dari Quali Kak Zana (ada dalam senarai Food Panda). Tolong promote sebab sedap 😊 Set nasi tomato bersama ayam masak merah tu Ummi minta Kak Zana pack siap-siap. Ada wakil dari badan kebajikan surau datang untuk berziarah malam tadi jadi makanan tu kami sedekahkan untuk mereka dan jiran-jiran terdekat. Moga pahala sampai kepada Tok, Tokwan dan Pakcik.

Walaubagaimanapun amalan ini hanyalah adat. Tak perlu susahkan diri tambahan jika yang meninggal itu ketua keluarga. Utamakan kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan terutamanya anak-anak yatim yang masih kecil. Kiriman doa anak yang soleh itu sebenarnya lebih afdhal. والله اعلم

Al fatihah untuk mereka yang telah pergi :( 

Monday, 23 November 2020

Diari Tok ~ Terima kasih semua ❤️



Terima kasih kepada semua sahabat bloggers yang mengutuskan salam takziah dan doa untuk Tok 🌹

Hari ni genap seminggu Tok pergi meninggalkan kami. Kamar Tok pun dah Ummi kemaskan. Barang-barang peribadi Tok mana yang nak disimpan, dibahagi/disedekahkan atau dibuang semua Ummi dah kategorikan.




Lebihan lampin dewasa Tok. Ummi nak sedekahkan kepada jiran Ummi yang ibu mertuanya pun sedang uzur. Begitu juga baki ubat-ubat Tok, hajatnya nak pulangkan kepada hospital. 


Kain batik untuk Ustazah. Pesanan Tok supaya Ummi hadiahkan sehelai kain batik kepada Ustazah dah Ummi tunaikan. Selendang putih tu pula Ustazah pinjamkan untuk tutup wajah Tok. Dek kalut, Ummi tak jumpa selendang yang Tok simpan di bawah katilnya :(

Walaupun sedih tapi Allah hadirkan dalam diri kepuasan yang sukar digambarkan sebab berpeluang jaga dan teman Tok dari sihat hingga ke saat akhir. Hampir 10 tahun juga Tok bersama kami. Ummi pun tak ingat bila Tok mula tinggal bergilir-gilir di rumah anak-anak. Cuma yang pasti, lepas Ummi balik haji 6 tahun lepas, Tok tinggal secara tetap dengan kami. Sekali sekala ke rumah anak-anak yang lain. Jadi, tak hairanlah bila ramai yang kenal Tok sama ada jiran-jiran mahupun rakan taulan Ummi dan Walid. Waktu Tok sihat selalu juga kami bawa ke kenduri/majlis yang kami pergi. Malah, ada yang memanggil Tok 'Mak' sebab Tok sangat keibuan sifatnya. Ramai orang senang dan sayang. Besar hati Ummi dengan kehadiran mereka yang memberi penghormatan terakhir buat Tok bermula dari berita kematiannya tersebar hinggalah sekarang masih ada yang mengutus takziah.  

Usai solat Isyak, jiran dan kenalan mula berkunjung. Jemaah surau juga datang berziarah dan mengadakan tahlil untuk Tok. Terima kasih Ira, Mak Bee dan bibik mereka yang menyediakan makanan dan minuman untuk malam tersebut. Begitu juga untuk sarapan keesokan paginya; Ira sekali lagi menyumbang. Ustazah juga tidak ketinggalan menyediakan nasi goreng dan teh tarik untuk kami semua. Paktam turut menyedekahkan roti canai untuk kami. "Tumpang kenduri" katanya. Alhamdulillah. 

Selepas solat Subuh sekali lagi jemaah surau datang mengadakan tahlil. Kali ni diketuai oleh Ustaz Syed sendiri dengan ditemani oleh Pengerusi surau. Rombongan kali ni lebih ramai alhamdulillah. Seronok tengok 'bahagian' Tok. 

Ramai saudara mara di kampung yang terkilan kerana tak dapat hadir. Tapi terpaksa akur kerana tak semua diberi kebenaran merentas negeri kecuali ahli keluarga terdekat seperti anak atau cucu. Ummi tahu mereka tetap mendoakan Tok dari jauh. Ada juga saudara yang tak pernah Ummi ketemu muncul di masjid. Yang tak sempat datang juga mengucapkan takziah melalui panggilan telefon dan mesej. 

Terima kasih adik beradik dan anak-anak saudara Ummi kerana memudahkan urusan akhir Tok. Alhamdulillah cucu-cucu perempuan Tok bersama Ummi, Makngah dan Makcik sama-sama berpeluang memandikan jenazah Tok. Walaupun masing-masing tiada pengalaman tapi peluang terakhir kami untuk berbakti pada Tok menjadi memori indah buat kami semua. 

Cucu-cucu lelaki Tok pula bersama Walid menjadi tulang belakang sewaktu upacara pengebumian. Alhamdulillah masing-masing diberi rezeki untuk berbakti kepada Tok. 

Maksu sayang semua ❤️

Setinggi penghargaan juga, kepada pihak maajid yang membantu melancarkan pengurusan jebazah Tok. Dengan izin Allah segala urusan akhir Tok dipermudahkan alhamdulillah. 


Walaupun tiba selepas semua urusan akhir Tok disempurnakan tapi kehadiran Tok Umi dan Tok Ayah dari kampung sangat dihargai. Mengubat hati Abang dan adik-adiknya. Lain macam nampak mesranya depa dengan Tok Ayah kali ni 😊 Moga kedua-duanya diberi kesihatan yang baik selalu. Dapatlah cucu-cucu bermanja. 


Buat Walid, hanya doa yang mampu Ummi hadiahkan agar hidup dan kehidupan Walid diberkati Allah selalu dan sentiasa dalam lindungan-Nya. Tak mampu Ummi nak balas jasa Walid mengizinkan Tok tinggal bersama kami, menyara Tok, menyantuni Tok dan sentiasa bermanis muka dengan Tok. Malah tak terhitung banyaknya budi dan pengorban Walid terhadap Tok. Adakalanya Ummi terpaksa dahulukan Tok, lebihkan Tok... Tatkala Ummi rasa 'down', penat, stress Walid lah pemberi semangat untuk Ummi. "Sabaq banyak-banyak..." katanya selalu. Alhamdulillah Walid sangat memahami dan mengizinkan Ummi terus berbakti kepada Tok. Tok pun tak putus-putus menyebut dan memuji kebaikan Walid. Hingga ke saat akhir nama Walid disebut berkali-kali... Kadang tu cemburu juga Ummi 😅  ❤️جزک الله خير الجزء

Imamku 😍

Doa Ummi agar Allah izinkan kami diberi peluang untuk berbakti kepada Tok Umi dan Tok Ayah pula. Moga ada rezeki kami dapat menatap wajah mereka setiap hari harapnya. Aamiin. 

Terima kasih Allah kerana memberi peluang kepada kami untuk menyempurnakan sebaik mungkin urusan akhir Mak.
 الحمدلله على کل حال 

Friday, 20 November 2020

Diari Tok ~ Tok pergi jua 😭😭😭 (M3)

Hospital Selayang, 9/11/2020 (Selasa) 

Hari ni hari ketiga Tok berada di 'rumah baru'. Masih bersedih dengan pemergian mengejut Abah Kaklong, Tok pula menyusul selang sehari. Tok dijemput pulang sejurus sebelum azan Maghrib berkumandang pada 2 Rabiul Akhir 1442H bersamaan 17 November 2020 (Selasa). Sehabis helaan nafas Tok yang terakhir, kedengaran azan Maghrib. Hujan pula turun mencurah-curah mengiringi kepulangan seorang hamba kepada Pencipta-Nya. 


Sekitar jam 10 pagi Tok minta Abang & Angah bacakan Yasin untuk Tok. Kemudian Tok minta panggilkan Ustazah, jiran kami. Katanya nak bermaaf-maafan dengan Ustazah. Bila Ustazah datang, Tok minta Ustazah tolong bacakan Yasin juga. Masa ni Tok nampak gelisah, sekejap pusing ke kiri, sekejap ke kanan serba tak kena. Adu Tok pada Ustazah "Makcik rasa lenguh seluruh badan... Rasa nak tercabut segala sendi..." 😭😭😭 Ustazah minta Ummi ambilkan air zamzam dan sapu pada badan, dada, muka dan kepala Tok. Sambil-sambil tu kami terus baca Yasin sambil urut dan usap Tok. Ummi juga buatkan susu dikisar bersama kurma untuk Tok minum memandangkan Tok masih belum makan/minum. Tak berselera katanya. 

Begitulah keadaan Tok sepanjang hari. Sekejap tidur sekejap jaga. Minta diurut dan dipicit badannya. Sekejap-sekejap Tok tanya mana Walid... Kebetulan hari tu giliran Walid masuk office. Tok juga minta Ummi telefon Abang Anas, cucu kesayangan Tok yang dibela sejak berusia 6 bulan. "Habis kerja Anas pi" katanya. 

Lepas Asar, Tok minta Ummi jangan tinggalkan dia. Ummi setia disamping Tok sambil tangannya sesekali memaut erat tangan, peha, badan Ummi... Sesekali buka mata ditenungnya Ummi 😭😭😭

Usai solat Asar petang tu, mencurah-curah air mata Ummi tumpah di tikar sejadah. Ummi merayu agar Allah permudahkan segala urusan Tok. Kalau kesembuhan lebih baik, mohon Allah sembuhkan. Jika sebaliknya, Ummi mohon Allah mudahkan. Seharian menemani Tok, jujurnya mula timbul bibit letih dalam diri Ummi. Ummi mohon Allah lindungi Ummi jangan sampai Ummi menyinggung atau menyakiti Tok dek keletihan dan kegusaran. Siapa tidak susah hati, tengok keadaan Tok sebegitu. Walaubagaimanapun Ummi redha jika Allah 'ambil' Tok, andai itu yang lebih baik. Seandainya keadaan Tok tidak berubah, Ummi dah plan nak bawa ke hospital. Biar Tok dirawat dengan sempurna sebab Ummi cuma mampu urut dan picit Tok saja. 

Sambil-sambil temankan Tok, Ummi ambil Yasin. Di hujung-hujung bacaan Ummi nampak Tok makin senyap. Selalunya kalau lega gelisahnya, Tok akan tidur secara mengiring. Lebih selesa begitu untuk Tok bernafas. Ummi ajar Tok mengucap, berselang-seli dengan habiskan bacaan Yasin, sambil minta ampun dengan Tok... Sempat juga Ummi sapukan air zamzam pada betis Tok. Makin lama Tok makin lesu... Tok tercungap-cungap tapi dalam keadaan yang tenang... Dalam masa yang sama, Walid sampai. Ummi panggil, Ummi goncang badan Tok takde reaksi. Ummi minta Abang panggilkan Ustazah, Walid pula kelam kabut telefon ambulan. Azan Maghrib berkumandang, hujan mula turun, Abang Anas sampai... Semuanya hampir serentak. Akhirnya, Tok disahkan meninggal pada jam 7.38 malam oleh pasukan perubatan Hospital Selayang. Alhamdulillah Tok pergi dalam keadaan yang mudah. Tercapai hajat Tok untuk meninggal di rumah. 

Gambar terakhir Tok bersama cucu-cucu kesayangannya. Sempat Tok usap seorang demi seorang  tangan anak-anak Ummi sebelum pergi. 

Rumah baru Tok. Cantik kawasannya... Indah, tenang dan lapang. Moga di dalamnya (kubur) juga tenang, lapang dan damai buat Tok. 


Berehatlah Mak... Berbahagialah di sana bersama Abang Cik. Tok pun dah rindu sangat dengan Pakcik... Berselang sekitar 10 bulan, kini dua insan paling Ummi sayang dijemput pulang. Peritnya hati hanya Dia yang tahu. Namun, Dia juga Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita. Pasti ada hikmah dan kemanisan di sebalik ujian ini. Semuanya hanya dalam pengetahuan-Nya. Moga Ummi terus diberi kekuatan dan kesabaran. 

Al Fatihah untuk bonda tersayang; 
ROMLAH BINTI JAH. 
(10/10/1939 - 17/11/2020) 







Tuesday, 10 November 2020

Diari Tok ~ Dari Klinik ke Hospital (M2)

Alhamdulillah masuk hari ke-10 Tok dah sihat. Sihat cara dialah; boleh bangun ke sana sini, kembali berselera bila makan dan melakukan rutinnya. Antara rutin harian Tok ialah bersantai di beranda, bermain dengan cucu-cucu dan beli roti atau aiskrim dari 'babu'. Tidur malam pun dan lena macam biasa. 

Tapi, 2-3 hari lepas tu Tok ada bagitau ada bengkak di salah satu body part dia. Sebelum ni bengkak di kaki (bengkak air) dah mula surut. Ini sebelum tak sihat tempohari lagi. Dah ke klinik dah pun. Bengkak di tempat baru ni makin hari makin besar.

Bila ke klinik (9/11/2020) , Doc terus buat surat rujuk ke hospital. Kata Dr Jothi "I tak pernah jumpa kes bengkak (sebab masalah kidney) dekat tempat ni (sambil tunjuk tempat bengkak). Tok seboleh mungkin dari dulu lagi taknak ke hospital. Kalau setakat follow up ok tapi Tok risau dan taknak kena warded. Di pihak Ummi pun ada kekangan jugalah kalau Tok masuk wad; urusan penjagaan anak-anak, logistik dsbnya. Tapi, dalam masa yang masa yang sama Ummi fikir its time untuk bawa Tok ke hospital. Asyik ke klinik je, tak lega-lega juga. Sepatutnya Tok ada follow up appointment di Hospital Batu Gajah bulan 4 dengan Pakcik :( Ditambah pula dengan PKP bulan 3 hari tu, dah tertangguh. Sementelah Tok pun sihat so we took things for granted.


Jadi, kami ke Hospital Selayang. Bila diperiksa oleh Doc, punca bengkak kerana pengambilan air melebihi had. Bagi pesakit buah pinggang kronik macam Tok, had pengambilan air ialah 500ml sehari. Dan air tu meliputi segala cecair yang masuk ke badan melalui makanan atau minuman; air, kuah sayur, sup dsbnya. Selama ni Ummi ingat jumlah air yang diminum saja. Susah juga sebenarnya nak kawal sebab Tok suka minum. Pagi kopi,, petang nanti susu ke teh ke cicah dengan biskut/roti kering. Ummi nak larang sangat pun kesian... Orang tua kan. Bilik Tok pun dekat dengan dapur, anytime boleh buat air haha... Tapi nak kena strict sikitlah sebab jika tidak dikawal akan menyebabkan bengkak berterusan, berlarutan di bahagian lain dan paling bahaya jika air masuk ke paru-paru. Boleh menyebabkan sesak nafas. 

Doc suggested to flush out air dengan masukkan ubat (drip). Tapi, prosedurnya lama... Kena ambil darah, X-ray dsbnya... All in +-5 hrs and likely to be warded for monitoring. Option kedua ialah ambil ubat setiap hari untuk lawas kencing. Walaupun cara pertama lebih cepat kesannya tapi kami pilih cara kedua. Tok nak makan ubat dulu...  Doc pun tak paksa sebab secara keseluruhan (dari pengamatannya) Tok sihat, boleh berjalan, gelak, makan... 

Kita ikhtiar dulu... Moga Tok terus sihat dan kami sekeluarga diberi kemudahan oleh-Nya selalu terutama dalam urusan Tok ni. Aamiin. 



Saturday, 31 October 2020

Diari Tok ~ Minggu 1

31/10/2020 genap seminggu Tok jatuh sakit. Keadaannya tak banyak berubah. Adakalanya boleh duduk bersembang, adakalanya hanya terbaring kelesuan.

Asal kejadian pada 25/10/2020 tempohari pun elok lepas sarapan tiba-tiba pening katanya. Terpaksa diurut dada dan belakangnya kerana sukar bernafas. Kemudian Tok muntah-muntah dan pening. Sebelah malam pula Tok kejutkan kami sekitar jam 1 pagi. Sekali lagi Tok sesak nafas. Tok minta kami bacakan Yasin untuknya 😭 Malam kedua pun sama, sukar bernafas tapi sekejap saja. Malam-malam seterusnya Tok tidur lena alhamdulillah. 

Tadi pula Tok duduk berehat di sofa. Bangun hendak ke bilik, hampir terjatuh mujur sempat dipegang Angah. Pantas Ummi sambut tangannya takut terjatuh. Tapi itulah Tok. Bila rasa sihat sikit, suka bergerak sana sini. Yang paling risau bila Tok ke bilik air. Tapi, hari ni Tok mula pakai lampin dewasa. Makan minum pun dalam biliknya sahaja. 

Ummi dan anak-anak pun dah seminggu jugalah 'berkampung' di tingkat bawah, siang malam... Tak berani tinggalkan Tok berseorangan. Setiap malam bila terjaga dari tidur, Ummi akan intai Tok di biliknya. Bila nampak ada gerakan badan Tok atau helaan nafasnya baru Ummi sambung tidur semula. Ummi risau  :(

Kepada keluarga dan sanak saudara di kampung pun dah dimaklumkan akan keadaan Tok. Selalunya Tok tak sihat sehari dua je tapi kali ni berlarutan hingga seminggu.

Alhamdulillah pagi ni Tok boleh bangun, ke bilik air bersihkan diri dan ambil wudhuk. Moga Tok terus sihat. Jika sebaliknya, Ummi mohon dipermudahkan segalanya untuk Tok dan kami semua. 

Credit source. 

Terima kasih banyak atas doa semua 💐