Showing posts with label Pakcik. Show all posts
Showing posts with label Pakcik. Show all posts

Saturday, 15 January 2022

Majlis Tahlil & Doa Selamat

11/1 birthday Ayel, 26/1 Pakcik meninggal. Jadi, majlis tahlil untuk arwah Pakcik dan doa selamat untuk Ayel digabungkan sekali. Alhamdulillah, kami diberi rezeki untuk menghadiri majlis ni. Kami pun dah 2 tahun tak ke rumah Makcik, dek PKP. Jumpa depa di Pelita Nasi Kandar Juru masa balik kampung hari tu sekejap sangat, tak sempat nak sembang lama

Sempat kami joined majlis tahlil yang diadakan sejurus kami sampai. Kemudian sesi makan-makan... 

Packed food. Ini barulah nasi hujan panas 😉

Pelbagai jenis kuih muih dan dessert... Ummi bawa cream puff tu 👆

Makcik ordered MB  Kiddy Meals... Arwah Pakcik kan orang kuat Marry Brown :) 

  
Botol air comel-comel... 
MB ni banyak tau goodies/toys yang menarik for kids. Masa arwah ada dulu selalulah anak4 Ummi dapat tabung, lunch box etc ...

Dah kenduri di rumah pakcik sendiri, buat macam rumah sendirilah depa :p Panas lit-lit pun depa bantai main :D 

Ayel suka sangat Abg Fawwaz buatkan helicopter Lego untuk dia... Belum siap sepenuhnya kata Abang... Next time sambung hehe... 

Alhamdulillah ukhuwah kami masih utuh walaupun hampir 2 tahun arwah pergi selamanya. Moga berkekalan hendaknya aamin 🌹

Tuesday, 26 January 2021

Genap setahun.

Masih segar di ingatan dan masih basah air mata ini setiap kali mengimbau kembali kejadian setahun lalu.

Moga kami terus kuat.. Moga diberi kesabaran dan moga beroleh ganjaran yang dijanjikan. أمين 



Monday, 10 February 2020

Al Fatihah ~ Abam Bocey



Terperanjat dan seakan tak percaya. Itulah reaksi Ummi bila mendapat perkhabaran akan pemergian artis lawak popular, Abam Bocey semalam.

Credit: BH 

Lebih memeranjatkan Ummi, sebelah paginya Ummi masih dengar suara Abam di radio Zayan. Baca status Ummi di bawah.. 


Walaupun tidak mengenali arwah secara peribadi tapi pemergian beliau secara tiba-tiba tidak dapat tidak mengingatkan Ummi kepada pemergian Pakcik genap 16 hari semalam. Selain berdukacita pastinya perasaan terkejut tetap mengganggu perasaan. Didoakan agar keluarga arwah Abam tabah dan redha dengan ujian ini. Siapa kita untuk menolak mahu pun mengubah suratan takdir yang telah tertulis di Luth Mahfuz.

Jalan sesak menuju ke Masjid Gombak Utara, singgahan terakhir sebelum arwah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kg Sg Pusu. 


Dulu, arwah Tok Wan pergi dalam keadaan sakit. Keluar masuk hospital sudah jadi perkara rutin. Menjelang sambutan Tahun Baru Cina 2001, arwah sekali lagi dimasukkan ke hospital. Dan itulah kali terakhir untuk arwah. Bila dapat berita duka tersebut pastinya Ummi menangis dan bersedih. Tapi dalam situasi arwah selalu keluar masuk hospital, sedikit sebanyak Ummi bersedia menghadapi segala kemungkinan. Berbeza dengan Pakcik. Ummi bukan setakat menangis tapi terkejut yang amat sangat. Perginya secara tiba-tiba, dalam keadaan yang kami tidak pernah bersedia untuk kehilangannya. Tapi akhirnya sebagai orang beriman, kita tetap akur dan redha dengan ketetapan-Nya. Bila tiba ajal kita, tidak dipercepatkan mahu pun dilewatkan hatta sesaat pun.

Salam takziah buat seluruh keluarga arwah, sanak saudara dan rakan taulan arwah. Kehilangan ini pasti diratapi. Tutur kata, senyuman dan telatah arwah pasti sentiasa dirindui. Moga arwah ditempatkan di kalangan para solehin. Aamiin.

Credit source.

Saturday, 1 February 2020

Dah 7 hari...


Hari ni hari ke-7 arwah tinggalkan kami. Hari ni barulah ada kesempatan (dan kekuatan) untuk Ummi jenguk FB arwah. Tribute posts dari rakan-rakan arwah sangat mengharukan. Masing-masing menzahirkan rasa sedih, pilu dan sayang kepada arwah. You are terribly missed Abg Cik.

Tq Yang ❤️

Alhamdulillah keluarga arwah pun nampaknya kuat. Bila Ummi call Makcik, suaranya ceria macam biasa je. Boleh je kami bergelak ketawa, bergurau senda. Masing-masing nak ubati luka dihati, terpaksalah cover kesedihan. Kalau seorang dah start menangis, sorang lagi pastilah menangis sama. Dah banyak kali kami menangis bersama setiap kali berbicara tentang arwah.

Anak-anak arwah alhamdulillah strong kedua-duanya. Mungkin masih terlalu kecil untuk memahami takdir Ilahi. Tapi syukur, keduanya tidaklah buat perangai dsbnya lepas Papa takde. Sehari selepas arwah dikebumikan, mereka berdua bersekolah seperti biasa. Saja tak nak tukar rutin harian mereka. Daniel kuat sangat bila bagitau kawan-kawan sekolahnya "Papa saya dah takde..." Maksu pula yang menangis bila Mama cerita Daniel ooi...

Ummi? Masih terkenangkan arwah di setiap saat. Air mata ni masih belum kering :( Tengah memasak, sidai kain, gosok baju, driving, lepas solat, tak kira masa bila teringat arwah laju je air mata ni merembes. Situasi yang sana Ummi lalui saat kehilangan Tok Wan hampir 20 tahun lepas. Memang ambil masa untuk lupakan kesedihan ni. Maklumlah ahli keluarga kita kan...

Tapi secara luaran Ummi OK. Teruskan hidup macam biasa. Tambahan pula, Ummi kena jaga perasan Tok. Tak boleh tunjuk sedih depan Tok. Tok memang sangat terkesan dengan pemergian Pakcik secara mengejut ni jadi Ummi kenalah tenangkan Tok. Walaupun Tok nampak kuat tapi kita tahulah Tok sedih. Siapa sangka, Pakcik yang pergi dulu.. Anak kesayangan pula tu... 

Khabarnya di Ipoh Makcik buat kenduri tahlil hari ni. Ummi pula goreng mee dan hantar ke surau.  Moga sampailah pahala sedekah Ummi ni untuk Pakcik di sana.

Angah tukang hantar. Abang takde di rumah, ada kem motivasi. 

Allahu, rindunya...


Tuesday, 28 January 2020

Dari-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali...


Lembaran ke-26, Bab 1, Hikayat 2020 (Ahad) / 1 Jamadil Akhir 1441H


Pagi tu arwah keluar rumah seperti biasa. Kali ini destinasinya ke Gong Badak, Terengganu. Menjadi rutin arwah sebagai Regional Manager bagi Kelantan, Terengganu & Perak untuk berulang-alik di ketiga-tiga negeri ini. Biasanya selang 2 minggu sekali arwah akan keluar samada ke Kelantan atau Terengganu selain tugasan harian di Perak. Adakalanya arwah memandu kereta, tapi kebanyakan masanya beliau akan menunggang motorsikal kesayangannya, Si Tiger. Jika diimbas kembali, arwah memang banyak menghabiskan masa di atas jalan, sedari muda arwah suka mengembara.

Si Tiger, peneman setia arwah.
Moga kau jadi saksi arwah terkorban dalam musafir untuk menyara keluarga. 

Dikhabarkan sekitar jam 10 pagi arwah memintas  sebuah konvoi 4 kereta yang dalam perjalanan untuk ke sebuah majlis perkahwinan. Ditakdirkan, sejam kemudian rombongan inilah yang menemui arwah terbaring tidak bergerak di atas jalan, dihempap Si Tiger. Bagaimana, bila ianya terjadi, hanya Dia yang Maha Mengetahui.


Terima kasih dik, kerana post yang viral ni kami dapat gambaran kejadian, dapat lihat apa yang terjadi kepada arwah. Ianya membuatkan kami percaya bahawa arwah telah ditimpa musibah, telah dijemput kembali kepada Pencipta-Nya. Kerana post ini juga berita kematian arwah diketahui oleh rakan taulan, sahabat handai jauh dan dekat. Moga Allah membalas jasa adik sekeluarga. Begitu juga kepada geng motor dari Kelantan yang kebetulan lalu dan menemani arwah sehingga pihak berkuasa dan pasukan perubatan tiba. Moga kebaikan hati kalian akan menyelamatkan kalian dari musibah seperti yang dialami arwah.

Jauh di tengah hutan Hulu Terengganu ajal arwah. 

 Terima kasih Insp Syukri dari Balai Polis Hulu Terengganu yang menguruskan kes serta Dr Hafifi dari Hospital Besar Hulu Terengganu yang mengendalikan post mortem untuk arwah. Terima kasih kepada keduanya kerana membenarkan mayat arwah dituntut oleh rakan sekerjanya dan memahami  bahawa jarak perjalanan yang jauh dari Ipoh ke Hulu Terengganu akan melambatkan urusan akhir arwah. Terima kasih Suzy, rakan sekerja arwah yang sanggup menggalas amanah sebagai wakil keluarga dalam membuat pengecaman jenazah, menuntut jenazah dan menguruskan segala urusan berkaitan kes arwah di tempat kejadian. Pastinya ia menuntut komitmen dan kekuatan yang besar. Juga kerana kesanggupan Suzy dan kawan-kawan mengiringi van jenazah dari Hulu Terengganu ke Ipoh sebagai syarat pelepasan jenazah. Pastinya perjalanan dari jam 9.00 malam hingga 5.00 pagi tersebut adalah perjalanan yang panjang, sarat dengan emosi. Jazakallahu khairal jazak.


Semalam, sekitar jam 10 pagi telah sempurna urusan akhir arwah. Selamat disemadikan di sebuah tanah perkuburan di Lahat. Melihat kehadiran ramai sahabat handai dan rakan taulan, tahulah kami arwah sangat disenangi dan disayangi ramai. Terima kasih Sdr Wazi Abdul Hamid, lagenda motor negara yang sudi hadir ke perkuburan, rakan-rakan dari Perak Bikers Club, rakan-rakan alumni SMS Sultan Muhammad Jiwa, alumni UiTM, bekas rakan sekerja, rakan-rakan sekerja dan kakitangan Marry Brown juga saudara mara jauh dan dekat. Terima kasih kerana berkongsi kesedihan. 

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. 

Khusus untuk kakitangan Marry Brown, terima kasih atas kasih sayang yang ditunjukkan. Terima kasih kerana menguruskan jenazah dari awal hingga akhir. Thank you so much Pn Halina & team. Khas untuk Ku dan isteri, Diana jasa kalian akan kami kenang selamanya. Terima kasih kerana bertindak sebagai pendamping, peneman setia kepada balu arwah. Terima kasih Ku kerana menjadi sebagai perantara antara keluarga, pihak berkuasa dan pihak Marry Brown. Dari arwah hidup hingga arwah tiada, Ku setia sebagai orang kanan arwah. Terima kasih.

Terima kasih Pit, rakan sekerja arwah sewaktu di Cinta Sayang dan kemudian bersama di Marry Brown. Susuk tenang ini nampak sangat sedih, berdiri setia di tepi perbaringan arwah. Saat beliau mengucup pipi arwah, mengalir air mata ini. Bertuah arwah memiliki sahabat sesetia ini. Terima kasih kerana menemani anak-anak arwah di dalam van jenazah, saat arwah dibawa ke kubur. Terima kasih segalanya. Jazakallahu khairal jazak.

Akhirnya, buat saudara mara jauh dekat. Kalian telah memaknai sebuah ikatan yang dinamakan sebuah keluarga. Walau kita jauh dari segi jarak dan suasana, saat hiba begini kita kongsi bersama. Kehadiran dan sokongan kalian meringankan beban kami. Terima kasih kepada saudara mara, sahabat-sahabat yang bertanya khabar, mengutus takziah dan doa. Kami amat menghargainya.

Syukur ya Allah, atas segala kemudahan yang diberikan dari awal hingga akhir urusan. Cantik aturan-Mu. Arwah dijemput pulang pada hari Ahad (cuti hujung minggu) yang bersambung pula dengan cuti umum Tahun Baru Cina (Isnin) memudahkan urusan semua. Yang dalam perjalanan dari kampung di Kedah dapat singgah menziarahi arwah. Yang tinggal di Lembah Klang juga ada cukup masa untuk turun ke Ipoh. Semasa hidup, arwah sentiasa memudahkan urusan orang. Alhamdulillah hari akhirnya dipermudahkan pula oleh-Nya.

Ya Allah! Berilah kami kekuatan, kesabaran dan kemudahan untuk menghadapi hari-hari mendatang tanpa arwah.

"You look like him. Exactly!" kata rakan arwah.

"Ye, sebab arwah Abang saya"
😭😭😭

Al fatihah untuk arwah Pakcik.