Oleh Saifuddin Abdullah
DALAM tempoh dua minggu ini, terdapat dua program penting melibatkan mahasiswa Islam.Pertama, pelancaran Kelab Dewan Amal Islami (DAMAI), Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Julai lalu.
Program kedua ialah Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-teras Kenegaraan 2009 anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 8 Ogos ini. Ia dianjurkan sempena Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) PKPIM Ke-48 dan pelancaran buku PKPIM, Sejarah dan Perjuangan Lima Dasawarsa (1961-2011).
Kelab Damai IPTA ialah program terbaru DAMAI yang diperbadankan pada 2006. DAMAI ialah sebuah organisasi masyarakat sivil Islam. Ia bertujuan mengukuhkan persefahaman dan meningkatkan kerjasama gerakan Islam melalui satu gagasan bagi mencapai matlamat kecemerlangan semua bidang dan aktiviti dalam lingkungan syariah.
Kelab Damai IPTA berfungsi sebagai perantara persatuan Islam di kampus dengan penyaluran bantuan dan sokongan untuk aktivitinya. Ia berperanan merapatkan kerjasama dengan agensi kerajaan bagi membantu memperkasa persatuan-persatuan tersebut.
Penubuhan kelab ini selaras dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2009 apabila mahasiswa dibenarkan bergabung dengan organisasi luar kampus. Bagi PKPIM – yang hampir terkubur akibat pindaan AUKU (1975) – program MPAT kembali memungkinkan mahasiswa Islam menghadirinya.
Pindaan AUKU (2009) kelihatan menjanjikan gerakan mahasiswa Islam yang makin rancak. Tetapi adakah kerancakan itu akan menyamai atau mengatasi zaman keemasan gerakan mahasiswa era 1960-an hingga 1974? Adakah ia akan menandingi kerancakan ketika melonjaknya era dakwah kampus mulai 1970-an? Atau, adakah ia akan menghasilkan sesuatu yang baru? Hanya gerakan mahasiswa Islam yang ada jawapannya.
Jika menggunakan istilah “pelajar Islam”, maka gerakan pelajar Islam di Malaysia bermula pada 1900-an. Ia ditandai oleh beberapa tokoh pelajar seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh al-Hadi, Syed Salim al-Kalali dan Abas Mohamad yang pulang dari menuntut di Asia Barat. Mereka dipengaruhi pemikiran Syed Jamaluddin al-Afghani dan Muhamad Abduh, yang memulakan gerakan keilmuan Islam ke arah pembangunan sosioekonomi, iaitu gerakan reformis-agama yang terawal.
Tetapi, jika menggunakan istilah “mahasiswa Islam”, tanda permulaan misalnya boleh merujuk kepada peranan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), yang antara sumbangan awalnya ialah mendesak kerajaan membina masjid berhampiran kampus tersebut.
Ini diikuti dengan penubuhan PKPIM di Asrama Kedua UM pada 1961. Tujuan asalnya ialah menggabungkan semua persatuan pelajar Islam selain menjadi wakil tunggal pelajar Islam negara ini dengan persatuan pelajar Islam luar negara.
PKPIM ditubuhkan kerana merasakan dua buah pertubuhan pelajar peringkat kebangsaan yang sedia wujud ketika itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) tidak dapat mewakili sepenuhnya kepentingan mahasiswa dan pelajar Islam.
Ketiga-tiga persatuan mahasiswa dan pelajar di peringkat kebangsaan ini menjadi sebahagian gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM), iaitu badan induk bagi gerakan belia.
Sedekad selepas penubuhannya, iaitu pada 1971, PKPIM bersama-sama dengan PMIUM dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), menjadi pelopor program Gerakan Kempen Kesedaran (GKK). Ia untuk menimbulkan kesedaran mahasiswa dan pelajar, membantu usaha menggalakkan masyarakat desa supaya dapat menikmati pembangunan negara dan menyampaikan dakwah serta menekankan keperluan perubahan sikap sesuai dengan tuntutan masa.
Pada tahun yang sama, PKPIM menganjurkan seminar yang mencadangkan penubuhan sebuah universiti Islam. Seminar itu berlangsung di Dewan Al-Malik Faisal, Petaling Jaya, yang kemudiannya menjadi dewan besar Kampus Sementara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) apabila ditubuhkan kira-kira sedekad kemudian.
Apabila AUKU dipinda pada 1975, PKPIM bingkas menentangnya, dan sehinggalah AUKU dipinda pada 2009, ia merupakan pertubuhan pelajar paling lama dan konsisten perjuangannya berhubung AUKU. Mutakhir, dasar kerajaan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan pada bulan Julai lalu, antara lain, terdapat ‘saham’ PKPIM di dalamnya.
Namun, sumbangan terpenting ialah penyuburan program dakwah dan tarbiah serta tradisi intelektual Islam di kalangan mahasiswa.
Menjelang dekad kelima kewujudannya, Presidennya, Mohd Hilmi Ramli berkata, kongres pada Sabtu ini bertujuan memberi makna dan kefahaman jelas akan teras-teras kenegaraan dalam mendepani isu-isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia. Ia juga untuk merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan lebih baik untuk seluruh rakyat.
Kongres ini juga ingin mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan “1Malaysia” dan gagasan “Politik Baru”.
Sejak bertugas di Kementerian Pengajian Tinggi, saya sering diajukan dengan soalan: Apakah sebenarnya teras pendekatan gerakan mahasiswa Islam – berdakwah atau berpolitik?
Saya tidak pasti apakah soalan ini sebagai mengimbau frasa yang dipopularkan bekas Ketua Dewan Dakwah Indonesia, Allahyarham Mohammad Natsir, “berdakwah di jalur politik, berpolitik di jalur dakwah”, atau dibuat atas niat lain.
Pada saya, umumnya gerakan mahasiswa Islam kita adalah berteraskan dakwah dan tarbiah. Ada yang turut membicara dan menyuarakan soal-soal politik. Dalam hal ini, kita perlu menganalisisnya dengan kebenaran dan keadilan.
Sebagai contoh, ia tidak bertentangan dengan AUKU (2009). Kita juga tidak mahu jika ia langsung tidak mempedulikan politik. Begitu juga, ada perbezaan antara suara politik kepartian dengan politik non-partisan.
Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita mengehakupayakan gerakan mahasiswa Islam dalam memenuhi makna ayat al-Qur‘an: “Sesungguhnya mereka itu orangorang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk” (Al-Kahfi: 13)
DATUK SAIFUDDIN ABDULLAH ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.
Gratisan Musik