Thursday, April 30, 2015

Kari dan Sembilang Goreng Garing di Kedai Kopi Kari Sembilang Matang














Kari dan Sembilang Goreng Garing di Kedai Kopi Kari Sembilang Matang

Bulan ini sudah dua kali saya menjamu selera di Kedai Kopi Kari Sembilang Matang, bersetentangan Pasar Matang ini. Pertama kali awal bulan April, dibawa (diperkenalkan) oleh kenalan baru saya di Matang ini. Hari ini pula saya bawa orang rumah saya seorang itu dan anak lelaki saya seorang itu untuk memberi peluang mereka pula mencuba menu Sembilang di sini. Sudah menjadi kebiasaan saya, tempat yang saya pernah kunjungi tanpa mereka berdua, pasti akan ada kunjungan lagi dengan mereka berdua.

Saya menempah (Pak Ya Roy 017 570 5134) untuk makan tengahari pada pukul 1.00pm. Kami terawal setengah jam yang membolehkan kami mengunjungi Pasar Matang untuk membeli Ikan dan Udang.

Di sini juga tersedia menu yang sudah siap dimasak tetapi untuk merasa masakan panas, pelanggan disaran untuk mengordernya terlebih dahulu untuk mengelakkan masa menunggu yang panjang.

Kami order tiga ekor Sembilang Kari dan tiga ekor Sembilang Goreng. Special order  Sembilang size sederhana dengan Kari potong dua. Manakala untuk digoreng juga size sederhana dan mestilah garing dengan potongan kecil-kecil.

Untuk makluman, pelanggan juga boleh memilih setengah ekor Sembilang sama ada bahagian Kepala atau Ekor.

Secara jujur, saya kurang mengemari bahagian Kepala terutama menu Kari. Tetapi itu adalah kesukaan isteri saya. Saya lebih suka bahagian Ekor dan Kuah Kari yang pekat tanpa santan ini.

Untuk menu Goreng, memang menjadi ratahan kami bertiga.

Enam ekor untuk kami tiga beranak memang tidak habis dimakan. Malah kami memang bawa tupperware untuk dibungkus bawa pulang. Satu tupperware untuk kami makan malam nanti. Satu tupperware untuk Mak dan satu tupperware lagi untuk adik ipar.

Posting sebelum ini di sini.

http://orangkecilorangbesar.blogspot,com/

Tuesday, April 28, 2015

Mengenang Budi bukannya Berbudi, Ruangan Mereppak Joharddy Ibrahim, MM 19 April 2015


Mengenang Budi bukannya Berbudi, Ruangan Mereppak Joharddy Ibrahim, MM 19 April 2015

Saya adalah pengikut (follower?) ruangan Mereppak (merepek?)  tulisan Joharddy Ibrahim di Mingguan Malaysia setiap hari Ahad ini. Bagaimanapun kebelakangan ini bagaikan terasa kekurangan asam-garamnya tulisan Joharddy, wartawan kesukaan saya ini. Adakah disebabkan “kemasinan” GST menyebabkan tawarnya hasil tulisan beliau?

Dari Mac hingga penghujung April 2015, saya rasa tulisannya pada MM 19 April 2015 ada sedikit tarikan kepada saya untuk mengikutinya semula.

Tetapi saya kurang bersetuju dengan tajuknya. Sepatutnya (pada pandangan peribadi saya), tajuk itu diberi tajuk Mengenang Budi bukannya Berbudi!

Bukan tajuk yang saya hendak ulas hari ini tetapi isi kandungannya yang mirip pesanan bapa saya semasa hendak mula melangkah ke alam pekerjaan sekitar pertengahan tahun 80an dahulu.

Bapa berpesan ringkas sahaja. Kalau hendak orang menghormati kita, kita hendaklah menghormati orang itu terlebih dahulu. Hormati empat orang ini dan pekerjaan engkau akan menjadi senang.

Itulah pesanan bapa saya. Siapa empat orang itu? Bukan majikan atau boss di syarikat. Jauh sekali penyelia di tempat kerja.

Empat orang itu adalah (mengikut hirarki) pertama; Pengawal Keselamatan; kedua Tukang Masak; ketiga Pekerja Kaunter Setor; dan keempat Kerani Gaji.

Bapa berpesan berdasarkan pengalamannya di dalam askar. Ada yang masih relevan pesanannya hingga ke hari ini dan ada yang tidak relevan. Saya sudah beberapa kali menulis tentang pesanan bapa ini di dalam blog Orangkecilorangbesar saya.

Bagaimana hendak menghormati Pengawal Keselamatan atau sering digelar jaga ini?

Selain dari menzahirkan rasa hormat secara fizikal dan berbahasa, bapa juga berpesan kenanglah budi mereka sekali-sekala.

Bapa mengajar saya kalau bekerja masuk syif malam, bawalah Teh Tarik tiga, empat bungkus kepada semua pertugas di Bilik Kawalan dan juga anggota yang meronda. Kalau ada rezeki lebih, bawahlah Roti Canai atau Karipap untuk dikawankan dengan Teh Tarik ini.

Jangan lupa selepas Solat Aidilfitri atau Aidiladha, bawalah Lemang dan Rendang serta sebekas Kuih Campur-campur untuk mereka yang bertugas sewaktu perayaan ini.

Kalau ada majlis makan-makan melibatkan syarikat, curi-curilah keluar dari majlis sambil membawa sepinggan-dua juadah dari majlis.

Malah bapa juga berpesan, sekali-sekala selepas tamat waktu kerja, singgahlah menyapa dan sualah sebatang dua rokok untuk memesrakan perbualan. Ironiknya bapa tahu saya tidak merokok!

Itulah pesanan bapa yang saya amalkan sepanjang hampir 30 tahun saya dalam alam pekerjaan. Malah saya terbawa-bawa memanjangkan pesanan bapa itu menjadi amalan saya kepada posman, pembaca meter utiliti, pengangkat sampah, pekerja mesin rumput dan sebagainya di kawasan perumahan saya terutama sementelah saya menjadi surarumah sepenuh masa ketika ini. Mungkin hanya sebotol Air Mineral yang sememangnya saya menyimpan stok di rumah tetapi raut muka penerimanya bagaikan menerima juadah makan berhidang di hotel lima bintang.

Itulah pesanan saya kepada anak lelaki saya seorang itu.

Terima kasih bapa mengajar saya.

Tiga orang lagi? Bersambung ........

http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Friday, April 24, 2015

Sahur & Iftar Bersama Anak Yatim, Tafiz & Warga Emas









Sahur & Iftar Bersama Anak Yatim, Tafiz & Warga Emas

Alhamdulillah, inilah rezeki yang dikongsi bersama 4 buah rumah amal di Kamunting/Bagan Serai semalam Khamis 23 April 2015. Menu Nasi Puteh, Keli Sambal, Gulai Udang, Sayur Campur dan Tembikai ini sumbangan seorang Hamba Allah.

Program berkongsi rezeki kelolaan Komuniti Amal Taiping (KaT) ini adalah sehari dalam seminggu. Alhamdulillah KaT berjaya mendapatkan sumbangan orang ramai bermula dari awal tahun 2015 ini untuk menjayakan program ini. In sya Allah program ini akan berterusan hingga ke bulan Ramadhan di mana seperti di tahun-tahun sebelum ini KaT akan mengelolakan pula Program berkongsi Rezeki Iftar & Bersahur Sebulan Bulan Ramadhan.

Komuniti Amal Taiping (KaT) akan melancarkan Program berkongsi Rezeki Iftar & Bersahur Sebulan Bulan Ramadhan dengan empat (4) buah Rumah Anak Yatim, Tafiz dan Warga Emas. Makluman penuh akan diumumkan 1 Mei 2015 nanti. Alhamdulillah sudah ada tempahan awal untuk beberapa hari Ramadhan oleh penyumbang yang sama tahun lepas. In sya Allah, bersama-samalah kita menyambut Ramadhan tahun ini dengan beramal seberapa mampu yang boleh.

Jika ada tuan/puan yang berhajat untuk menyumbangkan/menaja makan tengahari atau makan malam atau untuk turut serta dalam program iftar/sahur nanti untuk golongan terpilih ini, sila hubungi Komuniti Amal Taiping (KaT) atau sms/whatsup 0195582626 Lukman Wan Mat Daud.

Tuan/puan juga dialu-alukan untuk menyumbang terus / berhubung terus dengan rumah-rumah kebajikan ini.

(i) Pn Ain, Kediaman Cahaya Ain Bagan Serai 016-504 9564 (15 paxs)
(ii) Pn Rozi, Rumah Nur Aaida Ekspo Kamunting 019-578 7650 (25 paxs)
(iii) En Rustam, Rumah Amirul Ain Ekspo Kamunting 014-241 0021 (15 paxs)
(iv) En Roslan, Asrama Tafiz Kpg Perwira, Kamunting 012-543 0322 (25 paxs)

Jumlah paxs termasuk pertugas.


*Komuniti Amal Taiping (KaT) adalah gabungan individu sebagai pengantaraan amal. KaT tidak mewakili dan tidak terikat dengan mana-mana rumah kebajikan, persatuan atau NGO

Wednesday, April 22, 2015

Ziarah dan Amal anak-anak yatim Kediaman Cahaya Ain, Bagan Serai






Ziarah dan Amal anak-anak yatim Kediaman Cahaya Ain, Bagan Serai

In sya Allah Komuniti Amal Taiping (Kat) akan mengelolakan Program Ziarah dan Amal anak-anak yatim Kediaman Cahaya Ain (KCA), Bagan Serai pada Ahad 3 Mei 2015.

Aturcara seperti berikut.

9.30am – Anak-anak KCA bersarapan di Warung Zul Roti Canai, Kamunting Jaya.
10.00am – Lawatan dan penyerahan sumbangan oleh anak-anak KCA kepada penghuni Rumah Warga Emas (Lelaki) Aminur Ain, Ekspo
10.30am - Lawatan dan penyerahan sumbangan oleh anak-anak KCA kepada penghuni Rumah Warga Emas (Perempuan)Nurul Aaida, Ekspo
11.00am – Bersiar-siar di Lake Garden Taiping
12.30pm - Anak-anak KCA makan tengahari di Gerai Mom’s Prison Corner, Taiping.
1.00pm – Penyerahan sumbangan disampaikan oleh KaT kepada anak-anak KCA
3.00pm – Jamuan petang di Cyber Cafe, Bangunan Kolej Komuniti Kamunting

Jika tuan/puan ingin meraikan anak-anak ini, dipelawa menyumbangkan goodies (beg kertas/plastik kecil berisi Cup Cake, Kit-Kat, Air Minuman, Buah dll) atau Kek Hari Jadi, bolehlah menyerahkan terus kepada kontingen KCA berjumlah 15 orang ini samada di Warung Zul Roti Canai, Kamunting Jaya (9.30am) atau di Gerai Mom’s Prison Corner, Taiping (12.30pm).

Untuk keterangan lanjut, hubungi penyelaras KaT, Lukman Bin Wan Mat Daud 0195582626 Whatsapp

Ribuan terima kasih kepada penaja sarapan, makan tengahari dan minum petang program ini.






Tuesday, April 21, 2015

Capati, Susu Kambing & Lempeng Syafiq Taman Mewah Kamunting
















Capati, Susu Kambing & Lempeng Syafiq Taman Mewah Kamunting

Hari ini kami sekeluarga ke Gerai Capati Syafiq Taman Mewah Kamunting semata-mata tergoda dengan posting Mempelam Telur dalam wall FB nya.

(Dua benda yang saya tak boleh elak kalau orang tag iaitu (i) buku dan (ii) makanan!)

Sementelah berkunjung ke gerainya, sudah tentu tidak melepaskan peluang untuk berjamu selera dengan Capati dan Susu Kambing.

Di samping menu biasa pilihan kami iaitu Capati Biasa dan Susu Kambing Segar, hari ini kamu mencuba juga Capati Telur dan Lempeng Gula Hangus.

Mungkin kerana sudah biasa dengan Capati, kami merasakan Lempeng Gula Hangus adalah “Menu of the Day” hari ini. Memang terbaik rasanya Lempeng Gula Hangus ini.

Apapun seperti dipesan oleh Syafiq, anak muda yang mengusahakan gerai ini dengan ayahnya (yang pernah bekerja dengan saya di kilang tayar), pastikan Capati atau Lempeng ini dimakan sebaik sahaja ia dihidang (dimasak). Dalam erti-kata lain kalau beli bungkus sudah berkurang kesedapannya.

Selepas ini nak test-try-cuba menu-menu lain pula.

Kami meninggalkan Gerai Capati Syafiq Taman Mewah Kamunting dengan bawa balik 6 botol Susu Kambing Segar dan 3 kilo Mempelam Telur.

Jenuh mencicah, menjeruk dan menyambal selepas ini.

http://orangkecilkecilorangbesar.blogspot.com/

Monday, April 20, 2015

Berkongsi rezeki dengan anak yatim, warga emas dan tafiz









Berkongsi rezeki dengan anak yatim, warga emas dan tafiz

Alhamdulillah, rezeki anak-anak yatim, tafiz dan warga emas ini. In sya Allah pada Khamis 23 Apr 2015, ada Hamba Allah yang berhasrat berkongsi rezeki dengan 4 buah rumah amal ini (Rumah Anak Yatim Kediaman Cahaya Ain Bagan Serai, Rumah Warga Emas Nur Aaida Ekspo Kamunting, Rumah Warga Aminur Ain Ekspo Kamunting dan Asrama Tafiz Nur Qaseh, Kpg Perwira, Kamunting).

Menu merupakan pilihan anak-anak yatim, tafiz dan warga emas ini sendiri berupa :-

1. Nasi Puteh
2. Ikan Keli Masak Sambal
3. Udang Masak Lemak
4. Sayur Campur
5. Buah Tembikai        

Hanya Dia sahaja yang mampu membalas sumbangan Hamba Allah ini. Semoga diberkati amalan Hamba Allah ini, dimurahkan rezeki, diperlihara kesihatan dan keselamatan serta dipermudahkan-Nya segala urusan. Amin. In sya Allah, inilah doa kami dan doa penerima-penerima sumbangan ini.

Buat masa sekarang Komuniti Amal Taiping (KaT) menyediakan makan tengahari / malam sekali dalam seminggu untuk 4 buah rumah amal ini.

Jika ada tuan/puan yang berhajat untuk menyumbangkan/menaja makan tengahari atau makan malam untuk golongan terpilih ini, sila hubungi Komuniti Amal Taiping (KaT) atau sms/whatsup 0195582626 Lukman Wan Mat Daud. Jumlah sumbangan tidak ditetapkan.

Tuan/puan juga dialu-alukan untuk menyumbang terus / berhubung terus dengan rumah-rumah kebajikan ini.

(i) Pn Ain, Kediaman Cahaya Ain Bagan Serai 016-504 9564 
(ii) Pn Rozi, Rumah Nur Aaida Ekspo Kamunting 019-578 7650
(iii) En Rustam, Rumah Amirul Ain Ekspo Kamunting 014-241 0021 
(iv) En Roslan, Asrama Tafiz Kpg Perwira, Kamunting 012-543 0322


*Komuniti Amal Taiping (KaT) adalah gabungan individu sebagai pengantaraan amal. KaT tidak mewakili dan tidak terikat dengan mana-mana rumah kebajikan, persatuan atau NGO