Sunday, October 26, 2014

Broadsheet “lipat-lipat” ke stail tabloid dan tablet




Broadsheet “lipat-lipat” ke stail tabloid dan tablet

Secara jujur saya mengaku saya bukanlah pelanggan (pembeli?) surat khabar Utusan Malaysia. Kalau tersedia di atas meja kedai makan yang dikunjungi sudah pasti juga saya tidak melepaskan peluang menatapnya. Kadang-kadang saya membeli juga Mingguan Malaysia (hari Ahad) terutama apabila terasa hendak membaca rencana-rencananya bukan kerana berita semasa. Untuk berita semasa,saya lebih suka membaca dari akhbar-akbar bersaiz tabloid yang lain.

Dalam MM pilihan utama saya sudah tentu dalam sisipan utama kolum Merrepak (Johardy Hashim) yang bersahaja dengan catatan santainya ditambah dengan rujukan internet. Sisipan kedua bertemakan kesihatan walaupun kandungannya rojak turut menjadi pilihan saya. Selain dari itu saya juga tidak melepaskan peluang membaca kolum-kolum penulis jemputan selebriti media elektronik sekarang seperti kolum Jom Audit (odit?) Dr Muhaya Muhammad dan kolum Cer Kome Tanye Ustaz Kazim Elias (UKE). Kolum-kolum lain seperti politik, hiburan dan gossip kadang-kadang terbaca juga walaupun ketara sangat alirannya.

Sebagai seorang yang terlibat dalam Inovasi dan Kreatif, saya ingin mengucapkan syabas kepada UM/MM yang kini tampil masih dengan stail broadsheet tetapi dalam format dengan konsep lipat. Broadsheet dengan konsep lipat ini “didakwa” mudah dipegang dan dibaca secara format tabloid ataupun tablet! Malah didakwa yang pertama dalam industri akhbar di dunia!

Ketika kebanyakan akhbar lain termasuk di Malaysia menukar stail broadsheet ke stail tabloid, UM/MM masih mengekalkan identiti broadsheetnya. Maaf cakap stail broadsheet ini menyukarkan pembaca untuk menatap muka helaian akhbar ini. Cuma kalau di kedai makan, stail broadsheet ini amat “mudah dipecahkan” menjadi tiga sisipan yang boleh dibaca oleh tiga orang serentak.

Pada saya mengekalkan stail broadsheet ini adalah antara punca UM/MM bukan lagi pilihan kepada pembaca muda yang sentiasa bergerak (on-the-move) ketika ini kecuali kepada mereka yang veteran hendak bersantai menegeuk secawan kopi di laman rumah.

Saya masih tidak dapat mengaitkan “significant” nya dakwaan kelarisan stail broadsheet ini ketika Malaysia diuji dengan kejadian Lahat Datu, MH370 dan MH17 seperti yang didakwa oleh seorang editornya. Mungkin ada statistik yang menyokongnya!

Tetapi stail broadsheet ini masih lagi menjadi pilihan ketika ia menjadi “paper lama” sebab saiznya yang besar memudahkannya menjadi alas pinggan untuk orang bujang bersantap bersila di lantai sahaja. Juga ia menjadi pilihan untuk dijadikan pembalut barangan disebabkan saiznya yang besar. Selain dari itu pengusaha kedai cat kereta (spray) suka sangat akhbar stail broadsheet ini!

Malangnya syabas saya “kusangkakan panas berpanjangan, rupanya rupanya gerimis mengundang”, format mudahalih ke tabloid dan tablet bukan sepenuhnya lagi. Merujuk MM ahad lepas, hanya beberapa helaian awalnya sahaja dari kesemua 44 muka surat yag tersedia untuk “lipat-lipat” ke tabloid dan tablet! Helaian selainnya masih lagi belum tersedia dalam template empat bahagian dalam satu muka surat broadsheet. Patutlah dalam beberapa gambar mempromosikan format baru ini hanya kelihatan pembaca menelaah (memegang?) muka surat hadapan sahaja! Ini termasuk gambar yang mempaparkan barisan orang kuat UM!

Pada pandangan saya, untuk membolehkan kesemua helaian broadsheet tersedia “dilipat” untuk stail tabloid dan tablet, satu template khas perlu disediakan bukan sahaja untuk paparan berita semasa dan rencana tetapi meliputi pengiklanan dan sebagainya.

Apapun tahniah (dan separuh syabas) kepada pihak pengurusan UM/MM amnya dan kepada Karyawan Grafik UM khususnya dalam penghasilan (mengekalkan) stail broadsheet dengan format “lipat-lipat. Dan saya menunggu untuk “melipat-melipat” kesemua sekali helaian broadsheet ini dari mukan surat depan hingga ke muka surat belakang sekali. Ketika itu mungkin selepas ini UM/MM akan tersenarai dalam akhbar yang akan saya beli. In sya Allah.


http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Friday, October 17, 2014

Kuali dan botol



Kuali dan botol

Maklong Huduh pernah tegur aku sebab makan dalam kuali. Hari ini kalau dia tahu aku minum dari botol jeruk, apa lak katanya

Monday, October 13, 2014

Roti Mulawwah Original Hadramout Restaurant Taiping


Roti Mulawwah Original Hadramout Restaurant Taiping
Saya pengemar roti, prata, kebab dan seumpamanya. Apabila mendengarkan adanya Roti Mulawwah di Original Hadramout Restaurant (dahulu Anjung Damai) bersebelahan Perpustakaan Awam Taiping, membuatkan saya teruja untuk merasanya.
Malam tadi kami sekeluarga mencubanya. Dalam menu tertera harga Roti Mulawwah RM 3.00, RM 5.00, RM 8.00, RM 10.00, RM 12.00 dan RM 15.00. Harga ini berbeza-beza mengikut saiz roti, itulah yang diterangkan oleh pekerja yang mengambil order.
Roti Mulawwah dimakan dengan dengan pilihan menu Sup Cendawan (RM 4.00), Ayam (RM 10.00) dan Kambing (RM 12.00). Pilihan kuah yang menarik dan disediakan secara panas dimasak bukannya tersedia untuk diceduk tetapi malangnya tidak ditulis di dalam menu.. Jenuh pekerja itu hendak menerangkannya apabila ditanya oleh saya beberapa kali.
Sinonim dengan makanan arab, minuman Barbican juga tersedia. Bagaimanapun pilihan saya sudah tentu Teh-O Arab dengan Pudina (Mint).
Kami mengorder Roti Mulawwah berharga RM 5.00. Terkejut juga melihatkan saiznya yang besar. Tertarik dengan kata-kata Penebar Roti Mulawwah dari Yamen ini bahawa kalau di-order Roti Mulawwah RM15.00, saiznya sebesar dan selebar meja 5 kaki! Teruja pula untuk mencubanya di masa terdekat ini.
Malam tadi kami makan Roti Mulawwah dengan kuah ayam. Sebenarnya teragak-agak untuk kami membuat pilihan samada cendawan, ayam atau kambing. Kuah Ayam yang dimasak ini tidak mengecewakan kami walaupun keterampilannya (appearance) tidak begitu menarik. Mungkin selepas ini kami akan mencuba cendawan dan kambing pula. Ataupun mungkin di masa akan datang pakej Roti Mulawwah ini boleh disediakan dengan ketiga-tiga kuah walaupun dalam bahagian portion yang kecil (sedikit).
Ada taburan bijian di atas roti yang saya tidak pasti sama ada jintan atau biji sawi kerana terasyik dengan kelembutan rotinya di bahagian dalam dan ranggup di bahagian luar.
Teringin juga hendak makan Roti Mulawwah ini dengan Ayam Bakar Merah (seperti Roti Nan Tempayan) ataupun dengan Kuah Sadin sahaja.
Pelanggan yag mengorder Roti Mulawwah juga turut dihiburkan dengan kemahiran Penebar Roti Mulawwah dari Yamen ini dengan melambungkan roti sebelum dimasak. Malangnya dia hanya melambungkan sekali sahaja untuk setioap biji roti dan HP Nokia cap Itik saya tidak sempat merakamnya. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana dia melambungkan roti yang bersaiz RM 15.00 pula!
Kesimpulannya (pandangan peribadi citarasa kami), Roti Mulawwah di Original Hadramout Restaurant ini memang sedap malah enak dimakan begitu sahaja. Malah kami sekeluarga pasti akan datang lagi walaupun secara amnya isteri tidak begitu gemarkan Nasi Arab tidak seperti anak saya. Saya pula lebih suka roti dari nasi.
Ada sesiapa yang pernah makan Roti Mulawwah saiz besar RM 15.00? Teruja hendak melihatkan saiznya.
Tauke Cik Ila Puteh (0125419615) mungkin boleh tambah dalam menu ukuran diameter Roti Mulawwah untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan. Dan jangan lupa ditambah juga dalam menu piihan kuah dengan harganya sekali











Sunday, October 05, 2014

Prelude Aidil Adha dengan buku/novel lama


Prelude Aidil Adha dengan buku/novel lama

Bini minta tolong kemas rumah, kita pula belek koleksi buku/novel lama.

Semasa 90an/awal 2000an ketika itu hanya bergajikan yang berbelanja RM 135.00 sebulan untuk petrol seperti kata Pak Menteri, mesti sekurang-kurangnya satu buku sebulan aku membeli novel terbitan Creative Enterprise dengan penulis pilihan Abd Talib Hassan dan Abdul Rahim Awang. Kadang-kadang aku beli terbitan Marwilis.

Untuk koleksi yang lebih berusia (pusaka dari bapa) hanya lima buah karya Shahnon Ahmad yang tersimpan dalam rak kayu. Rasanya ada sekurang-kurangnya lima buah lagi dalam rak besi atas lonteng. Karya Abdullah Hussain juga hanya terjumpa tiga setakat ini.

Sehari dua ini bercadang nak menelaah semula karya Arena Wati dengan tajuk berkaitan bunga ini (1987). Karya ini kalau diadaptasi ke filem dengan pengarah yang berkaliber pasti boleh menyaingi plot cerita Hollywood.

Terperangkap Bersama Bintang (Wahab Sharif) adalah novel remaja berkisahkan sekumpulan remaja dengan seorang artis remaja terperangkap dalam satu kes penculikan. Antara novel kesukaan saya semasa 70an dan menarik juga jika diadaptasikan ke filem atau drama.

Antara dua karya Yahaya Ismail yang dijumpa. Tak pasti ke mana yang lain. Bapa tidak suka saya membaca karya Yahaya Ismail semasa remaja dahulu.

Terjumpa juga buku dan novel yang berbalut rapi. Biasanya semasa saya bersekolah rendah dahulu, bapa sentiasa mengalakkan saya membalut setiap buku dan novel yang ada.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
















Thursday, October 02, 2014

Koleksi Buku Sehingga Hari Ini




Koleksi Buku Sehingga Hari Ini

Alhamdulillah, novel Hamka, Di Dalam Lembah Kehidupan telah berjaya kembali dalam koleksi aku selasa lepas. Aku membelinya melalui FB (Ahmad Ahnaf) dalam FB Group Kolektor Buku2 Semalaysia.

Novel ini merupakan novel pertama yang aku baca ketika darjah 1 (1970). Novel ini milik bapak yang dibelinya semasa bertugas sebagai askar di sarawak penghujung tahun 60an. Novel ini inspirasi pertama aku menceburi bidang amal. Masih tergiang-giang ucapan pengarangnya seolah-olah aku aku sentiasa membaca walaupun baru selasa lepas aku membacanya semula.

Banyak koleksi bapak yang entah ke mana perginya sekarang ini. Adik bapa (arwah) lagi banyak koleksinya termasuk Anak Mat Lela Gila (Pak Sako, 1966) tapi entah ke mana buku itu sekarang.

Novel Merpati Puteh Terbang Lagi (Khadijah Hashim) juga mengalakkan aku dalam aktiviti amal Cuma tidaklah sampai berhasrat menceburi bidang politik.

Buku If Tomorrow Comes (Sidney Sheldon) dibeli selepas aku menonton filem adaptasi dari novel ini. Membaca novel ini seolah-olah menontonya di dalam kertas. Begitu terperinci adaptasinya.

Harap-harap koleksi ini masih kekal. Kepada yang meminjamnya diminta mengembalikan dalam keadaan seperti semasa dipinjam.

Tidak ruginya melabur untuk membuat rak kayu ini. Masih ada banyak lagi buku-buku di atas lonteng rumah dalam rak besi  C Channel.


http://orangkeciloprangbesar.blogpost.com