Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, Mac 25, 2012

Jejak "Berpetualang ke Aceh" - Legasi Sheikh Abdullah dan ikatan ukhuwah Turki Uthmaniyah Teungku di Bitai

Assalamualaikum. Setelah lebih 2 minggu menangguhnya biarlah cerita perjalanan Medan-Banda Aceh 2-13 November 2011 disambung kembali. Adapun siri ini dibuka dengan artikel mukadimahnya Akan datang - Jejak "Berpetualang ke Aceh" lebih 4 bulan lalu. Hari ini, setelah begitu lama kita melihat pelbagai perkara sampailah masa untuk menutup siri. Bersambung dari Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Dari Saidi Mukammil ke Hamzah Fansuri...


Ahad 13 November kami keluar lagi ke sekitar Bandar Aceh.



Di satu kawasan desa barat daya pinggir Banda Aceh kalau tak salah ada satu kawasan madrasah yang ada tarikan istimewa.



Terdapat makam seorang ulama dahulukala yang dipanggil Abu Kuta Karang. Lihat artikel Makam (Tomb of) Abu Kuta Karang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Terdapat juga banyak makam-makam lama berbatu nesan Aceh. Lihat Makam-makam lama sekitar makam Abu Kuta Karang (Old tombs around the tomb of Abu Kuta Karang).


Namun tarikan utama ada kena mengena dengan perigi lama ini.



Air dari perigi sering dimasukkam ke dalam tempayan lama yang dipanggil geuchi dalam bahasa Aceh... ke geci, guci tak pun kechi? Yang saya ingat adalah geuchi lalu biarlah perkataan ini digunakan.



Ini kerana ulamak besar utama yang disemadikan di kawasan ini dikenali sebagai Teungku di Geuchi, katanya kerana selalu menggunakan tempayan itu. Namun nama sebenarnya adalah Sheikh Abdullah Kanaan dan beliau hidup lebih 800 tahun lalu! Ini adalah gambar di dalam bangunan makamnya. Terdapat sejumlah makam yang mungkin milik ahli keluarganya tetapi makam beliau sendiri terletak di dalam satu bilik istimewa.



Adapun Sheikh Abdullah Kanaan adalah guru kepada Sultan Johan Syah yang membuka kerajaan awal Aceh di Kandang Aceh tahun 1205 Masihi begitu. Saya percaya ada kemungkinan beliau adalah orang yang sama dengan Sheikh Abdullah Qumairi yang dikatakan mengIslamkan Sultan Muzaffar Syah I Kedah (memerintah 1136-1179), sama juga dengan Sheikh Abdullah Arif yang membawa kitab Tasawuf bernama Bahr Lahut ke Aceh 1166. Kiranya beliau terlibat secara langsung dalam pembukaan kerajaan Aceh yang wilayahnya mula menjadi besar seperti sekarang apabila Sultan Ali Mughayat Syah memerintah 1511-1530. Lihat Makam (Tomb of) Sheikh Abdullah Kanaan.



Seterusnya kami ke Bitai yang terletak lebih dekat ke Banda Aceh. Di sini ada kompleks tanah perkuburan yang menempatkan jasad askar-askar Turki yang dihantar untuk membantu Aceh menangani masalah penjajahan Barat yang bermula dengan penaklukan Portugis ke atas Kota Melaka 1511. Kelihatan berbumbung hijau, masjid yang dibina orang-orang Turki yang beranak-pinak berketurunan di sini. Lihat Masjid Turki di Bitai (The Turkish mosque in Bitai). Tanah perkuburan pula memenuhi sebahagian besar halaman. Lihat Makam para pejuang Turki di Aceh (Tombs of Turkish fighters in Aceh).




Menurut maklumat yang terdapat di sini perhubungan dengan Turki bermula selepas anakanda Sultan Ali Mughayat, Sultan Salehuddin memerintah 1530. Ketika itu Empayar Uthmaniyah Turki sedang dipimpin rajanya yang sangat terkenal dan digeruni Barat, Sultan Sulaiman Al-Qanuni atau Suleyman the Magnificent Qanuni, raja yang berjaya meluaskan pengaruh empayar lebih jauh, setelah ia diakui sebagai pusat kekhalifahan umat Islam sedunia. Satu kumpulan ulamak dan tentera dipimpin tokoh yang dikenali sebagai Teungku di Bitai dikatakan datang dari Turki membuka perkampungan di Bitai lalu membina akademi pengajian agama berserta akademi ilmu ketenteraan. Lihat Makam (Tomb of) Teungku di Bitai.

Namun sejarah Aceh secara umumnya lebih mengenali perhubungan Turki yang berlaku selepas adinda Sultan Salehuddin, Sultan Alauddin Riayat Syah Al-Qahar menaiki takhta 1539. Dalam rangka kerja untuk menepis percubaan ke sekian kali Portugis mahu menakluki Aceh, baginda mahu menyerang kedudukan penjajah di Kota Melaka lalu meminta Turki mengirim angkatan perang untuk membantu. Permintaan pun ditunaikan oleh Sultan Selim II Turki 1567. Baca maklumat pada artikel Museum kecil (Small muzium of) Bitai.



Seterusnya kami menziarahi makam Sheikh Abdul Rauf Fansuri atau lebih dikenali sebagai Syiah Kuala.



Cerita tentang ulamak yang menjadi Khadi Malikul Adil atau ulamak kerajaan tertinggi pada zaman empat raja perempuan memerintah Aceh 1641-1699 ini sudah disebut beberapa kali dalam artikel-artikel lama saya tentang Aceh.



Untuk menutup sesi ziarah kami hari itu kami pergi ke makam pejuang wanita Aceh tersohor 400 tahun lalu iaitu Laksamana Malahayati atau Raja Keumala Hayati.



Menariknya laksamana perempuan yang berkhidmat di bawah pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah Sayyid al-Mukammil (1589-1604) ini mendapat latihan ketenteraan di akademi Bitai, akademi yang dibina selepas kedatangan orang-orang Turki yang dipimpin Teungku di Bitai. Kedudukan makam di Teluk Lamreh, 40 km ke timur Banda Aceh pula mengaitkannya dengan Sheikh Abdullah Kanaan. Ini kerana menurut ceritanya sheikh ini pernah bersama anak muridnya Johan Syah pergi mengIslamkan kerajaan lama Lamuri yang berpusat di teluk itu.



Johan Syah kemudian menjadi raja Lamuri. Baginda seterusnya membuka kerajaan awal Aceh di Kandang Aceh, dalam kawasan Banda Aceh sekarang. Apakah pemilihan kedudukan makam Laksamana Malahayati di lereng bukit ini ada kena mengena dengan keberadaan kerajaan Lamuri? Pengembaraan yang tujuan utamanya adalah untuk menyusuri kembali tempat-tempat yang pernah dijejaki juga diceritakan dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" kami tutup secara rasmi di sini.


Petangnya sampailah masa untuk kembali ke Malaysia.



Di lapangan terbang Sultan Iskandar Muda di luar Banda Aceh kami menyatakan kesyukuran kerana dapat menjayakan pengembaraan selama 12 hari ini dengan selamat dan sihat walafiat. Biar dingatkan pengembaraan dibuat ketika isteri sedang sarat mengandung lebih 6 bulan. Alhamdulillah anak baru iaitu kandungan tersebut kini sudah lahir dan masuk umur 37 hari. Walaupun adakalanya kami dilanda kesukaran misalnya apabila Rasyid yang ketika perjalanan baru berumur 2 tahun 1 bulan demam agak teruk selepas kembali dari perjalanan menaiki motosikal di kawasan atas gunung malam-malam di Pulau Samosir, tengah Danau Toba, secara rata perjalanan kami mendapat bantuan nyata mahupun ghaib. Sekian cerita ini. Nanti saya akan kumpulkan segala linksnya untuk menyenangkan pembacaan lebih bermakna dan ini juga akan dibuat untuk siri "Kembara Johor-Riau" yang ditamatkan 11 hari lalu. Wassalam... :]



Tiada ulasan: