Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Mac 05, 2020

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Penulisan tesis sebagai pembuktian dakwaan yang diyakini benar


Salam semua. Semalam petang Rabu 4 Mac berlangsunglah edisi ke-4 siri syarahan buku "Classification of Knowledge in Islam" (Klasifikasi Ilmu Pengetahuan Dalam Islam") oleh Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar bagi tahun 2020 di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Walaupun sukakan siri kerana ada sahaja ilmu baru menarik dapat diperolehi saya hampir-hampir tidak dapat hadir kerana kurang sihat. Ini ceritanya.


Sepertimana halnya pada setiap kali syarahan saya memang ingin dan berusaha untuk pergi. Isteri sudah sedia maklum. Kali ini beliau menyiapkan sehelai baju Melayu berlengan pendek petak-petak dengan seluar silat berwarna merah untuk pakaian saya seawal jam 7.30 pagi. Tentunya saya sendiri berkobar-kobar untuk pergi walaupun beberapa hari kebelakangan merasakan badan kurang sihat dan begitu lemah. Entah kenapa sekembalinya dari permusafiran kecil hujung minggu lalu di mana saya menginap 2 malam di luar terasa begitu penat sehingga asyik terlantar di pembaringan. Lihat artikel-artikel yang melibatkan permusafiran tersebut :-





Semalam seorang anak pula demam dan sakit-sakit tekak lalu tidak dapat ke sekolah. Selepas menghantarnya ke klinik tengah hari saya pula merasakan diri semakin berat. Masuk jam 2 saya memaklumkan kepada isteri besar kemungkinan tidak jadi ke ISTAC. Kecuali berlaku sesuatu yang mengubah keadaan selepas jam 4. Sementara itu timbul gerak untuk membuat artikel tentang pembentangan pertama dalam satu acara yang telah dilaksanakan di ISTAC kurang 2 minggu lalu. Lihat artikel-artikel berikut yang telah dipersembahkan di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) :-






Ditakdirkan artikel pembentangan itu dapat disiapkan lalu dipaparkan sebelum jam 4. Lihat Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia. Terus timbul tenaga baru dan semangat untuk mengikuti syarahan di ISTAC. Sesungguhnya membuat penulisan itu adalah satu bentuk terapi diri buat saya.  Ia adalah cara meluahkan rasa seraya melapangkan dada sambil berkongsi ilmu juga pengalaman hidup dengan jujur. 

Cuma selepas itu saya mengambil masa untuk untuk bersiap dan melepaskan hajat. Itupun tak jadi pakai apa yang isteri sediakan, cuma pakai ringkas sahaja. Pakaian yang disediakan isteri mungkin boleh digunakan bagi tujuan lain hujung minggu. Selepas menunaikan solat Asar di rumah baru bergerak 40 km ke ISTAC. 

Masuk ke bilik persidangan yang digunakan untuk syarahan sudah jam 5.35 petang sedangkan syarahan dijadualkan bermula jam 5.15. Apa yang dapat ditangkap ketika itu adalah Osman menyebut tentang kelebihan ilmu matematik. Kata beliau tanpa matematik sains tidak dapat berfungsi. Kedengaran beliau menyebut ini dalam konteks untuk menerangkan kenapa ilmuwan silam Islam, Al-Farabi  meletakkan ilmu geometri sebagai suatu cabang ilmu ulung disebabkan pembuktian yang mendalam (profundity of proofs). Geometri pula adalah satu cabang penting dalam ilmu matematik. Pada zaman dahulu ia mungkin ilmu matematik paling penting.

Sekadar mengingatkan, buku "Classification of Knowledge in Islam" mengenengahkan cara fikir 3 orang ulamak silam Islam dan bagaimana mereka membuat klasifikasi atau mengatur jenis-jenis ilmu. Pada peringkat ini siri syarahan masih bersekitar pada pemikiran Al-Farabi. Osman turut menyebut ilmu matematik sebagai queen of science - permaisuri bagi ilmu-ilmu sains. Ini menimbulkan pertanyaan bagi saya - kenapa ia diletakkan sebagai bersifat feminin atau keperempuanan? Jawab beliau kerana keindahan yang ada pada ilmu matematik. Ia tidak bersifat keras atau memaksa seperti halnya sifat-sifat kejantanan. Ia boleh meresap lembut ke dalam jiwa apabila dapat difahami dengan betul...


Ketika itu saya masih tertanya-tanya pada ayat manakah buku syarahan sedang bersambung lalu Osman mengulas dan memanjangkan? Berdasarkan syarahan minggu lepas, syarahan Rabu semalam seharusnya bermula daripada separuh kedua muka surat 47. Lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Keunggulan ilmu metafizik dan 'pampasan' Ilahi bagi masyarakat kini. Setelah beberapa lama baru tersedar rupa-rupanya beliau telah berpatah balik ke pertengahan muka surat 46. Kelihatan ia dibawa kembali pada permulaan subtopik 2.2 (daripada Bab 2). Nampaknya ini dibuat bagi faedah ramai muka baru yang muncul dalam syarahan kali ini.



Walaupun berpatah balik muncul ulasan-ulasan baru yang menambahkan lagi ilmu. Misalnya penggunaan perkataan ontologi pada perenggan pertama muka surat 47 yang sebenarnya merupakan sambungan daripada perenggan terakhir muka surat 46. Dahulu ia disebut begitu sahaja tanpa dipanjangkan maksud dan konteksnya. Untuk pengetahuan ontologi adalah satu cabang ilmu metafizik. Dalam syarahan lalu metafizik telah dinyatakan sebagai ilmu al-Ilahi atau ilmu keTuhanan. Ontologi pula merujuk khas pada persoalan kewujudan diri (nature of being). 

Kali ini Osman menyatakan ia sebagai salah satu tesis beliau tentang perkara. Beliau merujuk pada kata-kata Al-Farabi tentang bagaimana keunggulan suatu ilmu sains boleh dilihat daripada salah satu daripada 3 perkara. Biar disalin kembali (copy paste) bahagian berkenaan daripada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Keunggulan ilmu metafizik dan 'pampasan' Ilahi bagi masyarakat kini.


-----------------


Elemen-elemen yang menentukan kecemerlangan suatu ilmu sains mahupun seni ini adalah seperti berikut :-


1. 'Kebangsawanan' perkara dalam ilmu tersebut. Saya terjemahkan terus daripada ungkapan 'nobility of subject matter' kerana tidak tahu apakah perkataan Melayu yang sesuai untuk membawa makna nobility ini. Yang faham adalah makna nobility yang memang terjemahan terusnya (direct translation) adalah kebangsawanan.  Ia membawa makna sifat-sifat kemuliaan seperti tidak pentingkan diri sendiri, selalu memikirkan kemaslahatan orang lain melebihi diri sendiri dan sedia berkorban demi menegakkan kebenaran. Hmm... mungkin kita boleh gunakan ungkapan "kemuliaan suatu perkara".

2. Kedalaman dalam pembuktian ilmu (profundity of proofs). Maksudnya begitu bermakna dan dalamnya perkara dalam membuktikan kebenaran ilmu tersebut

3.  Keluasan (immensity) faedah ilmu. Ini lebih jelas. Faedah-faedah yang diberikan oleh suatu ilmu.



-----------------


Menurut Osman apa yang disebut Al-Farabi sebagai 'kebangsawanan' atau 'kemuliaan' suatu ilmu itu boleh ditafsirkan sebagai asas ontologi bagi ilmu tersebut. Ini adalah tesis beliau lalu diberitahulah kepada khalayak bahawa buku  "Classification of Knowledge in Islam" merupakan tesis PhDnya suatu masa dahulu. Tentang perkara ini sudah disebut beberapa kali dalam artikel-artikel terdahulu. Apa yang menarik kali ini adalah Osman menerangkan apakah makna sebenar tesis. Ia bukanlah semata-mata kertas kerja yang perlu dibuat untuk mendapatkan kelulusan peringkat sarjana (Masters) mahupun PhD. Ia adalah suatu dakwaan itu sendiri. Misalnya apabila mengatakan 'kemuliaan' suatu ilmu adalah asas ontologi ilmu tersebut. Ini sudah satu tesis.

Seorang hadirin menyampuk dengan mengatakan bukankah dakwaan sebegini baru peringkat hipotesis? Kerana ia belum dibuktikan benar? Jawab Osman tidak. Kalau kita yakin itu adalah benar maka ia sudah suatu tesis. Tesis sebenarnya adalah suatu dakwaan yang kita yakini adalah benar. Ia mungkin pernyataan dalam satu ayat sahaja. Tetapi untuk membuktikannya? Itu yang boleh keluar hujah satu buku.

Kata Osman banyak pelajar sekarang tidak diajar apakah makna sebenar tesis. Tahu-tahu sahaja dah kena tulis tesis. Tu yang ramai keliru. Saya pun menyemak makna tesis menggunakan enjin pencarian (seach engine) Google di Internet. Begini jawabannya :-


thesis

1.a statement or theory that is put forward as a premise to be maintained or proved. - "his central thesis is that psychological life is not part of the material world"

2. a long essay or dissertation involving personal research, written by a candidate for a university degree. "a doctoral thesis"


Terjemahan saya :-

1. Suatu kenyataan atau teori yang dikehadapankan sebagai suatu premis untuk dipertahankan atau dibuktikan - (contohnya) "Tesis utamanya adalah kehidupan psikologi bukan sebahagian daripada dunia material"

2. Satu penulisan panjang atau disertasi melibatkan kajian peribadi, ditulis oleh calon bagi suatu kelulusan universiti - "satu tesis kedoktoran".



Lihat pula makna hipotesis...


hypothesis

a supposition or proposed explanation made on the basis of limited evidence as a starting point for further investigation - "his ‘steady state’ hypothesis of the origin of the universe"

PHILOSOPHY

a proposition made as a basis for reasoning, without any assumption of its truth.



Terjemahan :-

Suatu anggapan atau cadangan penerangan berdasarkan bukti terhad sebagai titik permulaan bagi siasatan lanjut - (contohnya) "Hipotesis 'steady state (keadaan mantap?)' beliau tentang asal usul alam semesta"

Daripada sudut falsafah -

Suatu cadangan yang dibuat sebagai asas untuk pena'akulan, tanpa apa-apa jangkaan tentang kebenarannya



Masyaallah. Baru saya faham duduk letak perkara. Kalau baru peringkat hipotesis tu kita pun belum yakin, setakat mengutarakan suatu pendapat untuk memulakan satu perbincangan kalau tidak pun penyiasatan/pengkajian. Tesis pula selama ini saya cuma faham makna yang nombor 2. Ah. Pelik ini. Padahal sejak lebih 20 tahun dahulu saya sudah faham konsep thesis lawan antithesis - suatu pernyataan dengan lawannya yang boleh menerbitkan synthesis - gabungan antara dua faham yang berlawanan. Kenapa boleh terlupa?

Ya. Benar cakap Osman. Saya sendiri sebagai seorang pelajar pasca-siswazah, masuk kembali pengajian setelah lebih 2 dekad meninggalkan pengajian di universiti tidak pernah diterangkan makna sebenar tesis ketika memulakan pengajian. Terus terang cakap, kelas metodologi saya iaitu tentang kaedah-kaedah melakukan penyelidikan pun sebenarnya terasa kelam, tidak banyak membantu. Ini kerana yang mengajar itu lebih biasa dengan kaedah-kaedah kuantitatif iaitu cara-cara mengumpulkan data. Beliau nampaknya tidak biasa dengan kaedah-kaedah kualitatif yang menekan nilai suatu perkara, bukan 'jumlah'nya.

Hal ini pernah disuarakan kepada Osman kerana beliau adalah supervisor atau penyelenggara bagi penulisan tesis saya di ISTAC. Kata beliau ia adalah satu kepincangan yang beliau akan usaha perbetulkan dalam kurikulum pelajaran seterusnya.  Sebetulnya saya sedang menghadapi masalah dalam penulisan tesis. Dahulu lebih pada kaedah. Kini sudah tahu kaedah tetapi menghadapi masalah flow, aliran dan writer's block (sekatan seorang penulis?) pula. 

Saya pernah memberitahu Osman mungkin ini berlaku akibat harus berhadapan kembali dengan apa-apa cabaran psikologi atau jiwa yang pernah dialami sebaik sahaja selesai pengajian sarjana muda di London tahun 1995. Ya. Memang berlaku beberapa perkara yang mengganggu jiwa. Perkara-perkara inilah yang membawa saya untuk membuat keputusan tidak mahu menyambung pengajian walhal peluang sudah terbuka luas walaupun keputusan ijazah saya tidak sebaik yang diharapkan.

Saya cuma dapat 3rd class honours dalam bidang Matematik di University College of London (UCL), kepujian kelas 3. Maklumlah, asyik ponteng kelas, tak buat kerja sampai peperiksaan pun banyak tak hadir. Walhal zaman sekolah rendah dah sekolah menengah dahulu selalu dapat markah matematik 100 peratus walaupun sama ponteng sekolah dan selalu buat hal. Disebabkan itu kawan-kawan menganggap saya sebagai seorang genius. Cuma ada nakal, kuat melawan cikgu dan pentadbiran.

Nasib baik walaupun 3rd class ijazah saya masih berharga kerana dianugerahkan oleh sebuah universiti yang sejak beberapa lama tersenarai antara 10 terbaik di dunia. Sebetulnya berlaku masalah pergolakan jiwa yang sangat hebat akibat mula cenderung pada hal-hal kerohanian termasuk ilmu Tasawuf sepanjang 4 tahun berada di London (sepatutnya 3 tahun sahaja tetapi saya kena mengulang tahun 2). Ini ada diceritakan (diluahkan sebenarnya) panjang lebar dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Pun begitu, walaupun pemahaman saya tentang matematik dan sains merosot teruk ada pensyarah menyedari bahawa saya memiliki bakat baru terserlah tapi lebih ke bidang seni.

Ini akibat boleh membuat program komputer yang boleh menerbitkan pelbagai wajah manusia secara rawak, siap boleh berkelip-kelip mata dan menggerak-gerakkan mulut. Walhal program yang digunakan iaitu Mathematica itu adalah khas untuk perkara-perkara teknikal seperti membuat simulasi berdasarkan equations atau persamaan-persamaan matematik. Untuk pengetahuan itulah satu-satunya subjek (Mathematica) saya dapat A pada peperiksaan tahun akhir universiti. Lain semua jauh jatuh teruk ke bawah.

Tanpa dipinta, pensyarah menawarkan untuk memberikan recommendation atau sokongan akuan untuk saya menyambung pengajian peringkat sarjana atau Masters di Slade School of Fine Art. Ia adalah institusi cabang seni bagi UCL. Ia sendiri tersenarai antara 10 institusi pengajian terbaik dalam bidang seni bagi peringkat dunia. Tak mustahil saya dapat menyambung kalau mengambil peluang itu.

Zaman itu, pertengahan tahun 1990an cukup mudah untuk mendapatkan biasiswa pengajian pasca-siswazah bagi mereka yang sudah sedia berada di luar negara, baru tamat sarjana muda. Yang diperlukan cuma tawaran tempat sahaja. Ada pihak sedia menaja jika sudah ada tawaran itu. Namun begitulah kehidupan. Ada hal-hal tertentu melanda jiwa membuat saya tidak ingin lagi menyambung belajar sampai bila-bila. Selama ini ingat boleh melupakannya begitu sahaja, tidak perlu berhadapan dengannya lagi. 

Siapa sangka lebih 20 tahun kemudian, lebih tepat 23 tahun iaitu pada tahun 2018 timbul rasa untuk menyambung pengajian setelah lama melupakan? Rujuk artikel Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia. Siapa sangka selepas itu boleh timbul masalah dalam penulisan tesis walhal berdasarkan pengalaman, ilmu pengetahuan dan tahap pemikiran ia sepatutnya mudah. Setelah beberapa lama baru tersedar saya nampaknya harus berhadapan kembali dengan apa-apa perkara yang pernah menyekat jiwa tahun 1995.

Sebab itu penulisan buku ke-13 saya "Kenangan Kembara Hitchhike Solo Eropah Tahun 1995" sangat penting untuk disiapkan sehingga terbit buku Jun 1995. Sesungguhnya semasa timbul gerak untuk melakukannya sekitar waktu itu juga saya mendapat tawaran untuk menyambung pengajian di ISTAC. Sebetulnya  penulisan pernah dimulakan hampir penghujung tahun 1996 ketika mula bekerja sebagai wartawan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times tetapi dilupakan selepas semua fail penulisan hilang akibat masalah tertentu. Ah. Banyak pula meluahkan rasa disebabkan hal tesis tadi. Namun ia perlu dilakukan juga. Kerana seperti sudah disebut tadi penulisan bagi saya adalah terapi diri. Cuma orang tak faham sahaja menuduh saya menulis untuk meraih nama, syok sendiri dan sebagainya.

Tentang keterkaitan buku dengan hal belajar di ISTAC biar dilepaskan/dilengkapkan dengan meletakkan pautan-pautan bagi artikel-artikel tentang buku dan penulisan seperti berikut. Ia diambil daripada sidebar kiri blogspot ini, dalam ruangan khas tentang buku-buku yang pernah ditulis lalu diterbitkan dengan nama saya  :-







Kembali pada hal penulisan tesis itu sendiri nasib baik Osman faham lalu tidak menekan. Ketika bertemu di mana-mana kami cuma bercakap tentang hal-hal lain sahaja termasuk bab tariqat. Tapi saya sedar lambat laun harus menunjukkan juga kemajuan yang memberangsangkan dalam penulisan tesis sebelum dapat mengadakan apa-apa perbincangan bermakna. Harapan saya adalah dapat menyiapkan lalu mempertahankan dan menerima pengakuan rasmi institusi tentang tesis sebelum masuk 1 Syawal. Walau berdasarkan kadar sekarang siap hujung tahun pun tak tentu.

Berbalik pada hal tesis dalam buku Osman. Dalam perenggan pertama muka surat 47 beliau ada menggunakan istilah "truth claims" (dakwaan kebenaran, terhadap kebenaran) untuk mengulas kriteria atau elemen kedua diketengahkan Al-Farabi dalam menentukan keunggulan/kecemerlangan suatu ilmu. Kata Osman truth claims itu sendiri merupakan suatu tesis kerana mendakwa wujudnya kebenaran bagi suatu perkara. Elemen kedua yang saya nyatakan sebagai "Kedalaman dalam pembuktian ilmu" (terjemahan saya bagi terma profundity of proofs) itu menurut Osman boleh ditafsirkan sebagai metodologi ilmu.



Sekarang baru boleh masuk pada bahagian kedua muka surat 47 buku. Baru betul-betul bersambung daripada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Keunggulan ilmu metafizik dan 'pampasan' Ilahi bagi masyarakat kini. Disebutlah tentang kriteria atau elemen ketiga diberikan Al-Farabi yang telah saya terjemahkan sebagai keluasan (bagi membawa makna immensity) faedah ilmu. Ditambah bahawa ini berdasarkan kenyataan bahawa kedua-dua keperluan praktikal dan spiritual manusia dalam suatu perkara memiliki hieraki atau tinggi rendah aturannya. 

Diberilah contoh ilmu Syariah sebagai memberikan banyak faedah sebegitu lalu dinyatakan ia sebagai bersifat etika-perundangan (ethico-legal). Kata Osman ini berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia seperti diamalkan dunia sekarang. Ia mungkin mengikat daripada segi hukum hakam tertentu tetapi tidak menyeluruh seperti halnya syariah. Contoh saya - Syariah melarang manusia berzina kerana ia bertentangan dengan ajaran agama. Daripada segi kemanusiaan ini bersifat etikal iaitu menjaga moral. Tetapi ini tidak dilarang oleh undang-undang moden negara. Undang-undang moden malah membenarkan mana-mana laki-laki dan perempuan yang cukup umur berzina asalkan masing-masing setuju untuk melakukannya. Kalau ada unsur paksaan seperti kes rogol dan sebagainya baru boleh didakwa kerana melanggar undang-undang...

Saya tidak mahu memanjangkan lagi ulasan mahupun perkongsian daripada muka surat 47 kecuali menambah bahawa kriteria ketiga Al-Farabi untuk menilai kecemerlangan/keunggulan suatu ilmu lalu membentuk hieraki keutamaan dan kepentingan ditafsirkan Osman sebagai asas etika-perundangan suatu ilmu. Maka itu tesis Osman adalah cara Al-Farabi mengatur hieraki ilmu adalah berdasarkan 3 perkara berikut :-


1. Asas ontologi ilmu

2. Metodologi ilmu

3. Asas etika-perundangan ilmu


Namun beliau melihat Al-Farabi melebihkan metodologi ilmu daripada yang lain. Pergi kita pada muka surat berikut :-




Saya juga tidak mahu memanjangkan ulasan mahupun perkongsian daripada muka surat ini iaitu muka surat 48. Cukuplah dinyatakan Osman berusaha untuk menyelesaikan sub-topik 2.2 sebelum syarahan dijadualkan tamat jam 7.15. Satu perkara penting harus dinyatakan daripada perenggan akhir sub-topik adalah cara Al-Farabi melihat logik (ilmu mantiq) kerana ia terkait rapat dengan teori metodologi beliau. Untuk ini harus difahami ilmu jiwa atau psikologinya. Termasuk dalam ini adalah kefahaman tentang intelek kenabian sebagai alat untuk turunnya wahyu.

Oh. Sebelum ini saya selalu menterjemahkan perkataan Inggeris intellect sebagai kebijaksanaan. Setelah beberapa lama didapati ia tidak sesuai dan tidak memadai lalu lebih elok digunakan perkataan diMelayukan intelek. Dalam perenggan Osman menyatakan psikologi Al-Farabi dan teorinya tentang fakulti roh (faculties of the soul) akan diperincikan dalam bab ini (Bab 2). Teori Al-Farabi tentang kaitan antara wahyu, intelek dan aqal (reason) akan diterangkan dalam bab seterusnya (Bab 3). Begitu juga perbincangan tentang metodologi beliau.



Tiada ulasan: