Petang tadi sebuah cerita bertajuk From Segamat to Muar, a stop around the village of Tenang telah dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Ia tentang beberapa tempat yang disinggahi dalam perjalanan kembali ke Muar tetapi sebelum masuk ke daerah Muar. Antara tempat yang disinggahi ialah Makam Tok Tenang, Hutan Lipur Taka Melor dan kolam air panas di Pekan Ayer Panas. Elok juga dibaca untuk kesinambungan sebelum diteruskan cerita di sini...
OK... Selesai berjalan-jalan di sekitar Labis terutama di Kampung Tenang, saya dan host saya di Segamat, Khairul pun memasuki Muar melalui mukim Bukit Kepong... Dalam perjalanan, terlihat sebuah bukit yang menarik hati, tak pasti kenapa... Lalu saya terasa wajib mengambil gambar. Mungkin satu masa nanti akan kelihatan apakah yang sebenarnya menarik tentang bukit ini? Sepertimana tanpa dirancang di Pulau Besar, Melaka, saya telah mengambil gambar tepian hutan bakau yang jika dilihat sekali lalu tidak ada apa-apa yang istimewa, tetapi apabila gambarnya dilihat setelah kembali ke rumah, ternyata ada sesuatu yang luarbiasa? Untuk memahami maksud saya, sila lihat Orang kenit di Pulau Besar, Melaka?
Setelah beberapa ketika, sampailah kami ke pekan kecil Bukit Kepong, pekan yang menjadi terkenal akibat Peristiwa Bukit Kepong di mana balai polisnya telah diserang komunis lalu ramai polis berbangsa Melayu terbunuh, semasa zaman darurat, kalau tak salah ingatan pada tahun 1960an dahulu...
Gambar ini diambil daripada atas jambatan menyeberangi Sungai Muar. Bangunan putih di kanan gambar adalah ibupejabat polis yang diserang komunis dalam Peristiwa Bukit Kepong itu, peristiwa yang menjadi lebih terkenal setelah difilemkan oleh Jins Shamsuddin dalam tahun 1980an gitu...
Saya mengajak Khairul menziarahi satu tempat terlebih dahulu. Letaknya menghala ke Durian Chondong... Dia pernah beberapa kali sampai ke sini...
Tempat yang dimaksudkan terletak di sebuah kampung bernama Pengkalan Kota... Letaknya di tepi Sungai Muar. Untuk mendapat gambaran kedudukannya, lihat bukit di latar-belakang gambar yang ada menara pemancar. Bandingkan dengan gambar yang diambil di atas jambatan tadi. Nampak tak bukit yang sama?
Kami turun untuk makan tengahari. Sebenarnya ketika itu sudah hampir jam 4 petang (atau lebih? Lebih kuranglah itu) tetapi kami belum makan apa-apa sejak pagi di Segamat tadi. Dan memang kami lapar setelah singgah di beberapa tempat, sempat mandi air terjun di Taka Melor kemudian mandi air panas seperti yang diceritakan di From Segamat to Muar, a stop around the village of Tenang ...
Selesai makan, baru kami ke sini untuk menziarahi Makam Raja Temenggung Saleh, pemerintah daerah Muar penghujung abad ke 19 kalau tak salah ingatan. Adapun kawasan ini dikenali sebagai Pengkalan Kota kerana ia pernah menjadi ibukota bagi daerah Muar yang memiliki pemerintahan tersendiri, pemerintahan oleh Raja-raja Temenggung Muar yang berasal daripada keturunan Sayid Ja'afar, kekanda kepada Bendahara Tun Habab. Sila masuk Makam-makam lama di (The old tombs at) Lubok Batu, Segamat... dan Makam (tomb of ) Bendahara Tun Habab untuk cerita berkenaan)...
Oh teringat saya kali pertama sampai di sini tahun 2005... Sampai saya boleh ditahan polis lalu dibawa pergi kerana dikhuatiri saya mungkin seorang penyamun ataupun perompak.
Apa yang berlaku, pada suatu hari saya telah menaiki teksi daripada Kampung Temiang ke bandar Muar. Entah kenapa, saya boleh tergerak untuk bertanya pemandu teksi apakah dia ada berdarah keturunan Bugis. Dalam sedar tak sedar, terkeluar cerita pasal Raja Haji dan keturunannya yang wujud di Muar, terkeluar juga sedikit cerita tentang kesukaan saya menziarahi makam-makam lama. Lalu pakcik itu menyarankan saya agar pergi ke Bukit Kepong dan mencari satu makam di sekitar Durian Chondong. Katanya, Sultan serta kerabat diraja Johor (yang dikenali ramai sebagai berketurunan Bugis) pun sering melawat makam tersebut.
Dipendekkan cerita pada satu hari keluarlah saya menaiki pengangkutan awam ke Bukit Kepong. Untuk pengetahuan ia terletak lebih 40km daripada bandar Muar. Saya pula sampai ke sana hampir jam 4 petang... Lalu terpaksa berjalan kaki kemudian hitchike beberapa kali menumpang kereta dan motosikal sebelum sampai ke tempat yang hendak dituju... Itupun selepas beberapa kali bertanyakan orang tentang tempat yang ada wujud makam lama, maklumlah, bukan semua orang tahu dan bukan semua mahu ambil tahu...
Masalahnya saya sampai ke Pengkalan Kota malam hari... Ternyata penduduk kampung kecil ini agak curiga, maklumlah malam-malam masuk kampung orang. Tetapi ada juga yang menerima kehadiran saya... Saya merancang untuk bermalam di makam malah selepas jam 9 malam, telahpun melabuhkan badan di atas tembok sebelah makam seorang diri! Tetapi kemudian datang beberapa orang kampung dengan lampu suluh menyuruh saya menurut ke jeti...
Kata mereka lebih selesa bermalam di jeti. Di sana, ada yang menceritakan bahawa kedatangan Temenggung Saleh ke Pengkalan Kota ini ada kena-mengena dengan Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman. Katanya lagi, setiap kali buaya-buaya di Sungai Muar lalu di Pengkalan Kota, mereka akan timbul di liku sungai yang terdekat seolah-olah memberi tabik hormat sebelum menyelam kembali setelah melepasi liku.
Kemudian tinggal saya keseorangan di jeti menunggu masa melelapkan mata. Tidak lama selepas itu, datang pula 2 orang polis berpakaian biasa tetapi menaiki kereta Kancil peronda lalu bertanyakan bermacam-macam soalan kepada saya... Datang dari mana? Buat apa? Ternyata ada yang tidak percaya dengan kehadiran saya... Rupa-rupanya Pengkalan Kota dan sekitarnya sedang menghadapi masalah penyamun dan perompak, katanya orang Indonesia... Yang pasti orang luar kampung dan saya memang pun orang luar...
Dipendekkan cerita saya disuruh menaiki kereta peronda mengikut ke balai. Kata mereka, demi menjaga hati orang kampung dan mengelakkan rasa curiga, elok saya tidur sahaja di balai. Mereka berjanji, esoknya akan hantar saya kembali ke Pengkalan Kota. Saya menurut sahaja... Yang peliknya balai polis terdekat adalah di Bukit Kepong tetapi mereka membawa saya ke sebuah tempat bernama Kebun Bunga pula, lebih 10km (mungkin 20km!) daripada Pengkalan Kota dan sudah menghampiri sempadan Segamat pula!
Di balai polis Kebun Bunga, saya disoal-siasat lagi. Setelah mendapati saya bukan pesalah, penyamun atau penyangak (malah mereka menghubungi ibu-bapa saya untuk memastikan cerita yang saya berasal daripada Muar tidak dibuat-buat), saya dibenarkan pergi... Pergi ke mana? Kata mereka, suruhlah ahli keluarga atau saudara-mara ambil. Ah, apa ini? Saya tidak mahu menyusahkan keluarga... Ketika itu sudah melepasi jam 2 pagi, dan jarak tempat ini hampir 60km daripada bandar Muar! Cakap memang senang... Mereka tidak tahu masalah saya dengan keluarga ketika itu... Maklumlah seorang graduan daripada London, bekas wartawan akhbar terkemuka berbahasa Inggeris tetapi kemudian tidak bekerja, merayap-rayap pula ke makam-makam lama... Berapa ramai keluarga yang tahan dengan kerenah anak sebegini?
Saya minta kebenaran untuk bermalam di balai tetapi mereka tak kasi pula... Agaknya mereka ingat saya orang gila. Apapun saya terima apa yang berlaku sebagai satu arahan daripada Allah untuk pergi ke tempat lain pula. Memandangkan sudah hampir ke Segamat, saya pun berjalan kaki dalam gelap-gulita melalui jalan utama yang berbelit-belit membelah kawasan ladang yang dikatakan tempat pontianak menyakat orang.
Dalam berjalan itu saya cuba menahan kereta dan lori yang lalu-lalang. Lagi berdesup laju mereka ada le... Terpaksalah saya terus berjalan menghala ke Segamat. Nasib baik akhirnya ada hamba Allah kesihan. Ceritanya, dia sudah bergerak jauh melepasi saya tetapi terdetik hati merasa kesihan lalu berpatah kembali mengambil saya, diturunkan di Jementah di mana masjidnya ada tempat orang musafir berehat.
Dipendekkan cerita sekali lagi, saya terus ke Segamat menaiki bas keesokan pagi. Itulah kali pertama saya melawat makam di Lubuk Batu (lihat Makam-makam lama di (The old tombs at) Lubok Batu, Segamat... ), setelah lama mendapat tahu akan kewujudan makam keluarga Raja Temenggung Muar di sana...
Oh, berbalik pada cerita di Pengkalan Kota. Khairul yang telah beberapa kali ke sini menunjukkan sebahagian daripada batu-batu yang pernah menjadi tembok kota lama...
Selesai ziarah di Pengkalan Kota, kami kembali ke pekan Bukit Kepong untuk masuk ke jalan utama menghala ke Muar melalui Lenga. Berhenti sebentar untuk mengambil gambar balai polis Bukit Kepong yang pernah diserang komunis dalam Peristiwa Bukit Kepong...
Ini pula kedudukan balai polis itu (yang kelihatan putih) dengan sungai dan jambatan. Sekian... Cerita akan disambung kemudian...
5 ulasan:
cayalah..
mungkin saya antara orang yang mula2 membaca posting ni.. haha puas hati aku..
cerita johorpun ditutup lah...
maju jaya hendaknya bro ms.
teringin sy utk mempunyai sifat tawakkal yg keras spt bro.. la hawlawala quwwatailla billah.
nak tido kat makam lama sorang2..
sy nak gi kubur hari siang pun seram.. caya bro. hehe
cikgu cakap, kalo nak tahu pasal durian dekati pengusaha durian,nak reti buat kuih dekati pembuat kuih, kalau nak dapat wangi dekati penjual minyak wangi, nak belajar berani dekati orang yang berani..
betul agaknya kata cikgu...
sekian merapu..
sy telah menikmati anggur di kebun bro MS. sekarang ada segugus di tangan saya.. bas karo..
Allah hafidz...
hazratji
Salam MS,
Gambar yang terakhir tu macam tempat arwah pelakon Hussein Abu Hasan terjun ke sungai untuk melepaskan diri dari kepungan komunis untuk mencari bantuan.
De javu sekejap.... hmmm
-awanbadai-
Wassalam... Semua orang dipersilakan menikmati "anggur" di taman saya. Sampai mabuk pun tak apa, meminjam cara Omar Khayyam menceritakan keadaan mereka-mereka yang zauk dalam sajak-sajak Sufi nya.
Taman saya in taman wakaf... Semua orang meang dijemput bersenang-lenang di dalamnya. Cuma ada syaratnya iaitu masuk dengan beradab, duduk di dalam dengan beradab dan keluar dengan beradab. Itu sahaja. Bukan untuk menjaga hati saya kerana saya kurang peduli akan pujian dan nista tapi untuk keharmonian semua pengunjung.
Untuk AwanBadai, tak tahu le kalau kat situ tempat arwah Hussein Abu Hassan terjun sungai. Apapun, Sungai Muar banyak sejarah, laluan utama sejak zaman Melaka lama untuk ke Pantai Timur tanpa perlu belayar ke selatan melepasi Singapura.
Sat lagi Insyaallah akan saya paparkan posting-posting seterusnya... Kalau boleh nak bungkus terus cerita-cerita Johor ni... Semalam buat kat CC, pas tu server jam, kena sambung hari ni, itupun kalau tak sangkut le...
salam..saya teruja membaca pengalaman saudara pergi ke makam tersebut..saya rasa teringin juga pergi ziarah makam tersebut.boleh saudara bagitau lokasi yg tepat makam tersebut supaya senang dicari? sekitar kawasan durian condong tu belah mana?dekat dengan signboard dalam gambar tu ke?
Kalau pergi ke Bukit Kepong tanya sahaja di mana Kampung Pengkalan Kota. Insyaallah akan jumpa baik kampung mahupun makam...
Catat Ulasan