Memaparkan catatan dengan label Contest. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Contest. Papar semua catatan

LABUAN WILAYAHKU

KARYA: NORGADIS LABUAN

Hari Sabtu, bagaikan ada perhimpunan remaja di Ujana Kewangan Labuan. Keriuhan suasana semakin menghimpit ruang legar. Anak-anak remaja seronok menggayakan fesyen pakaian ala barat. Rambut gaya punk turut dinodai dengan warna-warni. Leher dihiasi rantai perak, bagaikan rantai pengikat haiwan piaraan, turut dihiasi loket berbentuk tengkorak. Baju berlapiskan jaket kulit atau jean bagai berada di luar negara. Anak dara pula bergaun pendek, malah ada lagi yang lebih berani dan merasa seronok berseluar pendek. Juga senang menggayakan baju jarang, yang membayang susuk tubuh yang menarik kaum lawan. Semua dilakukan agar banyaklah mata akan melirik dan tertarik dengan fesyen terbaru yang mereka peragakan.

“Hish! Ramainya budak-budak ni, macam ada pesta remaja pula,” ujar Fatimah sambil meneruskan langkah di sebalik kebanjiran remaja di ruang legar Ujana Kewangan itu.

“Biasalah, hari Sabtu, inilah masa mereka berseronok. Bukan kau tak tau, dari hari Isnin hingga hari Jumaat, dah banyak mereka habiskan masa di sekolah, asyik-asyik menghadap muka cikgu.” Katy terus melangkah menghampiri Fatimah.

“Dah hampir jam satu ni, jom kita makan, aku lapar ni,” Katy memberi cadangan. Fatimah menghentikan langkahnya. Jam tangannya direnung seketika.

“Emm… aku rasa elok kita solat dulu. Lepas solat baru kita makan.” Fatimah meneruskan langkah menuju ke surau untuk wanita di Ujana Kewangan. Katy segera mempercepatkan langkahnya mengejar Fatimah.

“Fatimah tunggu…!” Fatimah menoleh dan mematikan langkahnya.

“Emm… kenapa?” Tanya Fatimah sambil menjeling tajam ke arah Katy.

“Alah… kita makan dululah, nanti lepas makan baru kau pergi solat. Aku lapar ni.” Katy mendesak.

“Hey kawan, bukan aku saja yang pergi solat, kau tu pun patut pergi sama. Kalau kau lapar sangat, kau pergilah makan dulu, aku tetap nak solat, aku tak sukalah melambat-lambatkan solat,” tegas Fatimah. Akhirnya Katy mengalah dengan keputusan Fatimah.

“Hish! Lambatnya Fatimah ni, mengalahkan ustazah pula tu, entah doa apalah yang dibacanya. Menyusahkan aku betullah dia ni, nasib baik kau kawan aku, kalau tidak…” Bentak Katy dalam hati. Jus oren yang dipesannya sudah hampir habis diminumnya.

“Assalamualaikum,” Fatimah memberi salam.

“Dah siap solat? Lamanya engkau, mengalahkan ustazah. Aku lapar ni, kau tengok ni, nasi yang aku pesan pun dah sejuk,” terjah Katy. Fatimah menggeleng kepala melihat telatah kawannya itu.

“Kau ni Katy, salam aku pun kau tak jawab. Menjawab salam tu wajib tau,” kata Fatimah sambil melabuhkan punggungnya di kerusi. Fatimah sedar bahawa kawannya itu tidak selesa dengan caranya selama ini, tatapi bukankah menegur dan mengingatkan ke arah kebaikan itu merupakan satu dakwah juga. Sebagai kawan ianya menjadi tanggungjawab bagi Fatimah menyedarkan kawan rapatnya itu.

“Sudahlah, tak payahlah nak berceramah dengan aku. Aku malaslah nak dengar. Makanlah nasi tu cepat. Asyik menunggu kau, nasi pun dah sejuk.” Fatimah senyum dan mendiamkan diri, dia pun malas menyangkal kata-kata Katy.

“Esok kau ada masa tak?” Katy memecahkan kesunyian dua sahabat itu.

“Esok? Kenapa? Sebenarnya aku memang tak ada cadangan nak pergi ke mana-mana esok. Kau nak datang ke rumahkah? Ada apa dengan esok?” Fatimah bertanya kembali.

“Aku kira dalam jam tiga petang esok, nak minta kau temankan aku ke rumah Misah, nak hantar kain. Aku nak minta dia jahitkan baju kebaya moden aku untuk majlis perkahwinan Lisa. Lepas makan ni kau temankan aku beli manik untuk baju aku tu, aku nak pilih manik jenis baru, cantik tau,” kata Katy bersungguh-sungguh.

“Kalau petang esok, aku minta maaf, aku tak dapat temankan kau,” kata Fatimah.

“Kenapa pula? Tadi kata tak pergi mana-mana. Ini tak boleh temankan pula. Kau takut mak kau marah ya, atau kau mahu aku yang belanja kau. Kau jangan bimbang, semua perbelanjaan esok aku akan tanggung.” Kata katy mengharap.

“Bukan pasal mak atau pasal duit.” Ujar Fatimah ringkas.

“Habis pasal apa pula?” kelihatan sedikit kedut kehairanan di wajah Katy. Makanan di dalam pinggan ditusuk-tusuknya dengan garfu.

"Esok hari minggu. Jam tiga petang ada rancangan Eh Dih Dih. Aku tak mahu ketinggalan mendengaran rancangan kegemaran aku tu,” jelas Fatimah.

“ Rancangan bahasa Kedayan Brunei tu?” Tanya Katy. Fatimah mengangguk sambil menghirup milo ais yang dah habis aisnya itu.

“Hish! Kau ni kolot sangatlah Fatimah, rancangan kampungan itu yang kau suka. Tiada rancangan lainkah yang kau minat? Aku bab-bab cakap kedayan ni malulah aku nak dengarkan kat orang luar. Kita dah dua puluh lima tahun jadi Wilayah, kau masih nak agung-agungkan bahasa kampungan itu, aku hairalah kau ni,” Katy tersenyum sinis melihat kawannya Fatimah.

“Aku masih ingat masa kita sekolah rendah dulu, kau langsung tak pandai cakap kedayan, aku suruh kancing pinjawan pun kau tak tau, adakah patut kau kata aku suruh kencing jendela pula, hehehe... luculah kalau aku ingat masa tu,” Katy ketawa kecil.

“Betullah, masa tu aku memang tak faham bahasa kedayan ni, mak aku cina, kau pun tahukan. Bapa aku memang kedayan, tapi di rumah kami cakap melayu. Aku membesar di Petagas. Aku berkawan dengan orang-orang bajau di sana. Mereka semua cakap melayu dengan aku, sebab aku memang tak pandai cakap bajau pun,”

“Di Sabah, kaum lain cukup bangga dengan bahasa mereka, cina, india, bajau, kadazan, dusun dan banyak lagi suku lain yang cukup fasih dengan bahasa mereka, walaupun mereka pandai berbahasa melayu tapi mereka tak pernah melupakan bahasa nenek moyang mereka. Kau yang memang asal keturunan kedayan sepenuhnya, kenapa pula kau harus malu dengan bahasa nenek moyang kita sendiri. Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan mengagung-agungkan bahasa kita tu.” Terselit rasa kesal dihati Fatimah melihat perubahan Katy.

“Aku rasa itu bukan satu isu yang besar untuk kita persoalkan, sepatutnya kau berbangga menjadi penduduk Labuan yang telah maju setelah menjadi Wilayah. Bukannya sibuk nak mempertahankan bahasa kampungan tu.” Katy mencebik bibir.

“Kau tengok Labuan sekarang. Sudah ada Universiti, Martikulasi. Kau tengok Ujana Kewangan ni, ini satu kebanggaan untuk penduduk Labuan. Kita telah dimajukan setelah bergelar Wilayah. Sekolah-sekolah dah dinaik taraf, lapangan terbang juga tidak kurang hebatnya. Kau ni bagaikan menolak kemajuan. Kau tengok sendiri, taraf ekonomi penduduk Labuan juga turut meningkat. Tak perlu lagi kita bersusah payah menanam padi dan mengisar kopi. Kita semua dah mampu membeli di kedai.” Ujar Katy tidak mahu mengalah.

“Katy... Katy... Aku tak pernah menolak kemajuan. Aku juga cukup bangga menjadi penduduk Labuan yang semakin maju ini,”

“Habis tu?” Katy mencelah.

“Bagi aku, sama ada kita di bawah Sabah atau dah menjadi Wilayah seperti sekarang, kemajuan Labuan tetap juga akan berjalan. Kerajaan pusat akan memberikan dana untuk kemajuan setiap negeri sama ada di bawah Wilayah atau tidak. Kau tengok jalan Menumbok Beaufort. Sekarang dah beralas tar. Dulu hanya tanah kuning saja. Jalan-jalan ke daerah lain juga sudah beralas tar, perjalanan sekarang mengambil masa yang singkat untuk sampai ke destinasi yang dituju kerana jalanraya yang cukup baik. Bukankah itu satu kemajuan yang dimiliki rakyat Sabah walaupun bukan dalam Wilayah.” Kata Fatimah.

“Kau ni macam anti Semenanjung saja Fatimah. Hey kawan, jangan biarkan hati dijajah,” pedas juga kata-kata yang dilahirkan oleh Katy itu. Terasa panas pula telinga Fatimah mendengarnya, namun begitu dia masih boleh bertenang menangani kawan baiknya itu. Dia sedar Katy memang suka cakap ikut sedap mulut saja.

“Kau jangan salah faham Katy, aku tak pernah anti Semenanjung atau orangnya. Aku anggap mereka semua tu sama macam kita, sama-sama rakyat Malaysia. Bukankah kita satu Malaysia. Apa yang penting, kemajuan untuk masyarakat Labuan diutamakan.”

“Mungkin kau lupa kata Perdana Menteri kita, satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Maksudnya pemimpin kita akan memberi keistemewaan sama rata untuk rakyatnya, tidak kira sama ada dalam Wilayah atau sebaliknya.” Jelas Fatimah. Katy terpaku mendengar kata-kata yang dilontarkan oleh Fatimah. Selama ini tidak pernah pula Fatimah mempersoalkan tentang kepimpinan seperti itu melainkan soal-soal keagamaan.

“Aku cukup bangga jadi rakyat Malaysia. Tapi tidak bermakna aku akan melupakan bahasa nenek moyang kita. Bahasa kedayan. Apa yang harus kita lakukan agar bahasa Kedayan ini tidah hilang begitu saja? Kita sebagai perwaris sepatutnya berusaha mengekalka bahasa ini agar tidak luput ditelan zaman. Kita perlu berusaha agar bahasa kita dikenali ramai rakyat Malaysia. Kita juga perlu ingat sebelum orang suka bahasa kita, kita kena suka bahasa kita sendiri dulu. Jangan kita malu dengan bahasa kita sendiri.” Kata Fatimah panjang lebar.

“Aku memang tabik betullah bila RTM Labuan F.M berani menerbitkan rancangan bahasa Kedayan Brunei ini. Rancangan Eh Dih Dih, tiap-tiap hari ada siarannya. Aku dengar RTM Sabah pun nak buat ulang siar drama Kedayan Brunei terbitan RTM Labuan F.M ni di sana. Kalau ianya terlaksana, tentu seronok. Kita patut mulakan di sini dulu, barulah kita boleh bawa bahasa kita keluar dari kepompongnya. Andainya kita bawa bahasa Kedayan ni secara mengejut ke Semenanjung, tentu usaha itu akan sia-sia. Kau cakaplah bahasa kedayan di Semenanjung, ada orang faham, ada yang nak dengar?” sambung Fatimah lagi.

“Betulkah RTM Sabah nak buat ulang siar rancangan Eh Dih Dih di sana?” Katy ingin tahu.

“Emm... yang aku dengar-dengar begitulah bunyinya. Harap-harap ianya akan menjadi kenyataan, kita tidak boleh mengharap dari Semananjung yang nak siarkan rancangan seperti itu, di Sabah kita masih punya ramai peminat yang mahu mendengar rancangan bahasa tempatan seperti bahasa Kedayan Brunei. Aku ingat lagi, sewaktu budak-budak sekolah menengah buat persembahan drama pentas dalam bahasa Kedayan tempoh hari. Riuh satu dewan dengan tepuk sorak penonton. Ini membuktikan di luar sana masih ramai yang mengharap agar bahasa tempatan itu ditonjolkan, sedangkan kita masih ketandusan persembahan yang berbentuk kedaerahan.”

Dua puluh lima tahun Labuan menjadi Wilayah, terlalu banyak perubahan kehidupan sosial masyarakat Labuan. Persekitaran Labuan juga ditumbuhi pusat-pusat hiburan, pusat-pusat perjudian yang berlesen. Soalnya kenapa harus diberi lesen? Rokok dan minuman keras juga mudah didapati di sini dengan harga yang cukup murah. Ini sebenarnya amat menggusarkan Fatimah. Sedikit sebanyak ianya telah mendorong generasi muda terjerumus ke dalam aktiviti yang kurang sihat.

Walaupun rokok atau minuman keras tidak dibenarkan dijual kepada remaja bawah umur, namun kerakusan peniaga yang tidak bertanggungjawab dan tidak mengendahkan keburukan yang bakal diterima menyebabkan undang-undang seperti itu dipandang remeh. Malah dadah juga mudah didapati di sini.

Kes-kes kecurian dan merosakan harta benda awam juga sudah mula timbul. Penipuan di sana sini, rasuah juga semakin berleluasa. Ugut mengugut, kes bunuh, rogol dan banyak lagi yang memeningkan pihak berkuasa.

Tidak dinafikan, pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita juga cukup ketara. Anak-anak yang masih berpakaian seragam sekolah, tanpa rasa segan silu berpelukan dan berkucupan di khalayak ramai. Anak-anak sekolah yang mengandung akibat pergaulan bebas, akhirnya terkandas belum sempat menamatkan persekolahan. Penguguran anak juga berlaku walaupun tidak begitu ditonjolkan. Adakah telah terhakis sopan santun yang diajar oleh para guru dan orang tua-tua kita dulu setelah Labuan menikmati kemajuan?

Fatimah merenung sekelompok remaja wanita yang berpakaian singkat. Fatimah menggaru dahinya yang tidak gatal. Terselit rasa kasihan di hatinya melihat gelagat anak remaja masa kini yang masih belum sedar dari fantasi mereka. Apakah puncanya sehingga perubahan itu cukup pantas sekali. Tiada keayuan dan kelembutan seorang wanita yang terpamer. Ianya bagai tiada beza di antara lelaki dan wanita. Juga cukup ketara di sana sini, lelaki berambut panjang manakala wanita pula berambut pendek.

Mungkin terlalu banyak peranan yang menjadi penyebab perubahan ketara di kalangan masyarakat Labuan. Antaranya faktor ekonomi yang memaksa agar ibu bapa mencari pendapatan lebih untuk menyara hidup keluarga. Anak-anak kecil dihantar ke taska atau dijaga oleh pembantu rumah. Kurangnya berinteraksi dan kasih sayang dari ibu bapa kerana kesibukan kerja. Akhirnya anak-anak mengalami stres atau tekanan dan mengambil keputusan sendiri tanpa mengira baik buruknya.

“Termenung panjang nampak? Ingatkan tunang tercintakah?” tegur Katy tatkala melihat Fatimah termenung panjang.

“Eh Katy, tak sedar aku kau datang. Dah dapat manik yang kau nak beli tu?” tanya Fatimah.

“Dah dapat pun... yang kau tu asyik berkhayal tu kenapa? Nak berceramah lagi dengan akukah?” sindir Katy. Fatimah tersenyum melihat gelagat kawannya itu. Katy memang kawan yang baik, walaupun gayanya agak kemodenan tapi sebagai kawan dia cukup memahami Fatimah dan tidak mudah ambil hati.

“Emm... memang banyak lagi tajuk ceramah yang aku nak perdengarkan, bersiaplah kau Katy,” gurau Fatimah sambil menepuk bahu kawannya Katy.

“Kau tengok siapa tu Fatimah? Surat siapa pula yang kau pegang tu, surat dari Arifkah, atau surat dari kekasih baru,” usik Katy tatkala melihat Fatimah yang bagai mencari seseorang sambil memegang sepucuk surat bersampul putih.

“Aku tengah tunggu sepupu aku, surat ni surat dia. Dia guna alamat aku.” Terang Fatimah. Katy mengangguk tanda mengerti maksud Fatimah.

Tidak beberapa lama kemudian, datanglah sepupu Fatimah berbaju kurung biru, siap dengan tudung yang penuh kesopanan. Katy terpegun melihat keayuan dan kemanisan raut wajah sepupu Fatimah.

“Masih ada lagi remaja wanita yang menjaga kesopanan dan kelembutan di zaman moden ini,” bisik hati Katy.

“Assalamualaikum kak,” sepupu Fatimah menyapa sambil menghulurkan tangan berjabat salam dengan Fatimah dan juga Katy. Fatimah dan Katy serentak menjawab salam.

“Maafkan Tijah kak, terlambat sikit, kelas baru selesai. Tadi cikgu lambat masuk, ada hal katanya,” kata sepupu Faimah sopan.

“Tak apalah, kakak faham. Ini surat Tijah, baru semalam sampai,” Fatimah menghulurkan surat bersampul putih kepada sepupunya itu. Tijah tersenyum riang sambil menyambut surat dari tangan Fatimah. Setelah menyimpan surat bersampul putih ke dalam bag sandang, Tijah minta izin untuk pergi ke kedai buku. Pergerakan Tijah diperhatikan oleh Katy dengan penuh minat.

“Hey! Kau tengok sepupu aku tu lama-lama apa hal, kau tu perempuan, kalau lelaki aku taulah kau dah jatuh hati dengannya.” Sergah Fatimah mengejutkan lamunan Katy. Entah apa sebenarnya yang terlintas difikiran Katy masa itu, langsung tidak diketahui oleh Fatimah.

“Hish! Kau ni buat aku terperanjat saja. Siapa nama sepupu kau tu?” tanya Katy ingin tahu.

“Siti Khatijah...” jawab Fatimah ringkas.

“Emm... cantik orangnya, sopan pula tu, semakin kurang remaja sekarang yang bersopan seperti sepupu kau tu,” puji Katy penuh keikhlasan.

“Memang cantik dia tu, secantik namanya, Siti Khatijah, sama seperti namamu Katy. Cuma kau tu tak suka dipanggil Khatijah, seronok pula dipanggil dengan nama Katy. Emm... kau ni bila pula nak pakai tudung,” sindir Fatimah.

“Hello kawan, kau gilakah nak suruh aku pakai tudung sekarang ni. Mahal tau aku bayar salun buat rambut aku secantik ini,” Kata Katy penuh geram.

“Aku belum gila lagi. Cuma aku mau kau sedar, kita sudah dua puluh lima tahun dalam Wilayah, dah banyak kemajuan yang kita rasai, takkanlah kau masih belum sedar, memakai tudung tu wajib. Janganlah kerana mengejar kemajuan, adat resam kita musnahkan, sopan santun kita tinggalkan dan hukum agama kita lupakan.” Ujar Fatimah.

“Aku semakin risau melihat perubahan masyarakat kita di Labuan ni, setelah mengecapi kemajuan, ramai yang berubah laku. Aku tak nafikan, memang ekonomi masyarakat Labuan dah meningkat, aku bersyukur tentang itu, tapi ramai yang hilang sopan santun, malu dengan asal keturunan dan ramai yang lebih berbangga dengan gaya hidup moden.” Tambah Fatimah panjang lebar.

Kalau diimbas kembali zaman dulu, jika ada jiran membuat kenduri kendara, orang-orang kampung dengan penuh keikhlasan membantu agar acara yang dilaksanakan berjalan dengan lancar. Namun begitu, amat ketara di saat ini, jika ada majlis besar kebanyakannya diuruskan oleh seseorang yang dibayar upah. Bantuan percuma seperti dulu sukar ditemui di zaman moden ini. Kalau pun ada, bilangannya amat kecil.

Tidak dinafikan ada juga badan-badan organisasi yang berusaha mewujudkan dan memupuk sifat sopan santun, hormat menghormati, gotong-royong, setia kawan di kalangan masyarakat, namun begitu ianya sukar dilaksana andainya masyarakat Labuan sendiri tidak memberi sokongan yang padu. Ada juga di kalangan masyarakat yang menganggap ianya umpama menjaga tepi kain orang dan membebankan mereka.

Fatimah merenung ke luar jendela rumahnya, kelihatan sebelah menyebelah bangunan Perumahan Taman Mutiara yang mengambil masa lebih sepuluh tahun untuk siap sepenuhnya. Ayah Fatimah sendiri terpaksa membayar bank dan membayar sewa rumah tempat mereka tinggal sebelum ini selama tiga belas tahun dan setelah itu barulah mereka dapat mendiami rumah yang dibeli oleh ayahnya itu.

Waktu itu mereka sekeluarga terpaksa berjimat cermat kerana lebih separuh gaji ayah Fatimah habis untuk membayar rumah di Taman Mutiara, membayar rumah sewa dan membayar kereta yang mereka beli dengan cara ansuran. Namun bebanan berat umpama mimpi di malam hari apabila rumah yang Fatimah dan keluarga tunggu-tunggu itu akhirnya siap dan boleh didiami. Perumahan Taman Mutiara yang dilengkapi dengan surau, taman permainan kanak-kanak, dewan dan bangunan kedai itu cukup memudahkan para penghuninya.

Keriuhan anak-anak bermain di taman yang disediakan di kawasan Perumahan Taman Mutiara itu mematikan lamunan Fatimah. Kelihatan juga para remaja yang berkumpul mengikut kumpulan masing-masing. Teringat kembali oleh Fatimah apabila pintu rumah Ustazah yang tinggal di tingkat bawah pecah dirosakan oleh remaja nakal. Apa yang amat menyedihkan Fatimah, tiada siapa pun jiran yang cuba membantu ketika itu. Benar-benar masyarakat Labuan sudah jauh berubah setelah dilanda kemajuan.

Minggu lepas seorang pelajar mati apabila dilanggar lari oleh sebuah kereta. Ada juga terdengar oleh Fatimah, seorang ibu menyaman seorang guru kerana merotan anaknya. Ada juga kes seorang murid menguggut gurunya sendiri. Lebih teruk lagi apabila seorang bapa memukul guru hingga koma. Di manakah hilangnya rasa hormat menghormati, tanggungjawab dan kasih sayang di kalangan masyarakat moden dewasa ini.

Kehidupan sosial masyarakat Labuan kini amat memukul jiwa Fatimah. Kegusaran dan kekecewaan bercampur gaul dalam sanubari. Air mata kekesalan mengalir lesu. Fatimah ingin menangis, tapi untuk apa? Apakah dia mampu mengubah gaya hidup yang semakin menghimpit itu.

Tiba-tiba pintu rumah Fatimah diketuk orang, seraya kedengaran suara Katy dari luar. Fatimah segera menghapus air matanya yang masih bersisa dipipi. Pintu rumahnya dibuka perlahan. Katy dipersilakan masuk ke dalam.

“Tahniah...tahniah... aku dengar skrip rancangan drama Eh Dih Dih kau keluar tadi. Aku tak sangka kau boleh menghasilkan skrip bahasa Kedayan Brunei. Patutlah aku ajak keluar kau tak mau, rupa-rupanya kau tunggu skrip kau keluar radio.” Ujar Katy penuh semangat. Fatimah tersenyum namun tiada kata-kata yang terkeluar dari bibirnya.

“Sebagai kawan, aku cukup bangga dengan kau. Kau bukan saja pandai buat skrip tapi pandai juga berceramah dengan aku, sepatutnya kau ni jadi orang politik, baru sesuai. Kau kan banyak kebolehan,” usik Katy.

“Aku tak suka politik. Banyak keburukan di sebalik kebaikan. Banyak juga penipuan di sebalik kebenaran. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan sendiri. Sukar mencari pemimpin yang benar-benar telus. Kalau ada pun bilangannya terlalu kecil.” Ujar Fatimah serius.

“Kalau begitu, kau sajalah jadi pemimpin. Pemimpin yang benar-benar jujur dan amanah, pemimpin yang telus seperti yang kau harapkan.” Kata Katy lagi. Fatimah diam.

“Kau ni Fatimah, serius sangat, emak kau mana, kau seorang sajakah?” tanya Katy lagi sambil meninjau-ninjau sekitar rumah Fatimah.

“Emak dan abah pergi Kuala Lumpur, bawa adik-adik bercuti,” ujar Fatimah sambil menghulurkan air tin kepada Katy. Air tea bunga kegemaran Katy disambut segera oleh Katy.

“Wah! Seronok tu, kenapa kau tak ikut? Tak dapat cuti ya, kasihan kau Fatimah, terpaksalah kau tunggu rumah” usik Katy.

“Malas nak pergi,” kata Fatimah ringkas.

“Malas? Hai kawan, itu pergi Kuala Lumpur, bukan pergi Kota Kinabalu. Kau boleh kata malas. Atau kau ni anti orang Semenanjung? Kita sudah dua puluh lima tahun dalam Wilayah, kau masih bersikap macam ni, aku hairanlah kau ni,” Katy menggeleng kepala.

“Kau ni Katy, cakap ikut sedap mulut kau saja. Aku bukan anti orang Semananjunglah. Orang Semenanjungkah, orang Sabahkah, sama saja. Dalam pejabat kita tu pun bercampur dengan orang dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Aku baik pun dengan mereka semua. Kitakan satu Malaysia.” Terang Fatimah. Fatimah sebenarnya tahu yang Katy sengaja mahu mengusiknya.

“Hehehe... aku saja nak usik kau, kau tu serius sangat. Bukan apa Fatimah, kita sepatutnya bersyukur, setelah jadi Wilayah Persekutuan ini banyak perubahan yang kita kecapi. Kehidupan masyarakat Labuan pun taklah sesusah dulu. Hampir semua rumah di Labuan ni sudah ada kemudahan air dan elektrik. Kalau diingat-ingat, banyak lagi kemudahan yang telah diberi oleh kerajaan kepada mesyarakat Labuan sekarang ni,” Fatimah yang duduk di sofa ruang tamu rumahnya tekun mendengar kata-kata Katy. Namun begitu ada persoalan yang masih ligat bermain dikepalanya yang ingin dilontarkan kepada Katy.

“Kau yang banyak berdiam diri sedari tadi ni kenapa? Ada masalah?” Tanya Katy kehairanan melihat Fatimah yang banyak membatu diri.

“Sebenarnya ada persoalan yang bermain dalam fikiran aku,” ujar Fatimah.

“Apa persoalannya?” Tanya Katy ingin tahu.

“Kalau dulu ada juga orang Labuan yang jadi Ketua Menteri. Semua masyarakat Labuan cukup bangga waktu itu. Jika ada kekurangan masyarakat Labuan dapat kita suarakan dengan lebih mudah kerana Ketua Menteri pada waktu itu adalah orang Labuan sendiri. Bagaimana pula sekarang? Setelah kita menjadi Wilayah, bolehkah orang Labuan jadi Ketua Menteri lagi?” Tanya Fatimah. Katy terdiam sambil berfikir.

“Nampaknya orang Labuan ni hanya setakat Ahli Parlimen sajalah,” ujar Fatimah sambil tersenyum sinis. Katy kehilangan kata-kata waktu itu.


TAMAT
Saguhati Peraduan Menulis Cerpen 2009
Sempena 25 Tahun Labuan Menjadi Wilayah (Jubli Perak WP Labuan)

AKU DIA DAN KAMERA

Cerpen di bawah ini adalah penyertaan saya untuk Contest : RM50 untuk dimenangi dari blog Oh!Dawie. Sila click link untuk keterangan lebih lanjut.


Karya: Norgadis Labuan


Dawie. Ganjil sungguh nama itu. Apakah bendanya itu? Adakah ianya boleh dimakan? Apakah ianya boleh dipakai atau apakah ia genatik yang telah diklonkan? Ah… memang ganjil nama itu. Hahaha… nama itu tercipta untuk diriku. Apakah ada pada nama, atau mungkin ada pengertiannya yang menarik disebaliknya. Aku mengeluarkan dairy dari beg hitamku. Aku cuba mencari-cari pengertian di sebalik namaku sendiri.

D ertinya “Dinamik”

A ertinya “Amanah”

W ertinya “Warak”

I ertinya “Ikhlas”

E ertinya “Emosional”


Cheh wah! Hebat juga nama aku, sebagai seorang jejaka yang tampan… tampankah aku? Tapi, memang ramai orang yang mengatakan aku begitu, dari kanak-kanak sehingga ke tua tetap mengatakan aku tampan. Memang aku tampanlah tu. Aku juga dikatakan baik, peramah, pemurah, penyayang dan ada juga yang mengatakan aku sedikit warak orangnya. Warakkah aku? Hehehe… Betulkah semua itu? Biarlah mereka menjawab sendiri. Mereka memang berhak berkata begitu, kerana Tuhan telah menciptakan mulut dan lidah untuk berkata-kata apa yang mereka suka.

Bosan. Mungkin lebih baik aku tidur. Kuperhatikan kipas yang ligat berputar, namun fikiranku jauh melayang. Kipas di pandanganku bukanlah menjadi bahan penting dalam fikiranku.

Pelik. Setampan aku ni, susah juga nak cari gadis idaman. Antara Rozi, Ayu, Ana, Rina dan banyak lagi, adakah mereka boleh dijadikan gadis idamanku? Emm.. sudah banyak aku tangkap gambar mereka dengan pelbagai gaya. Sedikit pun tiada yang menyentuh hatiku. Jangan kata nak berdegup jantung, getar pun tak terasa.

Kamera oh kamera… nampaknya kaulah yang jadi gadis idamanku. Kenapalah kau tak tangkap gambar gadis yang boleh jadi gadis idamanku? Kau tak kasihankah dengan aku. Aku ni dah jadi macam orang gila dalam bilik ni. Nasib baik tak ada orang tengok, kalau ada, sah aku dikatakan dah gila.

Emm… macam ada sesuatu dalam laci aku tu. Aku membuka laci meja aku yang tidak berkunci. Aku mencari-cari sesuatu di dalam laci. Kelihatan sebuah album gambar enam bulan yang lalu. Aku membelek-belek gambar yang ada.

Ya..! Ini yang aku cari. Aku mengeluarkan sekeping gambar seorang gadis tanpa nama. Aku senyum sendiri mengenang saat bertemu gadis itu.

“Assalammualaikum, maaf jika mengganggu.” Aku memberi salam.

“Wa’alaikummusalam. Ya… ada apa-apa yang saya boleh bantu,” jawab seorang gadis yang berada dihadapanku. Keayuan, kelembutan gadis itu membuat aku ingin berkenalan dengannya.

“Awak tunggu siapa?” Tanyaku lagi

“Tengah tunggu mama dan abah. Tadi semasa buat tawaf, kami terpisah. Akhirnya saya buat keputusan untuk menunggu mereka berdua di sini.”

“Oh begitu. Awak asal Indonesia?” Aku ingin tahu.

“Taklah, saya orang Malaysia,” jelas gadis itu sambil tersenyum.

“Maaf, saya ingatkan orang Indon. Dah berapa hari sampai di Mekah ni?” aku bertanya lagi.

“Dah enam hari. Esok hari terakhir. Dah nak berangkat balik ke Malaysia. Alhamdulillah… itu mama dan abah, dah siap pun buat saie. Saya ke sana dulu ya…”

“Tunggu kejap. Boleh saya ambil gambar awak?” Ujarku. Gadis itu mengangguk sambil tersenyum manis bersama pakaiannya yang serba putih ketika itu. Setelah siap aku mengambil gambar, gadis itu pun berlalu sambil melambai-lambaikan tangannya.

Ah… aku tetap aku, aku yang masih kesunyian. Rasa tak puas menatap gambar gadis yang kutemui di Mekah sewaktu membuat umrah enam bulan yang lalu.

Kenapalah aku bodoh sangat, sampai nama pun lupa tanya. Minta alamatkah, minta nombor telefonkah. Mungkin dialah gadis idaman aku. Adakah tanda-tanda atau petunjuk yang aku akan bertemu dengannya lagi? Aduh… aku pun tak tahu. Lebih baik aku jalan-jalan di pantai. Mungkin ada pemandangan yang menarik di sana.

Sebenarnya sudah tiga bulan aku tidak berkunjung ke pantai ini, entah kenapa kali ini kakiku bagai diarah untuk pergi ke sini. Senja ini sungguh indah sekali. Desiran ombak menghempas pantai, bagai melambai mesra bayu dingin agar memeluk tubuh sasaku. Sedikit kedinginan terasa olehku. Alamak… berpuitis pula aku ni.

Lama sudah aku tidak melihat keindahan senja. Kelihatan ramai pasangan yang berdua-duaan di situ juga menikmati keindahan yang kurasa. Aku yang sendirian, masih lagi melihat alam sekeliling sambil mengambil gambar pemandangan yang cukup menarik.

“Assalamualaikum, maaf jika mengganggu.” Aku menoleh ke arah suara lembut itu. Suara itu seperti pernah kudengar satu ketika dulu.

“Awak…” Aku terpaku.

“Tak nak ambil gambar saya lagi?” kata gadis yang kutemui di Mekah enam bulan yang lalu. Pertemuan senja itu akhirnya membibitkan bunga-bunga cinta antara aku dan dia. Dan kamera kesayanganku telah merakamkan kenangan indah waktu itu…


TAMAT
30 Dis 2009, Jam 5.52 petang

Mrdaha End Year Contest: BEKAS TUNANG

Cerita ini adalah untuk penyertaan Mrdaha End Year 2009 Contest! di blog Mrdaha.

Karya: Norgadis Labuan

Pertemuan dua sahabat lama, di sudut sebuah restoran…

TINA : Assalammualaikum… kau ni…

ME : Wa’alaikummussalam… Tina..! Lama tak nampak kau. Bila kau balik? Mari duduk…

TINA : Kau ni tak ubah-ubah. Perangai macam dulu juga. Belum sempat aku jawab satu soalan, soalan ke dua dah muncul.

ME : Biasalah… Kau bukan tak kenal aku. Rasanya dah sepuluh tahun kita tak jumpa, tak sangka pula kita boleh jumpa di sini. Emm… bila kau balik sini?

TINA : Baru sebulan, ikut suami. Anak kau dah berapa orang sekarang?

ME : Dua orang. Kau?

TINA : Aku baru seorang. Kau tunggu siapa ni? Seorang-seorang saja aku tengok.

ME : Aku tunggu bekas tunang aku. Tadi dia janji nak makan sama-sama.

TINA : Hish! Kau tunggu bekas tunang kau. Kau biar betul… bukankah kau sudah ada suami.

ME : Tak salahkan kalau makan dengan bekas tunang?

TINA : Kau dah bercerai dengan suami kaukah?

ME : Gilakah nak bercerai dengan suami aku. Dia tu baik orangnya, penyayang…

TINA : Habis tu yang kau buat gila ni, apa hal pula? Adakah nak makan dengan bekas tunang, kau tak takutkah suami kau marah? Manalah tau dia ternampak…

ME : Suami aku tak marah pun, lagipun bekas tunang aku tu tinggal serumah dengan aku.

TINA : Ini betul-betul kerja gila. Bekas tunang kau tinggal serumah dengan kau? Serumah dengan suami kau?

ME : Emm…

TINA : Suami kau taukah yang dia tu bekas tunang kau?

ME : Tau… Kami tak berahsia pun…

TINA : Kau dah buat guna-gunakah suami kau tu, sampai ke tahap tinggal bersama dengan bekas tunang pun dia tak marah? Aku memang tak fahamlah dengan gaya hidup kau. Kau…kau dah…

ME : Emm… aku dah tidur bersama pun dengan bekas tunang aku tu. Itu yang kau nak tanyakan? Puas hati?

TINA : Kau gila… aku tak sangka kau boleh jadi macam ni. Kau dah banyak berubah…

ME : Aku tak berubah pun, sama macam dulu juga. Kau tu, dah lama menjadi sahabat aku, tapi masih tak kenal aku.

TINA : Sahabat yang aku kenal dulu, tak buat gila macam ni. Walaupun perangai gila-gila, tapi…

ME : Tapi apa? Tapi tetap baik hatikan? Hehehe… Ni aku nak terangkan sikit dengan kau. Yang aku katakan bekas tunang aku tu, sebenarnya dia tu suami aku. Sekarang dah tak boleh panggil tunang lagi sebab kami dah berkahwin. Jadi aku panggil bekas tunanglah… hahaha…

TINA : Kau ketawakan aku. Sampai hati kau main-mainkan aku. Aku ingat kau isteri curang tadi. Hish! Kau memang tak berubah, asyik main-mainkan aku saja.


Akhirnya mereka ketawa bersama…..

Selamat Hari Bapa

KARYA: NORGADIS LABUAN

Ayah yang kupanggil abah selama ini, merupakan seorang ketua dijabatannya. Walaupun beliau merupakan seorang ketua yang agak tegas, tetapi beliau sentiasa mengambil berat dan amat di hormati oleh pekerja bawahannya. Disebalik ketegasannya, abah merupakan seorang yang suka berjenaka. Malah dalam keluarga kami, kehadiran abah menceriakan lagi suasana. Tidak hairanlah jika kami digelar keluarga bahagia dan sempurna.

Kalau dibandingkan antara abah dan ibu yang kupanggil mama, aku lebih memilih abah. Walaupun aku anak perempuan, tetapi kemesraan abah lebih menyenangkanku. Kalau aku sakit demam, abahlah lebih dahulu memberiku ubat dibanding mama yang hanya berleter. Kalau aku ada masalah dalam pelajaran, abahlah yang lebih banyak memberi semangat dan tunjuk ajar.

Sekarang aku sudah dewasa dan mempunyai kerjaya sendiri. Setiap hari kalau aku pergi kerja, abah jugalah yang menghantar aku. Mungkin aku dikatakan anak manja, tapi pada hakikatnya, kebebasanku amat ketat dibandingkan rakan yang seusia denganku. Semuanya atas alasan demi menjaga keselamatan. Aku tidak mempunyai pilihan melainkan akur dengan keputusan keluarga.

Pada suatu hari, abah menghantar aku pergi ke tempat kerja seperti biasa. Pagi itu agak lain dari pagi-pagi sebelumnya. Abah senyap dan kemudian…

“Rasanya sampai sudah masanya untuk abah meluahkan sesuatu,” kata abah dengan nada yang serius ketika itu. Aku diam dan tidak berani berjenaka seperti selalu kerana abah benar-benar serius ketika itu. Abah masih lagi memandu keretanya dengan tenang tanpa berpaling kepadaku. Hatiku berkata-kata, apa sebenarnya yang ingin abah luahkan. Apakah aku sebenarnya hanyalah anak angkat? Oh tidak. Terlalu banyak persoalan yang bermain dalam kotak fikiranku.

“Abah tahu, Ayang anak yang baik, selalu menjaga makan dan pakai abah. Ayang anak yang hormatkan orang tua. Abah akan ingat itu semua, sampai bila-bila pun abah tak akan lupa. Abah tahu Ayang juga anak yang sabar, walaupun mama selalu marah dan pukul Ayang, tapi Ayang tetap sediakan sarapan dan makan untuk keluarga kita.” Aku tidak tahu kenapa abah berkata demikian. Sebak rasa hatiku mendengarnya. Air mataku mula bergenang dikelopak mata.

“Kenapa abah ni, abah ada masalah?” Kataku sambil menahan sebak didada.

“Ayang, abah tengok Ayang dah besar, abah rasa Ayang perlu belajar berdikari selepas ini. Abah tau ini bukan kesalahan Ayang, tapi abah tak mampu berbuat apa-apa, jika mama melarang Ayang pergi ke mana-mana melainkan tempat kerja, abah terpaksa akur dengan keputusannya, kalau tidak kami akan bergaduh lagi..

Sebenarnya selama dua puluh tahun abah sudah cuba bersabar dengan perangai mama. Mungkin waktu ini kesabaran abah dah habis. Abah rasa abah nak pindah dari sini, tinggallah kamu semua di sini. Abah nak membawa diri merawat luka hati abah yang dah lama terpendam. Abah ingin bersendirian. Ayang tak perlu risau tentang abah, abah boleh jaga diri abah sendiri. Abah dulu pun biasa hidup susah.”

“Kenapa abah cakap macam tu, apa salah Ayang sampai abah nak tinggalkan Ayang. Siapa lagi yang menyayangi Ayang kalau bukan abah. Kalau abah boleh bertahan selama dua puluh tahun, kenapa sekarang tidak.” Aku menutup mukaku dengan kedua belah tanganku. Air mata yang ingin jatuh sedari tadi telah pun membasahi baju kerjaku. Aku menangis dan menangis ketika itu. Aku tidak tahu bagaiman harusku memujuk abah agar pendiriannya berubah, aku tidak mahu abah meninggalkan kami.

“Ayang tak mengerti, mama tak hormat abah, mama selalu tengking abah. Mama selalu kata abah bodoh. Kadang abah balik dari kerja, mama tiada dirumah. Kalau abah tegur, mama akan marah abah balik. Itu pun abah boleh bersabar. Tapi bila adik juga tak hormat dengan abah, cakap kasar-kasar, tengking-tengking dengan abah. Kesabaran abah hilang. Bila abah marah adik balik, mama pula marahkan abah. Macam-macam yang mama kata tentang abah.

Tempohari adik bertumbuk dengan guru sekolahnya, lepas tu adik tumbuk anak polis pula sampai berdarah. Ini sampai kes polis, nasib baik adik dimaafkan. Tapi adik telah dibuang sekolah. Abah cuba merayu agar adik tidak dibuang sekolah demi masa depannya. Tapi abah tak dipandang. Semua guru tak memandang abah. Abah seperti tak wujud pada waktu itu. Dimana abah nak letak muka abah. Abah malu tapi abah tak peduli, demi masa depan adik abah usahakan juga.

Abah tak pernah putus asa, abah pergi ke sekolah lain dan merayu agar adik diambil sekolah di sana. Nasib adik baik, adik diterima atas dasar rasa persahabatan pengetua sekolah tu dengan abah. Abah gembira waktu itu.

Apa yang amat menyedihkan abah. Adik tak pernah berubah, adik bergaduh lagi dengan murid lain, malah mama selalu menyokongnya sehingga abah hanyalah sebagai tunggul kayu didalam rumah kita. Abah tersenyum selama ini bukan kerana keluarga kita keluarga bahagia seperti yang orang kata, tapi abah tersenyum hanyalah sekadar menutupi kelemahan diri.”

Sekarang adikku sudah menjadi seorang ayah, kelihatan keriangan diwajahnya melihat anak lelakinya yang baru lahir. Sempat juga dia meluahkan rasa kesalnya kepadaku atas keterlaluannya dimasa lalu. Aku tahu itulah luahan hatinya yang ikhlas.




Dedikasi Untuk Seseorang Bergelar Bapa
Selamat Hari Bapa
Jangan Sampai Terlambat Melahirkan Rasa Sayang Terhadap Seorang Ayah.