JANGAN BIARKAN AKU GEMBIRA

KARYA: NORGADIS LABUAN


Syawal telah tiba. Kelihatan kanak-kanak keriangan belari ke sana sini selepas solat dipagi raya. Nenek yang bangun sejak jam tiga pagi lagi asyik sibuk menyediakan juadah raya. Aku yang tinggal di rumah nenek juga turut membantu mana yang patut. Walaupun rumah nenek tidak sebesar mana, namun ketenangan amat terasa dengan suasana kampung yang ceria dibanding kawasan perumahan tempat kediaman kami sebelum ini.

Kulihat sepupuku adik Masturah yang berusia empat tahun seusia adikku yang tinggal bersebelahan rumah nenek, begitu comel apabila mengenakan tudung biru yang sedondon dengan bajunya. Tiba-tiba saja terbayang wajah adik, kemurungan wajah ayah dan wajah ibu yang sentiasa bergenang dengan air mata meski masih sempat menghadiahkan senyuman kepadaku. Keadaan ini benar-benar mengheret aku kealam yang memilukan.

"Ya Allah, kenapa aku dilahirkan didalam keluarga yang malang ini. Apakah dosaku. Apakah salahku ya Allah," aku menangis. Aidilfitri tahun ini tidak disambut seperti tahun-tahun yang lalu.

Aku masih ingat lagi kisah sewaktu petang itu, ketika aku sibuk membersihkan halaman rumah. Kulihat ibu sedang mengangkat kain jemuran dan ayah pula asyik dengan membersihkan kereta barunya. Aku rasa adik pasti masih tidur di dalam bilik waktu itu.

“Ira…! Ira tolong sapu halaman rumah kita ya, raya dah nak dekat ni, nanti ayah bagi Ira main bunga api,” kata ayah.

“Betulkah ayah, Ira boleh main bunga api? Seronoknya… Kalau gitu Ira sapu halaman rumah kitalah ayah,” dengan gembiranya petang itu aku terus melakukan apa yang ayah suruh.

“Rajin anak ibu,” aku melemparkan senyuman, ibu yang baru keluar dari rumah terus menuju ke arah kain jemuran sambil membalas senyumanku.

“Ayah yang suruh Ira buat ibu, kata ayah nanti Ira boleh main bunga api,” Ibu memandang ayah seketika, ayah membalas pandangan ibu seketika.

Aku meneruskan kerja-kerja menyapu halaman rumah, sekali sekali bayu menghembus dan menjatuhkan helaian daun mangga yang membuat hatiku bertambah geram. Aku terpaksa menyapu semula kawasan yang tadinya telah kusapu bersih walaupun halaman rumah kami tidaklah seluas mana dibanding dengan kawasan rumah nenek di kampung.

Daun-daun kering kukumpulkan disudut halaman untuk dibakar. Ranting-ranting kayu juga turut kukutip agar halaman rumah kami kelihatan bersih menjelang raya nanti. Tentu ibu dan ayah akan memujiku andainya halaman rumah kelihatan bersih. Ayah pasti akan memberikan aku duit raya seperti tahun-tahun yang lalu.

Adik… Aku berharap jika adik besar nanti, bolehlah adik menolongku membersihkan halaman rumah kami ini. Emm… dalam usia empat tahun, manalah adik pandai menolong, kalau tolong menyemak bolehlah. Aku tersenyum sendiri kalau mengingat telatah adik.

Dalam kesibukan masing-masing, tiba-tiba kedengaran bunyi letupan mercun di kawasan dapur rumah kami, aku terperanjat. Letupan mercun yang berterusan itu membuat aku tergamam.

“Adik…!” Jeritan ibu membuat aku tidak tentu arah. Ayah terpaku dan hanya memandang ibu yang meluru masuk ke rumah. Apakah yang berlaku kepada adik, adakah adik cedera? Terlalu banyak persoalan yang terlintas didalam kotak fikiranku. Kedengaran lagi satu letupan besar dari arah dapur. Aku menjerit, “Ibu…!” Tiba-tiba kelihatan satu benda melayang dari arah dapur dan jatuh benar-benar dihadapanku.

“Adik…!” aku bagai hysteria. Adik yang tadinya kusangka tidur nyenyak di rumah, kini kaku dihadapanku. Kesan terbakar yang memenuh ruang tubuhnya membuatkan aku mati akal dan lemah. Aku tersungkur dihadapan jasad adik.

Aku menangis, aku tidak tahu apa yang harus kubuat ketika itu, dengan pantas juga rumah kami dijilat api. Ayah entah kemana waktu itu. Ibu pula tidak kelihatan lagi. Jiran-jiran di kawasan perumahan itu sibuk memadamkan api yang semakin membara. Tiupan bayu petang itu memburukkan lagi keadaan. Akhirnya rumah kami musnah semuanya.

“Ya Allah, kuatkah aku untuk meneruskan hidup ini, setelah bala menimpa keluargaku?” Kini bulan syawal datang lagi. Aidilfiti yang ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak seperti aku, pasti akan merasa cukup gembira. Tapi aku, hanya kesedihan yang menyelubungi diriku. Tiada baju raya yang baru untuk kupilih, namun aku masih bersyukur kerana ada jiran yang sudi memberikan baju raya untukku walaupun hanyalah sekadar baju terpakai dari anak-anak mereka yang tidak sesuai lagi utuk mereka.

Ayah. Dimanakah ayah? Ayah masih menjalani hukuman kerana kesalahan menyimpan dan menjual mercun dan bunga api terlarang. Ibu yang terbakar hangus sewaktu kejadian itu menyebabkan seluruh badannya lumpuh. Kini kami hanya bergantung hidup dengan nenek yang telah tua.

Ya Allah, jika hari ini aku bersedih tanpa kata, pujuklah aku dengan tarbiah-Mu. Ya Allah jika aku lemah tidak berdaya, ingatkanlah aku dengan kehebatan syurga-Mu. Ya Allah, jika diantara kita ada tembuk yang memisah dari aku terus mengingat-Mu, leraikanlah ia segera. Ya Allah, jika hari ini aku terlalu gembira menyambut aidilfitri, sedarkanlah aku dengan amaran-amaran-Mu dan jika esok aku atau keluargaku lena tanpa terjaga, jadikanlah kami tergolong dalam orang-orang yang beriman.


TAMAT
Tersiar Di Labuan FM pada 10 Sep 2010
Sempena Aidilfitri 2010

6 ulasan:

dhia berkata...

sedih la bc cerpen ni..

Norgadis berkata...

Salam dhia.
Saya pun sedih juga huhuhu....

Encik MamaT berkata...

kisah betul ke ni :)
tersentuh hati :)

Norgadis berkata...

Salam Encik MamaT.
Kisah ini saya olah dari berita kematian seorang budak akibat kena mercun. Yang lain tu saya tambah untuk dijadikan sebuah cerpen.

hani berkata...

cerpin yng menarik...sedih..

Norgadis berkata...

Salam hani.
Apa khabar? Harapan saya jangan pula sedih memanjang, ceria selalu, terima kasih kerana sudi luangkan masa membaca cerpen saya ini.