MISTERI RUMAH BARU

KARYA: NORGADIS LABUAN

Sudah dua malam aku tidak dapat tidur. Bahang air laut dan kepadatan rumah setinggan tempat aku berteduh selama ini mungkin telah mengganggu tidurku. Mungkin juga kerana dua hari lagi aku akan berpindah ke rumah baruku. Tidak hairan jika banglo yang siap dengan peralatan rumah itu yang menyebabkan kesabaranku tercabar.

Kadang kala aku menjadi sangsi, kenapa tuan rumah tersebut menjual rumahnya dengan harga yang sedikit murah. Apatah lagi rumah tersebut cukup dengan peralatan dan perabut rumah. Ah! Aku sepatutnya tidak mempertikaikan tentang itu. Apa yang penting, aku harus bersyukur kerana bertuah dapat membeli rumah semurah itu.

Bukan aku saja yang gembira dapat berpindah ke rumah baru, malah sahabatku Kamal dan Azrul juga akan turut gembira. Sekurang-kurangnya aku mempunyai teman untuk tinggal di rumah yang mempunyai tiga buah bilik itu.

Kamal dan Azrul adalah teman baik ku. Kami sudah tiga tahun tinggal bersama di bilik sempit ini. Kami berkongsi menyewa bilik di salah sebuah kampung air. Kalau dilihat, kawasan tempat kami tinggal ini cukup sesak dengan rumah-rumah lain. Apa yang mengerunkan, apabila terjadi kebakaran. Rumah yang berdekatan akan dijilat api sama. Itulah yang bahayanya tinggal di perumahan setinggan begini.

Alhamdulilah, akhirnya hajat untuk memiliki rumah sendiri nampaknya tercapai juga. Itulah berkat menabung. Kalau diikut kata-kata Dr. Mahathir Muhammad perdana Menteri kita tu, ada juga baiknya.

Angin bertiup tenang pagi itu. Aku, Kamal dan Azrul sudah bersiap sedia untuk berangkat meninggalkan bilik sewa kami. Jauh di sudut hati ini, terasa berat juga untuk meninggalkan tempat kami berteduh selama ini. Namun tempat yang lebih selesa perlu juga dirasai.

Seketika derum enjin perahu penumpang memecah kesunyian pagi. Aku dan dua temanku menjatuhkan punggung di kerusi kayu perahu penumpang tersebut. Kelihatan dua tiga orang lain juga turut menumpang sama.

Sebentar kemudian, tali pengikat pun di leraikan. Maka berlepaslah perahu yang kutumpangi. Hembusan angin agak kuat juga ketika itu, sedikit tempias menampar kewajah tampanku. Aku tidak kisah itu semua. Apa yang penting distinasi yang dituju akan kutemui.

Sesampai di daratan, aku menyewa taksi untuk pergi ke rumah baruku. Syukur alhamdulilah, aku dan dua temanku selamat sampai ke rumah baru yang kubeli itu. Aku cukup bangga memiliki rumah tersebut.

Seharian berkemas di rumah baruku, terasa juga keletihan. Tiba-tiba kesunyian menyapa. Ke mana pula perginya dua sahabatku yang tadinya masing-masing sibuk berkemas. Setelah diselidik, rupa-rupanya mereka sudah nyenyak dibuai mimpi.

“Keletihan agaknya,” aku bercakap sendiri sambil merebahkan tuuhku di atas katil. Terasa nyaman kalau dibandingkan dengan tempat tidurku yang dulu.

Tiba-tiba terasa dingin angin menghembus. Entah dari mana datangnya, aku sendiri tidak tahu.

“Kau tak letih ke?” rasanya aku terdengar satu suara. Suara itu amat asing bagiku. Suara lembut seorang wanita. Mulutku melopong kekejutan. Dari manakah datang suara itu? Ganjil bunyinya. Milik siapakah suara itu? Atau aku sebenarnya sedang berkhayal ketika itu.

“Kau jangan takut, aku cuma mahu berkawan saja, sudah lama aku bersendirian di sini,” suara lembut itu datang lagi. Meremang bulu tengkukku. Degupan jantungku mula deras, sederas kuda belari.

Aku bangun dari pembaringan. Aku cuba mencari pemilik suara itu, namun aku hanya menemui kegagalan. Aku bingung. Aku mengaru-garu kepalaku yang tidak gatal. Aku mengeleng. Mungkin aku bermimpi agaknya.

Aku keluar dari bilik tidurku. Kulihat kedua temanku sedang asyik menonton berita, sudah bangun rupanya mereka. Aku tidak memperdulikannya. Aku ke ruang dapur dan sekaligus mengambil air sejuk dari peti ais. Sejurus kemudian aku keluar dan duduk di salah sebuah sofa di ruang tamu bersama-sama Kamal dan Azrul.

“Nyenyak tidur, kami panggil pun tak dengar,” Azrul memulakan bicara. Aku menyepi. Kamal senyum sinis memandang aku.

“Ada burger untuk kau, pergilah makan, kami dah makan,” nampaknya giliran Kamal pula bersuara. Aku merenung hambar kedua temanku itu.

“Apa hal dengan kau ni?” suara Kamal agak meninggi sedikit.

“Aku dengar suara perempuanlah, kau dengar tak?” Nampaknya pertanyaanku mengelikan hati Kamal dan Azrul.

“Kau dengar suara puteri bunian ke?” Azrul mengejek. Aku diam. Aku termenung seketika.

“Sudahlah , kau bermimpi tu, aku tengok kau letih sangat, orang letih selalu banyak mimpi, mungkin kau lupa cuci kaki,”

Aku meninggalkan mereka berdua dan terus ke bilik tidurku. Aku duduk di atas kerusi yang tersedia di bilik tersebut. Terasa sedikit tenang.

“Kenapa tak makan, nanti sakit, engkau juga yang susah,” aku terperanjat, suara itu datang lagi. Aku bingkas dari kerusiku. Aku mencari-cari punca suara merdu tersebut. Ada saatnya aku terbayang lembutnya si pemilik suara itu, pasti wajahnya selembut suaranya.

Tiba-tiba hujan turun, kelihatan sekali sekali kilat memancar mancar. Sayup-sayup kedengaran guruh sabung menyabung. Dari kaca jendela jelas kelihatan air hujan berebut-rebut menuruni atap dan terus terjun memasuki parit. Aku terus menutup tabir jendela dan sekaligus menghalang penglihatanku menembusi pandangan di luar sana.

“Hei! Kau dengar tak aku tanya tadi, kenapa engkau tak makan?” Suara itu datang lagi. Aku diam. Aku berfikir. Apakah aku sedang bermimpi atau…

“Hei suara! Engkau siapa? Kenapa engkau selalu mengganggu aku. Kenapa engkau berada dalam bilik aku. Keluarlah engkau tunjukkan dirimu. Suaraku terketar-ketar. Bulu tengkukku mula berdiri. Seram sejuk kurasa ketika itu.

“Janganlah engkau takut, aku ada di sini, bilik ini adalah kepunyaanku dan sekarang menjadi kepunyaanmu juga. Kita berkongsi bilik nampaknya. Oh ya, selamat berkenalan,” Tanganku bergerak sendiri. Aku seperti bersalam dengan seseorang. Tangan itu lembut tapi sejuk. Aku semakin takut dibuatnya. “Hantu…! Aku menjerit. Aku segera menarik tanganku.

Kedua sahabatku Kamal dan Azrul segera masuk ke bilik tidurku. Mereka kehairanan. Aku masih lagi berdiri kaku di tempatku tadi. Peluh membasahi sekujur tubuhku yang tidak berbaju. Kamal dan Azrul bertanya kepadaku tentang apa yang berlaku sebenarnya. Aku cuba menerangkan apa yang telah aku alami, tapi sayang mereka tidak mempercayainya. Mereka menganggap aku sedang bermimpi.

Apa yang pelik, suara wanita yang sering mengganggu aku itu tidak pernah muncul andainya kedua sahabatku berada di dalam bilikku. Suara itu hanya akan datang jika kedua sahabatku tidak bersamaku.

Nampaknya cuti sekolah kali ini aku terpaksa berhadapan dengan misteri rumah baruku yang belum terungkap. Sepatutnya masa beginilah untuk aku berehat. Jika cuti sekolah berakhir, tentu bermulalah kesibukan bersama murid-muridku. Kalau mengingatkan kenakalan-kenakalan anak muridku yang masih kecil-kecil itu, ada kalanya boleh juga menghilangkan kebosanan yang melanda apabila kedua sahabatku pergi bekerja.

Cuti sekolah kali ini aku tidak mengambil kesempatan untuk balik kampung. Aku hanya mahu berehat di rumah baruku. Lagi pun, aku sudah banyak mengeluarkan wang sewaktu membeli rumah baruku ini. Jadi aku perlu berjimat sedikit untuk menambah kembali wang yang telah kugunakan.

“Temenung nampak, fikir apa tu?” aku sudah biasa mendengar suara itu. Sudah hampir seminggu aku ditemani suara itu apabila aku bersendirian.

“Tak adalah, aku sedang mengingat kembali perangai anak-anak muridku. Oh ya, sudah beberapa hari kau menemankan aku, tapi aku belum pernah nampak wajahmu dan aku tidak tahu kenapa kau selalu menggangguku?” terlintas pula dalam fikiran bertanya begitu kepada suara tersebut.

“Apakah aku mengganggumu?”

“Bu..bukan maksudku begitu, tapi…” bicaraku terputus.

“Ah, aku tahu maksudmu, aku pun bukan nak menganggumu, tapi aku kesunyian dan aku gembira apabila berkenalan denganmu. Kau ingin melihat wajahku?" Aku diam. Pertanyaannya membuat aku serba salah.

"Jika kau ingin melihat wajahku, lihatlah wajahku dicermin meja solek,” aku mengalihkan pandanganku ke cermin meja solek yang berada di sudut katilku. Hatiku berdebar-debar.

Aku sedikit terperanjat. Kelihatan wajah jelita seorang gadis sedang berdiri disebelah kananku. Aku cuba menoleh ke sebelah kananku, tapi tiada apa-apa yang kelihatan, melainkan dinding-dinding yang kaku.

Aku melihat kembali ke cermin dihadapanku. Dia tersenyum. Aku pun tersenyum. Oh! Dia sungguh anggun dengan pakaiannya yang kekuningan. Dia menggenggam tanganku. Aku bagai terasa akan genggamannya dan aku nampak jelas dia dari cermin meja solekku. Saat itu, ada getaran yang sukar diungkapkan.

“Akulah selama ini yang menganggumu, kau marah?” dia tidak henti-henti tersenyum. Aku tidak dapat berkata-kata seketika dan aku hanya mampu mengeleng.

Mulai dari hari itu, dia yang mengakui namanya sebagai Seri Ayu Sukma bagai bertaktha di lubuk hatiku. Aku benar-benar menyayanginya. Aku sendiri tidak tahu bagaimana aku boleh berperasan sedemekian rupa.

Aku merasakan kehadiran Kamal dan Azrul tidak menganggu hubunganku dengan Seri Ayu Sukma. Aku cukup bahagia bertemu dengannya. Sekarang aku tidak perlu lagi melihat di cermin meja solek untuk menatap wajah Seri Ayu Sukma. Ianya bagai telah ujud seperti manusia biasa walaupun kedua-dua sahabatku tidak pernah melihatnya.

Pada suatu malam disaat bulan empatbelas mengembang, Seri Ayu Sukma datang lagi. Tapi kali ini dia datang agak lewat dari hari-hari biasa. Aku bagai tidak sabar menanti kehadirannya. Hari-hari yang kulalui bersamanya penuh kemesraan yang sukar dilupakan.

"Kenapa kau lambat datang Seri?" Dia diam. Kelihatan kemurungan menyelubungi wajah ayunya. Aku amat hairan, dihatiku tertanya-tanya, apakah dia sedang berduka? Atau akukah yang telah menyinggung mahkota hatinya.

Seri Ayu Sukma menghampiriku dan menyentuh lembut pipiku, lantas jejarinya terlanjur menyentuh bibirku dan kemudian tanpa izin bibirnya yang merah itu bersentuhan pula dengan bibirku. Ada satu kelainan terasa. Ianya terasa sampai ke lubuk hatiku yang dalam dan ianya sukar untuk ditafsirkan dengan sebuah kata-kata.

"Kita tidak boleh meneruskan hubungan kita begini, ianya akan merosakan masa depanmu sayang," kedengaran lembut suara Seri Ayu Sukma.

"Kenapa?" Terhembur pertanyaan yang spontan dari mulut lelakiku. Dia cuba meleraikan pelukanku yang kemas sejak dari tadi.

"Aku menderita, aku menderita dengan nasibku sekarang ini, aku mahu seperti orang lain yang diuruskan dengan sempurna," Dia menangis. Menangis tersedu-sedu. Aku kebingungan.

"Apa sebenarnya yang berlaku dengan kau Seri? Maafkan aku kerana tidak pernah terlintas dihatiku untuk bertanya kenapa kau jadi begini. Janganlah kau salah faham dengan maksudku.

Aku tidak bermaksud untuk memperbodohkanmu apatah lagi untuk mempermainkanmu." Aku duduk berhadapan dengannya kali ini. Aku ingin melihat apakah yang akan berlaku seterusnya.

Seri Ayu Sukma menceritakan akan nasib buruk yang menimpa dirinya sehingga dia jadi begitu. Seri Ayu Sukma mempunyai seorang ibu tiri yang dengki akan kecantikannya. Setelah kematian ibu Seri Ayu Sukma, ayahnya telah berkahwin baru. Maka beribu tirilah Seri Ayu Sukma. Sewaktu ayahnya baru berkahwin dengan ibu tirinya itu, ibu tirinya melayani Seri Ayu Sukma dengan cukup baik sekali, tapi setelah ayah Seri Ayu Sukma meninggal dunia akibat penyakit ganjil, ibu tirinya telah mengurungnya di dalam bilik tanpa memberinya makan dan minum.

“Pada satu saat, aku tidak tahu kenapa aku terkeluar dari jasadku,” Seri Ayu Sukma sedikit mengeluh. Menurutnya, jasadnya akhirnya dimasukan didalam satu ruang yang tersembunyi didalam bilik tersebut oleh ibu tirinya sebelum berpindah dari rumah tersebut.

“Itulah sebabnya aku masih ada di sini, aku sebenarnya sudah mati, aku minta jasa baikmu untuk menyempurnakan jasadku seperti orang lain, mudah-mudahan dengan cara ini aku akan merasa aman,” Alahai berdiri bulu tengkuk aku apabila mendengarkan cerita Seri Ayu Sukma. Rupa-rupanya selama ini aku berkawan dengan hantu. Tapi aku kasihan dengan nasib yang dialaminya.

Petang itu, setelah Azrul dan Kamal balik dari kerja. Aku segera menceritakan kejadian ganjil yang kualami. Oleh kerana mereka maelihat aku bersungguh-sungguh sewaktu bercerita, maka mereka tidak lagi mentertawakanku seperti selalunya.

Aku mengajak mereka ke bilik tidurku. Aku meminta bantuan mereka mengalihkan almari besar yang berada di dalam bilik tidurku. Setelah diusahakan bersama, akhirnya almari pakaian model lama itu pun terpindah.

Alangkah terkejutnya kami bertiga apabila melihat ada terdapat satu ruang agak sederhana besarnya di dinding bilik yang selama ini ditutupi oleh almari besar yang cukup unik ukirannya itu. Apa yang mengejutkan lagi apabila kelihatan samar-samar rangka manusia terdapat di situ.

“Seri Ayu Sukma…?”


TAMAT


(Wardah, April 2002)

10 ulasan:

mannromeo berkata...

wah..hebat cerita ni..best best..cerita lain lak norgadis..

D/A netQueen

HaiDa-HiDa berkata...

menarik la kak.. tahniah!!!

D/A netQueen

Norgadis berkata...

Hai mannromeo.
Terima kasih sudi baca cerpen saya, insyaAllah… nanti saya hantar cerpen lain pula.

Norgadis berkata...

Salam Haida,
terima kasih bebanyak sudi baca cerpen saya.

Si para para berkata...

waa bagusnya kak buat cerita… tak pernah pun baca cerita mcm ni…

Norgadis berkata...

Hai Si para para.
Saya tau awak belum pernah baca sebelum ni, itulah saya buat cerita tu hehehe...

tehr berkata...

pandai kamu karang cerita…

saya fikir kamu akan terus tinggal di situ sementara dua kawan kamu berpindah kerana takut.

mmm

Norgadis berkata...

Salam tehr.
Bukan saya yg tinggal di situ, tapi watak yang ada dalam cerita tu... Agak2nya dia akan terus tinggal kat situ ke?

salikin berkata...

tak jemu baca…nak lggggggg

D/A netQueen

Norgadis berkata...

Terima kasih salikin...
ada juga yang tak jemu baca rupanya...