Saturday, September 4, 2021

Perkongsian Hujah Rayuan Kes Tuntutan Mutaah Daripada Perceraian Secara Fasakh

Dikongsikan hasil penulisan saya dalam kes rayuan mutaah yang  telah diluluskan dan diputuskan oleh MTS Shah Alam  bahawa isteri yang meminta fasakh atas alasan suami cuai atau tidak memberi nafkah di bawah peruntukan seksyen 53(1) (b) EUUKINS 2003 adalah tidak berhak menuntut mutaah. Justeru perintah pembayaran mutaah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah dibatalkan.

Mungkin penjelasan saya berdasarkan pendekatan fiqh mazhab Syafie tidak kesampaian kerana susunan ayat saya yang kurang baik. Begitu juga pendekatan usul fiqh yang cuba saya sampaikan masih tidak kesampaian kerana kurang baik. Namun dalam kes ini, Mahkamah menerima  pendekatan silang mazhab yang telah dihujahkan menurut mazhab Maliki.

Semoga dapat dimanfaatkan dan kepada Allah juga kita meminta petunjuk dan hidayah.


                                                                    xxx bin Salleh

lwn. yyy Binti Muhamad Saleh

 

[Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Negeri Selangor Darul Ehsan]

[ Kes Rayuan Mal No. 10500-016-xxxx-2019]

Undang-Undang Keluarga Islam- Rayuan ke atas tuntutan mutaah - seksyen 58 Enakmen Undang-Undang  Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 – Sama ada gugur hak mutaah apabila isteri meminta fasakh atas alasan suami cuai memberi nafkah – Pandangan Hukum Syarak dan Perbahasan Usul Fiqh melalui kaedah Qiyas – Masalik al-‘illah.

Undang-Undang Tatacara Mal- Sama ada Responden sebagai Orang Yang Dibantu oleh Jabatan Bantuan Guaman wajar diperintahkan membayar kos kepada pihak Perayu apabila memulakan prosiding dengan tidak sepatutnya– subseksyen 23(3) Akta Bantuan Guaman 1971.

Peguam Syarie

Perayu : Hj. Juraish Bin Kamaruddin daripada Tetuan Juraish Syariah Associates  (secara pro-bono)
Responden : Tidak diwakili

 

HUJAH PENUH PERAYU

Dengan izin Yang Arif,

1. Kami dilantik mewakili Perayu dalam kes ini berdasarkan wakalah bertarikh 17/10/2019 (rujuk halaman 190 Rekod Rayuan). Terdahulu kami juga mewakili Perayu (selaku Defendan) dalam kes asal yang dirayu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor melalui Saman No. 10010-016-xxxx-2016 yang dikendalikan oleh 2 orang Hakim Bicara.

 

2. Pertama sekali ingin kami nyatakan bahawa kami mewakili Perayu dalam kes rayuan ini secara pro-bono bagi membantu Perayu mendapatkan pengesahan Mahkamah ini berkaitan Hukum Syarak mengenai status mutaah bekas isteri yang meminta fasakh atas alasan suami cuai memberi nafkah sama ada hak mutaah tersebut gugur atau sebaliknya.

 

3. Perkahwinan antara pihak-pihak telah dibubarkan oleh Mahkamah secara fasakh melalui permintaan pihak isteri (Responden) atas alasan Perayu telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan nafkah kepada Responden melebihi 3 bulan di bawah subseksyen 53 (1) (b) EUUKINS 2003. (rujuk Perintah Fasakh di halaman 198 Rekod Rayuan).

 

4. Kes ini adalah rayuan pihak Perayu terhadap KESELURUHAN keputusan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor bertarikh  08 Oktober 2019 dalam Saman No: 10010-016-xxxx-2016 di mana Perayu selaku Defendan dalam kes tersebut diperintahkan membayar mutaah kepada Responden sebanyak RM2,000.00 sebagaimana keputusan Hakim Bicara yang kedua : (-rujuk halaman 206 Rekod Rayuan)

 

i) Mahkamah meluluskan tuntutan ini berdasarkan seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

ii) Mahkamah memerintahkan Defendan membayar mutaah kepada Plaintif berjumlah RM2,000.00

iii) Kos bagi tindakan ini ditanggung oleh pihak masing-masing.

 

5. Terdahulu Perayu juga telah memfailkan permohonan bantahan awal di dalam kes mutaah tersebut supaya Saman bagi kes mutaah dibatalkan oleh Mahkamah kerana tiada asas lagi untuk Responden menuntut mutaah daripada pihak Perayu disebabkan perkahwinan dibubarkan secara fasakh atas permintaan pihak isteri sendiri, walaupun atas alasan suami cuai memberi nafkah.

 

6. Namun Mahkamah menolak bantahan awal Perayu dan mengarahkan kes dibicarakan bagi menentukan kelayakan mutaah Responden. Keputusan Hakim Bicara yang pertama dalam isu bantahan awal seperti berikut: (-rujuk halaman 205 Rekod Rayuan)

 

i) Mahkamah menolak Permohonan Bantahan Awal oleh Defendan.

ii) Mahkamah memerintahkan Defendan menanggung kos kes Bantahan Awal kepada Plaintif sebanyak RM1,200.00 berdasarkan seksyen 25(1) Akta Bantuan Guaman 1971 (Pindaan 2017).

iii) Mahkamah memerintakan Plaintif membayar kepada Ketua Pengarah, Jabatan Bantuan Guaman sebanyak ¼ dari kos yang diperolehi tersebut berdasarkan seksyen 25(4) (b) (i) Akta Bantuan Guaman 1971 (Pindaan 2017).

iv) Mahkamah memerintahkan Defendan memfailkan Pembelaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh hari ini.

 

7. Perayu berasa terkilan dan tidak berpuas hati dengan Keputusan Hakim Bicara dan telah memfailkan Notis Rayuan pada 21hb Oktober 2019 (rujuk halaman 188 Rekod Rayuan). Sesalinan Notis Rayuan juga telah diserahkan kepada Responden secara kediri dalam masa 14 hari daripada tarikh keputusan tersebut. (rujuk Afidavit Penyampaian di halaman 207 Rekod Rayuan). Begitu juga Rekod Rayuan telah difailkan dan disampaikan dalam tempoh masa yang dihadkan.

 

8.  Perayu telah mengemukakan empat (4) alasan rayuan sepertimana dinyatakan dalam Alasan Rayuan bertarikh 16hb Disember 2019 iaitu: (rujuk halaman 192 Rekod Rayuan)

 

Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi undang-undang kerana meluluskan tuntutan mutaah Responden berdasarkan seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sedangkan Responden bukanlah wanita yang berhak mendapat mutaah menurut undang-undang dan Hukum Syarak.

 

Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi Hukum Syarak dalam permasalahan Fiqh apabila memutuskan Responden layak mendapat mutaah sedangkan terdapat pandangan fiqh yang jelas dari mazhab syafie dan mazhab lain bahawa isteri yang meminta fasakh atau perceraian fasakh yang datang dari kehendak isteri tidak layak mendapat mutaah.

 

Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi Hukum Syarak dalam permasalahan Usul Fiqh apabila memutuskan Responden layak mendapat mutaah kerana melihat punca perceraian fasakh adalah datang daripada pihak Perayu (suami) yang cuai memberi nafkah sebagai ‘illah Qiyas ke atas hukum mutaah bagi wanita yang ditalak sedangkan pendekatan tersebut berlaku Qiyas Ma’a Fariq yang tidak sah serta tidak menepati kaedah masalik al-‘illah dan syarat dalam memutuskan kesahihan‘illah.

 

Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi undang-undang kerana tidak mengawardkan kos kepada Perayu yang konsisten dengan pendiriannya bahawa Responden tidak layak mendapat mutaah sejak dari permohonan interlokutori bantahan awal difailkan.

 

9. Berdasarkan kepada alasan-alasan rayuan tersebut terdapat 2 isu perbahasan utama yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Yang Mulia ini sebagaimana yang akan dihujahkan dalam penghujahan penuh selepas ini iaitu:

 

i) Sama ada Responden berhak mendapat mutaah apabila meminta fasakh walaupun atas alasan suami (Perayu) cuai mengadakan peruntukan nafkah.

 

ii) Sama ada Responden boleh dan wajar diperintahkan membayar kos kepada pihak Perayu walaupun Responden (dalam kes yang dirayu) diwakili oleh Peguam Jabatan Bantuan Guaman.

 

ISU PERTAMA: SAMA ADA RESPONDEN BERHAK MENDAPAT MUTAAH

 

Yang Arif,

 

10. Asas kepada hak mutaah bagi wanita yang diceraikan adalah berdasarkan kepada firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 241:

 

وَلِلۡمُطَلَّقَٰتِ مَتَٰعُۢ بِٱلۡمَعۡرُوفِۖ حَقًّا عَلَى ٱلۡمُتَّقِينَ

 

Maksudnya: Bagi wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mut`ah menurut yang makruf, sebagai suatu kewajiban bagi orang-orang yang bertakwa.

 

11. Dalam ayat di atas hukum yang jelas dapat diistinbatkan ke atas wanita yang diceraikan oleh suaminya  (المطلقات)iaitu perceraian secara talak yang wajib diberi mutaah tertakluk kepada syarat yang ditetapkan dalam mazhab Syafie. Namun demikian, tiada Nas yang menyatakan dengan jelas hak mutaah bagi isteri yang diceraikan secara fasakh atau tebus talak.

 

12. Justeru para Fuqaha telah menjadikan ayat di atas sebagai asas (hukm al-asl) untuk melakukan qiyas bagi mengistinbatkan hukum pemberian mutaah kepada isteri yang diceraikan secara fasakh atau tebus talak sama ada ia wajib diberi mutaah atau sebaliknya.

 

 

Pendekatan Fiqh

 

13. Kami menegaskan dalam Alasan Rayuan kedua bahawa Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi Hukum Syarak dalam permasalahan Fiqh apabila memutuskan Responden yang telah meminta cerai secara fasakh masih layak mendapat mutaah sedangkan terdapat pandangan fiqh yang jelas dari mazhab syafie dan mazhab lain bahawa isteri yang memilih untuk meminta fasakh (walaupun atas kesalahan/ keaiban suami) tidak layak mendapat mutaah.

 

14. Walau bagaimanapun di sini kami hanya akan memfokuskan perbahasan mengenai hak mutaah bagi wanita yang diceraikan secara fasakh dengan merujuk kepada pandangan fuqaha dalam kitab Fiqh mazhab Syafie sahaja.

 

15. al-Khatib al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj jilid 3, halaman 318 menyatakan:

( وَفُرْقَةٌ لاَ بِسَبَبِهَا ) بِأَنْ كَانَتْ مِنْ الزَّوْجِ كَرِدَّتِهِ وَلِعَانِهِ وَإِسْلَامِهِ ، أَوْ مِنْ أَجْنَبِيٍّ كَإِرْضَاعِ أُمِّ الزَّوْجِ أَوْ بِنْتِ زَوْجَتِهِ وَوَطْءِ أَبِيهِ أَوْ ابْنِهِ لَهَا بِشُبْهَةٍ حُكْمُهَا ( كَطَلَاقٍ ) فِي إيجَابِ الْمُتْعَةِ وَعَدَمِهِ 

 

أَمَّا إذَا كَانَتْ الْفُرْقَةُ مِنْهَا أَوْ بِسَبَبِهَا كَرِدَّتِهَا وَإِسْلَامِهَا وَلَوْ تَبَعًا أَوْ فَسْخِهِ بِعَيْبِهَا فَلا مُتْعَةَ لَهَا ، سَوَاءٌ كَانَتْ قَبْلَ الدُّخُولِ أَمْ بَعْدَهُ ؛

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu di Lampiran A)

 

Yang bermaksud: Pembubaran nikah yang bukan dengan sebab isteri, yakni disebabkan dari perbuatan suami seperti suami murtad, suami melakukan li’an, suami memeluk Islam, atau disebabkan dari pihak ketiga seperti ibu suami menyusukan si isteri (yang masih kecil- maka isteri menjadi adik beradik susuan), atau anak perempuan dari isterinya (yang lain) menyusukan si isteri (yang masih kecil - maka isteri menjadi cucu susuan), dan bapa atau anak lelaki si suami menyetubuhi si isteri secara syubhah, maka hukumnya sama seperti hukum talak pada kewajipan mutaah dan ketiadaannya.

 

Adapun jika pembubaran nikah dari pihak isteri ATAU  dengan sebab (perbuatan) isteri seperti isteri murtad, isteri memeluk islam walaupun secara mengikut (pengislaman ibubapanya- yakni sebelum mencapai usia baligh); atau suami memfasakhkan nikah kerana keaiban dari pihak isteri, maka tiada mutaah padanya sama ada pembubaran nikah terjadi sebelum persetubuhan atau selepas persetubuhan.

 

16. Matan di atas menunjukkan bahawa fasakh yang bukan disebabkan oleh isteri seperti fasakh disebabkan oleh perbuatan suami (seperti suami murtad dsb), atau perbuatan pihak ketiga (seperti ibu suami menyusukan si isteri atau bapa suami melakukan wati’ syubhah dengan isteri), maka hukumnya diqiyaskan kepada hukum talak (كطلاق) maka isteri mendapat mutaah.

 

17. Namun sekiranya fasakh datang dari pihak isteri (منها), yakni bermaksud fasakh terjadi kerana kehendak isteri, dengan erti kata lain berlaku fasakh atas pilihan isteri, (walaupun berpunca dari kesalahan suami) ATAU fasakh berlaku disebabkan perbuatan isteri, (بسببها) yakni fasakh yang berlaku secara mandatori disebabkan  perbuatan isteri, ATAU fasakh yang diminta oleh suami disebabkan keaiban isteri, maka tiadalah mutaah baginya.

 

18. Dalam kitab al-Bayan Fi Mazhab al-Imam As-Syafie oleh al-Allamah Abu Husin Yahya al-Yamani, jilid 9, halaman 474 ada menyatakan:

فرع: فرقة بغير الطلاق

وإن وقعت بغير الموت.. نظرت: فإن كانت بسبب من جهة أجنبي ..فهي كالطلاق لأنها كالطلاق في تنصيف المهر قبل الدخول فكذلك في المتعة وإن كانت من جهة الزوج كالإسلام قبل الدخول والردة واللعان فحكمه حكم الطلاق... وإن كانت الفرقة من جهتها كالإسلام والردة والرضاع أو الفسخ للإعسار بالمهر والنفقة أو فسخ أحدهما النكاح بعيب فلا متعة لها لأن الفرقة جاءت من جهتها

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran B)

Yang bermaksud:

Fasal pembubaran nikah dengan sebab selain talak.

Jika pembubaran nikah berlaku bukan dengan kematian…, maka hendaklah diperhatikan, jika pembubaran (fasakh) terjadi dengan sebab dari pihak ketiga, maka hukumnya seperti talak kerana ia menyamai talak dalam mewajibkan separuh mahar sebelum persetubuhan, maka begitu juga dalam hukum mutaah. Dan sekiranya fasakh  terjadi dari sebab pihak suami seperti suami memeluk Islam sebelum persetubuhan, murtad dan melakukan li’an, maka hukumnya juga sama seperti hukum talak.

 

Tetapi  jika pembubaran nikah terjadi dari (sebab) pihak isteri seperti isteri memeluk islam, murtad, menyusu, atau isteri meminta fasakh kerana iksar memberi mahar atau nafkah, atau salah seorang suami isteri menuntut fasakh dengan sebab aib, maka tiadalah mutaah bagi isteri kerana pembubaran nikah (fasakh) datang dari pihak isteri.

 

19. Lebih tuntas lagi ‘ibarat yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi dalam Kitab Raudhah at-Talibin Jilid 5, halaman 594:

وَكُلُّ ُفرْقَةٍ مِنْهَا أَوْ لِسَبَبٍ فِيهَا، لا مُتْعَةٌ فِيهَا، كَرِدَّتِهَا وَإِسْلَامِهَا، وَفَسْخهَا بِإِعْسَارِهِ، أَوْ عتْقِهَا أَوْ تَغْرِيرِهِ، أَوْ عَيْبِهِ، أَوْ فَسْخهِ بِعَيْبِهَا.

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran C)

Yang bermaksud: Setiap perceraian (fasakh) yang datang daripada (kehendak/ pilihan) isteri atau kerana sebab (perbuatan) isteri, maka tiadalah mutaah padanya, misalnya seperti (perbuatan) isteri murtad dan (perbuatan) isteri masuk Islam, dan (pilihan) isteri meminta fasakh (walaupun) disebabkan kepapaan suami atau (pilihan) isteri meminta fasakh kerana ia dimerdekakan (khiyar al-itq), atau (pilihan) isteri meminta fasakh kerana penganiayaan atau tipu daya oleh suami atau isteri meminta fasakh atas sebab aib suami; atau suami yang meminta fasakh disebabkan aib isteri.

 

20. Selanjutnya Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jilid 11, halaman 483 ada menyebutkan berkaitan isu fasakh dengan kehendak/ pilihan isteri yang menggugurkan hak mutaah sebagaimana berikut:

 (فرع) روى المزني أن الشافعي رحمه الله قال (وأما امرأة العِنَّين فلو شاءت أقامت معه ولها المتعة عندي) قال المزني هذا غلط عندي، وقياس قوله لا متعه لان الفرقة من قبلها.

قال أصحابنا (اعتراض المزني صحيح، إلا أنه أخطأ في النقل) وقد ذكرها الشافعي في الام، وقال ليس لها المتعة، لانها لو شاءت أقامت معه، وإنما أسقط المزني (ليس)

 

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran D)

Maksudnya: (cabangan) diriwayatkan oleh al-Muzani bahawa Imam as-Syafie rah. berkata: Adapun isteri kepada suami yang mati pucuk maka jika dia kehendaki dia boleh meneruskan perkahwinan bersama suami, dan (tiada) baginya mutaah menurut pandanganku (jika meminta fasakh). Al-muzani menerangkan (dalam kitab al-Mukhtasar) ini terdapat ralat pada pandanganku, kerana qiyas atas perkataan al-Syafie sepatutnya tiada mutaah kerana fasakh datang dari pihak isteri.

 

Selanjutnya berkata para pentahqiq mazhab: Sanggahan al-Muzani adalah sahih, namun beliau tersilap dalam nukilannya kerana Imam as-Syafie telahpun menyebutkan sedemikian dalam kitab al-Umm dengan berkata “tiadalah baginya mutaah” kerana jika si isteri kehendaki dia boleh meneruskan perkahwinan. Hanyasanya al-Muzani tercicir perkataan ‘tiada’.

 

21. Berdasarkan nas dari Imam al-Syafie, adalah jelas wanita yang memilih untuk memfasakhkan pernikahannya (atas apa-apa keaiban atau kekurangan suami) sedangkan dia mempunyai pilihan untuk meneruskan perkahwinan, maka tiada mutaah baginya.

 

Kategori Fasakh Yang Menggugurkan Hak Mutaah

 

22. Berdasarkan kesemua autoriti  di atas, khususnya ‘ibarat dalam matan Imam an-Nawawi, bolehlah dirumuskan secara prinsipnya terdapat 3 kaedah atau kategori umum fasakh di mana isteri akan hilang kelayakan mutaah iaitu:

 

KAEDAH PERTAMA: Fasakh atas pilihan dari pihak isteri (walaupun kerana keaiban/kekurangan suami)

 

i) (فرقة منها) -merujuk kepada fasakh yang datang dari pilihan atau kehendak isteri di mana jenis fasakh dari ketegori ini tidak akan berlaku jika tidak diminta oleh isteri kerana ia adalah tertakluk kepada kesabaran dan keredaan pihak isteri itu sendiri untuk meneruskan perkahwinan sekiranya masih sanggup menerima kekurangan, kelemahan, keaiban hatta kecuaian, kesalahan dan kezaliman suami. Meskipun fasakh dari ketegori ini dilihat seolah-olah berpunca dari kesalahan atau kelemahan suami tetapi kuncinya tetap terletak pada tangan isteri sama ada ingin memilih fasakh atau bersabar. Sebab itu Imam al-Syafie menyebutkan (لو شاءت أقامت معه). An-Nawawi menyatakan antara contoh daripada kategori kaedah  pertama ini seperti:

 

a) (فَسْخِهَا بِإِعْسَارِهِ) isteri memilih/meminta fasakh (walaupun) disebabkan iksar (kepapaan) suami- sama ada iksar dalam soal nafkah atau mahar.

b) (فَسْخِهَا بعتقها ) isteri memilih/meminta fasakh kerana si isteri telah dimerdekakan oleh tuannya- yang dinikahkan semasa dia masih hamba ini dinamakan sebagai khiyar ‘itq.

c) (فَسْخِهَا بتغريرهِ) isteri memilih/meminta fasakh (walaupun) kerana penganiayaan/ tipu daya  suami

d) (فَسْخِهَا بعيبه ) isteri memilih/meminta fasakh (walaupun) kerana aib suami.

 

Dalam permasalahan di atas, jika diperhatikan fasakh tidak berlaku secara mandatori. Ini kerana jika isteri tidak memilih (khiyar) fasakh atas kesemua contoh alasan tersebut maka perkahwinan tersebut masih boleh diteruskan walaupun dalam keadaan suami papa, isteri dimerdekakan, isteri dianiya oleh suami, atau terdapat keaiban pada suami. Dalam semua keadaan di atas, sekiranya isteri bersabar dan redha meneruskan perkahwinan, maka fasakh tidak akan berlaku. Maka ini jelas membuktikan fasakh dari kategori ini berlaku disebabkan oleh pilihan/kehendak daripada pihak isteri, maka atas dasar itu qiyas tidak dibuat kepada hukum talak yang datang dari pilihan/kehendak suami (‘illah qiyas). Oleh yang demikian mazhab Syafie menetapkan kaedah isteri tidak berhak mendapat mutaah jika fasakh diminta olehnya.

 

KAEDAH KEDUA: Fasakh belaku secara mandatori disebabkan perbuatan isteri

 

ii) (فرقة لسبب فيها) -merujuk kepada fasakh yang disebabkan oleh perbuatan isteri di mana fasakh dari ketegori ini berlaku secara mandatori (bukan pilihan) sekiranya isteri melakukan sesuatu perbuatan yang membatalkan akad nikah tanpa tertakluk kepada permintaan suami atau isteri kerana perkahwinan tidak boleh lagi diteruskan, walaupun kedua-dua masih redha dan bersedia meneruskan perkahwinan. Al-Nawawi menyatakan antara contoh daripada kategori kedua ini seperti:

 

a) (كرِدَّتِها)  seperti perbuatan isteri murtad- (perkahwinan terfasakh secara mandatori setelah tamat tempoh istitabah kerana berlainan agama)

b)  (وإسلامها)perbuatan isteri memeluk Islam- (perkahwinan terfasakh secara mandatori selepas tamat tempoh iddah kerana berlainan agama)

 

Dalam permasalahan di atas, jika diperhatikan fasakh berlaku secara mandatori yang mana disebabkan oleh semata-mata perbuatan isteri. Ini jelas membuktikan fasakh dari ketegori ini berlaku kerana sebab perbuatan isteri sendiri, maka atas dasar itu qiyas tidak dibuat kepada hukum talak yang berlaku kerana perbuatan suami, yakni perbuatan suami yang melafazkan talak atau menta’liqkan talak, maka mazhab Syafie menetapkan kaedah isteri tidak berhak mendapat mutaah dalam keadaan fasakh yang disebabkan oleh perbuatan isteri.

 

KAEDAH KETIGA: Fasakh belaku atas pilihan suami disebabkan keaiban isteri.

 

iii) ( أَوْ فَسْخِهِ بِعَيْبِهَا) -merujuk kepada fasakh yang datang dari pilihan atau kehendak suami tetapi disebabkan oleh keaiban pada pihak isteri. Ini juga termasuk fasakh yang disebabkan oleh kesalahan dari pihak isteri seperti isteri ghaib, isteri dipenjarakan, isteri gila di mana jenis fasakh dari ketegori ini walaupun datang dari kehendak suami, tetapi fasakh tersebut adalah atas kuasa qadhi dan bukan atas kuasa suami, dan fasakh tidak akan dapat dilakukan oleh suami jika tiada keaiban atau kesalahan dari pihak isteri. Maka ini jelas membuktikan fasakh dari ketegori ini berpunca dari sebab pihak isteri dan bukan menggunakan kuasa talak suami. Maka atas dasar itu qiyas tidak dibuat kepada hukum talak kerana fasakh yang berlaku lebih kuat datangnya dari punca pihak isteri, maka isteri tidak mendapat mutaah.

 

Yang Arif,

 

23. Berdasarkan kepada perbahasan di atas khususnya dari kategori kaedah fasakh yang pertama, adalah jelas tiada hak mutaah sekiranya isteri sendiri yang memilih untuk memohon fasakh walaupun atas alasan suami papa/susah (iksar) memberi nafkah; dan ini termasuklah fasakh disebabkan suami cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkah kerana keduanya adalah berkaitan nafkah.

 

24. Ironinya dalam Alasan Penghakiman di perenggan 25 (ms 186 Rekod Rayuan) Hakim bicara menyatakan berpuas hati bahawa Perayu seorang yang susah. Namun pada masa yang sama beliau berpendirian alasan fasakh yang berlaku antara Perayu dan Responden (yakni cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkah) tidak sama seperti iksar sedangkan kedua-duanya adalah berkaitan nafkah dan fasakh dituntut atas pilihan isteri.

 

25. Hakim Bicara terkhilaf di perenggan 20 Alasan Penghakiman (rujuk halaman 185 Rekod Rayuan) apabila bersetuju dengan penghujahan Peguam Syarie Responden yang membezakan tatacara antara alasan ‘fasakh disebabkan iksar’ dan ‘fasakh disebabkan cuai memberi nafkah yang diwujudkan di bawah peruntukan seksyen yang berbeza, bagi maksud membezakan antara keduanya. Sedangkan tiada keperluan melihat perbezaan pada tatacara setiap alasan fasakh untuk menentukan ‘illah qiyas ke atas hukum talak. Ini kerana sememangnya setiap alasan fasakh mempunyai tatacara dan pembuktian tersendiri yang berbeza dan ia bukanlah ‘illah yang dinilai dalam melaksanakan Qiyas ke atas hukum talak.

 

26. Meskipun tatacara fasakh atas alasan iksar nafkah (yang diberi tangguhan selama 3 hari mendatang sebelum difasakhkan nikah) adalah berbeza dari tatacara fasakh atas alasan cuai memberi nafkah (yang disyaratkan telah berlaku tempoh 3 bulan tidak memberi nafkah), namun kedua-duanya adalah tetap sama dari segi punca iaitu berlaku atas pilihan pihak isteri sedangkan isteri masih mempunyai pilihan meneruskan perkahwinan.

 

27. Di sinilah berlaku kekhilafan Hakim Bicara apabila melihat punca kesalahan suami yang cuai memberi nafkah sebagai ‘illah untuk melakukan qiyas kepada hukum talak. Sedangkan ‘illah qiyas yang dipegang dalam mazhab Syafie adalah tindakan isteri yang meminta fasakh menunjukkan ia lebih kuat datang dari pihak isteri dan tidak boleh diqiyaskan kepada hukum talak.

 

28. Oleh yang demikian kami menghujahkan alasan fasakh kerana kecuaian nafkah adalah sebenarnya sama sahaja seperti fasakh kerana iksar nafkah yang menggugurkan mutaah kerana kedua-duanya berlaku atas pilihan dan kehendak isteri. Kedua-duanya tidak boleh diqiyaskan kepada hukum talak kerana talak itu berlaku semata-mata atas pilihan dan kehendak suami.

 

Hikmah di sebalik Hukum Gugur Hak Mutaah Isteri

 

Yang Arif,

 

29. Jika ditanya kepada kita, di manakah hikmah atau keadilan Islam dalam kes suami mencuaikan atau tidak memberi nafkah isteri sehingga isteri terpaksa meminta fasakh? Namun dalam masa yang sama isteri tidak layak menuntut mutaah selepas disabitkan fasakh. Sedangkan punca fasakh adalah dari kesalahan suami. Justeru di manakah keadilan Islam kepada golongan isteri  dalam keadan ini?

 

30. Sukacitanya kami menjawab persoalan tersebut sebagaimana berikut. Meskipun suami melakukan kesalahan dengan mencuaikan nafkah isteri, isteri masih boleh menghapuskan kezaliman tersebut dengan menuntut nafkah melalui qadhi yang berkuasa memerintahkan suami membayar nafkah mengikut kemampuan. Bahkan jika suami papa (‘iksar) sekalipun, qadhi boleh menentukan kadar nafkah kepada isteri mengikut kadar orang yang miskin atau nafkah tersebut menjadi hutang ke atas suami yang masih wajib dibayar apabila berkemampuan. Kemiskinan (iksar) atau kecuaian suami memberi nafkah tidak memestikan berlakunya fasakh kerana jika isteri boleh bersabar dan menggunakan jalan yang betul, hak nafkah isteri pasti akan tertunai. Lalu mengapa isteri masih memilih jalan untuk memfasakhkan perkahwinan? Sedangkan dalam masa yang sama isteri juga masih boleh meminta nafkah, atau meminta cerai atas jalan talak atau tebus talak dan sebagainya.

 

31. Apabila isteri sendiri yang memilih untuk meminta difasakhkan perkahwinannya, sedangkan masih ada cara lain untuk menghilangkan kemudaratan pada dirinya (dengan  cara meminta talak atau meminta nafkah), maka isteri haruslah menanggung akibat perbuatannya sendiri.

 

32. Apatah lagi dengan terbubarnya perkahwinan secara fasakh, pihak suami juga terpaksa menanggung kesan yang besar antara lain:

 

1) Hilang hak istimta’ ke atas isteri secara mutlak kerana telah menjadi bain sughra berbeza jika isteri dijatuhkan talak raj’ie, masih ada hak istimta’ walaupun secara wati’ syubhah dalam tempoh iddah.

2) Hilang hak suami untuk melakukan rujuk ke atas isteri dalam tempoh iddah, berbeza dengan talak raj’i yang boleh dirujuk.

3) Mahar yang telah dibayar kepada isteri kekal menjadi hak isteri dan hilang peluang untuk suami menuntutnya secara tebus talak kerana perkahwinan telahpun terbubar (kecuali jika isteri belum disetubuhi).

 

33. Maka dalam keadaan tersebut, sebagai hikmah dan untuk memberi keadilan yang saksama kepada pihak suami dari segi kehartaan (al-huquq al-maliyyah), maka wajarlah isteri tidak diberikan mutaah, kerana memadai baginya hak mahar, dan sebagai balasan yang setimpal di atas perbuatan isteri sendiri yang memilih perceraian secara fasakh.

34. Kehilangan hak mutaah ini wajar dipikul oleh isteri yang meminta fasakh akibat daripada perbuatannya sendiri. Ini selari dengan penjelasan oleh, Syeikh Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili di dalam kitab al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafii, jilid 4, halaman 128:

فإن كانت الفرقة بسبب منها، كإسلامها، أوردتها، أو طلبها فسخ النكاح للإعسار، أو للعيب فيها أو في الزوج؛ فلا تجب المتعة؛ لأن المتعة وجبت في الأصل لما يلحقها من الإيذاء النفسي والمعنوي بالطلاق، وهنا حصلت الفرقة بسبب من جهتها، فعليها أن تتحمل نتائجها.

 

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran E)

Bermaksud: Jika pemisahan (fasakh) dengan sebab dari pihak isteri seperti isteri memeluk Islam, atau isteri murtad, atau isteri meminta difasakhkan pernikahan kerana iksar suami atau kerana keaiban pada isteri atau suami, maka tidaklah wajib mutaah bagi isteri. Ini kerana mutaah itu diwajibkan pada asalnya untuk menghilangkan kedukacitaan yang menimpa  diri (jasad zahir) dan jiwa (hati batin) isteri yang dijatuhkan talak, sedangkan dalam keadaan yang disebutkan tadi, perpisahan fasakh berlaku dengan sebab (dari pilihan) pihak isteri, maka wajarlah ke atas isteri menanggung akibat daripada perbuatannya.

 

35. Namun ironinya dalam Alasan Penghakiman di perenggan 28 (ms 187 Rekod Rayuan) Hakim bicara terkhilaf mengaplikasikan mafhum yang mungkin dipetik dari matan kitab fiqh di atas (al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie). dengan mengatakan: “oleh kerana Plaintif (Responden) yang memfailkan permohonan fasakh, Plaintif harus sedia menanggung kesan selepas perceraian, maka Mahkamah tolak separuh jumlah Mutaah yang Plaintif berhak”, yang mana pandangan tersebut digunakan sebagai hujah untuk mengurangkan jumlah mutaah, sedangkan mafhum dari pandangan kitab fiqh tersebut sebenarnya digunakan sebagai hujah untuk menafikan hak mutaah.

 

Pendekatan Usul Fiqh

Yang Arif,

 

36. Kami menegaskan alasan rayuan ketiga bahawa Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi Hukum Syarak dalam permasalahan Usul Fiqh apabila memutuskan Responden layak mendapat mutaah kerana cuba melihat punca perceraian fasakh adalah datang daripada pihak Perayu (suami) yang cuai memberi nafkah sebagai ‘illah bagi menentukan persamaan qiyas ke atas hukum mutaah bagi wanita yang ditalak. Sedangkan pendekatan ‘illah tersebut tidak tepat dan tidak seragam sehingga berlaku Qiyas Ma’a Fariq yang tidak sah dan terbatal kerana tidak menepati kaedah masalik al-‘illah dan syarat dalam memutuskan kesahihan‘illah yang akan dijelaskan selepas ini.

 

37. Kami merujuk kepada ulasan Hakim Bicara dalam Alasan Penghakiman di perenggan 12 (ms 183 Rekod Rayuan) yang menyatakan:

 

“Justeru itu Mahkamah berpuas hati dari segi syarak bahawa isteri yang diceraikan secara fasakh oleh Mahkamah boleh mendapat mutaah sekiranya punca perceraian tersebut dari suami”.

 

38. Hakim Bicara terkhilaf di perenggan 21 dan 22 Alasan Penghakiman (rujuk halaman 185 Rekod Rayuan) apabila menyatakan:

 

“Mahkamah juga berpuashati bahawa punca perceraian disebabkan oleh Defendan yang tidak memberikan nafkah sehingga Plaintif memohon perceraian secara fasakh… Maka Mahkamah memutuskan bahawa Plaintif layak menuntut mutaah…”

 

39. Kami menghujahkan bahawa alasan Hakim Bicara tersebut adalah terkhilaf  kerana melihat ‘punca fasakh oleh pihak suami yang tidak memberikan nafkah’ untuk mengatakan ia lebih kuat datangnya dari pihak suami. Kalaulah semata-mata dilihat kepada punca disebabkan oleh suami tidak memberi nafkah, maka sudah tentu fasakh yang berpunca oleh sebab aib suami atau oleh sebab suami memperdaya isteri atau menganiaya isteri (فَسْخِهَا بتغريرهِ ) – sebagaimana dinaskan oleh al-Nawawi, akan berhak mendapat mutaah. Sedangkan apa yang dinaskan oleh Imam an-Nawawi fasakh atas alasan taghrir al-zauj atau ‘aib az-zauj tidak berhak mendapat mutaah. Ini membuktikan qiyas yang cuba dilakukan oleh Hakim Bicara adalah Qiyas maa fariq yang tidak seragam( غير منضبط)  antara satu qiyas dengan qiyas yang lain dan bersalahan dengan usul mazhab syafie.

 

40. Justeru apa yang lebih sahih, ‘illah hukum yang dinilai bukan pada punca suami tidak memberi nafkah tetapi fasakh tersebut lebih kuat datang dari pihak isteri kerana isteri yang memilih dan menuntut fasakh sedangkan isteri mempunyai pilihan untuk mengekalkan perkahwinan dengan jalan bersabar atau menuntut nafkah. Ini menyebabkan qiyas kepada hukum talak tidak boleh dibuat kerana tiada persamaan ‘illah memandangkan talak itu disebabkan oleh kehendak suami.

Yang Arif,

 

41. Untuk memahami ketepatan ‘illah, kaedah yang jelas telah digariskan oleh ulama usul fiqh melalui jalan Masalik al-illah untuk memastikan ketepatan ‘illah bagi sesuatu qiyas dan supaya tidak berlaku qiyas maa fariq yang terbatal.

 

42. Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitab al-Wajiz fi Usul al-Fiqh halaman 195  mentakrifkan ‘illah seperti berikut:

العلة: وهو الوصف الموجود في الأصل، والذي من أجله شُرِعَ الحكم فيه، وبناء على وجوده في الفرع يراد تسويتُه بالأصل في هذا الحكم

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran F)

Bermaksud: ‘Illah: iaitu sifat yang wujud pada perkara asal, yang mana kerana sifat tersebutlah disyariatkan hukum pada perkara asal, dan berdasarkan kepada kewujudan sifat tersebut pada perkara cabang maka dikehendaki menyamakan perkara cabang itu dengan perkara asal dari segi hukumnya.

 

43. Dalam kitab yang sama dari halaman 204-208 ada memperincikan lima syarat ‘illah yang dapat diringkaskan seperti berikut:

 

i) (أن تكون العلة وصفا ظاهرا) – Hendaklah ‘illah itu merupakan sifat yang jelas secara zahir, yakni bukan sifat tersembunyi yang tidak dapat ditanggap oleh pancaindera atau terselindung dalam hati.

ii)  (أن تكون وصفا منضبطا) – Hendaklah ‘illah itu berupa sifat yang seragam yang mempunyai ciri-ciri tertentu yang tidak berubah-ubah dengan sebab perbezaan individu atau keadaan.

iii) (أن تكون وصفا مناسبا للحكم) – Hendaklah ‘illah itu berupa sifat yang sesuai atau munasabah dengan hukum yakni dapat difahami perkaitannya dengan hikmah sesuatu hukum.

iv) (أن تكون العلة وصفا متعديا) – Hendaklah ‘illah itu berupa sifat yang boleh dipindahkan, yakni bukan sifat yang terhenti pada perkara asal dan  tidak boleh lagi diwujudkan pada perkara cabang.

v) (أن تكون العلة من الأوصاف التي لم يلغ الشارع اعتبارها) – Hendaklah ‘illah itu berupa sifat yang tidak ditegah oleh Hukum Syarak untuk menerimanya, yakni ia tidak bercanggah dengan nas atau dalil Syarie.

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran G)

44. Selanjutnya di halaman 208-211 untuk menentukan sifat ‘illah itu sesuai atau munasabah ia perlulah mengikut panduan yang ditetapkan oleh ahli Usul Fiqh dan tidak boleh ditentukan kesesuaian ‘illah dengan hanya berdasarkan kehendak hawa nafsu semata-mata. Terdapat 3 jenis sifat munasabah yang boleh diterima bagi ‘illah iaitu (diterjemahkan dengan ringkasan):

 

i) (المناسب المؤثر) al-munasib al-muathsar iaitu ‘kemunasabahan yang terpimpin’ yakni sifat ‘illah yang munasabah itu ada disebutkan secara langsung dan diberi pengiktirafan di dalam nas syarak itu sendiri. Ini adalah ‘illah yang paling sempurna dan tiada khilaf ulama’ untuk menerimanya sebagai ‘illah hukum bagi mereka yang beramal dengan Qiyas.

 

ii) (المناسب الملائم)  al-munasib al-mula’im iaitu ‘kemunasabahan yang berseiringan’ yakni sifat ‘illah yang munasabah itu tidak ada disebutkan secara langsung dalam nas Syarak itu sendiri namun wujud dalil syarak yang lain atau Ijmak yang mengiktiraf kesesuaian sifat ‘illah tersebut. ‘Illah ini diterima sebagai ‘illah yang sahih.

 

iii) (المناسب المرسل) al-munasib al-mursal iaitu ‘kemunasabahan yang tergantung’ yakni sifat ‘illah yang munasabah itu tidak ada disebutkan dan tidak ada juga dinyatakan tegahan secara khusus dalam mana-mana nas Syarak akan tetapi pemakaiannya adalah bergantung kepada maslahah selagi mana ia sesuai dengan matlamat pensyariatan hukum secara umum.

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran H)

45. Seterusnya untuk mencari dan mengetahui apakah ‘illah yang benar bagi sesuatu perkara asal. Ulama’ membahaskannya dalam bab yang dinamakan sebagai masalik al-illah yang bertujuan untuk membezakan antara ‘illah yang benar dan ‘illah yang salah.

 

46. Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitab yang sama di halaman 212, masalik al-‘illah ditakrifkan sebagai:

يراد بمسالك العلة: الطرق التي يتوصل بها إلى معرفة العلة في الأصل؛ والعلة تعرف بالطرق، أشهرها: النص والإجماع والسبر والتقسيم

Terjemahan: yang dimaksudkan dengan masalik al-‘illah ialah cara yang digunakan untuk mengenal pasti ‘illah pada perkara asal; dan ‘illah itu pula dikenal pasti dengan beberapa cara antara yang masyhur adalah: melalui Nas, Ijmak dan al-Sabr wa al- Taqsim yakni analisa himpun dan sisih.

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran I)

47. Berdasarkan halaman 214 kitab di atas, al-Sabr wa al-taqsim bermaksud apabila sesuatu ‘illah tidak dinyatakan melalui Nas atau Ijmak, maka mujtahid akan berusaha mengistinbat ‘illah dengan kaedah membuat analisa dengan menghimpunkan semua sifat-sifat yang pada pandangannya sesuai dijadikan sebagai ‘illah kemudian dia mengulang kembali analisa tersebut secara lebih teliti dan mendalam untuk menyisihkan dan membatalkan sifat yang tidak sesuai dikekalkan sebagai ‘illah, maka hanya sifat yang masih kekal sahaja yang diterima sebagai ‘illah.

 

48. Kaedah al-sabr wa al-taqsim ini juga boleh diaplikasi dan dilakukan secara amali dalam kes ini untuk mengenal pasti apakah ‘illah yang sesuai dalam hukum mutaah bagi wanita yang ditalak untuk membolehkan ia diqiyaskan ke atas hukum mutaah bagi wanita yang difasakhkan pernikahannya.

 

49. Berdasarkan pengamatan terhadap alasan penghakiman, kami mendapati hakim bicara seolah-olah telah meletakkan 2 sifat yang dijadikan ‘illah untuk mengqiyaskan persamaan hukum fasakh kepada hukum talak iaitu:

 

i) Sifat fasakh yang berpunca dari kecuaian suami yang tidak memberi nafkah sehingga isteri memohon fasakh. Hakim Bicara melihat sifat ‘berpunca dari suami yang tidak memberi nafkah’ semata-mata tetapi terlepas pandang pada sifat ‘sehingga isteri memohon fasakh’ yang lebih kuat datangnya dari pihak isteri kerana sekiranya isteri bersabar dan tidak meminta fasakh, maka fasakh tidak akan berlaku. Melalui analisa al-sabr wa al-taqsim kita dapat mengetahui sifat ‘berpunca dari suami yang tidak memberi nafkah’ juga adalah sifat yang tidak seragam (غير منضبط) dan tidak sesuai dijadikan ‘illah. Ini kerana sifat tersebut tidak dapat diaplikasikan kepada semua qiyas yang lain seperti fasakh yang berpunca dari suami aib dan fasakh yang berpunca dari suami melakukan penganiayaan( تغرير) . Jika punca dari perbuatan suami semata-mata yang dilihat, (tanpa melihat kepada pilihan yang masih ada di tangan isteri) maka ia akan menimbulkan qiyas yang berbeza (qiyas maa fariq) pada perkara furu’ yang lain, seperti iksar al-zauj, aib az-zauj dan taghrir al-zauj yang kesemuanya dibina atas hukum qiyas yang sama.

 

ii) Sifat tatacara pensabitan fasakh atas alasan ‘iksar suami’ yang berbeza daripada tatacara pensabitan fasakh atas alasan ‘suami tidak memberi nafkah’ (sebagaimana dihujahkan oleh Peguam Syarie Responden). Pertamanya terdapat kesalahan yang nyata di sini, apabila Hakim Bicara bersetuju dengan pendekatan Peguam Syarie Responden yang melakukan qiyas hukum furu’ (fasakh kerana suami tidak memberi nafkah) kepada hukum furu’ (fasakh kerana iksar suami). Qiyas tidak boleh dibuat ke atas hukum furu’ tetapi mesti dibuat ke atas hukum asal itu sendiri iaitu talak. Seterusnya tidak dapat difahami apakah munasabahnya (غير مناسب) sifat tatacara pensabitan fasakh yang berbeza tersebut untuk dijadikan sebagai ‘illah hukum kerana sememangnya kesemua tatacara pensabitan fasakh bagi setiap alasan fasakh adalah berbeza. Justeru ini menyalahi salah satu syarat bagi sifat ‘illah yang betul sebagaimana yang telah dihuraikan(أن تكون وصفا مناسبا للحكم) .

 

50. Justeru kami menghujahkan bahawa kedua-dua sifat ‘illah yang cuba dijadikan asas qiyas oleh hakim bicara adalah tidak tepat kerana ia menyalahi prinsip qiyas dan syarat-syarat bagi ‘illah.

 

51. Berdasarkan  furu’ hukum fiqh mengenai alasan fasakh yang diistinbatkan dalam mazhab Syafie, kita dapat mencari dan memahami usul Qiyas yang diguna pakai dan kita juga boleh menguji ketepatan ‘illah tersebut yang bersifat zahir, seragam, munasabah, boleh dipindahkan dan tiada tegahan syarak padanya kerana terbukti ia telah dijalankan kaedah al-sabr wa al-taqsim yang teliti.

 

52. Sebagai contoh dalam kes fasakh disebabkan oleh suami memeluk Islam (dan isteri kekal bukan Islam), yang telah ditetapkan hukumnya isteri mendapat mutaah. Dari satu sudut jika dilihat punca fasakh adalah datang dari perbuatan suami yang memeluk Islam. Tetapi dari sudut yang lain punca fasakh juga datang dari perbuatan isteri yang tidak ikut serta memeluk Islam bersama suami. Kerana jika isteri turut memeluk Islam sebelum tamat iddahnya maka perkahwinan akan berterusan.  Namun perlu dingatkan prinsip yang jelas dalam agama Islam ( لا إكراه في الدين)  tidak boleh memaksa seseorang memeluk Islam, maka perbuatan isteri tidak ikut serta memeluk Islam adalah dimaafkan (walaupun ia adalah pilihan isteri). Justeru kekallah punca perceraian fasakh lebih kuat datangnya dari suami yang memeluk Islam dan dapat diqiyaskan seperti talak kerana talak juga datang dari suami. Maka sebab itu ditetapkan hukum furu’ isteri berhak mendapat mutaah dalam isu suami memeluk Islam.

 

53. Contoh lain adalah seperti suami melakukan li’an terhadap isterinya dan menyebabkan perkahwinan terfasakh selama-lamanya, yang telah ditetapkan hukumnya isteri tetap mendapat mutaah. Dari satu sudut jika dilihat punca fasakh adalah datang dari perbuatan suami yang membuat li’an. Tetapi dari sudut yang lain punca fasakh adalah disebabkan kesalahan atau perbuatan isteri yang berzina, jika isteri tidak berzina tiadalah suami melakukan li’an. Namun harus dingatkan dalam kes li’an perbuatan zina tidak ada bukti 4 orang saksi, kerana jika ada bukti tidak perlulah suami melakukan li’an. Maka boleh jadi ia hanya tuduhan suami semata-mata. Oleh kerana li’an (atas tuduhan zina yang tiada bukti) dibuat atas kehendak suami maka fasakh lebih kuat datangnya dari suami yang diqiyaskan seperti talak kerana talak juga datang dari suami. Maka sebab itu ditetapkan hukum furu’ isteri berhak mendapat mutaah dalam isu li’an.

 

54. Contoh selanjutnya dalam kes iksar suami sehingga menyebabkan isteri meminta fasakh. Dari satu sudut dilihat fasakh berpunca dari perbuatan/sifat suami yang menghadapi kesempitan kewangan atau tidak mampu berusaha mencari nafkah yang selayaknya. Dari satu sudut yang lain fasakh berpunca dari perbuatan isteri yang memilih untuk menuntut fasakh sedangkan perkahwinan masih boleh diteruskan. Di samping itu isteri juga mempunyai pilihan dengan bersabar, atau menuntut nafkah melalui qadhi atau menuntut diceraikan secara talak. Oleh kerana isteri memilih untuk memfasakhkan perkahwinannya maka fasakh lebih kuat datang dari pihak isteri yang mana ini tidak dapat diqiyaskan sama seperti talak kerana talak adalah semata-mata dari suami. Maka sebab itu isteri tidak diberi mutaah. Begitulah juga dalam kes fasakh disebabkan suami cuai atau tidak memberi nafkah (seperti yang sedang dirayu ini), masalik al-‘illah bagi qiyas yang digunakan adalah sama, tanpa perlu melihat perbezaan pada tatacara pensabitan bagi kedua-dua jenis alasan fasakh tersebut.

 

Pendekatan Fiqh Silang Mazhab (Maliki)

 

55. Kami juga ingin merujuk kepada alasan fasakh yang sabitkan antara Perayu dan Responden sebagaimana di bawah peruntukan subseksyen 53 (1) (b) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang menyebutkan: “bahawa suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan”

 

56. Alasan fasakh yang sedemikian sememangnya tidak ada disebutkan secara spesifik dalam mana-mana kitab fiqh mazhab Syafie sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini. Alasan fasakh yang terhampir di dalam mazhab Syafie adalah berkaitan dengan iksar suami sahaja. Justeru dari mazhab manakah alasan fasakh di bawah seksyen 53(1) (b) tersebut diwujudkan?

57. Kami menghujahkan di sini bahawa alasan fasakh di bawah seksyen 53(1) (b) tersebut adalah diwujudkan berasaskan kepada pandangan mazhab Maliki. Namun dalam mazhab Maliki sendiri tidak ada pandangan khusus berkaitan keharusan fasakh atas alasan suami tidak memberi nafkah selama tiga bulan. Merujuk kepada halaman 32, Perceraian Secara Fasakh: Konsep dan Amalan di Malaysia,  oleh Nurhidayah Muhd Hashim, UPENA 2006 hanya terdapat 3 pandangan dalam mazhab Maliki berdasarkan apa yang dinukilkan oleh Ibn Rusydi berkaitan fasakh disebabkan ketiadaaan nafkah, iaitu sama ada difasakhkan serta merta, diberi tempoh selama satu tahun atau dua tahun.

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran J)

 

58. Hakikatnya pembubaran perkahwinan secara fasakh atas alasan suami tidak memberi nafkah selama tempoh 3 bulan adalah sebagai kesinambungan dari prinsip menghilangkan darar atau kemudaratan ke atas isteri yang dirujuk dalam mazhab Maliki itu sendiri. Ini disebutkan oleh Dr. Wahbah Zuhaili dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu jilid 7, halaman 503:

وأجاز المالكية التفريق للشقاق أو للضرر

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran K)

 

59. Justeru sekiranya pembubaran perkahwinan terbukti dibuat di bawah mazhab Maliki maka adalah lebih wajar kesan pembubaran perkahwinan tersebut juga perlu dibuat di bawah mazhab maliki supaya tidak berlaku talfiq yang dilarang di dalam pengamalan Syariat. Ini boleh dilaksanakan selagi mana tidak bercanggah dengan usul qiyas dalam mazhab Syafie yang menjadi keutamaan.

 

60. Merujuk kepada pandangan dalam mazhab Maliki, hukum memberi mutaah kepada wanita yang ditalak adalah sunat sahaja. Mereka antara lain berdalilkan kepada  Nas  al-Quran    yang  menyebutkan  mutaah  itu  hak ke atas  orang   yang  bertakwa( حقا على المتقين)  dan sebagai hak ke atas orang yang berbuat baik  ( حقا على المحسنين)  di mana dalam nas ini ada memberikan peringanan (tahfif)  kepada selain orang yang bertakwa dan berbuat baik.

 

61. Penjelasan berkaitan hukum sunat ini ada di dalam kitab Manh al-Jalil Syarh Mukhtasar al-Khalil oleh al-Khurasi al-Maliki ada disebutkan:

( وَ ) نُدِبَ ( الْمُتْعَةُ ) عَلَى الْمَشْهُورِ وَهُوَ مَا يُؤْمَرُ الزَّوْجُ وَلَوْ عَبْدًا بِإِعْطَائِهِ لِلْمُطَلَّقَةِ لِيَجْبُرَ بِهِ أَلَمَ فِرَاقِهَا فَلَا يُقْضَى بِهَا

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran L)

Bermaksud: dan disunatkan mutaah menurut qaul masyhur iaitu diminta kepada suami walau pun seorang hamba, supaya memberikannya kepada isteri yang ditalak untuk meraikan dengan pemberian itu (supaya hilang) akan penderitaan isteri yang diceraikan, tetapi tidak boleh dituntut secara kehakiman.

 

62. Selanjutnya berkaitan pelaksanaan dan penguatkuasaan hukum mutaah ada tercatat di dalam kitab al-Mudawwanah al-Kubra li al-Imam al-Malik (riwayat Imam Sahnun dari Imam Ibn Qasim) jilid 2, halaman 238:

 

قُلْتُ : فَهَلْ يُجْبَرُ عَلَى الْمُتْعَةِ أَمْ لَا ؟ قَالَ : لَا يُجْبَرُ عَلَى الْمُتْعَةِ فِي قَوْلِ مَالِكٍ .

Bermaksud: Aku (Imam Sahnun) berkata: Adakah boleh dipaksa suami memberi  mutaah atau tidak?  Jawab (Imam Ibn Qasim) :  Tidak boleh dipaksakan ke atas suami memberi mutaah menurut satu pendapat Imam Malik.

 

63. Dalam kitab yang sama di halaman 240 Imam Malik sendiri mengatakan menurut riwayat tersebut:

وَقَالَ مَالِكٌ : لَيْسَ لَهَا حَدٌّ لَا فِي قَلِيلٍ وَلَا فِي كَثِيرٍ وَلَا أَرَى أَنْ يُقْضَى بِهَا وَهِيَ مِنْ الْحَقِّ عَلَيْهِ وَلَا يُعَدَّى فِيهَا السُّلْطَانُ وَإِنَّمَا هُوَ شَيْءٌ إنْ طَاعَ بِهِ أَدَّاهُ فَإِنْ أَبَى لَمْ يُجْبَرْ عَلَى ذَلِكَ

 

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran M)

Bermaksud: Berkata Imam Malik: Tiada pada mutaah itu had pada yang minima atau yang maksima, namun aku tidak berpendapat boleh dikuatkuasakan pemberian mutaah secara kehakiman walaupun mutaah itu adalah tanggungan ke atas suami. Dan tidak boleh campurtangan pemerintah padanya kerana ia adalah sesuatu yang jika suami ingin mentaati ia sendiri akan memberinya dan jika dia enggan maka tidak boleh dipaksakan ke atasnya.

64. Malahan lebih jelas lagi dalam mazhab Maliki juga ada menyebutkan hilang hak mutaah apabila perkahwinan difasakhkan. Ini dinyatakan dalam fatwa no 30160, yang dipetik dari laman sesawang Islamweb.net yang berpangkalan di Qatar:

 

أما إذا فسخ النكاح فلا متعة حينئذ للمرأة عند المالكية أخذاً بقول الله تعالى: وَلِلْمُطَلَّقَاتِ مَتَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran N)

Bermaksud: Adapun jika pernikahan difasakhkan, maka tiada hak mutaah ketika itu bagi wanita menurut pendapat mazhab Maliki bersandarkan kepada firman Allah ((Mutaah adalah bagi wanita yang ditalakkan secara makruf))

 

65. Hukum yang sama juga terdapat dalam Mulhaq al-Mudawwanah al-Kubra, oleh Imam Malik jilid 5, halaman 311:

فإن قلنا إن المتعة تسلية للمرأة عن فراق زوجها فلا متعة في كل فراق تختاره المرأة من غير سبب يكون للزوج في ذلك كإمرأة العنين والمجزوم  والمجنون تختار فراق زوجها وكالأمة تعتق تحت العبد فتختار نفسها ولا في كل نكاح مفسوخ.......

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran O)

Maksudnya: Jika kami katakan sesungguhnya mutaah itu untuk merawat kedukaan isteri yang diceraikan suaminya, maka tiadalah mutaah pada setiap pemisahan (bukan talak) yang diminta/ dipilih oleh isteri yang bukan disebabkan oleh suami pada pemisahan tersebut seperti isteri kepada lelaki yang mati pucuk, terpotong zakarnya atau gila yang mana si isteri meminta fasakh ke atas suaminya, dan seperti hamba perempuan yang dimerdekakan sedangkan suaminya masih seorang hamba, lalu ia meminta khiyar (fasakh) atas dirinya dan tiada juga mutaah pada setiap pernikahan yang difasakhkan.

 

66. Selanjutnya dalam kitab yang sama halaman 312 menyatakan alasan mengapa isteri yang memilih fasakh tidak berhak mendapat mutaah sebagaimana berikut:

ومعلوم أن من اختارت فراق زوجها فلم تشغف لذلك ولا حزنت له فلا يحتاج الزوج إلى تسليتها وتطييب نفسها

Maksudnya: dan telah diketahui bahawa isteri yang menuntut fasakh ke atas suaminya tidak berasa terkilan dengan perceraian tersebut bahkan tidak juga berasa sedih atas perceraian, maka tidak perlulah suami merawat kedukaan dan memberi saguhati kepada isteri (melalui mutaah)

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran P)

 

Pendekatan Undang-Undang melalui Kes Duluan

 

67. Hakim Bicara di dalam perenggan 18 Alasan Penghakiman (rujuk halaman 185 Rekod Rayuan) telah menolak untuk menerima pakai rujukan 3 kes yang kami kemukakan dalam Hujah terdahulu atas alasan ia bersifat obiter (obiter dicta). Namun Hakim Bicara bersetuju untuk menggunapakai rujukan kes yang dibawa oleh Peguam Syarie Responden dalam kes Mahkamah Rayuan Syariah Selangor antara Mohamed Hashim B Mohd Kamil (Perayu) lwn. Zuaraipah Nur Bt. Mohamed (Responden) Rayuan No. 10000-016-0016-2014.

 

68. Dalam kes tersebut rujukan dibuat kepada Kitab al-Hawi al-Kabir yang mensyarahkan kitab al-Mukhtasar oleh Imam al-Muzani. Pada pandangan kami rujukan kepada kes tersebut juga tidak konklusif kerana ia tidak menyentuh secara langsung berkaitan hak isteri yang dibubarkan perkahwinan secara fasakh atas alasan suami cuai atau tidak memberi nafkah. Ini diakui sendiri oleh hakim bicara di perenggan 52 Alasan Penghakiman (rujuk halaman 129 Rekod Rayuan):

 

Jelas dari ulasan kes rayuan di atas, tidak ada satu pun kenyataan Hakim Rayuan yang menunjukkan jika Mahkamah memutuskan perkahwinan mana-mana pasangan kerana kemudaratan yang dilakukan kerana kecuaian suami menyediakan nafkah kepada isteri sebagaimana kehendak seksyen 53(1) (b) EUKINS 2003, boleh menyebabkan si isteri tidak layak menuntut mutaah….

 

69. Oleh yang demikian kes Mahkamah Rayuan Syariah Selangor tersebut juga kekal bersifat obiter kerana kes tersebut adalah bertujuan untuk memutuskan berkaitan hak mutaah bagi isteri yang bercerai secara talak, dan bukan secara fasakh sebagaimana yang sedang diperbahaskan dalam kes rayuan ini.

 

70. Sejauh pengamatan kami, belum ada kes rayuan yang diputuskan di peringkat tertinggi berkaitan isu mutaah bagi isteri yang memohon fasakh atas pernikahannya. Berkemungkinan  ini adalah rayuan kali pertama yang dikemukakan kepada Mahkamah.

 

71. Kes yang kami rujuk dalam hujahan di peringkat Mahkamah Rendah Syariah walaupun bersifat Obiter dicta tetapi ia lebih hampir dengan isu yang dibicarakan dalam kes ini kerana ada menyebutkan permasalahan isteri meminta fasakh tidak berhak menerima mutaah. Sebagai contoh dalam  kes Zawiyah lwn. Ruslan (JH1, BHG 2, 1980), halaman 102 Mahkamah Kadhi Besar Pulau Pinang telah meluluskan tuntutan mutaah pihak isteri setelah berpuas hati ia diceraikan tanpa sebab yang patut dan bukan kerana isteri memohon fasakh dengan mengatakan bahawa:

 

“perceraian yang kena dibayar mutaah ialah setiap perceraian daripada suami tidak dari sebab pihak perempuan seperti fasakh kerana aib yang ada pada diri perempuan itu, atau perempuan memfasakh nikahnya dengan suaminya disebabkan sara nafkah atau sebagainya.  Dalam kes ini perceraian berlaku bukan kerana kecacatan yang ada pada diri perempuan dan tidak pula dengan sebab perempuan memfasakh nikah.

(Sila Rujuk halaman 163 Rekod Rayuan)

 

72. Jika diperhatikan perkataan yang disebut oleh Mahkamah Kadhi Besar Pulau Pinang: “perempuan memfasakh nikahnya dengan suaminya disebabkan sara nafkah iaitu secara umum tanpa membezakan sara nafkah disebabkan iksar atau kecuaian. Ini adalah sama seperti yang kami hujahkan sebelum ini bagi membuktikan persamaan prinsip bagi fasakh yang disebabkan oleh iksar nafkah atau kecuaian nafkah yang mana kedua-duanya menggugurkan hak mutaah.

 

73. Begitu juga kes Hasnah Binti Omar lwn Othman Bin Ya, JH 26 ( 2008) Bhg 1, halaman 43, Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan telah meluluskan rayuan perayu berkaitan tuntutan mutaah dan mengesahkan Perayu adalah isteri yang berhak mendapat mutaah kerana perceraian bukan disebabkan isteri memohon fasakh.

“Perayu berhak mendapat mutaah daripada Responden kerana perayu telah diceraikan tanpa sebab yang munasabah setelah hidup bersama sebagai suami isteri selama 29 tahun dan mendapat 10 orang anak. Selain daripada itu Perayu bukanlah memohon fasakh daripada Mahkamah tetapi beliau diceraikan dengan perceraian biasa.

(Sila Rujuk halaman 166  Rekod Rayuan)

 

74. Jika diperhatikan perkataan yang disebut oleh Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kelantan: “Perayu bukanlah memohon fasakh daripada Mahkamah.” iaitu fasakh secara umum tanpa membezakan atas alasan apa. Ini adalah sama seperti kaedah yang ditetapkan di bawah mazhab syafie yang menetapkan gugur mutaah jika isteri yang meminta fasakh walaupun atas alasan keaiban, kemiskinan atau kekurangan suami.

75. Dalam kes Sabariah lawan Zainol, JH 2 (1980) bhg 1, halaman 99, Mahkamah  Kadi Besar Pulau Pinang sekali lagi mengatakan bahawa tuntutan mutaah dibenarkan kerana isteri diceraikan suami bukan atas alasan fasakh nikah oleh isteri terhadap suami.

 

“Mutaah ialah hak perempuan yang telah diceraikan oleh suaminya selama mana perceraian itu bukan dari si isteri seperti fasakh nikah oleh pihak isteri terhadap suami. Dalam kes ini saya dapati bahawa perceraian berlaku bukan oleh pihak isteri tetapi dari pihak suami maka hak mutaah tetap kekal.”

 

(Sila Rujuk halaman 170  Rekod Rayuan)

76. Jika diperhatikan perkataan yang disebut oleh Mahkamah Kadhi Besar Pulau Pinang: selama mana perceraian itu bukan dari si isteri seperti fasakh nikah oleh pihak isteri terhadap suami.iaitu masih menyebutkan fasakh secara umum tanpa membezakan atas alasan apa, selagi mana fasakh dipohon oleh si isteri. Ini menyokong dengan kemas pandangan dan hujahan yang telah kami kemukakan sebelum ini.

 

77. Justeru kami hujahkan di sini, demi keadilan dan atas prinsip Hukum Syarak yang sahih menurut kedua-dua mazhab Syafie dan Maliki, serta selari dengan keputusan undang-undang, Responden sepatutnya tidak diberikan mutaah. Justeru kami memohon supaya perintah hakim bicara berkaitan pemberian mutaah tersebut diakaskan oleh Mahkamah Yang Mulia ini.

 

ISU KEDUA: SAMA ADA RESPONDEN WAJAR DIPERINTAHKAN MEMBAYAR KOS KEPADA PERAYU

 

78. Kami merujuk kepada Alasan Rayuan keempat iaitu Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi undang-undang kerana tidak mengawardkan kos kepada Perayu yang konsisten dengan pendiriannya bahawa Responden tidak layak mendapat mutaah sejak dari  permohonan interlokutori bantahan awal difailkan. Namun Hakim bicara dalam keputusannya memerintahkan kos ditanggung oleh masing-masing disebabkan Responden gagal membuktikan tuntutannya  untuk mendapatkan sepenuhnya amaun mutaah yang dipohon.

 

79. Namun demikian sekiranya keputusan Hakim Bicara berkaitan kelayakan Responden menerima mutaah dapat diakaskan dalam rayuan ini, maka perintah mengenai kos tersebut juga wajarlah diubah atau diakaskan dengan memerintahkan kos ditanggung oleh Responden atas suatu kadar yang munasabah sebagaimana prinsip umum kos yang diperuntukkan dalam seksyen 222 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

 

80. Perayu di dalam kes yang dirayu telah menuntut supaya kos prosiding hendaklah ditanggung oleh Responden sebanyak RM3,000.00, sebagaimana dalam perenggan 19 Pembelaan. (rujuk halaman 49 Rekod Rayuan). Ini adalah bagi mengimbangi hak Perayu yang terpaksa mengeluarkan kos bagi mendapatkan khidmat guaman untuk membantunya dalam prosiding yang dirayu tersebut.

 

81. Penjelasan mengenai alasan mengapa Perayu menuntut kos juga ada dinyatakan oleh Perayu semasa perbicaraan khususnya di perenggan 17 Penyata Keterangan Utama Defendan (sila rujuk halaman 79 Rekod Rayuan) dan telah dihujahkan oleh Perayu di dalam Hujah Penggulungan Defendan sebagaimana di halaman 94-95 Rekod Rayuan.

 

82. Sebagaimana yang telah dihujahkan, Perayu antara lain telah mengemukakan resit bayaran fi guaman sebanyak RM1,000.00 bertarikh 25/5/2017 dan 24/9/2017 dalam ekshibit AS-1 afidavit balasan Defendan dalam permohonan bantahan awal. (rujuk halaman 43 Rekod Rayuan). Ini tidak termasuk caj perjalanan peguam ke Mahkamah dan perbelanjaan disbursement yang keseluruhannya terhitung kepada jumlah RM3,000.00.

 

83. Jumlah kos yang dituntut adalah selari dengan Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Fi, Elaun dan Kos) 2006, di dalam Jadual Keempat berkaitan Kos Tetap kepeguaman bagi kes yang tidak dapat dinilai dengan wang di Mahkamah Rendah Syariah iaitu tidak melebihi RM3,000.00. Ini kerana pembelaan yang dibuat oleh Perayu adalah bagi menafikan hak mutaah, maka ia boleh dianggap sama seperti kes yang tidak dapat dianggarkan dengan wang.

 

84. Walaupun Responden di dalam kes yang dirayu telah diwakili oleh Peguam Syarie dari Jabatan Bantuan Guaman di bawah Akta Bantuan Guaman 1971. Namun Akta tersebut tidak digubal untuk menjadikan Orang Yang Dibantu ‘kebal’ atau tidak boleh dikenakan sebarang kos khususnya jika tuntutan yang difailkan olehnya terbukti tidak mempunyai merit.

 

85. Persepsi yang mengatakan bahawa Orang Yang Dibantu adalah ‘kebal’ dari dikenakan kos adalah suatu anggapan yang silap. Ini kerana Orang Yang Dibantu bukannya kebal daripada dikenakan kos, tetapi Orang Yang Dibantu hanya kebal daripada dikenakan fi Mahkamah. Kos dan fi mahkamah adalah dua perkara yang berbeza.

 

86. Kami merujuk kepada subseksyen 21 (3) (a) Akta Bantuan Guaman 1971 yang menyebutkan:

Jika sesuatu perakuan bantuan guaman difailkan sedemikian,  orang yang dibantu itu—

(a) tidaklah bertanggungan membayar berkenaan dengan apa-apa prosiding yang dimaksudkan oleh perakuan itu fi mahkamah atau apa-apa fi yang kena dibayar bagi menyampaikan proses atau apa-apa fi yang kena dibayar kepada Syerif berkenaan dengan pelaksanaan  proses itu;

 

87. Peruntukan di atas dengan jelas hanya mengecualikan Orang Yang Dibantu dari segi bayaran fi mahkamah, fi penyampaian proses dan fi pelaksanaan bailif/syerif sahaja. Namun tiada langsung perkataan ‘kos’ disebutkan dalam pengecualian tersebut.

 

88. Pengecualian berkaitan bayaran fi Mahkamah ini sebenarnya adalah perkara biasa yang lazimnya turut terpakai ke atas Kerajaan dan Majlis Agama Islam sebagai pihak dalam sesuatu prosiding di Mahkamah sebagaimana peruntukan seksyen 221 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

 

“Kerajaan atau Majlis tidaklah dikehendaki membayar apa-apa fi Mahkamah dalam prosiding oleh atau terhadap Kerajaan atau Majlis.

 

89. Peruntukan di atas juga hanya memberikan pengecualian bayaran fi Mahkamah sahaja kepada Kerajaan dan Majlis. Tidak ada peruntukan yang menyatakan Kerajaan atau Majlis tidak boleh dikenakan kos, khususnya apabila tuntutan yang dibawa olehnya tidak mempunyai kausa tindakan atau merit yang kukuh sehingga memudaratkan pihak lain. Ini jelas menunjukkan Kerajaan dan Majlis sendiri tidak kebal daripada dikenakan kos. Justeru apakah munasabahnya jika ‘Orang Yang Dibantu’ oleh Kerajaan atau Majlis boleh dikecualikan atau kebal dari membayar kos kepada pihak lain jika tuntutan yang dibawa olehnya tidak mempunyai merit. Pendekatan tersebut adalah bersalahan dengan kaedah fiqhiyyah:

التابع تابع

 

90. Jika dikatakan ‘Orang Yang Dibantu’ itu perlu diberi layanan istimewa kerana faktor ketidakmampuannya. Ini juga suatu prinsip yang salah kerana jika dibandingkan keadaan ‘Orang Yang Dibantu’ dengan orang yang diberi kebenaran bertindak sebagai ‘orang miskin’ (yang jauh lebih tidak mampu dari segi kewangan), orang miskin tersebut juga tidak kebal daripada dikenakan kos. Ini dapat dilihat dalam peruntukan seksyen 33 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003:

 

  Melainkan jika diperintahkan selainnya oleh Mahkamah, tiada orang miskin bertanggungan membayar kos kepada mana-mana pihak atau berhak menerima daripada mana-mana pihak lain apa-apa kos selain perbelanjaan sebenar yang dilakukan dalam perjalanan prosiding itu.

 

91. Peruntukan di atas menyatakan orang miskin juga tidak terkecuali daripada membayar kos kepada pihak lain sekiranya ia diperintahkan oleh Mahkamah. Ini bermakna Mahkamah masih boleh memerintahkan kos dibayar oleh orang miskin kepada pihak lain. Orang miskin hanya dikecualikan membayar fi mahkamah sahaja seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 31(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

 

92. Justeru adalah sangat tidak wajar dari segi keadilan jika ‘Orang Yang Dibantu’ diberikan layanan istiwewa dengan cara menjadikannya seolah-olah ‘kebal’ daripada membayar kos pihak satu lagi walaupun terbukti dia telah bertindak dengan cara yang tidak sepatutnya dalam prosiding yang dimulakan olehnya sehingga memudaratkan pihak lain yang bukan Orang Yang Dibantu.

 

93. Sekiranya pihak lain (pihak lawan) adalah Orang Yang Dibantu, yakni kedua-dua pihak dalam kes tersebut adalah sama-sama Orang Yang Dibantu, maka memang terdapat peruntukan khusus yang mengecualikan Orang Yang Dibantu daripada dikenakan kos sebagaimana seksyen 25 (1) Akta Bantuan Guaman 1971:

 

Jika prosiding yang dalamnya seseorang yang dibantu menjadi suatu pihak dibawa dalam mana-mana mahkamah, mahkamah itu hendaklah membuat, untuk faedah orang yang dibantu itu, perintah untuk kos (kecuali terhadap seorang yang dibantu yang lain) sama seperti yang akan dibuat oleh mahkamah itu untuk faedah orang yang dibantu itu sekiranya dia bukan seorang yang dibantu dan, jika kos berikutan dengan keputusan prosiding, seseorang yang dibantu berhak (kecuali terhadap seorang yang dibantu yang lain) kepada kos dengan cara yang sama seolah-olah dia bukan seorang yang dibantu, walaupun tiada apa-apa wang kena atau akan kena dibayar oleh orang yang dibantu itu, atau walaupun kos itu lebih daripada jumlah yang kena atau akan kena dibayar oleh orang yang dibantu itu

 

94. Dalam peruntukan di atas kos boleh dibuat untuk faedah Orang Yang Dibantu sekiranya ia berhak terhadap kos, (bermaksud kos dikenakan ke atas pihak yang satu lagi). Tetapi  jika pihak yang satu lagi juga adalah sama-sama Orang Yang Dibantu, maka tiada perintah kos boleh dibuat kepada dan terhadap kedua-dua Orang Yang Dibantu tersebut. Ini sahaja keadaan Orang Yang Dibantu diiktiraf kebal dari pada dikenakan kos iaitu apabila kedua-dua pihak adalah Orang Yang Dibantu.

 

95. Namun jika salah satu pihak lagi tidak dibantu (seperti dalam prosiding kes rayuan ini), maka isu kos perlu dirujuk kepada peruntukan subseksyen 21 (3) (c) Akta Bantuan Guaman.

Jika sesuatu perakuan bantuan guaman difailkan sedemikian, orang yang dibantu itu—

(c) melainkan jika PERUNTUKAN NYATA dibuat dalam Akta ini, tidaklah bertanggungan membayar kos kepada mana-mana pihak lain dalam mana-mana prosiding yang dimaksudkan oleh perakuan itu.

 

96. Peruntukan di atas dimulai dengan klausa pengecualian. Dengan adanya klausa pengecualian tersebut ini bermakna sekiranya terdapat PERUNTUKAN YANG NYATA dalam Akta tersebut berkaitan kewajipan Orang Yang Dibantu dikehendaki membayar kos, maka Orang Yang Dibantu akan bertanggungan membayar kos tersebut. Oleh yang demikian Orang Yang Dibantu juga masih tertakluk kepada kewajipan membayar kos kepada pihak lain yang bukan orang dibantu dan bukan kebal.

 

97. Adalah tidak adil sekiranya Orang Yang Dibantu tidak boleh dikenakan kos dalam prosiding kes yang dimulakan atau dibawa olehnya secara tidak wajar sehingga memudaratkan pihak lain yang bukan Orang Yang Dibantu. Sedangkan dalam masa yang sama Orang Yang Dibantu boleh mendapat kos dari pihak lain sekiranya pihak lain itu bukan orang yang dibantu. Mahkamah perlu melihat prinsip keadilan itu hendaklah seimbang, kelihatan adil dan saksama dari semua sudut tidak boleh adil hanya dari satu sudut tetapi tidak adil dari sudut yang lain (bersikap double standard).

 

98. Justeru persoalannya di manakah PERUNTUKAN NYATA yang disebutkan dalam peruntukan 21(3) (c)  Akta tersebut yang boleh mengkehendaki Orang Yang Dibantu membayar kos?

99. Sebagai jawapan kepada persoalan tersebut, kami merujuk kepada peruntukan Seksyen 23 (3) dan (4) Akta Bantuan Guaman 1971, yang menyatakan:-

Mahkamah boleh memerintahkan pembayaran kos oleh orang yang dibantu dalam sesuatu hal

(3) Jika didapati oleh mahkamah atau hakim bahawa seseorang yang dibantu telah bertindak dengan tidak sepatutnya dalam membawa atau membela apa-apa prosiding atau dalam menjalankan prosiding itu, mahkamah atau hakim itu BOLEH memerintahkan orang yang dibantu itu membayar kos Ketua Pengarah atau kos peguam yang telah bertindak bagi pihaknya atau kos pihak yang satu lagi itu, atau kos Ketua Pengarah atau peguam dan pihak itu kedua-duanya.

 

(4) Jika sesuatu perintah dibuat di bawah subseksyen (1) atau (3) kos itu hendaklah ditetapkan seolah-olah pihak yang diperintahkan membayar kos itu bukan seorang yang dibantu.

(Sila Rujuk Ikatan Autoriti Perayu  di Lampiran Q)

 

100. Inilah PERUNTUKAN NYATA yang menyebutkan bahawa Orang Yang Dibantu boleh diperintahkan membayar kos apabila didapati antara lain, ‘dia telah bertindak dengan tidak sepatutnya’ ‘dalam membawa sesuatu prosiding’ atau ‘dalam menjalankan prosiding itu’. 

 

101. Persoalan selanjutnya apakah tafsiran yang boleh diterima bagi klausa ‘bertindak dengan tidak sepatutnya’  ‘dalam membawa prosiding’ atau ‘dalam menjalankan prosiding itu’?

 

102. Peguam Syarie Responden di dalam Hujah Plaintif bagi kes yang dirayu (halaman 133 Rekod Rayuan) mengatakan pihak Plaintif tidak pernah membawa tindakan dengan membelakangkan apa-apa arahan yang diberikan oleh Peguam Plaintif setelah Plaintif diwakili oleh Jabatan Bantuan Guaman di Mahkamah. Di sini beliau cuba menyempitkan tafsiran ungkapan ‘bertindak dengan tidak sepatutnya’ sebagai bertindak dengan tidak mengikut arahan atau nasihat Peguam yang tidak pernah dilakukan oleh Plaintif (Responden). Namun demikian tiada rujukan yang dikemukakan oleh Responden untuk menunjukkan tafsiran ‘bertindak dengan tidak sepatutnya’ itu dikhususkan hanya kepada bertindak tanpa mengikut nasihat Peguam.

 

103. Pada pandangan kami ungkapan ‘bertindak dengan tidak sepatutnya’ lebih tepat ditafsirkan secara lebih umum iaitu ‘memfailkan tindakan (kes Saman dll) dengan ketiadaan kausa tindakan yang sah’ iaitu seperti mana tindakan Responden memfailkan tuntutan mutaah ini tanpa merit dan asas di sisi Hukum Syarak.

 

104. Sandaran bagi tafsiran ini adalah berpandukan kepada lafaz dalam Borang wakalah Peguam Syarie yang ada menyebutkan kuasa kepada Peguam Syarie seperti berikut : “untuk mewakili saya dan bertindak bagi pihak saya dalam kes ini dan untuk hadir dalam prosiding yang berhubungan dengannya” Kuasa bertindak di dalam lafaz wakalah tersebut adalah termasuk kuasa untuk memulakan tindakan Saman, memfailkan pernyataan Tuntutan dan sebagainya bagi pihak Plaintif.

 

105. Seterusnya pada pandangan kami ungkapan ‘dalam membawa atau membela’ sesuatu prosiding di dalam seksyen 23 (3) Akta tersebut adalah ditafsirkan seperti berikut:

 

Membawa sesuatu prosiding : menjadi pihak yang menuntut dalam sesuatu prosiding iaitu sebagai Plaintif

 

Membela sesuatu prosiding : menjadi pihak yang dituntut dalam sesuatu prosiding sebagai Defendan.

 

106. Peguam Syarie Responden juga telah tersalah arah dalam menafsirkan ungkapan ‘dalam menjalankan prosiding’ dengan merujuk kepada tempoh prosiding berjalan setelah Plaintif (Responden) diwakili Jabatan Bantuan Guaman, di mana sepanjang tempoh perwakilan Plaintif tidak pernah membelakangkan JBG dalam tindakannya di Mahkamah. Namun tafsiran sedikikian juga tidak bersandarkan kepada mana-mana rujukan.

 

107. Walau apapun tafsiran yang dibawa oleh Peguam Syarie Responden, kami ingin menarik perhatian Mahkamah bahawa Saman tuntutan Mutaah ini telahpun dimulakan sendiri oleh Plaintif sebelum melantik Peguam JBG. Peguam JBG hanya bertindak meneruskan tuntutan yang telahpun dimulakan oleh Plaintif selaku Responden dalam rayuan ini. Justeru ketakwajaran tindakan tersebut bukan disebabkan oleh tindakan peguam JBG tetapi disebabkan oleh tindakan yang dimulakan sendiri oleh Plaintif. Justeru Plaintif wajarlah menanggung akibat di atas perbuatan atau tindakan ‘tidak patut’ yang dimulakan olehnya sendiri.

 

108. Justeru kami menghujahkan Responden boleh dikenakan kos tertakluk kepada budibicara Mahkamah Yang Mulia ini dan selari dengan peruntukan undang-undang dan Hukum Syarak. Kos tetap yang dipohon oleh Perayu sebanyak RM3,000.00 adalah munasabah dan masih di bawah had yang ditetapkan oleh Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Fi, Elaun dan Kos) 2006.

 

109. Berdasarkan kepada penghujahan di atas berserta alasan-alasan rayuan, dan Ikatan Autoriti Perayu, kami dengan rasa rendah diri memohon agar Mahkamah yang mulia ini menerima rayuan Perayu dan mengakaskan perintah Hakim Bicara tersebut.

 

Bertarikh  pada   02 haribulan FEBRUARI  tahun  2021

…………………………………..

(Peguam Syarie Perayu)

No comments:

Post a Comment

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus