Showing posts with label Remaja. Show all posts
Showing posts with label Remaja. Show all posts

Saturday, January 12, 2008

Remaja kena tahu cara kawal emosi, kemarahan

AGAMA Jendela Hikmah: Remaja kena tahu cara kawal emosi, kemarahan
Oleh Roha Hassan
wanitajim0@yahoo.com
EMOSI remaja sering menimbulkan keresahan ibu bapa terutama yang tidak faham dengan perubahan dilalui mereka dalam aspek emosi dan fizikal hingga ada berasakan susah untuk mengawal anak remaja.

Alam remaja membawa perubahan besar kepada emosi anak dan disebabkan itu mereka memerlukan bimbingan untuk memandu emosi ke arah sepatutnya. Emosi membabitkan kemarahan, kesedihan, kebencian, kegembiraan, ceria, bingung, tekanan mestilah diluahkan pada masa dan tempat yang tepat.

Kerap kali remaja bertindak berlebihan dalam meluahkan atau memendam emosi mereka. Perasaan mereka kadangkala sukar dijangka dan sering bertukar-tukar. Barangkali remaja tidak lagi mengamuk seperti kanak-kanak apabila marah, kecewa atau keinginannya tidak dipenuhi tetapi menunjukkan dalam bentuk, pemberontakan atau kemarahan.



Seperti juga ketika mereka masih kanak-kanak, amukan remaja mesti diuruskan supaya tidak menjadi lebih parah. Ibu bapa perlu belajar bagaimana untuk mengurus kemarahan anak remaja antaranya:



Memahami kemarahan sebagai salah satu emosi manusia. Bukanlah bermaksud ibu bapa mesti selesa dan raikan kemarahan anak remaja, cuma ia mesti digunakan pada masa, tempat dan keadaan yang bersesuaian.

Contohnya marah pada perbuatan tidak baik dan memudaratkan diri serta orang sekeliling adalah kemarahan yang mesti dipupuk dan digalakkan seperti marah apabila dibuli, melihat ketidakadilan atau penganiayaan. Marah apabila Rasulullah SAW dipersendakan atau kemarahan atas sebab yang wajar.


Menganalisis punca terhadap kemarahan yang timbul. Sebelum mengurus kemarahan, ibu bapa mesti mengetahui punca sebenar yang membuatkan anak remaja menjadi marah. Daripada itu, ibu bapa akan memahami kemarahan anak berasas atau sebaliknya.

Jika kemarahan itu hanya disebabkan keperluan yang tidak munasabah, berikanlah nasihat yang sewajarnya. Barangkali ketika kanak-kanak, mereka terbiasa mengamuk untuk mendapatkan sesuatu.

Terangkan keburukan dan kesan negatif terhadap kemarahan yang tidak terkawal. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bahawasanya marah itu perosak iman, bagai barang yang pahit merosak madu.”


Bimbing remaja bagaimana untuk bertenang dan bersabar apabila dalam keadaan marah. Biasanya remaja kurang mahir mengawal diri apabila marah. Mereka cenderung bertindak atau mengeluarkan kata-kata yang akhirnya membuatkan mereka menyesal.

Menarik nafas dengan kiraan 1 hingga 10, mengambil wuduk, solat, membaca doa dan al-Quran, berjalan di tepian pantai adalah antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk menenangkan kemarahan.



Ibu bapa sebagai contoh teladan. Ibu bapa yang sering gagal mengawal diri ketika menangani amukan dan kemarahan anak sejak kecil akan membesarkan seorang remaja yang pemarah. Selain itu, di luar kesedaran ibu bapa, kata kesat dan tindakan kasar adalah satu penderaan.

Kebijaksanaan ibu bapa mengawal kemarahan sendiri ketika berhadapan anak yang mengamuk atau marah secara tidak langsung mendidik anak menjadi remaja penyabar, prihatin dan bijak mengawal perasaan. Ibu bapa adalah contoh paling hampir kepada anak.

Roha Hassan ialah Setiausaha Kehormat Wanita JIM yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Friday, August 24, 2007

Lima asas penting remaja jiwa merdeka

Jendela Hikmah:Oleh Maryam Jailani


PADA saat rakyat seluruh negara membilang hari menjelang sambutan kemerdekaan yang ke-50 pada akhir bulan ini, ramai remaja masih tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan jiwa remaja merdeka. Lahir pasca merdeka terutama menyebabkan mereka hanya mendengar kisah kemerdekaan daripada generasi emas atau berusaha memahaminya menerusi rakaman yang masih tersimpan.



Sesungguhnya tidak. Mengapa? Kerana erti sebenar jiwa merdeka lebih daripada itu! Mengetahui erti sebenar jiwa merdeka serta batasnya, dan memahami nilainya yang sebenar boleh memberikan kita kesedaran betapa penting dan berharganya aset ini. Kefahaman ini memandu kita dengan jelas dan selamat agar tidak melangkaui sempadan kemerdekaan diberikan kepada kita.

Dalam konteks ini, jiwa remaja yang merdeka dapat difahami berdasarkan lima asas penting, pertama, jiwa remaja yang merdeka kenal jati dirinya.

Jiwa remaja yang merdeka memahami dari mana dirinya datang, mengapa dirinya diciptakan dan ke mana dirinya akan kembali. Kefahaman ini bukan sekadar maklumat pengetahuan yang dihafal daripada buku, tetapi dihayati dan dijelmakan dalam kehidupan seharian.

Contoh remaja yang berjiwa merdeka sangat jelas pada zaman Rasulullah. Remaja seperti Ali bin Abi Talib serta Aisyah binti Abu Bakar faham mereka diciptakan Allah dan akan kembali semula kepada-Nya.






Mereka juga mengerti dengan sebenar-benarnya hidup di dunia yang singkat ini harus digunakan untuk menjadi hamba yang taat kepada Allah dan berusaha mengembalikan dunia dalam ketaatan kepada hakimiyah Allah.

Remaja berjiwa merdeka juga tidak pernah ketinggalan daripada memahami sejarah dan mengambil pengajaran daripadanya.

Mereka berusaha menekuni iktibar daripada kegemilangan dan keruntuhan tamadun manusia sepanjang sejarah. Mereka memahami bahawa sepanjang sejarah manusia, kebenaran tidak akan pernah lapuk ditelan zaman. Kebenaran akan tetap menang dan menyerlah! Dengan kefahaman inilah, mereka benar-benar kenal siapa diri dan betapa tingginya nilai diri mereka apabila menjadi remaja berusaha memenuhi tujuan hidup.

Kedua, berbekalkan kefahaman jati diri sebenar, jiwa remaja merdeka akan memperoleh lebih kekuatan daripada kemerdekaannya kerana dia memahami dirinya hanya perlu tunduk kepada Penciptanya. Dasar hidupnya adalah dua kalimah syahadah yang difahami implikasinya dengan sepenuh jiwanya.

Tuntutan kalimah syahadah akan memberikan lonjakan hebat yang mampu menolak segala kesetiaan dan ketaatan kepada selain dari-Nya.

Walaupun 50 tahun Malaysia merdeka, remaja menemui kemerdekaan jiwa mampu membawa dirinya keluar daripada belenggu ketaatan kepada makhluk menuju kesetiaan hanya kepada Pencipta. Hidup dan matinya, seluruhnya diasaskan secara jelas kepada paksi ini. Seluruh denyutan nadi dan degup jantungnya berlaku dengan kesedaran bahawa inilah erti kemerdekaan sebenar!

Ketiga, jiwa merdeka juga yakin dengan kewujudan dan kebenaran hari pembalasan. Remaja berjiwa merdeka memahami bahawa kematian itu pasti.

Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian dan hanya Allah yang mengetahui bilakah ajal setiap makhluk-Nya. Firman Allah: "Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh...." (An-Nisa': 78).

Bertitik tolak daripada kepercayaan yang kuat inilah, remaja berjiwa merdeka sentiasa memperhatikan tingkah lakunya agar menjadi modal paling strategik untuk manfaat kehidupan selepas mati. Jika terjatuh dalam lubang kealpaan dan kelalaian, remaja berjiwa merdeka akan bangkit kembali menebus kesalahannya dan tidak akan mengulanginya.

Keempat, kesannya, lahir remaja merdeka yang sentiasa berlumba-lumba untuk menjadikan seluruh hidupnya bermakna. Tidak ada satu detik pun yang akan diizin untuk dibazirkan ke jalan tidak berguna.

Begitulah hebatnya jiwa remaja yang merdeka. Mereka menyedari bahawa hidup di dunia ini hanya sekali, maka sebaik-baiknya mereka harus hidup dengan penuh erti.

Apabila dipanggil kembali, remaja berjiwa merdeka tersenyum bangga membawa bekal bersinar untuk dipersembahkan kepada Tuhannya. Firman Allah: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Masuklah ke dalam barisan hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku" (Al-Fajr: 27-30).

Mereka puas kerana memanfaatkan anugerah kehidupan di dunia sebagai manusia yang menjalankan amanahnya, bukan robot yang sekadar mengulangi rutin kehidupannya tanpa mengetahui tujuan hidupnya.

Remaja berjiwa merdeka sedar dan faham bahawa berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran bukanlah tujuan akhir hidupnya.

Mereka tidak terperangkap dalam kerugian menagih seluruh masa mereka hanya untuk mengisi maklumat di minda dan mendapatkan makanan untuk survival fizikal.

Mereka tidak akan membiarkan hati kecut dan gersang kerana perangkap ini. Mereka tidak akan tertekan dengan himpitan beban pelajaran, tetapi rasa bertanggungjawab untuk menimba ilmu sebanyak mungkin untuk memajukan diri dan ummah.

Kelima, jiwa remaja merdeka adalah jiwa sentiasa memperjuangkan kebenaran. Kisah interaksi manusia dan kebenaran sepanjang sejarah membentangkan kepada kita pelbagai jenis episod. Ada yang untung dan ada rugi.

Remaja berjiwa merdeka termasuk dalam golongan mereka yang untung. Mengapa? Kerana jiwa merdeka sentiasa mencari kebenaran, tidak menolaknya, berusaha memperjuangkannya dan menyokongnya dengan sepenuh jiwa dan sepanjang hayatnya.

Hidup dan mati dengan asas kebenaran itu adalah tanggungjawab. Ia bukan pilihan, tapi ia anugerah. Yang pentingnya merdeka pada jiwa dan bukan hanya pada fizikal.

Pernahkah kita terfikir mengapa ikan hidup di laut yang masin tidak terasa masin, tetapi ikan masin yang disaluti garam terasa sangat masin? Kerana bezanya ikan di laut hidup, tetapi ikan masin mati.

Begitulah jiwa manusia. Jiwa yang hidup tidak akan terpengaruh dengan anasir buruk yang sentiasa cuba untuk dipengaruhi tetapi jiwa mati mudah sekali terjebak dengan apa juga anasir buruk yang datang kepadanya.

Semoga kemerdekaan kita terus berkekalan sebagai umat yang salih dan diredai Allah. Kita isi makna kemerdekaan negara dengan akhlak terpuji, bukan merosakkan erti kemerdekaan itu sendiri.

Penulis adalah Pelajar Sarjana Perbandingan Agama, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa dengan kerjasama Wanita JIM

Friday, July 14, 2006

Remaja patut digalak ke masjid

Jendela Hikmah: Remaja patut digalak ke masjid
Oleh Ribuan Salleh

MENGAPA orang muda kurang berminat ke masjid? Apa akan terjadi kalau orang tua saja yang memakmurkan masjid? Siapa akan memakmurkan masjid kalau anak muda yang menjadi penyambung generasi tidak gemar ke masjid.


Perkara ini memang menakutkan, bimbang nanti anak muda menganggap masjid surau bukan untuk mereka. Kerja Islam dianggap tugas orang tua yang diibaratkan rumah kata pergi, kubur kata mari.

Sebenarnya kerja Islam patut diberi kepada orang muda kerana mereka masih gagah dan kuat. Apakah kita perlu membiarkan saja remaja menjauhi masjid, sedangkan banyak kegiatan di luar yang menarik remaja.

Lihat saja rancangan televisyen, pusat permainan dan laman web yang sentiasa mengajak remaja berdamping dengannya, tetapi bagaimanakah dengan institusi masjid?

Ahli jawatankuasa (AJK) masjid perlu memikirkan pendekatan supaya anak muda suka ke masjid dan memainkan peranan dalam program memakmurkan Rumah Allah ini.

Beberapa pendekatan yang mungkin boleh diambil oleh ahli jawatan kuasa masjid ialah dengan menganjurkan sukan. Perlawanan dimulakan selepas solat Asar berjemaah. Pertandingan ini hendaklah diadakan berkala sehingga remaja ini berasa nikmat solat berjemaah tadi. Kemudian bolehlah ditambah dengan tazkirah pendek bersesuaian dengan situasi remaja.

Selepas remaja ini menjadi komuniti masjid, bolehlah diwujudkan kelab remaja yang khusus untuk mereka. Biarlah mereka memikirkan aktiviti yang boleh dilakukan.

Seorang dua remaja perlu dilantik sebagai AJK masjid supaya aktiviti boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat termasuk remaja. Usaha ini perlu diperlukan secara bijak.

# Penulis adalah seorang guru dan boleh dihubungi menerusi wanitajim @jim.org.my

Friday, March 24, 2006

Remaja Muslim perlu bina jati diri, ketrampilan glokal

Jendela Hikmah: Remaja Muslim perlu bina jati diri, ketrampilan glokal
Oleh Prof Madya Umi Kalthum Ngah

REMAJA adalah transisi usia antara kanak-kanak dan dewasa. Mereka adalah pewaris masa depan seluruh ummah.

Banyak kisah daripada al-Quran dan hadis yang boleh dijiwai oleh remaja untuk diselidiki dan dicontohi. Antaranya kisah Nabi Zulkarnain.

Remaja boleh terus meneliti surah al-Kahfi untuk mengetahui ciri kepemimpinan Islam yang dimiliki Nabi Zulkarnain.

Namanya saja cukup gah dan hebat untuk kita dapat menilai siapa sebenarnya Zulkarnain. Maksud namanya ialah ‘dia yang mempunyai dua tanduk’ – disebabkan kekuasaannya yang melata dan merentasi benua Barat menjangkau ke Timur.

Dalam hal ini, Allah berfirman dalam surah al-Kahfi, ayat 84 bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada Zulkarnain di muka bumi ini dan kami memberikan kepadanya jalan bagi mencapai segala sesuatu.”

Ciri kepemimpinannya yang perlu diteladani.

# Takwa

Kekuatan pola takwa Zulkarnain tidak diganggu-gugat walaupun beliau mampu menundukkan pelosok dunia Timur dan Barat.

Zulkarnain tidak mudah lupa diri dan berlagak seperti beraja di mata, bersultan di hati walaupun menguasai dunia. Dia tahu kedudukannya di sisi Allah Maha Pencipta.

Hayati kata-katanya sebelum membina tembok pemisah penghadang Yakjuj dan Makjuj seperti di dalam ayat 95, surah Al Kahfi bermaksud : “Sesungguhnya apa yang dikurniakan Allah kepadaku adalah lebih baik (daripada pemberianmu)."

Begitu juga sikap Zulkarnain yang tidak berganjak atau goyah walaupun selepas menempa kejayaan dalam pembinaan tembok itu, seperti dalam surah sama, ayat 98 bermaksud: “(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat daripada Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar."

Betapa tingginya darjah takwa yang terpahat di hati dan jiwa Zulkarnain.

# Berwawasan, mempunyai misi dan tujuan hidup yang jelas.

Dalam surah al-Kahfi, ayat 87 hingga 88, Allah berfirman bermaksud :

“Berkata Zulkarnain, Adapun mereka yang zalim, maka kami akan menyeksanya (yakni menghukumnya dengan tegas), kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya dan Tuhan akan mengazabkannya dengan azab yang dahsyat. Adapun mereka yang beriman dan beramal salih maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan dan kami akan titahkan kepadanya perintah yang mudah daripada perintah-perintah Kami.”

Berdasarkan ayat ini, wawasannya untuk menegakkan kebenaran dan keadilan serta memerangi segala bentuk kekufuran dan kemaksiatan seperti yang digariskan Allah.

Sungguhpun Zulkarnain dikurniakan segala keperkasaan dan kebesaran, ia tidak begitu mudah memesongkannya daripada matlamat dan hala tuju wawasan yang terpahat di jiwanya.

Segala kekuasaan yang dimilikinya dianggap sebagai alat atau wasilah yang digunakan sepenuhnya untuk menegakkan kebesaran Allah. Kaedah ini diterapkan secara konsisten dalam setiap wilayah yang berada di bawah sayap taklukannya.

# Bijak menyusun strategi

Setiap perkara untuk mencapai wawasan perlu dirancang dengan rapi. Bukan tindakan yang membuta atau ikut suka-suka. Dalam hal ini, surah al-Khafi mengulangi ayat yang bermaksud berikut: “(Zulkarnain) telah mengikuti satu jalan atau menggunakan pendekatan tertentu.”

Sebanyak tiga kali iaitu di dalam ayat 85, 89 dan 92.

Apakah makna di sebalik penekanan itu?

Ia untuk menegaskan bahawa bagi mendaki tangga kejayaan perlu kepada penyusunan strategi yang rapi, teliti dan halus. Mesti adanya pelan tindakan.

# Berfikiran luas berteraskan pandangan global.

Remaja perlu mempunyai kematangan berfikir yang menjangkaui tahap global dalam menghadapi globalisasi.

Allah menyatakan dalam surah al-Kahfi, ayat 84 bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada (Zulkarnain) di muka bumi dan Kami telah memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu.”

Remaja Muslim seboleh mungkin perlu mempunyai ketrampilan ‘glokal’. Jika diselidiki, budaya glokal bermaksud mempunyai daya dan kemampuan bertindak secara bijak pada peringkat setempat dengan mengambil kira ketepatan tuntutan secara global.

Konsep ini sebenarnya menjadi pegangan negara Jepun sejak zaman Maharaja Meiji pada 1876 lagi, khususnya dalam kegiatan pertanian. Asalnya ia dipanggil ‘dochakuka’, istilah berakarumbikan kata kunci dalam bidang pertanian. Konsep ini diperkenalkan untuk amalan tani di negara itu.

Berikutan itu kegiatan pertanian Jepun mengalami perubahan sehingga dapat melahirkan industri dan produk berkualiti yang mampu bersaing di peringkat domestik dan berjaya menembusi pasaran dunia.

Justeru, sikap remaja Muslim perlu dicanai sehingga mempunyai jati diri tulen yang akan menyerlahkan kebaikan ciri Islam mereka di kalangan masyarakat tempatan.

# Mahir berkomunikasi.

Dalam surah al-Kahfi, ayat 93 hingga 94, Allah berfirman: “Hingga apabila dia sampai di antara dua buah gunung dia mendapati di hadapan kedua-dua bukit itu satu kaum yang hampir tidak dapat difahami perkataannya. Mereka berkata, “Wahai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj melakukan kerosakan di muka bumi.”

Bayangkan jika seseorang pemimpin itu mampu memahami bahasa satu kaum yang hampir tidak dapat difahami perkataannya. Betapa hebatnya pemimpin itu? Bermakna, Zulkarnain juga seorang yang mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi.

Untuk memahami sesuatu, maka seseorang itu mesti menjadi pendengar yang baik supaya dapat menentukan pelan tindakan yang perlu diambil sebagai ketua. Apatah lagi, kemahiran bertutur dan berpidato, petah berbicara dan pandai berhujah hingga dapat mematahkan tohmahan lawan.

Maka, tidak hairan Zulkarnain dapat menakluki dunia dari ufuk Barat sehinggalah ke Timur.

# Mampu menguasai kecanggihan teknologi terkini.

Kita harus kikiskan budaya’hanya lihat, guna dan tahu paka’ dan menggantikannya dengan budaya mengetahui, mendalami, menyelidiki dan merekacipta sendiri. Sungguh jauh jarak perbezaannya di antara kedua-dua perkara itu.

Budaya berkemahiran sebegini memang dimiliki Zulkarnain dan jelas ditunjukkan di dalam surah al-Kahfi ayat 96 hingga 97 sehingga dapat membina tembok besar untuk membendung kemungkaran Yakjuj dan Makjuj.

“Beliau berkata, Berilah aku potongan-potongan besi. Apabila besi itu sudah sama rata dengan kedua-dua puncak gunung itu, berkatalah Zulkarnain, Tiuplah (api itu). Apabila besi itu menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata, “Berikan aku tembaga yang mendidih supaya aku tuangkannya ke atas besi panas itu. Maka, mereka tidak mampu untuk mendakinya dan mereka juga tidak mampu untuk melubanginya.”

INTI PATI

# Remaja perlu mempunyai kematangan berfikir

# Kikis budaya ’hanya lihat, guna dan tahu paka’ sebaliknya dalami, selidik dan merekacipta sendiri

# Seseorang mesti menjadi pendengar yang baik supaya dapat menentukan pelan tindakan

# Remaja Muslim perlu menguasai kecanggihan teknologi terkini

# Penulis ialah pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

# Artikel dengan kerjasama Wanita Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia.

Friday, February 17, 2006

Ibu bapa perlu jadi pendengar lebih baik

Ibu bapa perlu jadi pendengar lebih baik

Oleh Prof Madya Umi Kalthum Ngah

“AZAM! Berapa kali mak pesan, kalau hendak main komputer, habiskan kerja sekolah dulu,” jerit Halimah dari ruang tamu.

Anak remajanya itu masih asyik bermain game sambil memberikan mimik muka seperti tidak berpuas hati dengan leteran ibunya. Kata-kata ibunya tidak berbekas.

Halimah terjegat di muka pintu bilik anaknya sambil bercekak pinggang.

“Apa mak kata tadi? Azam tak dengarkah cakap mak?” katanya dalam nada menjerit.

“Ya lah!” Azam mendengus, sambil menghempaskan kerusinya tanda protes dan mengambil buku dari beg sekolah dengan rakus. Air mukanya masam mencuka.

Kebanyakan kita sebagai ibu bapa pernah menghadapi keadaan seumpama dengan anak remaja.

Jadi kita harus melihat kembali kesan daripada tindakan itu. Kita akan berasa kesan atau akibat yang akan timbul daripada perbalahan berpanjangan sebegini.

Setiap kali berhadapan dengan sikap ibu ayah begini akan membuatkan perasaan remaja tertekan. Mereka melonggokkan perasaan negatif dalam diri mereka seperti memberontak, memendam rasa, hilang rasa hormat kepada orang tua dan bosan. Akhirnya menciptakan jurang pemisah di antara anak dan ibu bapa.

Remaja akan lebih suka berdiam diri apabila berada di rumah. Mereka sebaliknya, lebih suka berbual dan mencurahkan rasa hati kepada rakan.

Dalam pada itu ibu bapa pula akan marah, kecewa dan beranggapan anaknya degil serta tidak mahu mendengar kata.

Akibatnya anak remajanya akan lebih suka menghabiskan banyak masanya di luar rumah.

Suasana hubungan dalam keluarga juga menjadi tegang dan bermasam muka. Bayangkan sekiranya si anak remaja lebih suka menghabiskan masanya di luar rumah disebabkan tidak tahan mendengar leteran orang tuanya.

Keseluruhannya nanti, perhubungan sesebuah keluarga itu tidak lagi intim. Bertambah buruk lagi jika si anak remaja tersilap memilih kawan. Mendapat pengaruh kurang baik dan terjebak dengan kegiatan tidak diingini. Akhirnya, sesebuah keluarga itu akan menjadi kucar kacir.

Adakah suasana ini yang kita mahukan? Kita perlu menyantuni remaja dengan mengubah cara dan pendekatan, terutama apabila berbicara dengan mereka.

Tips berbicara dengan remaja seperti berikut mungkin boleh dijadikan panduan.

l Berikan teladan yang baik sebagai seorang insan.

Bahasa perbuatan memberikan kesan yang lebih mendalam kepada jiwa anak remaja daripada bahasa lisan. Bagaimana Halimah mahu Azam berbicara dengannya secara lemah lembut dan penyantun sekiranya dia sendiri terjerit-terjerit?

Mengapa remaja harus mengikut kata anda jika anda sendiri cakap tidak serupa bikin? Jadinya, lebih kerap kita buat seperti kita cakap, lebih hormat remaja kepada kita sebagai orang tuanya.

l Cuba jadi pendengar yang baik.

Kita sering mendengar saranan ini ‘dengar dan pasang telinga betul-betul apa yang ingin diperkatakan remaja anda’. Jika ibu bapa mengubah sikap dan berusaha untuk menjadi pendengar yang baik, tidak mustahil pula sebagai timbal balik, anak akan mahu mendengar kata-kata kita.

Apabila remaja membuka mulut, berikanlah dia peluang untuk menghabiskan segala isi hatinya. Dengar dengan teliti. Tenung tepat ke matanya. Biar dia tahu yang kita benar-benar mengambil berat apa yang dikatakannya. Beri mereka peluang walaupun kadang kala mereka seolah-olah tidak pandai memilih masa yang sesuai berbuat demikian.

Contohnya, remaja hendak bertanya sesuatu ketika kita baru pulang atau sedang membaca akhbar. Terimalah mereka dengan hati dan perasaan terbuka.

Biar kesan yang bakal dirasakannya pada saat itu adalah dia begitu dihargai dan bertuah sebab mahu diajak berkongsi sesuatu.

Memang sukar untuk melakukan ini. Tetapi masih belum terlambat. Belum cuba belum tahu!

l Masa berkualiti.

Ramai ibu bapa hanya sibuk untuk memastikan anaknya berada di jalan yang benar dan melakukan perkara yang betul saja.

Ibu bapa terlupa aspek pembinaan ikatan hubungan atau pertalian erat berkualiti di antara ibu bapa dan anak.

Tiada yang lebih diingini oleh remaja daripada ibu bapanya, melainkan mahu bersama-sama meluangkan waktu dengan mereka.

Mereka mahu ibu bapa benar-benar bersikap ingin mengambil tahu akan segala saat suka duka yang dihadapinya.

Kita selalu fikir masa berkualiti hanya untuk anak kecil. Kita terlupa remaja juga memerlukannya.

Berusaha untuk menjadi orang yang diperlukan atau tempat remaja boleh meminta pertolongan.

Sebagai ibu bapa, ada banyak perkara yang boleh kita bantu dan cuba selesaikan untuk remaja.


Artikel dengan kerjasama Wanita Jemaah Islah Malaysia. Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Malaysia dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

Friday, January 20, 2006

Pujian serta-merta rangsang anak jadi lebih berdisiplin

Jendela Hikmah: Pujian serta-merta rangsang anak jadi lebih berdisiplin
Oleh Dr Norizam Mohd Alias

“ALONG jangan kacau adik! Berapa kali mak nak cakap!” Spontan Nor memarahi anak sulungnya yang berumur 10 tahun apabila mendengar tangisan anak bongsunya yang baru mencecah umur empat tahun.

Along terus berhenti daripada mengusik adiknya, lalu bermasam muka. Dia terus ke biliknya mengunci diri sambil merungut: “Apa yang Along buat semua salah!”

Nor mengeluh sendirian kerana terpaksa menghadapi keadaan sedemikian hampir setiap hari. Beliau benar-benar bingung. Di mana silapnya.

Nor tidak sendirian dalam menghadapi masalah ini. Di luar sana ramai lagi ibu bapa yang kebingungan menghadapi kerenah anak-anak dan mencari-cari jalan penyelesaiannya.

Sebagai ibu bapa kita amat perlu mempelajari kemahiran keibubapaan dalam mendidik anak-anak. Semua ibu bapa berharap untuk mendapatkan anak yang apabila besar nanti mempunyai ciri murni seperti menjadi orang beriman, kasih kepada Allah, Rasulullah SAW, ibu bapa dan adik-beradiknya. Mereka juga mahukan anak yang mempunyai kekuatan fizikal dan mental yang baik, bertanggungjawab, menghormati orang tua, jujur dan ikhlas serta mempunyai asas moral kukuh.

Salah satu kemahiran keibubapaan yang amat penting adalah kaedah memuji anak-anak. Sebenarnya, pujian akan merangsang dan menggalakkan tingkah laku yang dikehendaki. Contohnya rajin belajar, bersopan-santun, jujur dan ikhlas.

Ibu bapa perlu sedar bahawa tingkah laku yang baik tidak akan berubah serta-merta, tetapi memerlukan kesabaran, usaha yang berterusan dan terancang.

Tanpa disedari kita selalu bersikap tidak adil terhadap anak-anak. Apa tidaknya, kita memarahi mereka jika berkelakuan buruk. Tetapi, jarang memuji kebaikan dan kelebihan mereka.

Marilah kita sama-sama berusaha secara berterusan untuk sentiasa mencari ruang bagi mengiktiraf kebaikan mereka melalui pujian-pujian. Firman Allah bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat dan nasihat pengajaran yang baik, dan bahaskanlah mereka secara yang baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk. “ (Surah al-Nahl, ayat 125)

Persoalannya, bagaimana memberikan pengiktirafan atau pujian?

Rancang dan latih diri kita mengeluarkan perkataan pujian yang bersesuaian dan pelbagaikan.

Perhatikan perubahan tingkah laku anak terhadap pujian kita.

Pujian yang diberikan hendaklah ikhlas, ceria, lembut dan tepat ke atas setiap kebaikan yang dilakukannya.

Kajian menunjukkan bahawa pujian dan pengiktirafan itu lebih berkesan jika diberi serta-merta.

Contoh ungkapan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa.

# Apabila anak meminta sesuatu daripada ibubapa dengan baik.

Balas: “Sedap mak dengar Nuha cakap lembut-lembut dengan mak.”

# Apabila anak menyidai tuala mandinya, “Bagus anak mak, rajin sidai tuala. Mak bangga dapat anak macam ni”

# Apabila anak selesai menunaikan solat.

“Alhamdulillah salihnya anak mak.“

# Apabila anak selesai menggosok gigi.

“Suka hati mak tengok anak mak gosok gigi.”

# Apabila anak menyusun kasut.

“Terima kasih kerana menyusun kasut, mak suka tengok rumah kita kemas.”

Perkataan atau puji-pujian ini akan menjadi kebiasaan jika ibu bapa sentiasa mengamalkannya dalam kehidupan seharian baik bersama keluarga, di tempat kerja atau di mana-mana saja.

Kita kena berani mencuba budaya memuji sehingga semua orang berasa selesa dengan tindakan memuji dan janggal untuk mengeluarkan perkataan berunsur kejian, kecaman dan marah.

Firman Allah bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali yang dianiayakan. Dan ingatlah Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nisa, ayat 148)

Perkataan buruk perlu ditinggalkan dalam memperbetulkan tingkah laku anak-anak supaya mereka merasakan keseronokan ketika menerima teguran. Ia juga memberi motivasi kepada mereka untuk menukarkan tingkah laku buruk kepada yang lebih baik.

Kaedah pengiktirafan dan pujian adalah salah satu kaedah dalam mendidik anak-anak. Banyak lagi aspek dan kaedah lain yang perlu diberi perhatian termasuk faktor persekitaran, umur serta perkembangan emosi dan mentalnya.

Ibu bapa mesti rajin dan bersungguh-sungguh melengkapkan dirinya dengan kemahiran keibubapaan dengan antaranya menghadiri kursus, pembacaan dan perbincangan.

Kita hanya merancang, berusaha dan berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah untuk kebaikan anak-anak. Semoga Allah memberkati usaha kita.

INTI PATI
Keibubapaan cemerlang

# Mampu kawal perasaan
# Memuji anak bertempat
# Beri contoh teladan terbaik
# Tidak memukul melulu
# Elak mengeji anak

Artikel ini dengan kerjasama Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM).

# Penulis ialah pakar psikiatri, Hospital Tampoi Johor Bahru, Johor dan Ketua Wanita JIM Johor Bahru boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my