Memaparkan catatan dengan label Terlintas Di Jiwa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terlintas Di Jiwa. Papar semua catatan

Selasa, 8 Jun 2010

Jika Semuanya Milik Allah.. Apakah Sebenarnya Yang Aku Ada ?

Suatu hari sang guru bertanya kepada murid-muridnya.

Siapa yang jadikan mata kita ?

Mereka menjawab : Allah

Lalu sang guru katakan : Lalu apakah yang telah kita perbuat dengan dua biji mata ini ? Adakah sebagai alat untuk melihat perkara yang baik ataupun perkara yang jahat ?

Mereka : (terdiam)

Sang guru tambahi lagi : Apa yang akan jadi sekiranya penglihatan ini diambil olehNya? Selama ini Allah memberi nikmat mata untuk melihat pemandangan yang cantik dan indah. Alam ini dilimpahi dengan pelbagai warna yang menarik hati serta pelbagai hidupan yang menghiasinya.

Suatu hari nanti... jika kita bangun. Alam ini terasa gelap dan pekat. Rupa-rupanya sudah hilang nikmat penglihatan yang diberikan. Sedangkan selama ini kita tidak bersyukur dengan pemberianNya. Adakah selepas ini baru hendak menyesal ?

------------------

Cuba awak rasa lidah dengan menggunakan jari.

Mereka : (memegang lidah masing-masing)

Sang Guru berkata : Allah memberi rasa masam, masin, manis, pahit dan pelbagai lagi rasa yang berlainan melalui lidah.

Mereka kata : Ya Ustaz.. benar (masing-masing menganggukkan kepala)

Sang Guru berkata : Tetapi mengapa kita gunakan lidah untuk berkata kesat, memaki hamun, berkata bohong ? Bukankah dengan lidah ini kamu pernah menghina guru-guru yang mengajarkanmu ? Bukankah dengan lidah ini kamu telah membentak dan menjawab kata-kata ibu dan ayahmu serta berkali-kali membohongi mereka berdua ?

Bukankah sudah diperingatkan oleh RasuluLlah agar menjaga lidah ? Bukankah kita perlu menjaga apa yang ada di antara 2 rongga mulut manusia iaitu lidah ? Dengan lidah ini juga boleh menyebabkan kita tercebur ke dalam neraka ?

Mereka : (tertunduk dan perlahan-lahan mengalirkan air mata)

-----------------------------------------------------------------

Cuba lihat dua tangan yang Allah beri, dan lihat baik-baik alangkah cantiknya kurniaan Allah.
Dia memberi tangan agar kita dapat merasa, memegang, menyentuh dan sebagainya.

Mereka : (melihat tangan masing-masing, diperhati telapak tangan sambik berfikir)

Sang guru berkata : Adakah kita sudah menggunakan tangan dengan betul ? Bukankah ada tangan-tangan yang merosakkan meja sekolah ? memukul kawan ? menulis surat cinta ? mencuri ?

Mereka : benar ustaz... Ya Allah... ampunkanlah dosa kami....

Sang Guru : Allah memberi sepuluh jari tangan, sepuluh jari kaki dalam keadaan yang sempurna. Sudahkah kita menengadahkan tangan meminta keampunan kepadaNya ? Menyatakan syukur terhadapNya atas segala nikmat yang tidak mampu ditulis hatta kering 7 lautan ?

Mereka : (air mata semakin meluncur laju). Ya Allah... Aku sudah banyak buat dosa kepadaMu.. Aku sombong padaMu Ya Allah.....

-----------------------------------------

Lihatlah pula kedua kaki yang dikurnia oleh Allah. Kita boleh berjalan, berlari, bergerak dengan mudah ke sana sini.

Mereka : (memegang kaki masing-masing sambil mengusap-usap jejari kaki)

Sang Guru : Lalu apa yang kita perbuat dengan kaki yang ada ? Kita gunakan untuk ponteng sekolah, pergi ke tempat-tempat maksiat, menendang kawan dan sebagainya. Adakah itu tujuan kaki kita dijadikan ?

Mereka : (menutup mata sambil teresak-esak, semakin kuatlah jerit tangis memikirkan kesalahan yang telah dilakukan selama ini).

Sang Guru : Jika Allah ambil balik mata kepunyaanNya ? Jika Allah tarik balik kaki yang dipinjamkanNya? Jika Allah hilangkan rasa pada lidah ? Jika Allah ambil satu jari dari apa yang kita ada ?

Wahai diri... engkau faqir dan Allah itu Maha Kaya. Maka mengapa engkau masih menyombongkan diri kepadaNya?


Ahad, 24 Januari 2010

Cepatnya Masa Yang Berlalu, Ramainya Mereka Yang Telah Pergi

Alangkah ramainya orang yang baik meninggal dunia... Ustaz Asri dah pergi... Sahabat yang dahulu pernah mengikuti Kem Ihya' Ramadhan - Ustaz Saufie sudah kembali... Sahabat forumer Puan Aryna juga sudah menemui Illahi..

Ya Allah.. semoga aku juga selalu mengingati mati yang pasti hadir...

Selasa, 24 November 2009

Bila ALlah Menarik Nikmat Ilham

Ada masa-masanya juga bila fikiran tidak dapat memberikan buah pendapat. Ketika itu akal terasa kosong dan tidak mampu untuk berfikir dengan baik.

Lalu timbullah perkataan 'buntu' dan tiada idea. Duduklah berjam-jam menunggu datangnya ilham agar dapat menulis, membuat keputusan. Syaitan pula mungkin datang berbondong-bondong membawa hasutan yang negatif agar jiwa pula turut merasa kelelahan.

Tahulah, bahawa yang Empunya milik kepada idea mengambil nikmatnya. Mungkin juga untuk sementara dan mungkin juga untuk selama-lamanya. Mungkin juga ia sebagai medan ujian, apakah yang perlu dibuat dalam situasi sedemikian ?. Adakah untuk bersungut? Adakah membiarkan masa dan keadaan terus berlalu dan akhirnya timbul perkataan 'Bosan' dan 'putus asa' ?

Bila tiba waktu begitu, ambillah masa untuk beristirehat. Biarlah akal beriadah seketika dari bekerja untuk berfikir sahaja. Lihat alam ALlah seluas-luasnya, carilah tempat yang tidak menimbulkan tekanan. Mungkin di kala ini mendengar alunan zikruLlah, alunan nasyid menjadi penawar jiwa yang sedang sunyi sebentar.

Ambillah buku-buku yang dapat mengubat jiwa, kata-kata yang dapat memberikan motivasi dan nasihat. Mungkin hilangnya ilham disebabkan oleh maksiat yang dilakukan ? Mungkin juga kerana fikiran terlalu sesak memikir masalah dunia. Cubalah belajar mendekati para alim ulama dan dapatkan nasihat yang berhikmah daripada mereka. Bukankah selama ini kita jarang benar mendekati mereka ? Mungkin akal dan hati yang sedang lesu akan mendapat kekuatan baharu, dan menghidupkan kembali cahaya dalam diri..

Syukurlah wahai diri, dalam keadaan sempit Dia masih memberi peluang untuk berfikir dengan waras. Ada manusia yang Allah uji, dia merungut dan kecewa. Ada manusia yang Allah beri mehnah kepadanya lalu ia semakin lari dariNya..

Wahai diri, teruskan menyampaikan perkara kebaikan apabila ada ilham yang menjengah dalam minda. Gunalah dengan sebaik-baiknya agar ia tidak menjadi saksi pula atas kejahatan yang engkau lakukan di hadapan ALlah kelak.

Jumaat, 20 November 2009

Pepohon dan Kita

Pohon itu, semasa kecil disiram, dibajai agar terus subur.

Lalu ia bertunas mengeluarkan daunnya, hijau warnanya… jadilah ia tempat yang menaungi air embun di pagi hari,

Pohon itu kelihatannya terus subur dan tumbuh meninggi, dahulu daunnya boleh dibilang dengan jari,

Kini semakin rimbun. Kerana cukup dijaga pemakanannya, cukup diperhati kesihatannya.

Di sebalik daun yang rimbun, kelihatanlah bunga-bunga kecil yang sedang mekar… menghiasi warna-warna hijau yang ada.

Akarnya pula semakin kuat untuk menahan ia dari rebah, kerana sokongannya yang bertautan antara satu dengan yang lain.

Hiduplah pepohon itu dengan keceriaannya melatari alam ini. Hingga ia menghasilkan buah yang pejal dan ranum.

Unggas pun menyinggah menikmati rezeki yang diberi.

Suatu ketika, pernah didatangi ribut yang melanda. Ia tetap kuat, kerana akarnya yang bersatu padu menolong meneguhkan.

Hinggalah sampai waktunya, akarnya sudah tidak kuat lagi, sudah terlalu banyak penyakit pada akar yang tidak diperhati.

Pepohon itupun tidak lagi dibaja dan dijaga seperti dahulu…

Daunnya mula kekuningan.. lalu berguguran… sudah banyak buah yang rosak dan hanya ditinggal mentah.

Riwayat pepohon tinggallah namanya sahaja…

Mungkinkah pepohon itu adalah kita ?