Memaparkan catatan dengan label Memahami Keutamaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Memahami Keutamaan. Papar semua catatan

Selasa, 11 November 2008

Mengapa Mereka dan Bukan Kita?


Umat Islam perlu bersatu, dengan kesatuanlah maka kita akan menjadi kuat terutamanya di dalam menghadapi musuh yang tersembunyi dan yang nyata. Melalui perasaan kasih sayang antara satu dengan yang lain, saling teguh meneguhkan, kuat menguatkan dan damai mendamaikan.

Firman ALlah yang bererti :

“Dan bertolong-tolonglah kamu atas tujuan kebaikan dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Maidah ayat 2)


Umat Islam perlu ada disiplin, tanpa disiplin seseorang akan menemui kegagalan dan tidak teratur hidupnya. Perancangan pula amatlah penting . Orang yang berjaya tidak akan memikulkan masalahnya kepada orang lain untuk diselesaikan. Manakala perancangannya bukan hanya untuk hari ini tetapi juga ia akan memikirkan 'Apa yang ingin Aku capai pada 4,5 tahun akandatang dan matlamat di akhirat nanti'.

Dalam konteks Umat Islam di Malaysia, perlu juga kita bertanya, mengapa kebanyakan orang tua dahulu tidak belajar tinggi. Tetapi hidup mereka mempunyai matlamat yang jelas. Mampu untuk membesarkan anak-anak hingga menjadi manusia yang berjaya. Dalam sudut agama, walaupun pendidikan agama mereka tidak setinggi mana, tetapi dengan melalui pendidikan agama yang tidak formal. Mereka dapat menghayati kehidupan beragama lebih baik dari apa yang kita fahami hari ini. Rukun dan damai dan mati dalam keadaan tenang.

Orang tua dahulu suka mengamalkan zikir,dekat dengan ALlah, rajin bekerja keras dan begitulah berkat hidup menjadikan mereka kuat,redha dengan takdir (tanpa melupakan usaha). Lihat sahaja di hari tuanya, di kelilingi dengan anak-anak yang membesar dan mempunyai jawatan yang besar, bahagia dan ceria.

Ingat lagi Peristiwa Natrah? Ketika itu orang Islam bersatu untuk menyelamatkan aqidah seorang wanita yang bernama Natrah. Ada yang gugur mati syahid. Manakala ada yang ditangkap dan dipenjarakan. Semak juga sejarah sebelum kemerdekaan Malaysia sendiri. Perjuangan ulamak Islam dahulu dalam menentang penjajah Portugis, British. Seperti Dato' Sagor, Tok Janggut, Haji AbdulRahman Limbong dan ramai lagi. Mengapa berlainan pula dengan keadaan sekarang?

Di zaman ini kita disibukkan untuk berbicara soal furu'iyyah (cabang). Kita telah diwajibkan untuk mengkaji setiap dalil yang bukan menjadi kewajipan kita untuk mengkaji setiap satu perkara, sehingga banyak perkara yang lebih utama diabaikan.

Sedangkan kewajiban untuk mengetahui tentang dalil dan mengistinbath hukum adalah tanggungjawab mereka yang berkelayakan untuk mengkajinya iaitu para Ulamak. Bahkan ada pula suara-suara yang telah menobatkan diri mereka sebagai pengikut al Quran dan Sunnah, menggelarkan diri mereka sebagai pengikut Salaf (hakikatnya akhlaq dan manhaj jauh dari salaf) tetapi dalam masa yang sama menghina dan melekehkan pendapat ulamak muktabar yang tidak sependapat dengan mereka. Bahkan mudah benar pada jari jemari mereka mengatakan orang ini akan masuk neraka, sesat aqidah tanpa hak walaupun telah diberikan hujjah dan dalil dari alQuran dan Hadith melalui para ulamak yang arif mengenainya.

Melalui Sejarah, kita belajar tentang kesatuan, toleransi, kekuatan aqidah dan ukhuwwah. Di zaman ini, banyak pula perpecahan telah berlaku. Dari sudut politik, ekonomi yang selalu berbaur dengan hasad dengki, sistem pendidikan yang dipisahkan dengan agama. Dalam diam, diri kita telah ditanamkan dengan perasaan benci, menyalahkan antara satu dengan yang lain, mengganggap diri dan pendapat kita lebih maksum dan betul. Lalu apa yang terjadi pada generasi yang akandatang?

Ironinya, di zaman ini :

Dalam Bidang Agama

1. Ada golongan yang mengatakan diri mereka peneguh sunnah dalam masa yang sama menghina sunnah dengan menjatuhkan hukuman sesat sesuka hati .

2. Menuduh ulamak yang lain tidak maksum, dalam masa yang sama ulamak yang mereka pergunakan untuk menguatkan dalil-dalil dan hujjah tidak boleh dikritik pendapatnya dan pasti benar.

3. Menuduh orang lain sebagai fanatik mazhab, taksub dengan pendapat mereka sendiri. Tetapi diri mereka tidak mengapa untuk taksub dengan ulamak, fanatik dengan golongan sendiri sehinggalah telah menjamin golongan mereka adalah yang paling layak masuk ke syurga.

4. Menuduh orang lain bertaqlid, tetapi mereka sendiri taqlid dengan ulamak mereka bahkan dengan sekeras-kerasnya mengajak orang agar mengikut dan bertaqlid dengan pendapat yang mereka keluarkan.

5. Melarang orang lain mengikut mazhab, tetapi mereka sendiri telah membuat mazhab sendiri dan fanatik buta terhadapnya.

6. Mengatakan Islam itu mudah, tetapi hakikatnya mereka mempermudah-mudahkan agama.

Dalam Bidang Ekonomi :

1. Kita mengajak agar bangkit di dalam bidang ekonomi, tetapi dalam masa yang sama penyakit hasad dengki, cantas mencantas tetap berlaku. Amalan ilmu hitam tetap dijadikan sandaran untuk melariskan perniagaan dan untung sendiri.

2. Kita ingin melihat adanya keseimbangan dan suburnya peniaga Islam yang berdaya saing. Tetapi dalam masa yang sama, ada di antara mereka yang lebih kaya serta mempunyai lesen yang besar telah memonopoli peruntukan yang diberikan kepada peniaga kecil.

3. Kita ingin memperkasakan perniagaan HALAL, tetapi siapa sebenarnya 'juara' di sebalik logo HALAL?

4. Kita ingin umat Islam kuat dalam ekonomi, tetapi berapa ramai yang mengutamakan barangan buatan orang Islam?

Dalam Bidang Pendidikan :

1. Kita ingin menjadikan pendidikan kita bertaraf dunia, tetapi dalam masa yang sama sanggup mengorbankan identiti sebuah negara bangsa dengan menyadur sistem pendidikan dari negara lain yang korup dan tidak sesuai dengan budaya, cara pemikiran kita sendiri.

2. Setiap individu Islam khususnya telah diterapkan dengan konsep modal insan, 'towering personality'. Dalam masa yang sama, pendidikan Islam tidak diintegrasikan dengan matapelajaran di sekolah-sekolah. Pendidikan melalui hukuman serta disesuaikan dengan kaedah kaunseling tidak diaplikasikan. Malahan hukuman dianggap sebagai satu kaedah kuno yang perlu dibuang. Sedangkan dalam sunnah, RasuluLlah mengajar kita menggunakannya untuk mendidik (dengan cara yang betul).

3. Sekolah Agama, pendidikan Agama amat penting di dalam melentur personaliti, akhlaq, cara berfikir tetapi dalam masa yang sama, ada yang menganggap sekolah agama adalah pendidikan kelas kedua. Akademik lebih dipentingkan dari belajar agama sehinggalah ada istilah 'TIDAK MENGAPA' tidak sekolah atau ponteng sekolah agama asalkan datang sekolah kebangsaan.

Dalam Bidang Sosial

1. Ada kaum yang mengatakan diri mereka tertindas, ada berlakunya ketidakadilan dalam struktur ekonomi, pendidikan. Tetapi dalam masa yang sama, mereka sendiri boleh pula menyebarluaskan jurang tersebut apabila berhadapan dengan kaum lain? Sikap perkauman memang sudah lama berlaku di dalam syarikat, kilang, atau peruncitan dan juga dalam pendidikan. Apabila membabitkan kenaikan gaji, maka kaum merekalah yang lebih diutamakan walaupun baru bekerja sebulan dua, sedangkan ada pekerja yang lebih mahir dan berkelayakan, pengalaman yang lebih luas tidak menerima keistimewaan yang sama.

Dalam Bidang Politik

1. Kita berdegar-degar ingin menyatukan orang Islam di dalam sebuah parti, tetapi sekiranya di dalam parti tersebut ada api dalam sekam, mereka yang suka menghukum orang lain sesat, fahaman syiah radikal, anti hadith. Bagaimana kita akan dapat mencapai objektif sebagaimana yang diinginkan?

2. Kita selalu mengatakan tentang kesatuan dengan motto yang pelbagai. Tetapi hakikatnya di dalam parti itu sendiri pecah belah, jatuh menjatuhkan, rasuah dan sebagainya.


Antara Kita dan Mereka (Bukan Islam)

Mengapa bukan kita yang dapat menunjukkan bahawa umat inilah yang perlu dijadikan contoh tauladan kepada umat lain agar akhirnya mereka juga dalam diIslamkan secara tidak langsung?

Mengapa kita sendiri tidak berbangga dengan jenama Islam yang dibawa ke mana-mana samada dari sudut aqidah, syariat dan akhlaq sehingga menjadikannya sebagai satu cara hidup?

Mengapa bukan kita yang menjuarai dalam merekacipta perkara yang baik seperti dalam bidang pembuatan pakaian, komputer, kenderaan, filem, sistem pendidikan, pemakanan dan sebagainya? (selagi tidak bercanggah dengan al Quran dan Sunnah)

Mengapa bukan kita mengutamakan perkara yang lebih utama untuk diperhatikan dan mencari jalan untuk menyelesaikan? Selain dari menjadi orang yang mengelirukan, memecahbelahkan kesatuan.

Kita telah jauh kebelakang dengan menyibukkan diri perkara yang menghancurkan kesatuan umat Islam. Mereka yang bukan Islam pula telah jauh kehadapan dan sekarang ini ada yang sedang mentertawakan kita yang baru hendak bangun kemudian 'dijatuhkan' semula oleh saudara-saudara kita sendiri.

Ahad, 13 April 2008

Nombor Plat Lebih Penting Dari Nasib Umat Islam?

Hari ini di dalam akhbar Mingguan Malaysia ruangan Rencana muka surat 20, menyebutkan tentang kegilaan ahli korporat termasuk jutawan Islam membeli nombor plat kereta sehinggakan mencecah jutaan ringgit.

Di dalam rencana itu antaranya menyebutkan jutawan muda Arab, Saeed Al Khouri, 25, muncul sebagai pemilik nombor plat kenderaan termahal di dunia setelah membeli nombor plat 1 dengan harga kira-kira RM45.8 juta pada satu lelongan awam di Abu Dhabi, Dubai.

Secara perbandingannya, bayaran untuk sekeping plat nombor 1 yang akan digunakan di bumper kereta kepunyaan Saeed itu mampu digunakan untuk membeli lebih 400 buah model Perdana V6 Enhanced 3 keluaran Proton Holdings Berhad.

Sebelum itu, sepupu Saeed, Talal Ali Mohammad Khouri membayar lebih RM22 juta untuk memiliki nombor plat 5 yang menyamai harga untuk 200 buah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria keluaran Kumpulan Naza.

ALlahu..ALlah, lihatlah pembaziran yang tidak bermanfaat, betapa borosnya jutawan-jutawan Islam ini. Alangkah baiknya jika duit yang dilaburkan hanya untuk membeli kepingan besi itu digunakan untuk kepentingan umat Islam seluruh dunia. Tentu banyak perut-perut yang akan terisi, tentulah ramai pelajar yang miskin akan dapat bersekolah, tentulah ramai balu-balu palestin serta pejuang Islam mendapat manfaat.

Alangkah bagusnya jika wang tersebut dalam digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan sains, pendidikan, sosial yang dapat menyumbangkan sesuatu untuk Islam. Sedarlah, umat Islam kini hanya berperanan sebagai pengguna dan bukan pengeluar. Apabila terdapat krisis makanan dan sebagainya, kita terlalu bergantung harap kepada negara dan pengeluar bukan Islam.

ALlah telah berfirman di dalam surah Al Isra' ayat 26 dan 27 yang bererti :

وَءَاتِ ذَا ٱلۡقُرۡبَىٰ حَقَّهُ ۥ وَٱلۡمِسۡكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِيرًا (٢٦) إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا (٢٧)

Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. (26) Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (27)


Bagaimana pula kisahnya dengan pergerakan missionari kristian di Asia, yang berlaku juga di kawasan pedalaman orang asli di Malaysia, di Sabah, Indonesia, Iraq, Palestin dan sebagainya?. Adakah mereka yang berbangga dengan nombor-nombor itu memerhatikan nasib umat ini?

Anda boleh melawati laman ini untuk mengetahui apa yang berlaku di dunia Islam kini : http://satuumat.blogspot.com/

Realitinya, kita merasa senang menghamburkan duit di jalan yang dapat memuaskan keinginan melebihi keperluan. Yang sanggup pergi menunaikan haji dan umrah berkali-kali setiap tahun, mengundi AF, membuat majlis perkahwinan gilang gemilang.... Di manakah sebenarnya keutamaan?

Sungguh kami merindukan akan adanya sahabat rasuluLlah seperti Abdul Rahman bin Auf, Saidina Abu Bakar as Siddiq, ahli perniagaan seperti Imam Abu Hanifah yang tidak meletakkan keduniaan di dalam hatinya sebagai keutamaan melebihi akhirat. Kekayaan dunia hanya di hujung-hujung jari mereka dan bukan di dalam genggaman.

Wahai umat Islam - marilah kita memikirkan soal kualiti dari kuantiti.

Ahad, 2 Disember 2007

Bila Sikecil Lebih Sedar dari SiDewasa


Gambar pendakwah kecil Fahmi dan ayahnya


Saya melihat perkembangan bagaimana kanak-kanak di Indonesia dilatih menjadi pendakwah sejak tahun 80 an lagi. Bermula dengan nama Ahmad Ginanjar yang pernah memberikan ceramah pada sambutan maulid ar Rosul di tempat saya (Surau Kampung Aman, Larkin Jaya) ketika itu ditemani oleh bapanya.

Saya ingatkan usaha itu berakhir setelah lama tidak mendengar ceramah dari anak-anak kecil dari Indonesia yang nampaknya lebih ke depan dari negara kita. Tetapi jangkaan saya silap, malahan sudah semakin popular pula dengan adanya program realiti yang menjemput anak-anak kecil melatih cara berkomunikasi, dan berceramah di atas pentas.

Sila rujuk di link ini : http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=4720 - sumber asalnya di sini : http://news.bbc.co.uk/1/hi/world/asia-pacific/7107049.stm

SubhanaLlah, tentu inilah amal jariah yang besar kepada ibu dan ayah yang menghantar anak-anaknya untuk mengikuti program yang baik seperti itu. Tentunya dengan penuh kesedaran untuk melihat anak mereka bukan sahaja petah berbicara, tetapi juga untuk melontarkan apa yang terkandung di dalam hati mereka yang masih bersih bagi menyebarkan syiar Islam ke seluruh alam.

Sabda rasuluLlah yang bermaksud : Ajarlah anak-anakmu tiga perkara mencintai Nabimu, mencintai keluarganya, serta membaca al Quran kerana pembaca Al quran berada di sisi arasy ALlah bersama para anbiya' dan orang-orang sucinya pada hari tiada naungan melainkan naungan ALlah. Riwayat Tabrani dari Ali bin Abi talib.

Kebanyakan ibu dan ayah kita di Malaysia ke mana pula menghantar anak-anak mereka? Zikir apa yang selalu didendangkan oleh anak-anak kita selama ini? Gerakan apa yang dipersembahkan kepada tontonan ramai?

Saya tidak melihat melainkan kebanyakan ibu dan ayah kita di Malaysia ingin melentur anaknya dengan budaya hedonisme. Mengharap agar rezeki yang melimpah ruah datang dari sumber nyanyian yang ditegah. Lalu dibenak ini memikirkan, apakah yang dibanggakan melalui setiap kilatan kamera menerjah mengambil gambar anak-anak mereka yang tidak diajar mengenal mana yang baik dan buruk, halal atau haram, apatah lagi mengenal Tuhan?

Krisis pemikiran yang melanda akal kebanyakan ibu ayah di Malaysia amat membimbangkan. Antara pertumbuhan ruhaniyah yang sihat dan pertumbuhan sosial yang mementingkan kebendaan. Dimanakah keutamaannya...

Jumaat, 2 November 2007

Memahami Keutamaan V (Kualiti atau Kuantiti)?


Seperkara yang perlu kita perhatikan adalah antara mendahulukan kualiti dan kuantiti dalam pekerjaan. Al Quran amat memandang berat mereka yang hanya melihat kepada kuantiti berbanding kualiti. Contohnya : Terdapat golongan yang hanya ramai sahaja tetapi terdiri dari orang yang tidak berakal, tidak berilmu, tidak beriman dan tidak bersyukur.

Kisahnya umat Islam begini :

1. Berapa ramai yang solat?
2. Yang tahu mengenai sirah rasuluLLah?
3. Terlibat dengan rasuah?
4. Gejala Sosial?
5. Reti membaca dan faham, menghayati al Quran?
6. Menjadikan Islam sebagai satu cara hidup?
7. Institusi keluarga berterabur akibat PENCERAIAN?
8. Reti bersyukur atas harta yang ada?
9. Mengambil kisah mengenai halal dan haram dari sumber rezeki?
10.Mengutamakan agama di dalam pendidikan di samping pembelajaran akademik?
11.Lelaki yang boleh diharapkan sebagai pemimpin Islam?
13.Wanita yang boleh diharapkan menjadi wanita mukminah?
13.Ibu dan ayah yang semakin hilang kasih sayang kepada anak-anak akibat sibuk bekerja.
14.Ibu dan Ayah yang di rumah tidak tahu mendidik anak, tidak bersolat, tidak berpuasa.
15.Lihatlah dan nilaikan sendiri kualiti yang ada pada umat Islam dan diri kita masing-masing.

Lihatlah bagaimana ALlah menanggapi mengenai kualiti berbanding kuantiti :

ALlah berfirman yang bermaksud : "Akan tetapi kebanyakan mereka tidak memahaminya". (surah al Ankabut 29:63)

ALlah berfirman yang bererti : ... Akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman. (Surah Hud 11:17)

ALlah berfirman yang bermakna : ...akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. (Surah al Baqarah:2:243)

dan lagi firmanNya yang bererti : ...dan sedikit sekali hamba-hambaKu yang berterima kasih. (Surah Saba' : 34 : 13)

Berapa ramai manusia yang boleh diharapkan memberi sesuatu kepada umatnya,dapat berlaku adil kepada orang lain?

Ada antara kita yang sibuk hendak menyelesaikan pekerjaan dengan banyak sekali, tetapi semuanya tidak sempurna.

RasuluLLah pernah bersabda : Manusia bagaikan unta. Di antara beberapa ratus ekor unta itu belum tentu engkau dapat bertemu dengan seekor unta yang boleh dijadikan sebagai tunggangan. Diriwayatkan oleh Muttafaq 'Alaih, daripada Ibn Umar. Lihat al Lu' Lu; wa al Marjan (1651).

Jom kita memikirkan soal kualiti!

Selasa, 23 Oktober 2007

Memahami Keutamaan IV

Dari Dr Yusof Al Qardhawi : - Sehinggakan kepada kaum minoriti dan para pendatang yang tinggal di sebelah negara Barat (Amerika, Kanada dan Eropah) ada di antara mereka yang sebahagian besar perhatiannya hanya tertumpu kepada masalah jam tangan di mana dia harus dikenakan, apakah di tangan kiri atau di tangan kanan?

Mengenakan pakaian putih sebagai anti daripada baju dan seluar, apakah ini wajib ataukah sunah hukumnya? Makan di atas meja sambil duduk di atas kerusi, dengan menggunakan sudu dan garpu adakah hal-hal seperti ini termasuk menyerupai tingkah laku orang-orang kafir ataupun bukan?

Dan masalah-masalah lainnya yang terlalu menghabiskan masa, serta lebih cenderung memecahbelahkan kesatuan umat Islam, menciptakan kebencian dan jurang permisahan di antara mereka, serta menghabiskan tenaga dengan sia-sia, kerana tenaga itu dihabiskan untuk sesuatu yang tanpa tujuan, dan perjuangan tanpa musuh.

Saya melihat beberapa orang pemuda yang bersungguh-sungguh melakukan ibadah, tetapi mereka memperlakukan bapa. ibu dan saudara-saudara mereka dengan secara yang keras dan kasar. Dengan alasan bahawa mereka semua adalah mereka yang telah melakukan kemaksiatan atau menyimpang daripada ajaran agama. Para pemuda itu telah lupa bahawasanya Allah s.w.t mewasiatkan kepada kita untuk berlaku baik terhadap kedua-dua ibu bapa kita walaupun kedua-dua mereka itu musryrik dan berusaha untuk membuat kita menjadi musyrik, serta membuat pelbagai fitnah terhadap agama Islam.

Ahad, 21 Oktober 2007

Memahami Keutamaan III

Lihatlah bagaimana para ulamak beradab di dalam mengeluarkan hukum :

Sumber ambilan : al Halal wal Haram li Yusof al Qardhawi

Para ahli fiqih sedikitpun tidak berwenang menetapkan hukum syara' ini boleh dan ini tidak boleh. Mereka, dalam kedudukannya sebagai imam ataupun mujtahid, pada menghindar dari fatwa, satu sama lain berusaha untuk tidak jatuh kepada kesalahan dalam menentukan halal dan haram (mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram).

Imam Syafi'i dalam al-Um5 meriwayatkan, bahwa Qadhi Abu Yusuf, murid Abu Hanifah pernah mengatakan: "Saya jumpai guru-guru kami dari para ahli ilmu, bahwa mereka itu tidak suka berfatwa, sehingga mengatakan: ini halal dan ini haram, kecuali menurut apa yang terdapat dalam al-Quran dengan tegas tanpa memerlukan tafsiran.

Kata Imam Syafi'i selanjutnya, Ibnu Saib menceriterakan kepadaku dari ar-Rabi' bin Khaitsam --dia termasuk salah seorang tabi'in yang besar-- dia pernah berkata sebagai berikut: "Hati-hatilah kamu terhadap seorang laki-laki yang berkata: Sesungguhnya Allah telah menghalalkan ini atau meridhainya, kemudian Allah berkata kepadanya. Aku tidak menghalalkan ini dan tidak meridhainya. Atau dia juga berkata: Sesungguhnya Allah mengharamkan ini kemudian Allah akan berkata: "Dusta engkau. Aku samasekali tidak pernah mengharamkan dan tidak melarang dia."

Imam Syafi'i juga pernah berkata: Sebagian kawan-kawanku pernah menceriterakan dari Ibrahim an-Nakha'i --salah seorang ahli fiqih golongan tabi'in dari Kufah-- dia pernah menceriterakan tentang kawan-kawannya, bahwa mereka itu apabila berfatwa tentang sesuatu atau melarang sesuatu, mereka berkata: Ini makruh, dan ini tidak apa-apa. Adapun yang kalau kita katakan: Ini adalah halal dan ini haram, betapakah besarnya persoalan ini!

Demikianlah apa yang diriwayatkan oleh Abu Yusuf dari salafus saleh yang kemudian diambil juga oleh Imam Syafi'i dan diakuinya juga. Hal ini sama juga dengan apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Muflih dari Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah: "Bahwa ulama-ulama salaf dulu tidak mahu mengatakan haram, kecuali setelah diketahuinya dengan pasti."6

Kami dapati juga imam Ahmad, misalnya, kalau beliau ditanya tentang sesuatu persoalan, maka ia menjawab. Aku tidak menyukainya, atau hal itu tidak menyenangkan aku, atau saya tidak senang atau saya tidak menganggap dia itu baik.

Cara seperti ini dilakukan juga oleh imam-imam yang lain seperti Imam Malik, Abu Hanifah dan lain-lain.7

Sumber ambilan : http://media.isnet.org/islam/Qardhawi/Halal/102.html

Memahami Keutamaan.II

Daripada pendapat Dr Yusof al Qardhawi :

Saya juga menyaksikan golongan kaum Muslimin yang lainnya yang setiap hari bertengkar untuk mempertahankan diri dalam masalah-masalah hanya'iyyah atau masalah-maslaah khilafiyyah; dan di sudut lain mereka melalaikan perjuangan Islam yang lebih besar dalam melawan musuh-musuhnya yang sangat dengki, benci, tamak, takut kepadanya dan sentiasa mengintainya.

pendapat saya :

Lihatlah apa yang berlaku di negara kita, terdapat golongan, yang sentiasa menyalahkan umat Islam yang mengikuti amalan warisan daripada mazhab syafi'e dan ulamak muktabar. Seboleh-bolehnya disuruh mencari dalil - sedangkan tugas mencari dalil itu jika diserahkan secara langsung kepada bukan yang pakar hanya mendatangkan kepada kerosakan dari kebaikan.

Apatah lagi sekiranya tidak mempunyai asas-asas ilmu yang mantap di dalam mengistinbatkan hukum.

Masalah yang berlaku pula - apabila golongan ini memberikan hujah ini -

"Mereka itu telah menjadikan para pastor dan pendetanya sebagai tuhan selain Allah; dan begitu juga Isa bin Maryam (telah dituhankan), padahal mereka tidak diperintah melainkan supaya hanya berbakti kepada Allah Tuhan yang Esa, tiada Tuhan melainkan Dia, maha suci Allah dari apa-apa yang mereka sekutukan." (at-Taubah: 31)

dan hadith ini.

Adi bin Hatim pada suatu ketika pernah datang ke tempat Rasulullah --pada waktu itu dia lebih dekat pada Nasrani sebelum ia masuk Islam-- setelah dia mendengar ayat tersebut, kemudian ia berkata: Ya Rasulullah Sesungguhnya mereka itu tidak menyembah para pastor dan pendeta itu.

Maka jawab Nabi s.a.w.:

"Betul! Tetapi mereka (para pastor dan pendeta) itu telah menetapkan haram terhadap sesuatu yang halal, dan menghalalkan sesuatu yang haram, kemudian mereka mengikutinya. Yang demikian itulah penyembahannya kepada mereka." (Riwayat Tarmizi)

"Memang mereka (ahli kitab) itu tidak menyernbah pendeta dan pastor, tetapi apabila pendeta dan pastor itu menghalalkan sesuatu, mereka pun ikut menghalalkan juga; dan apabila pendeta dan pastor itu mengharamkan sesuatu, mereka pun ikut mengharamkan juga."

Maka pada pendapat saya - cuba datangkan kepada saya, siapakah ulamak yang mereka perselisihkan ini adalah membawa kepercayaan kristian?

Sedangkan jelas bahawa ulamak yang mempunyai pendapat yang tidak sama dengan golongan ini mereka juga mengambil daripada al Quran dan hadith, serta ijmak ulamak. Maka itulah yang terjadi kepada umat Islam di Malaysia. Bila terdapat golongan yang tidak mencapai taraf mujtahid kemudiannya berani untuk menghukumkan ulamak ini silap, ulamak itu sesat. Na'uzubiLlahi min zalik.

Memahami Keutamaan.

Terjemahan : Tidaklah sama antara Mukmin yang duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. ALlah melebihkan orang -orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya melebihi orang-orang yang duduk, satu darjat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga) dan ALlah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar. (Iaitu) beberapa darjat daripadaNya, keampunan serta rahmat. Dan adalah ALlah s.w.t Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah An Nisa' 4 : 95-96)

Ada umat Islam yang melebih2kan pergi haji ke Mekah, sehinggakan setiap tahu pergi ke Mekah tanpa keperluan. Sedangkan yang wajib hanya sekali seumur hidup (untuk yang berkemampuan). Sedangkan sepatutnya dapat digunakan untuk membangunkan ekonomi Umat Islam, dalam membantu perjalanan dakwah. Membantu para pelajar yang memerlukan bantuan pengajian. Lihatlah berapa ramai pelajar yang miskin tetapi tidak dapat melanjutkan pelajarannya, ada juga yang terpaksa meminjam.

Begitu juga dalam membangunkan kerja dakwah yang selama ini dipandang sepi - lihat sahaja peningkatan masalah sosial setiap tahun, jumlah yang murtad.


Ada umat Islam yang melakukan pembaziran setiap duitnya dengan menggunakan sms bagi mengundi artis tertentu berbanding menggunakan duitnya bagi tujuan bersedekah, membeli buku pelajaran dan yang bermanfaat.

ilmu adalah cahaya yang menjelaskan yang mana satu perlu diikuti, perbuatan yang baik dan mana yang perlu ditolak, perbuatan yang benar dan mana perbuatan yang salah.

Gunakanlah wang yang berlebihan di jalan yang sepatutnya demi pembangunan insan, untuk menerbitkan dan penterjemahan buku. Kedapatan hari ini kebanyakan kitab yang ada diterjemahkan kebanyakannya hanya dari ulamak saudi. Di manakah penterjemahan yang dilakukan dari pendapat ulamak -ulamak syria, jordan, maghribi dan sebagainya? Tiadakah usaha untuk mempelbagaikan lagi ilmu dari dunia Islam?

Imam al Ghazali tidak setuju dengan orang-orang yang hidup sezaman dengannya, di mana mereka hanya belajar fiqh dan perkara-perkara yang sejenis dengannya sahaja, padahal pada masa yang sama di negeri mereka tidak ada seorang doktor Yahudi atau Nasrani.

Begitulah yang kedapatan sekarang ini, apabila mereka yang sepatutnya mempunyai kepakaran di dalam bidang kritikal, menyibukkan diri dalam bidang feqah yang sepatutnya diserahkan kepada mereka yang pakar. Bukan bermakna tidak penting perkara hukum hakam. Tetapi sekiranya sehingga mengabaikan profesion yang sebenar. Maka siapakah yang akan mengisi kedudukan tersebut? Seringkali kita lupa mengenai tuntutan fardhu kifayah yang sekiranya diabaikan umat Islam akan menderita apabila tiada seorang pun yang ahli di dalam bidang tersebut.

Siapakah yang menguasai bidang ekonomi ketika ini? Yang berjaya mencipta fesyen membuka aurat yang dipakai oleh wanita Muslimah? Menguasai bidang telekomunikasi? Darihal pembuatan? Industri Halal dan Haram?