Memaparkan catatan dengan label Artikel Ilmiyah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel Ilmiyah. Papar semua catatan

Selasa, 20 Oktober 2009

Anjing Dan Bawaan Penyakit Dari Sudut Sains

Mengapa anjing diklasifikasikan sebagai najis Mugholazoh? Tentu ada hikmah di sebalik larangannya dan dibuktikan oleh sains?

Jawapan :

Ada perkara yang dapat dihidu oleh sains lalu dibuktikan. Ada juga yang tidak dapat dibuktikan. Kalaulah babi itu dikategorikan sebagai najis mughalazoh dan haram memakannya kerana banyak virus dan ada cacing pita - adakah mungkin di suatu hari nanti babi sudah mempunyai keimunan yang tinggi dan disuntik dengan vaksin bagi melawan kuman maka hukum berubah menjadi halal pula?

Mengenai perkara anjing ini :

Antara penyakit yang merbahaya ialah penyakit yang berasal dari telur benih sejenis cacing yang banyak didapati di dalam usus anjing, cacing disemai di setiap pelusuk melalui najisnya di rumah-rumah dan pada setiap tempat ia berulang-alik kepadanya (Kamus Perubatan oleh Laros Medical).

Penyakit tersebut boleh berpindah kepada manusia melalui sentuhan anjing kepada bekas makanan atau bekas air yang diminumnya, kerana hidung, mulut dan sekitarnya sebagai tempat membawa penyakit.

Jangkitan daripada anjing berlaku sewaktu sedang bermain-main dengannya tanpa berhati-hati untuk menjaga kulit dari air liurnya. Di India terdapat orang-orang yang mati disebabkan penyakit anjing dianggarkan lebih daripada 15 ribu orang setahun. Di Sri lanka 30 orang dari setiap juta orang dari jumlah penduduk. Di Filipina 12 dari setiap juta penduduk. (Dr al Saiyid Salman a Saqa dalam tulisannya "Air Liur Yang Membunuh" dalam majalah Manar al Islam Mac 1986).

Antara penyakit yang dibawa oleh anjing kepada manusia ialah penyakit kulit disebabkan kuman-kuman tersebut meresap ke kulir, ia menjadi kudis dan calar-calar di kulit. - Menurut Dr Hisyam Ibrahim al Khatib dalam bukunya "Kemudaratan Kesihatan Akibat Pemeliharaan Anjing".

Sumber : Mukjizat Ilmiah Dalam Islam (Sunnah Nabawiah) - Muhammad Kamel Abd Samad.

ALlah sahaja Yang Maha Tahu.

Rabu, 30 September 2009

Bahaya Memandai-mandai Dalam Urusan Agama

Ada golongan pelajar, profesional atau yang baru berjinak-jinak belajar hadith. Bahkan mengaku dirinya sebagai salafi. Bila berbicara tentang hadith atau hukum biasanya tidak lepas menggunakan kalam Imam Syafie.

Mereka kata :
Imam Syafie sendiri mengatakan ambil hadith sahih. Hadith Sahih itulah mazhabku.
Ungkapan inilah yang selalu digunakan untuk membenarkan tindakan mengeluarkan hukum sendiri. Walaupun dirinya jahil dan tiada disiplin ilmu langsung untuk istinbath hukum.

Bahaya sebenarnya memandai-mandai dalam perkara agama yang melibatkan hukum hakam.

Sebab RasuluLlah sendiri telah bersabda yang bererti :

Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :

ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramailah sekarang ini yang berlagak seperti mujtahid. Bila berkata terus keluarkan hadith (itupun belum tentu ia menguasai bahasa Arab untuk tahu tentang hadith). Asal ada isu terus keluarkan hukum dari hadith.

Bolehkah jadi ulamak dengan hafal dan baca 10, 100 hadith sahaja?

Salah seorang ulama yang sezaman dengan Imam Ahmad pernah ditanya orang :
"Jika seseorang sudah dapat menghafal seratus ribu hadith, dapatkah ia dikatakan sebagai faqih...? "Tidak...!", jawabnya. "Dua ratus ribu hadith..?" "Tidak..!.. katanya. "Tiga ratus ribu hadith..?" "Tidak..! Jawabnya. "Empat ratus ribu hadith..? "Juga tidak..!, tetapi begini (iaitu lima ratus ribu) katanya sambil mengisyaratkan dengan sebelah telapak tangannya.

Banyaknya perlu dihafaz hadith. 500,000 hadith dihafaz baru dikatakan sebagai faqeh. Itupun ulamak amat berhati-hati apabila mengeluarkan hukum walaupun sudah hebat dalam ilmunya. Contohnya :

Imam Malik pernah berkata :

Jika seseorang diminta untuk berfatwa, sebelum memberikan jawapan ia wajib meletakkan dirinya antara Syurga dan Neraka, serta memikirkan nasibnya di Akhirat nanti, kemudian baru boleh ia memberikan jawapan (mengeluarkan fatwanya)".

Ibn al Qasim berkata :
"Aku pernah mendengar Imam Malik berkata : "Saya sedang memikirkan (jawapan) bagi suatu kemusykilan sejak beberapa puluh tahun dulu, tetapi hingga saat ini belum juga sampai kepada pendapat yang pasti".

Ibn Abi Layla pernah berkata :
"Saya menemui seramai seratus dua puluh orang Ansar dari sahabat Rasul sallaLLahu 'alaihi wasallam, jika seorang di antara mereka diajukan pertanyaan (diminta berfatwa), ia akan mengalihkannya kepada yang kedua, dan orang yang kedua akan mengalihkannya kepada orang ketiga dan seterusnya. Sehingga pertanyaan tadi kembali kepada orang yang pertama. Jika salah seorang daripada mereka diminta untuk berfatwa atau ditanya tentang sesuatu masalah, ia akan memohon sahabat yang lain menjawabnya.


Prof Dr Yusuf al Qardhawi, Al Fatwa Bayna Al Indibat al Tasayyub, Fatwa & Antara Ketelitian & Kecerobohan, 1996, Thinker's Library, Selangor.


Hebat betul ulamak dan para sahabat zaman dahulu, mereka amat warak (berhati-hati) sebab takut untuk mengeluarkan hukum. Takut berdusta atas ALlah dan RasulNya. Ini halal dan ini haram hak siapa untuk berkata? Sedangkan ALlah sendiri mengingatkan kita dalam firmanNya :

"Dan jangan kamu berani mengatakan terhadap apa yang dikatakan oleh lidah-lidah kamu dengan dusta; bahwa ini halal dan ini haram, supaya kamu berbuat dusta atas (nama) Allah, sesungguhnya orang-orang yang berani berbuat dusta atas (nama) Allah tidak akan dapat bahagia." (an-Nahl: 116)

Berbalik pada persoalan mengenai kalam Imam Syafie yang selalu digunakan oleh golongan tertentu untuk membenarkan tindakannya. Sebenarnya kalam Imam Syafie ini perlu difahami melalui ulamak yang mengikut mazhab syafie juga. Sebab mereka lebih arif dan mendalami apa pengertian sebenar kalam Imam Syafie yang dimaksudkan.

Imam Syafie ada menyatakan :

Apabila hadith itu sahih maka itulah mazhabku


Penjelasan :

Apa yang telah diucapkan oleh Imam Asy Syafie bahawa bila hadith itu sahih maka itulah mazhabnya. Ini bukan bererti bahawa kalau melihat suatu hadith sahih seseorang itu boleh menyatakan bahawa itu adalah mazhab syafie dan boleh diamalkan menurut zahirnya.

Apa yang tersebut di atas hanya ditujukan bagi orang yang sudah mencapai darjat ijtihad dalam mazhab Syafie sebagaimana telah kami terangkan sifat-sifatnya atau yang mendekati sifat tersebut.

Adapun syaratnya ialah ia harus mempunyai sangkaan yang kuat bahawa Imam Syafie rahimahuLLah belum pernah menemukan hadith tersebut atau tidak mengetahui kalau hadith itu sahih.

Untuk mengetahui hal ini, ia harus menelaah semua kitab Imam Asy Syafie dan kitab-kitab para ulama pengikutnya. Sudah tentu syarat ini sangat sulit dan jarang dapat dipenuhi. Adapun diisyaratkan demikian kerena Imam Syafie RahimahuLLah sendiri sering meninggalkan (tidak mengamalkan) hadith-hadith yang telah dilihat dan diketahuinya dan menurut pendapatnya bahawa hadith tersebut cacat dalam riwayatnya. atau maknanya sudah dinasakh, ditakhsis, ditakwil atau sebab lainnya.


Al Majmu' Syarah Al Muhazzab, Jilid I, hlm 64.

Sekarang sudah jelas bukan? Perkataan Imam Syafie itu ditujukan untuk individu yang mencapai taraf mujtahid. Hendak jadi mujtahid bukan calang-calang orang boleh memiliki taraf ini. Perlu mengikut disiplinnya. Sebagaimana nak jadi seorang doktor bedah, perlu ada mengikuti kursus-kursusnya, kena tahu tentang biologi, atonomi dalam badan, perkara yang berkaitan dengan saraf. Bolehkan siapa sahaja mengklaim dirinya sebagai doktor bedah? Dan kemudian terus melakukan pembedahan ke atas pesakit? Apa akan terjadi pada pesakit tersebut? Contohnya : pesakit A perlu dibedah pada tulang belakang, tetapi 'doktor bedah palsu' ini membedah pesakit dan mengeluarkan jantungnya. Jawabnya - tamatlah riwayat pesakit itu atas kejahilan 'doktor bedah palsu' terbabit. Kerosakan demi kerosakanlah yang dibawanya.

Itu baru contoh doktor bedah. Bagaimana pula perihal hukum hakam agama yang diserahkan kepada bukan ahlinya? Jawapannya sudah ada diberikan di dalam hadith di atas pada permulaan bicara.

Jom Islah!

Rabu, 12 November 2008

Peringatan Ulamak Islam Tentang Golongan Pemecah Belah II

Sesungguhnya benarlah apa yang pernah diungkapkan oleh ahli hikmah bahawa penawar boleh menjadi racun jika disalahgunakan atau jatuh ke tangan orang yang tidak ahli dalam menggunakannya. Demikianlah halnya apa yang berlaku ada hadith yang menyeru berpegang dengan Sunnah dan menjauhkan Bid'ah.

Pada Hakikatnya bertujuan memelihara kemurnian ajaran Islam dan mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan umat Islam. Namun terdapat pihak yang mengunakannya untuk membid'ahkan amalan sebahagian besar umat Islam yang sebahagiannya merupakan pendapat Jumhur Ulama dan yang lainnya adalah masalah khilafiyyah di kalangan para Fuqaha'. Keadaan ini telah menimbulkan ketegangan dan fitnah di kalangan masyarakat Islam di mana sahaja penyakit ini merebak.

Al Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim ketika menggambarkan kesan yang ditinggalkan oleh kegiatan golongan ini terhadap keharmonian masyarakat Islam di Mesir dalam bukunya "al-Salafiyyah al-Mu'assarah" menulis :

"Kita sekarang berhadapan dengan satu gelombang taufan melanda secara membuta tuli, dengan pelbagai dakwaan dan dakyah yang memaklumkan sebahagian besar umat Islam terkeluar daripada agama ALlah... kerana mereka tidak mengikut dan berpegang dengan pendapat yang dipegang oleh golongan berkenaan... hingga memporak perandakan keluarga.. anak menuduh bapanya kufur dan syirik, anak perempuan menderhaka kepada bapa dan menganggapnya ahli bid'ah dan fasik. Ada juga berlaku wanita kahwin dengan lelaki lain tanpa penceraian yang sah dengan suaminya berasaskan anggapan bahawa perkahwinan dengan suami pertamanya tidak sah kerana dia seorang yang kafir..."

Demikian besarnya fitnah yang ditimbulkan oleh penyalah gunaan tafsir nas-nas syarak tanpa berpandukan huraian oleh ulama muktabar. Hal ini memang telah diberikan peringatan oleh RasuluLlah s.a.w dalam sebuat hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi maksudnya:

"Sesiapa yang mentafsir al Quran tanpa ilmu maka bersedialah menduduki tempatnya di dalam neraka."

Sumber : Kata Pengantar Mufti Wilayah Persekutuan Dato' Wan Zahidi Bin Wan Teh, Makna Sebenar Bid'ah Satu Penjelasan Rapi, al-Sheikh al-Hafiz al-Fadl Abu Al Fadl AbduLLah al-Siddiq al-Ghumari, Middle East Global ,2003, Selangor

Peringatan Ulamak Islam Tentang Golongan Pemecah Belah

Kitab ini merupakan risalah kecil yang ditulis dengan tujuan untuk menjelaskan pelbagai pemahaman. Ia terdiri dari kumpulan 100 pertanyaan yang telah meresahkan pemikiran khalayak ramai pada abad ke 14 Hijrah. Baik sengaja mahupun secara tidak sengaja. Kes-kes tersebut terus muncul sehingga menjadi kayu ukur untuk mengelompokkan kaum muslimin dan memecah belahkan mereka ke dalam pelbagai golongan.

Pada sebahagian golongan, persoalan-persoalan tersebut digembar-gemburkan sebagai perkara qot’ie yang tidak boleh ada perbezaan pendapat di dalamnya. Mereka ini berkeyakinan pendapat yang benar hanyalah pendapat mereka.

Sementara orang yang berpendapat di luar apa yang mereka katakan adalah orang yang keluar dari agama, fasiq, menyumpang atau sekurang-kurangnya tidak komitmen (taat) serta cenderung kepada memudahkan masalah. Ramai yang dituduh tidak mencintai RasuluLLah sallaLLahu ‘alaihi wasallam, berhati keras dan kepada batu seperti orang-orang Arab Badwi di masa lalu yang keras dan kasar. Malahan lebih daripada itu banyak yang dituduh munafiq, zindiq, dan musyrik.

Akhirnya kaum Muslimin pun memeraskan seluruh tenaga dan pemikirannya dengan persoalan-persoalan ini. Walaupun pada hakikatnya ia termasuk dalam lingkungan perbezaan pendapat serta setiap mazhab dan aliran mempunyai dalilnya masing-masing. Walau bagaimanapun jumlah masalah-masalahyang disepakati jauh lebih banyak daripada yang dipersilisihkan.

Jika dihitung masalah-masalah feqah yang berasal dari ulama’ terdahulu dengan segala bentuknya, terdapat lebih daripada sejuta masalah. Apabila dihitung peratusan perbezaan pendapat maka rasionalnya tidak lebih daripada satu masalah pada setiap 10,000 masalah. Jadi apakah logic (masuk akal) dan dapat diterima bahawa kita sepakat di dalam 10,000 masalah, lalu apabila kita berbeza pendapat, setiap daripada kalangan kita menyerang dengan ungkapan yang tajam terhadap temannya? Sehingga hal itu menjadi suatu jihad tanpa peperangan. Hal seperti ini jelas hanya menggambarkan kekosongan fikiran, malahan rendahnya penguasaan ilmu feqh dan pemahaman terhadap agama secara keseluruhan.

Sumber : Al Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, “Penjelasan Terhadap Masalah-masalah Khilafiah”. Prof Dr Ali Jum’ah, 2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor

Isnin, 22 September 2008

Meminta Dalil - Ia Bukti Kejahilan Anda!

BismiLLah,

Di sini saya sertakan satu artikel yang menarik yang diambil dari laman Http://Hembusan.blogspot.com Bacalah ia sebagai bahan untuk muhasabah tentang sikap kita sebagai penuntut ilmu, orang awam. :

Artikel asal boleh dibaca di sini.
---

Dengan nama Allah. Segala puji hanya untuk-Nya, Tuhan dan Pelindung kami, dan moga dicurahkan keamanan dan kesejahteraan kepada Utusan terakhir-Nya.

Komentar ini tidak berniat untuk menghina sesiapa. Kami sayang semua saudara se-Islam yang mencintai Allah dan Rasulullah sallahu 'alayhi wasalam, dan yang berkerja dengan ikhlas untuk deen ini, tanpa mengira apa pun pegangan yang mereka pilih. Jika kata-kata ini kelihatan agak kasar bagi sesetengah pihak, maka ia semata-mata bertujuan bagi menyampaikan maksud dengan lebih jelas dan tepat, lebih-lebih lagi di zaman yang penuh mencabar ini.

Tulisan ringkas ini ditulis berikutan satu permasalahan hukum fiqh yang telah diajukan kepada saya. Si penyoal ingin juga mengetahui dalil-dalil yang digunakan tentang sesuatu hukum. Saya menyedari bahawa si penyoal itu sebenarnya berniat untuk membandingkan dalil daripada individu-individu yang telah mereka tanya, dan kemudian membuat kesimpulan sendiri tentang pandangan yang manakah lebih kuat.

Saya berpendapat bahawa mengemukan segala dalil dari pandangan mazhab Hanafi tentang soalan tersebut kepada orang awam adalah satu tindakan yang kurang sesuai. Saya akan cuba untuk menerangkan sebab-musababnya.

Saya memberitahu hukum fiqh tersebut berdasarkan pandangan mazhab Hanafi, dan kemudian saya berkata: "Apa jua fatwa, jika ia datang dari salah satu empat mazhab yang dipegang oleh ahlus sunnah wal jamaah, adalah datang dari studi, kajian, dan ijtihad oleh ratusan ulama terbilang dari ummah ini, yang mana mereka telah memberi sumbangan besar bagi menyemak semua hukum-hakam dalam mazhab masing-masing. Mereka adalah pakar dalam segala disiplin ilmuan Islam. Ramai di antara mereka yang menghafaz lebih seratus ribu buah hadith junjungan Nabi kita. Para ulama mazhab Hanafi yang berjaya mencapai darjat kehormat ini kebanyakannya adalah Hafiz Hadith.

Bukan itu sahaja, bahkan mereka adalah golongan yang mempunyai tahap kesolehan dan ketaqwaan yang begitu tinggi kepada Allah - ia boleh dibuktikan melalui biografi mereka. Maka kita harus menerima dengan gembira segala keputusan yang mereka beri tanpa perlu meyoal apakah dalil-dalil yang digunakan. Dan kita tidak akan pandang kepada golongan yang tidak mengakui autoriti para ulama terbilang ummah ini serta asyik mahu mengkaji dalil bagi setiap hukum. Padahal golongan ini tiada langsung latihan asas dalam lapangan keilmuan Islam, atau pun pernah mempelajari mana-mana kitab muktabar dengan guru yang berkelayakan.

Adalah satu perkara yang mengarut apabila orang awam sentiasa bertanyakan dalil. Ia seperti seseorang yang tidak pernah belajar subjek sains GCSE[1] berdebat tentang teori relativiti[2] dengan seorang profesor fizik. Atau pun seperti seseorang yang tiada langsung ilmu asas biologi atau kimia yang berdebat dengan seorang doktor pakar tentang ubat manakah yang paling tepat bagi merawat sesuatu penyakit.

Orang sebegini pasti akan diketawakan! Apakah anda fikir akan ada mana-mana profesor yang akan melayannya? Profesor itu tidak akan membuang masa untuk berbincang dengannya. Orang yang begini, kalau dia betul-betul ingin memberikan pandangan tentang fizik teoritikal, harus terlebih dahulu mengambil GCSE selama dua tahun, kemudian membuat A-Levels[3] selama dua tahun, kemudian mengambil ijazah (3 tahun), kemudian buat ijazah lanjutan (1-2 tahun), kemudian mengambil PhD (3-5 tahun). Dan akhirnya barulah dia boleh duduk semeja berbincang dengan profesor!

Begitu jugalah dengan seseorang yang tidak pernah belajar langsung kurikulum asas dalam bidang fiqh, tetapi dengan berani mencabar para ulama fiqh yang terbilang, yang menjadi salaf dan khalaf ummah ini. Padahal si fulan ini tiada langsung kemahiran asas bagi memahami atau pun menilai sesuatu dalil.

Anda fikir mengeluarkan pandangan berkaitan hukum-hakam itu lebih mudah berbanding mengeluarkan pandangan dalam fizik teoritikal?

Meminta dalil bagi setiap hukum itu sendiri sudah cukup menjadi dalil jelas kejahilan anda dalam proses melakukan ijtihad.

Apakah anda fikir bahawa cara mengetahui dalil-dalil bagi setiap hukum itu adalah sekadar diberitahu sepotong ayat Al-Quran atau pun hadith? Tugas kamu sebagai orang awam atau pun seorang budak mentah yang baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang keilmuan Islam bukannya untuk mengetahui segala dalil bagi setiap hukum-hakam. Tetapi tugas kamu cukup sekadar mengetahui hukum bagi sekian-sekian perkara, berdasarkan salah satu daripada empat mazhab yang diterima oleh ahlus sunnah wal jamaah pada hari ini, dan pada masa yang sama harus sedar bahawa semua hukum-hakam itu dibuat berdasarkan ilmu dan kajian yang mendalam dari pelbagai jenis sumber.

Jika kamu sudah betul-betul berminat untuk mengetahui dalil-dalil bagi hukum itu ini, maka sila mulakan langkah yang pertama untuk belajar ilmu Islam yang mulia ini. Kamu sangat-sangat dialukan! Untuk mendapatkan tahap ilmu paling asas pun sudah memerlukan tempoh pembelajaran serius selama 5-8 tahun. Ini baru yang asas; ia tidak termasuk tempoh untuk melakukan pengkhususan!

Percayalah kepada saya, dalil-dalil itu ada dan wujud dalam setiap mazhab. Begitu banyak kitab-kitab rujukan muktabar mazhab Hanafi yang membincangkan dengan begitu terperinci setiap hukum yang ada, dan ia ditulis oleh ulama-ulama hadith dan fiqh yang sangat berwibawa. Jangan malu-malu untuk berjumpa mereka pada bila-bila masa jika anda ingin melihat dalil-dalil bagi sesuatu hukum yang dikeluarkan. Tetapi bagi individu yang tidak terlatih, seperti anda, pasti tidak akan dapat faham hasil tulisan dan kitab peringkat tinggi ini. Ia seperti mana pelajar sains GCSE yang membaca artikel kajian dalam bidang fizik kuantum, atau pun membaca jurnal perubatan yang begitu kompleks. Kamu pasti tidak akan dapat faham langsung apa yang dibaca, malah akan makin keliru.

Inilah masanya untuk kamu merendah diri. Jika kamu pelajar GCSE, kamu hanya perlu belajar perkara asas, dan terima sahaja apa yang guru kamu ajarkan. Bertahun-tahun lepas itu, apabila kamu sudah makin pintar, dan makin rajin mencari ilmu, kamu mungkin akan dapat membincangkan teori-teori yang sangat kompleks dan kemudian membuat rumusan sendiri.

Malangnya, sebagai sebahagian daripada bida'ah zaman moden yang patut diperbetulkan, telah wujud satu fahaman yang menjalari umat, yang mana ia menolak keempat-empat mazhab, dan memberikan dorongan kepada orang awam bagi menyoal setiap hukum - dengan itu mereka dapat membuat pendapat sendiri dan mencanai jalan sendiri! (Ini sebenarnya adalah sunnah seorang penyanyi Amerika, Frank Sinatra, yang menanyi "I did it my way'", tapi ni sudah tentu bukan sunnah para ulama salaf). Jika kamu percaya bahawa pelajar GCSE boleh mengeluarkan pendapat dalam teori kuantum, maka ahlan wa sahlan!

Kamu harus diberikan amaran bahawa apa yang kamu lakukan ini adalah haram, iaitu mengeluarkan fatwa tanpa memiliki kelayakan. Jika semua orang secara automatik berkelayakan untuk mengeluarkan/memilih hukum sendiri, ia akan membawa kepada kemusnahan dan kekacauan dalam bidang perundangan syariah. (Oh ya, hanya kerana kamu berbangsa Arab atau tahu berbahasa Arab, itu tidak menjadikan kamu seorang mufti secara automatik!). Setiap bidang ilmu ada kurikulum dan kaedah masing-masing. Perundangan Islam dan kaedah mengeluarkan hukum-hakam adalah salah satu disiplin ilmu yang memerlukan masa bertahun-tahun untuk menguasainya.

Sebagai contoh, untuk menjadi seorang peguam, kamu mestilah memiliki keputusan A-level yang cemerlang, kemudian ambil ijazah Perguaman. Malah selepas itu kamu perlu lulus Bar examinations[4]. Itu masih tak cukup! Kamu kemudian perlu menghabiskan masa bertahun-tahun bersama-sama dengan seorang peguam sebelum kamu boleh menjalankan bisnes sendiri. Pada waktu ini, kamu baru setakat menjadi peguam junior. Selepas itu berapa tahun lagi yang diperlukan untuk membuat kajian dan mengumpul pengalaman yang diperlukan sebelum kamu boleh menjadi salah seorang QC, atau hakim tinggi?

Cukup ganjil apabila ada orang yang menganggap dirinya sudah layak untuk mengeluarkan hukum setelah dia membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran dan juga versi rumusan kitab Sahih Bukhari! Ini semua sebenarnya adalah refleksi kepada kejahilan kita yang teramat sangat. Kamu tidak pernah masuk sekolah Undang-undang dan kamu pula begitu teringin untuk mengeluarkan hukum??

Kamu adalah pelajar sains GCSE dan kamu pula ingin masuk bersama dalam perbincangan sesama profesor?

Merendah dirilah! Kalau kamu mahu berbincang isu-isu dalam hukum-hakam Islam, maka pergi cari para ulama yang menjadi pewaris Nabi, dan duduk bersama mereka, dan belajar dengan mereka. Tirulah juga sifat-sifat mulia yang ada pada mereka, termasuk juga ilmu yang para ulama ini miliki - mudah-mudahan kamu dapat menerima cahaya yang ada pada ilmu Islam yang mulia ini.

Jika kamu telah menghabiskan usiamu mempelajari perubatan atau kejuruteraan, atau pun sibuk dalam bidang perniagaan sehingga tiada masa untuk mendalami ilmu Islam, dan kini apabila tiba masa tua, kamu pun berazam untuk menjadi lebih 'religious' - kamu pun selalu berkunjung ke masjid dan lain-lain lagi. Tapi tolonglah, jangan fikir kamu boleh buat crash-course dalam deen ini dengan sekadar membaca Fiqh al-Sunnah atau pun Tafsir al-Mawdudi, dan kemudian kamu fikir kamu sudah sampai tahap untuk berdebat dengan para ulama. Tolong biarkan perkara berkaitan deen kepada mereka yang telah menyimpan masa muda untuknya dan telah mengorbankan masa bertahun-tahun untuk mempelajari disiplin ilmu Islam yang sangat luas ini.

Seorang daripada guru saya selalu berkara: "This is the deen, not teen (fig)!!"[5] Kamu sedang berurusan dengan ilmu Islam! Ini bukan benda main-main yang boleh diperbincangkan sesuka hati oleh orang awam. Ini datang dari budaya Barat yang menjadikan seseorang itu angkuh - mereka percaya bahawa mereka boleh memberikan pandangan dalam segala isu, dari teologi kepadalah hukum fiqh. Hakikat sebenarnya, kamu tidak berada pada kedudukan untuk menilai dalil-dalil yang ada, dan kemudian membuat kesimpulan sendiri akan pandangan manakah yang lebih kuat atau rajih.

Saya masih ingat satu perbualan saya dengan seorang remaja berusia 18 tahun, jambang dan misainya dicukur rapi, memakai jeans dan jaket kulit, di bahagian luar sebuah masjid di kawasan saya. Remaja ini mula mengamalkan Islam dengan baik sejak dua tahun yang lepas. Dia dengan agak serius menerangkan kepada saya tentang bagaimana dia menilai dalil-dalil yang dikemukakan dari mazhab-mazhab yang berlainan tentang sesuatu isu, dan kemudian dia sudah boleh membuat rumusan akan pandangan manakah yang lebih kuat! Walau pun si remaja ini tidak tahu satu pun perkataan dalam bahasa Arab, namun itu tidak membuatkannya berputus asa - pastinya dia akan mendapatkan bahan rujukan yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris!

Malangnya, si remaja ini tiada idea sama sekali betapa kompleksnya proses mengeluarkan hukum, dan juga betapa luasnya perbincangan di antara mazhab tentang sesuatu isu. Apakah dia tidak sedar bahawa dia juga sekadar bertaklid buta kepada apa jua ulama bentangkan kepadanya tentang sesuatu isu? Dia sendiri tidak pernah menyemak sama sekali sumber maklumat yang dijadikan hujah, iaitu kitab-kitab rujukan dalam keempat-empat mazhab - dia tidak melihat apakah yang diperbincangkan dalam keempat-empat mazhab tentang isu tersebut. Sudah diketahui umum bahawa kamu tidak boleh mengeluarkan hukum dalam mazhab Hanafi berdasarkan teks dari mazhab Shafi'i, dan sebaliknya. Ini kerana ia selalu memberikan pandangan kurang tepat tentang mazhab yang lain - kamu sebenarnya kena menelaah teks dari mazhab yang kamu ingin kaji, dan bukannya mengambil teks dan kitab yang ditulis oleh mazhab Shafi'i untuk menilai hukum-hakam dalam mazhab Maliki.

Saya akan berikan anda satu contoh mudah yang selalu dijumpai pada hari ini. Kita akan melihat bagaimana terdapat sesetengah umat Islam yang berfikir bahawa mereka telah pun melakukan 'ijtihad' yang sangat hebat, dan melakukan kesimpulan sendiri berkenaan sesuatu hukum (setelah menyedari bahawa semua empat mazhab telah salah sejak 1424 tahun lamanya). Isu ini adalah berkaitan tentang di manakah sepatutnya meletakkan tangan semasa berdiri dalam solat.

Hari ini agak mudah untuk melihat umat Islam yang meletakkan tangan di atas dada atau leher ketika berdiri dalam solat. Sebenarnya, kaedah sekian lama yang diamalkan lebih seribu tahun adalah meletakkan tangan di bahagian sedikit atas-atau-sedikit bawah dari paras pusat. Dan inilah cara yang dipersetujui dalam keempat-empat mazhab - dan bukannya di atas dada (kecuali bagi wanita mengikut pandangan mazhab Hanafi), dan sama sekali bukan di atas leher! (Sesetengah ulama mazhab Maliki berpendapat adalah sunnah untuk menyengetkan sedikit kedudukan tangan ke bahagian sisi badan).

Namun demikian para Imam Mujtahid muda abad ke-21 lebih cerdik. Bagi mereka, kesemua pakar dalam empat mazhab tidak pernah buka kitab Fiqh al-Sunnah, satu kitab penting bagi yang ingin menjadi mujtahid! Malah kitab ini juga banyak terjemahannya bagi mujtahid yang jahil bahasa Arab! Kamu buka dan selak bab yang membincangkan: "Sunnah dalam Solat, Kedudukan Tangan" (jilid 1, halaman 132) dan kamu akan jumpa hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi yang menunjukkan bahawa Rasulullah sallahu alayhi wasalam bersolat dengan meletakkan tangannya di atas dada. Imam al-Tirmidhi mengatakan hadith ini hasan. Kamu juga akan dapat membaca hadith serupa yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaima dalam kitab Sahih Ibnu Khuzaima, yang mana beliau menarafkan hadith ini sahih.

Nah, itu dia! Mujtahid muda ini telah pun membereskan kerjanya! Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat hadith sahih tentangnya. (Padahal tak tahu pun siapa Ibnu Khuzaima ni...tapi macam penting aje orangnya!). Keempat-empat mazhab - Hanafi, Shafi'i, Maliki, dan Hanbali - telah salah. Dan selepas itu, si mujtahid muda ini kelihatan bersolat di masjid dengan meletakkan tangannya tinggi di atas dada, dan melihat dengan pandangan menghina kepada mereka yang 'bertaqlid membabi-buta' kepada mazhab.

Sekarang kita akan melihat dengan mendalam akan 'dalil-dalil' yang diberikan dalam Fiqh al-Sunnah itu. Dan satu penemuan mengejutkan telah ditemui.

Pertama sekali, bagi mereka yang betul-betul belajar kitab al-Jaami oleh Imam al-Tirmidhi, pasti akan sedar bahawa al-Tirmidhi TIDAK pernah sama sekali menyentuh hadith yang mana Rasulullah meletakkan tangannya di atas dada ketika solat! Apatah lagi menilainya sebagai hasan!! Ini adalah kesalahan yang sangat serius bagi pengarang Fiqh al-Sunnah.

Kesilapan besar nombor dua: Walau pun Ibnu Khuzaima ada membawakan hadith tersebut dalam kitabnya, beliau TIDAK PERNAH menganggapnya ia sahih. Sebenarnya, Ibnu Khuzaima tidak langsung membuat sebarang komen tentang status hadith yang beliau muatkan di dalam kitabnya. Namun demikian, bagi sesiapa yang faham metodologi yang digunakan oleh Ibnu Khuzaima, pasti akan dapat melihat petunjuk-petunjuk yang boleh dijadikan inferens untuk menolak hadith ini sebagai hasan, apatah lagi sahih. Pertama, beliau tidak meletakkan hadith tentang meletakkan tangan di atas dada di bahagian awal bab (yang mana ini adalah kaedah lazim beliau dalam memberi isyarat tentang status hadith di dalam setiap bab). Kedua, beliau meletakkan hadith tersebut di bahagian akhir bab, yang mana ia menandakan kedaifannya.

Sekarang, mari pula kita lihat sanad hadith ini yang menunjukan bahawa terdapat Mu'ammal ibnu Ismail, yang mana majoriti ulama hadith mengatakan bahawa dia adalah periwayat yang lemah, dengan menekankan bahawa beliau seorang yang tidak kuat daya ingatan! Imam Bukhari sendiri mengatakan belliau adalah 'munkar al-hadith', bermaksud hadith yang datang darinya adalah ditolak sama sekali! Terdapat kritikan yang lebih dalam tentang sanad hadith ini, tetapi kita tidak akan membincangkan dengan lebih dalam buat masa ini.

Sekarang kita sudah pun nampak apa masalah sebenar. Mujtahid muda sebenarnya bukanlah seorang mujtahid sama sekali! Dia sekadar membaca satu bab dari Fiqh al-Sunnah dan menerima bulat-bulat dan bertaqlid apa yang dibacanya, tetapi telah merasakan dirinya telah membuat satu ijtihad mantap! Bayangkan berapa banyak lagi kesilapan ilmiah dalam kitab itu, dan kitab ini telah menjadi antara kitab paling popular di kalangan Muslim! Kesalahan yang dikorek dari kitab itu adalah begitu serius. Salah seorang dari guru saya pernah mengatakan bahawa kesalahan fakta dalam kitab Fiqh al-Sunnah itu bukannya kesilapan kecil yang kadang-kala akan dapat kita jumpa dalam tulisan-tulisan para ulama. Tetapi ia adalah bukti kejahilan mutlak pengarangnya, dan ia tidak boleh dimaafkan.

Pada akhirnya nanti, realitinya kamu akan tetap menjadi muqallid, sama ada kamu sedar atau tidak. Untuk mengikut siapa adalah terpulang kepada kamu: sama ada pengarang Fiqh al-Sunnah, atau al-Albani, atau pun salah satu dari mazhab yang empat. Akhir sekali, mempelajari dan mengetahui dalil-dalil bagi hukum-hakam bukannya sesuatu yang salah, tapi ia mesti disesuaikan dengan konteks dan tempatnya.

Sebarang komen boleh dibuat tentang isu ini, tetapi cukuplah bagi saya dengan apa yang telah diutarakan. Berdoalah kepada Allah agar Dia melindungi kita semua dalam payungan rahmat-Nya dan membimbing kita ke arah kebenaran dalam apa jua perkara. Semoga Dia memberikan kekuatan bagi kita untuk melakukan amalan yang dapat menggembirakan-Nya. Dan moga keamanan serta rahmat dicurahkan ke atas Rasulullah sallahu alayhi wasalam, ahli keluarganya, dan para sahabat Baginda. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekian alam.


Ditulis oleh:
Hamba kepada ilmu yang mulia,
Ridhwan ibnu Muhammad Saleem, [bio]
Damascus, Ramadhan 1424 H

Diterjemahkan oleh:
Tawel-Sensei,
hembusan.blogspot.com
30 Rejab 1427 H


Nota Kaki

[1] GCSE adalah singkatan bagi General Certificate of Secondary Education. Ia adalah peperiksaan yang diambil oleh pelajar sekolah berusia 14-16 tahun di Britain, Wales dan Northern Ireland.
[2] Teori relativiti diperkenalkan oleh Albert Einstein.
[3] A-Levels, singkatan Advanced Level adalah salah satu peperiksaan yang digunakan untuk memasuki sesebuah universiti. Kalau di Malaysia, ia setaraf STPM.
[4] Bar examinations adalah peperiksaan bertulis yang wajib dilalui sebelum seseorang itu mendapat lesen untuk menjadi seorang peguam.
[5] "This is the deen, not teen (fig)!!" Teen merujuk kepada pokok tiin. Rujuk Surah at-Tiin. Kata-kata ini mungkin diucapkan oleh guru beliau yang bernama Sheikh Muhammad al-Yaqoubi memandangkan gurunya ini turut fasih berbahasa Inggeris.

---

Bacaan Tambahan

1. "Refutation of those who follow other than the four legal schools" ("radd 'ala man ittaba'a ghayr al madhahib al arba'ah"), by Imam Ibn Rajab al-Hanbali (Arabic)

2. "Non-madhabism: The most dangerous innovation threatening the Islamic Law" ("La madhhabiyyah: akhtar al-bid'ah tohaddidu al-sharee'ah al-islamiyyah"), by Shaykh Dr. Muhammad
Said Ramadhan al-Buti (Head of the dept. of Sharee'ah, University of Damascus) (Arabic)

3. "The legal status of following a madhhab", by Justice Shaykh Taqi 'Uthmani (Chief Qadi of Pakistan ) (English)

4. "The Four Madhhabs", by Shaykh Abdul-Hakeem Murad (English)

5. "Benefits of the sciences of jurisprudence" ("fawaa'id 'uloom al-fiqh"), introduction to "'ilaa ul-sunan", by Shaykh Kayranwi (Arabic)

6. "Meaning of the saying of the Muttalibi Imam: 'If a hadith is authentic, then it is my madhhab'", ("ma'na qawl al-imam al-muttalib: itha sahha al-hadith fa huwa madhhabi"), by Shaykh ul-Islam, Imam Taqi ul-Deen al-Subki (Arabic)

7. "Fatwa Concerning the Obligation of Following Rightly Guided Scholars", by Shaykh Murabit al-Haajj and Shaykh Hamza Yusuf (Arabic/English)

Nota dari Penterjemah:

1. Terjemahan ini tidak boleh dianggap sebagai satu terjemahan rasmi. Namun demikian, saya telah melakukan pemeriksaan berulang-kali bagi memastikan terjemahan dilakukan setepat mungkin. Jika anda menemui bahagian terjemahan yang kurang tepat berbanding artikel yang asli, silalah kemukakan kepada saya.

2. Terjemahan ini dilakukan dengan membuat sedikit penambahan dan pengurangan pada sesetengah ayat, tetapi ia tidaklah menjejaskan dan mencacatkan maksud artikel yang asli.

Sumber Asal : http://hembusan.blogspot.com/2006/08/meminta-dalil-ia-bukti-kejahilan-anda.html

Selasa, 19 Februari 2008

Kejahilan AntiHadith dan Jawapan Terhadapnya

Antara pengikut anti hadith yang lain dikenali sebagai Mahmud Abu Rayyah dan bukunya bertajuk Adwa’ ‘ala Sunnah al Muhammadiyyah dan telah dijawab oleh Syekh Mustafa As Siba’I di dalam bukunya yag terkenal iaitu al Sunnah wa Makanatuha fi al Tashri’ al Islam. Antara hujjah yg dikemukakan oleh anti hadith ini ialah :

Sunnah tidak direkod atau dibukukan ke dalam penulisan dimasa kehidupan RasuluLLah S.A.W. Dan sebenarnya ia adalah hasil daripada larangan rasuluLlah kepada para sahabat untuk menulis hadith. Ia mewujudkan ketidak sepakatan antara ulama’ mengenai status hadith dan menurut Abu Rayyah adalah punca utama kepada kemunculan banyak hadith maudu’. Akibatnya, ada kemungkinan terdapat banyak hadith yang sebenarnya dibuktikan sebgai hadith soheh tetap adalah produk dari hadith rekaan oleh perawi yang mempunyai kecenderungan ke arah itu. Berdasarkan fakta ini, tidak rasional bagi Muslim untuk menerima sunnah sebagai sumber Syari’ah dan pengetahuan[1].

Jawapan kepada ANTIHADITH

Kesilapan besar pada hujjah ini adalah cubaan untuk mengaitkan RasuluLLah sebagai punca menyebabkan berlakunya kemunculan hadith maudhu’ (hadith palsu). Ia menyalahkan baginda iaitu sekiranya baginda mengarahkan para sahabat untuk mendokumentasikan Sunnah, tentunya jenayah memalsukan hadith akan dapat dielakkan.

Hujjah seperti ini menurut al Sibai’ sungguh menjijikkan bagi seorang yang mengaku dirinya sebagai Muslim!. Bahkan Abu Rayyah telah memandang rendah bahkan memperlekehkan kepintaran dan sifat keintelektualan baginda yang terkenal dengan sifat fatanah (bijaksana) di dalam perkara yang berkaitan kehidupan seharian dan permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam. Seperti yang dipersetujui oleh jumhur ulamak bahawa fatanah adalah satu daripada sifat kenabian yang ada pada Nabi Muhammad yang sepatutnya setiap umat Islam tahu mengenainya[2].

Malangnya Antihadith ini (AbuRayyah dan pengikutnya yang sefikrah dengan dia) tidak tahu fakta ini sedangkan ia ingin dikenali sebagai Muslim yg moden dan membataskan dirinya dengan Sunnah sebagai sumber syari’ah dan pengetahuan. Pada masa yang sama, Abu Rayyah kelihatan lupa bahawa larangan kepada para sahabat untuk menulis Sunnah lebih kepada pengecualian atau mempunyai had tempoh masa dan bukannya suatu polisi yang kekal.

Larangan tersebut adalah disebabkan oleh beberapa perkara.

Yang pertamanya, peralatan atau material yang tidak mencukupi untuk tujuan pembukuan yang kebanyakannya didapati pada masa itu telah digunakan untuk menulis al Qurran yang secara berterusan disampaikan pada RasuluLlah S.A.W.

Antara sebab lain larangan tersebut adalah kerana ketidakbolehan untuk membezakan antara ayat Allah yang terkandung di dalam al Quran dan dari perkataan manusia yang berasal dari Nabi Muhammad S.A.W. larangan ini adalah hanya berlaku terutamanya pada peringkat awal penurunan wahyu al Quran di mana Muslim ketika itu telah diberi amaran agar tidak berada di dalam kekeliruan di antara perkataan Nabi Muhammad S.A.W dengan al Quran dan sebaliknya.

Dimana jika timbulnya kekeliruan para sahabat selalu bertanya dengan rasuluLlah samada ia adalah wahyu dari Allah atau dari ijtihadnya sendiri. Kemudiannya, selepas para sahabat semakin bijak dan biasa dengan perbezaan antara ayat Allah dan perkataan rasuluLlah, larangan tersebut secara perlahan-lahan telah dilonggarkan, terutamanya kepada para sahabat yang telah diiktiraf dan mendapat keizinan yang khusus dari rasuluLlah sendiri. Jadi hujjah antihadith ini dengan mengatakan bahawa ketiadaan dokumentasi pada zaman rasuluLLah tidak semuannya benar.

Terdapat bukti dari sahabat yang bernama Abdullah ibn Amru telah menulis apa yang telah dilihat disaksikan dan didengari dari rasuluLlah di dalam satu manuskrip yang dipanggil al Sahifah al Sadiqah. Dia telah melakukannya melalui usahanya dengan berurusan dengan RasuluLlah untuk mendapatkan keizinan, persetujuan dan pengesahan samada apa yang dicatitnya itu adalah benar atau tidak. Sekiranya ia tidak benar maka ia akan meminta rasuluLLah untuk membetulkannya[3].


[1] A Siba’I, al Sunnah wa Makanatuha p. 29
[2] Ibid, p. 29
[3] Bashier, Sunshine at Madinah p. 30

Siapa Sebenarnya Di Sebalik Golongan AntiHadith?

Ketahuilah bahawa mereka yang terlibat secara langsung di dalam antihadith ini juga terdiri dari pemikir2 yahudi dan kristian untuk memesongkan akidah umat Islam di antara mereka yang berminat dengan hadith ini ialah :

A.J Wensinck, A. Sprenger, J. Horovitiz, T.W Juynboll, Edward, E. Salisbury, O.V Hondas, L. Krehl, W.M Watt, J. Schacht, J. Robson

Seorang yahudi yang bernama I Goldhizer yang cuba membuat perbandingan di antara pengajian hadith serta kesusateraannya dengan kesusasteraan yahudi dan kristian. Antara buku yang berkaitan dengan karyanya ialah Muhammedanische Studien. Dengan membawa keraguan antaranya:

  1. Hadith dan kesusasteraannya diragui pada abad pertama Hijrah. Hal tersebut kerana pada masa itu tidak ramai orang Islam yang pandai menulis dan membaca serta tidak didapati kitab hadith yang dikumpul dalam bentuk tulisan.
  1. Hadith merupakan suatu yang diada-adakan dan bukan suatu yang asli daripada idea Nabi Muhammad. Justeru hadith merupakan hasil perkembangan semasa juga merupakan idea-idea yang direka oleh umat Islam.
  1. Bahkan I Goldziher cuba memesongkan fahaman dan pegangan umat Islam tentang hadith mengatakan bahawa sebenarnya hadith itu tidak wujud, ia adalah rekaan dan ciptaan NAbi Muhammad berasaskan nafsunya sendiri

Jawapan kepada ANTIHADITH :

Semenjak zaman nabi dan para sahabat terdapat ramai sahabat yang pandai menulis dan hadith memang dicatat sejak zaman rasuluLlah antaranya dokumen rasmi dan al hadith secara rasmi. Cthnya At tabari ada mencatatkan bahawa rasuluLlah pernah mengirim surat kepada raja Najasyi yang memerintah Habsyah supaya memberi layanan yang baik kepada orang-orang Islam yang berhijrah ke negeri tersebut.

Perlembagaan Madinah atau sahifah madinah merupakan perlembagaan pertama yang ditulis dalam sejarah.

Terdapat ramai sahabat yang pandai dan mencatat hadith. Antara mereka ialah Abu Umamah, Abu Ayub al Ansari, Abu Bakar as Siddiq, Abu Sa’id al Khudri, Anas bin Abd Malik, al Barra’ Ibn ‘Azib. Jabir Ibn Samurah, Mu’az bin Jabal, Umar al Khattab, Mu’awiyyah bin Abu Sufyan dan Abdullah bin al Zubir.

Walaupun orientalis mendakwa meragui keaslian hadith disebabkan jarak masa dengan zaman nabi adalah jauh. Dakwaan itu juga tidak benar, kerana hadith dijaga dengan baik oleh para sahabat dan umat Islam. Di masa para sahabat telah wujud Sahifah atau lembaran yang mengandungi hadith Nabi antaranya Sahifah Sa’ad bin Ibn Ubadah al Ansari, Sahifah Samurah Ibn Jundab, Sahifah Jabir Ibn Abdullah, Sahifah Ibn Abbas dan Sahifah Abu Hurairah dan ia diakui oleh sesetengah orientalis seperti Sprenger dan menunjukkan dakwaan I Goldziher tidak berasas.

Orientalis mengatakan bahawa hadith adalah ciptaan Nabi Muhamaad sendiri berasaskan hawa nafsunya. Tanggapan ini adalah tidak munasabah kerana sejak kecil RasuluLlah terkenal dengan sifat al Amin dan baginda seorang yang Ummi. Firman Allah: Surah An Najm ayat 3-4 :

“ Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakan itu (samada al Quran atau hadith) tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya”

Khamis, 7 Februari 2008

Ciri-ciri Anti Hadith

Sifat tersebut di dalam hadith ini ada menepati golongan anti hadith dalam negara ini:

1.Maksud “pandai bercakap” ertinya pandai memetik daripada ayat-ayat al Quran.

2.Iman mereka hanya setakat kerongkong sahaja, ertinya iman mereka tidak sampai ke hati, kerana benda yang tersekat di kerongkong tidak sampai ke hati. 7

3.Orang ini amat merbahaya sehingga RasuluLLah s.a.w memerintahkan suruh bunuh orang seperti ini.

4.Orang Islam terima al Quran dengan ijma’, mereka terima Hadith sahih juga dengan ijma’. Tetapi golongan anti hadith di nergeri ini bukan berumur muda tetapi berkelakuan seperti orang muda berfikiran tidak matang kerana mereka menolak ijma’. Mereka pandai memetik ayat-ayat al Quran itu pun dalam bentuk terjemahan belaka. Tidak berupaya mendalami isi al Quran yang asli dalam Bahasa Arab. Maka sebab itulah iman mereka setakat kerongkong sahaja ertinya pandai bercakap tetapi iman tidak ada. Mereka dianggap bahaya dalam masyarakat Islam sebab itulah Nabi berpesan kalau berjumpa dengan orang seperti ini, bunuhlah. “Bunuh” dalam konteks Malaysia sekarang ertinya banteraskan ajaran mereka. Sesiapa yang berjaya membanterasnya, dia akan mendapat ganjaran di hari Kiamat.

1. Mercia Eliad, the Encyclopedia of Religion, vol. 2 London: MacMillan Publishing Co. 1987, p. 41
2. Edward G Brown, A traveller’s Narrative, Aterdam: Philo Press, 1975, p.226
3. Lihat Rashad Khalifa, the Computer Speaks, Mosque pf Tucson, Tucson, USA, 1981
4. Abdul Fatah Haron Ibrahim, Kod 19 Menyesatkan, Kuala Lumpur: YADIM, 1986
5. Hooshmand Fathea’zam (terjemahan Phung Woon Khing), taman Baru, Alor Star, Jawatankuasa Penerbitan Baha’I Malaysia, 1981, hlm 28
6. al Bukhari, kitab Fadhail al Quran, hadith raqam 5047
7. ibn hajar, fathul bari, Beirut: darul fikr

Sumber Rujukan: Abdul Fatah Haron Ibrahim. Aqidah Ahli Sunnah Wal jama’ah dan Kebatinan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Anti Hadith dan kesesatan mereka

Sedangkan sebelum ini dengan kekaguman mereka terhadap Kod 19 inilah yang menarik gerakan Anti Hadith ini mernerima al Quran yang mereka sangka benar ianya dari Allah dengan bukti “Mukjizat Kod 19”. Sekarang ternyata Kod 19 sebagaimana yang didakwa mereka adalah karut semata-mata. Maka bagaimanakah iman mereka dengan al Quran selama ini hanya bergantung pada Kod 19 sedangkan Kod 19 sebenarnya adalah palsu.

Anti Hadith, juga merupakan terpengaruh dari agama Baha’I melalui Rashad Khalifah. Ini bererti menolak kerasulan Nabi Muhammad walaupun menerima al Quran. Gerakan Anti Hadith menerima al Quran sama seperti agama Baha’I yang menerima semua kitab-kitab suci termasuk al Quran. Tentang Nabi Muhammad menurut agama Baha’I “Nabi Muhammad seperti perwujudan-perwujudan yang lalu..agama Allah yang telah diturunkan melalui baginda telah dimansuhkan setelah genap seribu tahun dimansuhkan oleh agama Baha’i.5 Demikian juga gerakan anti Hadith, Hadith RasuluLLah ditolak tetapi al Quran sahaja diterima.

2. Mana Aqidah dan Syari’at mereka? Tidak seperti agama Baha’I yang menolak aqidah dan syari’at yang disampaikan oleh RasuluLLah dengan menggantikan aqidah san syari’at Baha’I, tetapi gerakan anti hadith setelah menolak segala aqidah dan syari’at yang disampaikan oleh RasuluLlah tidak pula membawa sebarang aqidah dan syari’at mereka sendiri. Tanpa Aqidah dan syari’at bererti tiada agama, kalau adapun adalah umum dan kabur. Contohnya seperti suruhan mengerjakan haji dan solat dalam al Quran adalah umum kerana kaifiyatnya diterangkan oleh RasuluLLah seperti yang terkandung dalam hadith. Mereka menolak hadith!

3. Benarkah mereka masih percaya al Quran itu datang daripada Allah? Tinggal satu tanda tanya besar. Kassim atau puak antihadith mendakwa bahawa mereka percaya al Quran itu daripada Allah kerana “al Quran itu terbukti ada mukjizat Kod 19”. Hasil kajian menunjukkan bahawa kaitan al Quran dengan Kod 19 adalah karut semata-mata. Maka adakah sekarang mereka beriman bahwa al Quran itu daripada Allah sedangkan kod 19 sebenarnya tidak ada?.


4. Sabda RasuluLLah s.a.w mengenai orang seperti ini. Maka samalah seperti Baha’I bahaya antihadith mengisyhtiharkan bahawa hadith hanya untuk zaman (nabi) Muhammad sahaja. Mereka mengajak menggunakan al Quran sahaja. Maka hal ini mengingatkan kepada sebuah hadith yang telah dicatatkan dalam buku ini dalam bahagian Aqidah dari al Quran dan Sunnah yang sahih yang tersebut bererti :

‘Di akhir zaman (dunia ini) akan lahir golongan belia yang mempunyai idea dan pemikiran yang bodoh. Mereka pandai bercakap tetapi menyeleweng daripada Islam seperti panah menyeleweng dari busurnya. Iman mereka hanya setakat kerongkong sahaja. Kalau kamu temui orang seperti ini bunuhlah. Pembunuh itu akan menerima ganjaran di Hari Kiamat. 6. Hadith ini daripada Sahih Bukhari, 66 Kitab tentang fadhilat al Quran, Bab 36: Dosa orang membaca al Quran kerana hendak menunjuk-nunjuk atau untuk mendapat faedah dunia, atau untuk berbangga-bangga.

Kenali Siapakah Anti Hadith

Golongan AntiHadith

Mereka adalah golongan yang mengajak untuk berpegang kepada al quran sahaja:

1. Bukti mereka terpengaruh dengan agama bahai. Golongan anti hadith di Malaysia sekarang secara tidak langsung boleh dimasukkan ke dalam golongan kebatinan, kerana mereka adalah pecikan daripada agama Baha’I dan Baha’I serpihan daripada Syi’ah Ithnai Asyariyah, dan Syi’ah adalah sejenis kebatinan seperti yang dibincangkan dalam bab ini. Di antara bukti golongan anti Hadtih terpengaruh dengan Baha’I adalah seperti berikut :

Gerakan anti Hadith dengan lantangnya mengisytiharkan bahawa al Quran itu “mukjizat kod 19”. Kod 19 ini berasal daripada agama baha’I pengasa pertamanya Sayyid ‘ali Muhammad As Syairazi yang terpengaruh dengan al Ihsa’I Syeikh tarikat Syaikhiyah dan Kazim Al Rasti yang banyak bercakap tentang kedatangan Imam Mahdi dan Bab (pintu) bagi kemunculan itu 1. Sayyid Ali Muhammad Syairazi mendapat kasyaf bahawa dirinya adalah Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu, kemudian mengisytiharkan dirinya “bab (pintu) bagi kedatangan Imam Mahdi”2. yang dikatakan tidak mati tetapi bersembunyi sejak tahun 260H. Bab gagal mendapat sambutan kecuali 18 orang pengikut ditambah dengan dirinya sendiri (bab), maka jadi 19, menepati huruf (di dalam jawi) BismiLLahiRahmanirRahim yang berjumlah 19 huruf.

Rashad Khalifah menyebarkan anti hadith dan teori kod 19 sebagaimana didapati didalam agama baha’I, sila lihat bukunya The Computer Speaks. 3. dan lain-lain. Kassim Ahmad juga terpengaruh dengan gerakan anti hadith dan Kod 19 tajaan Rashad Khalifah itu lalu menyebarkan teori kod 10 serta antihadith dan mengisytiharkan al Quran sahaja dia berpegang. Tetapi Kassim tidak dapat mempertahankan daripada cemuhan, bantahan dan pendedahan kepalsuan Teori 19 seperti yang didedahkan dalam buku Kod 19 Menyesatkan 4. Maka hingga ke saat ini gerakan anti hadith tidak lagi bercakap tentang “kod 19” ini.