"Peribadi insan dari pelbagai latar belakang berinteraksi dengan pengaruh alam sekitar untuk membentuk budaya dan kehidupan"
Friday, 15 April 2011
Pejamkan Matamu
Alhamdulillah, setelah sekian lama laman blog ini menyepi, ditinggal keseorangan tidak dijengah, dibiar bersawang, akhirnya petang Jumaat yang nyaman ini aku diberi kesempatan untuk mencoret; berkongsi input yang aku perolehi sepanjang tempoh pasca revolusi Mesir ini.
Satu keajaiban berlaku beberapa hari lepas, bila mana aku berjaya membaca sebuah buku, Tuesdays with Morrie, mengkhatamkan pembacaan bermula dari kulit depan sampai ke kulit belakang.
Tidak pernah walau sekali aku berjaya menghabiskan pembacaan sebuah buku; tidak kira apa genrenya, dalam masa tidak lebih daripada 24 jam. Ia adalah rekod peribadi yang baru aku cipta.
Bukunya buku biasa. Tuesdays with Morrie oleh Mitch Albom dalam terjemahan Bahasa Melayu, dipinjam daripada seorang sahabat, Nasrullah.
Tatkala membaca, mataku berkaca. Ada beberapa perenggan dalam buku tersebut mengesan di dalam hati. Dan perenggan-perenggan yang ini, yang akan aku kongsikan menggamit sebuah ingatan sewaktu pulang bercuti sepanjang Operasi Piramid. Aku selitkan perenggan-perenggan ini untuk tatapan bersama.
"Tahun awal pengajianku di universiti pada 1978, disko dan filem Rocky menjadi kegilaan budaya pada masa itu. Kami di dalam kelas Sosiology yang lain daripada kebiasaan di Universiti Brandies yang Morrie namakan 'Proses Berkumpulan'. Setiap minggu kami mengkaji bagaimana pelajar-pelajar dalam kumpulan masing-masing berinteraksi antara satu sama lain, bagaimana tindak balas mereka kepada kemarahan, cemburu, penumpuan perhatian. Kami umpama bahan ujian. Kesan daripada latihan kerja berkumpulan ini, ada di antara pelajar yang menangis di akhir latihan. Aku menggelar latihan ini sebagai 'sangat menyentuh hati'. Mengetahuinya, Morrie berkata aku sepatutnya lebih berfikiran terbuka.
Pada suatu hari, Morrie berkata kami ada satu lagi latihan untuk dicuba. Kami dikehendaki berdiri membelakangkan rakan-rakan sekuliah, dan menjatuhkan tubuh kami ke belakang, bergantung kepada rakan-rakan menahan tubuh kami agar tidak jatuh. Ramai di antara kami tidak selesa dengan latihan ini, kami tidak boleh menjatuhkan diri lebih daripada beberapa inci sebelum kami berhenti dan tegak semula. Kami ketawa malu.
Kesudahannya, seorang pelajar, kurus, pendiam, gadis berambut hitam, yang selalu aku nampak dia memakai baju sejuk tebal dan longgar, berpeluk tubuh, memejamkan matanya, mencondongkan tubuhnya ke belakang, dan terus merebahkannya seperti iklan teh Lipton di mana pelakon yang berkenaan jatuh terlentang ke atas permukaan air kolam.
Buat seketika, aku yakin dia akan jatuh terlentang ke atas lantai. Tetapi secepat kilat pasangannya menahan kepala dan bahunya dan menolak dia ke atas supaya tegak semula.
"Whoa!" jerit beberapa orang pelajar. Ada yang bertepuk tangan.
Akhirnya Morrie tersenyum.
"Lihat," katanya kepada pelajar kurus itu, "kamu memejamkan mata. Itu satu kelainan. Kadang-kadang kamu tidak percaya dengan apa yang kamu lihat, kamu perlu percaya dengan apa yang kamu rasa. Dan kamu mahu orang lain mempercayai kamu, kamu mesti merasa yang kamu juga mempercayai mereka - walau kamu dalam kegelapan. Walau ketika kamu sedang jatuh."
Pengajaran yang sangat berguna terkandung dalam perenggan-perenggan di atas ini. Ceritanya berkisar tentang 'Trust'. Kadang-kadang kita perlu mengabaikan satu pancaindera kita baru kita dapat rasa kepercayaan kita.
Entri ini didedikasikan kepada seluruh peserta dan para fasilitator Program S.P.I.E.S anjuran Pejabat EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan pada akhir Februari lalu di Kem Bina Insan, Ampang Pecah, KKB.
Saturday, 12 February 2011
Wajah-wajah PELARIAN
Dengan Nama Allah Yang Memberi Nikmat Keamanan
Di bawah ini merupakan koleksi wajah-wajah pelarian yang sempat di rakamkan sepanjang Operasi Piramid ini berlangsung.
Saturday, 1 January 2011
Memasak Itu Satu Terapi
Dengan Nama Allah Yang Maha Mengilhamkan Sesuatu.
Memasak itu satu terapi.
Banyak orang suka makan. Makanan pedas la, manis lebih gula, masam manis 3 rasa dan makanan orang jawa, Arab, Korea dan Jepun. Tapi berapa orang yang suka memasak?
Pernah satu hari aku didatangi oleh seorang kawan ke rumah pada waktu senja untuk makan dinner bersama. Aku menjemputnya untuk makan di rumah bersama-sama ahli rumah yang lain. Seperti biasa hari-hari sebegini, biasanya aku memasak menu yang biasa-biasa saja. Tiada yang istimewa.
Bahan asasnya ayam, bawang dan cili. Aku bersihkan ayam yang telah siap dipotong di kedai, kemudian aku mula membasuh beras dan menenggekkan periuk yang berisi beras tadi di atas api dapur. Kalau nak tahu, kat rumah ni dah dekat 2 tahun kami masak nasi atas dapur.
Aku mula mengupas kulit bawang merah (besar) beberapa biji sambil fikiran ku membelek-belek buku resipi yang ada di benak kepala.
“Ayam, bawang dan cili. Aku ada 3 benda ni. Macam mana aku nak buat dia supaya sebati dalam satu kuali menjadi lauk yang enak dan membangkitkan selera untuk dimakan?”, aku membacakan search term ini dalam kotak SEARCH sebelah sisi kanan otak.
“Boleh jadi kari, asam pedas, masak lemak, gulai, semur dan masak merah”, ini jawapan yang tertera.
“Ah, susahlah macam ni. Nak kene pilih satu”.
Tanpa aku sedari, semua bawang merah di tangan telah siap dikupas kulitnya. Ini maknanya sudah tamat masa untuk aku search menu hari ni. Giliran bawang putih pula.
“Empat ulas cukup kot”, aku mencongak baki masa yang ada untuk aku memilih menu. Hari ni kawan aku nak datang makan sama-sama. Aku mesti sudah ada menu sekarang ni.
“Takpe lah. Hari ni aku pilih masak merah. Tapi aku tanak masak merah biasa-biasa je, bosan dah”.
Aku mula rendam beberapa batang cili kering yang sudah digunting memanjang ke dalam semangkuk air panas yang mendidih. Sesekali aku buka penutup periuk nasi untuk tengok progress beras yang ditanak. Sudah boleh dimakan atau belum tanak.
Sementara menunggu nasi tanak dan cili kering lembut, aku turun ke bawah rumah melawat kedai runcit sambil melilau-lilau mencari hagah yang boleh dicampurkan ke dalam ayam masak merah itu biar ia tak serupa dengan selera ayam masak merah biasa.
Aku ke kaunter membayar LE2 untuk 2 cups of plain yoghurt yang tangan aku sambar dari dalam peti ais kecil di hadapan kedai. Dengan segera aku berangkat pulang dengan harapan barang atas dapur yang aku tinggalkan itu tidak hangit dan aku rasa hagah di tangan ini memadai.
Sesampai di rumah aku hidupkan api dapur untuk memanaskan kuali dengan beberapa sudu minyak untuk menumis. Sepantas kerdipan injap jantungku bertemu, sepantas itu aku mencincang bawang-bawang yang siap dibersihkan. Minyak sudah panas, aku campakkan bawang-bawang itu ke dalam kuali. Maka bermualah aksi menyatukan umat di dalam satu medan. Siapa kata bezanya kita tak boleh duduk bersama?
Sambil tangan kanan mengacau bawang atas kuali, tanagn kiri menutup api periuk yang menanak nasi. Cili kering siap dikisar. Layu saja bawang, giliran cili giling pula untuk dipertemukan. Kemudian ayam dan selang beberapa ketika a cup of yoghurt pula.
Gaul punya gaul lauk pun siap. Ops, lupa nak campur garam dan gula. Penutup balang garam dibuka, dituangkan garam sedikit pada penutupnya dan ditabur-tabur atas lauk tadi. Gula pun begitu.
Masa untuk menghias dan menghidang. Aku taburkan hirisan daun bawang dan bawang goreng sedikit. Siap! Wah, sekejapnya. Tak sampai sejam dah siap satu lauk dan nasi!
Kawan aku pun sampai. Maka setelah berbasi-basi barang sepatah dua aku mengajaknya makan. Aku hidangkan satu persatu untuknya nasi, lauk ayam dan salad Arab. Dia makan dengan sungguh-sungguh. Begitu juga aku. Seakan nasi dan lauk itu orang lain yang siapkan. Aku makan dengan selera seselera kawan aku makan.
Tengah-tengah menikmati hidangan, kawan aku tanya. “Apa tajuk masakan kau ni mad?”. Ah, ini soalan yang paling aku tak suka nak jawab sebab aku tak pernah terfikir untuk tajuk masakan aku barang sekali pun. “Nasi tu warna putih. Ayam tu warna merah. Ayam masak merah la kot”, aku cuba menjawab pertanyaannya. Dia mengangguk dan terus menyuapkan nasi ke mulut.
Kemudian selesai makan, dia ke komputer Jackster meneman Jackster bermain PES2011. Habis dua tiga round dia pun pulang. Sambil aku menemaninya ke pintu utama rumah kami dia berbisik sesuatu kepada ku. “Memasak ni satu terapi ya mad?”. Batin aku disentak seketika. “Aah. Kenapa?”. “Takde pape. Hehe.”
Perlahan-lahan aku menutup daun pintu rumah sambil tersenyum sendiri mengingatkan perihal ‘Memasak itu Satu Terapi’. Betul, sungguh benar memasak itu satu terapi. -hamadahamdi.
----------------------------------------------------------------
Meneliti cerita pendek ni, banyak yang boleh dijadikan tauladan dan sempadan. Maka selamilah ia agar kau tahu mana jerung dan mana ikan bilis.
Friday, 24 December 2010
Aku Harus Pulang
Pagi Jumaat pagi yang segar dan nyaman tapi malam Jumaat bukan malam yang tenang bagi kerukunan di Hayyu Sya3biyya, Sayyeda Zeinab. Ini kerana masyarakat di kerukunan itu membudayakan aktiviti untuk meluahkan isi hati mereka dengan menyerlahkan bacaan surah al-fatiha dengan sangat nyaring dan merdu kemudian belum sampai saja amin-nya disambung dengan lagu baladi yang *^$#@%&, sungguh memekakkan telinga.
TAPI paginya sangat tenang dan lapang. Tiada suara pekikan dari speaker sebesar mesin basuh, tiada juga jeritan hon kereta di jalan-jalan. Semuanya seakan kembali kepada norma kehidupan insan biasa. Cuma ada juga cakap-cakap jahat, kalau musuh nak serang Mesir hantarkan bala tenteramu di pagi hari Jumaat. Pagi yang tak ramai manusia membaca surah al-kahfi, pagi yang ramai orang meleleh air liur basi.
Apapun, aku harus jua pulang. Aku tidak harus terus begini memberhentikan langkah kakiku hanya kerana satu speaker sebesar mesin basuh itu. Aku harus pulang. Aku tidak boleh terus meninggalkan surah al-kahfi di pagi ini hanya kerana asyik meleleh air liur basi. Aku harus pulang.
Ya, aku harus pulang. Pulanglah engkau wahai jiwaku ke tempat di mana ia dimulakan dan kepada Dia yang menciptakan. Aku harus berhenti dari jadi terus begini.
Ana mush Masry
Wednesday, 15 December 2010
Gelanggang Bola Tampar
Sunday, 25 July 2010
C.I.N.T.A
Sunday, 11 July 2010
Through My Lens : Hamadahamdi
Tuesday, 18 May 2010
Aku Punya Kawan
Aku punya kawan,
Ada kawan yang aku layan dia sebagai kekasih,
Ada kawan yang aku fikir dia sebagai seorang musuh,
Ada kawan yang aku iktiraf dia umpama seorang pemikir,
Ada kawan yang aku kawan dengan dia sebagai seorang penghibur,
Ada kawan yang aku anggap dia sebagai seorang bapa,
Ada kawan yang aku sanjung dia semulia seorang guru,
Ada kawan yang aku hormat dia sebagai seorang pemimpin,
Ada orang yang aku wala’ dia sebagai seorang presiden,
Ada kawan yang aku sayang dia sebagai seorang sahabat,
Ada kawan yang aku terima kritikannya sebagai seorang penasihat,
Ada kawan yang menjadi sumber inspirasi aku,
Tapi aku belum punya kawan yang aku santuni dia sebagai seorang isteri.
Hamadahamdi
Sayyeda Zeinab, Kaherah
00:54, 4 Jamadil Akhir 1431H
Wednesday, 5 May 2010
Komunikasi Cemerlang
Komunikasi Cemerlang
Hidup kita di dunia ini tidak akan sunyi dengan komunikasi. Bermula bangkitnya kita dari pembaringan, kita bangun menggugah kawan kita di bilik sebelah untuk solat subuh berjemaah. Seterusnya di kuliah, kita tanya stratergi belajar sahabat kita untuk peperiksaan yang kian hampir. Kemudian malamnya di dalam teksi kita menegur pakcik Arab untuk tidak merokok sewaktu memandu.
Sedarkah kita bahawa dengan berkomunikasi sebenarnya kita sedang melakukan proses menyampaikan maklumat kepada orang yang sedang mendengar. Bukan sahaja maklumat yang boleh disampaikan, malah komunikasi juga merupakan medan untuk berkongsi perasaan, idea dan buah fikiran. Kita sebenarnya sedang menyentuh hati orang yang mendengar!
Bukan Hanya Bercakap
Bila kita bercakap dengan seseorang, kita suka ucapan kita didengar oleh orang tersebut. Kita bercerita match bola Inter Milan – Barcelona malam semalam dengan penuh semangat dengan keputusan Inter mendahului sebanyak 3-2. Yang kita tunggu adalah ucapan tahniah daripada mulutnya atas kemenangan Barcelona. Kemudian kita mengadu yang kasut baru kita hilang di masjid kuliah petang tadi. Kasut tersebut baru saja dibeli sebulan yang lepas. Kita tunggu ungkapan “Rileks la, nanti elaun masuk kita beli kasut baru”. Terasa lega sedikit resah yang mendiam di hati.
Tapi cuba kita bayangkan bila kawan kita senyap sahaja tanpa respon. Membisu sejuta kata. Terasa sangat sia-sia air liur kita yang tersembur keluar untuk menyampaikan berita dan berkongsi derita.
Ini hakikat yang mesti kita sama-sama telan kerana ia berlaku dalam komunikasi harian kita. Kita lebih ghairah untuk bercakap dan terus bercakap, menyampaikan dengan menganggap yang kita sedang menuju ke arah komunikasi cemerlang. Tapi kita lupa dan sering terlupa bahawa sebenarnya komunikasi yang baik itu bukan pada banyaknya kata yang diucapkan tapi pada tahap ketelitian kita mendengar pengucapan orang yang sedang menyampaiakan maklumat dan berkongsi cerita.
Jika dimuhasabah kembali, berapa ramai mad'u yang lari dari kita bila kita cuba dekati mereka? Ya, kita kata kita sudah berusaha untuk approach mereka tapi adakah cara kita itu terkesan di hati mereka?
Pakai Kasut Mereka
Untuk menyentuh apatah lagi mengetuk pintu hati sahabat kita bukanlah satu perkara yang mudah. Tidak semudah kita bercakap.
Ia merupakan satu seni atau skill yang boleh dipelajari dan memerlukan latihan yang sentiasa. Sesiapa sahaja boleh menjadi juara dalam membina komunikasi cemerlang ini. Syaratnya satu. Letakkan diri kita pada kasut orang yang bercakap atau mengadu. Kita terbitkan rasa empati terhadap dia. Baru kita faham dan tahu apa yang ingin dikongsikan bersama kita.
Dengan itu kita sedang membina jambatan hati dengan permulaannya kita mendengar dan meneliti kemudian kita memproses maklumat yang diterima dan diterjemah ke dalam respon diri sebagai tanda faham.
Respon kita pula antara dua. Sama ada lisan ataupun bukan lisan. Komunikasi lisan terjadi bila respon kita juga dengan bercakap. Contoh komunikasi bukan lisan pula seperti bahasa badan, bahasa isyarat, sentuhan, hubungan mata dan penulisan. Nah, saya sedang menyentuh hati anda yang sedang membaca!
Kaunseling Kelompok
Sebelum sesebuah komunikasi itu terbina antara dua individu, perkara penting yang mesti berlaku adalah mereka perlu saling mempercayai. Jika komunikasi itu awalnya ia tidak terbina dengan kepercayaan, maka segala apa yang akan ditutur dan diperdengarkan akan penuh dengan syak wasangka.
Berlarilah sejauh mana dalam komunikasi sebegitu, hakikatnya kita masih merangkak dalam kelingkungan yang sama. Segala apa yang terucap semuanya hanya manisan di bibir. Belum ada lagi madu yang tercurah dari hati. Kita tersekat tidak tertembus dengan tembok yang menghalangi kita untuk berkongsi cerita.
Segera ranapkan tembok pemisah tersebut. Jalinkan hati kita dengan manusia yang sedang kita hadapai. Binalah jambatan yang dapat menghubungkan hati kita dengan hati dia. Duduklah dalam satu kelompok untuk kita belajar bagaimana untuk berkomunikasi. Salah satu medan yang amat praktikal adalah melalui kaunseling kelompok.
Kaunseling kelompok atau istilah yang lebih popular, Smart Circle merupakan kelompok yang paling sesuai untuk kita belajar membina sebuah komunikasi yang cemerlang. Di dalam kelompok ini kita buat salah dan silap supaya kita tahu apa itu yang benar dan betul. Di dalamnya juga kita meluah dan berkongsi supaya orang lain memperoleh dan cuba untuk mempraktikkan. Kita akan dapat kekuatan setelah kita tewas dan bangkit dalam kelompok ini dan dengan kekuatan ini sedaya upaya kita akan harungi dunia luar yang penuh cabaran dengan akhirnya kita mencapai kecemerlangan.
Komunikasi dengan Allah
Itu semua komunikasi kita dengan manusia. Manusia sesama manusia. Jangan kita lupa kita ada satu lagi komunikasi cemerlang yang harus kita bina. Tidak boleh tidak kita mesti berusaha dan bekerja untuk mendapatkannya. Ya, itulah komunikasi kita dengan Allah s.w.t.
Latihan untuk memperoleh natijah komunikasi cemerlang bersama Allah adalah dengan memperbanyakkan amalan sunat. Selalulah mengerjakan puasa sunat. Bangkitlah di malam hari merintih dan meminta daripada-Nya. Banyakkan berdoa agar permintaan kita diperkenan. Bila kita punya komunikasi yang cemerlang bersama Allah, nescaya akan cemerlanglah kehidupan kita.
Oleh:
Ehmad Hamdi B Naem
Ketua Editor Majalah i-Man 3
Tahun 4 Universiti Kaherah.
Sunday, 25 April 2010
P094 Hulu Selangor
Haa...kali ni iklan PRK P094 Hulu Selangor antara calon PR dan calon BN.
Berikut merupakan pantun nasihat oleh seorang anggota SPR Datuk Jamdir Buyong.
PENGUNDIAN
Tiada pondok boleh berdiri
Tempat berhimpun suara perang
Jangan berkempen hari mengundi
Elakkan sengketa suasana tegang
Hulu Selangor dataran permai
Ramai tokoh pandai berpantun
Datanglah mengundi beramai-ramai
Ikut adat bersopan santun
Pokok manggis di tanah rata
Buahnya manis sedap dirasa
Setiap undi intan permata
Penyinar cahaya negara bangsa
Bunga teratai mekar kembang
Tumbuh subur rapat-rapat
Usah takut janganlah bimbang
Hadir mengundi tiada yang sekat
SELEPAS PENGUNDIAN
Kertas undi di dalam peti
Dikawal ketat hingga ke petang
Jumlah dikira penuh teliti
Usah sangsi janganlah bimbang
Dari jauh mencari tunang
Masuk kampung hingga ke bandar
Adat bertanding kalah dan menang
Jangan marah salahkan SPR
Pokok pandan di puncak bukit
Buahnya jatuh di atas tanjung
Menang besar kalah sedikit
Jangan dicemuh hormat dijunjung
Khidmat cemerlang sudah sempurna
Semoga mendapat segala berkat
Terima kasih yang bijaksana
Bakti dikenang sepanjang hayat
Pagi-pagi makan ketupat
Hidangan asli sejak berkurun
Gambar calon merata tempat
Lepas bertanding mestilah turun
Wednesday, 31 March 2010
Rapuwan II
"Setiap detik yang berlalu dalam hidup kita adalah perjuangan. Setiap hari adalah rusuhan bagi cinta kita. Perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah s.w.t di muka bumi ini, perjuangan menentang musuh sama ada dari kalangan manusia, jin mahupun syaitan."
-Cinta Hari-hari Rusuhan, Sufi Haramain : Berangkatlah Sementara Masih Muda.-
Saturday, 20 March 2010
Rapuwan
Friday, 19 February 2010
Dia Sudah Besar
Wednesday, 10 February 2010
Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN Kali Ke-7 Di Kaherah Dibayangi Kemelut 'Pusat' dan Cawangan
Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-7 Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir telah berlangsung dengan kehadiran para perwakilan dari serata cawangan seluruh Mesir. Mesyuarat yang diadakan di Dewan Besar ARMA itu telah dirasmikan oleh Penasihat PERUBATAN, Saudara Muhd Zulhazmi Ahmad Zawawi.
Sepanjang mesyuarat berjalan, tiada insiden yang tidak diingini berlaku. Perjalanan majlis kelihatan lancar biarpun majlis dimulakan lewat 3o minit kerana sikap para perwakilan dan ahli yang tidak suka majlis dimulakan seawal mungkin meskipun tidak mahu majlis meleret sampai ke sebelah malam.
Pada sesi pagi, Ucapan Dasar Presiden telah dibacakan sendiri oleh Presiden PERUBATAN Sesi 08-10 Saudara Ahmad Wafi Mohd Arshad. Diikuti dengan Perbahasan Ucapan Dasar seterusnya sesi Pembentangan Laporan Aktiviti dan Kewangan oleh Setiausaha dan Bendahari Kehormat PERUBATAN.
Majlis dilihat sedikit kecoh apabila sesi Perbahasan Usul bermula pada tengahari selepas rehat solat zohor dan makan tengahari. Semua ini berpunca daripada kekalutan Unit Protokol & Disiplin dalam menguasai format serta protokol perjalanan sebuah mesyuarat agung. Namun, kekecohan ini dapat dikawal dengan baik.
Tiada isu panas yang dibangkitkan oleh perwakilan dalam mesyuarat cuma isu MAT didominasi oleh isu perwakilan Kaherah yang sekian lama disebut-sebut kembali bergema. Semua ini berpunca daripada salah faham ahli pada istilah 'PERUBATAN Pusat' yang sebenarnya dinafikan kewujudannya oleh PERUBATAN.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Unit Pendaftaran & Promosi MAT 7 Saudara Aysrf Mohd Zuki, perwakilan muhafazah tidak banyak menghantar usul untuk dibahaskan. Hanya satu daripada lapan usul yang diterima untuk dibahaskan datang dari cawangan.
Menurutnya lagi, ada antara perwakilan yang mendaftar tetapi tidak mengikuti mesyuarat sepanjang ia berlangsung selama sehari. Memetik kata-kata beliau, "Secara kasarnya, 10% perwakilan berdaftar tidak hadir mesyuarat pada kali ini. Nilai ini nampak kecil, tapi bila dibandingkan dengan jumlah ahli PERUBATAN keseluruhannya yang mencecah 3000 orang, ianya suatu yang tidak patut kerana kita menyediakan kerusi perwakilan yang terhad iaitu seramai 280 orang sahaja".
Mengulas set 'PERUBATAN sekarang' di atas, bulatan terbesar yang dikongsi bersama oleh empat bulatan sederhana disekelilingnya mewakili PERUBATAN. Dalam bulatan besar PERUBATAN itu terdapat tiga bulatan kecil yang secara total menjadi sebahagian daripada PERUBATAN. Bulatan sederhana yang mewakili cawangan berkongsi sebahagian daripada bulatan besar.
Set ini perlu difahami sejelasnya oleh ahli PERUBATAN seluruh Mesir. Tapi secara peribadi, set 'PERUBATAN akan datang' dibawah ini harus diteliti kembali oleh semua pihak termasuk AJKT sendiri yang memungkinkan satu jalan penyelesaian kepada kemelut PERUBATAN-Cawangan.
Untuk akhirnya, terima kasih khas buat AJKT sesi 08-10 yang telah mengemudi persatuan selama lebih setahun. Tahniah dan terima kasih juga buat semua AJK Pelaksana MAT 7 dengan kerja yang bertungkus-lumus dan selamat bertugas diucapkan buat Mr Presiden Sesi 10-11 serta barisan EXCO. Berikut merupakan berita bergambar sepanjang mesyuarat. Sekian.