Mahasiswa Kecewa Tindakan UIA Batalkan Tempat K-Fiqh

By Hafizuddin An-Nuri on 9/17/2012 06:52:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Terkejut dengan pembatalan tempat program Konvensyen Fiqh Politik Islam Semasa (K-Fiqh) yang bertempat di Main Auditorium, UIAM, mahasiswa berasa sangat kecewa dengan pihak pentadbiran UIA. Program yang akan berlangsung pada hari Sabtu ini telah dibatalkan tempatnya dalam tempoh 36 jam oleh UIA.

Setelah kecewa dengan UIA, pihak penganjur, K-Fiqh Sdn Bhd dengan kerjasama Multaqa Asatizah dan Du'at (Murshid) telah menempah tempat baru dalam masa sehari sebelum program yang bertempat di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang mampu memuatkan sehingga 1400 peserta.

Kami di peringkat mahasiswa membantah sekeras-kerasnya tindakan UIA yang bertindak secara tidak professional. Sebelum ini, WUFI pernah menganjurkan himpunan Tolak 1.0 kerana membantah campur tangan politik daripada luar yang menyebabkan 4 isu besar iaitu tekanan UIA terhadap Prof Aziz Bari, penukaran tempat ceramah Ustaz Azhar Idrus, pembatalan program bersama Dato Saifudin Abdullah dan pembatalan keterlibatan Presiden MPP UIA dalam program di TV9.

Selain itu, masyarakat juga kesal dengan Rektor UIA, yang telah mengeluarkan arahan pembatalan tersebut yang menggunakan alasan bercanggah dengan semangat AUKU walhal UIA tidak tertakluk di bawah AUKU.

Kami mendapat maklumat dan percaya bahawa isu pembatalan tempat program K-Fiqh ini mendapat campur tangan politik luar dan ‘tangan ghaib’ yang cuba mencemari kebudayaan ilmu di Taman Ilmu dan Budi.

Pihak mahasiswa juga sangat bimbang bahawa kemungkinan untuk berlakunya manipulasi sistem E-Undi dalam pilihanraya kampus (PRK) yang akan berlaku pada 25 September adalah sangan tinggi. Mengikut kajian terkini, PRK kali ini adalah paling sengit kerana ia menjadi cerminan kepada PRU-13 dan telah mendapat campur tangan khusus daripada pihak Perdana Menteri.

Justeru, kami menegaskan kepada seluruh pihak khususnya pentadbiran UIA supaya menjaga nama baik dan memelihara kesucian UIA sebagai Taman Ilmu dan Budi.

Saiful Mat Amin
Pengerusi WUFI UIAM

Sumber: WUFI UIAM

 

Debat Najib-Anwar: Mahasiswa Sedia Jadi Penganjur

By Hafizuddin An-Nuri on 1/26/2012 12:10:00 AM

Filed Under: , ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Tahniah diucapkan kepada Profesional Melayu, yang menyatakan minat untuk melihat debat terbuka antara Ketua Kerajaan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kajian ini dikeluarkan oleh Merdeka Center melalui Pengarah Eksekutifnya, Ibrahim Suffian baru-baru ini.

Golongan mahasiswa sangat ternanti-nanti pendirian Datuk Seri Najib berkenaan kesediaan beliau untuk menyertai debat tersebut, Datuk Seri Anwar sudah lama menyatakan hasrat beliau. Mahasiswa bersedia untuk menjadi penganjur debat ini.

1. Debat adalah budaya ilmiah yang merupakan satu jalan terbaik dalam meraikan perbezaan fahaman dan ideologi politik

2. Debat adalah satu medan penilaian bagi masyarakat khususnya anak muda untuk menilai dan memilih kepimpinan yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara

3. Melalui beberapa perbincangan dan 'survey' di peringkat kepimpinan mahasiswa, pengesyoran debat disambut baik di peringkat kampus masing-masing

4. Fokus debat ini adalah pembentangan manifesto kedua-dua belah pihak parti dan juga perbahasan berkenaan isu-isu kenegaraan yang melibatkan rakyat dan kebajikan rakyat, tidak perlu wujud perdebatan berkenaan isu peribadi

5. Mahasiswa berharap program debat ini bukan hanya menjadi mainan politik semata-mata oleh Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional, biarlah ia menjadi satu titik permulaan yang serius dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang

Justeru, pihak Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) mengesyorkan agar mahasiswa dapat bersinergi dalam menjayakan budaya ilmiah ini andai kedua-dua pemimpin besar parti (DS Najib Razak dan DS Anwar Ibrahim) bersedia untuk berhadapan antara satu sama lain dalam debat politik. Kami juga menolak mana-mana idea yang menyatakan idea debat adalah tidak diguna pakai di Malaysia.

'GAMIS Inspirasi Anak Muda'

Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor
Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN)
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)


KUIN Diseru Sambut Tawaran 5 Mahasiswa AUKU

By Hafizuddin An-Nuri on 1/24/2012 03:29:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...



Berhubung dengan isu 5 mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN), GAMIS masih tetap berpendirian bahawa akan bersama-sama dalam mana-mana pihak sahaja untuk memansuhkan AUKU dan GAMIS dengan jelas membantah mana-mana tindakan yang menzalimi mahasiswa tanpa mengira parti politik.

5 mahasiswa KUIN tersebut Mohd Faiz Mohd Arshad, Mohd Aiman Che Ab Razab, Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Md Arof telah mencabar keputusan hukuman yang dikenakan oleh KUIN di mahkamah.

Terbaru, 5 mahasiswa KUIN yang dikenakan hukuman AUKU kerana menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai dengan menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang akhbar diberitakan telah menghantar 'surat perdamaian' kepada Rektor KUIN sendiri untuk menjernihkan keadaan.

1. Tindakan 5 mahasiswa KUIN untuk menarik diri kes semakan undang-undang di mahkamah merupakan satu tindakan profesional mahasiswa

2. GAMIS sangat berharap pihak Prof Dato' Dr. Hj Jamil Osman, Rektor KUIN dapat menyambut baik usaha murni ini dengan menunaikan syarat 'perdamaian' ini iaitu;

i) Menarik balik hukuman penggantungan mahasiswa yang masih digantung
ii) Membuat kenyataan permohonan maaf terhadap 5 mahasiswa KUIN yang dijatuhkan hukuman AUKU yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan
iii) Mengisytiharkan KUIN sebagai universiti bebas AUKU

3. GAMIS menyeru Kerajaan Negeri Kedah untuk campur tangan dalam pentadbiran KUIN kerana ia terletak di bawah kerajaan negeri, membuktikan kebersamaan kerajaan Pakatan Rakyat dalam memberi kebebasan kepada mahasiswa

4. Tawaran 5 mahasiswa KUIN tersebut adalah satu peluang baik untuk diambil oleh pihak pentadbiran KUIN dan juga Kerajaan Negeri Kedah untuk membersihkan kembali nama baik Pakatan Rakyat

Justeru, saya menyeru agar semua pihak berganding bahu dalam menyelesaikan konflik ini tanpa menyalahkan mana-mana pihak demi menegakkan keadilan sejagat selari dengan konsep Islam.

'GAMIS Inspirasi Anak Muda'

Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor
Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN)
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)



Pendirian GAMIS Berhubung Isu KUIN

By Hafizuddin An-Nuri on 1/21/2012 06:57:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...



Perbicaraan tatatertib pada 25 Mei lalu, hukuman dijatuhkan terhadap enam orang mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang mana lima orang daripadanya dijatuhkan hukuman gantung pengajian dan seorang dari mereka dikehendaki membayar denda.

Mahasiswa tersebut ialah, Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Mohd Aiman Che Ab Razab, Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Md Arof, digantung satu semester dan diberi surat amaran. Seorang lagi, Mohamad Farhan Bin Mohamad Baharin juga diberi surat amaran dan didenda RM100.

Semua mereka didakwa di bawah kesalahan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) kerana menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai dengan menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.

Berhubung isu ini, GAMIS menyatakan sokongan penuh terhadap usaha untuk memansuhkan AUKU dan GAMIS dengan jelas membantah mana-mana tindakan yang menzalimi mahasiswa tanpa mengira parti politik.

GAMIS mendesak agar pihak kerajaan negeri Kedah untuk campur tangan berhubung isu ini. Demi memastikan hak mahasiswa dibela, GAMIS bersedia menjadi 'orang tengah' untuk menjernihkan konflik yang timbul di antara mahasiswa dan pentadbiran KUIN.

Pihak Pakatan Rakyat seharusnya mempunyai keazaman politik yang jelas berhubung isu AUKU sama ada mahu kekalkan atau mansuhkan AUKU. GAMIS meletakkan harapan agar isu ini dapat diselesaikan dengan mengambil kira hak dan keadilan ke atas kedua-dua pihak.


Gamis Inspirasi Anak Muda

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)