Dia terkejut bila tiba-tiba sahaja
Nashriq terpacul di situ. Anak muda itu selamba sahaja membelek sebuah buku di
hadapannya. Duha Maisara serba salah. Dia pantas mengangkat kotak berisi
buku-buku baru untuk disusun di rak sebelah. Namun baru dia hendak melangkah,
tubuh Nashriq menghadang laluannya. Duha Maisara tergaman.
Dia memandang anak muda itu. Mata
Nashriq masih terpaku pada buku di tangannya. Duha Maisara menarik nafas
panjang. Dia nak mempermain-mainkan akukah? Dia sendiri tidak tahu bagaimana
lelaki itu tahu tentang kedai buku itu. Jangan-jangan lelaki itu sengaja
mengekorinya, bisik hati Duha Maisara.
“Duha, dah habis susun buku-buku tu?”
Jerit Syafa dari tingkat bawah.
“Err belum kak, sikit lagi,” balas Duha
Maisara sedikit terjerit. Dia cuba melepasi Nashriq, tapi tubuh lelaki itu
tetap tidak berganjak. Kerana terlalu geram, Duha Maisara menjeling lelaki di
hadapannya tidak berkelip.
“Awak nak apa? Bagaimana awak tahu saya
kerja di sini?”
Nashriq tersenyum. Dia menutup buku di
hadapannya dan mengembalikannya di rak.
“Ikut aku keluar?” Ujarnya tanpa
menjawab pertanyaan Duha Maisara.
“Maaf, saya sibuk sekarang.” Balas Duha
Maisara acuh tak acuh.
Nashriq menatap gadis itu tidak
berganjak. Duha Maisara beredar ke rak sebelah. Dia meletakkan kotak yang
dibawanya seraya mula menyusun buku-buku di dalam kotak tersebut. Sedikit pun
kehadiran Nashriq di situ tidak dipedulikan. Perilaku Duha Maisara membuatkan
hati Nashriq panas.
“Aku ada hal nak bincang dengan kau.
Ikut aku keluar sekejap.” Nashriq cuba berlembut menahan sabar.
“Tak ada apa yang harus kita
bincangkan. Saya tak kenal awak dan awak tak kenal saya. Biarkan saya
sendirian.” Balas Duha Maisara.
“Duha Maisara!” Herdik Nashriq dengan
suara meninggi. Duha Maisara tersentak. Beberapa pengunjung kedai buku itu
kelihatan menoleh ke arahnya. Dia memandang Nashriq dengan wajah merah padam.
“Apa awak dah gila? Jangan ingat sebab
awak berduit, awak boleh buat sesuka hati awak.” Marah Duha Maisara separuh
berbisik. Entah kenapa dia bimbang jika Syafa terdengar suara lelaki itu dari
tingkat bawah.
Nashriq mengetapkan bibirnya. Dia mula
hilang sabar. Tanpa berfikir panjang, dia terus menarik lengan Duha Maisara
membuatkan gadis itu tergaman. Tubuh gadis itu segera dihela tanpa rela
menuruni tingkat bawah. Syafa yang terperanjat dengan apa yang disaksikannya
segera meluru ke arah Duha Maisara.
“Duha, apa dah jadi ni? Siapa lelaki
ni?” Soal Syafa sedikit resah. Dia menatap ke arah lelaki di samping Duha
Maisara. Entah kenapa wajah lelaki itu bagaikan pernah dilihatnya sebelum ini.
“Kak, tolong Duha kak.” Rayu Duha
Maisara sambil cuba melepaskan pegangan tangan Nashriq. Namun Nashriq bagaikan
tidak kisah perlakuannya menimbulkan tanda tanya orang ramai di kedai buku itu.
“Encik, encik nak bawa ke mana Duha ni?
Tolonglah lepaskan dia, apa-apa hal kita boleh bawa bincang.” Ujar Syafa. Suara
Syafa yang gelisah membuatkan dua lelaki yang berada di kedai itu, segera
menghampiri mereka.
“Kenapa ni?” Tanya salah seorang dari
lelaki itu, turut masuk campur.
Nashriq tersenyum tenang. “Maaf tapi
tolong jangan campur tangan. Ini hal antara saya dan cik adik ni.” Ujar
Nashriq.
“Encik ni siapa?” Syafa ingin tahu.
“Saya teman lelaki Duha. Saya nak minta
izin kakak bawa dia keluar sekejap, kami nak bincang soal pertunangan kami.”
Jawab Nashriq selamba. Dada Duha Maisara bagaikan hendak meletup mendengar
kata-kata lelaki itu. Dia menjeling Nashriq yang kelihatan selamba menuturkan
kata-kata. Dia berpaling ke arah Syafa yang kelihatan terkejut.
“Duha, betul ke cakap encik ni?” Syafa
memandang ke arahnya. Duha Maisara terdiam. Entah apa patut dia katakan pada
Syafa.
“Kalau kau tak iyakan, aku akan
beritahu dia siapa kau sebenarnya.” Bisik Nashriq perlahan di telinganya. Duha
Maisara terpaku. Ugutan Nashriq membuatkan dia serba-salah.
“Duha…?” Syafa kelihatan keliru.
Mahu tak mahu Duha Maisara akhirnya
mengangguk. Dia menjeling lelaki di sampingnya. Wajah itu tersenyum bagaikan
meraikan kemenangan, sedangkan hatinya teramat sakit. Kalau diikutkan hatinya
mahu saja dia mencekik-cekik leher lelaki itu. Entah apa mahunya kali ini?
*
* * *
Dia
langsung tidak menyentuh makanan di hadapannya. Malah minuman di gelasnya pun
tak sampai separuh diteguk. Entah kenapa, dia tidak berselera makan,
lebih-lebih lagi di kala hatinya dilambung badai resah.
Sesekali
dia memerhatikan wajah lelaki di hadapannya. Wajah itu nampak segak dengan
pakaian kemas yang membalut tubuhnya. Dari gerak geri lelaki itu, dia tahu
lelaki itu pastinya berpangkat tinggi di pejabat. Jika tidak masakan karismanya
nampak terserlah di sebalik kot dan talileher yang senada warnanya. Malah
ketika lelaki itu dengan senang-senang membayarnya seribu ringgit ketika di
Blue Ocean tempohari, dia sudah boleh menduga siapa lelaki itu. Siapa dia
sebenarnya? Sampai sekarang, lelaki itu langsung tidak pernah memperkenalkan
diri padanya.
“Kenapa
tak makan?” Tegur Nashriq lembut, sebaik dilihatnya makanan di pinggan Duha
Maisara masih belum luak.
Gadis
itu diam.
“Kenapa?
Tak berselera? Barangkali makanan di kafeteria hospital lebih sedap?” Duga
Nashriq seraya tersengih. Duha Maisara kelihatan terkejut mendengar
kata-katanya. Dia memandang lelaki itu dengan penuh tanda tanya.
“Awak
seolah tahu semua gerak geri saya, apa selama ini awak mengintip saya?”
Nashriq
tergelak besar mendengar kata-kata Duha Maisara. Dia memandang anak gadis itu
dengan senyuman yang masih bertamu di bibir.
“Kau
sangka aku tak ada kerja lain selain mengintip kau? Kalau kau tak muncul di
hadapan mata aku, masakah aku tahu semua perkara tentang kau. Boleh aku tahu
kenapa kau bekerja di Blue Ocean sedangkan
abang kau seorang doktor?” Soal Nashriq tiba-tiba. Sudah lama dia ingin
bertanya tentang hal yang satu itu.
Duha
Maisara terdiam. Siapa lelaki itu untuk dia ceritakan segala-galanya tentang
hidupnya?
“Dia
tahu kau kerja di Blue Ocean?” Duga
Nashriq lagi.
Duha
Maisara terpegun. Bulat matanya memandang ke arah Nashriq yang tiba-tiba
kelihatan serius. “Tolonglah, tolong jangan cakap apa-apa pada abang saya. Dia
tak tahu apa-apa.” Rayu Duha Maisara pantas.
Nashriq
terdiam. Betullah sangkaannya selama ini. Ada sesuatu yang sedang disembunyikan
oleh gadis itu. Kalau tidak masakan dia menyembunyikan kerjanya dari
pengetahuan abangnya sendiri.
“Lelaki
yang datang bertemu kau semalam ayah kau?” Tanya Nashriq.
Sekali
lagi wajah Duha Maisara berubah keruh. Dia mencerlung ke arah lelaki itu. “Saya
tak tahu apa yang awak tahu, tapi kalau awak cuba nak malukan saya, awak silap.
Saya tak suka awak ekori saya atau datang ke rumah saya lagi sesuka hati awak.”
Duha Maisara benar-benar meradang kali ini. Malah dia juga rasa malu pada
lelaki itu. Tentu lelaki itu fikir yang bukan-bukan terhadapnya.
“Duha,
semalam aku ke rumah kau untuk memulangkan telefon ni. Bukan niat aku hendak
mencuri dengar perbualan yang tak ada kena mengena dengan aku.” Balas Nashriq
pula dengan suara meninggi. Telefon bimbit milik gadis itu diletakkan di
hadapan Duha Maisara.
Duha
Maisara terpegun. Lama matanya mengusik telefon di atas meja. Rupa-rupanya
telefon bimbitnya disimpan oleh lelaki itu selama ini. Sangkanya dia tercicir
di mana-mana.
“Jangan
bimbang, aku tak pernah menjawab panggilan-panggilan untuk kau. Tak kuasa aku
nak ambil tahu.” Sambung Nashriq lagi. Entah kenapa dia bengang kerana seolah
dituduh suka mengambil tahu soal gadis itu. Nashriq menghirup jus orange di
gelasnya sampai habis. Dia bingkas bangun. Wajah gadis itu ditatap sebentar.
“Aku
cuma nak bantu kau, niat aku ikhlas. Kalau kau benar-benar perlukan bantuan,
aku cuma nak tahu yang kau boleh harapkan aku. Nombor telefon aku ada dalam
telefon tu.” Ujarnya lalu bergegas pergi meninggalkan Duha Maisara termenung
panjang.
Perlahan-lahan
Duha Maisara menoleh. Lama matanya terpaut pada langkah laju lelaki itu
meninggalkan restoran. Dadanya sebak. Dia tahu lelaki itu ikhlas, tapi untuk
meminta bantuan lelaki itu menyelesaikan masalah peribadinya, dia lebih malu
lagi. Dia tak sepatutnya mengheret seseorang yang tidak ada kena mengena
dengannya masuk dalam kancah hidupnya. Duha, kau boleh hadapi semua ini. Kau
takkan kalah sebelum berjuang. Dia mengetapkan bibirnya.
* *
* *
Nashriq
memandang ombak besar yang memukul pantai di Teluk Kemang itu. Beberapa
pengunjung pantai itu kelihatan girang bermain ombak di hadapannya. Sesekali
pandangannya jatuh pada sekumpulan anak-anak kecil yang diawasi ibubapa
masing-masing, bermain di gigi air.
Entah
kenapa, melihat betapa girangnya anak-anak itu bermain air, seolah seperti
mengulang saat-saat gembiranya ketika berlari-lari anak bersama Raihana di
pantai itu. Dia cuba mengejutkan Raihana dengan anak ketam yang ditemuinya di pesisir
pantai, menyebabkan gadis itu lari melulu dengan wajah cemas. Dia tertawa
besar. Lucu melihat Raihana yang takut-takut dengan anak ketam yang ditemuinya.
“Siapa
kata Hana takut?”
“Habis
yang Hana lari kenapa?” Dia tersengih.
“Hana
lari sebab abang kejar. Siapa suruh abang kejar Hana.” Gadis itu memalingkan
wajahnya. Merajuk hati dengannya.
“Betul
Hana tak takut dengan ketam ni?” Dia cuba menduga hati gadis kecil itu.
Raihana
terdiam. Namun melihat Nashriq menghampirinya dengan ketam itu, dia segera
berlari ke belakang babanya.
Zainal
Ikram tertawa kecil melihat telatah anak-anak kecil itu. Dia berpaling ke arah
Munif dan Maisara yang sedang menyiapkan makanan, bekal perkelahan mereka.
“Sesekali
kita berkelah begini, seronok juga kan Munif.” Ujar Zainal Ikram. Munif
berpaling. Bibirnya menguntum senyuman.
“Memang
seronok bang, harap-harap lain kali kita bawa pula puan ke sini.” Ujar Munif.
Mendengar kata-kata Munif, Zainal Ikram terdiam. Dia terkenangkan isterinya
yang selalu sibuk dengan urusan perniagaan sampaikan tiada masa mengatur
rumahtangga. Entah mahu atau tidak wanita itu pergi berkelah dengannya lain
kali.
“Baba,
tengok abang ni, suka usik Hana,” Jerit Raihana.
Perbualan
Zainal Ikram dan Munif terganggu. Serentak kedua-duanya berpaling ke arah
Nashriq yang tidak serik-serik mengusik Raihana.
“Naz,
jangan diusik Hana tu. Ayah tengok kamu ni semakin melampau-lampau nakalnya,”
larang Zainal Ikram. Anak itu hanya tergelak. Langsung kata-katanya tak diambil
pusing.
Mendengarkan
Nashriq dimarahi, Raihana tertawa kecil. Lantas dia mendekati Zainal Ikram,
lalu melentokkan dahinya ke bahu lelaki itu. Zainal Ikram terkedu. Matanya
memandang Munif yang sekadar tersenyum.
“Hana
sayang sangat dekat baba,” akui anak gadis itu.
Zainal
Ikram tersenyum. “Lebih sayang dari ayah?” Duga Zainal Ikram.
Gadis
kecil itu menggeleng. “Sama-sama sayang. Hana sayang pada ayah dan baba, sampai
bila-bila pun.” Bisik Raihana, membuatkan Zainal Ikram terharu. Lantas kepala
anak itu dirangkul ke dalam pelukannya. Nashriq hanya memerhatikan tindakan
ayahnya dari sisi. Dia turut tersenyum. Dia tahu lelaki itu amat menyayangi
Raihana. Kadangkala cara layanan ayahnya terhadap Raihana dirasakan ganjil.
Kadangkala
terdetik juga rasa cemburu di hatinya, melihat kemesraan ayahnya dengan gadis
itu. Tapi cemburunya hanya singgah sekali-sekala. Ini kerana kasih sayang
Zainal Ikram terhadapnya juga tidak pernah berkurang. Dengan ayahnya, dirasakan saat-saat dalam
hidupnya dilimpahi kasih sayang, tidak seperti dengan uminya. Zainal Ikram
pandai mengambil hati. Malah ketegasan lelaki itu dipejabat tidak pernah di
bawa pulang ke rumah. Di rumah, lelaki itu adalah ayah penyayang dan suami yang
cukup baik buat uminya.
Namun
keindahan itu hanya sekejap dikecapi. Tak mungkin dia lupa peristiwa yang
berlaku dua belas tahun yang lalu. Peristiwa itu telah mengubah semua persepsi
hidupnya tentang sebuah keluarga yang diidam-idamkannya.
“Nashriq
Adli, ada orang jemput awak. Awak kena balik rumah sekarang juga.” Suara guru
muda bercermin mata itu bagaikan baru semalam terngiang-giang di telinganya.
Dia memandang Erman yang berdiri di sisi gurunya. Wajah lelaki itu keruh,
membuatkan hatinya gelisah tiba-tiba.
Dia
baru hendak menaiki kereta, sebaik Raihana menerpa ke arahnya.
“Abang…abang
nak ke mana?” Soal Raihana hairan.
Dia
hanya tersenyum memandang wajah Raihana yang dipenuhi tandatanya. Seperti
Raihana, dia juga ingin tahu kenapa Erman menjemputnya dari sekolah secara
tiba-tiba. Selalunya pakcik Munif yang sering menjemputnya dengan Raihana.
Namun pertanyaan itu hanya mampu dipendamkan, apatah lagi melihat Erman seperti
tidak banyak cakap seperti selalu.
“Hana
jangan bimbang, abang nak balik rumah dulu. Hana teruskan kelas, sambung
belajar. Nanti cikgu marah.” Pesannya begitu.
“Tapi
Hana nak ikut abang.” Raihana merengek-rengek tidak puas hati. Dia serba salah.
Wajah Erman dipandang memohon pengertian. Erman memandangnya seketika sebelum
beralih ke wajah Raihana.
“Maaf
Cik Raihana, tapi saya diminta bawa pulang Nashriq seorang.” Jawab lelaki
itu. Mahu tak mahu Raihana terpaksa
mengalah. Nashriq cuba memujuk gadis itu.
“Nanti
abang jumpa Hana di rumah.” Ujarnya.
Gadis
itu menganggukkan kepala dengan wajah sedih. Sepanjang kereta yang dipandu oleh
Erman keluar dari perkarangan sekolah, dia asyik berpaling ke arah Raihana.
Entah kenapa, hati kecilnya seperti merasa kurang senang. Bagaikan ada sesuatu
yang buruk menantinya di rumah.
Pap!
Nashriq tergaman. Sebiji bola besar jatuh di ribanya. Dia memegang bola itu
sambil mencari-cari arah orang yang melempar bola. Sesaat matanya tertumpu pada
dua kanak-kanak yang seolah-olah takut mendekatinya.
Nashriq
bingkas bangun, lalu membawa bola besar itu mendekati kanak-kanak di
hadapannya. Sejurus sampai, dia menghulurkan bola besar itu ke arah kanak-kanak
itu. Wajahnya dimaniskan. Kanak-kanak itu turut tersengih.
“Terima
kasih pakcik.” Ujar kanak-kanak itu serentak lalu berlari ke suatu arah.
Nashriq
tergaman. Pakcik? Dia tertawa kecil mendengar panggilan kanak-kanak itu
padanya. Tua sangatkah aku ni?
Melihat wajah girang kanak-kanak itu,
dia tidak tahu kenapa saat-saat itu dia terlalu rindukan Raihana. Raihana
adalah satu-satunya adiknya selama ini. Hilangnya Raihana dalam hidupnya,
jiwanya seperti tandus. Kosong. Kalau dulu ayahnya adalah sinar dalam hidupnya,
tapi lelaki itu juga telah pergi meninggalkannya. Nashriq kian merasa hilang
arah, tiada tempat mengadu nasib.
No comments:
Post a Comment