SEORANG lelaki separuh umur menyorong
motorsikal kapcainya lalu meletakkannya di bawah sebatang pohon. Selepas itu,
lelaki itu melangkah perlahan-lahan ke arah pintu bergrill di hadapannya. Kunci dikeluarkan dari dalam poket sebelum dia
memulas anak kunci pada lubang grill.
Belum sempat pintu grill itu ditarik,
telinganya menangkap satu bunyi. Lelaki itu segera berpaling.
Alangkah
terkejutnya dia apabila melihat dua susuk tubuh sedang tidur di tepi warungnya,
berkelubung dengan guni beras. Dia menjenguk kedua-duanya. Siapa pulak ni?
Hatinya tertanya-tanya. Perlahan-lahan guni beras itu ditarik menyerlahkan dua raut
wajah yang comot dan kotor.
“Nira? Astagafirullahalazim. Nira…kenapa tidur
kat sini?” Pak Maidin terkejut besar. Lelaki itu segera berteleku di hadapan
kedua-dua anak itu.
Dia bingkas bangun sebaik mendengar suara Pak
Maidin. Matanya terpisat-pisat memandang lelaki itu, seraya cepat-cepat
mengejutkan Naufal yang sedang nyenyak tidur di sampingnya.
“Naufal,
bangun….” Dia cuba
mengejutkan adiknya. Adiknya itu memang agak culas mahu bangun pagi. Dia cuba
lagi mengejutkan Naufal meskipun separuh hatinya terasa belas menatap Naufal
yang membongkok kesejukan. Pak Maidin
sekadar memandang perlakuan kedua-duanya dengan dahi berkerut.
“Nira,
beritahu Pak Maidin kenapa kamu tidur kat sini? Cerita semuanya.” Pinta Pak
Maidin. Dia benar-benar ingin tahu apa sebenarnya yang sudah terjadi pada kedua-dua
beradik itu.
Perlahan-lahan
matanya beralih ke wajah Pak Maidin. Dia serba salah. Selama ini, orang tua itu
tidak tahu apa-apa tentang masalah yang menimpa keluarganya. Malah alasan yang
diberikannya pada lelaki itu semasa meminta kerja tempohari adalah semata-mata
kerana kemiskinan keluarganya. Kerana itulah, lelaki itu setuju mengambilnya
bekerja di situ. Entah apa reaksi Pak Maidin jika tahu dirinya dibohongi.
“Nira,
kenapa diam? Cakap dengan Pak Maidin kenapa kamu boleh ada kat sini?” Desak
lelaki itu sekali lagi.
Dia mengigit bibir. Dia tahu dia tidak boleh
mengelak diri lagi. Lebih banyak dia berbohong, lebih sukar untuk dia
berterus-terang. Dengan perasaan berat, akhirnya dia membuka mulut pada orang
tua itu. Bercerita tentang nasib keluarganya yang dirundung malang tak henti-henti. Sesekali dia
memandang Naufal di sisinya yang terkelip-kelip memandang Pak Maidin.
“Jadi
selama ini kamu berbohong dengan Pak Maidin?” Lelaki itu mengeluh panjang. Kesal
dengan apa yang telah berlaku.
“Pak
Maidin, Nira minta maaf. Nira bukan sengaja nak berbohong. Tapi kalau Nira
beritahu hal yang sebenar, Pak Maidin takkan kasi Nira kerja kat sini.” Ujarnya
beralasan.
“Memang
Pak Maidin tak kasi. Sepatutnya dari awal lagi kamu beritahu Pak Maidin masalah
kamu. Ini tak, kamu rela berbohong dengan Pak Maidin semata-mata sebab nak
kerja kat sini.” Keluh lelaki itu lagi.
“Nira
tak tahu bagaimana Nira nak berterus terang dengan Pak Maidin. Nira perlukan
duit untuk belanja sekolah Nira dengan Naufal. Sebab tu Nira minta kerja dengan
Pak Maidin.” Dia cuba
menjelaskannya.
Pak
Maidin terdiam. Lelaki itu mengalihkan pandangan ke arah budak lelaki di
sampingnya. “Ini adik kamu?” Lelaki itu bertanya sekadar mahu memastikan. Dia
mengangguk lesu.
“Jadi sepanjang
malam kamu berdua tidur kat sini?”
Sekali lagi dia mengangguk.
“Nira dah tak tahu
nak ke mana lagi Pak Maidin. Nira minta maaf sebab tidur kat sini tanpa
kebenaran Pak Maidin.” Suaranya sebak. Dia bimbang lelaki itu memarahinya lalu
menghalau mereka berdua dari situ.
Pak Maidin
mengelengkan kepala. “Teruk betul ayah saudara kamu ni. Sanggup dia buat macam
ni. Tak apalah Nira, buat sementara waktu ni, kamu tinggal aje dengan Pak
Maidin dan Mak Minah kamu. Kami pun berdua aje kat rumah, anak-anak pun jauh.”
Putus Pak Maidin akhirnya.
Dia memandang lelaki tua itu. Hampir tidak percaya
dengan kata-kata lelaki itu. Sangkanya lelaki itu akan menghalau mereka dua
beradik dari situ.
“Hah
yang kamu tengok Pak Maidin sampai macam tu sekali kenapa?” Lelaki itu
mengerutkan dahi. Hairan kerana dipandang sebegitu rupa.
“Nira
tak mahu susahkan Pak Maidin. Tapi kalau Pak Maidin boleh tolong Nira cari
bilik sewa yang kecil pun tak apa. Nira nak tinggal dengan Naufal.” Pintanya.
Lelaki itu terdiam sejenak.
“Kamu
mampu ke menyewa bilik Nira?” Soal Pak Maidin.
Gilirannya pula terdiam. Betul juga! Dengan
keadaannya sekarang, bagaimana dia mahu mencari duit untuk menyewa walau hanya sebuah
bilik kecil? Tiba-tiba dia teringatkan rantai di lehernya. Rantai itu adalah
hadiah pemberian arwah ayahnya sebelum lelaki itu meninggal dunia. Dia segera
menanggalkan rantai berplat emas itu dari tengkuknya.
“Pak Maidin, Nira cuma ada rantai ni saja. Pak Maidin
ambillah rantai ni, jual pun tak apa. Tapi Nira nak minta tolong Pak Maidin carikan
bilik murah untuk Nira. Kalau boleh yang dekat-dekat sini.” Pintanya.
Pak Maidin tergaman. Seketika lelaki itu memandangnya. Rantai
yang diserahkannya tadi dipulangkan semula lelaki itu. Dia terpinga-pinga memandang Pak Maidin,
bimbang lelaki itu tidak mahu membantunya.
“Tak apalah Nira,
ambilah semula rantai Nira ni. Dekat
belakang rumah Pak Maidin ada sebuah rumah kosong. Dah lama tuan punya rumah
tu pindah ke Johor Bharu. Kalau Nira nak, nanti Pak Maidin telefon mereka
tanyakan tentang rumah tu. Mahu?” Cadang orang tua itu.
Matanya
bersinar-sinar sebaik mendengar cadangan Pak Maidin. Lekas-lekas dia
menganggukkan kepalanya. Hatinya benar-benar girang dengan usul lelaki itu. Meskipun
jauh di sudut hati dia kesal kerana terpaksa meninggalkan rumah yang banyak menyimpan
kenangan zaman kecilnya, tapi demi kerana Naufal dia terpaksa. Dia tidak
sanggup melihat Naufal membesar di dalam keadaan begitu, berdepan dengan seribu
satu kerenah pakcik dan makciknya yang tidak berperikemanusiaan.
Sekurang-kurangnya di rumah baru nanti, dia dan Naufal hanya berdua berkongsi
suka duka. Itu lebih baik dari didera mental dan fizikal oleh pasangan suami
isteri itu.
* * * *
Sepanjang
tempoh ini mereka tinggal di rumah kayu kecil tidak jauh dari rumah Pak Maidin
dan Mak Minah, majikannya di warung itu. Mujur tuan punya rumah tempat dia
menumpang itu membenarkan dia dan Naufal tinggal di situ secara percuma. Dia
benar-benar bersyukur kerana dapat lepas dari cengkaman ayah dan ibu
saudaranya, sekaligus mencorak kehidupannya sendiri. Dia juga bersyukur kerana dipertemukan dengan pasangan
suami isteri yang baik hati seperti Pak Maidin dan isterinya.
Selepas
waktu sekolah, dia akan bekerja di warung Pak Maidin. Dengan kesempatan yang
ada, dia berusaha keras mengumpul wang secara berdikit-dikit untuk belanja
persekolahan mereka. Mujurlah Pak Maidin dan isterinya Mak Minah tidak pernah
kedekut membenarkan mereka membawa pulang lebihan makanan dari warung itu.
Secara
lahiriah, hidup mereka baik-baik sahaja meskipun tidak mewah. Hanya yang
dibimbangkannya ialah sikap Naufal yang semakin berubah. Adiknya yang sudah
menjangkau usia dua belas tahun itu menjadi semakin pendiam dan tidak banyak bercakap.
Dia sendiri tidak tahu apakah perubahan sikap Naufal disebabkan oleh musibah
yang menimpa keluarga mereka, atau Naufal tidak betah dengan kehidupan yang
mereka lalui sekarang ini. Dia benar-benar buntu bila memikirkan sikap Naufal.
Dari hari ke sehari, dia berusaha keras untuk menghadapi
peperiksaan PMR yang akan menjelang tidak lama lagi. Meskipun dia tidak mampu mengambil
kelas tuisyen seperti pelajar-pelajar lain, tapi asal ada masa terluang, dia
takkan jemu menelaah pelajaran.
Pak Maidin seakan memahami keadaannya. Lelaki
itu hanya membenarkan dia membantu di warung sehingga ke petang sahaja. Masa
selebihnya, dia disuruh pulang ke rumah. Lelaki itu juga kerap melontarkan
kata-kata nasihat agar dia tekun belajar dan gigih berusaha.
Usai menduduki peperiksaannya, dia lebih rajin
membantu Pak Maidin di warung. Semuanya dilakukan dengan ikhlas demi membalas
budi pasangan suami isteri itu.
“Pak
Maidin…keputusan peperiksaan dah keluar. Nira dapat 8A.” Dia menjerit gembira apabila menelefon lelaki itu dari
sekolahnya. Dia sendiri hampir tidak percaya apabila menatap slip peperiksaan
yang ada di tangannya. Inilah hasil dari jerih perihnya selama ini.
“Alhamdulillah, Pak Maidin dah tahu Nira mesti dapat
keputusan cemerlang. Tahniah ya Nira. Mak Minah kamu kata kalau peperiksaan
kamu cemerlang, dia nak buat majlis kesyukuran untuk kamu. Tak sia-sia kamu
belajar kuat selama ni.” Nada suara Pak Maidin kedengaran ceria.
“Ini semua berkat dorongan Pak Maidin dengan Mak Minah
juga sebab selalu tolong Nira.” Dia membalas. Memang jasa pasangan suami isteri
itu terlalu besar dan luhur buatnya. Sampai bila-bila pun tak terbalas rasanya.
“Kamu balik awal sikit ya. Nanti Pak Maidin nak suruh Mak
Minah kamu masakkan makan malam istimewa malam ni. Kita tunggu Naufal balik, lepas tu kita raikan
sama-sama.” Usul Pak Maidin. Dia hanya tersenyum mendengarnya.
“Pak
Maidin, Nira ingat Nira nak jumpa umi kejap lagi. Nira nak beritahu umi
tentang keputusan peperiksaan Nira ni. Umi tentu suka dengar.” Ujarnya dengan
suara riang.
Memang itulah
niatnya jika dia mendapat keputusan yang baik. Malah dia sudah tidak
sabar-sabar mahu menayangkan slip keputusan peperiksaannya di hadapan wanita
itu. Moga-moga ibunya akan cepat sembuh dan masih mengingatinya seperti dulu.
Doa itulah yang tidak putus-putus dipanjatkan setiap kali selepas solat. YA
ALLAH, semoga KAU mendengar doaku!
“Baguslah tu Nira. Lagipun kamu pun dah lama tak lawat mak
kamu kat hospital tu. Pergilah Nira, nanti Pak Maidin ambil Naufal di sekolah.”
Ujar Pak Maidin. Perbualan singkat mereka berakhir di situ.
Dari sekolah, dia terus mengambil bas ke pusat rawatan di
mana ibunya ditempatkan. Sebaik tiba di tempat itu, dia sengaja
berlengah-lengah. Dia tahu dia harus menunggu sedikit masa lagi sebelum
dibenarkan melawat ibunya. Rutin
harian waktu melawat pusat rawatan itu memang sudah hafal di kepalanya.
Sementara
menunggu waktu lawatan bermula, dia mengambil kesempatan duduk menunggu di
sebuah bangku panjang di laman hospital. Matanya leka memerhatikan ragam
beberapa pengunjung yang turut menanti masa melawat di luar pintu masuk.
Seorang
wanita tua, terkedek-kedek membawa baldi berisi air dan penyapu di hadapannya.
Matanya tertarik memandang wanita itu. Orangnya sudah agak lanjut berusia, tapi
terpaksa pula memikul baldi berat itu. Barangkali dia pencuci di sini, detik
hati kecilnya.
Tiba-tiba
wanita itu tersandung langkah. Habis tumpah air di baldinya apabila baldi berat itu
terlepas dari tangannya. Dia terkesima.
Melihat situasi yang berlaku di hadapannya, dia segera meluru ke arah wanita
itu.
“Makcik
nak bawa baldi air ni ke mana?” Sapanya lembut dan sopan. Wanita tua itu
memandangnya. Bibir pucat itu tersenyum sedikit.
“Makcik
nak cuci longkang kat belakang bangunan sana ,
nak.” Jawab wanita itu.
“Kalau
macam tu, saya tolong makcik bawa baldi air ni kat belakang ya.” Tanpa disuruh dia
segera mengangkut baldi yang kini hanya tinggal setengah sahaja isinya. Melihat
baldi dan alat-alat cucian itu berpindah tangan, wanita tua itu memandangnya
agak lama. Sebentar kemudian, wanita tua itu turut melangkah beriringan dengannya
menuju ke belakang bangunan itu.
“Terima
kasih sebab tolong makcik, nak. Buat susah-susah anak ni aje.” Wanita itu tersenyum
memandangnya.
“Tak apa-apa makcik. Lagipun baldi ni bukannya berat
sangat pun.”
“Anak ni ke mari nak jumpa siapa? Datang melawat pesakit?” Duga wanita itu.
Dia
mengangguk. “Saya nak lawat umi saya makcik.” Ujarnya seraya meletakkan baldi
air di tepi longkang di bahagian belakang bangunan pusat rawatan itu.
“Dia
sakit apa?”
Dia
mengangkat bahu. Sebenarnya dia tidak maklum dengan penyakit ibunya. Lagipun
dia sendiri tidak arif dengan penyakit dementia
yang disebut oleh doktor yang merawat ibunya. Melihat wajahnya yang bertukar
muram, wanita itu memegang bahunya.
“Sabarlah
ya nak, dugaan hidup ni memang tuhan selalu beri untuk menguji sejauh mana
keimanan kita padaNYA. INSYA ALLAH, dugaan macam ni takkan lama. Lepas ni anak
akan digantikan dengan kebahagiaan yang hakiki.” Ujar wanita itu.
Kata-kata
wanita itu membuatkan dia tersenyum sendiri. Senang hatinya mendengar kata-kata
wanita itu. Dia sendiri mengharapkan kebahagiaan yang serupa. Tapi alangkah
baiknya jika kebahagian yang dicarinya itu merangkumi ibunya sendiri.
Sebaik
selesai membantu wanita tua itu, dia segera melewati belakang bangunan pusat
rawatan itu menuju ke pintu hadapan. Belum jauh kakinya melangkah, tiba-tiba
bahunya ditimpa sesuatu. Dia tunduk ke bawah. Sebelah pasang selipar jepun,
mendarat betul-betul berdekatan kakinya. Dia tergaman. Dari mana datangnya
selipar ni?
Dia memandang di sekelilingnya.
Tidak ada sesiapa pun di situ. Dia mendongak pula. Sesusuk tubuh kelihatan
sayup-sayup dari bangunan tujuh tingkat
itu. Dahinya berkerut seribu. Matanya mengecil ke arah kelibat tidak dikenali
di atas sana. Pancaran cahaya matahari yang tegak berada di atas kepala
menyukarkan pandangannya.
Beberapa
ketika kemudian, dia terdengar bunyi riuh rendah di belakangnya. Dia segera berpaling.
Kenderaan-kenderaan yang bersimpang siur melewati jalan di luar pagar pusat
rawatan itu kini berhenti di bahu jalan. Mata orang ramai mendongak ke bahagian
atas bangunan pusat rawatan itu sambil menjerit-jerit berteriak. Ketika itu
juga muncul beberapa lelaki berpakaian serba putih dengan beberapa orang pengawal
keselamatan di situ.
Dia yang menjadi saksi keributan di kawasan
pusat rawatan itu terpinga-pinga tidak mengerti. Apa sebenarnya yang berlaku?
“Telefon
pihak polis dengan pasukan penyelamat. Sekarang juga!” Jerit satu suara tidak
jauh dari situ. Salah seorang pengawal keselamatan segera berlari menuju ke
suatu arah.
“Dik,
tolong ke tepi.” Dia yang berdiri di tengah-tengah laluan ditolak agak kasar. Namun
dia terus terpinga-pinga. Apa sebenarnya yang kecoh-kecoh ni?
“Kenapa
ni?”
“Ada orang nak bunuh
diri.”
Dia tersentak.
Bunuh diri? Siapa? Dia mendongak lagi. Cuba memandang ke arah sekujur tubuh
yang sedang berdiri di lereng bangunan, mengadap ke bawah.
“Perempuan tu pesakit kat hospital ni.” Suara riuh rendah
itu terus bergema di gegendang telinganya. Dia terkejut. Pesakit? Serentak
matanya terpandang kelibat jururawat bernama Zaitun yang memang dikenalinya. Wajah Zaitun kelihatan cemas sedang menuju ke
arah seorang doktor bercermin mata.
“Doktor,
itu Puan Zahlia dari wad 4D. Dia hilang dari biliknya tadi.” Beritahu Zaitun
cemas.
Sebaik mendengar nama ibunya meniti dari bibir
Zaitun, dia bagaikan terkena renjatan elektrik. Tak mungkin! Tak mungkin itu
umi!
Belum sempat rasa gementarnya hilang, tiba-tiba
bunyi jeritan yang agak nyaring singgah di gegendang telinganya. Dia mendongak.
Namun situasi yang terpapar di hadapan matanya membuatkan tubuhnya keras
kejung. Gambaran gelap melintas di kepalanya dalam sekelip mata.
Dari
bawah, dia melihat tubuh itu melayang jatuh dari tingkat atas menuju ke bawah.
Bunyi hentakan yang agak kuat serta suara jeritan orang ramai membuatkan matanya
terbeliak. Wajahnya pucat lesi. Untuk seketika sebahagian dari dirinya seolah
direnggut malaikat maut. Jantungnya seperti dirobek keluar. Suaranya seakan
menghilang dalam kabus gelap yang menyelimuti pandangannya.
1 comment:
ALLAH HU AKBAR,berat nye dugaan mu ya ALLAH,tabah dan kuat kan lah hati hamba mu ini....sape yang bunuh diri tu!!!
Post a Comment