BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 12, 2010

ahlan wasahlan ya muthohhir...



بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan lafaz bismillah, selawat serta salam ditujukan khas buat junjungan terbesar kita Nabi Muhammad SAW, para sahabat baginda, ahli bait serta pejuang-pejuang kalimah Allah sehingga kini masih mengerah keringat berkorban untuk mendaulatkan Islam...moga kita sama-sama tergolong dalam golongan tersebut...amin...

Setelah bulan Sya'ban melabuhkan tirainya, kini hadir bulan Ramadhan yang mana kita semua tahu dalam bulan ini penuh dengan barakahnya. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk bertemu dengan bulan penuh kemuliaan, bulan yang padanya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan bulan yang digelar sebagai bulan penyucian sebagaimana sabda baginda Rasulullah saw yang bermaksud:

"Selamat datang wahai penyuci! Sahabat bertanya pada Rasulullah saw: apakah penyuci itu ya Rasulullah? Baginda menjawab: Penyuci itu adalah Bulan Ramadhan kerana ia suci dari dosa dan maksiat"

Sebagaimana yang kita ketahui dalam bulan Ramadhan ini, terdapat banyak kelebihan yang Allah berikan pada hambanya yang bergelar muslim. Dengan janji-NYA bahawa semua pintu-pintu neraka ditutup manakala pintu Syurga dibuka seluas-luasnya serta syaitan-syaitan diikat, manusia akan mampu menjalani ibadat puasa dengan sebaiknya, mengaut keuntungan pahala dalam mencapai tahap muttaqin. Dan seringkali apabila kita mendengar ceramah di masjid mahupun di surau, penceramah pastinya akan menyebut 'jadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya'.. namun adakah kita pernah mencari satu titik dimana terdapatnya peningkatan dalam ibadat kita pada ramadhan kali ini dengan yang sebelumnya? Tepuk dada kita tanya sama iman kita..

BULAN RAMADHAN DAN PEMBINAAN ROHANI

Dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:

" Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."
Pastinya bagi orang yang betul-betul merindui, menanti kehadiran Ramadhan mereka akan mengimpikan untuk mengungguli segulung ijazah Taqwa daripada universiti ramadhan sebagaimana yang terdapat pada ayat diatas. Dengan yang demikian, mereka akan mengetahui bahawa mereka akan lulus dengan kepujian atau lulus dengan pangkat biasa...ataupun mereka gagal untuk memperoleh segulung ijazah..nauzubillah...

Oleh itu sahabat sekelian, marilah kita sama-sama perbanyakkan ibadat kita dengan membaca Al-Quran, bertadarrus, bertadabbur al-Quran, berzikir, bertarawikh, solah tahajjud dan banyak lagi ibadat-ibadat sunat yang lain agar Ramadhan kita pada kali ini bukanlah seperti ramadhan sebelumnya dengan merasai kelazatan dalam setiap ibadat yang kita lakukan... Moga kita sama-sama tergolong dalam golongan orang yang mendapat IJAZAH KETAQWAAN daripada ALLAH SWT kerana boleh jadi ini adalah Ramadhan terakhir buat kita... Allahutaala A'lam....

Sekian, Salam Ramadhan....