-
Ibu
bapa remaja berkenaan datang berhampiran persimpangan Jalan Shahbandar
selepas mendapat tahu anaknya ditahan dalam sekatan jalan malam, awal
pagi semalam.
BANDARAYA MELAKA - “Macam mana engkau boleh ada kat sini? Aku dah kata
jangan keluar, duduk rumah!" kata seorang bapa sebelum mencepuk kepala
anak lelakinya yang ditahan polis dalam sekatan jalan raya kerana
menunggang motosikal tanpa lesen.
Remaja lelaki berusia 17 tahun itu dipukul dengan tangan apabila
membangkitkan kemarahan bapanya yang berusia sekitar 40-an, selepas
mengetahui dia tidak ke rumah ibu saudaranya di kawasan berhampiran
rumah mereka di Kampung Lapan, Tengkera.
Sebaliknya, remaja terbabit melencong ke kawasan berhampiran tapak Eye On Malaysia.
Malah, ibunya yang berusia penghujung 30an berkata, anaknya keluar
rumah kira-kira 11 malam menggunakan motosikal jenis Honda EX5 milik
bapanya ke rumah adik ipar di kawasan sama tempat tinggal mereka dan
memintanya pulang sebelum 12 tengah malam.
“Motosikal ini baru dibeli ayahnya seminggu lalu dan sejak itu, dia
meminta izin ayahnya untuk menggunakannya, tapi dilarang kerana dia
tidak ada lesen memandu.
"Tapi tadi (malam kelmarin) dia bagitahu nak keluar sekejap pergi ke
rumah makciknya. Sampai 12 (tengah) malam dia tidak pulang. Bila saya
telefon, dia kata dah kena tahan polis," katanya ketika ditemui
pemberita di lokasi kejadian, malam kelmarin.
Menurut suri rumah itu, dia datang bersama suami yang membawa geran
motosikal terbabit serta terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira lebih
200 meter untuk mencari lokasi anaknya ditahan kira-kira 2.15 pagi.
Sementara itu, menurut sumber, remaja berkenaan antara lapan penunggang
motosikal yang ditahan kerana memandu tanpa lesen dalam Ops Samseng
Jalanan dan Rempit, berhampiran persimpangan Jalan Shahbandar bermula
jam 10 malam, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisoner Salehhudin Abd
Rahman berkata, operasi dijalankan 25 anggota polis termasuk seorang
pegawai dari Bahagian Trafik Melaka Tengah dan Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) negeri.
“Operasi bermula 10 malam semalam (kelmarin) dan berakhir 4.45 pagi
tadi (semalam) membabitkan sepasukan polis termasuk sembilan anggota
trafik, 10 anggota Sukarelawan Polis Di Raja Malaysia (SPDRM) dan empat
anggota dari unit peronda (MPV).
“Sebanyak 57 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya tiada
nombor pendafataran, memandu tanpa lesen, cukai tamat tempoh dan tiada
cermin sisi selepas pemeriksaan dibuat terhadap 98 buah motosikal dan
75 kereta,” katanya.
Menurut Salehhudin, meskipun tiada tangkapan, sembilan motosikal turut disita dalam operasi terbabit./ sinarharian