Jumaat, 20 November 2015

CERITA 'ABU'

Assalamualaikum ustazah!!!

Waalaikumussalam..

Siapa pula ni?

Dalam hati tertanya-tanya.

Pintu sudah diselak erat.

Badan yang kelemahan pula sudah tidak sabar mahu direbahkan ke tilam.

"Siapa!!!"

Saya hanya berani bersoal siasat dari dalam rumah. Demi keselamatan.

"Siapa tu..."

Saya ulang tanya.

Bukalah pintu sekejap,ustazah.

"siapa.."

saya tanya lagi walau hati seakan dapat meneka.

"Abu!!! Bukalah pintu!!!."

Agakan saya tepat rupanya. Lalu, saya sarungkan pakaian yang sesuai, tanpa lengah membuka kembali pintu yang sudah dikunci mati.

sayugia pintu dibuka, bergegas Si Abu meluru ke pintu.

"Eh,awak ni kenapa...kena marah dek ayah?"

Sayu pula saya lihat esakan bertemali Abu. Anggukannya menambah gandakan lagi tanda tanya di hati.

"Ustazah, jangan telefon ayah saya." Abu merayu kesedihan,tapi agak tegas.
Saya angguk,setuju. 100% . Perjanjian terpatri.

"Erm...awak datang sini jalan kaki?"

Saya tanya juga walau jawapannya sudah pasti di hati. Sebab,saya tak nampak sama ada basikal atau motorsikal. Bunyi motosikal...apatah lagi.

Tanda tanya masih tertunggak. Malam buta,bisu begini berani pula berjalan kaki ke rumah saya. Agak saya mengambil masa dalam 10 mijit juga.Kalau sudah tekad, begitulah.

"Abu, ustazah minta maaf...ustazah tak boleh ajak awak masuk rumah. Awak kena faham...awak lelaki.
Kalau awak perempuan takde masalah.Tidur kat sini pun tiada masalah"

Abu mengangguk faham. Usia 11 tahun tiada masalah baginya untuk memahami asas ikhtilat. Sebelum ini pun, kerap juga kami berbicara santai dalam bilik darjah tentang ikhtilat.

Erm...saya tarik nafas..."sebab apa sebenarnya...kenapa ayah awak marah?"

Abu diam seketika. Sedang memintal jawapan...barangkali.

Saya sabar menunggu...menanti jawapan....

...Bersambung,insyaALLAH...  


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Ahad, 31 Mei 2015

Saya, Wardina, Yasmin Hani...

Apabila seorang artis, Saudari Yasmin Hani memberi pandangan berkenaan  dengan ketidakwajaran menggunakan rotan dalam pengajaran dan pembelajaran hari ini boleh dikatakan ramai dalam kalangan masyarakat memberi respons negatif. Setiap dari kita wajar untuk bersetuju, atau sebaliknya. Saya  juga ada pendapat sendiri untuk dikongsi. 

1. Saya bersetuju 100% dengan pendapat Wardina. Bagi saya, kalau tidak bersetuju janganlah kita kaitkan dengan 'kekurangan' peribadi Yasmin, kalau ikhlas nak tegur, tegurlah secara 'personal'.

Siapakah kita yang layak untuk menghukum orang lain. Dengan cara hukum menghukumlah sebenarnya orang Islam takut mahu mengikuti Islam,dan orang bukan Islam pula takut kepada agama Islam.
Apakah kita yang sudah bertudung (baca:menutup aurat) sudah dijamin masuk syurga? dan Yasmin Hani yang 'belum'  menutup aurat sudah  'cofirm' masuk neraka?

2.Satu bab lagi berkenaan dengan isu rotan. Sebenarnya dalam Islam sudah jelas tentang isu ini.

Merotan bukan tidak boleh tapi ada adab dan tatacaranya.
-Merotan salah jika dalam keadaan marah
-Rotan jenis apakah yang kita boleh guna
-Bahagian anggota badan manakah yang boleh dirotan
-Waktu bilakah boleh dirotan,apakah jika kesalahan pertama dilakukan anak/murid sudah boleh dirotan. -Apakah murid yang punya kesalahan kecil sudah boleh dirotan?
-Atas kesalahan apakah kita boleh merotan?

Dalam Islam, anak-anak dibenarkan dirotan (dalam hadis digunakan lafaz 'pukul') apabila mereka berumur 10 tahun (bukan 7 tahun), itupun atas kesalahan enggan bersolat. Kenapa Islam membenarkan rotan jika tidak bersolat. Ini kerana solat itu mencegah diri dari melakukan perkara mungkar dan maksiat. Dengan solat segala salah laku, salah kalam dapat dihindarkan. Solat merupakan rukun kedua selepas mengucap shahadah, solat juga perkara pertama di tanya di akhirat kelak. Pengakhiran hidup kita juga, diwajibkan kita disolatkan. Besarnya kesan solat di dunia mahupun di akhirat.

3. Saya turut tidak bersetuju apabila artis ini dilarang menegur kerja buat guru semata-mata kerana atas alasan Yasmin Hani bukan guru. Bukankah tugas tegur menegur (baca: berdakwah) ini diwajibkan ke atas setiap orang Islam. Nabi sendiri ada bersabda, bunyinya (maksud): "Sampaikanlah dariku walau 1 ayat."

Kita renungkan juga kata-kata Imam Hasan al-Basri:

"Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu , bukanlah bererti aku yang terbaik di kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh di kalangan kamu, kerana aku jua pernah melampaui batas untuk diri sendiri, sendainya seseorang itu dapat menyampaikan dakwah apabila diri dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah, maka akan jadi sedikitlah orang yang beri peringatan" -Imam Hasan Al Basri-

Tidak kira siapakah kita, kita wajib terima teguran dari sesiapapun, kita yang ditegur berhak untuk setuju atau tidak. Berlapang dadalah terima teguran. kalau kita ditegur tidak menunjukkan kita bermasalah, kalau kita menegur pula bukan bermakna kita ini sempurna, sampai bila pun kita tidak akan mampu menegur jika menegur itu syaratnya sempurna, atau bersyarat sesama golongan. Apapun teguran juga ada tatacaranya, serta wajib berhikmah.

Sekadar pendapat seorang guru kerdil, masih hijau pengalaman, ilmu sangat kurang, kesalahan juga sentiasa berulang dalam mengajar dan mendidik. Tegurlah saya jika tulisan saya tiada kebaikan apapun, banyak kesilapan. Sebaliknya jika ada kebaikan, sekalipun secebis semuanya adalah dari Allah, Tuhan sekalian alam. Doakan saya agar sentiasa dapat bimbingan Tuhan dalam mendidik anak-anak syurga.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Isnin, 13 April 2015

CERITA AYAH

Saya selalu bercerita tentang emak rohimaha Allah, dari mula sampai kembalinya al-marhumah ke pangkuan Ilahi. Tapi, ini tidak bermakna saya melupai ayah tapi al-marhumah emak banyak mempengaruhi kehidupan saya, bahkan wajah saya juga banyak mirip al-marhumah.

Walaupun begitu, saya tetap menyanjung tinggi pengorbanan, kasih sayang ayah terhadap diri saya anaknya. Ayah, walaupun tidak pernah bersekolah, seorang yang buta huruf, beliau tetap mahukan anaknya menjejak ilmu setinggi yang boleh.

Pernah satu ketika, apabila mendengar berita yang saya akan menaiki tangga universiti (UKM), ayah termenung panjang di tepi sungai memikirkan di mana harus dicari sejumlah wang bagi menampung perbelanjaan saya. Ayah tidak melahirkan walau sepatah kata pun yang boleh menggugah perasaan saya, anaknya yang begitu ghairah mahu mengecapi cita. Bahkan ayah menjauh seketika ke pinggir sungai di pinggir kampung, menenangkan hati bagi mencari solusi, mencari ikhtiar agar cita-cita anaknya tercapai juga. Riak sedih langsung tidak diukir di depan saya.

Akhir-akhir ini kesihatan ayah agak tidak stabil. Rasa risau seringkali menjenguk hati. Pada satu ketika, saya terpaksa mementingkan diri sendiri, mengutamakan ayah lebih dari segalanya (selepas ALLAH), saya sanggup dimarahi kerana ayah. Petang tadi, meninggalkan ayah seketika di kampung halaman, bagi meneruskan tanggungjawab sebagai pendidik. Hati terasa sangat sayu bila teringatkan lambaian tangan ayah tanda merestui pemergianku adalah kerana ILAHI.

Ah...sebenarnya, banyak lagi kata-kata yang mahu saya pintal tentang ayah, namun masa tidak membenarkan buat masa ini. InsyaAllah di ketika yang tenang dan damai saya mahu menulis lagi tentang ayah agar ianya menjadi tenunan cinta dari saya buat ayah, betapa besarnya pengorbanan seorang ayah dalam hidup saya.

Terima kasih ayah.

Ayah la ayah, ayah la emak..

Tunggu saya balik lagi ye ayah!

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"