Selasa, 26 Ogos 2014
RAGAM ANAK DIDIK
Watak (bukan nama sebenar): Ali, Hadi, Guru Bahasa Arab.
Lokasi: Kelas 4 Umar.
Hadi: Awak curi barang saya
Ali: Mana ada saya curi
Hadi: Awak yang curi...
Ali: Saya tak curi pun
Guru:( Sambil ambil 2 batang kapur, dan meletakkannya di atas meja
berhadapan Hadi dan Ali)
Ali, cuba awak ambil kapur ni.
Ali menurut, ambil 2 kapur yang saya letakkan. Hadi hanya memandang
sahaja.
Guru: Ok Hadi, awak tahu tak siapa ambil kapur yang ustazah letak atas
meja tadi.
Hadi: Ali yang ambik.
Guru: Ok, Awak boleh kata yang Ali ambik sebab awak sendiri nampak yang Ali ambil kapur tadi. Awak tuduh Ali 'curi' barang awak. Awak nampak ke yang Ali ambik?
Hadi: (Senyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Guru:Haa...kalau kita tak nampak, kita tak boleh tuduh orang ambik atau curi barang kita. Nanti berdosa.
Agenda seterusnya, penjelasan guru berkenaan tentang bahay fitnah dan mengumpat.
Alhamdulillah murid-murid faham.
Syukur..
Allah...tunjukilah aku jalan yang lurus untuk mendidik anak-anak syurga ini.
Aamiin.
Selasa, 10 April 2012
CERITA ISKANDAR
Iskandar |
"Nak cari cikgu DST ..." Jawab Iskandar. Pantas sekali.
"Mari sini sekejap." Sambil tangan saya menggamit mereka berdua.
Iskandar dan Fadzli terus masuk ke bilik guru, pergi ke arah guru kelas mereka.
"Awak berdua nak pergi mana. " Soal saya. Soalan yang sama, tapi tak serupa.
"Saya nak pergi cari cikgu DST,ustazah..." Jawab Iskandar. Seorang murid yang agak lincah.
"Ustazah kan dah cakap..kalau cikgu takde, duduk aje dalam kelas. Nanti-nanti cikgu masuklah."
Para guru bukannya sengaja tidak masuk. Kekadang mereka ada urusan lain, yang tidak kurang pentingnya, sehingga proses pengajaran dan pembelajaran terpaksa dilewatkan seketika.
"Tapi ustazah...pengetua tidak mahu cari..." Tutur Iskandar lagi.
“Pengetua mana ni?”
Dahi saya sudah berkerut sejuta. Mana tidaknya, di sekolah rendah istilah guru besar yang digunakan, bukannya pengetua.
“Pengetua lah Ustazah…Izwan...” Laju aje Si Iskandar yang lincah itu menjawab.
“Izwan…?” Balas saya.
“Aoklah …” Iskandar membalas dengan penuh yakin.
“Ha ha ha…”
Saya tergelak sendiri, sebelum memberikan pencerahan tentang pengetua yang dimaksudkan oleh Iskandar.
Tidak dapat menahan ketawa bila terfikir tentang pengetua yang dimaksudkan Iskandar.
“Ketua la Iskandar, bukan pengetua...”
Akhirnya saya, Iskandar dan Fadzli sama-sama ketawa.
NOTA:
DST = Dunia Sains dan Teknologi
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"
Ahad, 10 Julai 2011
KAIN PUTIH...JANGAN CUBA DIHITAMKAN...
Ketika itu saya ke pejabat untuk mengemaskini nama murid tahap satu.
"Mereka bertiga ni buat perangai di kelas. Disuruhnya seorang murid perempuan membuka seluar..." Ada lagi ayat yang seterusnya, tapi tidak sanggup untuk saya nukilkan di sini. Sangat merisaukan hati.Menakutkan. Terkedu saya seketika apabila mendengar cerita tersebut. Allah..Allah..
Sungguh...Saya Geram
" Ya Allah... apa nak jadi dengan kamu ni. Baru tujuh tahun, sudah pandai...." Saya tidak dapat mengarahkan lidah dari diam tanpa kata. Suara agak tinggi. Menyinga.
Selama saya berkhidmat sebagai guru lebih kurang tujuh tahun jagung ini, tidak pernah saya berhadapan dengan masalah dewasa yang berlaku ke atas budak yang baharu sahaja mencecah usia tujuh tahun.
"Selama saya mengajar, tidak pernah saya jumpa kes seberat ini yang melibatkan murid sekecil ini, cikgu." Beritahu Pentadbir tadi. Beliau sudah agak veteran, dan akan bersara sekitar tiga tahun lagi.
"Kamu ada tengol CD atau apa-apa cerita ke..." Gertak saya terhadap murid bertiga itu. Hati saya sangat panas.
Mereka semua menggeleng kepala. Ketakutan.Hanya tunduk merenung lantai.
"Ah, tidak boleh jadi ni." Hati mendesis sendiri.
Kemudian, saya kembali menumpukan perhatian kepada kerja yang masih belum langsai. Untuk seketika, saya menghalang lidah daripada menyambung kata. Mengeluarkan bicara ketika amarah menguasai diri bukan satu keputusan yang bijak.
Masalah tidak akan selesai sampai bila-bila.Sekadar melepaskan marah yang meluap-luap tiada guna juga. Bukankah menjatuhkan hukum ketika marah dilarang oleh agama?
Kena Hukum
"Ustazah, tadi sidak tiga (mereka bertiga) kena hukum" Beritahu Izwan, salah seorang murid dari kelas 1A.
Saya hanya terseyum hambar, sambil mengisyaratkan agar membaca doa bagi memulakan pelajaran.
Seusai doa dibacakan, saya bergerak ke arah Ali (bukan nama sebenar). Ali merupakan salah seorang murid yang 'membuat perangai' tadi.
Ali
"Ali, bagitau ustazah...apa yang kamu buat pada Nurul."Saya memulakan sesi soal siasat.
"Dia cium Nurul, ustazah." Lain orang ditanya, lain orang yang jawab.
Ali mengiyakan sahaja. Wajahnya pula agak jernih. Tidak sekeruh wajah Zul.
"Kenapa kamu buat macam tu..."
"Zul yang suruh saya..." Jawab Ali menyelamatkan diri.
"Ya Allah....jadi pelakon rupanya Si Ali ini. Di bawah arahan sutradara cilik....Zul oh Zul." Saya sekadar mengomel di hati.
"Kamu ada tengok CD atau apa-apa ke kat rumah?"
"Tak ada...." Meyakinkan jawapan Ali.
Mata saya seterusnya beralih arah kepada Zul.
Kelihatan 'takut-takut' Zul melihat saya.
Zul
"Zul, ustazah tanya betul-betul ni. Ustazah takkan marah, cuma ustazah nak tahu aje."
Set induksi bermula. Sambil tangan enyentuh mesra bahu Zul, seulas senyuman saya iringi. Mesra.
"...Zul, ada tengok apa-apa cerita ke di rumah..." Soalan bersambung.
"Ada..."
"Zul tengok dengan siapa?"
"...tengok dengan kakak..."
"Oh, dengan kakak...kat mana Zul dengan kakak tengok..."
"Dalam bilik...
Saya terdiam seketika. Tidak tahu mahu bertanya apa lagi. Hanya nasihat,demi nasihat yang mampu saya titipkan.
Seterusnya saya bergerak sedikit ke hadapan. Berhenti di satu kerusi....
Naqib
Senyuman kasihan saya huluri. Ya, saya kasihan kepada mereka yang menjadi mangsa kecuaian orang lain. Budak berusia 7 tahun tidak melakukannya kerana nafsu, tapi sekadar ingin 'explore' apa yang dilihat. Ingin mencuba tanpa mengetahui bahawa tindakan itu jika tidak diawasi secara berkala akan mewarna hitamkan kain putih yang terbentang tanpa sempadan.
"Naqib...kamu ada tengok cd kah...atau tengok cerita kat tv?"
Soalan yang sama saya utarakan, senyuman manis saya lemparkan. Buat umpan mengait jawapan. Jawapan tulus sudah pasti saya harapkan.
"Saya tengok kat laptop... ustazah."
Oh, Naqib ini merupakan ahli kumpulan saya bagi kelas tasmik. Hari pertama, dia kelihatan begitu jakun. Memperdengarkan iqra' 1 pun begitu perlahan. Merangkak-rangkak. Eh, bukan setakat merangkak tetapi, seakan meniarap. Tergagap-gagap untuk membezakan sebutan "a" "ba" "ta"Tidak disangka istilah laptop begitu serasi dengan lidahnya.
Jangan disangka, air yang tenang tiada buaya. Bisakah saya menggunakan pepatah ini?
"Cerita kat ustazah, apa yang kamu tengok kat laptop" Saya kembali mengorek cerita.
"Erm ..." Naqib seolah-olah tidak ingin melahirkan kata.
"Ada kamu tengok cerita peluk-peluk...cium-cium?" Saya cuba mengisi tempat kosong yang ditinggalkan Naqib.
Naqib mengangguk. Saya mengeluh. Kesal. Sedih. Perasaan bersimpang siur.
"Lepas peluk-peluk, cium-cium ...apa lagi yang kamu tengok kat laptop tu?"
"Cerita kenja." Maaf, istilah ini sangat tidak manis di pendengaran. Istilah atau bahasa bagi penduduk Sarawak. Namun saya terpaksa titipkan di sini agar semua pihak membuka mata, memasang telinga terhadap tingkah anak-anak.
Wahai emak...wahai bapak...abang...kakak...pakcik....makcik...
Jangan hanya meletakkan anak, adik, cucu di sekolah semata. Sekolah bukan yang pertama, tapi yang kedua. Yang pertama adalah di rumah. Jadi, tugas sekolah hanyalah menambahbaik ilmu yang telah didapati dari rumah.
Saya merayu...pantaulah anak anda sebaik mungkin. Jika anda sampai hati ingin menonton cerita 18XS, tontonilah di tempat tertutup, tempat yang sunyi yang tidak mampu digapai oleh anak-anak yang tidak berdosa ini.
Lagi bagus jika kalian dapat mencari satu ruang yang diyakini bahawa Allah tiada di situ. Mungkinkah...???
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"
Isnin, 20 Jun 2011
DISKUSI ANAK-ANAK CILIK...(Sabtu 19 Jun)
"...ustazah nak tanya kamu...apa maksud "berilah rahmat" kepadaku?" Saya cuba menduga pengetahuan murid setelah selesai menela'ah ungkapan doa di atas.
“Ya Allah ampunilah dosaku, berilah rahmat kepadaku, cukupkanlah aku (segala kekuranganku), angkatlah darjatku, berilah rezeki kepadaku, tunjukkanlah aku {ke jalan yg benar} sejahterakanlah aku dan berikanlah keampunan kepadaku.”
Beberapa orang murid dari kumpulan yang berjumlah sembilan orang itu melontarkan pelbagai jawapan. Yang pasti semua jawapan adalah salah. Tidak mengapa. Pada saya, yang penting mereka berani mencuba.
"Erm...cuba kamu lihat sekeliling kita. Ada tak kamu nampak orang-orang bukan Islam kaya raya..."
"Ada..."
"Ramaikan?"
Murid-murid mengangguk.
"Itulah Allah...bersifat Maha Pemurah kepada semua hamba-Nya sama ada Islam atau bukan Islam, tapi Allah hanya bersifat belas "Rahmah" kepada hamba-Nya yang Islam sahaja. Sebagai orang Islam, kita hendaklah sentiasa berusaha agar kita sentiasa beramal baik dalam kehidupan."
"Pada pendapat kamu...orang bukan Islam yang kaya raya ini akan masuk syurga atau neraka?" Seterusnya, soalan mudah saya utarakan.
"Mereka akan masuk neraka." Jawapan yang sudah diagak.
"Haa...itulah untungnya kita orang Islam. Dahlah dikurniakan kekayaan, diberikan "rahmah" pula. Betapa Allah menyayangi kita..belas kasihani akan kita. Jadi kita perlu buat apa yang Allah suruh. Jika miskin kita harus bersabar, jika kaya kita harus bersyukur. InsyaAllah kita akan dapat rahmah Allah."
"OK...Ustazah nak tanya kamu soalan seterusnya...Apakah maksud 'petunjuk'?"
"...jalan yang lurus...ihdinassiratal mustaqim"
Pelbagai jawapan di'utara selatan'kan, namun tiada satu pun jawapan yang tepat. Pada saya, jawapan tersebut sudah cukup baik, sesuai dengan tahap umur mereka-lapan tahun.
"Erm...kita semua orang Islam mahu pergi ke mana?"
"Saya nak pergi ke Kuching..." Jawab satu suara.
"Saya nak pergi ke surau." Satu suara pula menambah jawapan.
"Saya nak pergi ke Sebuyau." Kata pula Mukhlisah dengan muka yang sangat gembira. Gembira menyebut kampung halamannya.
Mukhlisah merupakan seorang murid yang sangat cepat menangkap pelajaran yang diajar. Sebuyau merupakan sebuah daerah di Kuching, tempat kelahiran ibu kepada Mukhlisah, merangkap nenek beliau.
Nampaknya murid-murid masih belum dapat menangkap kehendak soalan saya.
"Ok...macam ni...kalau kamu nak pergi ke Kuching tapi kamu ikut jalan ke Santubong...adakah kamu akan sampai ke Kuching?"
"Takkan sampai..." Lanjut jawapan diberi.
"Sekarang..kamu tengok apa yang Ustazah lukis...kamu teka ke mana kita semua nak pergi..."
Sambil saya melukis...
"Kita semua berapa orang?"
"Sembilan..."
"Sembilan???? Ustazah kamu tak hitung?" Tanya saya, berpura-pura marah.
"Sepuluh"
Saya terus melukis sepuluh orang lidi. Kemudian satu jalan yang lurus dilakari, bertuliskan amal yang baik. Di hujung jalan yang lurus itu saya lukiskan bentuk 'love'. Itu saja lambang 'syurga' yang terlintas di minda saya.
"Kamu tengok...inilah dimaksudkan dengan petunjuk. Amalan baik yang kita lakukan ini merupakan petunjuk dari Allah. Apabila amalan baik dilakukan, disertai dengan rahmah-Nya, akhirnya kita "semua" akan ke sini...Kita semua nak pergi manaaaa..." Saya ulangi lagi soalan yang dilontarkan tadi. Panjang.
"Syurgaaaa...ha ha ha..." Panjang jawapan yang diberikan, disusuli dengan gelak ketawa yang seakan tidak berkesudahan. Yang paling nyata, Mukhlisah tidak dapat menahan tawa, sehingga merah muka beliau yang putih.
Sebagai murid yang 'pintar' Mukhlisah pasti merasa sangat lucu dengan jawapan "Sebuyau, Kuching dan Surau" yang diberikan tadi. Sangat tidak logik!
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"
Ahad, 6 Mac 2011
MEREKA TIDAK BERSALAH
"Ya." Encik Abdullah menjawab sepatah.
Saya terdiam seketika sebelum menyusun ayat secantik bahasa.
"Anak kandung kah?
Encik Abdullah mengangguk, sambil tersenyum.
Alhamdulillah, soalan saya tidak memberi kesan negatif kepada perasaan beliau.
"Erm, dalam surat beranak Putra ni birbinkan Abdullah...?"
Sudah lama saya mencari jawapan kepada persoalan ini. Sebagai guru kelas saya perlu menyiasat hal sebegini kerana saya perlu mengemaskini biodata murid. Juga sebagai persediaan sekiranya perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Tiada langsung terfikir di hati untuk menjaga tepi kain orang.
Tidak!
"Oh...sebenarnya Putra memang anak kandung saya. Dulu, saya dan isteri tak dibenarkan kawin. Jadi Putra tak boleh dibinkan kepada saya."
"Oh...begitu...saya ingatkan dia anak angkat. Sebab saya tengok dalam surat beranak, anak-anak Encik semuanya dibinkan kepada nama Cik kecuali Putra..." Saya berhenti seketika, sebelum menyambung dialog seterusnya.
"...dalam surat beranak Putra, maklumat bagi ibu dan bapa distatuskan sebagai maklumat tidak diperolehi. Jadi, emak dan bapa kepada Putra ni sama orangnya dengan anak-anak yang lain ya..."
"Ya lah." Jujur Encik Abdullah membalas.
"Putra ni anak sulung kah?
"Ya, tapi dia ada abang tiri."
"Oh, gitu..."
Cukuplah di situ. Fikir saya, sekalipun jawapan yang terakhir sememangnya kelabu.
Saya hanya memerlukan maklumat yang sewajarnya yang perlu saya tahu sebagai seorang guru kelas. Selebihnya bukan keperluan, jauh sekali kehendak.
"Kesian Putra..." Hati saya berdetik.
Sebenarnya ada lagi beberapa orang lagi murid saya yang statusnya sama dengan Putra. Nama ibu dan bapa yang tertera pada surat beranak: Maklumat tidak diperolehi.
Mereka jadi mangsa.
Mangsa keadaan.
Apapun...
Mereka tidak bersalah!
Semoga hidup mereka sentiasa dalam peliharaan-Nya. Mendapat didikan yang terbaik dan berjaya di dunia, jua di akhirat. Ameen.
"Hidup Ini indah jika segalanya kerana ALLAH"
Jumaat, 18 Februari 2011
KEMBAR TIGA
Saya berteka teki pula dengan murid-murid kali ini.
Mereka tidak boleh disuap selalu. Kemahiran berfikir perlu diterapkan agar hasilnya nanti bukannya 'seorang' robot yang hanya tahu menurut kata.
Menurut perintah membabi buta.
Tidak celik akal!
Belajar, Faham dan Fikir
Sekolah bukan sekadar tempat untuk menadah ilmu semata-mata, tetapi lebih dari itu. Belajar untuk faham. Dengan kata lain belajar untuk berfikir...berfikir dan berfikir...
Ada masanya otak para pelajar perlu dipaksa untuk mencari jawapan sendiri supaya mereka sedar bahawa menuntut ilmu itu bukannya satu perkara yang mudah.
Memerlukan usaha yang jitu dan bersepadu.
Untuk mendapatkan ilmu kita hendaklah rajin menghadapi segala ujian dan halangan yang sudah sedia terbentang.
Alangkah mudahnya murid-murid sekarang menuntut ilmu. Jika begitulah keadaannya, tidak mustahil ilmu yang ditadah itu bakal terlucut dari fikiran mereka dengan pantas.
Hari itu saya mengajar bahasa arab, tajuk Fii Fasli (Dalam Kelas Saya). Saya melukis gambar beserta perkataan di bawahnya. Cuma, untuk perkataan yang kelima, iaitu yang terakhir saya berikan mereka teka teki.
Fikir sendiri, apa yang dimaksudkan dengan perkataan yang diberi. Kamus fikiran perlu dibuka, bukannya mengharapkan guru yang menjadi 'kamus yang terbuka sendiri' setiap masa.
Teka Teki Saya
"Dia ini kembar tiga. Kalau lumba lari mereka akan sama-sama laju. Tiada siapa yang kalah. Tiada siapa yang menang. Sama-sama mula, sama-sama sampai."
Murid-murid mula berfikir, ada yang menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Ada yang tersenyum mencari jawapan, ada juga yang melakar 1000 kerut di dahi. Segelintir murid yang lain pula 'relax' sahaja. Menunggu jawapan terhidang di depan mata.
Bermacam-macam jawapan diberi oleh mereka. Bermacam-macam juga 'klu' diberi oleh guru bahasa arab mereka. Namun jawapan yang tepat tidak mendatang jua.
Kelas menjadi kecoh seketika. Tidak mengapa. Kecoh kerana zikir dan fikir, bukannya membising tanpa arah tujuan.
Setelah lama memberi masa untuk mereka berfikir...
"Erm, tolong tutup kipas..." Arah saya kepada murid yang berada berhampiran dengan suis.
"Alah ustazah...panaslah..." Saya sudah agak ini respon mereka.
"Ok...Afiq...'on' semula kipas tu..."
Jawapannya...
"Oooo...kipas jawapannya kan ustazah..." Jawab beberapa orang murid.
Baru mereka sedar kelogikan guru mereka menutup kipas yang sedang berpusing riang sebentar tadi.
"Haa... itulah jawapannya..."
"Betulkan ustazah cakap...mereka ini si kembar tiga. Sentiasa bersama-sama.
Kerjasama
"Sama juga dengan kita. Kamu semua mesti sentiasa bekerjasama dengan guru yang mengajar kamu." Saya berhenti seketika melihat reaksi anak-anak didik saya.
"Kalau ustazah sahaja yang rajin, tapi kamu semua malas boleh tak kita belajar?"
"Tak..." Murid-murid menjawab serentak.
"Ok...kalau kamu...murid-murid sahaja yang rajin tapi guru malas mengajar. Boleh tak kamu belajar...". Saya membelit soalan yang sama.
"Tidak boleh..." Semakin nyaring suara mereka menjawab dan menjerit.
"Erm...kalau ustazah datang ke sekolah malam ni, kemudian ustazah mengajar sorang-sorang, kamu tak ada. Boleh tak berlaku proses pengajaran?"
"Tidak boleh...." Mereka menjawab sambil tersenyum.
Di fikiran mereka mungkin terbayang-bayang seorang guru mengajar tanpa murid.Lucu barangkali.
" Kalau macam tu, apa yang perlu kita buat ialah..." Saya berhenti seketika.
" ...kita hendaklah bekerjasama...apa yang penting kerjasama..." Saya mengulas lagi, mengikut rentak lagu Wonderpets.
"Kita semua kena bekerjasama. Ustazah mengajar, murid-murid belajar. Barulah semua akan jadi pandai. Macam kipas tadi juga. Sekali ditekan suis, semuanya sama-sama berpusing...Mana mungkin satu bilah atau dua bilah sahaja berpusing."
Entah betul atau tidak analogi yang saya berikan. Tetapi itulah idea yang menjengah tanpa dipinta. Saya berharap mereka faham dan fikir apa yang saya sampaikan.
"Kringgg...."Loceng berbunyi nyaring.
"Opps...nanti kita sambung ye..." Ujar saya.
Setelah menyambut ucapan syukur dari murid-murid, saya bergegas keluar untuk menyambung tugas seterusnya pada hari tersebut.
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"
Selasa, 15 Februari 2011
MAULID: ANTARA SEJARAH DAN AMALAN
Pada tahun ini tugas saya lebih berat berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Saya telah diamanahkan untuk mengajar Bahasa Arab untuk 10 kelas. Belum lagi diganda dengan tugas-tugas sampingan lain.
Oleh kerana saya mengajar sesi petang, maka masa luang yang ada hanya dapat diperuntukkan untuk solat semata. Baki masa yang 'seciput' pula digunakan untuk menyelesaikan kerja sampingan lain yang tidak pernah surut.
Saya turut diamanahkan sebagai guru kelas tahun satu. Bila menjadi guru kelas tahun satu, segala-galanya mesti di bahu guru. Murid yang baru berumur 7 tahun...masih banyak perkara yang perlu dilatihtubi. InsyaAllah diriku akan berusaha menjadi pendidik yang sebaik mungkin wahai anak-anak didikku. Doaku, moga kalian akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Ameen.
Oh, saya sudah melalut jauh. Sebenarnya saya ingin berkongsi artikel yang dipetik dari Minda Tajdid. Semoga artikel ini dapat menjadikan kita sebagai seorang yang faham, bukannya taqlid semata-mata. Selamat membaca wahai sahabat yang dihormati semua.
Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya. Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w.
Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.
Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.
Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.
Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?
Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya. Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.
Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri.
Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.
Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.
Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:
“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).
Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:
“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).
Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.
Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:
“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).
Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut:
“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.
Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:
“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).
Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"
Ahad, 16 Januari 2011
RAGAM BALQIS
"Saya tak nak duduk kat depan." Kata Balqis, seorang murid tahun 1.
"Kenapa ni cik?" Tanya saya kepada bapa Balqis.
"Anak saya tak nak masuk kelas sebab kawannya belum datang." Bapa kepada murid yang bernama Balqis memberitahu.
"Kalau macam tu tunggu ajelah kawannya." Balas saya.
Dua minggu sudah berlalu musim persekolahan untuk sesi 2011. Namun masih ada murid-murid tahun satu yang tidak yakin pada diri sendiri untuk ditinggalkan bersama rakan-rakan di sekolah.
"Dah sampai kawannya cikgu." Bapa Balqis memberitahu.
"Ok, masuk ke kelas ye Balqis." Balqis masuk ke kelas selepas berulangkali bersalaman, berpelukan serta berbisik-bisik dengan bapanya. Rela dalam paksa, dilepaskan jua bapanya pulang.
"Balqis, duduk kat depan ye." Kata saya, mengharap agar Balqis duduk di atas tikar yang dibentangkan di hadapan kelas.
Namun Balqis masih membatu, sambil menggeleng-gelengkan kepala. Beliau menunjukkan ke arah kerusi, mengisyaratkan bahawa dia hanya mahu duduk di kerusi itu.
"Duduk kat depanlah. Boleh belajar bersama kawan-kawan. Jom...." Saya masih tidak putus asa . Cuba memujuk.
Balqis menggeleng-gelengkan kepalanya. Masih enggan.
Otak saya ligat berjalan, masih mencari idea.
"Erm, kalau Balqis tak nak duduk kat depan, ustazah kena duduk kat luar la ye..." Sekadar menjentik emosinya, saya bersuara.
Balqis lalu menanggalkan kasut, terus duduk bersama-sama rakan sekelas. Pembelajaran bermula dan berakhir dengan lancar. Alhamdulillah.
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya kerana Allah"
Sabtu, 23 Oktober 2010
DI MANAKAH SILAPNYA?
Pada hari Khamis, tiga buah kelas hujung perlu saya masuk. Menghadapi pelbagai kerenah dari kelas-kelas ini kekadang membuatkan hati berkecamuk dengan pelbagai rasa. Bukan sekadar tiga rasa, tetapi pelbagai rasa.
Tahun 2
Masa pertama kelas tahun dua saya masuk, kelas umpama tempat pembuangan sampah. Semangat yang tinggi untuk memulakan tugas boleh menurun begitu sahaja. Jika pening kepala, maka makin bertambahlah pening.
Boleh dikatakan setiap masa, ketika saya berada di kelas ini, saya akan berpesan kepada murid-murid.
"Pastikan kelas bersih bila ustazah masuk."
Tetapi kelas tetap begitu. Bersepah- sepah macam sarang tikus. Belum lagi dicampur dengan bau yang begitu menyesakkan nafas.
"Kamu semua ni tikus ke?"
"Tak..." Pandai pula mereka menjawab.
"Boleh ke belajar kalau kelas kotor?"
"Tak boleh..."
"Kalau macam tu bersihkan kelas sekarang. Kalau sesiapa tempatnya ada sampah, ustazah ambik, kemudian masukkan dalam mulut kamu."
Cepat-cepat mereka membersihkan tempat masing-masing. Entah, apa nak jadi dengan mereka. Sekali ditekan suisnya, sekali berfungsi. Umpama robot.
Gurukah yang bersalah..atau salah ibu yang mengandung?
Tahun 3
Ini pula kelas hujung yang perlu saya masuk sebelum waktu rehat. Kebanyakan murid dari kelas ini teramat malas, terutama anak-anak Melayu Islam. Sering sahaja saya terfikir tentang sebab musababnya. Di manakah silapnya?
"Shafiqi...kenapa tak tulis, mana buku kamu?"
"Tak ada..." Jawab Shafiqi dengan suara yang tinggi, bersahaja dan ceria yang amat. Kepala didongakkan, manakala dua tangannya diangkat tinggi mengisyaratkan bahawa dia tiada buku.
Berbeza betul dengan keadaan saya sewaktu di alam persekolahan dahulu. Tidak berani mengangkat muka jika terlupa membawa buku. Berbaur perasaan tiga rasa. Rasa bersalah, takut disertai rasa hormat terhadap guru begitu tinggi sekali.
Dari awal tahun ke akhir tahun, itulah jawapan Shafiqi. Langsung tiada perubahan. Dia bukannya murid miskin, yang perlu saya bantu kewangannya untuk dibelikan buku.
"Ustazah!!!! Saya dah siapkan kerja rumah yang ustazah suruh..." Laung Breanady, dari tingkap kelas sambil melambai gembira dan ceria kepada saya.
Breanady merupakan murid iban. Dia bukannya murid cemerlang, bukan juga dari aras sederhana tetapi dari kategori murid aras satu-murid yang lemah. Namun, Breanady murid yang rajin. Setiap kerja Bahasa Arab yang saya berikan seringkali dia berjaya siapkan pada waktu yang ditetapkan.
"Jangan bimbang jika kamu tak pandai... yang penting kamu rajin. Kamu akan jadi pandai kalau kamu rajin. Tapi, kalau kita malas, kita tak akan ke mana..mereka yang pandai pun akan jadi bodoh. Esok-esok kalau dah habis sekolah, ibubapa dah tua siapa nak beri makan kat mereka? Kita nak makan apa? Siapa nak bagi kerja kat kita kalau kita tak tahu baca dan tulis?"
Nasihat ini sering saya titipkan buat anak-anak didik saya, terutama murid-murid dari kelas hujung. Breanady antara murid yang makan nasihat saya, manakala Shafiqi hanya memandang nasihat guru itu bagaikan angin yang menderu sekali lalu sahaja.
Di mana silapnya? Gurukah yang bersalah..atau salah ibu yang mengandung?
Tahun 1
Setiap hari Khamis, jadual waktu mewajibkan saya mengajar di kelas ini pada pukul 5.30 petang. Kelas akan berakhir pada pukul 6.00 petang.
Dengan keadaan kelas dan murid yang pastinya tidak kondusif lagi dari semua sudut, peranan guru amat penting di hujung waktu begini. Murid-murid sudah kehilangan mood kerana menantikan loceng mengeluarkan suaranya yang paling nyaring dan merdu di telinga setiap murid dan guru.
Guru pula sudah diuji dengan pelbagai rencam yang ada. Aroma yang tidak menyenangkan berselang seli datang mengganggu, namun semua itu tidak mematahkan semangat guru untuk terus mencurah ilmu.
"Kenapa awak lintang pukang ni...melompat-lompat atas meja...Anis, Ratifa, Davis...kalau kamu terjatuh...luka berdarah...patah riuk... macamana?" Terdiam sahaja mereka bertiga. Ini hanya mereka bertiga yang dapat saya tangkap, yang di 'sebalik arasy' entah-entah lebih dahsyat dari mereka bertiga.
Mereka bertiga ini kalau di hadapan saya bukan main tunduk, di belakang ya Allah hanya Tuhan yang Maha Tahu.
Di mana silapnya? Gurukah yang bersalah..atau salah ibu yang mengandung?
"Ya Allah ya Tuhanku, aku amat memerlukan bantuan-Mu, aku amat memerlukan petunjuk-Mu dalam mendidik anak-anak ini agar mereka mampu menjadi khalifah-Mu. Khalifah yang memakmurkan bumi ini dengan secukup rasa...ilmu...iman dan amal."
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"
Khamis, 14 Oktober 2010
SHIKIN OH SHIKIN!
"Siapa yang minta duit? Beritahu ustazah..." Saya cukup pantang jika ada murid senior membuli atau meminta duit dari murid junior.
Murid tersebut lalu membawa saya ke arah dua orang murid yang dimaksudkan. Hafizan dan Jefri.
Shikin Lagi...
"Fatihah, kenapa menangis ni..." Selesai mengaminkan doa, saya dapati mata Fatihah iaitu murid dari tahun 2 Cemerlang, merah kesan dari tangisan.
"Shikin curi duit saya, ustazah...".
"Shikin lagi...tak habis-habis dengan kisah yang satu ini." Bisik hati saya.
"Shikin...Fatihah...datang ke meja ustazah..."
Tidak dapatlah saya mengajar hari ini. Terpaksa memegang jawatan sebagai 'Pegawai Penyiasat' pula. Begitulah tugas seorang guru yang dianggap kebanyakan orang kerja yang sangat senang dan 'relaks'. Hanya mengajar.
Soal Siasat
"Betul ke Syikin 'ambil' duit Fatihah?" Soal siasat bermula...
"Tak...itu duit saya...bapa saya yang bagi." Soalan dijawab dengan begitu tenang.
"Berapa ringgit bapa Shikin bagi?" Saya dan Shikin terus bersoal jawab.
"Seringgit."
"Dah guna belum duit yang bapa bagi"
"Dah...'pakai' beli 'warna'.
"Berapa harga 'warna'?
"Lima puluh sen..."
"Maknanya tinggal lagi 50 sen la kan...Kenapa kat tangan Shikin ada RM1.50? Shikin diam. Mencari akal.
"Erm... nanti saya tanya Faizah. Saya suruh dia yang belikan warna" Jawab Shikin.
Saya menunggu Shikin selesaikan urusannya dengan Faizah. Sambil itu, otak saya terus ligat berfikir cara untuk memerangkap Shikin. Saya yakin Shikin memang terlibat. Sudah beberapa kali murid ini terlepas dari ditangkap berikutan tabiat 'tangannya yang panjang' itu.
Tiada bukti yang cukup. Lagipun akalnya sangat panjang. Pernah sekali dia tertangkap kerana mengambil alat make up seorang guru. Berani sungguh dia menyelongkar beg tangan guru tersebut.
"Ustazah.."
"Aaa...Shikin? Mana warna yang Shikin beli tu?"
"Faizah kata 'warna' yang dipesan tu belum ada..."
"Erm...cuba Shikin terus terang dengan ustazah...duit seringgit ni siapa punya..."
"Saya punya lah ustazah, bapa saya yang bagi...". Ah, Shikin masih terus berkeras.
"Tadi Shikin beritahu ustazah, bapa bagi seringgit...50 sen dah diguna untuk beli warna...macamana pula di tangan Shikin boleh ada RM1.50. Sepatutnya duit Shikin hanya berbaki 50 sen." Saya cuba memberi faham kepadanya.
"Betul ustazah, ini duit saya...bapa saya yang bagi." Hatinya tetap membatu. Shikin tetap tidak mengaku salah. Fakta yang saya kemukakan langsung tidak melekat di hati.
"Ah..budak ini...menipu pun tidak pandai..." Desis hati saya.
"Shikin tahu tak...kalau kita mencuri Allah akan marah...Orang yang mencuri akan dipotong tangannya. Shikin tahu kan...? Saya cuba lagi. Mendekati hati Shikin.
Shikin mengangguk faham, namun mengaku salah tidak sesekali.
"Ok...macam ni Shikin.Kalau Shikin mengaku, ustazah akan hadiahkan Shikin duit seringgit. Ustazah tak akan marah...tapi, kalau Shikin masih tidak mengaku, ustazah terpaksa hantar Shikin pada Cikgu R... Penyelia Petang."Saya cuba berdiplomasi. Saya tahu murid yang bernama Shikin ini mahukan duit seringgit itu.
"Macamana Shikin...betul Shikin ambil duit Fatihah?" Saya menyambung kata.
Shikin diam. Akhirnya, setelah di'basuh' berulangkali, baharulah dia mengangguk. Mengaku kesalahan diri.
Salah Faham
"Siapa yang minta duit?" Tanya saya kepada Jefri, salah seorang murid dari tahun 2 Cemerlang.
"Hafizan..." Jari telunjuknya dituding kepada Hafizan, rakan sekelas yang tersengih panjang.
"Oh...". Saya tergelak kecil. Sempat juga Jefri dan Hafizan mengenakan saya.
Baru saya teringat, selepas menyelesaikan masalah Shikin, saya sempat berpesan kepada murid-murid agar tidak mencuri. Minta sahaja duit dengan saya jika dalam kesempitan. Pandai sungguh mereka berdua berlelucon. Saya tersenyum sendiri.
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah."
Ahad, 16 Mei 2010
SELAMAT HARI GURU...
..Selamat hari guru kepada anda semua. Semoga anda menjadi pendidik yang dedikasi, penuh kesabaran, kreatif, inovatif dan prihatin. Percayalah, tanpa anda pendidik dunia ini takkan maju dan ceria.
Bila dia marah-marah kau kata dia melampau
Kini...kau adalah dia.
SELAMAT HARI GURU
Guru sering dihina, dicaci demi membela nasib anak bangsa yang semakin terabai di Sekolah....Namun kerjaya guru tetap digagahi jua demi kejayaan anak bangsa. Kadang-kadang sedih jua mengapa ada insan yang sanggup mencaci perjuangan guru. Ketahui di hati guru penuh dengan bisikan. MURID DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN. Selamat hari guru untuk rakan semua.
Ayah cakap CIKGU macam D'SEEKERS, menakutkan...
Atuk cakap CIKGU macam ASTRO, macam-macam ada...
Tapi...saya cakap CIKGU macam L'OREAL kerana dirimu begitu berharga!
SELAMAT HARI GURU... Guru Pembina Negara Bangsa
Jadilah seorang guru yang hadirnya diTUNGGU, hilang diRINDU, ilmunya diBURU, nasihatnya diSERU,tingkahlakunya diTIRU...SELAMAT HARI GURU.
Terima kasih jua atas ucapan rakan-rakan di laman 'facebook'. Begitu juga dengan rakan-rakan 'blogger' khususnya Kak Ani, Ustaz Abd. Razak, Kak Werdah Segala ingatan dan ucapan kalian didahului dengan ucapan terima kasih. Semoga kita semua berada dalam rahmat-Nya selalu. Ameen.
Selamat Hari Guru buat semua para pendidik...Guru Pembina Negara Bangsa...
Sekian, moga ada manfaat...
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"
Rabu, 30 Disember 2009
MATLAMAT TIDAK MENGHALALKAN CARA
"Erm, Kak Ros.. bila balik cuti raya?" Tanya Maidah (bukan nama sebenar).
"Hari Jumaat." Saya menjawab.
"Lewatnya...?".
"Saya mintak CRK (Cuti Rehat Khas) dengan bos hari Khamis tapi disuruhnya saya ambil cuti sakit. Patut ke macam tu. Saya tanya bos boleh ke ambik cuti sakit kalau kita sihat. Nantikan tak berkat pulak. Bos kata Itu saja cara yang halal. Malas la saya bercerita panjang. Pendek cerita balik je la hari Jumaat tu." Ulas saya.
"Awak pulak balik hari apa?" Soal saya.
"Rabu." Jawab Maidah sepatah dengan riak muka yang sudah berubah.
Saya sebenarnya tidak berniat pun nak menyindirnya. Sebelum ni saya langsung tak tahu yang Maidah akan balik pada hari Rabu. Memang terkejut jugak mendengar jawapannya. Tapi saya buat-buat tak tahu, bimbang juga ada hati yang terasa. Dalam berhati-hati ada hati yang disakiti. Dalam berjaga-jaga ada juga hati yang terasa.
Saya memberitahu perkara yang benar supaya dapat sama-sama menilai atau bermuhasabah dengan amalan yang kita lakukan. Tidak boleh mengikut kata hati semata. Saya faham Maidah merindui suami yang jauh di Semenanjung. Mereka merupakan pasangan jarak jauh (PJJ). Terpisah kerana kerjaya.
Apakah alasan itu membolehkan kita mengambil cuti sakit? Meninggalkan anak didik yang dipertanggung jawabkan untuk diisi ruh mereka dengan ilmu, ilmu agama tentunya. Tidakkah kita berfikir di 'sana' nanti anak-anak didik ini akan menuntut kembali masa yang di'curi' oleh guru tadi? Bukankah setiap duit yang kita hitung setiap hujung bulan itu hasil daripada tugas kita sebagai 'ibu didik'?
Saya selalu berbincang santai dengan Maidah tentang hal ini. Tetapi sifatnya yang sangat sensitif menyebabkan perbincangan tersebut tidak sampai ke mana. Jawapannya entah apa-apa. "Alah...saya bukan pernah ambil ‘sick leave’ pun...cuti saya halal lah."Itu antara jawapan yang diberi..
Alasan tidak pernah ambil ‘cuti sakit’ menghalalkan ‘cuti sakit’ untuk balik kampung lebih awal langsung tidak masuk akal.
Adakah bercuti terlebih awal tanpa sebab musabab yang relevan dan meninggalkan amanah yang wajib itu dihalalkan apabila cuti sakit tidak pernah diambil sepanjang tahun.Kalau sekali ok lagi,tapi kalau berkali-kali macamana pula. Tentu lah k.o.
Apakah Allah redha jika kita meninggalkan yang wajib untuk melaksanakan yang sunat?
Solat 5 waktu culas, tapi solat sunat diutamakan. Tidak berpuasa di bulan Ramadhan tapi berpuasa 6 hari di bulan Syawal...Sama-sama kita fikirkan.
Salah Faham Tentang Konsep Ibadah
Meninggalkan yang wajib berdosa.
Meninggalkan yang sunat tak dapat apa-apa.
Kalau kita melakukan yang sunat kita akan dapat pahala.
Tetapi yang wajib tetap perlu diutamakan.
Kita mungkin terlepas pandang tentang maksud frasa-frasa ini. Kita mungkin menganggap hukum tersebut hanya digunapakai untuk ibadat yang bersifat khusus sahaja seperti solat,puasa dan mengerjakan haji. Ada yang berpendapat ruang lingkup politik, urusan jual beli dan urusan nikah kahwin bukan gelanggang ibadat.
Sebab itulah terdapat di kalangan para isteri merungut kerana tidak dapat menunaikan solat tarawih setelah berkahwin.
" Rugi rasanya bila dah kawin ni. Nak gi masjid solat terawih pun tak berpeluang." Rungut Ijan kawan saya. "Ingat masa bujang dulu-dulu..meriah... Terasa ruh Ramadhan." Sambung Ijan lagi.
"Eh, jangan cakap macam tu. Tak baik. Awak jaga anak kat rumah pun dapat pahala terawih jugak tau. Jaga anak sebab suami pergi terawih. Untung. Dah la dapat pahala bila jaga anak, pahala suami berterawih pun dapat jugak" Saya cuba membuka mata hatinya agar tidak tersalah erti mengenai ruang lingkup ibadat.
"Ibadat ni kan luas. Awak kawin pun dikira ibadah. Jaga anak-anak pun ibadah." Ijan hanya diam mendengar kata-kata saya. Berfikir barangkali
.
Bekerja Satu Ibadah
Bekerja satu ibadah. Bekerja untuk menyara ibubapa, bekerja untuk menyara anak isteri. Bekerja untuk melangsaikan hutang MARA, PTPTN, JPA. Itu semua ibadah selagi niat bekerja selaras dengan tuntutan Islam dan ikhlas kerana-Nya.
Tapi awas...matlamat tidak menghalalkan cara. Oleh itu, perompak, peragut, pengedar dadah bukan satu perkerjaan dalam lingkungan ibadah. Walaupun niat mereka untuk kebaikan tapi cara mencari rezeki tetap bertentangan dengan syariat. Matlamat tidak menghalalkan cara.
Begitulah juga alasan ‘tidak pernah bercuti sakit’ untuk menghalalkan ‘cuti sakit’ tanpa memikirkan amanah wajib ditinggalkan sesuka hati. Bersediakah kita untuk dipotong gaji ‘cuti sakit’ tersebut? Tepuk dada tanya iman.
Setiap orang mempunyai masalah masing-masing. Jangan kerana masalah peribadi, amanah yang dipikul dipandang sebelah mata. Yang sunat didahulukan, yang wajib dikemudiankan. Apakah betul tatacara itu. Jawapannya sudah jelas, bukan?
“Alah…tak kena pada awak, senang lah cakap.” Itu jawapan yang diberi. Jawapan yang bukan jawapan.
Bagaimanakah dikatakan bekerja itu satu ibadah?
Selagi niat itu baik dan kena caranya selagi itulah kerja kita diklasifikasikan sebagai ibadah. Rasululullah (S.A.W) telah bersabda yang bermaksud:
‘Sesungguhnya setiap amalan tergantung niatnya, dan setiap orang akan mendapat balasan amal sesuai dengan niatnya. Barangsiapa yang berhijrah hanya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu menuju Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa hijrahnya karena dunia yang ia harapkan atau kerana wanita yang ia nikahi, maka hijrahnya itu menuju yang ia niatkan’” (HR. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah (S.A.W) menjelaskan bahawa amalan atau perbuatan yang dimaksudkan ialah adalah amalan yang dibenarkan syariat. Amalan yang dilarang syariat dengan dalih niatnya benar. Misalnyaseorang suami bekerja sebagai pencuri berdalih “Niat saya kan baik, nak beri makan isteri dan anak-anak”
Hadith ini juga menginterpretasikan tentang hijrah, Asal kata hijrah adalah meninggalkan wilayah syirik dan berpindah ke wilayah Islam. Dalam kata lain, hijrah juga bermaksud meninggalkan perkara yang melalaikan, lantas kembali kepada ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Kembali kepada Allah dan rasul-Nya.
Sebagai pekerja, lazimilah dengan sikap amanah. Ketepikan kepentingan peribadi. Teruskan istiqamah dalam taklifat dengan meraikan al-Qur’an dan al-Sunnah. Dua bibliografi yang tidak boleh dibiarkan sepi. Semoga hidup kita jua terus sejahtera dalam menegakkan syiar-Nya.
Sama-sama kita meraikan 1431H dengan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya, Akhir bicara, walau mungkin telah terlewat…Salam Ma’al Hijrah 1431H buat semua
.
Posting: 30.12.2009 12.21 p.m