6 Tahun
Saya mula menuntut ilmu secara rasmi ketika berusia 6 tahun. Alhamdulillah, dalam kepayahan dan kesusahan menghadapi keperitan hidup, emak dan ayah berusaha gigih bagi memberi peluang kepada saya untuk mengenali sekolah pertama iaitu tabika KEMAS. Ketika itu saya merupakan anak kelima dari lapan adik beradik. Saya bersyukur kerana berpeluang menghirup seteguk ilmu di situ.
Walau ketika itu pelajaran banyak menekankan kepada melukis, mewarna, bermain selain serba sedikit mengenai huruf ABC dan nombor 123, saya merasa sangat seronok. Guru rasmi pertama saya adalah Cikgu Kelsom.
Saya tidak tahu sama ada beliau masih hidup atau sudah dijemput Tuhan. Di mana pun beliau berada sekarang, saya tetap mendoakan kesejahteraan beliau. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa melingkungi hidup beliau. Ameen ya Rabbal Alameen.
Tiada kata seindah bahasa yang mampu saya ucapkan buat cikgu melainkan...Terima kasih cikgu.
7 Tahun
Bertambah satu tahun usia, saya mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal (SKBT). Masih segar dalam ingatan, perahu tambang menjadi pengangkutan utama ke sekolah pada masa itu. Selepas itu saya dan rakan-rakan sekampung akan berjalan kaki pula untuk sampai ke sekolah. Tidak kurang 30 minit kami berjalan untuk sampai ke sekolah.
Kampung saya bukannya terletak di pedalaman, tetapi disebabkan laluan darat yang menghubungkan antara sekolah saya dengan kampung sangat jauh maka gabungan jalan sungai serta darat menjadi alternatif. Sekolah yang lebih dekat tanpa menggunakan laluan air pula bukannya tiada, tapi kata emak apabila ditanya kenapa tidak hantar kami adik beradik ke sekolah itu. "SKBT lagi bagus. Yurannya pun murah.
Budak-budak pun pandai-pandai."
Cikgu Hajah Puri merupakan guru kelas ketika saya di tahun 1. Guru ini banyak memberi nilai tambah kepada saya dalam mengenali huruf dan nombor secara terperinci. Walau di mana diri cikgu berada, keberkatan hidup cikgu sentiasa dalam dalam doa saya.
Terima kasih cikgu.
Tahun 2
"Ini Ros... A.Hamid kan?" Tegur Cikgu Ghazali Cik Umar ketika saya selesai
membeli dan
membelah di Pekan Batu Enam (nama rasminya Batu 8).
Pekan ini letaknya tidak jauh dari kampung saya. Bila balik Terengganu, saya pasti akan jejaki pekan ini. Banyak kuih tradisional negeri yang menjadi kegemaran saya dijual di pekan tersebut.
"Ya..."saya mengangguk. Terpana seketika.
"Kat mana sekarang?"
"UKM..." Tutur saya sepatah.
Saya terkejut sebenarnya, guru yang mengajar Bahasa Inggeris atau Matematik (saya sudah lupa) ketika saya berusia 8 tahun itu masih mengenali saya. Sedangkan telah lama saya meninggalkan usia semuda itu.
Masih kejap di ingatan, pujian beliau ketika pertama kali saya mengenakan tudung, iaitu seawal usia 8 tahun. Tidak saya nafikan menerima pujian ketika umur masih mentah berupaya mengembangkan hati saya. Hakikatnya, saya masih belum memahami falsafah sebenar menutup aurat ketika seusia itu.
"Cikgu, saya bukan pakai tudung kerana menyahut seruan menutup aurat. Tapi, saya pakai tudung sebab nak tutup bengkak yang tumbuh di leher." Ingin sahaja saya khabarkan ungkapan ini cikgu. Namun kata-kata itu terlekat di halkum. Tidak mampu diluahkan.
"Cikgu, kata-kata itu satu doa. Mungkin juga pujian ikhlas dari
mulut masin cikgu
menjadi salah satu sebab Allah campakkan hidayah-Nya kepada saya. Alhamdulillah, kini saya telah menutup aurat mengikut saranan al-Qur'an dan al-Hadith. Walau mungkin masih ada yang lompang, InsyaAllah saya akan pastikan agar keadaan saya hari ini akan menjadi lebih baik dari semalam. "Doakan saya ye cikgu..."
Saya masih dambakan doa cikgu. Semoga keikhlasan cikgu dalam mendidik saya mendapat barakah dan rahmat-Nya selalu.Ameen.
Terima kasih, cikgu.
Tahun 6
"...saya sempat berpaut pada serpihan-serpihan sampan..."
Saya masih ingat, merah telinga saya ketika guru kelas tahun 6 Mawar iaitu Cikgu Mohamad Sulong membaca hasil tulisan saya di hadapan kelas. Gembiranya hati bukan kepalang. Antara karangan terbaik yang diulang baca. Saya juga diminta membaca karangan itu di hadapan kelas.
"Cikgu, saya menulis karangan itu hasil dari pembacaan saya dari sebuah buku rujukan. Kalau tak silap, buku Bahasa Malaysia tingkatan tiga. Karangan itu menggambarkan tentang peristiwa yang berlaku di kampung saya, iaitu kampung Tanjung Bunut. Peristiwa sampan terbalik di langgar bot penambang. Walaupun bukan saya yang mengalaminya, peristiwa itu telah bergabung jalin dengan terhasilnya karangan bertajuk "Pengalaman Yang Tidak Dapat Dilupakan."
"Cikgu, saya tahu selautan terima kasih tidak mampu membalas budi cikgu mendidik saya. Kini saya telah berjaya. Ya, bermula dengan kejayaan mendapat 4A dalam UPSR atas dorongan dan semangat yang cikgu hulurkan. Saya selalu mengenang cikgu. Walau tidak secemerlang rakan-rakan sekelas lain yang mampu menggenggam 5A, saya tetap berpuas hati dengan kejayaan itu. Kejayaan pertama bagi memangkin kejayaan-kejayaan yang seterusnya."
Semoga cikgu sentiasa dalam redha Ilahi. Terima kasih cikgu.
Tingkatan 5 (I)
"Ros....., nanti awak nak pergi ke asrama naik apa?" Tanya Ustazah Salina suatu hari.
Ustazah Salina merupakan guru kelas ketika saya di Tingkatan 5. Lokasi di Sekolah Menengah Agama Khairiah Kuala Terengganu (SMAKH).
"Naik bas rasanya..." Jawab saya.
"Nanti saya ambik awak."
Ya Allah, saya sangat terharu menerima tawaran yang sangat istimewa itu. Ustazah Salina seorang guru yang sangat empati.
Saya masih ingat kenangan ketika sama-sama membimbit beg besar dengan beliau. Beg itu dipinjamkan oleh beliau untuk saya gunakan ke asrama. Saya perlu menginap di asrama sepanjang tempoh menghadapi peperiksaan SPM. Jarak rumah yang jauh ke sekolah tidak memungkinkan saya berulang alik ke sekolah, apatah lagi dalam keadaan menghadapi peperiksaan yang sangat penting.
Ustazah Salina dengan bermurah hati menjemput saya di rumah, lalu menghantar saya ke asrama dengan menaiki kereta beliau. Beliau faham situasi keluarga saya yang terhimpit dengan kemiskinan. Ayah hanya berbasikal. Tiada motorsikal, apatah lagi kereta. Jika tidak, mungkin juga saya menaiki bas. Oh, tidak dapat saya bayangkan seorang pelajar yang bertubuh kecil terhuyung-hayang mengangkat beg yang sangat berat.
Budi ustazah yang satu itu menjadi sumber inspirasi kepada saya untuk menekuni amanah sebagai seorang guru yang empati ...Terima kasih cikgu.
Tingkatan 5 (II)
"Cikgu, boleh tak saya nak suruh cikgu ajar saya latihan ni...saya tak faham..." Kata seorang pelajar dari tingatan 5.
Situasi ini juga berlaku di Sekolah Menengah Agama Khairiah. Sekolah yang banyak memberi kenangan indah dalam hidup pelajar tersebut. Ilmu agama yang ditimba, apatah lagi. Tidak dinafikan, sangat membina rohani.
"Nak apa...cakap sekali lagi..." Balas Cikgu Rohani, guru matapelajaran Bahasa Inggeris. Orangnya sangat cantik, tinggi lampai, lembut berbahasa.
"Saya nak suruh cikgu ajar saya subjek BI ni, tak berapa faham..." Pelajar itu mengulang kata, sambil menunjukkan latihan-latihan BI yang tidak difahami.
Cikgu Rohani memegang bahu pelajar tersebut sambil tersenyum mesra. Dengan suara yang lembut dan lunak, beliau membisikkan kata di telinga pelajar yang bertubuh kecil itu. "Tak boleh cakap macam tu. Kena cakap macam ini...Cikgu, boleh tak tolong ajar saya latihan ini..."
Pelajar itu tunduk, menekur lantai. Sedar akan kesilapan berbahasa. Lalu memohon maaf atas kekhilafan yang terlahir.
Pelajar itu adalah saya. Kini saya sudah menjadi guru. Sudah 17 tahun peristiwa itu berlalu, walau dialog itu nampak biasa-biasa saja tapi penuh berisi. Sehingga ke hari ini dialog itu masih segar melekat di hati. Kata-kata itu telah mengajar saya erti budi.
Terima kasih cikgu...budimu guru ku sanjung tinggi.
Kini...
Ketika memasuki kelas 3 Cemerlang, seorang murid bersuara. "Ustazah...ambik kertas itu." Nazrul selaku ketua kelas, seakan-akan mengarah saya. Saya mengerti beliau tidak bermaksud mengarah, sebaliknya memohon pertongan kerana ketinggian beliau tidak memungkinkan beliau menggapai kertas yang tergantung itu.
Giliran saya pula membisikkan ke telinga beliau. " Nazrul...cakap macam ini, Ustazah... minta tolong tanggalkan kertas itu." Nazrul murid yang mendengar kata akur dengan teguran saya. Ah, saya tersenyum sendiri.
Hanya Doa Mampu Dititipkan...
Sebenarnya ramai lagi insan-insan yang bergelar guru menitipkan jasa beliau kepada saya. Jika saya hamparkan semua jasa mereka di laman ini, rasanya tidak cukup dengan hanya satu episod. Cukuplah beberapa kenangan, bagi menyemarakkan lagi usaha saya menyambung legasi
beliau-beliau yang menjadi
asbab kejayaan saya hari ini.
Bermula dari tabika, SKBT, SMAKH, KUSZA (kini dikenali sebagai UNISZA), UKM dan IPBL (Institut Perguruan Batu Lintang) Kuching, saya akhirnya menjadi manusia seperti hari ini. Saya sedar masih banyak lompang yang perlu ditampung. Masih banyak amanah yang tidak tertunai. InsyaAllah amanah ini akan tetap diteruskan berkat doa restu kalian...wahai para guru...
Guruku...aku masih dambakan doa dari kalian...
Ya Allah ya Tuhanku
Aku mohon pada-Mu...
Berkatilah perjalanan hidup guru-guruku
Suluhilah hidup mereka dengan keimanan
Kurniakanlah mereka dengan kejayaan yang berkekalan...
di sini, jua di sana....
Ya Allah ya Tuhanku
Aku mohon pada-Mu
Tunjukkanlah aku jalan yang lurus
Jalan yang sepatutnya aku ikuti
Dalam mendidik anak-anak didikku
Engkau berikanlah aku petunjuk dan inayah-Mu
Agar aku tidak tersalah jalan dalam membawa arah mereka
mengenali diri-Mu
mengenali para nabi-Mu
mengenali kitab al-Qur'an-Mu
Ya Allah ya Tuhan-Ku...
Aku amat mengharapkan ampunan-Mu
Andai langkah yang diatur selama ini
tidak berjalan atas landasan-Mu...
Maka pimpinlah aku...
Buat anak-anak didikku ...
Yakinlah,
Tiada harta yang paling berharga selain ilmu yang dimanfaatkan
Setinggi manapun kejayaanmu nanti
Usah dilupa Rabbul 'Izzati...Peganglah Dia di hati...
Wahai anak-anak didikku
Doaku tetap mengiringi perjalanan hidup kalian...
Maafkan aku andai ada khilaf yang melata sepanjang tarbiyah yang dihulurkan
Halalkanlah segala yang pincang dan tempang
Jika ada yang baik datang dariku, jadikanlah teladan
Mana yang buruk jadikan sempadan....
Doa untuk kalian tak bisa kulupakan...
Moga kalian kan menjadi insan soleh lagi musleh...Ameen.