Showing posts with label kerjaya. Show all posts
Showing posts with label kerjaya. Show all posts

Friday, July 3, 2020

Situasi sebenar ialah....

FRIDAY
03-07-2020

Sudah lebih dua minggu saya kembali masuk ofis. Sebahagian dari kami (juga dari department lain), masih ada yang meneruskan kerja dari rumah.

Last Monday, beberapa keputusan telah dibuat selepas beberapa meeting. Akan ada beberapa pasukan dibentuk — Team ofis & Team WFH. Kami bebas memilih untuk berada dalam keadaan mana. Dua pasukan akan bergilir selang bekerja dua minggu.

Saya menjadi orang terawal memilih untuk berada di ofis. Malah saya menolak juga untuk diberi giliran. Dalam erti kata lain, saya memilih untuk kekal. Permanent. Waktu bekerja saya hanya ingin berada di pejabat sahaja. No more WFH for me. Ya, pasukan kekal juga dibentuk kerana ada beberapa orang juga sependapat dengan saya.

Alasan:
Saya mudah stress bila kerja masuk tidak mengira waktu. Rutin kehidupan saya menjadi berselerak. Sepanjang WFH banyak yang saya korbankan. Rela demi menjaga kerjaya. Membantu syarikat bermakna membantu diri sendiri. Kerja tidak tentu masa. Malah saya harus ke pasar seawal jam 6.30 pagi untuk memberi ruang kepada kerja seawal jam 8 pagi.

Malah, pernah juga bersengkang malam hari untuk menyiapkan kerja ketika kerja masuk selepas jam 5 petang. Lalu saya merasa kehidupan saya mulai huru-hara. Masa untuk bersosial jadi tersekat. Untuk keluar pun sudah menjadi kelam kabut kerana bimbangkan kerja yang menanti di rumah.

Dan merasa kehidupan saya semakin kalut. Tidak bersistem. Penat. Stress otak. Persekitaran tidak membantu untuk menjana semangat bekerja. Komunikasi selalu tak cantik bila bercakap tentang kerja. Info jadi tidak tepat. Aduhh...

Itu saya. Bagi mereka yang suka, silakan. Saya tidak. Itu bukan saya.

Dan, saya berasa lebih teratur bila kembali ke pejabat. Selepas kerja, saya bebas ke mana. Boleh singgah mall, boleh shopping, boleh ngeteh. Masak tanpa kelam kabut. Makan dengan tenang.

Ini ruang lobby ofis saya di mana hanya pintu utama sahaja dibuka untuk keluar masuk. Seawal pagi, abang guard tolong tembak dahi early bird stafs.

Lain senarai, lain department.
Ada beberapa meja disediakan, setiap orang lepas kena ‘tembak dahi’ isi sendiri suhu depa, dan sign.

Selepas jam 7.30 pagi, ada staf khas ditugaskan jaga suhu setiap yang keluar masuk. Semua orang wajib check suhu ketika masuk pagi, dan sebelum balik (sebelum 4.30 petang). Setiap hari.

Topeng muka diberi percuma, setiap orang. Setiap hari dapat satu topeng yang baru. Sanitizer setiap sudut.

Alhamdulillah. Kita jaga kita.

Okeh... tayang-tayang menu eat clean saya:

Nasi putih berulam bawang putih stim, ayam bakar bersama sedikit madu & herbs, salad & tomato ceri.

Sebelum.

Selepas. Ikan siakap kukus limau. Bersama sawi park choy.




 ~...HISYAM pernah berkata seperti berikrar; tiada siapa dapat menggantikan SERI BULAN di hatinya, walaupun dia berdampingan dengan ramai gadis lain termasuk anak dara Pak Imam dengan alasan apa yang ada pada sahabat baiknya itu tidak terdapat pada gadis lain termasuk perangainya yang bila merajuk suka melangut merenung sarang tempua bergayut rendah...~



Monday, June 1, 2020

SOP & New Normal: yang ini, tak tahu nak gelak atau nangis...

Monday
01-06-2020

Semakin ramai staf kami dipanggil masuk. Semakin banyak department mula operasi sepenuhnya.

Hanya sekumpulan kecil kami sahaja masih meneruskan WFH. Menanti arahan dan pengesahan akhir pada hari terakhir PKPB fasa ini, samada masuk ofis semula sepenuhnya atau bagaimana.

Seorang rakan sealiran di pejabat lain, mengadu bosnya tak begitu menjaga SOP. Mungkin alasan staf tidak ramai (tak sampai 10 orang), maka mereka boleh masuk bekerja seperti biasa tanpa melalui ‘tembak suhu’. Katanya, alat tembak tu pun takda. Depa duduk pun agak rapat. Kesian.

Saya hanya mampu nasihat, jika Bos tak nak buat, staf kena pandai-pandai jaga diri sendiri. Elak berkumpul, kerap-kerap cuci tangan, pakai mask sentiasa. Bawa sanitizer sendiri dan guna selalu.

SOP di tempat kerja saya sangat ketat. Hanya satu pintu dibuka. Semua orang kena tembak dahi. Sesiapa yang tinggi suhu dan diragui kesihatan, memang kena balik. Takda alasan untuk masuk. Work station diubah sedikit untuk lebih penjarakan. Social distancing. Sebelum ini pun, workstation kami memang sudah berjarak, kali ini akan dijarakkan lagi.

Cuma, agak lucu bila ada cadangan dari salah seorang HOD, mahu kami buat workstation kami seperti ini:

Tiru Wuhan agaknya.

Siap bagi arahan pada orang tertentu akan kumpul kotak dan ‘pasang partition’ seperti dalam gambar.

Our workstation memang sudah ada partition (rendah sikit la tapi...) malah lebih berjarak dari contoh gambar tu.

Bila cadangan ini ditunjuk, berderet depa pakat tergelak dalam whatsapp group.

Adehhh...!




 ~...SERI BULAN sering rindukan tempat-tempat makan yang bukan sedap mana, tapi seronok bergelak dengan kawan-kawan seiring dan sejalan sehingga HISYAM sendiri jadi penasaran lalu dia sedar mata wanita itu sering menjelingnya yang berdiri tegak di sebalik tiang seri kerana cemburu gagal memburu...~



Sunday, May 3, 2020

“Rumah lah yang paling best!”

Sunday
03-05-2020


Pernah dengar ayat tu? Iklan di tv. “Rumah lah yang paling best!”

Benar. Sepanjang PKP, semua orang berada di rumah. Bagi yang bekerja, majoriti terpaksa bekerja dari rumah. Work From Home.

Saya, angkut semua equipment dan set up mini office di bilik belajar anak. Minggu pertama yang sedikit huru-hara, akhirnya menjadi suasana yang agak selesa kerana masa yang boleh diselaraskan sendiri asalkan dateline dijaga dan komitment hampir setara seperti berada di ofis dulu.

Esok, 4 Mei. Kerajaan sudah mengumumkan, beberapa sektor sudah boleh dibuka. Banyak juga walaupun sebenarnya, Fasa 4 PKP hanya akan berakhir 12 Mei.

Ada pro & cons nya. Saya sangat berharap agar saya tidak dipanggil masuk pejabat. Atau paling awal pun selepas Raya. Kalu lagi lewat, lagi baik.

Akhirnya, Sabtu semalam, bos-bos besar tempat kerja saya akhirnya mengambil langkah akan memulakan operasi pada Isnin 4 Mei dengan New Normal.

Hanya sebahagian staf dipilih untuk masuk. Sebahagian lagi, kekal Work From Home, termasuk saya (saya dibisikkan tentang beberapa sebab & kriteria kenapa kami terpilih kekal di rumah).

Suasana work station juga bakal diubah. Kedudukan akan dijarakkan lagi – sebelum ini pun kami sebenarnya tidaklah duduk rapat sangat pun – suatu New Normal yang terpaksa diambil.

Perkara besar yang lebih penting, kami akan menghadapi Cut Pay. Beberapa tangga gaji tertentu akan dipotong gaji bermula 30% – 35%. Tiada lagi OT & COLA (Cost of Living Allowance) sehingga 3–6 bulan mendatang.



Bagaimanapun perkara itu akan berubah mengikut keadaan dan budi bicara majikan.

Pun, tetap bersyukur. Alhamdulillah, jaminan diberi bahawa tiada pembuangan pekerja akan berlaku.

Semoga COV19 akan segera berlalu walaupun masih belum ada tanda penawarnya ditemui.



 ~...melihat tangga ambin Teratak Nyatuh yang semakin berlumut, tangkai batok di serambi juga bagai licin tidak terusap, HISYAM sedar SERI BULAN bagai merajuk boikot memeruk jiwa menjeruk rasa di dalam bilik kerana HISYAM endah tak endah sejak balik dari merantau dari hutan dara, mungkin sudah diikat asmara puteri bunian atau mungkin juga sudah bertemu mambang menjadi kawan setia...~



Wednesday, April 15, 2020

WW: Rindu nak balik ofis...!

Rabu
15-04-2020

Wordless Wednesday.





 ~...HISYAM pernah buat lawak tak maharaja dengan menyebut suatu hari nanti jika sudah tiada siapa di sisinya lagi, hanya SERI BULAN yang akan dipanggil menemani walau mungkin usia sudah penghujung senja, walau mungkin panggilan nama sudah berubah eja...~



Friday, April 15, 2016

Kapten Pasukan Wanita kekdahnya.....

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Jumaat
15-04-2016


Sejak sebulan dua lalu, saya sering berkongsi beberapa status bersiri di bawah hashtaq ‘StafPalingHensem’ yang pada asalnya sekadar suka-suka menakal, kemudian menjadi rutin menyeronokkan pula.

Kisah nakal saya jadi stalker pada seorang staf kat tempat kija. Yang pada mata saya, paling hensem paling baik hati, baik budi, sopan dan lembut tapi sangat pendiam... hahahaha! Dalam erti kata lain, dia dilihat dan dilabel sombong oleh orang lain, tapi bagi saya tidak. Dia tersendiri. (sengih sendiri....)

Tapi kisahnya tidak boleh dipanjangkan dalam blog. Sebab stalker blog saya ni pun boleh tahan ramai. Perasan sat... Malah ada sorang dua staf di department lain, adalah pembaca senyap sejak dulu. So... mana bleh lebih-lebih. Hehehehe

Kisah petang semalam:
Ada mesorat untuk SRC (ala-ala kelab sukan gitu). Pengagihan ahli pasukan sudah dibuat lama dan mesorat hanya untuk memilih Kapten dan Penolong Kapten. Saya tersenarai dalam Pasukan 3 (ada nama khasnya, tapi biarlah tidak didedahkan).

Selaku staf yang agak baru tapi dah kira kategori tua, saya tidak terlintas untuk aktif pun. Sekadar sokong boleh lah, maklumlah bab-bab aktif sukan ni kita dah lama tinggal. Malah perkara-perkara yang melibatkan aktiviti luar pun dah lama saya tak buat. Tapi, taktau pasaipa, depa pakat dok sorak-sorak undi terbanyak untuk saya menjadi Kapten. Maka.... akak jadilah Kapten Pasukan untuk tahun ini. Ikut rules...jika cemerlang dengan point banyak dalam setiap aktiviti, Kapten ada harapan ‘sambung kontrak’ kekdahnya... tapi kalu point ciput sehingga hujung tahun depa bleh undi orang lain untuk naik jadi Kapten. Ini normal. But, saya pasti akan cuba yang terbaik bukan kerana jawatan semata, tetapi kepercayaan dan amanah itu. Pengalaman sangat membantu. Orang tak suka, itu bukan isu. (Saya menjadi kapten wanita pertama dan kemudian pasukan seterusnya meeting juga melantik seorang wanita sebagai kapten).

Ada gambar posing beramai semalam, tapi cuak plak hati ini nak publish kat sini. Muahahahaha...!

StafPalingHensem? Dia berada di pasukan lain. Bagus juga, kalu dia satu pasukan saya, bolehkah saya buat kerja nanti? Ahaks!

Gatal bebenor Azie yerrrr!


Saya belanja gambar lain lah...:


Ulangsiar. Reunion santai bersama bekas rakan sekolah rendah/menengah. Siri reunion kali ke berapa ntah. Setiap kali balik kampung, ada saja yang ajak gather.
*Cuti CNY lalu, lokasi: Balak Inn, Parit Buntar.

Saya pernah beberapa tahun menjadi Ketua Kelas, yakni, ketua darjah yang garang dengan depa dulu. Hahahaha...! Rindu depa!







 ~...HISYAM sudah sering lupa tentang ikrar janji sehati sejiwa lalu SERI BULAN juga tidak ingin sering berpesan-pesan kerana sedar masa boleh mengubah dirinya sendiri menjadi angkuh tetapi bumbung Teratak Nyatuh bagai terasa jatuh, dan dia ingin terus berlindung di bawah amanat dan kata indah HISYAM yang sejak dulu sering dirinduinya...~




Thursday, April 14, 2016

Cuti kena pangkah: padan muka aku...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Rabu
12-04-2016


Saya menulis entri mengikut apa yang terlintas dan perkara yang terdekat sahaja. Untuk menulis sesuatu peristiwa besar seperti program keluarga untuk dijadikan rakaman di blog memerlukan masa yang mana...itulah yang selalu susah saya nak dapat. Masa.

Semalam, sudah ada arahan dari MyManager untuk masing-masing mengatur perancangan cuti untuk bulan hadapan. Hari Buruh 1 Mei bakal jatuh pada hari Ahad dan Senin automatik cuti umum juga. Lalu berebutlah kami menghantar borang untuk pertimbangan Manager.

Saya menghantar 2 borang berasingan kerana cuti Hari Buruh memang saya merancang untuk balik kampung. Dan cuti ke-2 dirancang pada hujung Mei adalah untuk percutian luar yang sudah saya rancang sejak awal tahun. Hmmm...

Sayang sekali, permohonan percutian saya tak lulus. MyManager wants me to choose, samada cuti awal bulan atau cuti pada hujung bulan. Of course la saya pilih cuti untuk balik kampung. Itu lebih penting.

Walaupun kami baru saja selesai bertungkus-lumus (pinjam ayat faberet OurBosBesar) selama sebulan semasa Projek Khas haritu, tapi kerja-kerja lain juga banyak lalu beberapa orang lain juga terpaksa disingkatkan cuti malah ada yang langsung tak lulus cutinya.

Huhuhuhuh tetiba tak sabar nak balik kampung bercuti...!

Tayang-tayang:



Belanja pic semasa percutian terakhir saya bulan lepas. Bukit Tinggi, Padang, Sumatera Barat, 28 Feb-1 Mac lalu.




 ~...SERI BULAN tiada hati lagi untuk terus berada di Teratak Nyatuh. Sekian...~




Wednesday, December 9, 2015

Kenapa nak dengki? — entri geram manja...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Rabu
08-12-2015


Dulu, saya jangka kotornya politik itu tidaklah seteruk ini.

Dulu, saya yakin saya boleh laluinya dengan lancar.

Dulu, saya juga yakin saya boleh kendali setiap cabaran dengan jaya.

Rupanya, memang sangat mencabar walaupun belum sampai goyah lagi kekentalan hati dan semangat saya. Belum menipis keyakinan diri yang saya bina sejak bertahun lamanya. Belum tergoncang kekuatan jiwa saya. InsyaAllah belum.

Tetapi itu bukan bermakna saya tidak memerhati. Tidak berhati-hati. Saya sentiasa bersedia.

Jadi, kalu sesuatu yang depa panggil sebagai “keistimewaan” itu saya miliki kerana diri saya sendiri, korang sakit kat mana?

Bukankah kita diseru untuk sama-sama perbaiki diri dan bersaing sihat untuk memajukan diri dalam kerja. Kerja untuk orang, hasilnya adalah untuk semua. Untuk kita.

Jangan risau tentang lebihnya orang lain dapat, kerana apa yang kita dapat hari ini or mungkin akan datang, wajar disyukuri kerana kita tak pernah rampas hak orang lain.

Kenapa nak dengki?


Tayang-tayang:


Imej saya sebagai diri saya. Cincin besar menggambarkan hati saya yang besar juga badan besar.

Semoga terus tabah!




 ~...jika bukan kerana HISYAM yang senantiasa menjadi pemangkin semangat pendorong kekuatan dan tiang bersandar kala hampir tumbang – walau dia bukan kuat mana pun – tetapi selagi berada di bawah bumbung Teratak Nyatuh yang diyakini kukuh, SERI BULAN tidak akan mungkin menoleh ke arah sungai yang berjeti hampir reput itu di mana mereka pernah tiba kali pertama...~




Friday, August 21, 2015

Majlis Aidilfitri: bila saya jadi emcee...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Jumaat
21-08-2015


Majlis Jamuan Aidilfitri di tempat kija saya merupakan acara tahunan yang memang saban tahun diadakan. Walaupun para CEOs dan Managing Director @ our Top Gun merupakan bangsa Cina, tetapi acara meraikan Tahun Baru Cina tidak pernah diadakan sebagai acara rasmi company atau acara tahunan. Ini kerana majoriti pekerja adalah Islam. Dan company menjadi seperti syarikat berimej Melayu dan Islamik. (pandangan peribadi saya sahaja tidak mewakili sesiapa)


Berbanding tahun lepas dan tahun sebelumnya, majlis tahun ini lebih simple dan sangat sederhana. Tiada acara besar-besaran, tiada juga bunga api seperti dulu, tiada artis jemputan pun dan jemputan VIPs pun tidak seramai dulu. (Ini mungkin kerana tumpuan akan diberikan lebih kepada satu lagi majlis yang lebih grand sempena ulangtahun company 30 tahun. Malam Gala akan diadakan pada pertengahan September nanti di sebuah hotel)


Our Top Gun, seperti biasa dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua pekerja kerana usaha bersungguh-sungguh (dia sering sebut 'bertungkus-lumus') dan majlis tahunan ini memang diadakan khusus untuk staf meraikan Syawal dan bergaul sesama kami mengeratkan ukhwah dan merapatkan persahabatan.


Majlis bermula seawal jam 1200 tengahari. Time lapar. So, semua staf dibenarkan makan dahulu selepas ucapan MD, dan sebelum aturcara lain.





Macam biasa, tak sah kalu takdak nyanyi karaoke. Mamat sorang ni memang popular. Sebab tiap tahun bila ada program camni dia mesti naik nyanyi. Suara tak sedap takpa, penglibatan sporting tu yang buatkan suasana meriah.


Eh...eh..! Tetiba ter berduet pulak. Sebab, lagu best. Chek Mek Molek youuuu...! "Senyumlah... senyumlah ahai Chek Mek Molek..!"

Tahun ini saya diberi tugasan membantu mengendalikan acara majlis bersama seorang lagi staf lelaki (dia ni tiap tahun jadi emcee majlis company). Saya memang suka bercakap. Tak takut naik pentas bercakap. Jadi untuk majlis tempat sendiri sebegini, tidaklah kekok sebab kita dah kenal semua audien kita.


Ada banyak acara. Yang sebenarnya ringkas-ringkas jer. Tapi ramai yang sporting naik pentas secara spontan untuk menyertai.

Ini acara Sambung Lirik Lagu Raya.


Ini acara yang tiap tahun ada. Pasangan Pakaian Sedondon. Juga secara spontan jer depa naik. Hanya cari pasangan pakaian sedondon dan cepat-cepat ajak naik menggayakan. Sapa dapat sorakan paling gemuruh akan dikira sebagai pemenang.


Sporting habis....! Padahal waktu bekerja jika jumpa semua malu nak sembang. Kadang tu nama  pun tak tahu.


Paling ditunggu ramai adalah acara Cabutan Nama Bertuah. Hadiah yang dipamer hanya sebahagian dan untuk tayangan sahaja. Pemenang boleh tuntut hadiah selepas majlis kerana 150 hadiah disediakan tidak mungkin dapat diserah dalam masa majlis yang hanya terhad 4 jam. Paling banyak barangan elektrik termasuk LED TV, peti sejuk, blender, iron, juicer, induction etc...etc.. Hanya 10 hadiah utama sahaja yang naik ke pentas menerima.


Part baca nama bertuah ni yang paling best dan happening.


Sampai ke lantai nak semak hadiah. Abang Jas... Abang Jas....


Salah seorang tetamu VIP, Dato' Salleh menyampaikan hadiah 2nd Grand. Sebuah henpon iPhone6. Kawan department saya. Aduhai... iPhone6 youuuuu...!

iPhone6 cuma satu, tapi hadiah henpon lain jenama Acer ada 6. Satu pun nama saya tak sangkut. Wuaaaa....!


Ini hadiah utama. Tajaan RM3,000 berupa voucher melancong. Boleh pilih nak melancong ke mana saja. Saya yang kaki berjalan ni hanya jadi wakil tukang amik saja. Pemenangnya juga dari department saya tapi dia dah naik ke atas ofis, lalu saya berlagak macam hadiah tu saya punya. Hahaha huhuhu cedih..!.


Macam biasa. Sesi fotografi selepas majlis. Ini sebahagian kawan dari department saya. Tidak ramai yang join. Saya sudah naik ke surau dan dah malas nak turun lagi. Depa yang lain masih berfoto dan melayan karaoke.


Sesi lepak bergambar camni hanya berlaku setahun sekali. Jadi semua orang ambil peluang untuk posing.



Merasa pegang jer lah... hadiah yang dimenangi oleh Head of Department saya (HOD @ Manager). Dia dapat chopper elektrik.

Walaupun majlis nampak sederhana tetapi program sebegini sangat bermakna dan menggembirakan semua orang. Kerana waktu bekerja kami jarang dapat bergebang atau bertegur sapa. Peluang sebegini memberikan kemesraan dan mengurangkan tekanan.

Saya yakin pihak pengurusan sangat menghargai semua pekerja (yang beratus-ratus orang ni) dan kami wajar sekali memberikan khidmat yang terbaik untuk company. Untuk kebaikan bersama. Untuk keuntungan bersama.

Tayang-tayang:


Goodie bag tahun ini. Setiap orang staf mendapat beg serbaguna yang cantik ditempah khas ini. Kebetulan ulangtahun syarikat yang ke-30 tahun ini. Saya suka. (tahun lepas kami dapat powerbank).




 ~...menyusuri Sungai Menghijau Lumut tidak pernah menggembirakan HISYAM yang bukan sahaja belum cekap mendayung sambil mengawasi SERI BULAN yang suka menjulur tangan ke air tetapi juga dia sering resah-cemas kerana di jeti nanti akan ada pula puluhan mata menanti untuk menonton kawan baiknya itu naik dengan kaki separuh basah dan seluar panjangnya yang melekat bak tongkol jagung tunggu dikokak...~




Thursday, April 16, 2015

Book Fair 2015: beza saya dengan mereka...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Khamis
15-04-2015


Begitu cepat masa berlalu tak sedar sudah pertengahan April. Kesibukan mungkin membuatkan kita tidak sedar betapa cepatnya masa bergerak lalu hari bertambah sangat cepat.

Menumpukan perhatian kepada kerja menjadi suatu perkara "escapism" buat saya yang mencintai kerja saya sejak dulu hingga hari ini. I love to work with books.

Pesta Buku just around the corner. Pelbagai persiapan dah bermula di tempat kerja saya terutama di department tertentu. Booth structure, tshirt, poster, bunting dan sebagainya diuruskan sepenuhnya oleh depa. Saya tidak pernah terlibat secara langsung kecuali sibuk mengintai peluang nak duty kat booth.

Book Fair tahun ini walaupun tidak jatuh pada cuti semester persekolahan, tetapi ada beberapa hari cuti peristiwa yang panjang. Saya hanya melihat cuma 2 hari Ahad ruang untuk saya. Tidak perlu berebut pun kerana hampir semua rakan satu lantai dengan saya mengelak. Sebenarnya yang terpilih hanya perlu duty 1 hari sahaja tetapi saya suka nak kerja lebih. Sehari lagi saya gantikan orang yang ada komitmen keluarga. Hari lain yang cuti (Wesak dan Hari Buruh) saya akan bercuti di tempat lain. Jika tak kerana cuti yang dah confirm sejak awal tahun ni, haruslah saya duty setiap hari tersebut.


Saya menjangkakan dan mengharapkan kali ini akan lebih meriah dan menyeronokkan. Itulah beza saya dan mereka. Saya sukakan kemeriahan Book Fair tetapi ramai sekali depa ni tidak pernah suka.


Staf yang menabung syiling boleh menukar tabungan berat depa untuk keperluan cashier di Book Fair. Department saya sahaja berjaya menukar syiling lebih RM1k...! So akaun department tak perlu pi bank untuk menukar syiling.

Saya tidak mahu berkempen tetapi menyeru masyarakat meluangkan masa ke Book Fair setiap tahun. Bukan sahaja ada diskaun tetapi juga ada banyak pilihan bahan bacaan yang berfaedah. Dalam fenomena ramai orang sukakan (kadang-kadang taksub) akan gadget, saya rasa memilih buku adalah juga pilihan terbaik.


Kita jumpa di Book Fair PWTC nanti....!




*saya akan bertugas pada Ahad 26 April dan Ahad 3 Mei.





 ~...tiada lagi lagu senandung buat kita?...~




Friday, February 13, 2015

Guna Whatsapp untuk komplen rakan sekerja... wow hebatnya kamu!

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Khamis
12-02-2015


Pernah anda berdepan situasi ini? Di belakang anda, ada segelintir rakan sekerja 'upgrade' cara bergossip dengan guna Whatsapp. Memang tiada beza pun dengan soksek-soksek or cebik bibir di belakang anda. Sama saja.

Yang menarik perhatian saya ialah bilamana seseorang (or mungkin berorang-orang), menggunakan Whatsapp untuk komplen pasal orang ini, pasal orang ini kepada pihak atasan, or pihak yang ada kuasa.

Niat?

Pada pendapat saya: ada 2 kemungkinan:
Samada niat baik mengkritik untuk kebaikan (tapi pengecut nak berterus terang)
atau,
niat nak bodek, kipas dalam senyap supaya tidak nampak ketara di mata orang.

Kenapa saya tulis isu ini? Bagi setengah orang akan kata, "Alahhh biasa lah. Mulut orang."

Yeah. Setuju. Saya tulis kerana saya yang kena (anggaplah saya membebel). Orang yang menerima komplen secara tidak sengaja menyebut di depan saya. Tetapi isi/contents komplen tidak pula saya diberitahu. Well, saya sedar saya memang tidak sempurna. Tidak begitu baik hati. Tidaklah setaraf. Tidak juga level cemerlang. Tapi komplennya apa? I dont get it.

Selepas bertenang dan boleh menerima, saya terfikir untuk menulis sesuatu sebagai perkongsian.

Nasihat saya:
  1. Terus jadi diri sendiri dengan mengekalkan sifat dan sikap positif yang ada. Berusaha untuk mengikis sikap negatif dalam diri yang selama ini tidak kita sedari. Fokus terus dalam kerja dan usaha memajukan diri.
  2. Anggap segala kritikan dan komplen ini adalah cabaran hidup yang ramai orang lain pun terima juga. Jangan lawan. Andai ada niat nak lawan balik, sebenarnya kita pun tak beza dengan orang tu.
  3. Terima sebagai saingan sihat untuk improve diri sendiri walaupun kita sedar juga itu mungkin terjadi atas sebab rasa tercabar dan cemburu-plus-PHD.
  4. Cari pendengar yang baik untuk berkongsi rasa dan pendapat. (Dalam kes saya, memang dah tak harap pada pendengar, tapi syukur ada blog untuk saya luah perasaan.)

Tidak pernah saya terfikir pun menggunakan Whatsapp untuk buat follow-up tentang aktiviti di tempat kerja. Padahal saya antara orang yang agak awal menggunakan smart phone. Selama ini dok guna Whatsapp untuk chat dengan rakan-rakan luar, kawan sekolah, famili sanak sedara di kampung. Bercakap tentang aktiviti luar. Saya tidak pernah (malah tidak amalkan pun) bercakap tentang hal kerja selepas keluar dari bangunan pejabat. Saya tak suka nak bebankan kepala. Masuk ofis baru fokus. Luar pejabat, cerita lain. Merapu lebih release tension.

Jenis orang yang suka nak sambung cerita pasal hal tempat kerja, agaknya dah takda cerita lain nak sembang kot. Atau dah takda kerja lain nak buat. Sori Berlori, saya ada banyak benda lain nak buat. Tak kuasa nak sambung dalam Whatsapp pulak nak gebang pasal kawan kerja sendiri. (Dalam ratusan staf sekerja yang ada, saya hanya simpan tak sampai pun 10 nombor hp rakan sekerja. Whatsapp jauh sekali).

Apapun saya harus berterimakasih kepada golongan orang sebegini, kerana sudi memberi perhatian yang tidak pernah kita perlukan. Rajin sungguh. And ada masa untuk fikir pasal diri kita. Ada masa untuk Whatsapp pihak atas. Terimakasih la banyak-banyak.

Saya tetap saya. Kita sama-sama makan gaji. Sama-sama menerima arahan dan harus patuh pada undang-undang. Penilaian tidak pernah sama. Tapi perbezaan itu bukan halangan untuk kita tidak terus positif dan bekerja sebagai satu pasukan. Juga bukan membolehkan kita menidakkan atau memburukkan kelemahan orang lain.

Tayang-tayang:


CHICHI yang comel dan berekor kembang. Menjadi penawar kepada seluruh rakyat dalam rumah. Kita perlukan penawar suka duka, sebab baby kecik sudah jadi baby tua yang susah nak ajak manja-manja..! (matanya bukan kuning sebelah, tapi refleksi flash kamera)





 ~...rupanya malam semalam hujan lebat sebelah hilir, lalu air Sungai Menghijau Lumut seakan melimpah dan jeti dikuatiri akan tenggelam sekerat tiang, memaksa HISYAM membatal niat untuk berdayung menjaring udang bersama Pak Seman dan SERI BULAN rasa itu keputusan terbaik kerana sudah lama dia tidak menunjuk pandai membuat kopi kosong sambil depa bergebang di serambi tidak berdinding bercerita tentang kisah dulu semasa kalut membina pejabat berdinding kaca di kota raya yang kini terpaksa dilepaskan dengan berat hati...~




Sunday, February 1, 2015

Jangan bergaduh mengamuk di tempat kija. Malu!

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sabtuday
31-01-2015


Semalam. Pada hari Jumaat yang mulia. Kira-kira 15 minit sebelum maghrib. Lantai Atas. Department saya. Meletus dan meletup dek balah mulut, jerit pekik, hempas paper dan diakhiri dengan dentuman pintu.

2 orang rakan sekerja yang mulanya bincang pasal kerja yang sedikit bermasalah, rumit dan berserabut... kemudian jadi balah-tekak dan bila salah sorang jerit, yang sorang lagi ikut balas-jerit. Yang lain ikut terkujat terkedu lalu terdiam. Saya rasa saya sorang saja yang tetiba spontan bersuara..."Sabar...sabar".

Mujur ianya berlangsung kira-kira 2,3 minit saja. Tiada lanjutan lagi kerana kemudian masing-masing beransur ke surau. (Kami OT sehingga 8:00 malam masa tu).

Kesal. Memalukan. Menjadi pandangan rakan. Dan tidak terlepas diperkatakan orang pula selepas itu. Yang saya kesalkan ialah kedua-duanya bergelar 'kakak' dan lebih tua dari saya sendiri. Alahai... saya kira makin tua makin tinggi tahap kesabaran rupanya tewas dek perasaan amarah.

Sorang rakan sekerja kemudian tanya saya, "Kalu you... bla bla.."

Saya terdiam memikir. "Saya tak ingat bila kali akhir saya bergaduh dengan rakan sekerja. Berpuluh tahun tak pernah gaduh dengan sesapa pun."

Ya baru saya ingat. Saya tak pernah bergaduh balah-tekak hempas barang jerit-jerit dengan rakan sama tempat kija. Hampir tidak pernah. Cuba fikir... habiskan masa 8 jam (dalam kes kami, 12 jam sehari) di tempat kerja bersama kawan-kawan sepejabat. Sampai hati ker nak sakitkan hati orang? Tergamak ker nak jeritkan orang, tinggikan suara pada rakan yang kita dok hadap tiap hari?

Saya tak tergamak (walaupun suara saya semulajadi kuat) kerana sepertimana kita tidak suka orang jerit tinggi suara dan melukakan hati kita... begitu juga perasaan orang lain. Saya sangat pasti tentang itu. Bersabar tidak pernah merugikan.

But... bila bincang pasal kerja ada ketika saya sangat tegas-keras bilamana saya yakin saya betul dan yakin saya tahu.

Tayang-tayang:


Lama tak makan KFC. Saya beli untuk sefamili. Kombo Bucket B. Dapat Fortune Jar warna emas ini. Takda sapa di rumah berminat. Lalu saya letak di work station saya buat "Tabung Gajah".


Hahahaha... sampai bila la nak penuh niii...






 ~...sudah beberapa hari cuaca begitu baik dan awan nampak bertelak berketak-ketak lalu ramai sekali warga Kampung Separuh Desa keluar bersiar sambil menunggu penjual aiskrim lalu setiap petang dan panas membahang memberi rezeki mata juga bila SERI BULAN turut melanggan sambil senyum lebih manis dari aiskrim vanila...!~




Monday, November 24, 2014

Jangan jadi wartawan tak bergaji..!

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Senin
24-11-2014



Menjelang akhir tahun, ada banyak persediaan yang sudah dijangka bakal dilakukan di tempat kerja saya. Semenjak tempat kerja saya sudah bertukar menjadi 'holdings' dan mengambil alih beberapa syarikat yang sealiran berada di bawah kekuasaannya (tidaklah seganas itu...) semakin ramai yang dibawa masuk terutama pekerja-pekerja dari beberapa syarikat yang diambil alih. Atau dalam bahasa mudah, depa "dibeli" atau terpaksa bertukar pengurusan.

Semakin ramai yang masuk, semakin macam-macam jenis karenah yang saya lihat. Knowing me... harus bersetuju saya bukan jenis suka nak lepak dengan depa walaupun saya ni peramah tahap Gaban. Bukan saya sombong, tapi saya jenis tak suka nak pot hal orang. Tak kuasa nak tahu orang tu dari mana, tinggal mana, laki kerja apa, anak berapa dan paling tak tahan bila ada yang jadi pot sehingga tahap bertanya pada orang baru, "Masuk sini gaji berapa?"

Please... itu bukan soalan sesuai dan bukan soalan pengenalan samada dari orang lama kepada orang baru and vice-versa. Tapi itulah juga yang saya dok perati. Ada spesis yang merimaskan, cukup rajin nak soal-siasat orang baru.

Dan rasa bangga plak tu, menjadi orang pertama dapat tahu maklumat orang baru. Heeee saya tak berminat nak tahu pun. Latar belakang secara asas cukuplah. Tak perlu nak interview orang sampai ke tahap mak bapak, laki bini, asal usul segala. Orang lain saya tak tahu penerimaan, tapi saya tak gemar bab sebegitu.

Bagi saya, sekadar tahu nama adalah memadai untuk hari-hari pertama. Minggu ke minggu boleh ditambah jika orang baru sudi nak bercerita. Jangan jadi wartawan tak bergaji.

Saya dah pernah kena dulu. Terperanjat juga saya bila hari pertama saya masuk dulu, saya diaju begitu banyak soalan sehingga saya rimas. Paling best, ada sorang kakak mulut lepas yang tanya sambil buat andaian sendiri, "Cepatnya awak dapat masuk sini. Tak perlu 2nd interview pun. Agaknya awak mintak gaji seribu lebih jer kot..." Haaarrr??

Terkujat saya sekejap. Then senyum. Then jawab, "Ya... begitulah lebih kurang." (Dalam hati saya geram, sambil protes "Pengalaman saya lebih 20 tahun, takkan lah RM1000 lebih jer?) Masa tu gerammm.... Sekarang ni, kalu orang serkap jarang, saya iya kan saja! Biar dia puas hati. Asal saya tahu kebenarannya.

Ada ketika kita terasa hati bila orang seperti merendahkan kebolehan kita. Tapi pengalaman dan faktor usia mendidik saya untuk bersabar dan bersedia. Biar orang judgmental kita di peringkat awal. Lama-lama orang akan melihat dan menilai sendiri akan beberapa kebolehan kita. Saya sangat yakin bab itu. Saya dah berjaya membuktikan beberapa perkara. Bukan kerana nak depa nilai, tapi kerana faktanya memang begitu.

Saya belajar banyak benda bila berada di bawah bumbung yang besar lagi luas ini. Karenah manusia jangan dilayan sangat. Tutup mata sebelah, tutup telinga sebelah. Dan jangan fikir.

Tayang-tayang:


Dalam rajin-tak-rajin. Agar-agar cocktail (lagi). Out of shape dek kerana buah laici.

*Cuti sekolah: tak sabar nak tunggu filem The Hobbit part 3, Disember nanti.



 ~...walau tidak ramai yang tahu dari mana sebenarnya usul datang HISYAM, tapi sudah ramai dapat meneka dia bukan orang biasa-biasa, lantaran melihat gaya berjalan dan kuku yang berbela bersih, SERI BULAN sendiri bagaikan tidak gemar membuka cerita kerana tidak mahu ada yang salah-faham kenapa HISYAM tidak pernah makan bersila di depan dulang, kerana seumuranya dilatih makan di meja beralas, kerusi bercorak jelas dan pelayan berpakaian kemas...~




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails