Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Apa khabar geng..? Lama dah tak bersiaran. Arm harap korang sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan ceria walau di mana anda berada...
Setelah bertahun tinggalkan blog nie, hari nie Arm tergerak hati untuk update semula blog nie...hehehe...
Mungkin Arm akan gunakan blog ni untuk bawakan karya penulisan Arm. Doakan semoga Arm terus diberikan kekuatan untuk terus menulis dan update blog nie..
So, tanpa membuang masa.. Silakan baca karya Arm nie yang bertajuk 'Pusaka'. Semoga kisah ini bermanfaat untuk korang..
.............................
~ Bab 1 ~
Di dalam kepekatan gelap malam, dengan hanya diterangi cahaya bulan dan beberapa batang obor, kelihatan seorang pemuda yang bertubuh agak sasa dan seorang lelaki tua sedang bertempur bermain silat di gelangang usang yang hanya dipagari dengan daun kelapa kering.
Pertempuran mereka sangat sengit ibarat dua ekor harimau jantan yang berebut kawasan. Mereka saling berjual beli pukulan dan serangan.
"Bukk..."
Tiba-tiba satu tumbukan padu hinggap ke badan pemuda tersebut lalu dia jatuh di atas tanah..
"Bangun Awang, tak kan dah tumbang!!" Jerit orang tua itu memecah kesunyian malam kepada pemuda itu.
Tumbukan yang dilepaskan orang tua itu bukanlah pukulan biasa-biasa, tumbukan itu digelar pukulan tapak harimau berantai. Jika tidak cukup ilmu didada pasti akan tumbang sampai ke pagi.
"Awang belum tumbang lagi ayah" jawab pemuda itu sambil bingkas bangun mengatur tari silatnya dan kembali mengatur nafasnya.
Mereka kembali menyambung pertarungan yang belum lagi selesai. Kali ini gerakan Awang lebih pantas dan tangkas mengelak setiap serangan dari ayahnya.
Ayahnya terus melakukan serangan tumbukan bertubi-tubi, dan dalam serangan yang bertali arus itu, Awang menepis dan mencari peluang untuk melakukan serangan balas.
"Tendangan harimau tanpa bayang!!." Sambil dia menepis tumbukan ayahnya, dia melompat di udara, lalu melepaskan tiga tendangan yang tidak berjaya dielak oleh ayahnya.
"Dashh..Dashh..Dashh.."
Kali ini ayahnya terperangkap dengan tendangan Awang. Ayahnya terpelanting ibarat tupai jatuh tergolek ke tanah dan tidak berdaya untuk bangkit.
"Bagus..Awang, kamu dah semakin matang dalam pertarungan. Sabar dalam bertahan adalah kunci di dalam permainan silat. " kata ayahnya tersenyum sambil mengusap dadanya, menahan kesakitan akibat tendangan padu Awang.
"Maafkan Awang ayah, saya tidak berniat menyakiti ayah." Awang cepat-cepat memapah ayahnya ke sebuah kerusi untuk memeriksa tubuh ayahnya sekiranya ada kecederaan yang serius.
Tendangan Awang tadi adalah salah satu pukulan serangan tingkat tertinggi di dalam perguruan mereka, hanya yang bergelar pendekar sahaja yang mampu membuat tendangan tersebut. Mujurlah ayah Awang tidak cedera kerana dia pun bukanlah calang-calang orangnya.
"Sudah sampai masanya kamu mengambil alih perguruan ini. Ilmu persilatan yang ayah perturunkan kepada kamu sudah lengkap. Ayah dah boleh berehat dengan tenang, teruskanlah mendidik anak bangsa kita dengan ilmu pinjaman Allah ini. Ilmu persilatan ini adalah lambang jati diri bangsa kita". Kata ayah Awang memberi pesan kepada anaknya itu.
Awang hanya mendiamkan diri tatkala ayahnya mengarahkannya untuk meneruskan warisan nenek moyangnya. Awang sedar, amanah yang diberikan oleh ayahnya itu terlalu besar dan berat untuk digalas.
"Kamu harus ingat Awang, gunakanlah ilmu persilatan ini ke jalan yang benar. Bantulah orang yang tertindas dan janganlah kamu gunakan ilmu ini untuk bermegah di atas muka bumi Allah ini" Kata ayah Awang memberi pesan sambil menghirup secawan kopi di atas meja.
........................................................................
~ Di sebuah kandang kambing ~
"Embekk...Embekk...Embekk"
Lamunan panjang Awang semasa berlatih silat bersama arwah ayahnya terhenti kerana gangguan dari kambing ternakannya.
Walaupun kini ayahnya telah tiada, Awang masih meneruskan amanah yang diberikan oleh ayahnya kepadanya.
Pesanan dan amanah arwah ayahnya masih segar tersemat di kotak ingatannya agar dia meneruskan mendidik dan mengajar silat di kampungnya.
Ayah Awang telah meninggal dunia kira-kira dua tahun yang lalu akibat sakit tua. Kini Awang hanya tinggal bersama emak dan seorang adik lelakinya yang bernama Malik.
Malik adalah adik kepada Awang. Namun mereka berdua mempunyai sifat yang sangat berbeza, ibarat seperti minyak dan air, sukar untuk bersatu. Setelah Malik meningkat remaja, dia tidak lagi minat untuk belajar silat dengan ayahnya.
Awang tidak pernah berputus asa menjadi guru silat di kampungnya, walaupun yang menjadi muridnya tidak ramai hanya beberapa pemuda dan kanak-kanak sahaja yang sudi menjadi muridnya.
Bagi pemuda di kampungnya, tiada gunanya belajar silat di zaman yang serba moden ini. Silat telah ketinggalan zaman dan hanya orang yang berfikiran kolot sahaja yang belajar silat.
Awang telah belajar silat sejak dari kecil lagi dengan ayahnya. Perguruan silat ayahnya ini adalah warisan dari moyang mereka iaitu Panglima merah harimau berantai.
Bermula dari bengkung putih sampailah ke bengkung hitam iaitu bertaraf pendekar. Dari latihan asas sampailah ke latihan yang keras, dia telah mengharungi ujian tahap tertinggi dalam perguruannya.
Bersambung...
Jemput baca di wattpad untuk kisah seterusnya. Jangan lupa follow juga untuk sentiasa update sambungan kisah Pusaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Apa Komen Anda..?? Komen anda sangat dihargai demi memberi gua semangat untuk terus berblog..