Raja Nong Chik ingin menyambung pembinaan Masjid Besi yang tertangguh pembinaannya. Masjid yang dikatakan dapat menampung kira-kira 200,000 orang dalam satu masa. Ini memang di luar jangkaan, kerana sedangkan Masjid Putra yang besar itu pun hanya dapat menampung kira-kira 150,000 orang dalam satu masa.
Ini petikan yang saya ambil dari
Utusan Online.
----------------------------------------------------------------------------------
PUTRAJAYA 21 April - Masjid Bandar Raya, Putrajaya yang dikenali sebagai Masjid Besi akan menjadi satu lagi mercu tanda di sini apabila ia siap menjelang Ogos ini.
Masjid bernilai RM200 juta itu mampu memuatkan 200,000 jemaah pada satu-satu masa iaitu melebihi kapasiti Masjid Putra iaitu hanya 150,000 orang.
Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, masjid itu akan menjadi tarikan pengunjung seluruh dunia berikutan seni binanya yang unik.
Menurutnya, keseluruhan dinding masjid baru itu diperbuat daripada besi tembus cahaya.
"Walaupun pembinaan masjid ini pada asalnya disiapkan lebih awal tetapi tertangguh kira-kira dua tahun lalu akibat beberapa masalah peruntukan kos, namun kerja-kerja pembinaannya tetap diteruskan.
"Saya yakin kita akan mula menggunakannya pada bulan Ramadan ini untuk sembahyang Tarawih," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Kompleks Perbadanan Putrajaya dan Masjid Bandar Raya di sini hari ini.
Masjid Bandar Raya yang mula dibina pada 2004 merupakan satu-satunya masjid di negara ini yang menggunakan kira-kira 6,000 tan besi untuk membinanya.
Ia juga menggunakan tulisan ayat- ayat al-Quran yang dilakarkan pada lapisan kaca setinggi kira-kira 13 meter.
Selain itu, seninya tidak mengikuti seni reka Arab sebaliknya campuran kesenian Jerman dan China.
Lapisan Mahrabiyah pula akan menyebabkan kilauan lampu dari ruang solat utama masjid itu lebih bercahaya pada waktu malam.
Bahagian tepi bumbungnya sepanjang 40 kaki pula mampu mengelakkan jemaah yang bersembahyang di luar dewan solat utama terkena tempias hujan.
Apa yang menarik, masjid itu tidak akan menggunakan kipas atau penghawa dingin dalam ruangan solat utamanya di samping ia boleh dikunjungi dengan menaiki bot di masa depan.
Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata, masjid itu turut berfungsi sebagai pusat sehenti pembelajaran termasuk pengajian kelas fardu ain, ruang perniagaan serta kediaman imam.
"Apabila siap nanti, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) akan mengambil alih pengurusan untuk mengatur segala aktiviti ilmu keagamaan," katanya.
Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, penerapan nilai kebudayaan dan sikap keprihatinan bagi penduduk Putrajaya akan ditekankan supaya mereka lebih menghargai kemudahan disediakan di sini.
----------------------------------------------------------------------------------
Raja Nong Chik baru saja mengumumkan berita mengenai pembinaan kira-kira 6,500 rumah kos rendah yang akan dibina di Putrajaya dan ini berita mengenai pembinaan Masjid Besi. Raja Nong Chik betul-betul sibuk dengan tugas-tugas beliau nampaknya. Walau apa pun, ini semua penting untuk kita semua dan ini semua terima kasih kepada Raja Nong Chik!