Latar Belakang
Penubuhan Muzium Adat yang pertama seumpamanya di Malaysia ini adalah cetusan idea Yang Berhormat Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Majlis perasmian pembukaan Muzium Adat ini telah diadakan pada 2 Februari 2008 oleh Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Musa bin Wahab bersama-sama dengan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dan juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan. Muzium Adat di Kuala Klawang, Jelebu ini terletak kira-kira 30km dari bandar Seremban. Muzium ini mempunyai empat buah galeri utama yang memberi penekanan kepada kegiatan menghimpunkan beberapa aspek kehidupan masyarakat Malaysia yang dikenali sebagai adat bersesuaian dengan imej dan identiti Negeri Sembilan sebagai "Tanah Beradat".
Koleksi dan Galeri
Galeri Aras Bawah – Pengenalan Adat di Malaysia
Galeri ini menyentuh secara umum tentang pengenalan, definisi dan konsep adat, kategori adat serta masyarakat beradat pelbagai kaum di Malaysia.
Galeri Aras Satu – Kitar Hidup
Paparan tentang adat-adat yang dikaitkan dengan kitaran hidup manusia termasuk kelahiran, perkahwinan, kematian dan kegiatan ekonomi serta amalan ritual masyarakat di Malaysia serta muzik sebagai manifestasi adat.
Galeri Aras Dua – Tradisi Intelektual / Kerajaan dan Kuasa
Aras ini mempamerkan tentang kegiatan intelektual di istana dan rakyat serta institusi Kesultanan Raja-raja Melayu.
Galeri Aras Tiga – Adat Perpatih
Merupakan segmen khusus tentang adat merantau masyarakat Minang dari Tanah Minangkabau sehingga bertapak di Negeri Sembilan dan keutuhan Adat Perpatih dari sudut struktur sosial.
Dibuka setiap hari bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang
Ditutup pada Hari Raya pertama dan kedua Aidil Fitri serta Hari Raya Aidil Adha
Percuma
Lawatan Berpandu
Lawatan berpandu percuma selama satu jam diberi oleh staf muzium berdasarkan jadual. Tempahan perlu dibuat terlebih dahulu untuk kumpulan & rombongan sekolah. Sila hubungi 06-6136586 untuk maklumat lanjut.
Kemudahan Pengangkutan
Dengan Bas: Naiki bas Gopi Travel Tours Sdn Bhd dari Terminal 1, Seremban ke Kuala Klawang (RM 5.00)
Kemudahan Penginapan
1. Hotel Sri Klawang (Tel : +606-613 5586 / 6777)
2. Jeram Gading Resort (Majlis Daerah Jelebu : 06-6136479)
3. Homestay Klawang (Pn. Siti Hawa : 012-3364301 / 06-6136690)
Tempat-tempat menarik
1. Jeram Toi
2. Gunung Besar Hantu
3. Lata Kijang
4. Jeram Gading
5. Homestay Klawang
6. Masjid Kampung Dulang
7. Makam Moyang Salleh
Kemudahan Lain
1. Perpustakaan / Khidmat Rujukan.
2. Tempat letak kereta.
3. Surau.
4. Pentas mini.
5. Lawatan berpandu boleh diatur berdasarkan permohonan rasmi kepada pihak muzium.
Peta Lokasi