
Selalunya ia membantu mengindahkan, memudahkan mahupun membina pemikiran yang cergas, namun tidak juga dinafikan bahawa kekadang kehadirannya dalam bentuk yang salah mampu memberi kesan yang mengundang keburukan pada kehidupan insan itu sendiri.
Sebagai misalnya, kehadiran awal seni membina atau melakar bentuk-bentuk mahluk hidup yang mana bermula seawal sejarah insan itu sendiri. Bermula antara zaman Nabi Adam dengan zaman Nabi Nuh. Antara Nabi Adam dan Nabi Nuh, diberitakan oleh Ibn Abbas adalah sepuluh "Qarn", iaitu sepuluh kurun atau sepuluh keturunan, dan didalam jarak ini, lahirnya beberapa generasi solehan. Antaranya adalah Wadd, Yaghuth, Yakuq, Suwa dan Nasr. Wadd merupakan yang tertua, terpintar serta tinggi darjat kesolehannya.
Namun selepas kematian para-para solehan ini, syaitan membisik dan mengilhamkan generasi seterusnya untuk membina sesuatu buat mengenangkan mereka. Mulanya diukir patung-patung yang mirip bentuknya mahupun melakar gambar-gambar serta memanggil-manggil seperti mengarang kata-kata yang indah buat mengenang para-para solehan ini. Malah untuk memanggil hujan pun, disebut-sebut nama-nama mereka.
Setelah berlalu beberapa generasi, akhirnya generasi kemudiannya mengangkat para-para solehan tersebut setaraf dengan Allah (Nauzubillah), dan tenggelamlah insan diwaktu itu dibawah kesyirikan sehinggalah kehadiran Nabi Nuh yang menyeru kembali insan agar menyembah Allah yang esa.
Berhala-berhala dalam bentuk-bentuk rupa Wadd, Yaguth, Yaquq, Suwa dan Nasr adalah berhala-berhala yang mula-mula disembah oleh insan yang hidup dalam kesyirikan dan sejarah telah membuktikan, perkara-perkara sebegini kerap berulang, lantaran itu, Islam hadir dengan syariat-syariat yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad s.a.w, bukan sahaja membimbing insan sekalian kearah kebenaran, malah melindungi agar kealfaan atau kesilapan yang lalu tidak berulang.