BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, June 22, 2012

Amanah Dengan Ilmu

Buku Keajaiban Firasat karangan Ustaz Muhadir Hj Joll mendapat perhatian istimewa daripada khalayak pembaca apabila ia mula dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. Kekuatan buku ini adalah pada kisah-kisah bernilai tarbiah yang dimuatkan. Kebanyakannya berupa kisah-kisah 'pengubat jiwa' melibatkan insan-insan luar biasa.

Yang menjadikan buku ini lebih istimewa adalah pada amanahnya penulis kepada sumber ambilan. Setiap satu daripada 63 kisah pengubat jiwa yang dihimpunkan di dalam buku ini dinyatakan sumber ambilannya.

"Amanah dengan ilmu" adalah prinsip yang dipegang oleh Ustaz Muhadir dalam menulis, sebagaimana yang dipesankan oleh guru beliau, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.

"Antara keberkatan ilmu, ia disandarkan kepada tuan punya kitab," ujar Ustaz Muhadir.

Dalam setiap tulisan beliau, seperti melalui buku Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama': Inilah Jawapannya dan Solat Nabi Menurut Mazhab Syafii, sumber ambilan setiap pendapat atau penjelasan daripada ulama pasti dinyatakan sumbernya. Malah dalam tulisan-tulisan beliau di dalam majalah Q&A, beliau tidak lupa menyelitkan sumber ambilan bagi setiap perbahasan, walaupun tidak semuanya dimuatkan oleh editor.

Berpegang pada pesan tuan gurunya, berikut adalah amalan beliau setiap kali menulis:
1. Dalam keadaan berwuduk.
2. Menutup aurat.
3.  Apabila merujuk kitab, baca al-Fatihah sebanyak 7 kali dengan niat menyedekahkan pahala setiap bacaan itu kepada Nabi SAW, para Sahabat, para wali Allah, para ulama, tuan guru, ibu bapa dan akhir sekali kepada tuan punya kitab (pengarang kitab).
4. Amanah dengan ilmu.

Sunday, June 10, 2012

Mata Pena Seorang Guru

Saya diminta menjadi speaker dalam satu seminar untuk warga pendidik yang akan diadakan dua minggu akan datang. Saya berhati-hati, malah agak was-was juga, untuk  mengatakan "ya" kepada jemputan itu kerana bidang pendidikan bukan bidang saya. Apa yang saya ada untuk dikongsi dengan warga pendidik? Terasa diri kerdil untuk bercakap di depan khalayak guru-guru yang sangat besar jasanya kepada masyarakat. 

Namun, saya akhirnya menyatakan persetujuan apabila dimaklumkan bahawa perkongsian yang diharapkan daripada saya adalah perkongsian input mengenai perkembangan kerjaya guru dalam penulisan. Di situ saya melihat ada sedikit sumbangan yang dapat saya berikan, iaitu membangunkan 'jiwa penulis' dalam diri guru-guru. 

Guru dan bidang penulisan bukanlah asing. Malah di negara kita, ramai guru yang menjadi penulis. Kalangan guru yang menjadi penulis ini sama-sama memberi sumbangan kepada suntikan pemikiran kepada umat Melayu khususnya, seperti juga kalangan wartawan. Nama tokoh pendidik dan penulis Za'aba (Zainal Abidin Ahmad) sama dikenali dengan nama tokoh wartawan, A. Rahim Kajai, A. Samad Ismail dan A. Samad Said yang giat menulis pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua. 

Mari lihat apa maklumat yang kita boleh perolehi melalui Google mengenai penglibatan guru dalam penulisan. Kita akan temui nama Sultan Idris Training College atau SITC (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris atau UPSI) sebagai lubuk tempat lahirnya ramai penulis, khususnya sasterawan satu ketika dulu. Ramai guru dari SITC yang menulis novel, cerpen, sajak dan kritikan sastera. Kegiatan penulisan ini menjadi pesat apabila Pejabat Karang Mengarang SITC dibentuk pada 1924 (dua tahun selepas penubuhan SITC) dan Za'aba menjadi Ketua Pengarang dan Penterjemah Kanan di situ. 

Kita temui nama-nama guru seperti Harun Muhamad Amin, Abdullah Sidek, Ahmad Bakhtiar, Ahmad Murad Nasaruddin, Ahmad Kotot, Muhammad Yassin Makmur dan Muhammad Rakwi Yusof yang giat menghasilkan novel. Beberapa orang daripada mereka juga giat menulis cerpen dan sajak, seangkatan dengan rakan-rakan guru seperti Kamsani Haji Arif, Mohd Yusof Arshad, Abdullah Yahya, Melati Serawak, Mahmud Arshad, Yusof Adil, Ibrahim Haji Yaakub, Muhammad Yassin Makmur (Pungguk), Embong Yahya (Ngumba), Muhammad Yusof Awang, Mahmud Ahmad dan Yusof Harun. Dalam bidang kritikan sastera, kita temui nama-nama guru seperti Keris Melayu, Muhammad Yusof Arshad dan Ngumba.

SITC juga melahirkan penulis berkaliber seperti Mokhtar Yassin, Awang Had Salleh, Masuri S.N, Mohd Nor Long, Suratman Markasan, Sahmad Malaya, Arman Sani, Kemala, Othman Putih dan banyak lagi.

Hingga kini, ramai guru dan bekas guru yang aktif menulis dalam pelbagai genre. Namanya terlalu banyak untuk disebut. Di peringkat global juga, ramai figur guru yang lebih dikenali  sebagai penulis daripada sebagai pendidik. Enid Blyton misalnya, adalah bekas guru yang tulisannya sangat berpengaruh dan sangat meninggalkan kesan di hati pembaca. Ketika beliau meninggal dunia pada 1968 dalam usia 71 tahun, beliau telah menghasilkan kira-kira 700 judul buku yang hingga kini masih terus diulang terbit dan diulang cetak dalam pelbagai bahasa. 

Fakta-fakta ini menunjukkan, maktab perguruan dan sekolah adalah tempat yang kondusif untuk melahirkan penulis. Faktornya banyak. Cukup kalau kita katakan, apabila seorang guru itu benar-benar berjiwa pendidik, dia mempunyai aset yang sangat besar untuk menulis dengan berkesan. Dia boleh mendidik dengan sangat baik melalui tulisan, sebagaimana dia berjaya mendidik melalui lisan. Guru yang berjiwa pendidik ini hanya perlu membangunkan 'jiwa penulis' di dalam dirinya. Apa yang diperlukan adalah minat, kesediaan untuk meneroka dan ketekunan. 

Antara Wang, Nama dan Tuhan

Jika kita menulis kerana wang, kita akan mendapatnya - banyak atau sedikit. Jika kita menulis kerana nama (kemegahan), kita juga akan mendapatnya - dikenali ramai atau kurang dikenali. Jika hanya kerana wang dan nama yang mendorong kita menulis, insya-Allah kita akan mendapatnya kerana begitulah aturan sunnatullah. Kita akan mendapat hasil daripada apa yang kita usahakan berdasarkan apa yang kita hajatkan atau niatkan.

Jika kita menulis kerana Allah - semata-mata mengharapkan keredhaan-Nya - mudah-mudahan itulah yang kita dapat iaitu keredhaan Allah jua. Sukar untuk mengikhlaskan niat menulis semata-mata kerana Allah apabila kita tahu ada ganjaran wang dan nama daripada hasil kerja menulis itu. Bagaimanapun, jangan kerana itu kita berhenti menulis. Jangan kerana itu kita berhenti menyampaikan kebaikan dan kebenaran melalui pena.

Kalau kita tidak menghasilkan karya-karya yang mengajak orang kepada kebaikan dan kebenaran, kepada perkara-perkara yang Allah redha dan Rasulullah senangi, orang-orang yang tidak beriman akan menggunakan pena mereka untuk menghasilkan karya yang merosakkan jiwa dan pemikiran, yang melalaikan, yang mengajak pembaca melawan Tuhan dan peraturan-Nya.

Buku dan majalah akan tetap lahir. Ebook dan komik akan tetap muncul. Jika di belakang penerbitan bahan-bahan bacaan itu bukan kita yang mahu mengajak pembaca membesarkan Tuhan, ia akan didukung oleh orang-orang yang tidak fikir untuk menggunakan ketajaman mata pena untuk "nasihat-menasihati kepada kebaikan dan kesabaran". Penerbitan itu akan didukung oleh orang-orang yang hanya fikir soal wang dan nama.

Tulislah kerana Allah, walaupun di situ ada godaan wang dan nama. Mudah-mudahan Allah campakkan keikhlasan ke dalam hati kita walaupun keikhlasan itu belum penuh atau sempurna.

Menulis Novel Dalam Masa 30 Hari


Kalau anda pernah mengikuti bengkel penulisan saya, insya-Allah anda akan mendengar saya berkongsi mengenai teknik-teknik penulisan. Oleh kerana ia merupakan perkara teknikal, ia mungkin serasi dan mungkin juga tidak dengan gaya berkarya seseorang. Untuk memastikan ia serasai atau tidak, kita hanya perlu mencubanya.

Dalam entri ini, saya ingin kongsikan Program Menulis 30 Hari daripada Cikgu Sri Rahayu Mohd Yusop, novelis yang merupakan guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Ampang, Selangor. Siapa yang mengikuti Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) setiap tahun, pasti biasa dengan nama beliau. Pada tahun lepas, beliau memenangi hadiah pertama kategori novel remaja HSKU bagi kali keenam berturut-turut.

Dalam Program Menulis 30 Hari beliau, atau mana-mana program dan teknik menulis, perkara paling penting yang perlu ada adalah sasaran dan disiplin menulis. Apabila kita sudah menetapkan sasaran tarikh siapnya karya, kita perlu mendisiplinkan diri menulis untuk mencapai sasaran itu. Saya sarankan kepada calon-calon penulis, terutama yang bercita-cita melahirkan novel tarbiah/Islamiah, supaya mencuba kaedah ini.

Berikut adalah catatan Cikgu Sri Rahayu dalam blog beliau tanpa saya ubah walaupun satu huruf:

Menulis novel adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksa-paksakan. Namun, jika hati sudah memasang niat, tapi tidak dipaksa, susah untuk mendapat hasilnya. Jadi, sekadar untuk memberi galakan kepada rakan-rakan penulis, saya ingin kongsikan rahsia ini iaitu Program Menulis 30 Hari.

HARI 1: Fikirkan plot lengkap. Latar tempat, watak, konflik, isu & ideologi. Sebab anda kesuntukan masa, anda tiada pilihan selain memikirkan cerita anda down to the last detail dalam masa SATU hari.

HAR1 2: Bab 1 & 2 (2000 patah. Patah perkataan, bukan abjad. Bahagian ini senang sebab anda baru hendak establish watak - latar, konflik. Touch and go)

HARI 3: Bab 3 (4000 pp) ( Dari sini, lembab sikit)

HARI 4: Bab 4 (6000 pp)

HARI 5: Bab 5 (8000 pp)

HARI 6: Bab 6 (10 000 pp)

HARI 7: Bab 7 (12 000 pp)

HARI 8: Bab 8 (14 000 pp)

HARI 9: Bab 9 (16 000 pp)

HARI 10: Bab 10 (18 000 pp)

HARI 11: Bab 11 (20 000 pp)

HARI 12: Bab 12 (22 000 pp)

HARI 14: Bab 13 (24 000 pp)

HARI 15: Bab 14 (26 000 pp)

HARI 16: Bab 15 (27 000 pp)

HARI17 : Mantapkan Bab 1 & 2

HARI 18: Mantapkan Bab 3 & 4

HARI19: Mantapkan Bab 5 & 6

HARI 20: Mantapkan Bab 7 & 8

HARI 21: Mantapkan Bab 9 & 10

HARI 22: Mantapkan Bab 11 & 12

HARI 23: Mantapkan Bab 13 & 14

HARI 24: Mantapkan Bab 15 & bab tambahan yang tiba-tiba muncul

HARI 25: Intensif tatabahasa & ejaan (Bab 1-7)

HARI 26: Intensif tatabahasa & ejaan (Bab 8-15)

HARI 27: Format

HARI 28: Mencetak

HARI 29: HARI KELUAR DARI GUA

• Lawatan ke kedai fotokopi (Buat salinan & jilidan)

• Lawatan ke pejabat pos

HARI 30: Cari obsesi baru

Seperti kata orang putih: All the Best!

Semoga perkongsian ini bermanfaat dalam proses menghasilkan karya yang mudah-mudahan menjadi amal soleh. 

Friday, June 1, 2012

Rutin Menulis Waktu Dinihari

"Waktu bila Pak Latip menulis?" tanya saya dalam kesempatan bersembang singkat dengan penulis novel sejarah nombor satu Malaysia, Abdul Latip Talib pada PBAKL yang lalu. Beliau mesra dengan panggilan Pak Latip.

Kalau saya tidak silap, 30 judul novel sejarah beliau sudah diterbitkan. Kebanyakannya adalah novel sejarah Islam.

Seperti kebanyakan penulis prolifik yang lain, Pak Latip tentulah mempunyai jadual masa menulis yang khusus. Tentulah beliau sudah serasi dengan jadual itu hingga membolehkan beliau konsisten menghasilkan manuskrip demi manuskrip.

Menurut Pak Latip, beliau biasanya bangkit pukul 4.00 pagi untuk menulis.

"Untuk mula menulis awal pagi, tentu Pak Latip tidur pun awal," saya menelah.

"Biasanya sebelum pukul dua belas saya sudah tidur. Kalau tidur lewat, tak dapat bangun pukul empat. Mungkin pukul lima baru bangun," ujar Pak Latip.

Beliau akan menulis hingga masuknya waktu subuh. Selepas solat Subuh, beliau akan menyambung kerja menulis selagi idea terus mengalir.

Sebelum mula mengarang novel sejarahnya, sudah tentulah beliau akan membuat penyelidikan kerana kesemua novelnya bermain dengan fakta.

Memilih waktu dinihari dan selepas subuh untuk menulis adalah disiplin yang juga menjadi amalan beberapa rakan penulis yang lain.